Artikel "Pelancongan" Terkini
Warisan Pahlawan Resort Terjemahkan Seribu Keindahan Seni
HULU TERENGGANU, 13 Ogos - Seperti berada di sebuah desa zaman silam apabila menjejak kaki di Warisan Pahlawan dan itulah keistimewaan penginapan yang mengekalkan binaan rumah tradisi berusia lebih 150 tahun sebagai antara pilihan penginapan pengunjung di sana di Kampung Pauh, kira-kira lima kilometer dari Bandar Kuala Berang.
Resort yang berinspirasikan istana Terengganu pada era Sultan Mansor Shah ke-2 ini dilihat sebagai satu mahakarya cukup menarik terutama kepada peminat seni lama termasuk pelancongan di negeri ini.
Rumah kayu yang lazimnya dikaitkan sebagai simbol kemiskinan dan ketinggalan zaman, kini dijelmakan sebagai satu simbol kemewahan dan kemegahan yang dari sisi lainnya, suatu yang mungkin berakhir sebagai bahan terbuang dan boleh lenyap begitu sahaja.
Menurut pemiliknya, Tuan Mohd Anuar Tuan Ahmad, 34, rumah-rumah ini diberi nama sempena nama pahlawan dan ulamak Melayu iaitu Mat Kilau, Tok Gajah, Tok Pauh,Tok Kenali dan beberapa orang lagi telah mula beroperasi pada bulan Julai 2008.
“Antara yang paling istimewa, terdapat sebuah rumah berusia lebih dari 150 tahun yang merupakan salah sebuah rumah persinggahan Pahlawan Mat Kilau di Kampung Pasir Nering di zaman kepahlawanan Melayu. Sebahagian kecil komponen rumah yang hilang atau rosak telah diganti mengikut bentuk asal.
“Di sini terdapat 11 buah rumah persis istana lama yang sarat dengan pelbagai motif ukiran melayu lama dan ada di antara bilik termasuk rumah yang disediakan tidak dilengkapi dengan penghawa dingin kerana mementingkan keaslian binaan rumah tradisi berkenaan.
“Jika rumah lama ini, binaan asalnya tiada siling jadi saya hanya letakkan kipas tanpa penghawa dingin, jika memasang siling untuk diletak penghawa dingin, ia sudah tidak asli kerana suasana dan udara di dalam rumah pada waktu siang sangat selesa,” katanya yang turut dibantu isteri tercinta Nurullizah Mohd Noor, 33.
Menurutnya, kadar sewaan di Warisan Pahlawan Resort bermula daripada serendah RM60 hingga RM250 semalam untuk sebuah bilik manakala bagi kadar sewaan rumah pula adalah dari RM250 hingga RM800 semalam bagi sebuah rumah yang mempunyai antara empat hingga enam bilik.
Dia yang mewarisi legasi ayahnya,Tun Ahmad Tun Abdullah, 61, berkata hampir semua bilik-bilik di resort dilengkapi dengan katil kayu dan tilam kekabu termasuk seni hiasan lama menggunakan kayu dan idea untuk membina resort unik ini merupakan ilham ayahnya yang sebelum ini mengusahakan kedai makan sebelum bersara.
‘”Minatnya yang mendalam tentang seni bina melayu dan sanggup menjelajah ke serata tempat untuk membeli rumah-rumah lama yang ada dengan kos RM5,000 hingga RM10,000 berdasarkan keadaan rumah.
“Ayah menghabiskan sebanyak RM3.5 juta untuk merealisasikan Warisan Pahlawan Resort sebagai pusat pelancongan yang mengekalkan konsep melayu lama dan kini mewariskan resort kepada anak-anaknya untuk dikembangkan lagi mengikut perkembangan semasa,”ujarnya lagi.
Tambahnya, kos harga yang di tawarkan adalah berpatutan dengan harga bilik dari RM40 sehingga RM100 dan harga satu rumah hanya dari RM250 hingga RM800 semalam yang mempunyai antara empat hingga enam bilik.Ini termasuk pakej seminar serta perkahwinan dengan harga yang berpatutan dan terbaharu resort mereka menyediakan kemudahan kolam renang yang turut dibuka kepada orang ramai setiap hari.
Kini dua beranak yang mempunyai minat yang sama ini telah mengorak selangkah ke hadapan dengan membina dan mengambil tempahan untuk membina rumah dan krafkayu yang berkonsepkan ukiran melayu tradisional.
“Kos pasang siap bagi sebuah rumah antara RM150 ribu hingga RM300 ribu manakala krafkayu seperti gazebo bermula dari harga RM10,000 ribu sehingga RM50,000 yang dibantu 10 pengukir tempatan termasuk dari Indonesia dan Thailand,” katanya.
13 Aug 20
8747
‘Marang River Cruise’ Produk Baharu Pelancongan Terengganu
Oleh : Aziz Hambali
MARANG, 25 Julai - Kerajaan Terengganu menerusi Pejabat Daerah Marang melancarkan produk pelancongan baharu di negeri itu selepas memperkenalkan pakej menelusuri Sungai Marang dari Dataran Batu Putih (DBP) terus ke Pulau Kapas.
Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, inisiatif tersebut pastinya akan merancakkan kembali industri pelancongan domestik sejak pandemik COVID-19 melanda negara.
"Pakej ini tercetus rentetan hasil sumbangan sebuah bot laju daripada Terengganu Silica Consortium Sdn Bhd yang menjadi pemangkin yang sangat besar untuk memajukan industri pelancongan berasaskan sungai dan laut ini.
"Produk ini kita akan hebahkan melalui media sosial dan kemungkinan dilancarkan bersempena dengan program Jejak Budaya Marang yang akan berlangsung pada bulan September nanti," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bot oleh Pengerusi Terengganu Silica Consortium Sdn Bhd, Tengku Sri Temenggong Raja Dato' Seri Tengku Baharuddin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muttafi Billah Shah di sini baru-baru ini.
Tun Ahmad Faisal menerima sumbangan bot dari Tengku Sri Temenggong Raja.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman.
Mengulas lanjut mengenai sumbangan bot berkuasa tinggi itu, pihaknya berbesar hati dengan komitmen Terengganu Silica Consortium Sdn Bhd apabila dimaklumkan akan potensi program menyusuri sungai dan 'floating market' di Marang.
"Penghargaan tidak terhingga kepada Terengganu Silica atas pemberian sebuah bot berkuasa 150 kuasa kuda yang membolehkan program menelusuri Sungai Marang dan terus pergi ke Pulau Kapas terlaksana.
"Uniknya pakej ini para pelancong akan memuduki Sungai Marang daripada DBP sampai di kuala Sungai Marang terus ke Pulau Kapas. Jadi ini adalah satu nilai tambah kepada pakej-pakej pelancongan yang Marang tawarkan.
"Pelancong boleh membuat tempahan dengan operator yang akan kita lantik nanti dan pakej itu merangkumi aktiviti menelusuri sungai, makan pagi di DBP sambil melihat produk-produk di sepanjang sungai Marang.
“Seterusnya ke Pulau Kapas menikmati jamuan tengah hari dan aktiviti di sana seperti snorkelling dan mandi manda sebelum pulang bergerak balik ke Marang sebelah petang itu, sebelum ini pakej-pakej begini diasingkan dengan pakej pulau dan sungai,” jelasnya.
26 Jul 20
4367
Kerajaan Negeri Suntik RM20,000 Rangsang Aktiviti Tambahan Bagi Zoo Kemaman
KEMAMAN, 17 Julai - Kerajaan Terengganu mengumumkan peruntukan sebanyak RM20,000 kepada Taman Rekreasi & Zoo Kemaman sebagai rangsangan tambahan kepada pusat pelancongan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, peruntukan berkenaan bagi membantu penganjuran aktiviti tambahan untuk menarik pengunjung terutamanya aktiviti melibatkan komuniti.
Ariffin dan Hanafiah ketika ditemu bual media.
"Pelbagai pakej pelancongan menarik dapat diwujudkan sebagai aktiviti tambahan bagi pengunjung zoo contohnya program menyusuri sungai dan mengintai kunang-kunang yang merupakan antara aktiviti yang cukup menarik.
"Di samping itu, kita turut menawarkan potongan harga tiket masuk sebanyak 50 peratus sehingga 31 Ogos ini," katanya kepada media sewaktu lawatan kerja sehari ke Taman Rekreasi & Zoo Kemaman, semalam.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat; Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Abdul Rasid Jusoh dan pegawai-pegawai Majlis Perbandaran Kemaman (MPK).
Menyusuri sungai antara tarikan unik di Zoo Kemaman.
Tambahnya, lokasi itu menerima peningkatan kehadiran pengunjung mendadak selepas dibuka semula, baru-baru ini.
"Sekarang ini, kita yakin akan menerima kedatangan pelancong jauh lebih ramai berbanding sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Walaupun dalam suasana PKP ini kita tidak dapat jangkakan anggaran yang datang tetapi kami mendapati kehadiran meningkat sekitar 1,000 sehingga 3000 pengunjung sehari pada hujung minggu," katanya.
Beliau turut menjelaskan, pihaknya akan berkerja lebih keras dengan melihat kembali perancangan pembangunan zoo Kemaman bagi menyahut usaha mempergiatkan pelancongan domestik khususnya kedatangan pelancong tempatan.
Tourism Terengganu turut bertindak memperkasakan lagi promosi pelancongan terutamanya di Zoo Kemaman dengan pelbagai promosi selain memasukkannya dalam pakej pelancongan kolaborasi tiga negeri di pantai timur.
"Saya menyeru semua pihak supaya bersama-sama menggerakkan promosi khusus bagi Taman Rekreasi & Zoo Kemaman.
"Saya juga mencadangkan kepada ejen pelancongan supaya membantu memperkenalkan Kemaman kerana lokasinya yang berada paling hampir dengan pantai barat memudahkan pelancong luar berkunjung ke sini," katanya.
17 Jul 20
3945
Pesta Memancing Ikan Bakal Jadi Tarikan Pelancongan Di Tasik Kenyir
HULU TERENGGANU, 15 Julai - Pesta Memancing Tasik Kenyir bakal mewarnai satu lagi aktiviti pelancongan negeri Terengganu apabila ianya bakal diadakan menjelang musim monsun nanti.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Dato' Razali Idris berkata, pesta tersebut khusus bagi memberi ruang kepada pelancong yang datang ke Tasik Kenyir untuk mencuba peluang ini.
Dato' Razali Idris.
"Kita tahu ikan paling banyak berkumpul di tasik pada bulan Oktober, November dan Disember. Jadi selama tiga bulan itu, kita adakan pesta memancing.
"Oleh itu, untuk menjayakan pesta ini, kita kena ada pakej pelepasan anak ikan setiap Januari dan antara ikan yang bakal dibiakkan ialah ikan baung, ikan kelah serta sebarau," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas Pembentangan Hasil Bengkel Pembangunan Pelancongan Tasik Kenyir Tahun 2020 Anjuran Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir Dengan Kerjasama Ketengah di Pulau Orkid, Tasik Kenyir semalam.
Dalam pada itu, Razali berkata, untuk masa terdekat pihaknya akan mengadakan pelepasan 500 ribu anak ikan pada 18 Julai ini yang bakal disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan.
"Untuk perancangan seterusnya, kita merancang untuk melakukan pelepasan sejuta anak ikan pada Januari 2021 di dua lokasi utama Tasik Kenyir iaitu Sungai Leban dan Sungai Pertang.
"Jika perancangan ini berjaya, kita akan wartakan dua kawasan berkenaan sebagai zon memancing sahaja dan menjadi kawasan larangan untuk memukat atau menggunakan bom bagi menangkap ikan," ujar beliau.
16 Jul 20
1595
Wujudkan Capaian Telekomunikasi Di Tasik Kenyir Menjelang 2021
HULU TERENGGANU, 14 Julai - Lembaga KemajuanTerengganu Tengah (Ketengah) berhasrat supaya Tasik Kenyir mempunyai 70 peratus pembangunan telekomunikasi dan capaian internet bagi kemudahan pelancong pada tahun 2021.
Pengerusinya, Dato' Razali Idris berkata, pihaknya akan melakukan perbincangan dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bagi merealisasikan hasrat ini.
Dato' Razali Idris.
"Hari ini hanya 10 peratus kawasan di Tasik Kenyir yang seluas 36,900 hektar memiliki capaian telekomunikasi dan internet dengan tiga menara telekomunikasi di Tasik Kenyir yang terletak di Pulau Camar, Tanjung Betung dan Pulau Bayas. Ianya belum mencukupi untuk menampung keperluan di kawasan pelancongan utama di sini.
“Sistem telekomunikasi di dalam Tasik Kenyir ini penting supaya sekiranya berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini seperti sesat, pelancong hilang dan kemalangan bot, mereka yang di darat akan tahu dan segera menghantar bantuan.
“Sekarang liputan telekomunikasi di tasik ini sangat lemah. Kalau pergi jauh dalam setengah jam dari Pengkalan Gawi tahap liputan semakin terhad. Kalau jauh ke dalam langsung tidak ada liputan,” katanya kepada pemberita di sidang media sewaktu lawatan kerja beliau bersama media di Tasik Kenyir, semalam.
Sehubungan dengan itu, KKMM dimohon untuk mempertimbangkan keperluan ini dalam usaha menambah baik serta meningkatkan kualiti liputan dan capaian internet di tasik buatan terbesar di Asia Tenggara itu.
Tambahnya, walaupun agak sukar untuk operator telekomunikasi melabur ke dalam Tasik Kenyir ini disebabkan keluasan, namun kerajaan diminta melihat kebajikan dan kepentingan rakyat di kawasan ini.
Di samping itu juga, beliau turut mencadangkan satu pusat terminal komunikasi diwujudkan di Tasik Kenyir iaitu di Pejabat Ketengah untuk mengesan keberadaan bot-bot di seluruh kawasan tersebut.
"Sekiranya penyediaan liputan telekomunikasi di seluruh tasik ini sukar dan memerlukan kos yang sangat tinggi, jadi pusat terminal ini boleh diwujudkan bagi meminimakan kos.
“Setiap bot boleh memasang peranti 'wireless' yang boleh berhubung dengan pusat terminal itu supaya kita tahu di mana bot-bot berada dan apa terjadi terhadap bot-bot itu,” katanya.
16 Jul 20
724
Terengganu Optimis Capai 4.5 Juta Pelancong Hingga Akhir Tahun 2020
MARANG, 11 Julai - Sektor pelancongan di Terengganu dijangkakan menerima 4.5 juta pelancong berbanding sasaran terdahulu sebanyak 5.4 juta sehingga Disember ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Ariffin Deraman berkata, ia bagi baki enam bulan terakhir tahun ini selepas sektor pelancongan dibuka semula, selaras pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
"Kita sebenarnya letak sasaran 5.4 juta tapi oleh kerana berlakunya kes Covid-19, kita ubah kepada 3.8 juta tetapi oleh kerana kehadiran yang ramai ini kita jangka 4.5 juta orang pelancong akan masuk ke Terengganu.
"Kita tiada angka tepat lagi untuk jumlah pelancong ketika ini cuma semua tempat pelancongan disini boleh dikatakan penuh dengan anggaran 80 hingga 90 peratus pelancong yang datang ke Terengganu terutama pada waktu puncak.
"Pada hari biasa pun sudah melebihi 50 hingga 60 peratus, maksudnya hari biasa pun mereka mencuri masa, sebab terlalu ramai orang waktu cuti ataupun hujung minggu," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media sempena perlepasan Program Maghi Candat Sotong Terengganu 2020 di jeti Marang, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Ariffin turut menjelaskan tentang isu kesesakan pelancong di Pulau Perhentian dan tindakan yang perlu diambil oleh pihaknya bagi menangani masalah ini.
"Tiga minggu yang lalu kita telah melancarkan buku Prosedur Operasi Standard (SOP) khas yang dibuat oleh Jabatan Pelancongan
dan diedarkan ke setiap pemain yang terlibat di pulau-pulau dan juga tempat lain untuk memastikan mereka menjaga SOP yang diarahkan.
"Cuma apabila berlaku kesesakan, pihak penguasa pejabat daerah dan juga majlis-majlis daerah dan pihak yang berkenaan diarahkan supaya melihat serta menyemak kembali SOP dan mewajibkan mereka mengikutinya.
"Kerana sekiranya berlaku atau timbul satu sahaja kes, ia akan mendatangkan kesan yang sangat negatif kepada pelancongan negeri,"ujar beliau.
13 Jul 20
104
Maghi Candat Sotong Kini Bermula Dengan Norma Baharu
MARANG, 11 Julai - Penganjuran Program Maghi Candat Sotong oleh kerajaan negeri menjadi program pelancongan pertama di Terengganu selepas diumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan(PKPP).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Ariffin Deraman berkata program yang melalui Jabatan Pelancongan negeri itu sepatutnya berlangsung pada April lalu namun terpaksa ditangguhkan susulan wabak pandemik Covid-19.
"Program ini mampu memberi impak positif kepada sektor pelancongan negeri dan dapat menyemarakkan kembali sektor pelancongan domestik.
"Ia sekaligus memberi rangsangan terhadap pengiat-pengiat industri pelancongan yang terdiri daripada pengusaha bot nelayan, pengusaha hotel dan resort, peniaga kecil dan ramai lagi yang menerima manfaat daripada aktiviti berkenaan,"ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas merasmikan program tersebut di jeti Marang di sini hari ini.
Tambah Ariffin, program Maghi Candat Sotong berjaya menarik 160 penyertaan terdiri daripada wakil-wakil daripada setiap daerah serta rakan-rakan media daripada pelbagai agensi termasuk pengaruh media sosial.
Dalam pada itu beliau juga berkata, pihaknya mengenakan SOP yang ketat dalam usaha mencegah penularan wabak Covid-19 menghadkan penumpang bot iaitu seramai paling kurang 10 orang bergantung kepada saiz bot.
"Walaupun kita kini dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), ia bukan bermakna kita sudah bebas dari wabak berkenaan dan orang ramai termasuk pengusaha dan penumpang bot perlu mematuhi SOP berkenaan," katanya.
13 Jul 20
385
Norma Baharu Pelancongan Di Terengganu
KUALA LUMPUR, 8 Julai – Kerajaan negeri melaksanakan tiga fasa pelan pemulihan agar sektor pelancongan dapat dipulihkan dan kembali menjadi tulang belakang kepada ekonomi rakyat di negeri ini bagi menangani impak wabak pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman, berkata bagi menangani wabak ini pihaknya telah membahagikan kepada tiga fasa iaitu pertama menangani impak COVID-19 terhadap sektor pelancongan, keduanya melestarikan pelancongan negeri Terengganu dan yang ketiga memacukan pertumbuhan sektor pelancongan.
“Alhamdulillah sebenarnya kita sedar kesan COVID-19 kepada nasib pelancongan dan sebab itu kita merancang mengadakan pelan rangsangan pelancongan Negeri Terengganu dengan membahagikan beberapa fasa
“Kita juga telah mengadakan operasi bersama personaliti berasal dari Terengganu contohnya masa PKP kita tidak boleh bergerak tetapi kita mengadakan program YouTuber YouTube bersama ikon dan serta barisan selebriti dengan menghasilkan video mempromosikan pelancongan.
“Oleh kerana wabak ini turut memberi kesan kepada pemain yang terlibat dengan industri pelancongan ini, kita juga memberi bantuan ‘one-off’ kepada sebahagian di kalangan mereka antaranya pengusaha bot penambang, pengayuh beca dan pemandu pelancong,’’ katanya ketika ditemubual dalam program Selamat Pagi Malaysia, hari ini.
Sementara itu,dalam usaha menangani isu yang berkait COVID-19, Ariffin berkata pihaknya membina dua sistem iaitu sistem Masuk.la bagi memudahkan proses merekod kehadiran pelanggan dan sistem CHASE COVID-19 yang mana satu penilaian kesihatan kendiri yang lebih tepat.
“Sistem Masuk.la macam Mysejahtera tapi khusus untuk di Terengganu bagi mendapat maklumat atau pergerakan rakyat negeri ini dan satu lagi khusus untuk pelancongan kita bina satu sistem yang dinamakan ‘CHASE COVID-19’ khusus kepada hotel-hotel, tempat pelancongan di pulau-pulau dan seumpamanya bagi merekodkan kedatangan pelancong dan setiap hari direkod suhu serta perjalanan dan jika mereka demam terus kita bawa ke klinik yang berdekatan.
"Dalam masa yang, kerjasama dan pemantauan berterusan setiap produk dan lokasi pelancongan negeri telah dibuat oleh saya sendiri bersama jabatan dan agensi berkaitan seperti Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya Malaysia Negeri Terengganu dan lain-lain," ujarnya lagi.
Menurut beliau, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu juga tidak ketinggalan untuk memantapkan penggunaan media sosial iaitu Facebook, Instagram, Twitter, Weibo, WeChat dan Youtube Beautiful Terengganu Malaysia.
Pelbagai pengisian telah dirancang dan dilaksanakan seperti penerbitan video pendek produk pelancongan Negeri Terengganu, perkongsian bersama selebriti tempatan, pertandingan video dan fotografi dan macam-macam lagi
Justeru itu, sebaik diumum kebenaran rentas negeri, Terengganu antara negeri yang meriah dengan kedatangan pengunjung, data menunjukkan yang hotel-hotel di bandar telah mencatatkan purata penginapan sebanyak 30 – 40 peratus pada hari kerja dan 70 - 80 peratus pada hujung minggu.
"Begitu juga di pulau-pulau seperti Kapas, Perhentian dan Redang yang telah mencatatkan purata penginapan sebanyak 40 – 50 peratus di hari bekerja manakala 70 - 80 peratus pada hari minggu dan ada juga hotel di Pulau Redang yang mencatatkan purata penginapan sebanyak 75 peratus setiap hari selepas Perintak Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)," katanya.
13 Jul 20
219
Cahaya Pelita Sinari Bumi Darul Iman
KUALA NERUS, 27 Mei - Bumi Darul Iman diterangi cahaya ratusan pelita sempena Pertandingan Pelita Raya Online Beautiful Terengganu : PKP Raya Style 2020 yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM8,000.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, pertandingan yang bermula 18 Mei dan berakhir semalam itu menyaksikan setiap kampung terlibat membina replika atau monumen menggunakan lampu pelita mengikut kreativiti masing-masing.
“Pertandingan tahun ini sangat berbeza dengan tahun-tahun lepas namun kemeriahannya tetap sama walaupun pengunjung tidak boleh datang beramai-ramai untuk menyaksikan keindahan pelita raya.
“Kita buat dalam bentuk sederhana tetapi tetap menonjolkan kemeriahan Syawal.
“Semua ini hasil penat lelah semua 60 pemilik rumah yang menjayakan pertandingan ini,” katanya kepada media selepas melakukan lawatan ke lokasi pertandingan Pelita Raya semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata pada tahun sebelumnya pertandingan itu diadakan di satu Dewan Undangan Negeri dan secara terbuka.
“Manakala tahun ini juga dibuat terbuka tetapi tidak dikhususkan kepada satu tempat sahaja.
“Dan dibahagikan kepada dua kategori iaitu foto dan video, ia akan dinilai melalui lawatan para penilai ke kawasan pelita atau di laman sosial seperti Facebook
“Semua ini adalah demi mengekalkan kemeriahan Aidilfitri,” tambah beliau.
06 Jul 20
118
Nikmati Harga Tiket Baharu Di KECV Mulai Esok
HULU TERENGGANU, 30 Jun - Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir atau Kenyir Elephant Conservation Village (KECV) memperkenalkan harga tiket baharu bermula 1 Julai ini kepada para pengunjungnya setelah lebih tiga bulan ditutup berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata ia merupakan satu langkah bagi mempromosikan KECV sebagai pusat perlindungan malah satu tarikan pelancongan di Tasik Kenyir.
"Harga tiket masuk akan dipecahkan kepada dua kategori iaitu warganegara (MyKad) dan bukan warganegara malah harga yang ditawarkan juga jauh lebih rendah dari tempat lain.
"Bagi warganegara harga tiket yang dikenakan hanya RM25 bagi pengunjung yang berumur 13 tahun keatas, dan percuma kepada bagi bayi yang berusia 11 bulan kebawah.
"Manakala bagi bukan warganegara pula pula dikenakan bayaran sebanyak RM50 berbanding RM100 sebelum ini," katanya kepada pemberita di sidang media sempena pengumuman tarikh operasi semula KECV dan kadar tiket baharu di sini, hari ini.
Jelasnya, ia juga akan beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjaga keselamatan pengunjung.
"Walaupun terdapat dua aktiviti yang terpaksa dibatalkan iaitu pembentangan pendidikan gajah dan aktiviti menunggang gajah namun pengunjung berpeluang mencuba pengalaman baharu iaitu menyusukan anak gajah dengan bayaran yang cukup rendah.
"Bayaran ini akan disalurkan ke Tabung Pemuliharaan Gajah KECV untuk kos perubatan gajah,"ujarnya lagi.
Tambahnya, KECV juga mengehadkan jumlah pengunjung kepada 400 orang sehari dan mengambil kira penjarakan sosial dan jumlah pengunjung bagi setiap aktiviti.
Ariffin juga berkata industri pelancongan di Terengganu juga akan kembali rancak berdasarkan maklum balas positif yang diterima daripada pengusaha resort dan hotel selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan.
"Kita lihat kedatangan pelancong ke pulau-pulau peranginan meningkat terutama pada hujung minggu dan semoga KECV menerima tempias ini,"katanya.
02 Jul 20
2520