lightning-solid
Berita :

Artikel "Pelancongan" Terkini

Kampung Budaya Bakal Dilancarkan 3 September Ini
Kampung Budaya Bakal Dilancarkan 3 September Ini
KUALA NERUS, 23 Ogos - Kampung Budaya berkonsepkan muzium hidup yang menggabungkan pelbagai kebudayaan dan warisan dalam satu kawasan iaitu di Muzium Negeri akan dilancarkan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada 3 September ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, kewujudan produk baharu itu secara tidak langsung juga dapat menonjolkan peranan Muzium Negeri Terengganu sebagai pusat rujukan tamadun Melayu.  “Kita mahu tonjolkan keunikan seni warisan yang terdapat di setiap daerah di Terengganu, dan akan kita hidupkan suasana tradisi dalam persekitaran yang menyerupai kehidupan sebenar rakyat Terengganu dahulu kala di rumah-rumah tradisi yang ada.  “Termasuk dengan menerapkan elemen sejarah dalam usaha memartabatkan adat budaya dan seni warisan negeri,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Kursus Kampung Budaya di Quinara Al Safir Resort, semalam. Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ab Rasid Jusoh dan Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Baharum Tun Abdul Razak. Ariffin berkata, terdapat beberapa perhentian rumah budaya dimana penerangan berkaitan Kampung Budaya serta demonstrasi pembuatan perahu akan diadakan di Galeri Pelayaran. “Rumah Nelayan  pula memaparkan demonstrasi pembuatan jala, bubu, pembuatan budu belacan, ikan kering, kerepok lekor, otak-otak, satar dan kerepok kering sementara  Rumah Bujang Berserambi Selasar  berkaitan demonstrasi pembuatan seni khat, ukiran kayu, bubur assyura, berzanji, dan pameran barangan lama. “Sementara Rumah Bujang Berkembar  diadakan demonstrasi anyaman tikar mengkuang, lidi dan kerecut, pembuatan terendak, buluh dan atap dan Rumah Limas Belanda pula demonstrasi pembuatan wau tradisional, permainan tradisional seperti congkak, batu selambut, gasing, dam aji serta demonstrasi pembuatan gasing,” jelasnya.
23 Aug 20
748
Kayuhan Merdeka Terokai Marang Semarakkan Semangat Patriotisme
Kayuhan Merdeka Terokai Marang Semarakkan Semangat Patriotisme
  MARANG, 22 Ogos - Program Kayuhan Merdeka Terokai Marang menjadi medan terbaik untuk menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri Ariffin Deraman berkata, aktiviti yang menjadi kesinambungan daripada program sebelum ini itu juga turut bertujuan untuk memperkenalkan keunikan produk dan lokasi menarik di daerah tersebut. "Ini inisiatif terbaik bagi menyemarakkan lagi suasana bulan kemerdekaan di daerah Marang dengan mengibarkan Jalur Gemilang di sepanjang kayuhan yang bermula dari Dataran Marang sehingga ke Dataran Batu Putih dan berakhir di Kampung Jenang," katanya ketika merasmikan program itu hari ini. Turut hadir sama dalam program itu, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Fathil Abd Ghani. Menurutnya, ia adalah kesempatan terbaik apabila imej atau budaya tersebut dapat ditonjolkan ketika Terengganu dikunjungi ramai tetamu. "Mengambil kira limpahan pelancong domestik di musim PKPP ini, Program Jejak Budaya Marang 2020 telah tercetus bagi menggantikan Pekan Budaya yang menjadi program tahunan di seluruh Terengganu. "Memandangkan situasi PKPP yang masih berkuatkuasa, orang ramai tertumpu kepada pelancongan domestik seperti di Pulau Kapas yang menerima kunjungan hampir 5,000 pelancong setiap minggu," katanya lagi. Untuk rekod ujarnya, program itu diadakan selama sebulan bagi menarik pelancong ke daerah Marang khususnya yang bercuti di Pulau Kapas dan pengunjung luar untuk mengisi cuti mereka dengan pelbagai program menarik yang disediakan sepanjang berada di Terengganu. "Sebanyak 13 program dan aktiviti menarik telah dijadualkan bagi program ini antaranya aktiviti kesenian, kebudayaan dan keunikan pelancongan di Marang seperti Night Fishing di Merchang dan Jenang, Sehari di Dataran Batu Putih, persembhan Dikir Barat, Rodat dan Busking, Demonstrasi Krafttangan, Sukan Rakyat serta banyak lagi program menarik", katanya.
22 Aug 20
417
Lebih 10,000 Pengunjung Dijangka Meriahkan Festival Kebudayaan Terengganu
Lebih 10,000 Pengunjung Dijangka Meriahkan Festival Kebudayaan Terengganu
KUALA NERUS, 22 Ogos- Lebih 10,000 pengunjung tempatan dijangka hadir memeriahkan Festival Kebudayaan Terengganu 2020 yang akan diadakan di enam lokasi terpilih sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus bermula  27 Ogos sehingga 6 September ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, penganjuran festival tersebut merupakan cetusan baharu untuk mengumpul dan menghimpunkan kesemua seni budaya warisan negeri. "Terengganu lazimnya dikenali kerana pulau dan pantainya yang cantik, tetapi sebenarnya  negeri ini memiliki khazanah seni warisan budaya yang amat tinggi nilainya.  "Dalam usaha mempromosi produk seni budaya warisan Terengganu, festival ini diharap dapat membawa kembali kegemilangan, kebudayaan dan warisan seperti senibina, masakan tradisional, tarian tradisional, dan sebagainya.  "Ciri-ciri ini telah lama hilang ditelan zaman sehingga kian dilupakan masyarakat setempat apatah lagi pelancong asing," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Kursus Kampung Budaya di Quinara Al Safir Resort, hari ini. Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ab Rasid Jusoh dan Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Baharum Tun Abdul Razak. Katanya, Festival Kebudayaan Terengganu juga dapat dijadikan platform dalam mengetengahkan dan memperkenalkan kebudayaan, kesenian dan warisan yang ada di Terengganu kepada dunia. "Selain memartabatkan seni warisan budaya, kita juga mahu generasi sekarang dan akan datang supaya kenal, dan tahu erti menilai khazanah kesenian dan kebudayaan yang kita ada ini agar ianya tidak ditelan zaman," ujarnya. Ariffin berkata, kebanyakan program atau aktiviti sempena festival berkenaan adakan di beberapa lokasi di Kuala Terengganu. "Kita ingin menjadikan Bandaraya Kuala Terengganu ini sebagai hub pelancongan kepada pelancong, baik dari dalam negeri, luar negeri ataupun dari luar negara. "Di samping mereka berkunjung ke Terengganu, mereka berkesempatan untuk singgah dan turut serta dalam festival yang julung kali diadakan dalam skala yang besar ini dan jarak untuk satu lokasi ke lokasi yang lain tidak jauh," katanya. Katanya, enam lokasi terbabit akan menonjolkan seni budaya warisan negeri dengan tema yang berlainan.   "Sebagai contoh, Primula Beach Hotel berkonsepkan Perkampungan Nelayan, justeru pengunjung akan disajikan dengan pameran nelayan berkolek, pertunjukkan kebudayaan, bicara kebudayaan, dan juga seni kraf Terengganu. "Permai Hotel (wau sobek), Warisan Sari (alunan gamelan sari), Paya Bunga Square & Hotel (flying gasing), Terradala (caritera langkasuka) dan di Duyong Marina & Resort (cerita duyong)," ujarnya.
22 Aug 20
7853
Pulau Redang Terengganu Simpan Seribu Khazanah Alam
Pulau Redang Terengganu Simpan Seribu Khazanah Alam
Foto : Cg Jefri Asmadi SETIU, 22 Ogos - Perairan Pulau Redang merupakan kepulauan yang dipenuhi dengan pelbagai jenis flora dan fauna dari Laut China Selatan di mana ianya menjadi idaman bagi setiap penyelam dari dalam mahupun luar negara. Seorang pengunjung, Razali Awang, 50, yang ditemui di Pantai Teluk Dalam di pulau itu baru-baru ini berkata, dia amat teruja dan merasa berbaloi dengan pakej percutian mereka kali ini. Razali Awang "Saya amat teruja dengan kehidupan laut yang ada di sekitar pulau ini seperti terumbu karang dan ikan yang bermacam warna dan bentuk terutama sekali batu karangnya yang pelbagai. "Ini kali pertama saya menjejakkan kaki di pantai yang pasirnya begitu halus dan putih dan amat berlainan sekali dengan pantai kami di Kemaman," ujarnya lagi. Razali yang juga pengerusi di sebuah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di Kemaman menjadikan Pulau Redang sebagai destinasi program rehlah bersama guru-guru dan kakitangannya. Aktivi snorkeling Dia menyarankan agar kemudahan asas seperti jalan ke Pantai Teluk Dalam dinaiktaraf oleh pihak berkenaan bagi keselesaan pengunjung memandangkan pulau tersebut mempunyai produk pelancongan yang bertaraf dunia terutama sekali batu karangnya. Salah satu batu karang yang terkenal di pulau tersebut adalah Batu Karang Hijau ataupun lebih dikenali sebagai 'The Green Coral'.
20 Aug 20
673
Lebih 100 Anak Penyu Dilepaskan Di Pulau Tenggol
Lebih 100 Anak Penyu Dilepaskan Di Pulau Tenggol
  DUNGUN,19 Ogos – Lebih 100anak penyu dilepaskan di Pulau Tenggol baru-baru ini sebagai usaha untuk memastikan penyu dikekalkan sebagai khazanah laut negara berikutan ancaman kepupusan haiwan itu yang semakin membimbangkan. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman berkata, pelepasan anak-anak penyu tersebut juga merupakan salah satu strategi pelancongan negeri Terengganu untuk mempelbagaikan produk tarikan pelancong. “Produk yang sedia ada di Terengganu ini termasuklah pulau, pantai, Taman Tamadun Islam dan sebagainya. “Kita menjangkakan jumlah pendaratan penyu di kawasan rizab Pulau Tenggol akan bertambah menjelang akhir tahun ini,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan rasmi ke Pulau Tenggol, baru-baru ini. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik dan ADUN Rantau Abang, Alias Harun. Ariffin berkata, aktiviti pelepasan anak-anak penyu yang diadakan setiap tahun di Pulau Tenggol itu diharap dapat menambahkan jumlah kedatangan pelancong. Sementara itu katanya, program pelepasan penyu dari sudut eko-pelancongan pula adalah memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan penyu terhadap alam sekitar.
19 Aug 20
182
Pengusaha Pelancongan Pulau Redang Patuh SOP
Pengusaha Pelancongan Pulau Redang Patuh SOP
KUALA NERUS, 18 Ogos - Para pengusaha pelancongan di Pulau Redang menyambut baik seruan Tourism Malaysia Wilayah Timur untuk meningkatkan kepekaan dalam pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Pengurus Besar Sari Pacifica Hotel Resort & Spa, Ganny Del Rahim memaklumkan pihaknya telah mengetatkan prosedur sebagaimana ditetapkan kerajaan seawal pengunjung tiba di Jeti Merang, Setiu lagi. Ganny menyambut baik penguatkuasaan SOP MKN. "Kami melaksanakan SOP seperti proses pemeriksaan suhu, maklumat diri dan daftar masuk melalui MySejahtera serta memberikan nasihat kepada pengunjung bahawa mereka perlu mematuhi SOP yang ditetapkan. Ada dikalangan pengunjung yang mungkin kepenatan jadi, kadang-kadang berlaku sedikit gangguan emosi di mana mereka tidak mematuhi peraturan. "Oleh itu, pihak hotel ada membuat sedikit kaunseling dua hala untuk memujuk mereka mematuhi arahan. Jika tidak kita tidak dapat memenuhi tempahan mereka di sini kerana kita mahu mereka patuh dan dapat bercuti dengan gembira," katanya. Ganny memberi penerangan prosedur yang dilaksanakan kepada Tourism Malaysia Wilayah Timur. Tambahnya, pihak hotel juga turut menyediakan pelitup muka tambahan di setiap bilik dan sentiasa melakukan pemantauan supaya kakitangan bersedia menangani masalah ini. Bagi pengurus Redang Pelangi Resort, Teng Thing Thing pula, pengurusan resortnya mengambil keputusan mengehadkan premisnya kepada pelanggan 'in-house' sahaja.  Teng Thing Thing. "Ramai yang datang dan kita mengutamakan pemakaian pelitup muka serta penjarakan fizikal sepanjang aktiviti di sini," katanya. Terdahulu, pemantauan telah dilakukan pihak Tourism Malaysia Wilayah Timur  bersama Pusat Informasi Pelancongan (TIC) Kuala Terengganu dan Pejabat Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia Kuala Terengganu ke Pulau Redang, Isnin lalu mendapati rata-rata pengusaha pelancongan di pusat peranginan terbabit mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).    
18 Aug 20
769
Tourism Malaysia Seru Pengusaha Pelancongan Zahirkan Semangat Kebangsaan
Tourism Malaysia Seru Pengusaha Pelancongan Zahirkan Semangat Kebangsaan
KUALA NERUS, 18 Ogos - Tourism Malaysia Wilayah Timur menyeru semua pengusaha pelancongan terdiri daripada hotel dan resort di pantai timur mempamerkan semangat patriotisme di premis masing-masing sempena bulan kebangsaan ini. Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Hafiz Hazin mengajak pengusaha pelancongan untuk menyemarakkan lagi kempen bulan kebangsaan dengan memasang lagu-lagu patriotik dan mengibarkan bendera Malaysia. Hafiz Hazin. "Memang kita mengalu-alukan sikap patriotisme dari kalangan pengusaha pelancongan untuk sama-sama menghayati bulan kebangsaan ini. "Tambahan pula sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini, kita hanya fokus kepada pelancongan domestik berikutan pengunjung luar tidak dapat masuk ke negara ini. Jadi, ini adalah peluang kita melahirkan rasa bangga dan syukur kita sebagai rakyat Malaysia," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sesi pemantauan pihak Tourism Malaysia Wilayah Timur, Pusat Informasi Pelancongan (TIC) Kuala Terengganu dengan kerjasama Pejabat Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia Kuala Terengganu di pusat peranginan Pulau Redang, semalam. Tambah beliau, pihaknya turut berpuas hati dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang tinggi di kalangan pengusaha pelancongan terdiri daripada hotel dan resort. Kakitangan salah Redang Pelangi Resort memasang Jalur Gemilang di bangunan utamanya. "Sekarang ini kita sedia maklum rakyat Malaysia mula keluar bercuti dan alhamdulillah kita telah menerima ramai pengunjung terutama di pulau-pulau di Terengganu ini. Setakat ini, masih belum dapat apa-apa rungutan daripada pengunjung dan kita harap mereka berpuas hati dengan pelaksanaan SOP oleh pengusaha hotel dan resort sebagaimana yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). "Cumanya, kekangan yang kita hadapi di sini adalah saiz jeti yang menyukarkan pengunjung mempraktikkan penjarakan fizikal seperti ditetapkan. Itu antara penekanan yang perlu dilihat untuk kita ambil berat dan saya mohon sekiranya suasana sekitar jeti dipertingkatkan,' katanya. Jelasnya lagi, Tourism Malaysia sering mengutamakan respon balas dari pengunjung untuk beri penarafan kepada resort dan hotel dalam mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengalu-alukan sebarang pandangan pihak luar bagi meningkatkan lagi tahap keselamatan dan SOP. Sejak pelaksanaan PKPP bermula 10 Jun hingga 31 Ogos depan, sebanyak 60 hingga 90 peratus kadar purata penginapan di resort-resort di pulau peranginan di pantai timur ditempah pelancong, antaranya di Pulau Redang, Setiu. Kakitangan Redang Pelangi membentuk angka 63 simbolik sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-63.    
18 Aug 20
795
Turun Padang Rasai Denyut Nadi Pengusaha Resort- Ariffin
Turun Padang Rasai Denyut Nadi Pengusaha Resort- Ariffin
DUNGUN, 17 Ogos - “Kita sentiasa turun ke lapangan dan bertemu dengan pengusaha chalet dan resort untuk merasai denyut nadi mereka terutama yang terkesan disebabkan pandemik COVID-19," kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman. Katanya, kebanyakkan pengusaha chalet dan resort di negeri ini terutama di pulau mengalami kerugian ketika pandemik COVID-19 melanda negara.  “Pelancong asing tidak dibenarkan masuk sehingga sekarang ke negara ini menyebabkan pendapatan mereka terjejas namun mereka akur dengan situasi sukar ketika ini," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa membuat lawatan kerja rasmi ke Pulau Tenggol.  Sementara itu katanya, kerajaan negeri sentiasa membantu mempromosikan produk pelancongan yang ada di Negeri Terengganu ini.  “Walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita sentiasa giat membuat hebahan dan promosi berkaitan pelancongan supaya apabila sektor ini dibuka, kita bersiap sedia menerima pelanggan yang telah membuat tempahan awal,” katanya.  Dalam pada itu, ramai pengusaha yang memberitahu selepas kerajaan membenarkan sektor pelancongan beroperasi, sambutan orang ramai sangat positif.  “Kita mendapat maklum balas yang positif dari mereka ini apabila bilik-bilik hampir habis ditempah.  "Ada yang menempahnya untuk percutian seisi keluarga, hari keluarga syarikat dan seumpamanya,” tambah beliau. 
17 Aug 20
443
Pulau Tenggol Syurga Para Penyelam Skuba
Pulau Tenggol Syurga Para Penyelam Skuba
DUNGUN, 17 Ogos - Pulau Tenggol umpama 'syurga' kepada penyelam dasar laut di seluruh dunia.  Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, di Terengganu terdapat 13 buah pulau dan Pulau Tenggol adalah yang terbaik untuk mereka yang inginkan ketenangan dan sangat sesuai kepada pencinta hidupan dasar laut. Katanya, Pulau Tenggol juga telah diiktiraf oleh dunia bahawa salah satu tempat yang wajib dikunjungi oleh para penyelam.  “Umum mengetahui di sini ada hampir 20 tempat yang menjadi tumpuan para penyelam sama ada dari luar negara mahupun dalam negara.  "Saya sendiri turun menyelam merasai keindahan warna-warni ‘coral’ yang menjadikan Pulau Tenggol ini unik dari pulau-pulau lain," ujarnya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja rasmi ke pulau tersebut. Katanya, bagi yang ingin ke Pulau Tenggol dari luar Terengganu boleh datang dengan penerbangan dan terus ke Dungun atau melalui jalan darat  yang mana perjalanan ke pulau memakan masa hampir 45 minit. 
17 Aug 20
1100
Rumah Tuntung Tarikan Baharu Pelancongan Terengganu
Rumah Tuntung Tarikan Baharu Pelancongan Terengganu
KEMAMAN, 16 Ogos – Rumah atau Pusat Penetasan Tuntung di Kampung Pasir Gajah di sini menjadi tarikan baharu kepada pelancong yang berkunjung ke daerah ini Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, projek itu mempunyai beberapa aspek yang boleh menarik minat pelancong iaitu penyelidikan dan pemuliharaan hidupan liar terancam,  Katanya, usaha itu turut mendapat penglibatan dan pemerkasaan daripada penduduk setempat. “Antara strategi pelancongan negeri Terengganu ialah untuk mempelbagaikan produk tarikan pelancong dan memperkasakan semua portfolio di negeri Terengganu.  “Produk tarikan pelancong yang sedia ada termasuklah pulau, pantai, Tasik Kenyir, air terjun dan pantai pendaratan penyu,” ujarnya ketika merasmikan Majlis Pelepasan Tuntung di Rumah Tuntung, Sungai Kemaman semalam. Turut hadir,Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat dan ADUN Air Putih, Abdul Razak Ibrahim. Katanya lagi, kepentingan tuntung sungai dari sudut eko-pelancongan pula adalah kerana tuntung sungai hanya dijumpai di tiga buah negara sahaja di dunia dan Malaysia adalah salah satu daripadanya.  Dalam majlis berkenaan, Ariffin turut memberi peruntukan sebanyak RM10,000 kepada Pusat Penetasan Tuntung tersebut.
16 Aug 20
1623