lightning-solid
Berita :

Artikel "Pendidikan" Terkini

e-KPTT Mudahkan Lepasan SPM Dapatkan Maklumat
e-KPTT Mudahkan Lepasan SPM Dapatkan Maklumat
DUNGUN, 25 September - Portal e-Kemasukan Pengajian Tinggi Terengganu (e-KPTT) berperanan sebagai laman sesawang "One Stop Centre" yang menyediakan pelbagai kemudahan untuk lepasan SPM mendapatkan maklumat berkaitan kemasukan ke institusi pengajian tinggi dan pusat kemahiran negeri. Inisiatif terkini menyelaraskan semua tawaran kursus pengajian dari semua institusi pengajian tinggi negeri Terengganu telah dilancarkan oleh Yayasan Terengganu (YT). Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat mengucapkan tahniah kepada YT atas usaha mereka yang telah memacu kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi negeri dan pusat kemahiran negeri menerusi laman sesawang tersebut. "e-KPTT memudahkan para lepasan pelajar SPM agar tidak perlu lagi melayari pelbagai laman sesawang institusi berbeza untuk mendapatkan maklumat tentang tawaran kursus. Semuanya boleh didapati di satu tempat sahaja," katanya. Jelasnya, portal ini akan memaparkan senarai lengkap kursus yang ditawarkan oleh semua institusi pengajian tinggi negeri Terengganu, termasuk universiti dan kolej-kolej komuniti. "Para lepasan SPM hanya perlu memasukkan maklumat seperti kelayakan akademik dan bidang pengajian yang diminati, dan portal ini akan menyediakan senarai tawaran kursus yang sesuai, jelasnya lagi. Beliau berkata demikian ketika meramikan Majlis Pelancaran Portal e-Kemasukan Pengajian Tinggi Terengganu (e-KPTT) di KTCC Mall, semalam. Selain itu katanya, calon pelajar juga akan mendapat maklumat berkaitan tempoh pengajian, yuran pengajian, dan syarat-syarat kemasukan untuk setiap kursus yang ditawarkan. "Ini akan memudahkan calon pelajar untuk membuat pilihan yang bijak berkaitan dengan pengajian mereka", ujarnya lagi. Sehubungan dengan itu, pihak pengurusan Portal e-KPTT daripada YT juga perlu memastikan laman sesawang ini adalah mudah digunakan dan mesra pengguna. Ia juga menyediakan saluran komunikasi untuk pengguna yang memerlukan bantuan atau maklumat lanjut tentang proses kemasukan. "Dengan pelancaran Portal e-KPTT ini, diharapkan akan meningkatkan kesedaran dan aksesibiliti kepada pelbagai tawaran pengajian tinggi yang terdapat di negeri Terengganu "Diharap ibu bapa juga akan dapat membuat keputusan yang lebih tepat berkenaan pilihan pengajian mereka, dan ini akan menyumbang kepada peningkatan pendidikan dan pembangunan insan di negeri ini," katanya.
25 Sep 23
431
Terengganu Sokong Usaha Martabatkan STEM
Terengganu Sokong Usaha Martabatkan STEM
KUALA TERENGGANU, 20 September - Kerajaan negeri sentiasa menyokong sebarang usaha bagi memartabatkan bidang Sains, Teknologi Kejuruteraan, Matematik (STEM) melalui pelbagai program. Tengku Seri Bijaya Raja, Setiausaha kerajaan Negeri berkata, menerusi pemerkasaan bidang berkenaan ia akan menjadikan Terengganu sebagai sebuah negeri yang maju. Ini kerana katanya, langkah tersebut mampu meningkatkan kualiti pendidikan yang akan melahirkan para ilmuan dalam bidang terbabit. "Memandangkan dunia telah bersaing dan rancak mengusahakan pemodenan teknologi maklumat bagi menuju 'Fourth Indutrial Revolution'. "Negeri Terengganu juga perlu memandang jauh ke hadapan supaya kita tidak ketinggalan dalam melahirkan saintis dan pakar-pakar bidang professional," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap semasa menyempurnakan Majlis Penutupan 'Spark Your Creativity Challenge 2023' di Pusat Sains kreativiti Terengganu (PSKT), di sini, semalam. Mengulas mengenai program berkenaan katanya, ia merupakan salah satu usaha PSKT menggalakkan para pelajar untuk terlibat secara langsung dalam membudayakan pendidikan STEM. "Di mana pelajar-pelajar sekolah dari negeri ini saling bertanding untuk rekacipta dan inovasi, pada tahun ini melibatkan 200 peserta. "Melalui penganjuran ini yang telah memasuki tahun kelima, saya ingin mengambil kesempatan merakamkan ucapan terima kasih kepada ExxonMobil Malaysia kerana setiap tahun telah memberi sumbangan kepada kerajaan negeri terutamanya dalam bidang pendidikan. "Saya difahamkan PSKT telah menerima sumbangan sektor korporat sebanyak RM50,000 bagi tahun 2023," ujarnya lagi. Untuk rekod pada tahun ini PSKT telah mengetengahkan pertandingan 'Inovasi Dron Kepada Industri' bagi memperkenalkan murid dengan teknologi dron seiring dengan Revolusi Industri 4.0.   
20 Sep 23
450
Kolej Matrikulasi Perlu Diwujudkan di Terengganu
Kolej Matrikulasi Perlu Diwujudkan di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 13 September - Kerajaan Pusat digesa agar mewujudkan Kolej Matrikulasi di Terengganu dalam masa terdekat. Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, beliau dimaklumkan bahawa perancangan untuk mewujudkan institusi berkenaan dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK) pada tahun 2009. "Sejak RMK-9 dahulu kerajaan mengumumkan untuk membina tiga buah Kolej Matrikulasi baharu yang akan dibina di Terengganu, Kelantan dan Sabah. "Di Kelantan telah pun siap dan telah pun dibuka, tetapi di Terengganu sampai sekarang masih tidak ada lagi. "Saya berharap kalau boleh dalam masa terdekat ini ada (dibina) satu dahulu pun tidak apa," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Dewan Rakyat, di Putrajaya, semalam. Tambah Ahmad Amzad, pendidikan di Terengganu sehingga hari ini sentiasa cemerlang dengan mencatat keputusan terbaik dalam Peperiksaan Awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan sebagainya. Untuk rekod pada tahun 2016, telah dijanjikan untuk dibuka di Ajil dan pada tahun 2017 dijanjikan pula untuk dibuka di Serating, Marang.
13 Sep 23
1469
Kursus Intensif Khas Dedah Pelajar Dengan Timur Tengah
Kursus Intensif Khas Dedah Pelajar Dengan Timur Tengah
KUALA TERENGGANU, 7 September- Seramai 143 pelajar yang mengikuti Kursus Intensif Khas Pelajar Terengganu Ke Timur Tengah Sesi 2023 bakal berangkat ke institusi pengajian masing- masing termasuk di Jordan dan Mesir bermula 9 September ini.  Kesemua pelajar yang terlibat adalah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dari seluruh negeri ini.  Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, kursus selama tiga hari itu bertujuan meningkatkan penguasaan pelajar dalam mempelajari Bahasa Arab melalui penulisan dan komunikasi serta memahami adat budaya dan nilai-nilai masyarakat di Timur Tengah. "Saya mewakili kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada jabatan yang terlibat dengan penganjuran program ini termasuk Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT), Yayasan Terengganu, Maidam serta UniSZA yang telah memberikan kerjasama yang baik.  "Melalui program khas ini, pelajar mendapat pendedahan awal dalam mempelajari ilmu berkenaan 'bahasa pasar' dan juga budaya Timur Tengah kerana perkara ini tidak diterapkan semasa pembelajaran di sekolah," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyempurnakan Majlis Penutup Kursus Intensif Khas Pelajar Terengganu Ke Timur Tengah Sesi 2023 di Dewan Dato' Seri Tuan Guru, DITC Kemaman, hari ini. Satiful berkata, kerajaan negeri amat komited dalam membantu anak Terengganu yang cemerlang meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. "Ini termasuk peruntukan sebanyak RM5 juta setahun yang kita peruntukkan kepada pelajar cemerlang melanjutkan pelajaran bermula tahun 2018. "Hasrat kita adalah untuk memastikan tiada pelajar cemerlang yang tidak dapat melanjutkan pelajaran disebabkan masalah kewangan," ujarnya.   
07 Sep 23
261
ILMAM Perkukuh Kerjasama Dengan Kerajaan Negeri
ILMAM Perkukuh Kerjasama Dengan Kerajaan Negeri
KUALA TERENGGANU, 7 September - Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) negeri Terengganu mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi bertujuan menjalin hubungan dan berkongsi maklumat terkini pertubuhan tersebut. Sempena kunjungan tersebut Dr Muhammad Khalil mengharapkan ILMAM Terengganu melahirkan ramai lagi graduan kerana mereka adalah aset ilmuan negeri Terengganu. "Semoga dengan kunjungan ini, sedikit sebanyak membantu ILMAM dalam melahirkan ramai lagi graduan kerana mereka ini adalah aset kepada negeri apabila pulang ke tanah air bersama ilmu di dada," katanya dalam satu kenyataan di media sosial hari ini. Sementara itu Setiausaha ILMAM Terengganu, Khairul Ammarnuzam Khamaruzan berkata ahli ILMAM Terengganu berdaftar berjumlah seramai 59 orang dan dijangka bertambah sedikit masa lagi. Justeru beliau menyeru lepasan pusat pengajian tinggi Mesir dari Terengganu menyertai ILMAM seberapa segera yang boleh bagi membina jalinan hubungan ukhuwwah Islamiyah sesama ahli dan mengatur agenda bersama kerajaan negeri bagi membina Terengganu Maju Berkat dan Sejahtera. Katanya ILMAM menyediakan borang permohonan ahli secara atas talian untuk memudahkan mereka berkenaan mendaftarkan diri. Pendaftaran boleh dibuat di https://ilmamterengganu2u.blogspot.com/?m=1
07 Sep 23
246
Hasrat Bantu Lebih Ramai Orang Dorong Pengamal Perubatan Jadi 'TikTokers'
Hasrat Bantu Lebih Ramai Orang Dorong Pengamal Perubatan Jadi 'TikTokers'
KUALA TERENGGANU, 25 Ogos- Hasrat untuk menjadi orang yang memberi manfaat mendorong pengamal perubatan, Dr Ahmad Samhan Awang, 37, bergiat sebagai pencipta kandungan di aplikasi Tik Tok serta media sosial lain bagi menyampaikan ilmu serta maklumat berkaitan kesihatan kepada masyarakat. Menurut pemilik kepada tujuh buah klinik itu, usaha yang dimulakan ketika pandemik COVID-19, dua tahun lalu memberi kepuasan tersendiri kepadanya. "Aplikasi ini saya lihat suatu ketika dahulu terkenal dan dipenuhi 'content' joget-joget, saya terfikir mengapa tidak saya gunakan ia untuk berkongsi ilmu?  "Jadi, saya mula kongsikan dalam semua media sosial saya terutama Tik Tok dan ramai suka serta memberikan reaksi balas yang baik membuatkan saya rasa tertarik untuk terus memberi manfaat kepada lebih ramai orang menerusi alam maya," katanya. Hasil pendekatan tersebut menjadikan beliau pempengaruh terkenal yang mempunyai 1.5 juta pengikut di TikTok, 645,000 (Facebook),240,000 (telegram), 165,000 (Instagram) dan 70,000 (Twitter). Dalam masa sama, Dr. Samhan juga dipilih sebagai salah satu calon yang berentap dalam Anugerah TikTok 2023 bagi kategori Best Of Education, yang berlangsung Ahad ini. "Kadang-kadang untuk membuat kandungan ini tidak mudah, saya bermula merakam, menyunting dan memuat naik sendiri, tetapi setiap kali saya rasa lelah saya akan tanya diri kenapa saya bermula. "Salah satu sebabnya ialah saat ketika saya hampir hilang nyawa akibat tersedak susu soya yang dimasukkan melalui hidung selepas saya selesai menjalani pembedahan membuang tulang rahang akibat Ameloblastama (penyakit tulang rahang pipi) pada tahun 2016. "Ketika itu, saya tidak dapat bercakap kerana leher ditebuk dan gigi diikat, saya hanya mampu berdoa pada Allah SWT sekiranya saya ditakdirkan mati, saya memohon pengakhiran yang baik. "Tetapi, jika dipanjangkan umur jadikan saya orang yang memberi manfaat. Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT saya dipanjangkan umur," katanya. Pengasas Forhimclinic.com itu kini gembira dengan penglibatan lebih ramai pengamal perubatan yang berkongsi ilmu di media sosial. Tambahnya, ia secara tidak langsung akan memberi kesedaran kepada masyarakat berkaitan kesihatan. "Rakyat Malaysia memang sangat dahagakan ilmu terutama berkaitan kesihatan dan sering mencari tips kesihatan untuk menjadi sihat. "Sekarang sudah ramai doktor yang berkongsi, saya tengok dan sangat gembira apabila lebih ramai dapat memberi manfaat untuk masyarakat dapat maklumat dan ilmu walaupun tidak datang berjumpa doktor. "Ini sekurang-kurangnya membantu mengelakkan mereka berbuat sesuatu yang salah (tentang kesihatan diri) atau mengambil rawatan yang tidak sepatutnya," katanya.        
25 Aug 23
273
Lebih 50,000 Rakyat Sertai Himpunan Bicara Murabbi Ummah
Lebih 50,000 Rakyat Sertai Himpunan Bicara Murabbi Ummah
KUALA TERENGGANU, 19 Ogos- Dianggarkan lebih 50,000 pengunjung hadir ke Himpunan Bicara Murabbi Ummah Terengganu Sejahtera yang dianjurkan kerajaan negeri semalam. Menjadi antara program terawal diadakan selepas pembentukan kerajaan yang baru dilantik, himpunan berkenaan merupakan antara manifestasi kepimpinan negeri kepada rakyat.  Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kehadiran lautan manusia di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu menyaksikan kecintaan rakyat negeri tersebut kepada alim ulama, kepada majlis-majlis ilmu, kepada perjuangan untuk mendaulat syariat islam yang menyeluruh di bumi Darul Iman. "Program malam ini diadakan bersempena Hari Kemerdekaan, satu platform yang sangat penting untuk kita menunjukkan kecintaan kita kepada negara, agama dan golongan yang mendukung agenda islam dalam negara. "Himpunan malam ini, tidak lain adalah manifestasi kepimpinan kerajaan negeri yang baru sahaja dibentuk di mana misinya sudah tentu bagi menonjolkan seriusnya urus tadbir kerajaan negeri dan agensi-agensi kerajaan yang menumpukan gabungan antara pembangunan manusiawi dan pembentukan modal insan secara holistik," katanya ketika berucap mewakili Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum merasmikan program itu, semalam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk itu turut mengambil kesempatan merakamkan ucapan terima kasih kepada rakyat, terutama golongan muda yang mengekalkan PAS sebagai pentadbir negeri Terengganu. Beliau menambah, usaha yang dilakukan hanyalah sedikit dan sangat kecil disebalik kurniaan dari Allah SWT atas kemenangan tersebut. "Saya bergembira menerima kejayaan anugerah dari Allah SWT. Islam memberi panduan agar tidak leka dengan semua itu kerana segala-galanya adalah dengan keizinan dari-Nya. Atas dasar itulah terlaksananya program munajat sebegini sebagai simbolik kesyukuran. "Kami di peringkat kepimpinan yang dipilih rakyat akan terus berusaha menunaikan janji manifesto kerana rakyat Terengganu menyakini bahawa dalam sepenggal pemerintahan yang lepas, terbukti janji tawaran dan manifesto dapat dilaksanakan dan apa yang lebih penting adalah usaha mendaulat syariat Islam di bumi Terengganu ini akan terus diperkasakan," katanya. Himpunan yang berlangsung seawal Maghrib itu menampilkan Ustaz Wadi Anuar, Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Ahmad Rizam Ghazali dan Munif Hijjaz dalam tiga sesi dimulakan dengan Selawat Zikir dan Qasidah, Bicara Santai dan Bicara Murabbi Ummah sebagai acara utama.      
20 Aug 23
2237
Terengganu Salur Hampir RM10 Juta Kepada Sekolah Agama Negeri
Terengganu Salur Hampir RM10 Juta Kepada Sekolah Agama Negeri
KUALA TERENGGANU, 25 Julai - Kerajaan Terengganu menyalurkan bantuan kewangan tahunan sebanyak RM9.9 juta kepada Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) pada tahun lalu. Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata, peruntukan itu melibatkan 10 buah SMAN termasuklah SMA Sultan Zainal Abidin Ladang, SMA Khairiah, SMA Sultan Zainal Abidin, SMA Maarif Besut, SMA Setiu, SMA Mahmudiah, SMA Al Falah dan SMA Marang yang beroperasi di negeri terbabit. “Dana itu kita salurkan setiap tahun bermula 2018, jumlahnya berbeza mengikut keperluan masing-masing. “Data yang dinyatakan ini juga bagi menjawab tohmahan pihak tertentu yang mengatakan tiada bantuan fiskal/infrastruktur kepada SMAN sejak PAS mentadbir Terengganu tahun 2018,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini. Sementara itu, Satiful turut berkata, kerajaan negeri telah membelanjakan RM13.7 juta bagi pengoperasian Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) dan RM3.9 juta untuk Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI). “Manakala Madrasah Moden Terengganu, Maahad Tahfiz dan Tafaqquh Fi Din Tok Syeikh Duyong pula masing-masing menerima bantuan RM10.9 juta, RM4.9 juta dan RM0.7 juta. "Walaupun kerajaan sebelum ini telah menyerahkan SMAN dan Imtiyaz kepada Kementerian Pendidikan Malaysia dengan status SABK pd tahun 2015, tetapi kerajaan negeri masih lagi menanggung lebih 32 guru mengajar serta guru tasmi' bahkan terus membantu sekolah-sekolah ini demi melihat kecemerlangan anak-anak Terengganu terus dipertahankan. “Ini antara komitmen kita untuk terus mengangkat dunia pendidikan agama di Terengganu, setiap tahun kita beri peruntukan kepada sekolah-sekolah yang ada di bawah kita,” katanya. Dalam pada itu, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka itu, kerajaan negeri turut menyalurkan zakat pendidikan bernilai RM46.83 juta pada 2018, RM41.2 juta (2019) RM32.1 juta (2020), RM33.7 juta (2021) dan RM39.3 juta (2023).
26 Jul 23
194
Terengganu Peruntuk RM100 Juta Bina SM Imtiaz Marang
Terengganu Peruntuk RM100 Juta Bina SM Imtiaz Marang
MARANG, 18 Julai – Kerajaan Terengganu memperuntukkan RM100 juta bagi membina kompleks Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Yayasan Terengganu Marang di sini. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pembinaan tersebut akan dibina di atas tanah berkeluasan 40 hektar di Kampung Tok Muchong, Marang . Katanya, projek tersebut dijangka bakal siap sepenuhnya pada tahun 2027. "Kompleks yang menggabungkan konsep reka bentuk moden dan kontemporari itu mampu menempatkan seramai lebih 550 pelajar. “Setiap tahun Yayasan Terengganu menerima hampir 5,000 permohonan untuk memasuki Imtiaz namun hanya 10 peratus permohonan yang boleh diambil daripada jumlah itu," jelasnya. Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu bertempat di Tapak SMIYT Marang, Kampung Tok Muchong, Marang di sini hari ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Penerangan dan Dakwah Negeri, Dato' Mohd Nor Hamzah. Tambah Ahmad Samsuri, SM Imtiaz yang mula beroperasi pada 2017 kini sudah dikenali di merata tempat sebagai satu jenama dalam mencetak kecemerlangan pelajar. “Kini nama Imtiaz telah dikenali di serata dunia dan telah berkembang ke setiap daerah di Terengganu. “Kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian terhadap prestasi pelajar dan infrastruktur pendidikan Imtiaz menerusi Yayasan Terengganu," katanya. Sehubungan itu, pembinaan Kompleks Imtiaz Marang ini akan mengukuhkan lagi jenama Imtiaz Yayasan Terengganu sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) terbaik di Malaysia. “Sekali gus menyokong antara agenda utama Kerajaan Negeri Terengganu ke arah pembentukan modal insan yang kompeten dan minda kelas pertama. “Pembangunan pendidikan dan pembangunan modal insan menjadi fokus utama kerajaan negeri agar bergerak seiring dengan pembangun an fizikal di negeri Terengganu,” ujarnya.        
18 Jul 23
1086
STPM: Anak Peniaga Kuih Tradisional Hadiahkan Keputusan Cemerlang Untuk Ibu Ayah
STPM: Anak Peniaga Kuih Tradisional Hadiahkan Keputusan Cemerlang Untuk Ibu Ayah
KUALA TERENGGANU, 14 Julai- Anak pembuat kuih tradisional antara 112 pelajar cemerlang negeri ini yang memperoleh 4A dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00 dalam keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 yang diumumkan, semalam.  Bekas pelajar Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman Aqilah Talib, 20, berkata, melihat kegigihan ayahnya Talib Abdul Rahman, 70 yang telah dimamah usia tetapi masih berusaha membantu ibunya Mariam Chik, 60, berniaga kuih ropal dan roti keramat menjadi perangsang kepadanya untuk mengubah nasib keluarga. “Sudah menjadi rutin harian, saya akan bangun awal sekitar 4 pagi untuk belajar selama sejam kemudian pada pukul 5 pagi sambung pula bantu mak buat kuih untuk ayah hantar ke kedai. “Selepas itu, saya solat subuh dan bersiap ke sekolah. Walaupun agak penat, namun semua itu berbaloi apabila mendapat keputusan cemerlang hari ini dan ia adalah hadiah untuk ibu dan ayah saya," katanya ketika ditemui pemberita selepas pengumuman keputusan STPM Terengganu 2022 di SMK Sultan Sulaiman, semalam.  Anak bongsu daripada 10 beradik yang memasang impian untuk bergelar peguam itu berkata, dia mengikut nasihat kedua ibu bapanya untuk menyambung pelajaran dan memilih tingkatan enam walaupun memperolehi 4A, 1B dan 2C pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Aqilah berkata, dia menolak tawaran menyambung pengajian di peringkat diploma dalam jurusan pelancongan di Universiti Teknolagi Mara (UiTM) Dungun kerana enggan menanggung hutang pinjaman dan mendorongnya memilih mengambil STPM. "Walaupun ramai yang memberitahu STPM susah termasuk kakak sendiri, namun saya tetap dengan keputusan untuk menyambung pelajaran di Tingkatan Enam kerana tidak mahu menyusahkan kedua orang tua.  "Selepas ini, kalau ada rezeki saya mahu menyambung pengajian dalam jurusan undang-undang di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)," ujarnya.
13 Jul 23
786