lightning-solid
Berita :

Artikel "Pendidikan" Terkini

Kehilangan Penyu Belimbing Pengajaran Besar Buat Manusia
Kehilangan Penyu Belimbing Pengajaran Besar Buat Manusia
KEMAMAN, 14 Ogos - "Bercakap tentang penyu Belimbing, apa terjadi di Rantau Abang? Kita dahulu begitu rakus, begitu suka hendak tengok penyu tanpa menjaga persekitaran apa yang sensitif kepada penyu. "Melihat penyu ini macam pesta saya ingat sewaktu kecil-kecil dahulu dan akhirnya, sebagaimana yang Yang Berhormat sebutkan, penyu itu 'merajuk' kerana kita kacau tempat mereka. "Itulah pengajaran terbesar yang kita dapat atas apa yang dilakukan dahulu dan kita belajar daripadanya," kata Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja dalam ucapannya di Majlis Sambutan Jubli Perak Pusat Santuari Penyu Ma'Daerah, Isnin lalu. Jelasnya, sehubungan itu Tabung Amanah Pemuliharaan Penyu Terengganu kini menjadi medium untuk mengukuhkan usaha pemuliharaan simbol ikonik negeri Terengganu itu. Beliau sebagai Pengerusi tabung amanah memaklumkan, sejak dilancarkan pada Jun 2023, tabung berkenaan telah mengumpulkan hampir RM80,000 hasil daripada sumbangan pelbagai pihak. "Kita merupakan satu-satunya negeri yang mewujudkan tabung amanah pemuliharaan penyu, tidak lain untuk mengumpul dana bagi melancarkan pengurusan dan konservasi di negeri Terengganu. "Terima kasih saya ucapkan, penghargaan setinggi-tingginya kepada semua penyumbang yang membantu usaha kita di negeri kita ini. "Usaha ini telah memperlihatkan impak positif apabila data menunjukkan sarang penyu tertinggi telah direkodkan pada tahun 2023 iaitu sebanyak 10,130 sarang," katanya. Dalam majlis berkenaan, tabung amanah itu turut menerima sumbangan sebanyak RM77,000 daripada pihak swasta, persatuan dan organisasi melalui kempen pengalakan 'Terengganu Turtle Tourism'. Acara puncak yang diadakan ialah pelepasan penyu yang dilengkapi Satellite Telemetry bersama 250 anak penyu ke perairan Terengganu. Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim dan pegawai daerah Kemaman, Ahmad Farhan Abdul Wahab. Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia Terengganu, Ruzaidi Mamat, Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Ahmad Ridzwan Abd Rahman dan Pengurus Besar Petronas Wilayah Timur Mohammad Ahmad Shazly Ramli.  
14 Aug 24
277
Pembelajaran Lebih Meluas Lengkapi Keperluan Global
Pembelajaran Lebih Meluas Lengkapi Keperluan Global
DUNGUN, 28 Julai - Pembelajaran tidak terhad hanya berlaku di dalam kelas semata-mata tetapi turut memerlukan penglibatan pelajar kepada ilmu-ilmu di luar kelas bagi menghadapi cabaran dan daya saing di peringkat global. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, pendedahan berkaitan pendidikan STEM (Science, Technology, Engineering, Mathematics) juga dilihat sebagai aspek penting kepada pembangunan minda dan kemajuan pelajar . "Kita harap pendidikan STEM ini, dapat menarik lebih ramai pelajar untuk mendalaminya dan seterusnya menyumbang kepada kemajuan negara pada masa hadapan. "Kebanyakan negara maju semakin menekankan pendidikan STEM kerana ia meliputi setiap aspek kehidupan seharian dan penyumbang kepada kemajuan ekonomi negeri pada akan datang.," katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program STEM Outreach Workshop 2024 bertempat di Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) Dungun, semalam.   Tambahnya, bagi memenuhi hasrat ini pengetahuan dan pembudayaan amalan STEM perlu diterapkan kepada pelajar dan pengajar serta dijadikan sebahagian budaya untuk menggerakkan inovasi dari peringkat akar umbi dan memudahkannya disebarluaskan. "Program seperti inilah dapat menjadi platform penting untuk meningkatkan minat pelajar terhadap STEM dan memupuk budaya inovasi dalam kalangan generasi muda. "Saya ucapkan terima kasih kepada Yayasan Terengganu (YT) dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama rakan strategik serta semua pihak dalam menjayakan Program STEM Outreach Workshop 2024 ini demi membantu pengembangan ilmu di luar dalam kelas," ujarnya.
28 Jul 24
132
Politeknik Dungun Terokai Kenderaan Elektrik (EV) Di China
Politeknik Dungun Terokai Kenderaan Elektrik (EV) Di China
DUNGUN, 26 Julai - Seramai 29 warga Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) telah menjalani Program Malaysia China Youth TVET Training (MYCTT) di Wuhan Technical College of Communications, China.. Jurucakap Unit Komunikasi Korporat PSMZA berkata program latihan selama 12 hari yang melibatkan 25 orang pelajar dan empat orang pensyarah itu bertujuan memberikan akses kepada teknologi terkini serta pengetahuan mendalam dalam bidang yang semakin relevan dengan keperluan industri global. "Program latihan ini merupakan program di bawah Malaysia-China Youth TVET Training (MYCTT) yang memberi penekanan kepada konsep “finishing school”. "Ia diwujudkan bagi meneroka kepentingan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang semakin meningkat dalam menyediakan generasi muda yang berkemahiran tinggi dan siap untuk menyumbang kepada pembangunan negara dalam era globalisasi kini," ujarnya.  Beliau berkata demikian dalam satu hantaran media di sini baru-baru ini.  Sehubungan itu, Pengarah PSMZA, Zamra Derahman berkata peluang yang diberikan buat pelajar dan pensyarah institusi pengajian awam tersebut dalam meneroka bidang EV di China  merupakan satu peluang yang berharga.  "Ini membolehkan mereka mendapatkan pengalaman langsung dalam industri yang berkembang pesat serta memperluaskan wawasan dan kemahiran mereka dalam bidang teknologi EV yang semakin penting di masa hadapan.  "Semoga usaha yang dilaksanakan ini dapat melahirkan graduan politeknik khususnya PSMZA sebagai graduan yang berkualiti di peringkat antarabangsa disamping memberi pengalaman  yang tidak ternilai dan berharga buat mereka," ujarnya lagi.  Menurutnya lagi, PSMZA juga dalam usaha menubuhkan Reskilling and Upskilling Centre (RUC) dalam bidang kenderaan hybrid dan elektrik yang dijangka akan mula beroperasi September 2024 ini.  "penubuhan RUC dengan kerjasama pihak industri, iaitu Mili Tech Sdn. Bhd ini bakal menjadikan PSMZA sebagai Pusat Kejuruteraan Automotif Elektrik dan Hibrid bertauliah yang pertama di Pantai Timur,"jelasnya lagi.
27 Jul 24
442
Dr Sam Ucap Tahniah Kepada Pelajar STPM 2023
Dr Sam Ucap Tahniah Kepada Pelajar STPM 2023
KUALA TERENGGANU, 24 Julai 2024 - Kerajaan negeri merakamkan ucapan tahniah kepada semua pelajar dan warga pendidik atas keputusan cemerlang yang dilakar Terengganu semalam. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kejayaan pelajar Terengganu dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) terus menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan. "Alhamdulillah saya rasa itulah terkenalnya Terengganu bukan sahaja  SPM malah STPM kita turut mengungguli carta. “Saya ucapkan tahniah kepada anak Terengganu yang telah cemerlang, sekarang ini akan terbuka luas cabaran baharu dan bagaimana mereka harungi. "Saya percaya anak Terengganu boleh cemerlang lagi bila masuk alam universiti,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Jubli Perak Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU) 2024 di Taman Tamadun Islam, di sini, semalam. Menurutnya, negeri Terengganu mencatatkan keputusan terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 peringkat negeri dan kebangsaaan untuk tempoh lima tahun  berturut-turut apabila memperolehi min purata Nilai Gred Kumulatif PNGK 3.11 mengatasi peringkat kebangsaan, iaitu 2.84.
24 Jul 24
197
Terengganu Kekal Rekod Terbaik STPM Buat Kali Kelima
Terengganu Kekal Rekod Terbaik STPM Buat Kali Kelima
BESUT, 23 Julai - Terengganu berjaya mengekalkan tradisi kecemerlangan apabila berjaya mengekalkan pencapaian keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 terbaik kebangsaan untuk lima tahun berturut-turut apabila mencatatkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.11. Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) Wan Zuraidi Che Wan Zaid berkata, dalam masa sama Terengganu turut berjaya mengatasi PNGK nasional iaitu 2.84 dengan perbezaan 0.27 peratus. "Seramai 2,211 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan STPM 2023 berbanding 2,178 orang pada tahun sebelumnya. "Pencapaian keseluruhan semua A penuh PNGK 4.0 adalah seramai 79 calon, manakala kombinasi A dan A- adalah seramai 172 calon ," katanya. Beliau berkata demikian pada Pengumuman Keputusan STPM 2023 Negeri Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nasiruddin Shah, di sini, hari ini. Menurutnya, pencapaian semua A (A penuh, kombinasi A dan A-) dalam mata pelajaran yang diambil pada 2023 meningkat kepada 251 orang berbanding 226 orang pada 2022. Menurutnya, prestasi PNGK sekolah di negeri ini juga menunjukkan peningkatan sejak lima tahun berturut-turut bermula 2019 apabila mencatatkan PNGK 3.02 pada 2019, 2020 (3.03), 2021 (3.03), 2022 (3.04) serta 2023 (3.11). Beliau turut berkongsi, 36 daripada 46 sekolah yang mempunyai calon STPM di seluruh Terengganu berjaya mencapai Min PNGK 3.0 ke atas. Katanya, seramai 11 calon SMK Sultan Sulaiman Kuala Terengganu mendapat semua A Penuh (PNGK 4.0) manakala SMK Sultan Omar, Dungun menunjukkan peningkatan PNGK terbaik iaitu 3.15 berbanding 2.70 pada tahun lalu. Che Muhammad Hakimi Che Alias dari SMKA Durian Guling, Marang dipilih sebagai pelajar terbaik STPM Sains Sosial, manakala Nurin Dayini Mazlan (SMK Nasiruddin Shah) pula diumum sebagai pelajar terbaik STPM (kategori pelajar kelainan upaya). Berdasarkan rekod STPM, Terengganu mencatatkan keputusan terbaik kebangsaan pada 2014, 2015, 2016 dan lima tahun berturut-turut bermula 2019.
23 Jul 24
1293
57 Pelajar Cemerlang SPM Hulu Besut Diraikan
57 Pelajar Cemerlang SPM Hulu Besut Diraikan
Hulu Besut, 11 Julai - Seramai 57 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) 2023 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut menerima imbuhan serta sijil penghargaan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut Mohd Husaimi Hussin menzahirkan ucapan tahniah kepada semua pelajar cemerlang yang hadir dalam majlis diadakan pada hari ini. "Sumbangan RM100 kepada pelajar yang mendapat 6A hingga 8A manakala rm200 yang mendapat 9A hingga 12 A. "Sumbangan ini tidaklah terlalu besar tetapi ini adalah sebagai tanda ingatan diatas usaha dan kejayaan yang diperolehi "Bersedialah untuk memulakan alam baru lepas SPM kerana perjalan masih jauh dan ini adalah permulaan untuk menuju sesuatu kenikmatan hidup menepuhi rintangan alam sebelum pekerjaan," ujarnya ketika ditemui pada majlis meraikan pelajar itu, di sini, hari ini.  Untuk rekod, Terdapat seorang pelajar cemerlang dengan keputusan 12 A, pelajar sekolah Menengah Imtiaz Besut dari Kampung Padang Baloh iaitu adik Nisrina Nazihah Abdullah Suhaimi.
11 Jul 24
271
Mantan Johan Qariah Antarabangsa Dinobat Tokoh Maal Hijrah Terengganu
Mantan Johan Qariah Antarabangsa Dinobat Tokoh Maal Hijrah Terengganu
KUALA TERENGGANU, 7 Julai- Johan Qariah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa 1420H/1999, Masnah Awang, 73 tahun dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Terengganu bagi tahun ini. Lebih mesra dengan panggilan 'Mek Wook', Masnah melibatkan diri dalam bidang taranum al-Quran sejak 1966 dan menyertai Majlis Tilawah Al-Quran dari tahun 1985 hingga 2004. Dengan pengalaman luas yang dimiliki, ibu kepada lapan orang anak ini berkhidmat sebagai guru al-Quran di bawah Yayasan Islam Terengganu dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) selain berperanan sebagai tenaga pengajar di Pejabat Daerah Marang. Bagi menghargainya, pihak kerajaan telah menganugerahkan beberapa pingat antaranya Pingat Jasa Kebaktian (PJK) pada tahun 1997 dan Ahli Mahkota Terengganu (AMT) pada tahun 2000. Hasnah menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Terengganu 2024 yang disampaikan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman pagi ini. Selain menerima trofi, Masnah turut menerima hadiah wang tunai bernilai RM20,000. Ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan, Masnah merakam rasa terharu atas penghargaan yang diterimanya. Beliau turut menyifatkan usahanya kini hanyalah untuk terus menyuntik semangat kepada generasi muda untuk menanam minat mendalami al-Quran.  
07 Jul 24
728
132 Pelajar Cemerlang Terima Habuan
132 Pelajar Cemerlang Terima Habuan
KEMAMAN, 26 Jun - Seramai 132 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 menerima habuan berupa sumbangan kewangan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam berkata, insentif berkenaan bagi menghargai usaha gigih dan dedikasi setiap pelajar. "Tahniah kepada para pelajar, guru dan ibu bapa atas kejayaan ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Anugerah Kecemerlangan SPM 2023 yang diadakan di perkarangan Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Air Putih hari ini. Beliau juga mengingatkan bahawa kejayaan bukan hanya diukur melalui akademik, tetapi juga melalui sumbangan kepada masyarakat. "Suka juga untuk saya berpesan agar setiap pelajar meletakan agama sebagai keutamaan di samping kecemerlangan akademik," katanya. Mohd Hafiz berharap kejayaan itu turut menjadi inspirasi kepada generasi akan datang. Untuk rekod, pelajar yang memperolehi sumbangan itu terdiri daripada 6A dan ke atas. Seramai 43 pelajar memperoleh 6A, 21 pelajar memperoleh 7A, 29 pelajar memperoleh 8A, 26 pelajar memperoleh 9A, 5 pelajar memperoleh 10A, 3 pelajar memperoleh 11A dan 5 pelajar memperoleh 12A.
26 Jun 24
904
Usaha Terengganu Lahirkan Huffaz Teknokrat di Landasan Tepat
Usaha Terengganu Lahirkan Huffaz Teknokrat di Landasan Tepat
KUALA TERENGGANU, 25 Jun - Usaha kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu untuk melahirkan 'teknokrat huffaz' kini berada di landasan yang tepat setelah semua pelajar lepasan Sekolah Menengah IMTIAZ Yayasan Terengganu (SMIYT) telah mencapai kejayaan unggul di dalam peperiksaan awam. Kesemua pelajar lepasan sekolah tersebut bukan sahaja berjaya mencatatakan keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tetapi telah berjaya menghafal 30 juzuk al-Quran. Timbalan Pengarah Pendidikan Yayasan Terengganu (YT), Megat Samsudin Megat Yusof berkata, hari ini pihak YT berbesar hati memberikan insentif sebanyak RM353,000 kepada 353 murid. "Hari ini kita meraikan seramai 368 graduan pelajar tingkatan 5 dan 14 tingkatan 6 di mana seramai 353 murid telah berjaya khatam 30 juzuk hafalan al-Quran. "Manakala seramai 105 orang murid telah berjaya khatam al-Quran hanya dalam tempoh tiga tahun yang merupakan pelajar tingkatan satu hingga tingkatan tiga berdasarkan Petunjuk prestasi Utama (KPI) Ko-Kurikulum Hafazan Imtiaz. "Iaitu menghafal sekurang-kuranya satu muka surat sehari, 10 juzuk setahun dan akhirnya khatam 30 juzuk dalam tempoh tiga tahun," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan Al-Quran Kali Ke-14, Sekolah-Sekolah Menengah IMTIAZ Yayasan Terengganu, di Dewan Konvesyen Taman Tamadun Islam (TTI), di sini, hari ini. Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah. Mengulas lebih lanjut, Megat berkata kejayaan pelajar SMYIT itu merupakan satu kejayaan yang amat membanggakan. "Walaupun mempunyai rutin belajar (akademik)  yang padat sebagai anak soleh pintar namun masih mampu menghafal al-Quran (mengikut) silibus yang telah ditetapkan. "Statistik ini membuktikan bahawa SMIYT telah merealisasikan matlamat penubuhannya untuk melahirkan huffaz profesional secara langsung ia menjadi pemangkin modal insan dengan mida kelas pertama yang akan menyumbang kemajuan dan kelestarian negeri Terengganu," ujarnya. Dalam pada itu, Mohd Nor menzahirkan ucapan tahniah kepada YT kerana masih mengekalkan kejayaan dan mengangkat martabat pendidikan tahfiz di negeri Terengganu. "SMIYT juga masih berada dalam carta 10 sekolah terbaik di peringkat negeri dengan melahirkan seramai 70 orang pelajar mendapat 12A. "Tidak dilupakan ucapan tahniah dan terima kasih kepada warga pendidik kerana tanpa jemu bertungkus lumus menggembleng tenaga serta masa agar kejayaan pada hari ini terukir," ujarnya.  
25 Jun 24
849
Anak Syarikat Kerajaan Salur RM100,000 Bantu Pelajar B40
Anak Syarikat Kerajaan Salur RM100,000 Bantu Pelajar B40
KUALA TERENGGANU, 6 Jun - Anak syarikat kerajaan negeri, TDM Berhad (TDM) terus menunjukkan komitmennya dalam menyokong pendidikan dengan menyalurkan RM100,000 kepada pelajar cemerlang B40 melalui Biasiswa 'YT-TI Young Talent Scholarship Programme'. Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin, berkata inisiatif tersebut adalah salah satu Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) TDM dalam usaha menyokong pembangunan pendidikan, sejajar dengan misi syarikat untuk menjadi model korporat yang bertepatan dengan status Patuh Syariah.  “Kami juga menyokong rangka kerja Persekitaran, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) yang memberi impak positif kepada perniagaan dan komuniti tempat kami beroperasi.  “Usaha ini selaras dengan Agenda Pembangunan Mampan dan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDGs), terutamanya SDG 4 yang memberi tumpuan kepada penyediaan akses pendidikan berkualiti dan SDG 8 yang menggalakkan pertumbuhan ekonomi mampan,” katanya melalui kenyataan media selepas majlis Menandatangani Perjanjian yang berlangsung di Wisma Darul Iman baru-baru ini. Majlis perjanjian tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan, Dato’ Ustaz Satiful Bahri Mamat dan disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja merangkap Pengerusi TDM, serta Penasihat Undang-Undang Negeri Terengganu, Dato’ Razali Che Ani. Tambah Najman, TDM bersama-sama Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) lain di bawah Kumpulan Terengganu Inc (TI) berperanan sebagai pelengkap dalam penyediaan dana kepada program penajaan Yayasan Terengganu (YT).  “Tahniah diucapkan kepada sepuluh pelajar yang berjaya mendapat biasiswa pada hari ini. “Biasiswa ini memberi fokus kepada kebajikan anak-anak Terengganu, manakala bukan warganegara Terengganu mestilah bermastautin selama 10 tahun atau lebih dengan keutamaan kepada calon yang mempunyai rekod kokurikulum yang baik sekurang-kurangnya di peringkat Negeri atau Kebangsaan," jelasnya. Beliau berkata, biasiswa YT-TI mensasarkan keluarga berpendapatan rendah atau golongan B40 untuk Ijazah Pertama dan terbuka kepada pelajar lepasan Asasi atau Matrikulasi, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang cemerlang untuk melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan dalam bidang pengajian tertentu.  Tambahnya lagi, antara bidang yang ditawarkan melalui biasiswa itu ialah Kecerdasan Buatan (AI), Sains Data (Big Data), Undang-Undang, Muamalat, Pentadbiran Korporat, Sains Kesihatan (Fisioterapi), dan Perladangan. “Program-program ini memenuhi keperluan pasaran pekerjaan bertaraf dunia dan menyumbang kepada tenaga kerja berprestasi tinggi.  “Menerusi program penajaan Biasiswa YT-TI ini, TDM berharap lebih ramai anak-anak Terengganu daripada keluarga B40 berpeluang melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi dalam usaha meningkatkan tahap sosioekonomi keluarga mereka,” ujarnya.  
06 Jun 24
262