Artikel "Pelancongan" Terkini
Mural Baharu Bakal Jadi Tarikan Pengunjung Ke Primula Beach Hotel
KUALA TERENGGANU, 15 September - Bermula hari ini, jika berkunjung ke Primula Beach Hotel (PBH) Kuala Terengganu, pastikan anda melihat mural pertama yang menggabungkan pelbagai elemen seperti pembangunan, seni warisan kehidupan, dan keindahan pantai dan tasik yang terdapat di negeri ini.
Pengurus Besar PBH, Suaibah Harun berkata, mural sepanjang kira-kira 50 meter yang dihiasi identiti dan lokasi pelancongan menarik di Terengganu menjadi produk baru yang mampu menarik lebih ramai pengunjung untuk datang hotel berkenaan.
Katanya selain menjadi yang terpanjang di negeri ini, mural yang diinspirasikan empat anak jati Terengganu ini mengambil masa selama 15 hari bagi menyiapkan lukisan mural berkenaan bermula pertengahan Ogos lalu.
“Pengunjung dapat saksikan lukisan Jambatan Angkat Terengganu (Drawbridge), Tasik Kenyir, Pasar Kedai Payang, Muzium Terengganu dan Pantai Batu Buruk yang cukup terkenal di Terengganu.
“Mural itu juga memaparkan keindahan seni dan warisan yang sinonim dengan masyarakat negeri ini seperti wau bulan, batik, songket dan perahu nelayan yang merupakan hadiah istimewa sebagai 'photo booth' kepada pengunjung Anjung Bistro Garden dan tetamu Primula Beach Hotel khasnya," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Mural yang disempurnakan Pengerusi PBH, Dato' Mustapha Ali, Perkarangan Tempat Letak Kereta Zon A (Anjung Bistro Garden), hari ini.
Tambahnya, seramai empat pelukis tempatan diketuai Cikgu Budin, Razali Che Mat, Nazli Hamzah dan Ahmad Saipudin Abdul Ghani bergabung tenaga menerusi kepakaran masing-masing secara sukarela bagi menyiapkan lukisan tersebut.
Dalam majlis yang sama, turut diadakan acara mengacau bubur Asyura yang merupakan tradisi hotel berkenaan sempena bulan Muharam setiap tahun sejak 20 tahun lalu.
"Kita menyediakan sebanyak tiga kawah bubur yang dibuat secara bergotong-royong oleh warga kerja hotel dan ia akan diagihkan kepada masjid dan surau berdekatan serta warga kerja hotel," katanya.
Beliau juga berkata, sebagai menyambut Hari Malaysia, pihaknya turut menganjurkan Pertandingan Mewarna Kanak-kanak pada majlis berkenaan yang disertai kanak-kanak Tadika Fajar Didik dan Tadika Rossa.
15 Sep 20
2116
Terengganu Bantu, Hargai Keringat Pemandu Teksi
BESUT, 12 September - Kerajaan negeri mengambil inisiatif memberi ganjaran RM11,000 kepada pemandu teksi di daerah ini sebagai menghargai jasa golongan terbabit dalam industri pelancongan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, majlis dialog bersama para pemandu teksi juga diadakan bagi memberi laluan kepada barisan hadapan sektor pelancongan itu untuk mengutarakan aduan.
"Majlis dialog ini bertujuan untuk mengumpul dan menjawab isu-isu pemandu teksi daerah Besut, sebarang cadangan lain turut akan diambil kira dan diutarakan kepada kerajaan negeri.
"Program ini turut disertakan dengan sumbangan kepada pemandu-pemandu teksi sebagai tanda cakna kerajaan terhadap ‘frontliner’ sektor pelancongan," katanya.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Ramah Mesra Dan Dialog Bersama Pemandu Teksi Daerah Besut di Dewan Terbuka Kuala Besut, Kampung Kuala Besut di sini kelmarin.
Hadir sama, Pegawai Daerah dan Pentadbir Tanah Besut, Rozali Salleh, Pegawai Penyelaras DUN Kuala besut, Azbi Salleh, Penghulu-penghulu mukim daerah Besut dan ahli-ahli persatuan pemandu teksi daerah Besut.
Mengulas tentang aduan yang diterima seperti ‘Grab Haram’ atau pihak yang mengambil peluang menjadi pemandu grab tanpa lesen, isu ulat teksi, cadangan penambahbaikan kenderaan dan penjenamaan imej teksi seperti dibuat kepada beca di Pasar Payang, beliau berkata perkara akan diberi perhatian.
"Saya akan membawa isu-isu yang diutarakan kepada pihak kerajaan negeri serta pengerusi-pengerusi jawatankuasa yang berkenaan," ujarnya.
Ariffin turut mencadangkan saluran lain yang boleh digunapakai oleh wakil persatuan pemandu teksi di setiap kawasan ialah berjumpa dengan pegawai kerajaan di pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk penyelaras dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sendiri.
10 Sep 20
1324
Keunikan Lata Air Berani Dilestarikan Bersama
BESUT, 12 September – Inisiatif pelestarian pelancongan diteruskan oleh kerajaan negeri dengan aktiviti gotong-royong demi memelihara kawasan sekitar Lata Air Berani di Pulau Perhentian.
Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, gotong royong di kawasan kampung dan Lata Air Berani di sini adalah di antara bentuk pelancongan komuniti bersama Pertubuhan Muafakat Sejahtera Terengganu.
"Pembersihan dan penambahbaikan kawasan Lata Air Berani mengambil masa tiga hari. Pada hari terakhir ini, kita akan menyiapkan kerja pembersihan dengan aktiviti bergotong-royong.
"Lata Air Berani adalah salah satu keunikan yang ada di Pulau Perhentian, oleh itu kita hendaklah memastikan kebersihan dan keadaan infrastruktur terjaga," katanya selepas aktiviti tersebut kelmarin.
Turut terlibat, Pegawai Daerah dan Pentadbir Tanah Besut, Rozali Salleh serta 27 kakitangan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (Tourism Terengganu) dan 12 sukarelawan Pertubuhan Sukarelawan Siswa Unisza (PERSIS).
Sementara itu, menurut Rozali, kerja pembersihan di kawasan Lata Air Berani adalah langkah untuk memastikan sumber air mata kekal bersih.
"Air mata ini adalah satu satunya sumber air bersih untuk para nelayan di Pulau Perhentian, keunikannya juga adalah ia tidak pernah putus-putus mengeluarkan air," jelasnya semasa ditanya pemberita.
Selain pembersihan Lata Air, menara tinjau di kawasan tersebut turut dibaiki dan diganti dengan komponen baharu supaya pengunjung dapat menikmati permandangan tanpa masalah keselamatan.
10 Sep 20
4059
Pengusaha Pelancongan Tidak Patuh SOP Wajar Dikenakan Tindakan
KUALA TERENGGANU, 16 September- Pengusaha-pengusaha pelancongan yang mengambil kesempatan dengan melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) wajar dikenakan tindakan tegas.
Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Hafiz Hazin menyatakan, satu tindakan tegas memang perlu diambil untuk membendung kegiatan seperti ini bagi mengelakkan sebarang masalah apabila berlaku kejadian tidak diingini.
"Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini jumlah kedatangan pelancongan ke pulau-pulau amat memberangsangkan. Ini mungkin kerana ramai yang menggunakan peluang menghabiskan cuti yang ada dan ia perkembangan yang amat kami alu-alukan.
"Jadi, kami amat berharap semua pemain industri pelancongan dapat menjalankan peranan masing-masing dengan penuh rasa tanggungjawab untuk sama-sama memastikan penularan pandemik ini dapat dibendung," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Promosi Menyemarakkan Pelancongan Domestik Pantai Timur di Pulau Lang Tengah bersama media, baru-baru ini.
Tambahnya, perkembangan positif di pusat-pusat pelancongan menunjukkan menunjukkan rakyat Malaysia sanggup untuk membantu negara dalam suasana yang agak terkesan ketika ini untuk bersama-sama memulihkan ekonomi negara.
"Jadi, kita amat berharap pengusaha pelancongan yang masih belum memiliki lesen supaya mendaftar syarikat mereka dengan segera. Ini untuk menjaga nama baik Malaysia dan pada masa sama, kita berharap pengusaha pelancongan tidak disalahkan serta pelanggan akan dilindungi insuran jika berlaku kemalangan atau kejadian tidqak diingini," katanya.
Jelas Hafiz, para pelancong tidak berkira untuk membayar lebih sekiranya kualiti yang ditawarkan sama atau lebih dari jumlah yang dibayar.
"Harga tidak memainkan peranan utama, yang penting kita jaga kualiti perkhidmatan yang ditawarkan. Kami harap apabila sempadan negara dibuka nanti, Malaysia akan terus menjadi pilihan para pelancong dari seluruh dunia," katanya.
10 Sep 20
213
Pelestarian Pulau Jamin Keseimbangan Kemajuan Pelancongan
BESUT, 10 September - Kerajaan negeri bersama badan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Muafakat Sejahtera Terengganu mengambil inisiatif untuk mendidik masyarakat dengan nilai kebersihan dan kemajuan melalui program Pimpinan Kerajaan Bersama Komuniti di Pulau Perhentian.
Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri Terengganu yang juga Pengerusi Pertubuhan Muafakat Sejahtera Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, kemajuan sektor pelancongan hendaklah berlandaskan visi negeri iaitu maju, berkat dan sejahtera.
“Kemajuan dalam sektor ini perlu mengikut keadaan setempat, jika kita gelojoh ia akan membawa kesan buruk kepada alam sekitar, pencemaran dan lain-lain.
“Seperti contoh, kita perlu elak terlalu mengejar keuntungan dan mengaplikasi idea harga berpatutan mengikut keadaan semasa serta mengaplikasi akhlak baik dalam kelakuan dan layanan, oleh itu, Pertubuhan Muafakat Sejahtera Terengganu mengambil inisiatif memupuk nilai kebersihan kepada komuniti supaya akhlak baik dapat dibudayakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Dialog Bersama Komuniti di Pulau Perhentian semalam sempena program tersebut di sini semalam.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman, Pegawai Daerah dan Pentadbir Tanah Besut, Rozali Salleh dan Yang Dipertua Majlis Daerah Besut, Mohd Rashdan Muda.
Majlis berkenaan urut disertakan dengan taklimat kesihatan yang diberikan oleh wakil Pejabat Kesihatan Daerah Besut berkenaan denggi dan COVID-19.
Taklimat tersebut merupakan sebahagian daripada langkah untuk mewujudkan kesedaran di kalangan komuniti supaya menjaga kebersihan demi kelestarian pulau.
Majlis Pimpinan Kerajaan Bersama Komuniti di Pulau Perhentian turut disertakan dengan program gotong-royong membersihkan kawasan pulau sejajar objektif pemupukan nilai kebersihan kepada komuniti setempat.
09 Sep 20
342
Pulau Bidong Lokasi Pelancongan Bersejarah
SETIU, 9 September - KerajaanTerengganu komited untuk memulihara dan membangunkan Pulau Bidong sebagai lokasi pelancongan bersejarah di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklukmat negeri, Ariffin Deraman berkata, Pusat Informasi Maklumat (TIC) berkait dengan pulau itu juga akan dibina sebagai tarikan tambahan kepada pelancong.
Katanya, beberapa kerosakan infrastruktur di pulau terbabit pula akan dibaik pulih dalam masa terdekat.
"Kemudahan seperti jeti, laluan pejalan kaki dan menjaga kebersihan di sekitar pulau itu demi keselesaan pengunjung.
"Kita juga melihat jeti ini adalah jeti yang terbaik antara pulau-pulau yang terdapat di Terengganu, namun terdapat sedikit hakisan berhampiran jeti yang membimbangkan," ujarnya semasa melakukan lawatan ke Pulau Bidong baru-baru ini.
Hadir sama dalam lawatan itu, Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Che Muhamad Azmi Ngah.
Mengulas lanjut, beliau berkata setakat ini Pulau Bidong masih lagi terpelihara termasuk memiliki coral-coral yang menarik.
"Pulau ini juga sesuai untuk ‘daytrippers’ yang datang ke sini walaupun sebahagian mereka pergi ke Pulau Kapas, Pulau Redang tetapi kalau pihak kami akan menyediakan infrastruktur yang secukupnya.
"Kami yakin dengan kedatangan pelancong ia akan menghidupkan lagi suasana Pulau Bidong," jelasnya.
Dalam kunjungan tersebut, Ariffin turut melawat ladang ternakan batu karang yang diusahakan Yayasan Coral Malaysia, kawasan perkuburan Vietnam, Pantai Pasir Tenggara dan monumen peringatan orang Vietnam.
09 Sep 20
354
3.5 Juta Peluang Kerja Tersedia Dalam Sektor Pelancongan
KUALA NERUS, 7 September - Sejumlah 3.5 juta peluang pekerjaan dapat ditawarkan kepada penduduk di negara ini sebelum wabak COVID-19 melanda dunia dan juga Malaysia.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, melihat kepada angka yang agak besar itu, ia menjadi tanggunjawab kerajaan untuk mengekalkannya walaupun negara masih dalam usaha memutuskan rantaian wabak itu.
Katanya, pelbagai usaha dijalankan kerajaan antaranya mengecualikan cukai pelancongan bagi tempoh bermula 1 Julai 2020 hingga 30 Jun 2021.
.
“Kerajaan juga memberi penangguhan bayaran ansuran anggaran cukai ke atas industri pelancongan seperti agensi pelancongan, pengusaha hotel dan syarikat penerbangan sehingga hujung tahun ini.
“Langkah ketiga pengecualian cukai ke atas perkhidmatan penginapan turut diberi mulai 1 September hingga 30 Jun tahun depan.
"Langkah keempat adalah, pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 ke atas perbelanjaan melancong dalam negara, yang telah diberikan (sebelum ini) dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi ‘focus group’ dan Dialog Bersama Pengusaha Pelancongan Terengganu di Dewan Batu Bersurat, Muzium Negeri Terengganu semalam.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat, Ariffin Deraman.
Terdahulu, Tengku Zafrul mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam rangka lawatan rasmi ke Terengganu selama dua hari mulai kelmarin.
07 Sep 20
1969
Kaji Keperluan Hadkan Pengunjung Ke Perkampungan Budaya -Ariffin
KUALA NERUS, 4 September - Kerajaan Terengganu akan mengkaji keperluan untuk menghadkan jumlah kehadiran pengunjung ke Perkampungan Budaya di Muzium Negeri bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dipatuhi.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata perkara tersebut sudah berada dalam pemantauan pihaknya dan akan melakukan perbincangan pada masa yang sesuai.
"Kampung budaya baru bermula semalam, kita tengok dalam tiga hari percuma ni, sejauh mana sambutan, macam mana keadaan berlaku dan Insya-Allah kita buat pelan untuk perancangan seterusnya.
"Sebagaimana yang telah dilakukan di santuari kelah oleh kerana permintaan tinggi terpaksa kita hadkan walaupun itu keuntungan yang sepatutnya kita dapat tetapi kita hadkannya.
"Jadi perkara ini juga kita akan bincang, mungkin sampai masa kita akan hadkan jumlah ke kampung budaya tetapi buat masa sekarang tak boleh lagi dan kita sedang melihat perkara ini...oleh kerana baru sangat kita tengok dulu sambutan macam mana," ujarnya.
Beliau berkata demikian di Majlis Penutup Festival Kebudayaan Terengganu 2020 di Warisan Sari Tok Jembal, di sini hari ini.
Sementara itu, mengulas tentang pematuhan SOP di pulau-pulau peranginan, Ariffin menyerahkan kepada pihak berkuasa seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya mereka juga membuat pemantauan tentang perkara ini.
"Kita dah nasihat kepada mereka, untuk jangka masa panjang pelancongan Terengganu wajib mematuhi SOP yang telah ditetapkan dan kami sendiri telah mengeluarkan panduan pelbagai acara kebudayaan yang dilancarkan di pulau redang dahulu.
"Insya-Allah akan ada perbincangan berterusan agar perkara ini tidak berlaku lagi," ujarnya.
Untuk rekod, perkampungan budaya yang dirasmikan semalam berkonsepkan muzium hidup yang menggabungkan pelbagai kebudayaan dan warisan dalam satu kawasan itu menawarkan pelbagai keunikan serta keistimewaan seni budaya sebagai salah satu daripada kluster pelancongan negeri.
04 Sep 20
683
Kampung Budaya Tarikan Baharu Pelancongan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 3 September - Kampung Budaya Terengganu yang dilancarkan di Muzium Negeri hari ini bakal menjadi produk pelancongan terbaharu sekali gus menarik lebih ramai kunjungan pelancong ke negeri ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkampungan berkonsepkan muzium hidup yang menggabungkan pelbagai kebudayaan dan warisan dalam satu kawasan itu menawarkan pelbagai keunikan serta keistimewaan seni budaya sebagai salah satu daripada kluster pelancongan negeri.
Katanya, kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk mewujudkan Kampung Budaya Terengganu yang dijadikan ‘one stop centre’ dalam menghimpunkan pelbagai seni budaya warisan dari seluruh daerah Negeri Terengganu.
“Ia memberikan pengalaman percutian bersejarah buat pengunjung kerana dipersembahkan dengan latar belakang serta suasana kehidupan sebenar masyarakat Melayu lama.
“Rumah-rumah asal tradisional negeri menempatkan pameran, demonstrasi dan pelbagai aktiviti kesenian dan warisan negeri yang seterusnya menjadi landasan bagi persembahan kesenian dan kebudayaan negeri,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kampung Budaya Terengganu, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman serta Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ab. Rasid Jusoh.
Tambah Ahmad Samsuri, ia turut melambangkan identiti negeri melalui keunikan seni warisan yang terdapat di setiap daerah.
Menurut beliau, sebagai sebuah produk pelancongan baharu pengoperasian Kampung Budaya ini kelak bukan sahaja menjulang kembali kegemilangan warisan seni budaya masyarakat Melayu dahulu kala, tetapi juga mengingatkan generasi akan datang akan pentingnya mengetahui asal-usul sejarah peradaban Melayu.
03 Sep 20
4042
Harimau Menangis Ditawan Beliawanis
Foto oleh : Wan Abdul Hadi
KUALA TERENGGANU, 2 September - Beliawanis dari pelbagai daerah dalam negeri Terengganu telah berjaya menawan puncak Bukit Harimau Menangis, Kemasik dalam satu program pendakian sempena Hari Kemerdekaan ke-63.
Menurut Pengarah Urus Setia Belia Sukan dan NGO Negeri Terengganu (UBSNT), Nasir Abdul Razak program tersebut merupakan suatu inisiatif yang baik bagi mengumpulkan anak muda dan golongan belia termasuklah beliawanis.
Kata beliau lagi, umum mengetahui bahawa program ‘outdoor’ sangat sinonim dengan anak muda yang suka kepada cabaran dan kebebasan.
“Penganjuran program ‘Hiking’ Merdeka yang pertama kali dianjurkan ini sekaligus menepati minat mereka yang cenderung kepada aktiviti sukan dan lasak.
“Di samping bertujuan untuk mengumpulkan anak muda khususnya wanita yang berminat dengan aktiviti mendaki, program ini secara tidak langsung juga memperkenalkan cara hidup yang sihat dan bermanfaat.
“Selain itu, ia juga dapat mengeratkan silaturrahim antara para beliawanis bukan sahaja di Kemasik ini tetapi juga dari seluruh Terengganu,”ujarnya.
Nasir berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini.
Program Hiking Beliawanis Merdeka 2020 ini telah disertai oleh 250 peserta yang terdiri daripada pelbagai agensi seperti wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) beliawanis, pejabat daerah, pejabat pendidikan daerah dan sekolah-sekolah berdekatan.
Program tersebut turut melibatkan wakil pusat khidmat masyarakat (PKM), Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS), Majlis Pewakilan Komuniti Kampung (MPKK), Krew Bukit Harimau Menagis serta rakyat tempatan.
“Persatuan Kebajikan Sedia Setia Hawa Terengganu (SETIA) menjadi pendokong kuat kepada penganjuran program ini di samping agensi-agensi lain.
“Dan tanpa kita sedar sebenarnya, program seumpama ini dapat mempromosikan tempat rekreasi dan sukan yang menarik di Terengganu,”tambahnya.
02 Sep 20
596