lightning-solid
Berita :

Artikel "Pendidikan" Terkini

TESDEC Perkasa Pendidikan Kemahiran dan Keusahawanan Berteraskan Islam
TESDEC Perkasa Pendidikan Kemahiran dan Keusahawanan Berteraskan Islam
KUALA TERENGGANU, 23 September – Terengganu Skills Development Centre Berhad (TESDEC) terus komited dalam membangunkan kemahiran anak-anak muda dan belia lepasan sekolah dengan pendekatan menyeluruh, tanpa mengabaikan asas pengajian Islam.  Ketua Pegawai Eksekutif TESDEC Berhad, Mohd Iskandar Muhammad Aziz berkata, dalam usaha ini, subjek pengajian Islam telah dijadikan subjek umum di TESDEC, sejajar dengan keperluan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT). “Malah Kolej TESDEC juga menawarkan Diploma Pelancongan (Haji dan Umrah) kepada lepasan Sijil pelajaran Malaysia (SPM) dan pengajian Islam menjadi sebahagian subjek teras khususnya dalam hal ehwal haji dan umrah (fiqh lelaki dan wanita),” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Memorandum Perjanjian Persefahaman Tenaga Hijau Dan Efficiency Management Di Antara TESDEC Services Sdn.Bhd. dengan Alka System Sdn.Bhd di Permai Hotel pada semalam. Menurutnya, pihak TESDEC kini sedang menjalinkan kerjasama dengan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) bagi menyediakan peluang keusahawanan kepada graduan. “Kami sedang jalinkan hubungan dengan YPU bagi mencipta nilai kepada lepasan TESDEC supaya kemahiran menjana pendapatan melalui keusahawanan.  “Keusahawanan berasaskan kemahiran ini menjadi pilihan kepadagraduan TESDEC sama ada untuk terus menyertai pasaran kerja dengan bekerja di mana-mana syarikat ataupun industri berkaitan kemahiran mereka.  “Dan juga boleh membuka perniagaan mereka sendiri setelah mendapat khidmat nasihat, latihan dan sokongan dana dari Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) atau pun agensi, badan penajaan, pendanaan keusahawanan seperti MARA, SMECorp, Yayasan Peneraju, dan lain-lain agensi,” tambah  beliau lagi.
23 Sep 24
145
Gelaran Ir Bukan Untuk Diri Saya - Ahmad Samsuri
Gelaran Ir Bukan Untuk Diri Saya - Ahmad Samsuri
KUALA TERENGGANU, 19 September - Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata gelaran Ir (Kejuruteraan Profesional) yang diperolehinya sejak bulan lalu, adalah bukan untuk diri sendiri. “Ramai kawan berbicara tentang pencapaian gelaran Jurutera Profesional, saya kata ini bukan tentang diri sendiri sahaja, tetapi untuk tujuan motivasi, nak tunjukkan kepada generasi baharu, terutama kepada mereka yang masih berada di dalam sistem pengajian, sama ada di peringkat menengah, ijazah, masters, mahupun PhD,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu 2023 (kali ke- 43) & Hadiah Kecemerlangan SPM, STPM dan STAM di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam baru-baru ini. Ahmad Samsuri juga mengingatkan para pelajar supaya kekal bermotivasi dan sentiasa bersedia dengan apa jua cabaran dan dugaan yang bakal dihadapi. “Saya percaya kita akan bertemu dengan pelbagai cabaran dan ujian tak kira di mana berada sama ada di sekolah atau pun universiti, apabila tamat kita akan berdepan dengan dugaan alam pekerjaan pula, semua ini memerlukan semangat kuat dan kental, supaya kehidupan kita berjalan dengan baik. “Saya terinspirasi dari kata-kata lagenda tinju dunia Muhammad Ali, tidak ada salahnya jika ditumbuk dan jatuh dalam perlawanan, tapi rasalah bersalah andai jatuh tapi tidak bangun-bangun, jatuh itu bukan bermakna kita kalah. “Kita juga harus mempunyai objektif dan matlamat dalam kehidupan, supaya sasaran sijil paling tinggi itu dapat kita capai dengan jayanya,” katanya.
18 Sep 24
6671
Terengganu Sasar 16 Kumpulan Gamelan dalam Lima Tahun
Terengganu Sasar 16 Kumpulan Gamelan dalam Lima Tahun
KUALA TERENGGANU, 18 September - Terengganu menyasarkan pembentukan sekurang-kurangnya 16 kumpulan gamelan dalam tempoh lima tahun sebagai usaha memperkasa seni warisan gamelan di negeri ini. Pengarah Pelancongan Terengganu, Ahmad Ridzwan Abd Rahman berkata, inisiatif itu bermula dengan penyerahan peralatan gamelan secara pinjaman kepada empat buah sekolah bertujuan memastikan kesinambungan program gamelan serta melahirkan lebih ramai penggiat seni tempatan. "Setakat ini, hanya tiga kumpulan gamelan yang aktif di Terengganu. "Sasaran kita adalah untuk mewujudkan sekurang-kurangnya dua kumpulan bagi setiap daerah, menjadikan keseluruhannya 16 kumpulan di lapan daerah. "Jadi sebab itu pada permulaan ini inisiatif kita ialah berkolaborasi dengan 17 buah sekolah bagi mengembangkan dari segi muzik gamelan juga tarian," jelasnya. Beliau berkata demikian dalam Sidang media selepas program Memorandum Persefahaman (MoU)  Peminjam Alat Muzik Gamelan Melayu antara Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu di Dewan Jamuan, Tingkat 18, Wisma Darul Iman, pada semalam. Menurutnya, beliau turut menjelaskan bahawa Jabatan Pelancongan Terengganu akan menyediakan tenaga pengajar bagi memastikan program ini berjalan lancar. "Jadi target dalam lima tahun kita dapat melahirkan lebih ramai penggiat dalam seni warisan gamelan negeri Terengganu. "17 buah sekolah, satu buah sekolah lebih kurang 20 orang. Tetapi ada sekolah yang bilangan peserta 15-20 orang bergantung pada institusi.  "Dan sekolah ini juga sentiasa berkembang contohnya Sekolah Kubang Ikan pada peringkat awalnya kalau tak silap saya sembilan orang tapi sekarang ada dalam 15 orang," ujarnya. Beliau menambah, program ini mendapat sambutan yang sangat baik, bukan sahaja daripada pelajar tetapi juga ibu bapa. "Sebenarnya kita telah melaksanakan kolaborasi dengan sekolah dua tahun yang lepas dan lima tahun yang saya letak bermula pada tahun inilah.  "Yang akan datang ini di bawah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) melibatkan lebih 10 buah sekolah dan ada dua kategori muzik dan tarian," tambah beliau. Justeru itu, beliau menyeru pihak yang terbabit agar terus mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan negeri demi memastikan warisan gamelan ini terus berkembang dan terpelihara. "Jadi Kita sama-sama mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan kerajaan negeri," tambah beliau lagi. Bagi tarian gamelan, beliau menjelaskan bahawa polisi kerajaan negeri hanya membenarkan pelajar wanita berusia 12 tahun ke bawah untuk terlibat, sesuai dengan garis panduan yang ditetapkan.
17 Sep 24
173
Huffaz Al-Quran Antara 105 Penerima Biasiswa Petronas
Huffaz Al-Quran Antara 105 Penerima Biasiswa Petronas
KUALA TERENGGANU, 16 September - Petronas menaja seramai 105 anak Terengganu cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di bawah Program Penajaan Pendidikan PETRONAS (PESP) pada tahun ini. Salah seorang penerima, bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Menengah IMTIAZ Yayasan Kuala Terengganu, Aleeya Raihanah Roslan, 18, bukan sahaja memperoleh keputusan SPM semua A, malah berstatus hafizah Al-Quran pada umur 16 tahun dan juga dinobatkan sebagai Tokoh Ulul Albab. Berkongsi cerita, anak kelahiran Bukit Payong, Manir itu pernah hampir putus asa kerana tidak mampu mengimbangkan masa untuk akademik dan hafaz Al-Quran.   Katanya, selain itu masalah kewangan setiap bulan adalah biasa buat dirinya yang membesar dibawah jagaan nenek. "Pernah bertahan dengan RM3 sahaja sebulan menjadi perkara biasa kerana situasi kewangan ibu yang merupakan seorang guru di Sekolah Kebangsaan Rendah Serada Terengganu. "Rutin berpuasa pada setiap hari Isnin dan Khamis serta tidak menghampiri kantin ataupun koperasi adalah antara cara-cara saya mengawal perbelanjaan," ujarnya. Aleya dan ibunya, kini mampu mengukir senyuman apabila dia terpilih mendapat tajaan PESP dan bersedia mengubah kehidupan mereka sekeluarga apabila berjaya kelak. Anak sulung daripada empat beradik itu sedang melakukan persediaan pembelajaran ijazah kewangan di Kolej Yayasan UEM (KYUEM) sebelum menyambung pelajarannya di United Kingdom yang ditawarkan oleh PETRONAS.  Sementara itu, Muhammad Farid Latif yang merupakan bekas pelajar Sekolah Berintegrasi Batu Rakit, berjaya menghafaz 30 juzuk empat bulan sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2023. Dia berasal dari Bandar Almuktafi Billah Shah, Dungun Terengganu kini menyambung pengajian di Universiti Tekonologi PETRONAS (UTP) di dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal.  Anak Bongsu dari tujuh  beradik itu berkata sejak kecil dia tertarik dengan kerja bapanya yang merupakan pembantu jurutera mekanikal di JKR Kuala Terengganu. "Saya masih ingat semasa ayah menyelia projek jambatan di Tasik Kenyir saya menjadi semakin berminat dengan bidang tersebut. "Minat semakin mendalam apabila terpilih menyertai program Unlocking True Potentital di Universiti Teknologi PETRONAS pada 2023.  "Dari situ minat terhadap bidang mekanikal makin bertambah melihat robotik," ujarnya. Terdahulu, Petronas mengumumkan penajaan biasiswa bernilai RM320 juta buat 600 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 dari seluruh negara. Pengerusi PETRONAS Tan Sri Mohd Bakke Salleh berkata pemilihan dibuat daripada 5,847 pemohon, yang mana penerima dinilai berdasarkan kecemerlangan akademik, potensi kepimpinan dan penglibatan aktif mereka dalam aktiviti kokurikulum. "Para penerima biasiswa akan melanjutkan pelajaran mereka di universiti tempatan dan antarabangsa terkenal termasuk di Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Korea Selatan dan Jepun," ujarnya. Dalam pada itu, daripada jumlah keseluruhan penerima , 105 adalah pelajar dari Terengganu yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.
16 Sep 24
603
Pelajar Terengganu Bakal Luaskan Pengajian ke Cape Town
Pelajar Terengganu Bakal Luaskan Pengajian ke Cape Town
​KUALA TERENGGANU, 12 September - Kerajaan Negeri melalui Yayasan Terengganu akan menghantar pelajar pada tahun ini melanjutkan pengajian di Cape Town, South Afrika. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata kerajaan sedia menerokai pusat pengajian baharu bagi pelajar meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. “Kita sedang rancang hantar pelajar ke Cape Town, South Afrika, tahun ini ada dua pelajar bidang perubatan akan ke Universiti Cape Town, empat pelajar Pengajian Islam ke Peace Universiti. “Pelajar akan menuntut dalam buku teks bahasa arab, tetapi pertuturan digunakan adalah bahasa inggeris, pelajar sangat untung dapat kuasai dua bahasa,” katanya. Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Multaqa Badan Pengelola Institusi Pendidikan Islam Negeri Terengganu 2024 di dewan Auditorium, JHEAT. Kata Satiful Bahri, kerajaan sedia membuka peluang kepada pelajar daripada institusi persendirian yang berminat, boleh hubungi Yayasan Terengganu, akan tetapi segala perbelanjaan adalah di bawah tangungjawab ibu bapa sendiri. “Sebelum ini, kerajaan berjaya hantar pelajar menyambung pengajian ke Universiti samada di Tunisia, Qatar, Mesir, Jordan dan Turki, ada antaranya dapat peluang belajar secara percuma tanpa bayaran, ditanggung sepenuhnya oleh pihak Universiti, tapi kuota tersebut agak terhad. “Pihak kita juga sedia membantu dan buka ruang bagi mana-mana pelajar yang berminat sambung pengajian di Libya, Lubnan, Damsyik dan Yaman, kita ada peluang di sana tetapi segala perbelanjaan adalah ditanggung sendiri,” katanya. Seperti kebiasaan, pada tahun ini pihak kerajaan masih lagi meneruskan penghantaran pelajar ke Mesir, Turki, Jordan dan sebagainya. ​
12 Sep 24
278
Serius Perkasa Agama Melalui Institusi Pendidikan Islam
Serius Perkasa Agama Melalui Institusi Pendidikan Islam
KUALA TERENGGANU, 12 September - Kerajaan Terengganu melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) memberi perhatian serius untuk memperkasakan agama dengan memperkukuhkan institusi pendidikan Islam. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, kerajaan sedia memperkukuhkan fahaman masyarakat dengan penyuburan Pendidikan Islam. “Menjadi tanggungjawab dan amanah kita untuk memastikan masyarakat subur dengan Islam dan sedia mempertahankannya untuk ratusan tahun akan datang, salah satu jalannya adalah melalui sistem pendidikan Islam. “Masyarakat kita perlu diberi kefahaman agama yang utuh supaya ada jati diri dan keteguhan jiwa untuk berdepan dengan ideologi luar seperti liberalisme, sekularisme dan sebagainya,” ujarnya. Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Multaqa Badan Pengelola Institusi Pendidikan Islam Negeri Terengganu 2024 di dewan Auditorium, JHEAT. Turut hadir pada majlis tersebut Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu; M. Rozi Bidin, Pengarah JPINT; Lothman Awang dan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Rabitah Institusi Pendidikan Islam Terengganu, Muzaihar Kamal Mustapa Kamal.    
11 Sep 24
120
Terengganu Naikkan Tajaan Biasiswa Pelajar Cemerlang B40 ke RM1 Juta
Terengganu Naikkan Tajaan Biasiswa Pelajar Cemerlang B40 ke RM1 Juta
KUALA TERENGGANU, 11 September - Kerajaan negeri mengumumkan tajaan biasiswa YT-TI 'Young Talent Scholarship Programme' bagi tahun pengajian 2025\2026 akan dinaikkan sebanyak RM500,000 kepada RM1 juta setahun. Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ir Ahmad Samsuri Mokhtar ketika mengumumkan berita baik itu, merakamkan penghargaan kepada Kumpulan Terengganu Inc yang telah menjadi penyumbang program berkenaan yang kini memasuki tahun ketiga. "Program tajaan biasiswa bermula pada tahun 2022 dengan tajaan sebanyak RM500,000 kepada 10 pelajar cemerlang dari golongan B40 untuk melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah pertama. "Terengganu Inc juga pada tahun ini telah berkolaborasi dengan Yayasan Pendidikan Maidam bagi program biasiswa Tunas Scholar dengan dana awal sebanyak RM1.3 juta pada tahun 2024. "Program ini mensasarkan golongan anak-anak asnaf fakir, miskin dan fisabilillah yang layak bagi melanjutkan pengajian dalam bidang diploma kejururawatan dan fisio terapi," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan 'Terengganu Inc Group Corporate Director's Programme' (CDP 2024) di Pusat Konvensyen Duyong Marina, semalam. Program berkenaan menghimpunkan ahli-ahli lembaga pengarah syarikat di bawah kerajaan Terengganu sebagai usaha memastikan keberkesanan dalam melaksanakan tugas sekali gus dapat mengembalikan manfaat melalui Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kepada masyarakat. Tambahnya, Kumpulan Terengganu Inc telah membelanjakan sebanyak RM7.3 juta bagi enam bulan pertama 2024 untuk tujuan CSR. "Perbelanjaan CSR ini  disasarkan kepada kopmuniti, pendidikan. persekitaran, sukan, keagamaan dan sebagainya merangkumi sumbangan kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen, agensi, badan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain. "Oleh kerana dana agak terhad, maka bermula saat ini hingga seterusnya, kita akan aturkan CSR mengikut kumpulan sasar dengan objektif lebih khusus di tempat yang lebih bersasar. "Jumlah ini selari dengan jumlah CSR Kumpulan Terengganu Inc sebanyak RM11-12 juta setahun yang dibelanjakan syarikat itu sejak tahun 2018," ujarnya.          
11 Sep 24
1366
Kerjasama Ruane -TATIUC dan High Skills Technology Tepat Pada Masa
Kerjasama Ruane -TATIUC dan High Skills Technology Tepat Pada Masa
KEMAMAN, 29 Ogos - Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Ruane-TATI Sdn Bhd dan High Skills Technology Sdn bhd tepat pada masanya bagi memenuhi kehendak industri hari ini dalam usaha menyediakan latihan kemahiran bermutu tinggi. Pengerusi Lembaga Pengarah Ruane-Tati Sdn Bhd, Alias Harun berkata, melalui perjanjian persefahaman itu akan memastikan kedua-dua pihak mengorak langkah bagi merealisasikan perancangan untuk sentiasa relevan. "Sebagai sebuah institusi latihan dan peperiksaan, Ruane-TATI tampak konsisten dan mempunyai pelbagai misi dan perancangan strategik dalam aspek penjanaan ilmu dan kemahiran dalam menguasai peredaran pesat industri minyak dan gas sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa. "Sementara itu, saya difahamkan bahawa High Skills juga seperti syarikat-syarikat ND yang lain yang sentiasa berharap untuk menaik taraf penduduk-penduduk di Pantai Timur khususnya kepada satu kualiti sijil profesional tahap tinggi diiktiraf oleh kebanyakan dunia," ujarnya. Beliau berkata demikian di Majlis Menandatangani MoU diantara Ruana TATI Sdn Bhd dan High Skills Technology Sdn Bhd, di Bilik One Stop Centre, Kolej Universiti TATI, di sini, semalam. Pada majlis itu, dokumen MoU telah ditandatangani Alias yang mewakili Ruane-Tati Sdn Bhd, disaksikan oleh Pegawai Khas Parlimen Kemaman, Hazri Jusoh. Sementara di pihak High Skills Technology Sdn Bhd telah ditandatangani oleh, YM Tengku Rosmin Farhan Tengku Mohd Amin. Dalam pada itu, Tengku Rosmi berkata jalinan kerjasama antara dua pihak itu telah membina satu jambatan kerjasama strategik yang akan menghubungkan potensi dalam sektor kemahiran. "Kerjasama ini mencerminkan komitmen kita untuk meningkatkan kualiti inovasi, keselamatan, dan kompetensi dalam industri minyak dan gas yang semakin mencabar ini. "Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah berusaha keras dalam mempersiapkan dan merangka MoU ini. Kerjasama yang erat dan dedikasi anda semua telah membolehkan kita mencapai detik yang bersejarah pada hari ini. "Melalui Memorandum Persefahaman ini, kita bersetuju untuk menjalin kerjasama dalam bidang latihan, persijilan dan rangkaian perniagaan. Dengan memanfaatkan kepakaran masing2 dan sumber yang kita ada, saya amat yakin kita dapat mencapai matlamat tersebut dengan lebih berkesan," katanya. Ujarnya lagi kerjasama itu juga memberi peluang bagi meningkatkan daya saing di peringkat antarabangsa. "Bagi memperkenalkan idea-idea baharu dan memastikan bahawa industri kita tidak hanya bertahan, tetapi berkembang maju dalam menghadapi segala cabaran. "Kita harus ingat bahawa kejayaan kita tidak hanya diukur dari hasil kewangan semata-mata, tetapi juga dari anjakan paradigma kepada peserta dan impak positif yang kita bawa kepada masyarakat dan persekitaran," ucap beliau.  
29 Aug 24
317
SMK Bukit Sawa Cipta Sejarah, Juara 'Youth Aerospace Award at MyAero 2024'
SMK Bukit Sawa Cipta Sejarah, Juara 'Youth Aerospace Award at MyAero 2024'
KUALA TERENGGANU, 28 Ogos- Hasil usaha tujuh pelajar bersama seorang guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sawa, Marang berjaya membuahkan hasil apabila menjadi juara  dalam 'Youth Aerospace Award at MyAero 2024' yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini. Berdepan persaingan daripada sekolah-sekolah lain , pasukan  SMK Bukit Sawa  berjaya menarik perhatian juri melalui produk inovasi mereka,  iaitu reka bentuk sayap 'Expandable Wingtip with Winglet' untuk kegunaan pesawat peninjau tanpa pemandu. Guru pembimbing, Badrul Hisyam Zakaria berkata rekaan tersebut boleh meningkatkan keupayaannya untuk terbang lebih lama di udara dan meningkatkan jarak penerbangan untuk melengkapkan sesuatu misi “Pasukan kami  menjadi johan peringkat Kebangsaan dalam kategori 'Innovate, Design and Visualise' dalam pertandingan berprestij itu dan  membolehkan SMK Bukit Sawa membawa pulang hadiah wang ringgit bernilai RM1,000 dan trofi.  "Kemenangan ini adalah bukti kecemerlangan dan keupayaan pelajar dari sekolah kategori luar bandar untuk sama-sama bersaing di peringkat kebangsaan yang diwakili sekolah hebat termasuk Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Berprestasi Tinggi dari seluruh negara,”ujarnya kepada pemberita. Menurutnya, sekolah juga memenangi pakej Program Pemerkasaan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) & TVET (Latihan Teknikal dan Vokasional) berkaitan aero angkasa oleh industri dan institusi pendidikan di sekolah pada sesi pembelajaran tahun 2025. Inovasi tersebut adalah hasil usaha tujuh pelajar bersama seorang lagi guru, Noor Azmi Sulaiman yang dimulakan sejak Julai 2024 melalui pertandingan 'My Aero STEM Quest Innovate, Design and Visualise; Wing Design and Wind Tunnel Design'. Mengulas lanjut, beliau berkata, SMK Bukit Sawa telah mendapat tajaan daripada Terengganu Incorporated (TI) Sdn Bhd sejak tahun 2023 untuk memastikan program pembelajaran STEM dan pendidikan awal aeroangkasa yang berimpak tinggi dapat dijalankan di sekolah tersebut. Tambahnya, tajaan tersebut membolehkan pihak sekolah pergi lebih jauh dalam program inovasi bagi melahirkan pakar-pakar dalam bidang tersebut. "Kami teruja dengan kemenangan ini dan berharap agar lebih ramai pihak industri dan korporat dapat menyokong dan menaja program aeroangkasa di peringkat awal pendidikan. "Usaha ini penting untuk menarik lebih ramai minat pelajar dan seterusnya membolehkan mereka meneroka bidang aeroangkasa negara pada masa akan datang," katanya.
28 Aug 24
804
Nur Ain Kekalkan Penguasaan Emas Terengganu
Nur Ain Kekalkan Penguasaan Emas Terengganu
KUCHING, 16 Ogos- Skuad boling padang Terengganu mengekalkan penguasaan pingat emas bagi kategori individu wanita menerusi Nur Ain Kemilia Sukri, 21. Pada perlawanan di Sarawak Lawn Bowls Arena, Nur Ain menewaskan seteru dari Selangor, Nur Najla Damia Mustakim dengan skor 20-11. Anak kelahiran Kampung Kuala Ibai itu menyifatkan, kejayaan kali ini sangat bermakna baginya. "Ini kali kedua (penglibatan) untuk SUKMA jadi, bagi saya ia masa terakhir untuk saya, sebelum SUKMA lalu emak saya tiada (meninggal dunia) disebabkn kanser ovari peringkat keempat. "Sebelum SUKMA ini pula, saya juga kehilangan seorang ahli keluarga (pak cik), jadi saya nekad untuk mendapatkan pingat emas buat Terengganu kerana ia perkhidmatan terakhir saya," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas perlawanan akhir, di sini hari ini. Mengakui sukan boling padang agak baru buat dirinya, Nur Ain tidak menolak kemungkinan untuk tampil dalam skuad kebangsaan jika dipanggil. "Saya bermula tahun 2016 walaupun tidak tahu ia sukan apa. Cuma ada kawan yang sertai, jadi saya berminat. "Insya-Allah, kalau ada rezeki dipanggil, saya terima dengan hati terbuka dan saya akan cuba bagi komitmen sepenuhnya untuk masuk dalam skuad Malaysia," katanya. Dalam pada itu, Terengganu turut meraih pingat perak dalam acara bertiga lelaki yang tewas dalam perlawanan akhir kepada Wilayah Persekutuan, 9-15. Majlis penyampaian pingat di Sarawak Lawn Bowls Arena tadi disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang baru tiba di Kuching.
16 Aug 24
675