Artikel "Pendidikan" Terkini
Kerajaan Negeri Suntik Semangat Pelajar SPM
KUALA TERENGGANU, 6 Februari – Persediaan akhir pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dihangatkan lagi dengan inisiatif program motivasi pelajar anjuran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk.
Menurut ADUN Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi program motivasi berkenaan merupakan rentetan daripada program Tuisyen Rakyat DUN Batu Buruk yang telah diadakan pada 3 Februari yang lalu.
Antara peserta program motivasi
“Program yang kita adakan ini merupakan usaha untuk membantu anak-anak pelajar kita agar berjaya dalam peperiksaan SPM yang akan akan dihadapi nanti.
“Apa yang penting ialah kita berusaha, niatkan ikhlas kerana Allah SWT dan berdoa supaya dipermudahkan untuk memahami dan menjawab soalan nanti,” pesannya dalam ucapan majlis penutup program motivasi tersebut.
Program tersebut telah diadakan di Dewan Dato’ Wan Abdul Muttalib, Kuala Ibai dan disampaikan oleh pakar motivasi, Mohamad Mizan Mohd Nor.
Ustaz Mohamad Mizan menyampaikan motivasi kepada pelajar
Dalam pada itu, Program Tuisyen Rakyat bagi subjek Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik diadakan baru-baru ini telah diadakan disertai seramai 90 orang pelajar.
05 Feb 22
411
160 Pelajar Terima Manfaat Tuisyen Rakyat DUN Tepoh
KUALA NERUS, 2 Februari - Seramai 160 orang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari kawasan Tepoh telah terpilih untuk menyertai Tuisyen Rakyat sebagai usaha kearah memperkasakan ilmu para pelajar menghadapi peperiksaan awam tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, penempatan kelas tuisyen di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) merupakan satu tuah buat pelajar dengan persekitaran Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang mampu menyuntik semangat mereka untuk menjejakkan kaki ke menara gading.
"Calon peperiksaan SPM yang terpilih menyertai Tuisyen Rakyat diharapkan dapat menggunakan peluang ini sebaiknya untuk meningkatkan penguasaan mata pelajaran seterusnya meraih keputusan peperiksaan SPM yang cemerlang bagi peringkat Negeri Terengganu.
"Inisiatif ini yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat DUN Tepoh dan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTs Tepoh) merupakan salah satu usaha pihak Kerajaan Negeri Terengganu bagi membantu para pelajar menguasai mata pelajaran.
"Disamping itu, ia memastikan semua pelajar dapat meraih keputusan peperiksaan yang lebih membanggakan" kata Hishamuddin ketika ditemui media.
Terdahulu, selain tuisyen biasa, dua kelas elit turut dibuka bagi pelajar yang mengambil subjek Matematik Tambahan, Fizik dan Kimia. Perjalanan tuisyen rakyat ini mendapat sokongan sepenuhnya pihak SMKA Dato' Haji Abbas, SMK Kompleks Gong Badak, SMK Bukit Guntong dan Maahad Tahfiz Wal Tarbiyah Darul Iman (MTT).
Manakala itu, program motivasi dan majlis penutup akan diadakan pada 5 Februari 2022 di Dewan Ehsan Felda Wilayah Timur.
02 Feb 22
300
Pasangan Suami Isteri Terima Diploma Arwah Anak
KUALA NERUS, 27 Januari- Pasangan Ahmad Badri Abd Wahid, 54, dan Zubaidah Mohd Yusof, 54, menzahirkan rasa gembira kerana dapat menghadirkan diri mengambil diploma anak ketiga mereka pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kali ke-12 di Dewan Al Muktafi Billah Shah, Kuala Nerus, hari ini.
Ahmad Badri, yang bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bedena, Selangor menerima diploma bagi pihak anaknya, Ahmad Wafi, 22, graduan Diploma Pengajian Islam (Al Quran dan As Sunnah) yang meninggal dunia pada 9 Disember 2020 akibat serangan jantung ketika bermain futsal.
Ketika itu, Ahmad Wafi sedang menyambung pengajian di peringkat Sarjana muda Usuluddin dengan Kaunseling untuk semester pertama di UniSZA pulang ke kampungnya di Sungai Besar kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ahmad Badri berkata, walaupun sedih kerana tidak dapat melihat arwah mengambil sendiri, dia dan isterinya gembira kerana arwah tetap mengharumkan nama keluarga walaupun dia sudah tiada.
"Kami teruja untuk hadir ke majlis hari ini dan seronok melihat rakan-rakan arwah meraikan kejayaan masing-masing meskipun anak saya tiada bersama.
"Dia anak yang baik dan tidak menyusahkan. Saya bangga dengan dia sebab memilih pengajian dalam bidang agama sama seperti saya dan isteri,” katanya.
Diploma berkenaan telah disampaikan Naib Canselor UniSZA, Prof. Dr. Fadzli Adam.
Seramai 3,345 graduan UniSZA diraikan dalam majlis konvokesyen yang berlangsung selama lima hari bermula Ahad lalu.
27 Jan 22
1260
Tuah Rezki Putri Uda Mahu Jadi Contoh Bangsa Muda Orang Asli
KUALA NERUS, 27 Januari- “Saya sangat gembira dan bersyukur serta mahu menjadi contoh yang terbaik untuk bangsa muda orang asli," kata Tuah Rezki Putri Uda.
Tuah Rezki, 23, menerima Diploma Pengajian Bank yang disampaikan oleh Naib Canselor, Prof. Dr. Fadzli Adam bersama 254 graduan yang lain di Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ke-12, di sini, hari ini.
Tuah dari suku kaum Semai merupakan anak kelima dari enam beradik kini menyambung pegajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains Sukan dan Rekreasi di UKM, Bangi.
Bapa Tuah, Minit a/l Bah Los, 59, dan ibunya, Juliana a/p Bah Uda, 54, tidak dapat hadir pada majlis konvokesyen kerana tiada kenderaan dan perjalanan yang agak jauh.
“Walaupun saya datang seorang diri, saya tetap bangga kerana dapat menamatkan diploma dan menyambung pengajian di peringkat sarjana muda demi mengubah nasib hidup keluarga saya.
“Sepanjang pengajian diploma banyak perkara yang saya belajar sendiri dari segi pelajaran, pengurusan kewangan, pengurusan diri dan berkomunikasi dengan rakan-rakan," katanya yang berasal dari perkampungan orang Asli Chenderong Kelubi, Perak.
Katanya lagi, menjadi seorang perempuan Orang Asli yang berpelajaran tinggi dan berkarier adalah impian Tuah agar dapat menjadi contoh untuk diikuti oleh orang asli yang lain.
“Saya tidak pernah malu menjadi orang asli sebab saya nak orang asli ini setara dengan bangsa yang lain”, katanya yang bercita-cita menajdi seorang pensyarah.
27 Jan 22
362
Graduan Cina Terima PhD Pendidikan Di Fakulti Pengajian Islam
KUALA NERUS, 25 Januari- Seorang graduan berbangsa Cina menerima ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pendidikan di Fakulti Pengajian Islam pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA kali-12 di Dewan Al Muktafi Billah Shah, Kampus Gong Badak, kelmarin.
Datuk Dr. Ang John Sun, 55, berkata, dia begitu gembira kerana dapat menunaikan amanat mendiang ibunya yang memintanya menyambung pengajian sehingga peringkat PhD.
“Ibu saya teringin sekali melihat saya mendapat PhD dan hari ini saya sangat gembira kerana dapat merealisasikan impian dia walaupun sudah tiada.
“Sedih juga sebenarnya kerana semasa mendaftar Phd di UniSZA, dia datang menemani saya dan dia sangat gembira saya melanjutkan pengajian sehingga peringkat PhD,” katanya.
Katanya lagi, tinggal bersama masyarakat Melayu membuatkannya sentiasa berkomunikasi bahasa Melayu dengan fasih serta minat mendalami ilmu Pendidikan Islam.
“Saya mula pengajian PhD pada tahun 2018 dan sebelum ini Sarjana Sains di UPM dan Ijazah Sarjana Muda Ilmu Kemanusiaan di USM.
“Masa SPM saya ambil mata pelajaran Pendidikan Islam dan sekarang pun saya mengajar Bahasa Melayu di sekolah," katanya yang juga Ketua Bidang Bahasa di SMK Badak Bachok, Kelantan.
Bapa kepada anak kembar lelaki dan perempuan itu hadir ke majlis konvokesyen bersama isterinya, Datin Kee Hui Bin, 50.
25 Jan 22
744
Dunia Pendidikan Lebih Memahami Masyarakat
Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 8 Januari - "Dunia pendidikan ini banyak mengajar untuk lebih memahami situasi masyarakat dan keadaan persekitaran," jelas seorang penerima anugerah Tokoh pendidik peringkat Negeri, Noorzila Mohamed.
Menurutnya yang juga seorang ustazah berusia 48 tahun, guru ibarat petani yang sentiasa memastikan tanamannya subur tanpa gangguan musuh.
"Alhamdulillah, rezeki dari Allah. Sebenarnya anugerah ini adalah untuk memberi inspirasi kepada saya untuk terus berdakwah.
"Berperanan sebagai daie, mengajak masyarakat,terutama muslimat terus mencintai ilmu dan beramal dengan Islam," katanya ketika dihubungi pada hari ini.
Beliau yang menetap di Kampung Kubang Bujuk, Manir telah bertugas sebagai seorang guru sejak tahun 2005.
Noorzila menyifatkan cabaran ketika mendidik masyarakat untuk menjadi insan berguna bukan perkara yang mudah.
"Anak-anak yang kurang minat belajar ini boleh diselesaikan melalui guru sebagai murabbi bukan sekadar pengajar.
"Begitulah tugas seorang pendidik. Kena jadikan murid sebagai anak-anak yang disayangi," ujarnya yang kini masih mengajar di Sekolah Kebangsaan Teluk Menara, Manir.
Beliau turut menasihati generasi muda agar kekal istiqamah dengan ikhlaskan hati membuat semua perkara kerana Allah dan sentiasa menuntut ilmu.
"Berkata Iman al-ghazali, orang yang dikatakan berilmu ialah orang yang sentiasa berinteraksi dengan ilmu.
"Belajar untuk memahami politik Islam dan mengkaji sirah-sirah Rasulullah serta memahami perjuangan para muslimat Islam masa silam," ujar beliau.
Beliau memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja (Ajk) Dewan Muslimat PAS negeri Terengganu (Ketua Lujnah Dakwah), Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Hulu Terengganu, Ketua Tarbiyyah Hulu Terengganu, Ajk Tarbiyyah Negeri Terengganu, Ajk alimat Negeri Terengganu, Naqibat Teras Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) Dan Dewan Muslimat PAS negeri Terengganu (DMPNT).
Selain itu, Pengarah j12k Muslimat Hulu Terengganu, Ajk tarbiyyah DMPM, Penasihat Muslimat Dun Manir, Naqibat Ameerah Hulu Terengganu dan Setiausaha Muslimat cawangan Kubang Bujuk serta penceramah bebas dan pengkuliah bertauliah negeri Terengganu.
08 Jan 22
257
Julang Martabat Pendidikan Islam Ke Tahap Tertinggi
KUALA TERENGGANU, 6 Januari - Kebersamaan antara kerajaan, pendidik dan masyarakat mampu mengangkat martabat pendidikan Islam ke tahap tertinggi.
Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tugas dan tanggungjawab pendidik bukanlah mudah, sebaliknya penuh cabaran yang perlu ditempuhi dalam usaha melahirkan modal insan berguna kepada masyarakat.
"Rintangan harus ditempuhi dengan cekal dan berpegang matlamat yang jelas. Tentunya tugas ini berat dan mengambil masa lama, walaupun begitu ia akan memberi impak positif kepada anak didik khususnya anak-anak Terengganu.
"Atas dasar inilah kerajaan negeri melihat perlu ada kesinambungan dan kerjasama erat antara kerajaan, pendidik dan masyarakat bagi memastikan sektor pendidikan berjalan baik.
"Konvensyen hari ini yang bertemakan 'Pendidikan Rabbani Teras Kesejahteraan Ummah' merupakan teras utama kerajaan negeri dalam memastikan sektor pendidikan Islam dapat dimartabatkan selaras Terengganu sebagai 'serambi Madinah'," ucapnya ketika merasmikan Konvensyen Pendidikan Islam Negeri Terengganu Dan Majlis Penyampaian Anugerah Pendidikan Islam Negeri Terengganu 2021, di Taman Tamadun Islam, di sini hari ini.
Turut hadir, pegawai kewangan negeri; Zainal Abidin Mohamad, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT); Mat Azmi Arshad Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Terengganu, Satiful Bahri Mamat dan timbalannya, Maliaman Kassim.
Dalam pada itu Satiful turut merakamkan penghargaan kepada penerima anugerah yang terpilih dan Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) yang diketuai pengarahnya, Lothman Awang dalam menjayakan konvensyen tersebut.
"Hari ini, 14 tokoh pendidik diberikan anugerah sebagai penghargaan dan pengiktirafan daripada kerajaan negeri terhadap para alim, ulama, pendidik, guru-guru yang bekhidmat tidak mengira pendapatan kewangan dan sebagainya, atas usaha dan tanggung jawab, amanah mereka sebagai pewaris nabi yang dipusakakan ilmu pengetahuan.
"Kita harap ini pelaburan terbaik untuk kita kembali kepada Allah SWT dan terima kasih kepada semua jabatan termasuk JPINT yang berusaha terus mengangkat martabat pendidikan islam di Terengganu ini," katanya.
Dalam majlis berkenaan, seramai 14 tokoh pendidik menerima anugerah daripada kerajaan negeri dengan sumbangan penghargaan bernilai RM1,000 bagi setiap kategori.
06 Jan 22
968
'Terima Kasih Terengganu, Sekolah Kami Kembali Ceria'
TEMERLOH, 30 Disember - Guru Sekolah Rendah Agama (SRA) Islam At-Taqwa terharu dengan kerja keras sukarelawan Terengganu yang membersihkan institusi tersebut sehingga boleh kembali beroperasi seperti biasa.
Guru Besarnya, Khairul Azwan Zamri berkata, kerja pembersihan lumpur dan sisa banjir oleh 38 sukarelawan Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu itu membolehkan SRA At-Taqwa dibuka pada pada 10 Januari depan.
Katanya, sejak empat hari pihaknya juga telah berusaha membersihkan 13 blok bangunan daripada kesan banjir namun tenaga yang terhad menyukarkan operasi.
“Pada khamis lalu, paras air naik tinggi sehingga ke paras atap sekolah, hampir menenggelamkan kelas, blok pra sekolah, tandas, pejabat dan bilik guru.Alhamdulillah kerjasama sukarelawan ini meringankan beban kami.
“Terima kasih kepada warga Terengganu terutamanya tenaga pengajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu daripada Dungun, Kuala Berang dan Kemaman kerana terus komited bergotong-royong bagi membolehkan 335 orang pelajar kembali untuk sesi hadapan.
“Kebanyakkan kelas juga semakin pulih dengan beberapa tempat lagi belum selesai, semasa air naik barangan kelas sempat dialih oleh guru-guru disini dengan kebanyakkan kerosakan hanya melibatkan perkakasan elektrik seperti kipas dan lampu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemu bual pemberita semasa Operasi Bantuan Banjir Terengganu ke Pahang 2021 di Kampung Paya Kecil, kelmarin.
Sementara itu, wakil Jabatan Pendidikan Pahang, Yahaya Taib turut menyuarakan penghargaan kepada sukarelawan Terengganu dipimpin oleh rombongan Sekolah Imtiaz.
“SRA Islam At-taqwa ini antara dua sekolah agama termasuk Maahad Tahfiz Islamiyah yang terjejas teruk di Temerloh di samping 24 buah sekolah lain lagi di sini,” katanya yang juga daripada Sektor Pendidikan Islam JPP.
30 Dec 21
2216
PETRONAS Sumbang Zakat RM79,900 Kepada Sekolah Agama
KEMAMAN, 22 Disember – PETRONAS Peninsular Malaysia Assets (PMA) melalui Badan Kebajikan Kakitangan Islam PETRONAS (BAKIP) menyampaikan sumbangan zakat kakitangan PETRONAS berjumlah RM79,900 kepada empat buah sekolah agama terpilih di daerah tersebut.
Pengurus Besar Kanan PMA, Hafiz Azzad Zubir berkata, sumbangan berbentuk wang tunai kepada 239 pelajar dan guru itu diharapkan dapat membantu meringankan beban mereka.
“Sebagai sebuah syarikat yang prihatin terhadap kesejahteraan masyarakat dan pembangunan pendidikan di negara ini, kami berharap sumbangan ini sedikit sebanyak akan dapat menolong mereka dalam apa jua urusan berkaitan pendidkan dan kebajikan pelajar di sini.
"Sumbangan zakat tersebut adalah hasil kerjasama yang dijalankan di antara Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu (MAIDAM) Terengganu dan PETRONAS.
"Melalui kerjasama tersebut, BAKIP dilantik sebagai wakalah zakat yang berperanan mengagihkan zakat yang dikeluarkan oleh kakitangan PETRONAS kepada MAIDAM pada tahun 2021," katanya semasa majlis ringkas di Markaz Dirasat Al Islamiah, Kampung Semanyor, Kemasik baru-baru ini.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful Azmi dan Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Che Ahmad Tarmizi Abdul Rahman.
22 Dec 21
1165
Tumpuan Sama Rata Kementerian Pendidikan Kurangkan Jurang Perbezaan
KUALA LUMPUR, 14 Disember– Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di gesa agar memberikan tumpuan sama rata kepada sekolah-sekolah di luar bandar agar pembangunannya seimbang dengan institusi pendidikan berkenaan yang berada di bandar bagi mengurangkan jurang perbezaan.
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata ia termasuk dalam menyediakan fasiliti bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang selesa serta selamat, dimana KPM perlu menyegerakan peruntukkan untuk membaikpulih fasiliti-fasiliti yang telah usang bagi sekolah di pedalaman.
“Saya ingin membangkitkan isu yang berkaitan dengan baikpulih sekolah luar bandar seringkali terlewat menerima peruntukkan, ianya membimbangkan kerana kerosakkan yang berlaku boleh mengancam keselamatan murid dan warga sekolah bahkan terdapat juga sehingga ke hari ini masih belum diterima.
"Diantara masalah yang dihadapi ialah kerosakan pada litar pemasang elektrik yang mana kerosakkan dialami itu menelan kos yang besar untuk dibaik pulih dan juga didapati sistem perpaipan yang terlalu lama juga perlu diperbaiki.
"Perkara ini membawa implikasi besar. Kerana bil air sekolah melambung tinggi, mencecah ribuan ringgit akibat terdapat banyak tempat kerosakkan yang tidak diperbaiki segera.Begitu juga dengan komputer yang berada di pejabat dan bilik khas, fasiliti-fasiliti ini perlu di naiktaraf dengan kadar segera," ujarnya pada persidangan Dewan Rakyat, semalam.
Tambah beliau lagi, apa yang berlaku pada hari ini, makmal sekolah, sekolah luar bandar telah usang dan sesetengah kes hampir runtuh bahkan bangunan-bangunan bagi pembelajaran vokasional menengah atas juga memerlukan bangunan baru agar proses pengajaran dan pembelajaran kondusif dan berkesan.
“Saya juga ingin membangkitkan berkenaan kerosakan pagar di SK Chalok, di Setiu akibat dilanda banjir. Sudah dua kali banjir melanda, setakat hari ini masih belum dapat dibaiki. Saya memohon agar kementerian dapat menyalurkan peruntukkan bagi masalah-masalah yang telah saya bangkitkan, bagi memastikan kemudahan infrastruktur sekolah luar bandar khususnya, diperkasakan sekaligus hak pelajar luar bandar untuk mengecapi pendidikan yang sempurna tercapai,"ujarnya.
Dalam pada itu katanya, cadangan untuk melantik warden bukan daripada kalangan guru juga sewajarnya dipertimbangkan oleh pihak kementerian.
"Jika sekiranya ia tidak dapat dipertimbangkan, saya cadangkan supaya elaun warden di kangan guru ini dapat ditingkatkan bagi menaikkan semangat mereka untuk bertugas," ujarnya
14 Dec 21
521