lightning-solid
Berita :

Artikel "Pelancongan" Terkini

Sekumpulan Wanita Pamer Bakat Candat Sotong
Sekumpulan Wanita Pamer Bakat Candat Sotong
Oleh: Aslam Wira MARANG, 26 Jun - Seramai 18 peserta wanita mempamerkan bakat masing-masing dalam aktiviti mencandat sotong di Marang hari ini yang sekali gus mampu merancakkan lagi sektor pelancongan di Terengganu. Aktiviti anjuran persendirian itu, mendapat penyertaan daripada kalangan pelancong luar negeri Terengganu seperti Kuala Lumpur, Kedah dan Pahang. Pengarah Program, Nur Hidayah Ali berkata, apa yang menarik dalam program ini adalah kesemua peserta adalah merupakan wanita, isteri dan ibu kepada anak-anak. "Mereka yang turun untuk aktiviti kali ini adalah yang sukakan aktiviti luar dan mencabar di samping untuk menambah kemahiran serta ilmu berkaitan kelangsungan hidup di laut," katanya kepada wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas program. Menurutnya lagi, perempuan tidak boleh menghadkan diri daripada aktiviti yang bermanfaat dan memberikan kemahiran seperti ini. Aktiviti mecandat sotong di kalangan wanita itu merupakan anjuran kali kedua, setelah mendapat sambutan yang baik. Sementara itu, pemilik bot Romzi Ramlee berkata, aktiviti mencandat sotong mula mendapat sambutan selepas diumum oleh Kerajaan Negeri berkenaan kebenaran aktiviti tersebut. "Pelancong luar dari luar Terengganu yang meminati aktiviti ini sudah mula menyewa bot-bot nelayan seperti tahun-tahun sebelum ini. "Ia sekali gus memberikan peluang untuk menambah rezeki setelah menempuhi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengatasi pandemik COVID-19. “Walau bagaimanapun aktiviti nelayan menangkap ikan dan meneruskan rantaian makanan hasil laut tetap diteruskan dan dibenarkan,” ucapnya lagi.
02 Jul 20
326
Pendaratan Penyu Di Terengganu Naik 70 Peratus
Pendaratan Penyu Di Terengganu Naik 70 Peratus
KUALA TERENGGANU, 27 Jun - Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Rantau Abang di Dungun merekodkan peningkatan jumlah pendaratan penyu sebanyak 3,783 dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini. Ketua PKPP Rantau Abang Mohammad Firdaus Abdillah berkata ia adalah peningkatan hampir 70 peratus berbanding 2,573 pendaratan penyu dalam tempoh yang sama tahun lepas. "Kami tidak menolak kemungkinan bahawa pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas telah meningkatkan pendaratan penyu di Terengganu kerana kurangnya gangguan di pantai sepanjang tempoh berkenaan. "PKP ini tidak boleh dijadikan parameter ukuran kerana ianya baru terjadi pada tahun 2020 dan tidak boleh dijadikan rujukan disebabkan tiada PKP sebelum ini yang telah berulang. "Selain itu, pantai pendaratan penyu utama di negeri Terengganu sememangnya telah diletakkan notis larangan orang awam berada di pantai bermula pukul lima petang sehingga lapan pagi. Oleh itu, perubahan trafik orang awam ke pantai sangat minimum sama ada sebelum atau sepanjang tempoh PKP. "Bagaimanapun, impak PKP sangat positif terutama di pulau-pulau peranginan kerana trafik bot pelancong berkurangan dengan mendadak dan kesannya dapat dilihat dengan berkurangnya laporan kematian penyu kerana terkena kipas bot," katanya kepada Bernama semalam. Daripada jumlah 3,783 pendaratan itu, 3,780 adalah pendaratan penyu Agar manakala tiga lagi adalah pendaratan penyu Karah. Dalam pada itu, Mohammad Firdaus berkata berdasarkan rekod dan kerja pemuliharaan penyu yang telah dijalankan sejak tahun 1990-an yang mana beberapa tempat telah dijadikan pusat pemuliharaan penyu, pihaknya tidak menolak kemungkinan anak penyu yang telah ditetaskan pada tahun 2000 telah mula naik mendarat pada tahun ini setelah mencapai tempoh matang untuk bertelur. "Jika perkara ini benar, maka, lambakan penyu akan bermula tahun 2020 dan akan terus menerus meningkat untuk tahun-tahun mendatang. "Pendapat ini juga berasaskan kepada pendaratan di Pulau Redang yang bermula pada tahun 1993 dan berlaku peningkatan pendaratan penyu pada tahun 2013 iaitu selepas 20 tahun program pemuliharaan dilaksanakan," katanya. -Bernama
02 Jul 20
232
Tingkat Promosi Produk Pelancongan Pulau Redang
Tingkat Promosi Produk Pelancongan Pulau Redang
Oleh : Ammaar Salehudin SETIU, 27 Jun - Kerajaan negeri menyarankan supaya pengusaha-pengusaha pelancongan di Kampung Pulau Redang di sini meningkatkan promosi produk mereka. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, kewujudan 'guest house' dan 'homestay' dengan pelbagai konsep harus menjadi senjata untuk menarik pelancong datang menginap. "Jangan biarkan rumah penginapan ini kurang mendapat sambutan, kita mesti tingkatkan promosi supaya orang tahu kewujudan kita," katanya menerusi program dialog bersama masyarakat Kampung Pulau Redang semalam. Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan negeri bersama agensi-agensi terlibat sedia untuk membantu mengangkat produk-produk ini agar lebih dikenali sekali gus menjadi pilihan pelancong untuk menginap. "Kita perlu bantuan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta usahasama kerajaan negeri bagi mempromosikan 'homestay' dan 'guest house' di Kampung Pulau Redang. "Pengusaha juga perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) barulah tidak timbul isu 'homestay' dan 'guest house' tidak menarik dan sebagainya," ujarnya. Katanya lagi, kerjasama antara penduduk-penduduk kampung juga perlu bagi meningkatkan kerancakkan pelacongan di pulau terbabit. Dalam pada itu, Ariffin memberitahu kehadiran pengunjung ke Pulau Redang semakin meningkat selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang membenarkan pergerakan rentas negeri.
02 Jul 20
225
KETENGAH Sumbang RM152,700 Untuk 86 Pengusaha Pelancongan Di Tasik Kenyir
KETENGAH Sumbang RM152,700 Untuk 86 Pengusaha Pelancongan Di Tasik Kenyir
HULU TERENGGANU, 21 Jun - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH)  memperuntukkan sebanyak RM152,700 dalam usaha memulihkan sektor pelancongan di Tasik Kenyir yang terjejas teruk disebabkan pandemik COVID-19 Pengerusinya, Senator Dato' Razali Idris berkata penutupan semua sektor ekonomi sejak 18 Mac memberi impak besar kepada pendapatan rakyat. Katanya, sumbangan yang dilakukan oleh pihak Ketengah merupakan inisiatif untuk membantu sektor pelancongan di Tasik Kenyir agar terus berdaya saing dalam era kebiasaan baharu. "Pada hari ini KETENGAH akan menyalurkan sumbangan yang melibatkan seramai 86 orang pengusaha iaitu seramai 25 orang pengusaha rumah bot (rosak) yang akan menerima RM5,000 seorang, "Selain itu seramai 33 orang pengusaha rumah bot diperuntukan sejumlah RM500 seorang, 20 orang pengusaha bot laju diperuntukan sejumlah RM400 seorang dan lapan orang pengusaha kedai bakal menerima RM400 seorang. Beliau berkata demikian di Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Pengusaha Pelancongan Tasik Kenyir, hari ini. Turut hadir, Pengerusi Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA); Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Dato' Rozi Mamat; Pengurus Besar KETENGAH, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa dan Pengerusi Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir,  Zalani Endut. Menurut beliau, sumbangan ini juga selaras dengan pengumuman kerajaan negeri yang membenarkan  pembukaan semula semua aktiviti dan lokasi pelancongan secara berperingkat bagi menggerakkan sektor ini di Terengganu. Tambahnya lagi, pengusaha pelancongan dingatkan supaya sentiasa mematuhi standard operating procedures (SOP) yang bersesuaian dengan normal baharu. "Ia merupakan amalan penjarakkan sosial dan penjagaan kebersihan yang optimum di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini," ujarnya. Sementara itu, Razali turut menyarankan supaya persatuan pelancongan mengadakan satu bengkel bagi mencari resolusi untuk memulihkan serta meningkatkan sektor ini di Tasik Kenyir. "Bengkel ini perlu dan ia bukan perkara biasa kerana kita perlu fikirkan yang terbaik untuk memulihkan sektor pelancongan di Tasik Kenyir dan ia mampu meningkatkan kehadiran pengunjung ke sini," tambahnya.  
02 Jul 20
145
Terengganu Perkenal Tiga Fasa Pakej Rangsangan Pelancongan
Terengganu Perkenal Tiga Fasa Pakej Rangsangan Pelancongan
KUALA TERENGGANU, 21 Jun - Kerajaan Terengganu memperkenalkan tiga fasa pelan rangsangan bagi memperkasa kembali industri pelancongan di negeri tersebut susulan pandemik COVID-19. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, ia sebagai nilai tambah kepada sektor berkenaan dengan sasaran pelancong domestik. Katanya, menerusi fasa pertama yang lebih kepada menangani impak COVID-19 terhadap sektor pelancongan Terengganu, pihaknya giat mempromosikan pelancongan secara atas talian terutamanya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini. “Kita juga memberikan sumbangan kit penjagaan diri yang mengandungi pelitup muka, ‘hand sanitizer’, sarung tangan getah dan beberapa peralatan lain kepada kakitangan barisan hadapan dan pengamal media pada waktu PKP lalu,” ujarnnya. Beliau berkata demikian ketika bersiaran secara langsung dengan tajuk Mendepani COVID-19 : Pemerkasaan Industri Pelancongan Negeri Terengganu di Rancangan Assalamulaikum terbitan TV Alhijrah, hari ini. Ariffin berkata, menerusi pakej fasa kedua, bantuan ‘one off’ kepada pengayuh beca, pengusaha bot penambang, pemandu pelancong dan malim gunung yang layak merupakan antara usaha kerajaan negeri untuk melestarikan pelancongan Terengganu. “Sementara, fasa ketiga pula lebih kepada usaha memacu pertumbuhan sektor pelancongan Negeri Terengganu,” ujarnya. Dalam pada itu, Ariffin memberitahu kehadiran pengunjung ke negeri itu semakin meningkat selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengumumkan PKPP yang membenarkan pergerakan rentas negeri. Katanya, Terengganu merupakan antara negeri terawal dikategorikan sebagai zon hijau dan selamat untuk dikunjungi. “Saya sarankan kepada seluruh rakyat Malaysia, pilihlah Terengganu sebagai destinasi utama untuk percutian anda kerana terlalu banyak keindahan di negeri ini termasuk, pulau, pantai, taman-taman semula jadi yang menjanjikan keseronokan,” ujarnya.  
02 Jul 20
67
Pulau Kekabu Kini Dibuka dengan Norma Baharu
Pulau Kekabu Kini Dibuka dengan Norma Baharu
MARANG, 17 Jun - Destinasi Peranginan dan Perlancongan di daerah Marang antaranya Pulau Kapas dan Pulau Kekabu mula dikunjungi orang ramai sebaik dibuka mulai 5 Jun lalu. Tinjauan mendapati hampir setiap hari terutama hujung minggu jumlah pengunjung terutama yang datang bersama keluarga akan meningkat. Yang Dipertua Majlis Daerah Marang (MDM), Muhammad Huzaili Nizam Ibrahim berkata, melihat keadaan itu, MDM  bersama beberapa pihak berkepentingan lain mengambil beberapa langkah tertentu agar pengunjung patuh dengan  Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika bersantai. Antaranya menempatkan beberapa anggota penguatkuasa MDM pada hari tertentu, termasuk Jumaat dan Sabtu bermula seawal jam  7.00 pagi - 6.00 petang. “Langkah ini diambil bagi memastikan pengunjung mengamalkan penjarakan sosial dan mengelakkan daripada berkumpul secara beramai-ramai, melebihi jumlah yang dihadkan. “Pihak kami akan sentiasa memerhati serta menegur mana-mana yang melanggar SOP dan jika ingkar mereka boleh dikenakan saman,” katanya ketika dihubungi pemberita UPDI. Menurutnya, sebarang aktiviti yang bersentuhan seperti bermain bola pantai masih dilarang sama sekali. “Jika mahu 'Barbeque' (BBQ) perlu mendapat kebenaran daripada pihak MDM terlebih dahulu,” katanya. Terdahulu, pengunjung daripada Felda Chini, Pekan Pahang, Mustafa Kamal Saabayuddin, 39 ketika ditemui berkata  dia dan keluarga sangat teruja dapat menikmati udara segar di sini selepas sekian lama berkurung di rumah. Syafiq Hakimi Abu Bakar, 17, pelajar SMK Pengkalan Berangan pula berkata dia dan kawan-kawan datang ke Pulau Kekabu untuk berjoging tetapi SOP pencegahan Covid-19 tetapi beliau tidak lupa untuk amalkan seperti memakai penutup muka dan hidung.
02 Jul 20
391
Boleh Doh Candat Sotong Di Terengganu
Boleh Doh Candat Sotong Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 12 Jun - Kerajaan Terengganu secara rasminya membuka kembali program mencandat sotong bagi penggemar aktiviti tersebut di kalangan orang awam. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman memaklumkan, kerajaan negeri telah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) lengkap sebagai panduan mencandat sotong sesuai ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN). “Kita hendak buktikan kepada rakyat Malaysia bahawa program ini tiada masalah diadakan pada musim Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini. “Kami telah menyediakan SOP yang memang sangat ketat, seperti menyediakan penanda merah bagi menentukan jarak yang sepatutnya. Kemudian kita ada pencuci tangan, pemeriksaan suhu dan kita memastikan bahawa setiap bot mesti dan wajib mengikutinya,” katanya. Beliau berkata demikian ketika mengadakan Demonstrasi Garis Panduan Aktivit Mencandat Sotong di Jeti Duyong & Marina Resort, di sini semalam. Tambahnya, sebuah bot mencandat yang biasanya memuatkan 10 hingga 15 penumpang akan dikurangkan kepada sekitar tujuh hingga lapan penumpang sahaja bagi mengekalkan pematuhan SOP. Namun, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat itu, harga bagi menyertai aktiviti itu dijangka tidak akan meningkat.   “Perkara ini memang diakui oleh pihak pengusaha sendiri, sebagai contoh bot, kalau dulu mereka bagi sewa RM1,500 satu malam, memang mereka pun mengakui tak boleh mengenakan kos sebegitu lagi dengan kapasiti penumpang kurang hampir separuh berbanding dulu. “Mereka kena fikir suasana baharu di mana sektor pelancongan amat terkesan dan menyediakan kaedah sepatutnya,” katanya. Jelasnya, isu yang paling utama mengakibatkan kos tinggi sebelum ini ialah minyak dan dengan pengurangan harga petrol kini, kosnya tidak akan tinggi. Ariffin juga menyatakan keyakinan bahawa industri pelancongan negeri itu akan kembali pulih secara perlahan-lahan. “Sebab dahulu fokus utama ‘mainland’ tanah besar untuk pelancong tempatan manakala pulau lebih kepada pelancong luar negara. “Sekarang kita fokus pelancong tempatan sebab itu kita yakin dengan pembukaan balik sempadan antara negeri ini kembali merancakkan pelancongan Terengganu. “Bahkan pengusaha di pulau-pulau telah mengubah strategi mereka dengan fokus kepada pelancong tempatan antaranya dengan mengurangkan harga bilik dan pakej menarik,” tambah beliau.
02 Jul 20
134
DMR Sasar Pelan Pemulihan Dalam Tempoh Enam Bulan
DMR Sasar Pelan Pemulihan Dalam Tempoh Enam Bulan
KUALA TERENGGANU, 11 Jun – Duyong Marina & Resort (DMR) mula melaksanakan beberapa pelan strategik sebagai langkah pemulihan sektor itu, yang terjejas susulan penularan COVID-19 untuk tempoh enam bulan pertama. Pengurus Besarnya, Wan Mohd Faizul Wan Abas berkata, pelaksanaan  ini perlu kerana apabila wabak pandemik berkenaan melanda dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada pertengahan bulan Mac, pihak DMR  kehilangan sasaran pendapatan hasil pendapatan utama  daripada tempahan bilik penginapan dan program. Katanya, pelan pemulihan yang terbahagi kepada dua aspek utama  ini juga bertujuan untuk memastikan 138 kakitangan DMR tidak terjejas dari segi pendapatan dan kedudukan mereka. “Yang pertama adalah aspek dalaman yang mana  kami tangguhkan perbelanjaan yang bukan dalam kategori penting termasuk pembelian-pembelian aset untuk tarikan baharu seperti basikal resort, mini waterpark dan sebagainya.Ini termasuklah penamatan kontrak lanskap yang memakan bajet yang agak besar. “Keduanya, DMR perkenalkan pakej-pakej baru seperti ‘Kopitiam Tiga Riya’ , Kheloh D’ Bot Penambang, Makang Steambot D’ Jeti dan promosi bilik penginapan dengan tawaran harga terendah bermula RM155 dan tambahan RM15 untuk set sarapan pagi,” katanya kepada pemberita di sidang media di Bytes Café DMR, hari ini. Katanya, DMR kini beroperasi dengan kapasiti minimum selepas lebih beberapa bulan ini melakukan persediaan rapi sekali gus mengadaptasi keadaan normal baharu dan bersedia menerima tempahan orang ramai dengan jaminan mematuhi semua garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM). ‘’Alhamdulillah, pendapatan setakat ni semakin meningkat dari hari ke hari dan saya jangkakan hujung minggu ini akan mencapai 60 peratus .Manakala menjelang Aidiladha, kita ramalkan mencecah sehingga 80 peratus. “Jumlah itu meningkat sejurus pengumuman penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Sabtu lalu,”ujarnya.
01 Jul 20
210
Pengusaha Chalet Kembali Ceria
Pengusaha Chalet Kembali Ceria
Oleh : Izzat Al-Qushairi SETIU, 10 Jun - Pengusaha Chalet Samudrakita, Mengabang Telipot di sini kembali menarik nafas lega apabila semua aktiviti pelancongan dibenarkan beroperasi semula. Nor Uzair Nor Ayub, 38, berkata kelonggaran itu adalah khabar indah kepada semua pengusaha rumah penginapan jangka pendek atau chalet selepas hampir tiga bulan tidak dapat beroperasi susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu. “Selepas pengumuman daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kami mula menerima tempahan penginapan daripada orang luar negeri. "Kami mengucapkan terima kasih tidak terhingga atas pengumuman itu apatah lagi hampir tiga bulan tidak beroperasi dan sangat terkesan dengan keadaan yang berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita. Jelas beliau, pihaknya akan sentiasa mematuhi mematuhi prosedur operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan. "Langkah pencegahan seperti sanitasi chalet supaya penginapan masing-masing sentiasa bersih dan selamat untuk tetamu bermalam dan ia akan dipastikan mengikut jadual. "Selain itu SOP lain seperti memastikan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter dan memastikan pengambilan tetamu dalam jumlah yang tidak terlalu ramai. “Kami juga berharap pengusaha lain memenuhi SOP ditetapkan kerajaan demi menjaga nama baik industri kerana kita adalah duta kecil pelancongan di kawasan dan negeri masing-masing,” jelasnya. Untuk rekod, antara tarikan utama kawasan chalet berkenaan ialah Warong Ikan Celup Tepung (ICT) Pak Nong, ICT Cik Su, Nasi Kerabu Pok Din, Bukit Maras dan Pulau Redang. Kebanyakan pelanggan akan bermalam di chalet tersebut sebelum meneruskan perjalanan ke Pulau Perhentian atau ke Kelantan.
01 Jul 20
119
Hotel, Resort, Houseboat Dan Homestay Terengganu Dibuka Semula
Hotel, Resort, Houseboat Dan Homestay Terengganu Dibuka Semula
KUALA TERENGGANU, 10 Jun - Kerajaan Terengganu membenarkan sebahagian aktiviti pelancongan di negeri Terengganu termasuk membuka semula semua hotel, resort, houseboat dan homestay, dengan garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan yang ketat. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, kerajaan negeri pada masa ini juga sedang giat melaksanakan pelbagai inisiatif pelan pemulihan agar sektor pelancongan dapat dipulihkan. "Kita mengharapkan sektor pelancongan dapat kembali menjadi tulang belakang kepada ekonomi rakyat di negeri ini. "Justeru kerajaan negeri bersetuju membuka semula semua hotel, resort, houseboat dan homestay yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan homestay di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). "Semua aktiviti pelancongan seperti selam skuba, snokerling, hiking, aktiviti bot di pulau dan tasik, paragliding, perkhemahan, riadah, membeli belah, aktiviti Taman Eco Rimba dan lata rekreasi juga dibenarkan mulai 15 Jun ini," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada satu sidang media di Wisma Darul Iman, hari ini. Tambahnya, kerajaan turut membenarkan aktiviti jualan tiket, aktiviti bot, restoran dan jualan umum di jeti-jeti ke pulau-pulau peranginan di dalam negeri Terengganu dan juga di Tasik Kenyir. "Kebenaran adalah termasuk membuka semula Tasik Kenyir dan hotspot kawasan pelancongan di Tasik Kenyir seperti Santuari Kelah, Kenyir Elephant Conservation Village (KECV), Taman Herba bermula 12 Jun ini. "Taman Tamadun Islam (TTI), Draw Bridge Tower, Zoo Kemaman dan lain-lain tempat lawatan umum juga dibuka manakala muzium negeri dibuka pada 16 Jun dan muzium-muzium daerah, Rumah Warisan Haji Su, Kota Lama Duyong turut dibuka secara berperingkat," jelasnya. Beliau turut mengingatkan agensi dan jabatan yang terlibat memainkan peranan penting agar garis panduan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) dapat dipatuhi dan diamalkan agar wabak COVID-19 dapat dibendung sepenuhnya walaupun dengan kelonggaran yang telah dibenarkan. "Pematuhan SOP dan 'new normal' ini akan memastikan pelancong boleh bercuti ke negeri Terengganu dengan selamat dan yakin ke mana-mana tempat-tempat ingin mereka lawati," ujarnya. Terdahulu Kerajaan Pusat mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula hari ini hingga 31 Ogos bagi menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, lebih banyak kelonggaran diberikan kepada rakyat untuk menjalani aktiviti kehidupan seharian di samping mematuhi SOP secara berterusan.  
01 Jul 20
503