lightning-solid
Berita :

Artikel "Pendidikan" Terkini

Terengganu Belanja RM1.78 Juta Taja Pelajar Ke Jepun
Terengganu Belanja RM1.78 Juta Taja Pelajar Ke Jepun
KUALA TERENGGANU, 20 April - Kerajaan negeri membelanjakan RM1.78 juta bagi menghantar tiga pelajar cemerlang ke Jepun. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, mereka merupakan penerima biasiswa Skim Pelajar Cemerlang peringkat ijazah ke luar negara dan ini adalah penghantaran kali kedua ke Jepun di bawah skim tersebut.  “Ketiga-tiga mereka merupakan pelajar cemerlang lepasan SPM 2020 yang telah pun menamatkan Program Persediaan Japan (Look East Policy (Japan) programme) di Kolej INTEC Shah Alam. “Anak-anak ini dijadualkan akan berangkat ke Jepun pada 18 Mei depan. Nilai keseluruhan biasiswa bagi ketiga-tiga pelajar tersebut dianggarkan berjumlah RM1.78 juta bagi tempoh pengajian tiga hingga empat tahun,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Pendahuluan Diri dan Bantuan Persedian Penerima Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang Luar Negara Tahun 2022 di Wisma Darul Iman, hari ini. Katanya, besar harapan Kerajaan Negeri Terengganu dan Yayasan Terengganu khasnya untuk melihat anak-anak pelajar pulang membawa kejayaan setelah tamat pengajian. “Sekalung penghargaan dan tahniah kepada para pelajar, ibu bapa dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan anak-anak Terengganu yang cemerlang dapat melanjutkan pengajian di dalam bidang yang menjadi idaman dan universiti terkemuka yang menjadi rebutan setiap pelajar untuk menimba ilmu,” ujarnya. Menurut beliau, kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu menubuhkan Tabung Biasiswa Pelajar Cemerlang Negeri Terengganu dengan peruntukan sebanyak RM5 juta setahun untuk membiayai pengajian anak-anak Terengganu yang cemerlang bagi meneruskan pengajian di peringkat ljazah Pertama. “Sehingga kini seramai 601 orang pelajar cemerlang lepasan SPM, Asasi/Matrikulasi, STPM dan STAM telah menerima skim biasiswa ini bagi mengikuti pengajian peringkat Persediaan dan Ijazah Pertama dalam pelbagai bidang.  “Dari jumlah tersebut 516 orang mengikuti pengajian di universiti awam dalam negara dan 84 orang dari mereka mengikuti program pengajian luar negara dalam bidang- bidang kritikal seperti Perubatan, Pergigian Kejuruteraan Sains, Perakaunan dan Al-Qur'an Wal Qiraat,”ujarnya.
20 Apr 22
613
Madinah Ramadan Kembali, Angkat Pengisian Rohani
Madinah Ramadan Kembali, Angkat Pengisian Rohani
KUALA TERENGGANU, 7 April- Terengganu membuka kembali tirai Madinah Ramadan bagi menghidupkan suasana dakwah dan ilmu di kalangan masyarakat sempena bulan mulia ini.  Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah menzahirkan kegembiraan apabila program yang penuh pengisian ilmu itu dapat kembali diadakan setelah negara memasuki fasa peralihan ke endemik berikutan Covid-19. "Alhamdulillah pada tahun ini kita dapat melaksanakan semula program Madinah Ramadan. Walaupun begitu, tahun ini agak kecil sedikit jika dibandingkan dengan penganjuran awal kita buat dahulu.  "Walau demikian, kita laksanakan juga atas asas untuk menghidupkan Ramadan. Insya-Allah, sesiapa sahaja boleh datang berbuka dan juga boleh datang untuk mendengar tazkirah di Madinah Ramadan yang kita sediakan berhampiran dengan bazar-bazar Ramadan di tempat-tempat tumpuan masyarakat setempat," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Madinah Ramadan Negeri Terengganu di Dataran Drawbridge, semalam. Jelasnya, Madinah Ramadan akan diisi dengan tazkirah serta pelbagai program keilmuan seperti pengisian untuk muslimah dan sebagainya sepanjang bulan ini. "Usaha ini memberi peluang pengunjung di bazar-bazar untuk melihat dan merasai kemeriahan Ramadan disamping memenuhi ibadah puasa mereka dengan perkara bermanfaat," katanya. Tahun ini, program Madinah Ramadan akan diadakan pada skala kecil dan sederhana berhampiran bazar-bazar Ramadan seluruh negeri bagi menyebar luaskan usaha dakwah dan penyampaian ilmu kepada masyarakat Terengganu.     
07 Apr 22
794
Idea ADUN Belia Cermin Pandangan Generasi Muda Terengganu
Idea ADUN Belia Cermin Pandangan Generasi Muda Terengganu
KUALA TERENGGANU, 29 Mac - Persidangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia Terengganu yang berlangsung bermula semalam perlu diberi perhatian kerana mereka merupakan wakil generasi muda negeri. Timbalan Yang Dipertua Dewan ADUN Belia Terengganu, Wan Azhar Wan Ahmad berkata, cadangan-cadangan yang dikemukakan harus diambil serius supaya pihak bertanggungjawab dapat melihat pandangan-pandangan daripada kalangan mereka sendiri yang berada dalam kelompok belia.  "Idea-idea yang baik dapat kita implementasikan sebagai satu gerakan untuk menjayakan suatu visi dan misi kerajaan Terengganu ke arah melahirkan belia yang mempunyai sikap proaktif dalam melaksanakan ataupun menzahirkan perkara-perkara yang kita katakan sangat mustahak untuk membentuk generasi yang akan datang. "Saya fikir, usaha yang dibuat oleh pihak kerajaan negeri adalah usaha yang terkehadapan. "Maknanya, kerajaan sendiri cuba untuk melihat ke dalam pemikiran masyarakat belia sendiri. Bukan kita yang mencadangkan, bukan pihak lain yang melangkaui usia belia yang cadangkan tetapi kita mengambil input itu daripada kalangan belia itu sendiri," katanya ketika ditemui selepas mengendalikan Persidangan ADUN Belia Terengganu, hari ini. Tambahnya, usaha tersebut pasti dapat menghidupkan idealisme yang cuba ditampilkan oleh pelbagai pihak dalam negeri yang sekaligus mampu mencambah idea-idea baru yang lebih baik. "Saya juga fikir bahawa antara perkara yang aa mereka berjaya tonjolkan ialah kesepakatan dalam melahirkan idea-idea baru. Ini amat menarik. "Kajian yang mereka buat juga bukan sahaja menyentuh soal dalaman negara tetapi juga melangkaui sejarah-sejarah silam dengan mengambil sisi kegemilangan yang berlaku dalam aspek pemerintahan, aspek pendidikan, kekeluargaan dan seumpamanya," katanya.  
29 Mar 22
427
SMK Tengku Mahmud Rangkul Juara Inovasi Peringkat Antarabangsa
SMK Tengku Mahmud Rangkul Juara Inovasi Peringkat Antarabangsa
KUALA TERENGGANU, 29 Mac – Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahmud (TMS) berjaya dinobatkan sebagai pemenang utama dalam Asian Youth Innovation Award 2022 anjuran Malaysia Technology Expo (MTE) baru-baru ini.  Lebih menarik, TMS menjadi satu-satunya peserta peringkat sekolah yang bersaing dengan peserta terdiri daripada golongan pelajar universiti tempatan dan luar negara.  Penolong Kanan Kokurikulum TMS, Mohd Syamri Abd Razak berkata, pertandingan berkenaan merupakan penyertaan kali pertama pihak TSM dalam bidang inovasi. "Kita tidak menyangka berjaya merangkul emas bagi kategori ini walaupun lawan kita daripada institusi-institusi pengajian tinggi yang lebih hebat. “Seramai lima orang pelajar menjadi wakil dalam acara inovasi tersebut yang diadakan secara atas talian dengan persediaan bagi menyertai acara ini bermula sejak November 2021 antara guru serta pelajar kita," katanya apabila dihubungi Urusetia Penerangan Darul Iman, hari ini. Jelasnya, inovasi pilihan dihasilkan TMS adalah pembuatan kertas daripada batang pokok pisang yang mampu meningkatkan penggunaan tanaman tersebut dalam lebih banyak aspek.    
29 Mar 22
1080
AKMAL Hasrat Lahirkan 3,000 Hafiz Al-Quran Setahun
AKMAL Hasrat Lahirkan 3,000 Hafiz Al-Quran Setahun
KUALA NERUS, 26 Mac – Akademi Al Quran Amalillah (AKMAL) berhasrat untuk melahirkan seramai 3,000 penghafal al-Quran dalam tempoh setahun. Pengasas AKMAL, Hussin Ismail berkata, visi tersebut merupakan sasaran pihak AKMAL yang bakal dikecapi bermula tahun 2025.  “Melahirkan 3,000 hafiz Quran merupakan misi besar AKMAL yang melibatkan pelajar dari Malaysia serta antarabangsa seperti Turki dan Filipina. “Dengan kekangan pandemik COVID-19 sedikit menjejaskan proses pembelajaran mereka (pelajar) namun tiada yang mustahil kerana Al Quran merupakan hidayah,” tambahnya kepada pemberita dalam Majlis Graduasi AKMAL kali ketiga.  Majlis graduasi tersebut dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Stadium Tertutup Gong Badak, semalam.  Sehingga hari ini, AKMAL mempunyai enam cawangan di seluruh Malaysia dan menawarkan kaedah menghafal Quran dalam masa kurang setahun.  AKMAL turut menawarkan konsep pengajian tahfiz secara dalam talian dengan membuka penyertaan kepada semua peringkat umur.
27 Mar 22
573
GMTS Bina Kredibiliti Belia Tunai Tanggungjawab Mengundi
GMTS Bina Kredibiliti Belia Tunai Tanggungjawab Mengundi
KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Dalam usaha mempersiap golongan belia agar menjadi warganegara yang bertanggungjawab dengan melibatkan diri di dalam pilihan raya, kerajaan Terengganu melalui Urusetia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) memperkenalkan program Generasi Muda Terengganu Sejahtera (GMTS). Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, untuk menjayakan program berkenaan, beberapa pembahagian disasarkan dalam pelaksanaannya. "Yang pertama ialah TUNAS bagi kanak-kanak berumur 11 hingga 12 tahun (School Potential Talent-SPT), DIDIK merangkumi umur 13 hingga 15 tahun (Teens Potential Talent 1-TPT 1) dan BAKAT bagi umur 16 hingga19 tahun (Teens Potential Talent 2-TPT 2). "Manakala, bagi belia berumur 20 hingga 25 tahun, kita meletakkan mereka dalam pembahagian ELIT ( High Potential Talent-HPT) dan IKON bagi umur 26 hingga 30 tahun ( Ikon Belia Terengganu Sejahtera)," katanya. Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Ucapan Titah Tuanku, dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di Wisma Darul Iman, hari ini. Jelasnya, program berkenaan diharapkan dapat melahirkan anak muda yang berkepimpinan dengan penerapan minda politik matang dan sejahtera. Kerajaan Negeri juga telah memperkenalkan Program ADUN Belia sejak tahun 2019 serta akan meneruskannya bagi memberi pendedahan dan melatih golongan belia untuk menjadi pemimpin pelapis di masa akan datang. "Antara program lain yang dirancangan melalui GMTS juga adalah Program Ikon Anak Muda, Motivasi Belia Terengganu, 'School Attack', 'Studio Live' dan 'Hiwar' Belia Manis serta banyak lagi. "Selain itu, kerajaan negeri berkerjasama dengan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu telah mengadakan Program Rukun Negara@Belia, Program ETOS Anak Muda dan Program Rakan Muda Klik. "Ia dalam memberi kesedaran kepada belia untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi berikutan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun, selain meningkatkan pengetahuan literasi politik, ekonomi dan sosial," katanya.    
23 Mar 22
237
Terengganu Bakal Jadi Pusat ACCA Timur Pertama Di Malaysia
Terengganu Bakal Jadi Pusat ACCA Timur Pertama Di Malaysia
KUALA TERENGGANU, 16 Mac - Kerajaan negeri telah memilih Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai rakan strategik untuk memastikan program Skim Biasiswa bagi Association Of Chartered Certified Accountants (ACCA) dapat dilaksanakan sekali gus menjadikan Terengganu sebagai Pusat ACCA Wilayah Timur pertama di negara ini. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sejak dilaksanakan bermula tahun 2019, seramai 35 pelajar telah mengikuti program berkenaan di bawah skim penajaan Yayasan Terengganu. "Usaha ini adalah untuk memastikan lebih ramai anak Terengganu menadapatkan pengiktirafan daripada badan profesional khususnya dalam bidang perakaunan, maka dengan sebab ini, kerajaan telah memperkenalkan program ini, "Justeru bagi pihak kerajaan saya ingin merakamkan ucapan terima kasih di atas kesudian UiTM serta pihak ACCA membantu merealisasikan agenda membangun modal insan cemerlang Terengganu. Maka  pada hari ini, kita dapat menyaksikan satu bentuk kerjasama antara Yayasan Terengganu, UiTM dan ACCA dengan perjanjian persefahaman yang ditandatangani bersama," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman Antara Yayasan Terengganu, Universiti Teknologi Mara (UiTM), ACCA dan Universiti Islam Antrabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS), di Wisma Darul Iman (WDI), pada hari ini. Turut hadir pada majlis berkenaan, Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Terengganu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat dan Pengarah Yayasan Terengganu, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham serta wakil kedua-dua universiti terbabit. Sementara itu, Mohd Azmi berkata satu usaha awal telah dilakukan bagi merealisasikan hasrat menjadikan Terengganu sebagai Pusat ACCA Wilayah Timur dengan melaksanakan program Foundation in Accountancy (FIA) ACCA di UITM Dungun. "Program ini telah bermula tahun lepas, dengan menawarkan skim biasiswa ini kepada 15 orang pelajar lepasan SPM yang telah dipilih," ujarnya. Untuk rekod, antara bidang kerjasama yang akan dijalinkan dua pihak berkenaan akan memberikan penajaan Skim Biasiswa Pelajar Cemerlang (SPC) kepada pelajar cemerlang lepasan SPM yang layak ke program Foundating in Accounting (FIA) dan Association Of Charetered Certified Accountants (ACCA) di UiTM. Kedua-dua pihak akan turut bekerjasama menjalankan promosi dan pencarian pelajar lepasan SPM yang layak bagi mengikuti program FIA di UiTM  serta YT, UITM dan ACCA akan turut bekerjasama dalam usaha mewujudkan Pusat Pengajian ACCA Wilayah Timur (East Coast ACCA Center) di UiTM Terengganu, Kampus Dungun. Dalam pada itu ,ACCA akan membantu mencari peluang dan penempatan pekerjaan bagi pelajar-pelajar tajaan Yayasan Terengganu ini yang telah tamat pengajian.  
16 Mar 22
1454
TESDEC Tawar Diploma Pelancongan, Haji Dan Umrah
TESDEC Tawar Diploma Pelancongan, Haji Dan Umrah
KUALA TERENGGANU, 5 Mac- Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC) menawarkan program pengajian akademik terbaharu iaitu Diploma Pelancongan, Haji dan Umrah khusus untuk pelajar-pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah TESDEC Berhad, Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata ia bagi memenuhi keperluan dalam industri pelancongan secara khusus sekali gus mampu mencapai standard yang tinggi dalam bidang pengurusan pelancongan Islam dan juga operasi penerbangan. "Fokus pembelajaran program ini memberi pendedahan kepada konsep ibadah haji dan umah termasuk menguruskan jemaah bagi melaksanakan ibadat berkenaan dan juga mengendalikan agensi-agensi umrah, pengajiannya akan mengambil masa selama tiga tahun. "Insya-Allah dengan adanya program seperti ini membolehkan TESDEC melahirkan graduan 'multi skill' yang berkebolehan tinggi hingga mampu menembusi pasaran luar negara," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Konvensyen Ke-4 dan Pelancaran Jubli Perak TESDEC, di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI), di sini baru-baru ini. Turut hadir, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah TESDEC, Sulaiman Sulong, Pengarah Unit Perancang Ekonomi negeri (UPEN), Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, Ketua Pegawai Eksekutif TESDEC, Mohd Iskandar Muhammad Aziz, dan Pengerusi Lembaga Pengelola Kolej TESDEC, Prof. Madya Dr. Berhanuddin Abdullah. Mengulas lanjut, Wan Sukairi berkata dengan penawaran kursus baharu ia membuktikan bahawa TESDEC telah diterima dan terus relevan untuk dijadikan pilhan dalam kalangan masyarakat di negeri ini. "Kewujudan institusi ini telah dirasai oleh para belia dan beliawanis di Terengganu ini khususnya sebagai pemangkin kemajuan dan kejayaan generasi akan datang melalui setiap latihan yang ditawarkan. "TESDEC telah melahirkan puluhan ribu graduan daripada pelbagai disiplin ilmu yang telah berkhidmat dan berbakti dalam pelbagai bidang kerjaya di seluruh pelusuk negeri," ujarnya. Selain dari program pengajian akademik yang akan diperkenalkan itu, pada tahun ini beberapa kursus latihan kemahiran akan turut ditawar membabitkan, Pendawaian Tiga Fasa dengan Endorsan (PW4) dan Chargeman A0. Manakala 19 kursus baharu untuk jangka pendek turut ditawarkan, antaranya Pengurusan Bengkel Automotif, Jahitan Baju Melayu, Jubah/Blous, Kesedaran Keselamatan dan Kesihatan pekerja, Penyelenggaraan Pendawaian & Peralatan Elektrik, Asas Pentadbiran dan Pengurusan Tanah, Certified Fiber Optic Technician, Kauseling-Tekanan Menghadapi Tekanan. Selain itu,turut ditawarkan Latihan Pengendali Makanan, Penyelenggaran Kenderaan, Asas Gunting Rambut, Asas Pengendalian Drone dan pelbagai lagi kursus bagi menjamin masa hadapan pelatih untuk memperolehi pekerjaan serta menerima pendapatan yang sesuai dengan situasi pada masa kini.  
07 Mar 22
666
TESDEC Akan Dijenamakan Sebagai 'Terengganu Skills'
TESDEC Akan Dijenamakan Sebagai 'Terengganu Skills'
KUALA TERENGGANU, 5 Mac - Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC) bakal dijenamakan sebagai 'Terengganu Skills'dalam masa terdekat. Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah TESDEC Berhad, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, langkah itu akan memberi semangat baharu kepada warga kerja sekali gus mampu melahirkan graduan yang proaktif. "TESDEC terus berperanan menjadi pusat latihan berkualiti dan melahirkan graduan berdaya saing dan kompetetif di peringkat global dengan menawarkan program yang 'employability' dan 'marketability dalam pelbagai bidang kemahiran dan teknikal sama ada peringkat sijil dan diploma. "Semua kursus yang dijalankan mendapat kelulusan akreditasi daripada MQA (Agensi Kelayakan Malaysia), saya juga yakin dan percaya bahawa tidak mustahil untuk ia menjadi sebuah kolej kemahiran yang berprestij pada masa hadapan," ujarnya. Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri,berkata demikian ketika berucap Pada Majlis Konvokesyen Ke-4 Dan Pelancaran Jubli Perak TESDEC, di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam, di sini pada hari ini. Turut hadir, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah TESDEC Sendirian Berhad, Sulaiman Sulong Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, Ketua Pegawai Eksekutif TESDEC, Mohd Iskandar Muhammad Aziz dan Pengerusi Lembaga Pengelola Kolej Tesdec, Prof Madya Dr.Berhanuddin Abdullah. Pada majlis berkenaan seramai 126 graduan dianugerahkan sijil serta seramai 11 graduan telah dianugerakan sebagai graduan terbaik dalam pelbagai bidang dan kursus yang ditawarkan oleh kolej terbabit. Sejak ditubuhkan sehingga Januari 2022, TESDEC telah berjaya melatih lebih daripada 37,000 orang pelatih dalam pelbagai bidang latihan yang dianjurkan untuk memenuhi keperluan tenaga kerja bukan sahaja di dalam negara bahkan ke luar negara. Dalam pada itu, Sulaiman pula bangga dengan graduan yang telah berjaya menghabiskan pengajian dalam tempoh ditetapkan. "Mereka kini merupakan sebahagian daripada alumni yang telah dilahirkan oleh institusi ini sejak 1996. TESDEC sesungguhnya amat berbangga dengan para pencapaian alumninya yang kini telah berjaya dalam kerjaya masing-masing.  "Pada hari ini juga merupakan hari yang bertuah kepada warganya dengan menyambut pelancaran Jubli Perak bersempena 25 tahun penubuhannya, saya yakin dan percaya dalam tempoh tersebut banyak perkara ditempuhi oleh warga kerjayanya bagi melahirkan graduan yang berkualiti tinggi, sehingga menjadikan ia rebutan kepada pelajar lepasan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) khususnya anak pelajar Terengganu. "Jadi tidak hairanlan, institusi yang dimiliki kerajaan negeri ini akan menjadi sinonim dengan kemahiran dan akan dikenali di seluruh negeri mahupun negara," ujarnya.
05 Mar 22
1037
Kit Peperiksaan Untuk Calon SPM DUN Buluh Gading
Kit Peperiksaan Untuk Calon SPM DUN Buluh Gading
KUALA NERUS, 3 Mac - Sebanyak 530 unit kit peperiksaan disediakan khas untuk menyuntik semangat para calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ustaz Ridzuan Hashim berkata, kit peperiksaan yang diagihkan adalah tanda sokongan moral kepada semua calon agar lebih bersemangat untuk menghadapi peperiksaan tersebut. “Kita agih kit ini dari rumah ke rumah untuk berjumpa sendiri dengan para pelajar. “Dengan cara itu, kita dapat berinteraksi secara langsung dengan mereka dan seterusnya menyuntik semangat untuk menghadapi peperiksaan tersebut,“ ujar beliau lagi. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam program agihan kit peperiksaan dari rumah ke rumah di sekitar Kampung Teluk Pasu, baru-baru ini. Beliau juga memaklumkan, kit telah diagihkan kepada semua Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam DUN Buluh Gading untuk diserahkan kepada semua calon SPM dalam kampung masing-masing. “Dalam setiap kit, kita sediakan beberapa set alat tulis, set mekanikal geometri, air solat hajat serta kismis. “Nilainya mungkin tidak seberapa, tapi itulah tanda sokongan kita kepada semua calon yang juga merupakan modal insan pada masa akan datang,” tambah beliau lagi.
03 Mar 22
500