Artikel "Pendidikan" Terkini
Maahad Tahfiz Fokus Tingkat Kemahiran Teknikal Pelajar
KUALA NERUS, 5 Jun – Maahad Tahfiz Wa’ Tarbiyah Darul Iman (MTT) terus memperbaharui pendekatan pendidikan dengan menekankan pentingnya kemahiran teknikal untuk kesinambungan masa depan pelajar.
Dalam satu perhimpunan di MTT, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi, dan Pembangunan Insan negeri, Ahmad Shah Mohamed, memberi penekanan kepada langkah proaktif tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa Maahad Tahfiz telah membuka peluang baru bagi pelajar dengan memasukkan kemahiran vokasional seperti pendawaian elektrik dan jahitan ke dalam kurikulum mereka.
“Langkah tersebut memberi peluang lebih luas kepada pelajar untuk memperoleh kebolehan praktikal yang penting dalam pasaran pekerjaan yang semakin canggih,” katanya ketika majlis berkenaan.
Ahmad Shah menekankan kepentingan sokongan daripada komuniti dalam memastikan setiap pelajar mempunyai akses kepada pendidikan yang relevan dengan keperluan semasa.
Beliau juga bangga dengan Maahad Tahfiz atas usaha institusi itu menyediakan pendidikan yang mudah difahami dan praktikal bagi masa depan generasi muda.
Majlis bersejarah itu berakhir dengan majlis perasmian mini konvokesyen kursus tahfiz vokational MTT untuk 2023, menandakan langkah penting bagi pelajar yang telah dilengkapi dengan kemahiran vokasional yang bermakna.
05 Jun 24
373
YT Jalin Kerjasama Dengan Kumpulan TI Taja Pelajar Cemerlang
KUALA TERENGGANU, 5 Jun- Yayasan Terengganu (YT) hari ini menandatangani perjanjian YT - TI Young Talent Scholarship Programme 2023 bersama Kumpulan Terengganu Inc (TI) bagi membuka peluang kepada pelajar cemerlang negeri ini mendapatkan pendidikan tinggi terbaik.
Pengarahnya, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, YT telah menubuhkan Tabung Biasiswa GLC pada Tahun 2022 untuk meningkatkan kapasiti tawaran biasiswa dengan sokongan syarikat korporat Negeri Terengganu sebagai alternatif pendidikan tinggi kepada golongan sasar yang layak serta mereka yang memerlukan.
“Terengganu Incorporated Sdn.Bhd bersama-sama kumpulan dibawahnya seperti TDM Berhad, EPIC Berhad, Ladang Rakyat Trengganu Sdn. Bhd, Golden Pharos Berhad dan PTB Group telah menyalurkan sumbangan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM500,000 melalui Tabung Biasiswa GLC,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian YT - TI Young Talent Scholarship Programme 2023 antara Kumpulan Terengganu Inc dan Yayasan Terengganu yang disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat di Wisma Darul Iman.
Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun.
Mohd Azmi berkata, YT bertanggungjawab mengendalikan dan mengurus biasiswa kepada pelajar cemerlang yang terpilih.
“Fungsi tabung ini bukan hanya tertakluk kepada penajaan semata-mata, malah merangkumi aspek kebajikan serta kesejahteraan pendidikan anak-anak Terengganu di setiap peringkat.
“Sumbangan kepada Tabung Biasiswa GLC ini juga terbuka kepada semua individu, agensi atau syarikat korporat yang berminat untuk turut sama membantu bagi pendanaan biasiswa pelajar-pelajar cemerlang Negeri Terengganu dengan setiap sumbangan layak mendapat pengecualian cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri,” jelasnya.
Katanya, pemeteraian Perjanjian antara YT bersama Kumpulan Terengganu Inc berkenaan merupakan manifestasi kesungguhan kedua-dua entiti dalam usaha menawarkan lebih banyak tawaran biasiswa untuk dimanfaatkan demi pembangunan modal insan minda kelas pertama berserta jaminan peluang pekerjaan bersama Kumpulan TI.
Terdahulu, pada majlis sama turut diraikan 10 orang pelajar yang terpilih sebagai penerima Biasiswa YT-TI bagi ambilan kedua tahun 2023 dengan setiap pelajar memperolehi tajaan biasiswa dianggarkan berjumlah RM50,000 sepanjang tempoh pengajian selama empat tahun disamping turut menerima peranti ipad atau komputer riba bagi kegunaan pembelajaran.
Kesemua pelajar ini sedang melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di beberapa Universiti Awam Dalam Negara dengan pengkhususan bidang Perundangan, Pengurusan Muamalat, Analitik Data, Sains Komputer, Sains Statistik, Pengurusan Alam Sekitar. Pentadbiran Perniagaan dan Teknologi Pertanian.
05 Jun 24
266
Hafaz Al-Quran, Cemerlang SPM
KUALA TERENGGANU, 27 Mei - Sudahlah menghafaz 30 juzuk al-Quran, 17 pelajar dari Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (SMIYT) Kuala Terengganu juga mencipta sejarah buat sekolah berkenaan apabila memperolehi 12A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang diumumkan hari ini.
Selain itu, seramai 11 pelajar sekolah itu mendapat 11A, diikuti 15 orang 10A dan 17 orang lagi mendapat 9A.
Pelajar cemerlang SMIYT Kuala Terengganu, Amir Hariz Amir Mohd Hafiz, 18 yang mendapat 12A+ berkata, amalan membaca al-Quran setiap hari dan menolong rakan-rakan membuat ulangkaji adalah rahsia kejayaannya hari ini.
Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, dia tidak menyangka akan mendapat keputusan cemerlang itu kerana hanya memperolehi 5A+ dan 7A ketika peperiksaan percubaan SPM tahun lalu.
"Kami berkorban masa cuti untuk memastikan program kecemerlangan akademik berjalan lancar kerana ada kalanya tidak dapat pulang ke rumah dalam tempoh yang lama dan pada masa sama memastikan hafazan al-Quran sentiasa lancar.
"Begitu juga usaha ibu bapa yang membaca Yassin setiap pagi berjemaah melalui Google Meet untuk mendoakan kejayaan kami dalam SPM kali ini," katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Masjid Al Hidayah Kampung Banggol Mempelam di sini hari ini.
Seorang lagi pelajar cemerlang SMIYT Kuala Terengganu yang mendapat 12A, Nik Abdul Aziz Nik Mohd Anuar, 18 pula berkata, usaha gigih guru-guru banyak membantu pelajar dalam menghadapi SPM kali ini.
"Rutin harian kami sangat padat bermula pukul lima pagi untuk menghafaz al-Quran diikuti kelas akademik, kelas tambahan dan aktiviti keagamaan di surau hingga 11 atau 12 malam.
"Alhamdulillah, penat lelah pelajar, guru-guru dan ibu bapa berbaloi hari ini dengan kejayaan yang dikecapi selaras matlamat sekolah mahu melahirkan tenaga kerja profesional yang hafiz al-Quran," katanya.
Tahun ini, seramai 464 atau 2.83 peratus daripada 16,382 calon yang menduduki peperiksaan SPM 2023 berjaya memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran di Terengganu.
Seramai lapan calon daripada enam buah sekolah termasuk seorang calon dari sebuah sekolah menengah harian berjaya mendapat gred A+ dalam semua mata pelajaran diduduki.
27 May 24
909
Terengganu Kekal Negeri Cemerlang SPM
KUALA TERENGGANU, 27 Mei - Terengganu mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 apabila mencapai nilai Gred Purata Negeri 4.41, mengatasi Gred Purata Kebangsaan 4.60.
Pengarah Pendidikan Negeri, Jelani Sulong berkata, sebanyak 464 calon turut memperoleh semua A bagi peperiksaan kali ini berbanding 333 orang sebelum ini.
"Tahun ini, empat buah sekolah lulus 100 peratus bagi semua mata pelajaran dengan
Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) Kemaman tersenarai sebagai sekolah gred purata sekolah (GPS) terbaik dan sekolah peningkatan semua A tertinggi.
"Tiga lagi sekolah terbaik diungguli Sekolah Menengah Sains Kuala Terengganu, SMKA Sheikh Abdul Malik dan SM Imtiaz YT Kuala Berang," katanya.
Jelani (tiga dari kiri).
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan keputusan SPM di pejabat Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, hari ini.
Tambahnya, keputusan SPM 2023 juga berjaya mengurangkan jurang antara bandar dan luar bandar dengan -0.68 gred purata lokaliti.
Sementara itu, dalam tinjauan di SM Imtiyaz YT Kuala Terengganu, seramai 17 pelajar penghafaz 30 juzuk al Quran dari Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu mencipta sejarah apabila memperolehi 12 A dalam SPM 2023 yang diumumkan hari ini.
Selain itu, seramai 11 pelajar mendapat 11A, diikuti 15 orang 10 A dan 17 orang lagi mendapat 9A.
Para pelajar berkenaan berkumpul Masjid Al-Hidayah, Kampung Banggol Mempelam bersama ibu bapa mereka yang meraikan kejayaan tersebut dengan majlis kesyukuran dan jamuan ringkas.
27 May 24
8898
UC TATI Pilihan Tepat Lepasan SPM Jadi Graduan Berkemahiran Tinggi
KUALA TERENGGANU, 20 Mei - Kolej Universiti TATI (UC TATI) merupakan pilihan tepat untuk anak negeri Terengganu lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjadi graduan berkemahiran tinggi dalam memenuhi pasaran kerja dan permintaan industri masa kini.
Timbalan Rektor UC TATI, Ts. Dr. Mohd Najib Muhamed berkata kolej universiti itu menawarkan program peringkat sijil sehingga peringkat falsafah dengan memerlukan pelajar SPM mendapat tiga kredit untuk ke program diploma yang memiliki 15 pilihan program dan lima kredit untuk ke peringkat asasi yang menawarkan dua program.
Menurutnya, para pelajar berkenaan akan berpeluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dengan UC Tati menawarkan satu program Ijazah Doktor Falsafah, tiga program Sarjana dan 11 program Ijazah Sarjana Muda.
"UC TATI ini merupakan satu institusi berasaskan Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional yang mana kita menjalankan program yang melibatkan 80 peratus praktikal dan 20 peratus kepada teori.
"KIta juga menyediakan pensyarah yang mememiliki kepakaran dalam bidang yang ditawarkan antaranya pembuatan, automasi, elektrikal, kimia, polimer, komputer, pengurusan teknologi, media grafik, Media Komunikasi, Pendidikan Awal kanak-Kanak danb
"UC TATI bukan sahaja terkenal dalam negara bahkan di luar negara dengan mendapat pelbagai pengiktirafan daripada agensi luar negara malah memenangi pelbagai anugerah dalam pertandingan inovasi sama ada dalam negara mahupun luar negara," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) baru-baru ini.
Mengulas lebih lanjut katanya, dengan lepasan SPM menyatakan kesediaan untuk belajar, UC TATI akan menyediakan ruang yang luas bagi untuk bakal pelajar.
Katanya, pelajar di peringkat program asasi akan menerima tajaan biasiswa daripada Yayasan Terengganu dengan yuran pengajian akan ditanggung sepenuhnya manakala bagi pelajar Diploma pula akan menerima elaun RM2,000 setahun.
Penyediaan penginapan pula katanya akan disediakan sepanjang tempoh pembelajaran untuk semua peringkat.
Dalam pada itu katanya, untuk pelajar yang tidak mencukupi kredit serta kelayakan yang diperlukan, UC TATI masih memberikan peluang serta tawaran istimewa dengan menawarkan program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap tiga.
Selain itu menurutnya, UC TATI juga menawarkan Program SPM Fast Track Darul Huffaz bagi membantu pelajar pondok bagi mengambil peperiksaan di Kolej Universiti terbabit serta berpeluang menyambung pengajian melalui kursus yang ditawarkan.
20 May 24
889
Tiada UPSR, Pelajar Tak Minat Belajar
KUALA TERENGGANU, 28 April - Ketiadaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) telah mengakibatkan kurangnya minat pelajar dalam memahami dan menyerap ilmu dalam subjek-subjek akademik.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahari Mamat berkata, keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia memansuhkan UPSR mulai tahun 2021 telah menimbulkan kebimbangan di kalangan pelajar dan ibu bapa.
"Kita pernah bangkitkan dalam mesyuarat peringkat Menteri Pendidikan dan ini persoalan yang dibangkitkan oleh semua negeri.
"Bila berlaku tidak ada peperiksaan pelajar tidak mengambil cakna dalam memberi kekuasan dalam mata pelajaran yang sedia ada.
Kita nak melihat sejauh mana pelajar menguasai mata pelajaran yang kita tawarkan," jelasnya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan ke atas Usul Menjujung Kasih dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-15 bagi tahun 2024, di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.
Menurutnya, tahun 2024 merupakan tahun pertama diadakan UPSRi di Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI).
"Tahun ini tahun pertama kita bermula UPSRi untuk melihat prestasi pelajar.
"Kita buat saringan untuk sambung pengajian peringkat Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI).
"Tapi setakat ini kita lihat menjadi kesukaran (apabila UPSR dimansuhkan) dalam pemilihan pelajar untuk masuk IMTIAZ ataupun sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri dan mereka telah melihat keputusan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK)," ujarnya.
Beliau menambah, di Terengganu setakat ini, pelajar dalam beberapa ujian peperiksaan seperti SPM, STAM, dan sebagainya telah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan keseluruhannya, di mana pencapaian negeri setiap tahun mengatasi di peringkat kebangsaan.
"Berusaha untuk mencapai pencapaian keseluruhan bagi meningkatkan pencapaian dari peratus lulus ataupun layak memiliki sijil serta cuba untuk meminimakan peratus kegagalan.
"Itulah yang menjadi hasrat kita supaya mencapai 100 peratus lulus semuanya
"Apapun kita juga mengambil kira dan berusaha untuk mencapai peratus ataupun gred purata yang lebih baik daripada satu tahun ke satu tahun dan contohnya dalam pencapaian SPM bermula 2018 sehingga 2023," katanya.
Untuk rekod jelas beliau, pada tahun 2018 gred purata bagi negeri adalah 4.90, 4.69 (2019), 4.55 (2020), 4.72 (2021) dan 4.59 (2022).
"Gred purata yang menunjukkan prestasi keseluruhan semakin baik dan kita mengunjurkan pencapaian SPM 2023 lebih baik berbanding tahun 2022.
"Begitu juga pencapaian STPM yang kita melihat nilaian ndk semakin baik. Pada 2018, 2.99, 2019, 3.02, 2020, 3.03, 2021, 3.03 dan 2022, 3.04," katanya.
"Kita melihat Terengganu muncul satu-satu negeri yang mencapai PNGK 3.0 ke atas sejak tahun 2019," katanya.
28 Apr 24
374
Anak Guru Muncul Pelajar Terbaik STAM 2023
KUALA TERENGGANU, 26 Mac - Membaca al-Quran sebagai terapi diri setiap kali berhadapan kesukaran dalam pelajaran membuahkan hasil buat anak seorang guru apabila dinobatkan pelajar terbaik Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2023 untuk negeri Terengganu.
Pelajar Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAAZA) Nik Abdullah Hanif Nik Mohd Akbari, 19, berkata, dia sebak dan bersyukur kerana usaha keras dan tumpuan sepenuhnya ketika belajar akhirnya membuahkan hasil.
Beliau yang juga penghafaz 30 juzuk al-Quran berjaya memperolehi sembilan Mumtaz dan satu Jayyid Jiddan antara tujuh pelajar cemerlang STAM Terengganu 2023 yang diumumkan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Jelani Sulong di Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) di sini hari ini.
Berkongsi resepi kejayaannya, dia berkata penumpuan terhadap setiap mata pelajaran yang diajar oleh ustaz atau ustazah ketika dalam kelas menjadi amalannya sejak awal termasuk menghafalnya kembali selepas itu.
“Tiada rahsia sebenarnya, cuma belajar bersungguh-sungguh, kena hafal daripada awal dan sebelum peperiksaan kita kena ulang balik apa yang kita hafal sebelum ini… bukan saat akhir baru nak buat.
“Subjek STAM bukan sahaja memerlukan hafalan tetapi juga pemahaman sebab itu kena tekun dan usaha dengan sunguh-sungguh,” katanya kepada pemberita.
Anak kepada pasangan guru itu juga berkata terdapat juga hari-hari yang dia merasakan putus asa dan sedih namun tidak membiarkannya mempengaruhi diri sehingga menjejaskan pengajian.
“Pernah rasa ‘down’…putus asa tapi akan telefon Umi (ibu) Mariam Jameelah Ishak, 40, minta nasihat dan semangat termasuk dengan kawan dan juga para guru supaya kembali kuat,” ujarnya yang berhasrat menyambung pengajian dalam bidang Muamalat di Universiti Madinah.
Pada tahun ini, Nilai Gred Purata Negeri Terengganu ialah 2.79 mengatasi Nilai Gred Purata Kebangsaan 3.09 dengan perbezaan nilai sebanyak 0.30 dan peningkatan nilai 9.7 peratus.
Seorang lagi pelajar cemerlang, Nor Aidil Syawani Mohd Rowazi, 19 yang memperolehi lapan Mumtaz, satu Jayyid Jiddan dan satu Jayyid menyifatkan kecemerlangan itu adalah untuk membalas jasa kedua ibu bapanya selama ini.
"Alhamdulillah, terima kasih atas sokongan semua guru-guru sehingga saya boleh mencapai kejayaan ini. Namun begitu, fokus belajar macam mana pun, hubungan dengan ALLAH SWT kena jaga, itu yang penting,
“Kejayaan ini akan mencetus motivasi untuk terus berjaya dalam menyambung pelajaran dalam bidang syariah ke Madinah nanti," katanya.
26 Mar 24
2141
Keputusan STAM Terengganu Atasi Gred Purata Kebangsaan
KUALA TERENGGANU, 26 Mac - Keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2023 di Terengganu menunjukkan peningkatan apabila berjaya memperoleh Gred Purata Negeri (GPN) 2.79 mengatasi Gred Purata Kebangsaan (GPK) 3.09.
Pengarah Pendidikan Terengganu, Jelani Sulong berkata, calon STAM yang menduduki peperiksaan bagi 2023 adalah seramai 165 dan 53 daripada jumlah itu dari sekolah agama kerajaan manakala calon institusi kerajaan negeri (89) dan calon persendirian (23)
Katanya, seramai tujuh calon STAM memperoleh keputusan cemerlang (mumtaz) iaitu lima daripadanya adalah pelajar sekolah SMA (ATAS) Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu dan dua lagi daripada Maahad Tahfiz Al-Quran Terengganu
“Sekolah Menengah Agama (SMA) (ATAS) Sultan Zainal Abidin menjadi sekolah terbaik dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 2.37 peratus.
“Kedua SMA Al-Falah iaitu GPS 3.04, Maahad Tahfiz Al-Quran Terengganu 2.47, Institut Pengajian Islam 2.50 dan Ma'ahad Tahfiz Wal Tarbiyah Darul Iman 3.86,” katanya di sidang media selepas mengumumkan keputusan STAM peringkat negeri Terengganu, hari ini.
Mengulas mengenai jumlah calon yang sedikit menduduki STAM, JPNT akan melihat keperluan meningkatkan pertambahan calon dari semasa ke semasa
“Kita dapat lihat STAM sebenarnya menjadi platform bagi pelajar terutama yang ingin melanjutkan pengajian di luar negara yang mana hanya dua sekolah kelolaan KPM yang menawarkan STAM.
“Kita akan lihat kesesuaian untuk menambahnya berdasarkan keperluan selepas ini,” katanya.
26 Mar 24
1051
Sekolah K9 Kini Mula Beroperasi di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 12 Mac - Dua Sekolah Model Khas Komprehensif 9 Tahun (K9) mula beroperasi di Terengganu pada sesi persekolahan tahun ini bagi menangani masalah keciciran pelajar Orang Asli di kawasan pedalaman.
Pengarah Pendidikan negeri, Jelani Sulong berkata dua sekolah tersebut adalah Sekolah Kebangsaan Sungai Berua di Hulu Terengganu dan Sekolah Kebangsaan Sungai Pergam di Kemaman.
Katanya, menerusi model K9, murid Orang Asli perlu menghabiskan masa sembilan tahun di sekolah sama bagi mengikuti pembelajaran bermula tahun satu hingga tingkatan tiga
"Maksudnya murid akan berada di sekolah rendah selama 6 tahun dan menengah rendah 3 tahun di sekolah yang sama.
"Seramai 15 daripada 16 orang murid di SK Sungai Berua yang telah mendaftarkan diri ke Tingkatan Satu (Transisi) di sekolah K9 tersebut.
"Bagi SK Sungai Pergam pula kita ada seramai lima pelajar daripada tujuh pelajar dimana dua daripadanya telah ke Pusat Intelek Pelajar Orang Asli di Rompin (PIPOA)," katanya kepada pemberita.
Tambahnya, seramai empat guru telah ditempatkan di SK Sungai Berua iaitu empat bagi pengajaran aliran menengah dan 11 guru lagi bagi matapelajaran aliran rendah .
"Untuk SK Sungai Pergam pula terdapat seramai empat guru bagi pelajar peringkat menengah dan 12 untuk sekolah rendah," katanya.
Beliau menjelaskan, disebabkan kemiskinan dan jarak yang jauh, ramai murid yang tidak menyambung pelajaran selepas tamat sekolah rendah.
Justeru itu katanya, KPM mengambil langkah menyediakan sekolah rendah dan menengah rendah atau K9 di sekolah yang sama.
Secara keseluruhan terdapat 28 buah sekolah K9 di seluruh negara dengan 10 buah daripadanya mula beroperasi pada Ahad lalu.
12 Mar 24
3094
23 Pelajar Terengganu di Mesir Terima Anugerah
KAHERAH, 13 Mac - Seramai 23 orang pelajar Terengganu di Mesir telah menerima anugerah kecemerlangan mahasiswa ketika Majlis Ramah Mesra Bersama YB dan & Anugerah Kecemerlangan Mahasiswa Terengganu Mesir.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahari Mamat berkata, majlis berkenaan diharapkan akan memberi semangat motivasi kepada semua pelajar untuk terus mengukir kecemerlangan.
"Ini membuktikan Kerajaan Negeri sentiasa mengambil perhatian kepada pelajar-pelajar anak negeri walaupun berada di luar sana," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis berkenaan di Wisma Darul Iman Terengganu, Kaherah, yang dihadiri oleh pelajar-pelajar cemerlang dari Terengganu yang sedang menuntut di Mesir.
Dalam majlis berkenaan, Anugerah Tokoh Mithali pelajar Tahmidi Peringkat Pengajian Master Fiqh Am di Universiti Al-Azhar, Kaherah turut disampaikan kepada saudari Nurul Faqehah Dzulkefli.
Penghargaan itu beriuktan beliau berjaya memperolehi keputusan peperiksaan keseluruhan 'Mumtaz Bilmartabat Syaraf' di peringkat antarabangsa bagi pengajian Ijazah Sarjana Muda Fakulti Syariah Islamiah dan menerima hadiah berjumlah EGP 17,350.00, termasuk kitab rujukan Feqah Bermazhab Syafie yang berharga EGP 7,325.00 dan baucar wang EGP 10,000.00.
Beliau dipilih atas prestasi gemilangnya dan keaktifannya dalam pelbagai aktiviti kebajikan dan sosial di kalangan pelajar juga menjadi faktor penentu dalam penganugerahan tersebut.
Selain itu, Anugerah Mahasiswa Cemerlang juga turut diberikan kepada 20 orang pelajar yang dipilih dari pelbagai bidang Pengajian Islam dan Sains Kesihatan.
Dua pelajar lain turut menerima Anugerah Pengisi Berkaliber. Penerima-penerima anugerah ini dipilih atas kecemerlangan akademik tertinggi dan sumbangan mereka dalam aktiviti lapangan masyarakat.
11 Mar 24
238