Artikel "Pelancongan" Terkini
Terengganu Sasar 5 Juta Pelancong Tahun Ini
Ariffin (dua dari kiri) menyambut ketibaan penumpang di Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Nerus pagi tadi. KUALA NERUS, 1 Januari - Kerajaan negeri meletakkan sasaran kehadiran pelancong ke Terengganu seramai lima juta orang tahun ini walaupun ia satu cabaran besar untuk mencapainya. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Ariffin Deraman berkata, mulai bulan ini kerajaan negeri menggerakkan promosi pelancongan dengan perancangan sebaik mungkin kerana walaupun sasaran tinggi tetapi ia menasabah untuk dicapai. "Kalau semua 'player' industri pelancongan termasuk pihak berkuasa tempatan memberikan sokongan dan memainkan peranan masing-masing bersama Duta Pelancongan Terengganu, Mat Dan, sasaran tersebut tidak mustahil boleh dicapai, " katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini hari ini.Ariffin (kanan) memasang iklan 'Beautiful Terengganu Malaysia' di sebuah teksi Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Nerus, pagi tadi. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat berkata, cabaran kemerosotan kedatangan pelancong berlaku akibat kekurangan kunjungan pelancong asing terutama dari negeri China. Punca lain termasuk kemerosotan ekonomi dunia menyebabkan berlaku sedikit kekurangan kedatangan pelancong ke negeri Terengganu. Katanya, kerajaan negeri meletakkan sasaran sebanyak 80 peratus kedatangan pelancong dari negara Malaysia sendiri manakala 20 peratus lagi dari pelancong asing. Kerajaan negeri sedang merangka strategi khusus untuk menarik pelancong luar ke Malaysia. Bagaimanapun strategi berkenaan masih dalam perbincang dan beliau tidak berhasrat untuk mendedahkannya kepada umum. Menurut beliau kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak kira-kira RM40 juta bagi memajukan industri pelancongan negeri Terengganu tahun ini. Terdahuu dari itu beliau bersama Timbalannya Ustaz Sulaiman Sulong meraikan ketibaan penumpang kapal terbang di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini dalam program meraikan pelancong ke negeri Terengganu sempena Sambutan Tahun Baru 2019 hari ini. Ia sebagi simbolik bermulanya Kempen Jom Singgah Beautiful Terengganu 2019 berkonsepkan mesra pelancong. Bermula hari pertama hari ini promosi pelancong akan diadakan sepanjang tahun dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan di setiap daerah.
01 Jan 19
173
Paya Bunga Hotel Terengganu Kini Dibuka
Dr. Ahmad Samsuri menurunkan tandatangan sebagai gimik perasmian Paya Bunga Hotel Terengganu.KUALA TERENGGANU, 30 Disember - Paya Bunga Hotel Terengganu, hotel patuh syariah yang berada di tengah-tengah bandar raya Kuala Terengganu kini dibuka untuk operasi.Berkonsepkan moden kontemporari, hotel dengan 208 buah bilik itu menawarkan kemudahan eksklusif kepada tetamu dari segenap lapisan masyarakat untuk bersantai sambil menikmati pemandangan indah Bandaraya Warisan Persisir Air.Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Dato' Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, bagaimanapun disebabkan beberapa masalah teknikal Paya Bunga Hotel pada masa kini hanya menyediakan 90 buah bilik dan selebihnya dijangka akan dibuka sepenuhnya bermula Mac depan.“Pembinaan hotel ini sudah siap cuma ada beberapa perkara kecil yang perlu dibaiki seperti bilik air dan sebagainya.“Yang sudah dibuka itu semua dalam keadaan sempurna cuma sebahagian bilik sahaja belum lengkap sepenuhnya,” ujarnya.Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Perasmian Paya Bunga Hotel Terengganu yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Camellia Grand Ballroom, Paya Bunga Hotel Terengganu, hari ini.Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A. Rahman Yahya.Katanya, hotel berkenaan menyediakan tujuh jenis bilik dengan harga terendah sekitar RM200.“Lebih menarik Paya Bunga Hotel turut menawarkan promosi di mana untuk Disember hingga 15 Januari ini harga bilik bermula dari serendah RM75."Malah lokasi strategik hotel ini bukan sahaja memberi pemandangan yang indah, tetapi juga memberi peluang kepada tetamu untuk menikmati kemudahan yang disediakan dengan tiga kompleks di sekelilingnya iaitu Paya Bunga Square, Paya Bunga Sentral dan Paya Bunga Plaza," ujarnya.Katanya, dengan adanya dua jambatan yang menghubungkan antara hotel dan kompleks-kompleks tersebut, tetamu dapat menikmati kemudahan seperti Pusat Transformasi Bandar (UTC), Panggung Wayang LFS dan Pusat Bowling Coral Crown Bowl.Tambah beliau, tetamu juga boleh menikmati pemandangan ‘rooftop’ yang indah sekitar bandar raya ini dari perkarangan kolam renang Paya Bunga Hotel Terengganu.“Kolam renang yang berada di tingkat 11 merupakan kolam renang aras tinggi pertama di Kuala Terengganu dan menawarkan pemandangan 360 darjah bandar Kuala Terengganu kepada tetamu,” ujarnya.
29 Dec 18
1986
Beca Bakal Promosikan Jejak Warisan Di Terengganu
Ustaz Ariffin Deraman, mengadakan Lawatan Kerja Menyantuni Penarik Beca & Peniaga/Pengunjung Pasar Payang bermula di Taman Syahbandar, Kuala Terengganu.KUALA TERENGGANU, 27 Disember -Kerajaan negeri sedia menghidupkan Jejak Warisan (Heritage Tail) menggunakan pengangkutan beca yang unik sebagai tarikan dalam mempromosikan pelancongan di Terengganu.Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Ariffin Deraman berkata, pihaknya sedia mentransformasikan beca sebagai satu produk pelancongan yang boleh memartabatkan keunikan pengangkutan tradisi sesuai dengan penjenamaan semula Bandaraya Warisan Pesisir Air."Produk warisan ini boleh diusahakan oleh golongan muda dengan mengambil konsep perkhidmatan beca di bandaraya Melaka."Saya yakin beca pelancongan ini mampu hidupkan Jejak Warisan (Heritage Trail) serta menarik lebih ramai pelancong mengenali produk-produk yang ada di sekitar bandaraya seperti Dataran Shahbandar, Pasar Payang, Kampung Cina, Pulau Wasisan dan banyak lagi menarik," katanya lagi.Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Penyerahan Sumbangan Insentif Kepada Pemilik Beca di perkarangan Pusat Penerangan Pelancongan, Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, di sini semalam.Seramai 47 pemilik beca menerima bayaran insentif sebanyak RM1,400 daripada Jun sehingga Disember 2018.Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ustaz Ahmad Shah dan Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Tun Faisal Tun Abdul Razak.Tambah Ariffin lagi, sudah tiba masanya generasi muda mengambil peluang menceburi pekhidmatan beca pelancongan yang menjanjikan pendapatan yang lumayan."Kita akan adakan pelbagai kursus seperti kursus keusahawanan, kursus bahasa Inggeris, sistem lalu lintas, kursus etika kepada anak muda yang berminat untuk jadikan ia sebagai sumber pendapatan sampingan."Sebagai tarikan, pakej-pakej lawatan sekitar bandaraya termasuk pakej bergambar boleh diperkenalkan termasuk strategi yang sesuai untuk memastikan beca ini sentiasa mendapat tumpuan pelancong seperti hiasan dan sistem audio yang boleh mempopularkannya," katanya.
26 Dec 18
554
Pulau Ranggut Potensi Baharu Pelancongan Terengganu
Kecantikan Pulau Ranggut mampu tarik pelancong.MARANG, 20 Disember - Pulau Ranggut yang terletak di mukim Merchang, Marang berpotensi dibangunkan sebagai salah satu mercu pelancongan baharu di daerah tersebut.Berkeluasan 55.4 hektar, pulau yang memiliki paya bakau dan berada betul-betul di hadapan kuala Merchang itu mempunyai pelbagai kelebihan untuk dibangunkan.Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman menjangkakan pulau itu akan menjadi destinasi eko pelancongan yang menarik negeri Terengganu."Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Tok Amat atau Gong Kassim telah mengutarakan cadangan pembinaan Chalet Paya Bakau di bawah projek ekonomi Program Desa Lestari."Berdasarkan tinjauan, saya amat berharap projek kerjasama Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang bernilai RM4 juta ini membuahkan hasil," katanya kepada pemberita ketika meninjau kawasan cadangan di lokasi hari ini.Ariffin harap projek Chalet Paya Bakau membuahkan hasil.Beliau hadir bersama Timbalannya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong turut meninjau projek pembinaan jambatan Pulau Ranggut yang telah siap sekitar 50 peratus."Jambatan ini dijangka siap April tahun depan. Dijangkakan dengan adanya akses jalan, ianya akan memudahkan lagi pembangunan di sini," katanya.Sulaiman Sulong.Dalam pada itu, Sulaiman menyatakan Pulau Ranggut termasuk dalam Rancangan Tempatan (RT) daerah untuk dibangunkan sebagai Desa Lestari."Kita juga merancang penempatan khusus nelayan yang tersusun bagi memastikan para nelayan mendapat ruang kebajikan yang diperlukan."Kita juga akan memastikan muara Merchang dibaiki dan dibina benteng pemecah ombak."Setakat ini, semua yang dirancang berada pada garis yang betul seperti yang kita kehendaki. Penerangan MPKK tentang cadangan pembangunan."Diharapkan pejabat daerah dan pihak-pihak lain yang terlibat dapat memastikan perjalanan projek ini sentiasa lancar dan teratur," katanya.Turut hadir Pegawai Daerah Marang, Mat Azmi Arshad dan Yang Dipertua Majlis Daerah, Anuar Awang.Jambatan Pulau Ranggut hampir siap.
20 Dec 18
530
ECTC Ketepi Perbezaan Demi Majukan Pelancongan
Ariffin menandatangani simbolik kerjasama antara negeri ECTC.Oleh: Ahmad FadhilahKUALA TERENGGANU, 13 Disember - Sektor pelancongan akan dibangunkan sesuai dengan kehendak rakyat sekali gus menjana ekonomi mereka.Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman memaklumkan, satu usaha sama telah dijalin antara empat buah negeri wilayah pantai timur iaitu Terengganu, Kelantan, Pahang dan Johor Timur dalam usaha memajukan sektor pelancongan pada awal Disember lalu.Usaha sama yang dikenali sebagai Kerjasama Strategik Koridor Pelancongan Pantai Timur (ECTC) itu adalah gerakan baharu yang diwujudkan bagi meningkatkan pendapatan negeri melalui industri pelancongan. "Kita telah sepakat untuk bekerjasama dan saling membantu bagi memajukan negeri di pantai timur walaupun berbeza pentadbiran."Kerajaan negeri mengetepikan fahaman perbezaan parti politik dan bersikap terbuka demi memajukan sektor pelancongan di negeri masing-masing," katanya kepada pemberita baru-baru ini. Kerjasama membina jaringan pelancongan lebih meluas.Beliau yang merasmikan Pameran Menelusuri Karya Seni Norhaiza 2018 di Kompleks Muzium Negeri dua hari lalu turut menyatakan peningkatan sasaran pelancong bagi tahun 2019."Seramai lima juta pelancong disasarkan berkunjung ke negeri ini tahun hadapan berdasarkan inisiatif yang dibincangkan dalam usaha sama ini."Pelancongan adalah sumber utama kepada negeri-negeri di pantai timur dan lebih penting, ia memberikan manfaat kepada rakyat," katanya.ECTC turut dihadiri Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Al-Haj Sultan Ibrahim, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Perladangan Pahang, Dato' Sri Mohd Sharkar Shamsuddin dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan Johor, Liow Cai Tung.
12 Dec 18
44
Besut Bakal Jadi 'Mini Terengganu'
Haji Mohd Nurkhuzaini (kiri) di Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Derah Besut baru-baru ini.BESUT, 12 Disember - Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Haji Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, idea cadangan (proposal) 'Venue Of Besut' seorang pemimpin bukan kerajaan akan dipertimbangkan untuk diguna pakai bagi memajukan daerah Besut sebagai 'Mini Terengganu'.Ini kerana katanya, semua tempat menarik sebagai destinasi pelancongan terdapat di daerah itu termasuk pulau, pantai, sungai, air terjun, tasik dan air panas sekali gus ia menjadi destinasi terkenal di dalam dan luar negara jika ia dimajukan."Pulau Perhentian sebagai contoh memang dikenali di kalangan pelancong asing tetapi destinasi lain yang ada di daerah Besut tidak banyak didedahkan kepada pelancong menyebabkan ia kurang menjadi tumpuan kepada pelancong asing," jelasnya ketika diwawancara oleh sebuah saluran media secara langsung di sini hari ini.Katanya daerah Besut boleh disifatkan sebagai 'Mini Terengganu' kerana apa yang ada di Terengganu ada di dearah tersebut.Cuma jelas beliau, keindahan alam di daerah tersebut perlu diintegrasikan sehingga penduduknya turut mendapat manfaat hasil dari kedatangan pelancong luar dan dalam negeri."(Sebelum diintegrasikan) Pelancong datang ke Pulau Perhentian tidak dapat manfaat yang banyak kepada penduduk Besut sendiri."Pelancong datang 'parking' kereta di Kuala Besut dan Kampung Raja, mereka menaiki bot (untuk ke pulau itu) pergi dan balik, orang Besut hanya duduk minum di kedai kopi, mereka kira (pelancong) datang ramai, ada empat buah bas, 30 buah kereta, orang Besut hanya dapat melihat sahaja, tidak dapat manfaat untuk mereka kecuali orang di Pulau Perhentian," jelas beliau.Justeru, Haji Mohd Nurkhuzaini mahu melihat integrasi dibuat hasil dari ratusan ribu kedatangan pelancong ke daerah tersebut untuk manfaat penduduk setempat.Mengulas mengenai 'proposal' itu lagi, Haji Mohd Nurkhuzaini yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kota Putera berkata, jaluran yang dibuat dalam cadangan itu adalah suatu yang menarik kerana keindahan alam yang ada di daerah itu lebih baik berbanding negara-negara luar."Cuma tempat kita (Besut) tidak dimajukan dan didedahkan keindahan alamnya kepada para pelancong yang berkunjung ke Besut," jelas beliau.Cadangan itu menjelaskan tentang kawasan yang perlu dimajukan bermula dari Kampung Raja sehingga Sungai Keluang dengan keaslian alamnya masih lagi kekal termasuk pokok nipah, biawak, monyet dan hidupan sungainya."Semua ini bagi pelancong mempunyai nilai tersendiri dan saya bercadang untuk mengambil alih cadangan tersebut dengan beberapa pindaan," jelas beliau.
12 Dec 18
99
Terengganu Mahu Hidupkan Semula Seni Kain Telepuk
KUALA TERENGGANU, 12 Disember - Kerajaan Negeri Terenggganu akan membantu usaha tokoh pengukir terkenal Malaysia, Norhaiza Nordin yang mahu menghidupkan semula seni penghasilan kain telepuk yang sudah pupus di negara ini.Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Arifin Deraman berkata, perincian bantuan itu akan diputuskan setelah mengadakan perbincangan lanjut bersama pengukir tersebut tidak lama lagi."Kain telepuk adalah antara koleksi yang dipamerkan beliau sempena Pameran Menelusuri Karya Seni Norhaiza Noordin di Kompleks Muzium Negeri Terengganu yang bermula 1 Disember lalu. Kain telepuk ini adalah sejenis tekstil yang dipakai oleh raja-raja Melayu Terengganu sekitar 1870-an," ujarnya.Katanya, penghasilannya sangat sukar dan unik dan ia akan ‘mati’ dan hilang di dunia ini jika tidak dihidupkan kembali.“Kita rakyat Terengganu bahkan Malaysia sepatutnya berbangga dengan Nor Haiza Nordin kerana selain daripada hasil pengumpulan seni khat yang beliau hasilkan sendiri, sebenarnya terdapat keunikan yang kita baru sedar, antaranya seni kain telepuk."Ini satu usaha yang sangat murni, jadi pada saya perlu ada satu usaha yang sungguh-sungguh daripada pihak berkenaan kerana kalau kita tidak jaga, ia akan mati,” ujarnya.Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Pameran Menelusuri Karya Seni Norhaiza 2018 yang diadakan di Kompleks Muzium Negeri semalam.Menurut Arifin, warisan itu telah dihidupkan kembali oleh Norhaiza Nordin yang berasal dari Besut, Terengganu yang kini menjadi rujukan dalam bidang seni ukir dan motif. Sehubungan itu, Norhaiza berkata, kerajaan negeri amat perlu mengangkat kembali seni kain telepuk tersebut.“Seni ini ambil masa berbulan-bulan untuk siap, jadi itu yang mengakibatkan seni ini telah pupus,” tegas beliau.Kata beliau, antara sebab seni tersebut makin hilang adalah apabila permintaan daripada istana sudah tidak ada.“Insya-Allah lepas ini Terengganu kena angkat balik seni yang pernah ulung pada suatu ketika dahulu,” tambah beliau.
11 Dec 18
1595
Terengganu Sasar Lima Juta Pelancong Pada 2019
KUALA TERENGGANU, 12 Disember - Kerajaan Negeri Terengganu mensasarkan jumlah pelancong ke negeri itu sebanyak lima juta orang pada tahun 2019.Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Arifin Deraman berkata, ia adalah melebihi angka yang disasarkan pada tahun ini."Kita sasar lima juta kedatangan pelancong pada tahun depan insya-Allah. Tahun ini kita belum dapat angka sebenar (kedatangan pelancong) kerana masih berbaki sebulan lagi dan kita baru sahaja menghadiri bengkel bersama Kelantan, Johor dan Pahang bagi membincangkan usaha menarik pelancong,” ujarnya.Antara cadangan yang dibincangkan ialah untuk menganjurkan pakej mendaki tujuh buah gunung di ketiga-tiga negeri ini.Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Pameran Menelusuri Karya Seni Norhaiza 2018 yang diadakan di Kompleks Muzium Negeri semalam.Sehubungan itu, Ustaz Arifin berkata, kerajaan negeri akan meneruskan dasar-dasar pelancongan sedia ada yang baik dan akan membuat penambah baikan kepada mana-mana yang kurang.Antaranya kata beliau, kerajaan akan meningkatkan pelbagai aktiviti bagi menjadikan Taman Tamadun Islam sebagai tumpuan."Kita dah buat baik pulih dan ada sedikit masalah berlaku di bahagian atas Masjid Kristal. Jadi, insya-Allah dalam masa seminggu dua lagi ianya akan siap dan dibuka kepada umum.“Kita juga sedang merangka untuk mengadakan pelbagai program, antaranya program Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) yang akan dilaksanakan di Taman Tamadun Islam dan sebelum ini kita dah pernah mengadakan program, antaranya Program Memperingati Itqan Al-Muluk Bita'dil As-Suluk (Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu) baru-baru ini,” jelasnya.
11 Dec 18
56
RM151.64 Juta Baik Pulih Laguna Kuala Setiu
Satu pemandangan Indah di Laguna Kuala Setiu.KUALA TERENGGANU, 3 Disember - Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM151.64 juta bagi memulihkan Laguna Kuala Setiu sebagai destinasi ekopelancongan tanah lembab (Wetlands) terbesar di Malaysia.Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, peruntukan tersebut digunakan untuk Projek Muara Sungai (Breakwater) Kampung Mangkuk, Permaisuri, Setiu sebanyak RM150 juta dan dijangka ditender pada Februari tahun depan. Katanya, ia juga digunakan untuk Projek Menaiktaraf Ban Pantai Lagun Setiu, Gong Batu, Setiu berjumlah RM8.22 juta. Projek itu kini sudah 55 peratus siap berbanding sasaran awal 58 peratus sepatutnya siap.Manakala Projek Melebar dan Mendalamkan Muara Sungai Kampung Kuala Baru Mangkuk, Permaisuri, siap sepenuhnya dengan peruntukan sebanyak RM8.18 juta.Dr Ahmad Samsuri berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri, Dato' Abd Halim Jusoh dalam Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke -14 di Wisma Darul Iman di sini, baru-baru ini.ADUN itu juga ingin tahu perancangan kerajaan negeri untuk memulihkan Laguna Kuala Setiu dalam kawasan DUN Permaisuri dan jumlah peruntukkan disediakan bagi tujuan tersebut.Menurut maklumat Wikipedia, Laguna Setiu (Setiu Wetlands) atau Tanah Bencah Setiu, sebahagian daripada ekosistem Lembangan Sungai Setiu dan juga sistem yang lebih besar gabungan lembangan tanah lembap kompleks Setiu-Chalok-Bari-Merang terletak di Terengganu di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Bot nelayan yang berlabuh di Muara Sungai Setiu.Ia berkeluasan 23,000 hektar, terdiri daripada lapisan hutan riparian tebing sungai, paya gambut, paya bakau, lagun air payau dengan tumbuhan dan pulau-pulau pasir, katil rumput laut dan pantai berpasir.Di Malaysia, hanya tanah lembap di Daerah Setiu mempunyai sembilan ekosistem yang saling berhubungan iaitu laut, pantai, lumpur, lagun, muara, sungai, pulau, hutan di sepanjang pantai dan paya bakau.Tanah lembap Setiu bukan saja unik, malah kawasan yang cantik dan kaya dengan kelainan flora dan fauna digabungkan dengan laut, air yang bersih, haiwan di hutan dan juga bukit di sepanjang pantai.Pantai berpasir, pulau pasir dan tebing sungai adalah tempat bersarang bagi pembiakan terbesar tuntung di Malaysia dari spesies Terrapin Dicat (Callagur borneoensis) dan di situ juga adalah antara beberapa tapak pendaratan penyu hijau (Chelonia mydas) yang diambang kepupusan. Kedua-dua terrapin dicat dan penyu hijau adalah spesies terancam yang masih boleh dilihat berada di Laguna Setiu.
03 Dec 18
807
Kerajaan Negeri Komited Pastikan Khazanah Alam Kekal Terpelihara
KUALA TERENGGANU, 2 Disember - Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ustaz Ariffin Deraman menyifatkan Bajet Terengganu 2019 adalah seimbang dan menyeluruh.Katanya, dengan peruntukan sebanyak RM2.015 bilion, ianya dilihat bakal memberi inisiatif dan menunjukkan komitmen dan kesungguhan kerajaan negeri dalam memajukan negeri sekaligus menjaga kebajikan rakyat.“Kerajaan negeri komited dalam memastikan kestabilan terus terpelihara dan berterusan di negeri ini bukan sahaja dalam aspek politik tetapi juga ekonomi dan sosial.“Malah penekanan kerajaan negeri terhadap kestabilan berterusan adalah untuk memastikan rakyat di seluruh pelusuk negeri ini mendapat manfaat daripada program pembangunan yang dilaksanakan termasuk dalam sektor pelancongan dengan memperuntukkan sebanyak RM48.5 juta untuk membangun industri pelancongan negeri berasaskan kepada tujuh sub sektor,” ujarnya.Beliau berkata demikian ketika bersiaran menerusi radio Manis FM, hari ini.Katanya, ianya termasuk Pelancongan Ekologi (Eco Tourism), Pelancongan Tani (Agro Tourism), Pelancongan Islam (Islamic Tourism), Pelancongan Budaya (Culture Tourism), Pelancongan Sukan (Sports Tourism) dan Pelancongan Kesihatan (Health Tourism).Katanya, langkah tersebut melambangkan usaha dan komitmen kerajaan negeri bagi memastikan kelestarian khazanah alam semula jadi yang perlu dipelihara bagi mengekalkan ekosistem.“Dengan mengambil kira sebarang pembangunan adalah berkonsepkan keseimbangan lestari tanpa menjejaskan alam sekitar dan memberi manfaat kepada komuniti setempat selain menggamit kedatangan pelancong,” ujarnya.
01 Dec 18
53