lightning-solid
Berita :

Artikel "Pendidikan" Terkini

Rebat RM2,250 Sambung Pengajian di TESDEC
Rebat RM2,250 Sambung Pengajian di TESDEC
KUALA TERENGGANU, 5 November - Terengganu Skills Development Centre (TESDEC) menyediakan rebat sebanyak RM2,250 kepada pelajar yang mengikuti program pra-diploma sijil Sains untuk menyambung pelajaran ke peringkat diploma dalam mana-mana program di institusi tersebut. Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah TESDEC, Sulaiman Sulong berkata, hal ini membuktikan TESDEC memberi sepenuh galakan kepada lepasan sijil khususnya anak Terengganu untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi. "TESDEC adalah satu nilai harga yang mesti dikembalikan kepada masyarakat sebagai sebuah institusi untuk semua orang mempelopori minat dan kemahiran baharu termasuk golongan belia dan warga berusia. "Misi TESDEC ialah untuk melahirkan graduan yang berdaya saing, berkeyakinan dan berketerampilan menjadi pemangkin kepada kebolehpasaran dalam industri. "Ini kerana katanya TESDEC bukan sahaja memberi penekanan terhadap keupayaan teknikal tetapi juga ciri-ciri lain termasuk pembangunan sahsiah dan kemahiran interpersonal," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Konvokesyen ke 5 TESDEC di Dewan Kenanga, Terengganu Equestrian Resort (TER) di sini baru-baru ini. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif TESDEC, Mohd Iskandar Muhammad Aziz, Pengerusi Lembaga Pengelola Kolej TESDEC, Prof Madya Dr Berhanundin Abdullah, Ketua Eksekutif Kolej TESDEC, Mat Azam Husain. Sementara itu seramai dua orang graduan menerima baucer pengecualian yuran (rebat) dari TESDEC termasuk Aziz Mat Yusoff dan Nabilah Huda Mustaffa masing-masing dari program Diploma Kimpalan.
05 Nov 23
132
Sedia Bantu Graduan Buka Perusahaan Sendiri
Sedia Bantu Graduan Buka Perusahaan Sendiri
KUALA TERENGGANU, 2 November – Kerajaan Negeri melalui Terengganu Skills Development Centre (TESDEC) bersedia membantu graduan membuka perniagaan atau perusahaan sendiri selepas berjaya menamatkan pengajian di institusi itu. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata sijil keluaran TESDEC diiktiraf dan diterima baik dalam pelbagai industri. Beliau berkata alumni TESDEC antara graduan yang peluang pekerjaan mereka cukup terjamin dengan skill dan akademi yang dimiliki. "Dalam masa yang sama Kerajaan Negeri sangat menggalakkan para graduan TESDEC mencipta peluang pekerjaan sendiri. “TESDEC pula sedang berusaha menambah program inovasi dan membina jalinan kerjasama dengan agensi kerajaan seperti Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) supaya mana-mana alumni yang berhasrat untuk membuka perusahaan atau perniagaan sendiri, kerajaan negeri menjadi pemudah cara untuk tujuan tersebut,” jelas beliau. Wan Sukairi berkata demikian di Sidang Media selepas Majlis Konvokesyen TESDEC ke 5 di Dewan Kenanga, Terengganu Equestrian Resort (TER) di sini semalam. Turut hadir Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah TESDEC Sendirian Berhad, Sulaiman Sulong dan Ketua Pegawai Eksekutif TESDEC, Mohd Iskandar Muhammad Aziz. Terdahulu, Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam dalam ucapan perasmiannya berkata, Kerajaan Negeri sentiasa peka dengan perkembangan pendidikan dan latihan yang berlaku di Terengganu dalam memastikan setiap graduan yang dilahirkan oleh institusi di negeri ini sentiasa mendapat tempat dalam industri dan sektor memerlukan. Katanya, kolaborasi dengan pemain industri sentiasa dijalankan bagi mewujudkan kesinambungan jalinan saling melengkapi daripada aspek keterampilan graduan selaras dengan keperluan guna tenaga dalam industri. "Pada masa yang sama juga, kerajaan melalui Terengganu Skills (TESDEC) turut menawarkan program berbentuk 'reskilling' dan peningkatan tahap kemahiran yang lebih kompetitif," ujarnya.  
03 Nov 23
185
Empat Graduan PHT Terima Anugerah Pengarah
Empat Graduan PHT Terima Anugerah Pengarah
HULU TERENGGANU, 30 Oktober – Seramai empat graduan Politeknik Hulu Terengganu (PHT) dianugerahkan sebagai pelajar cemerlang dengan menerima Anugerah Pengarah di Majlis Konveksyen PHT ke-9 bertempat di Dewan Batu Bersurat, Kampus Baharu PHT, Kuala Jeneris di sini semalam. Pengarah PHT, Azahan Daud berkata penerima tersebut adalah Fatin Syazwani Ismail bagi Sesi I 2021/2022, Nur Ismie Mohammed Iskandar bagi Sesi II 2021/2022. Sementara itu katanya, Muhammad Izrie Roslan penerima bagi Sesi I 2022/2023 manakala Siti Zawani Zakaria untuk Sesi II 2022/2023. "Seramai 146 graduan diraikan di majlis itu dengan masing-masing menerima penganugerahan Diploma Pengurusan Pelancongan dan Diploma Akauntansi. "Majlis Konvokesyen kali ini menyaksikan seramai 93 daripada graduan Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti manakala 53 graduan lagi daripada graduan Jabatan Perdagangan layak menerima diploma masing-masing untuk sesi I 2021/2022 hingga sesi II 2022/2023," jelasnya dalam satu kenyataan media hari ini. Menurut Azahan lagi, PHT merupakan institusi yang diberi pengiktirafan persijilan MS ISO 9001:2015, membuktikan bahawa institusi itu menawarkan perkhidmatan yang mencapai piawaian standard dan berkualiti. "Berpaksikan tema konvokesyen pada kali ini, ‘Graduan TVET Sinergi Pemacu Pembangunan Negara, PHT akan terus mengorak langkah aktif dan proaktif bagi menuju dan melonjak menjadi sebuah penyedia pendidikan TVET yang berkualiti dan melahirkan graduan berkualiti dan seimbang serta bercirikan keusahawanan yang berdaya saing di peringkat global," katanya. Tambah beliau, PHT bersama para pensyarah dan warga kerja akan terus memperkasa dan membudayakan bidang penulisan, penyelidikan dan inovasi (R&D) dengan memasuki pertandingan dan pembentangan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Jelasnya, rangkaian kerjasama bersama lebih 47 rakan industri dan agensi kerajaan mahupun swasta dengan jalinan COC berkaitan akan terus diperkukuhkan. "Pihak industri antara lain berperanan dalam menjadikan kurikulum program pengajian yang ditawarkan oleh PHT sentiasa relevan dari semasa ke semasa dan mengikuti kehendak industri," jelasnya lagi.
30 Oct 23
409
Terengganu Sokong Belia Pacu Langkah Memajukan Negeri
Terengganu Sokong Belia Pacu Langkah Memajukan Negeri
KUALA NERUS, 28 Oktober - Kerajaan negeri berharap persatuan-persatuan belia di Terengganu terus memacu langkah memajukan anak-anak muda tempatan. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri memberi komitmen untuk bersama-sama memajukan belia. "Kita sangat terbuka untuk melaksanakan apa jua program untuk memperkasakan belia. "Saya percaya, mereka telah melaksanakan apa yang terbaik dengan kapasiti yang ada, namun saya juga percaya mereka perlu meneroka lebih jauh supaya belia di Terengganu sampai bukan sahaja ke peringkat kebangsaan,tetapi juga antarabangsa," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Festival Perkampungan Belia Terengganu 2023 di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, di sini hari ini. Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim dan Timbalan Ketua Pengarah (Bahagian Pembangunan Belia) Kementerian Belia dan Sukan(KBS), Dr. Zainah Shariff. Turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Terengganu, Asmadi Mohamad serta Presiden Majlis Belia Negeri Terengganu, Anas Hazizul Muhamad. Tambahnya, beliau maklum tentang pencapaian membanggakan persatuan-persatuan belia di Terengganu sebelum ini dan berharap ia diteruskan dengan lebih agresif. Anugerah bagi kategori Pertubuhan Belia dimenangi oleh Persatuan Belia (MBFM) Felda Kerteh 3 yang membawa pulang hadiah RM10,000 beserta piala dan sijil. Dalam festival yang berlangsung selama dua hari itu juga, pelbagai aktiviti diadakan seperti sukan, kebudayaan, kesukarelawan dan segmen keagamaan.      
28 Oct 23
216
UMT Rai 2,388 Graduan
UMT Rai 2,388 Graduan
KUALA NERUS, 23 Oktober - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) meraikan 2,388 graduan dengan penuh istiadat dan gilang gemilang dalam Majlis Konvokesyen UMT Kali Ke-21 yang berlangsung selama enam sesi bermula 22 hingga 24 Oktober depan. Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultanah Nur Zahirah berkenan membuka sidang pertama Majlis Konvokesyen UMT di Dewan Sultan Mizan, UMT semalam. Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar berkata, ia membabitkan 46 orang penerima Ijazah Doktor Falsafah, 150 orang penerima Ijazah Sarjana, 2081 orang penerima Ijazah Sarjana Muda dan 111 orang penerima Diploma.  Katanya, buat julung kali UMT memperkenalkan Anugerah Khas Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)   kepada pelajar yang telah mencapai keputusan yang cemerlang dalam bidang pengajian mereka di UMT. "UMT kini telah beralih dari fasa transisi daripada universiti baharu kepada universiti yang lebih matang. Banyak cabaran dan perubahan yang telah kita lalui untuk berada di tahap ini.  "Bagi memainkan peranan yang lebih signifikan sebagai sebuah universiti marin berfokus, UMT tekad untuk terus komited, berkembang dan kekal menjadi pilihan pelajar untuk melanjutkan pengajian di peringkat tinggi," katanya dalam ucapan alu-aluan. Tambahnya, UMT juga meraikan Graduan Sulong bagi Program Sarjana Muda Operasi Maritim Dengan Kepujian seramai 13 orang, Sarjana Muda Sains Komputer (Komputeran Mudah Alih) seramai 19 orang dan Sarjana Muda Sains (Geosains Marin) seramai 33 orang.  Beliau berkata,  UMT berbesar hati untuk menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pemuliharaan dan Pengurusan Biodiversiti, kepada Yang Berbahagia Profesor Emeritus Dato Dr. Abdul Latiff Mohamad. "UMT juga turut menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan, kepada Yang Berbahagia Dato Sri (Dr.) Michael Tio. "Anugerah-anugerah ini diberikan bagi mengiktiraf sumbangan tokoh dalam bidang masing-masing," katanya. Dalam majlis ini juga UMT turut memberi penganugerahan kepada penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Anugerah Pingat Emas Canselor, Anugerah Pro Canselor, Anugerah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti dan Anugerah Naib Canselor (Terbaik Pusat Pengajian). Manakala Anugerah Khas PTPTN dan Anugerah Graduan Terbaik Diploma merupakan anugerah yang julung kali diperkenalkan dalam Majlis Konvokesyen UMT.  
23 Oct 23
267
Usia dan Kesibukan Kerja Bukan Penghalang Genggam PhD
Usia dan Kesibukan Kerja Bukan Penghalang Genggam PhD
KUALA NERUS, 22 Oktober – Meskipun ayahnya sudah tiada di dunia, Dr. Abdullah Sulaiman  tetap menunaikan impian arwah yang mahu melihatnya belajar sehingga ke peringkat tertinggi. Beliau yang baru sahaja mendapat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Kali Ke-21 di sini meluahkan rasa terharu dan syukur. Abdullah, 54, berasal dari Pasir Mas, Kelantan menyifatkan pengorbanan menyambung pengajian ke peringkat tertinggi demi menyahut cita-citanya sejak dibangku sekolah selain menunaikan hasrat ibu dan arwah ayah untuk mengubah nasib keluarga melalui pendidikan. "Ayah hanya seorang penoreh getah dan ibu, Siti Jarah Che Jusoh pula menjadi guru al-Quran di kampung. Hidup memang sudah umpama 'kais pagi, makan pagi dan kais petang, makan petang'...makan bercatu itu sudah menjadi lumrah kami sekeluarga. “Kami ingat pesanan ayah yang menggalakkan kami untuk belajar setinggi yang mungkin.. katanya pelajaran boleh mengubah nasib hidup sebab itu walaupun terpaksa menelaah menggunakan pelita ayam dan mandi perigi serta makan bercatu, ayah tetap tak nak kami adik beradik keciciran dalam pelajaran. “Tiap pagi bangun sebelum subuh membawa pelita ayam ke perigi untuk mandi. Bergilir-gilir sehingga kesemuanya selesai mandi barulah balik ke rumah. Itulah rutin harian kami setiap hari sebelum ke sekolah. Waktu tu kampung saya masih belum ada bekalan elektrik dan air sehinggalah pada tahun 1984 semasa saya di tingkatan tiga,”ujarnya. Tambahnya, jika arwah ayah mereka masih hidup, pasti dia tersenyum bangga melihat kami lapan beradik akhirnya berjaya menjejakkan kaki ke menara gading. Dua antaranya berjaya melanjutkan pengajian ke United Kingdom dan Amerika Syarikat. "Saya harap kejayaan ini dapat dijadikan inspirasi kepada golongan miskin di luar sana agar tidak mudah berputus asa dalam mengejar impian mereka. “Dengan ilmu kita mampu mengubah nasib keluarga”, ujar bapa kepada tujuh orang anak ini Beliau yang juga Timbalan Ketua Pengarah di Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) berpegang teguh kepada prinsip ‘Tuntutlah ilmu hingga ke negeri China’.  Berpengalaman dalam bidang geologi selama 30 tahun serta mempunyai kepakaran dalam geologi marin selama 25 tahun, kepakaran Abdullah diangkat oleh UMT dengan melantikknya sebagai Profesor Adjung UMT pada Januari 2022 dan ditempatkan di Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS). Abdullah  kini merupakan Ahli Geologi profesional dan membawa gelaran Professional Geologist (P.Geol). Antara sumbangan beliau ialah  melalui kerjasama JMG dan UMT pada tahun 2019 hingga tertubuhnya jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Geosains Marin) yang pertama di Malaysia dan Asia Tenggara.  
23 Oct 23
458
Sultanah Nur Zahirah Titah Graduan Jaga Nama Baik Universiti
Sultanah Nur Zahirah Titah Graduan Jaga Nama Baik Universiti
KUALA NERUS, 22 Oktober- Graduan diingatkan agar sentiasa menjaga citra dan nama baik universiti. Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah bertitah, sebagai duta kecil dalam masyarakat, graduan perlu menunjukkan adab dalam kehidupan bermasyarakat serta hidup dengan pekerti yang mulia sebagaimana filsafat seni motif flora ukiran Melayu. Baginda yang juga Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bertitah, graduan perlu gunakan ilmu yang diperoleh sebaik-baiknya agar dapat memberikan manfaat kepada manusia dan hidupan sejagat.  "Pikullah amanah dan tanggungjawab dalam memberi khidmat bakti kepada negara, bangsa dan agama," titah Baginda pada Majlis Konvokesyen Ke-21 UMT Tahun 2023 (Sidang Pertama), di sini, hari ini. Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin turut berkenan berangkat untuk meraikan graduan pada majlis itu. Pada majlis tersebut, Sultanah Nur Zahirah berkenan menyampaikan Ijazah Kehormat Doktor Pemuliharaan dan Pengurusan Biodiversiti, Fakulti Sains dan Sekitaran Marin kepada Prof. Emeritus Dato' Dr. Abdul Latiff Mohamad.  Baginda turut berkenan menyampaikan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan, Fakulti Pengajian Maritim kepada Dato' Seri (Dr.) Michael Tio. Pada majlis konvokesyen UMT kali ini, seramai 2,388 graduan diraikan, terdiri daripada 196 graduan pasca siswazah iaitu 46 graduan PHD dan 150 graduan sarjana. Manakala seramai 2,192 graduan pra siswazah terdiri daripada 2,081 graduan sarjana muda dan selebihnya 111 graduan diploma.  Titah Sultanah Nur Zahirah, sebagai Canselor, Baginda berbangga dengan pencapaian ditempa UMT yang telah berjaya meraih pencapaian 5 Bintang dalam Penarafan Malaysia Research Assessment (MyRA) pada tahun 2022.  "Pencapaian ini telah membuktikan, walaupun pada usia yang masih muda UMT sudah setanding dengan universiti-universiti terkemuka di negara ini.  "Beta juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada UMT yang telah dipilih sebagai hos penempatan Penyandang Kursi Sains Antartika Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) dan telah menerima peruntukan sebanyak RM500,000 sebagai Dana Pemula Aktiviti Kursi ini.  "Beta berharap ini akan menyemarakan lagi kecemerlangan akademik dalam bidang Sains Antartika di UMT dan memberikan impak yang membanggakan kepada penyelidikan Antartika Malaysia di peringkat antarabangsa, " titah baginda.  Baginda bertitah, graduan yang dilahirkan oleh UMT diharap dapat memenuhi keperluan tenaga kerja di industri, bukan hanya di peringkat tempatan bahkan di peringkat global.
22 Oct 23
432
Anak Tuaran Penerima Anugerah Pingat Emas Canselor UMT
Anak Tuaran Penerima Anugerah Pingat Emas Canselor UMT
KUALA NERUS, 22 Oktober - Anak juruteknik antara graduan yang menerima Ijazah Sarjana Muda Sains (Biologi Marin) dengan kepujian dan diraikan pada Majlis Konvokesyen Ke-21 Universiti Malaysia Terengganu (UMT) , di sini, hari ini. Brendon Vun Man Fook, 24, dari Tuaran, Sabah juga merupakan penerima Anugerah Pingat Emas Canselor yang disampaikan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang merupakan Canselor UMT pada sidang pertama majlis konvokesyen berkenaan di Dewan Sultan Mizan, UMT. Brendon Vun berkata, dia mendedikasikan anugerah itu kepada bapa, Vun Fook Nam @ Peter dan ibunya Lisda Lutong yang juga suri rumah serta para pensyarah kerana tidak jemu membantu serta mendorongnya sehingga tamat pengajian. “Saya sangat gembira, pencapaian ini di luar jangkaan saya dan bersyukur kerana diberi peluang untuk menjadi Penerima Anugerah Pingat Emas Canselor UMT,” ujarnya kepada pemberita. Anak kedua dari lima beradik itu adalah antara 2,388 graduan UMT yang diraikan dalam Majlis Konvokesyen Ke-21 yang berlangsung selama enam sesi bermula hari ini hingga Selasa depan. Berkongsi kisah, Brendon Vun berkata, di UMTlah dia menggunakan sepenuhnya peluang yang ada dan memperoleh pencapaian akademik yang sangat cemerlang dengan meraih Sijil Kepujian Dekan sebanyak enam semester sepanjang tempoh pengajian.  “Dulu dulu saya kurang sedikit dari segi belajar sebab bagi saya yang dari luar bandar ini, isu pendidikan di pekan tempat saya tinggal agak mencabar. “Kita budak luar bandar, kurang ‘role model’, jadi bila dapat peluang sambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi, saya mula ‘expose’ dan cabar diri bahawa pendidikan itu sepatutnya diterima sama rata oleh semua dan saya sangat bertuah pensyarah UMT banyak mainkan peranan dan setiasa beri peluang dan sokong pelajar," ujarnya. Brendon Vun berkata, dia memulakan pendidikan awal di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chen Sin, Tuaran, dan seterusnya menyambung persekolahan ke peringkat menengah di Sekolah Menengah St. John, Tuaran.  Kecemerlangan yang diperoleh dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah melayakkannya melanjutkan pelajaran di Kolej Matrikulasi Labuan seterusnya menyambung pengajian dalam program Sarjana Muda Sains (Biologi Marin) dengan kepujian di Fakulti Sains Sekitaran Marin (FSSM), UMT pada sesi akademik 2019/2020.  Bukan itu sahaja, Brendon Vun juga telah beberapa kali mewakili negara ke peringkat antarabangsa dengan menyertai Intravarsity Leadership Programme 2023 yang diadakan di Indonesia, “Make The Case” Student Case Study Competition 2022 yang dianjurkan oleh City University of Hong Kong dan SMART 3.0 Online Pitch Competition 2021 anjuran National Cheng Kung University, Taiwan.  Selain itu, Brendon Vun bersama-sama ahli kumpulannya turut menjuarai pertandingan Ocean Challenge bagi kategori antarabangsa yang diadakan di Taiwan pada 2022.  Pada tahun 2022 juga, dia telah menjadi salah seorang fasilitator dalam Akademi Impact 2022 - Edisi Jaguh Bumi! yang bekerjasama dengan Youth Environment Living Labs (YELL), sebuah program kerjasama United Nations Development Programme (UNDP) dan United Nations Children’s Fund (UNICEF) dengan sokong Amanah Lestari Alam (ALAM).  Sepanjang bergelar mahasiswa, bakat kepemimpinannya amat terserlah dan telah diberi kepercayaan untuk menyandang beberapa jawatan antaranya ialah Bendahari Kehormat Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2021/2022, EXCO Protokol Kelab Mahasiswa/wi Sabah (KEMASIS) selain menganggotai Majlis Tertinggi bagi beberapa program antaranya Jiwa Anak Malaysia 2022 dan Minggu Jalinan Mesra kemasukan Diploma & Asasi sesi 2021/2022.   
22 Oct 23
2274
PETRONAS Taja 107 Pelajar Terengganu Cemerlang SPM
PETRONAS Taja 107 Pelajar Terengganu Cemerlang SPM
KUALA TERENGGANU, 14 Oktober – Seramai 107 pelajar di Terengganu yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu menerima penajaan pendidikan PETRONAS melalui Program Memperkasakan Ilmu Penajaan Pendidikan PETRONAS 2023. Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly berkata, mereka adalah sebahagian daripada 600 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 seluruh negara yang menerima penajaan bernilai RM 340 juta.   "Program Memperkasakan Ilmu Penajaan Pendidikan PETRONAS merupakan komitmen berterusan PETRONAS di dalam aspek Pembangunan modal insan. “PETRONAS yakin bahawa pelaburan di dalam bidang pendidikan melalui akses kepada pendidikan berkualiti, bukan sahaja mampu membantu menghasilkan tenaga kerja profesional, bahkan juga menyumbang kepada pembangunan negara pada masa hadapan,”ujarnya dalam satu kenyataan hari ini. Majlis penganugerahan disampaikan oleh Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Mohd Bakke Salleh di dalam satu majlis yang diadakan di ibu negara.  Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri Terengganu, Ahmad Shah Muhamed dan Pengarah Tanah Dan Galian Terengganu, Dato’ Haji Ishamudin Hashim. Menurutnya lagi, setiap penerima terpilih, akan menerima tajaan pengajian asasi sehingga ijazah pertama di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) serta universiti-universiti tempatan dan luar negara seperti di Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, New Zealand, China, Jepun, dan Korea Selatan. “Mereka yang terpilih bakal mengikuti kursus di dalam bidang Kejuruteraan Kimia, Kejuruteraan Petroleum, Kejuruteraan Mekanikal, Geofizik, Perakaunan, Pemasaran dan Undang-undang.  “Selain daripada itu, PETRONAS juga telah memperluaskan penajaannya merangkumi bidang Sains Data, dan Kejuruteraan Data,”ujar beliau. Tambahnya, semenjak dilaksanakan pada tahun 1975, secara keseluruhannya PESP telah memberi manfaat kepada lebih daripada 38,000 orang pelajar dengan nilai perbelanjaan lebih RM3.5 bilion.  
15 Oct 23
580
Kerajaan Terengganu Komited Sifarkan Keciciran Pelajar Ke IPT
Kerajaan Terengganu Komited Sifarkan Keciciran Pelajar Ke IPT
KUALA TERENGGANU, 25 September - Yayasan Terengganu melancarkan Program Karnival Pelajar Terengganu Sifar Keciciran Ke IPT 2023 bagi memastikan pelajar-pelajar di Terengganu dapat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi tanpa sebarang halangan. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, penganjuran program itu adalah hasil daripada kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Terengganu dan Yayasan Terengganu (YT) yang memberi sokongan yang padu bagi memastikan lebih ramai pelajar di negeri ini dapat mengejar pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. "Ia sekaligus memberi faedah serta termasuklah penambahan tawaran dan insentif yang akan memberi kelebihan dan manfaat kepada pelajar-pelajar dalam usaha menarik minat mereka. "InsyaAllah kita akan memastikan promosi serta akses berkaitan peluang melanjutkan pengajian dapat disebarkan secara lebih berkesan kepada seluruh rakyat Terengganu," katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Karnival Pelajar Terengganu Sifar Keciciran Ke IPT 2023 di tingkat 2 Kuala Terengganu City Centre Mall, semalam. Menurut beliau, pendidikan serta kemahiran berkualiti adalah tunjang utama dalam melahirkan pemimpin berwibawa dan menjamin kestabilan sosioekonomi dan ia adalah asas kepada pembentukan masyarakat yang lestari malah menjadi elemen terpenting dalam agenda pembangunan negeri. "Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa menitikberatkan pembangunan modal insan berkualiti selaras dengan Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS 2030) yang memastikan dapat  melahirkan golongan profesional dan teknokrat yang kini menjadi tenaga penggerak utama dalam pelaksanaan pelbagai rancangan pembangunan negeri. "Besar harapan agar kita dapat mencapai matlamat tersebut dan teruskan memberi dorongan kepada pelajar-pelajar Terengganu untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran mereka serta menyumbang kepada kemajuan negeri kita, ujarnya lagi.
25 Sep 23
626