lightning-solid
Berita :

Artikel "Pelancongan" Terkini

Jambatan Baru Daya Penarik Pengunjung Ke Batu Payung
Jambatan Baru Daya Penarik Pengunjung Ke Batu Payung
DUNGUN, 9 Oktober - Jambatan baru dengan tembok batu yang siap dibina bakal menjadi daya tarikan dan memudahkan orang ramai untuk mengunjungi pusat perkelahan Batu Payung di sini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, sebelum ini jambatan tersebut berjeriji besi serta berkarat dan rosak, mengundang bahaya kepada orang ramai yang lalu lalang. "Sekarang dengan adanya tembok batu ini, orang ramai tidak perlu lagi bimbang untuk melalui jambatan tersebut untuk ke Batu Payung yang terletak di muara sungai Dungun," katanya. Alias memberitahu demikian ketika dihubungi pemberita selepas meninjau jambatan yang menjadi laluan utama ke tempat itu baru-baru ini.  Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Teluk Bidara, Mohd Affindi Ngah melahirkan rasa syukur  dengan siapnya tembok batu jambatan tersebut yang merupakan satu-satunya jalan ke pusat perkelahan yang menjadi tumpuan orang ramai itu. "Kalau sebelum ini, jeriji besi yang dipasang di kedua-dua bahagian jambatan cepat rosak akibat air masin, jadi kami (MPKK) memang membuat permohonan agar diganti dengan tembok batu supaya tahan lama," ujarnya. Katanya, setiap hujung minggu memang ramai pengunjung datang ke Batu Payung untuk berkelah dan mandi-manda. "Kalau dulu tempat ini menjadi 'sarang' penagih dadah tetapi alhamdulillah dengan adanya gotong-royong yang sentiasa dilakukan bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan orang ramai,  tempat tersebut telah menjadi destinasi orang ramai untuk beriadah," ujarnya.
09 Oct 20
3585
Galeri Muzium Negeri Ditutup Lima Hari
Galeri Muzium Negeri Ditutup Lima Hari
  KUALA TERENGGANU, 8 Oktober- Galeri Muzium Negeri Losong ditutup selama lima hari bermula 10 hingga 15 Oktober ini kepada orang ramai. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dalam laman sosial rasmi facebook, pihak muzium berkata ia sebagai langkah berjaga-jaga terhadap penularan wabak pandemik Covid19. Justeru itu, semasa penutupan tersebut juga akan dilaksanakan sanitasi didalam galeri dan tempat yang sewajarnya. Namun begitu, pejabat masih beroperasi untuk orang ramai yang mempunyai urusan mengikut waktu rasmi.
08 Oct 20
1149
Beri Penekanan Serius Terhadap SOP Pelancongan - Ariffin Deraman
Beri Penekanan Serius Terhadap SOP Pelancongan - Ariffin Deraman
KUALA TERENGGANU, 6 Oktober - Para penggiat industri pelancongan Terengganu diingatkan supaya memberi penekanan serius terhadap pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) dalam mengendalikan pelancong bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri Ariffin Deraman berkata kerajaan negeri  juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam memastikan semua penggiat industri pelancongan terus melaksanakan SOP kepada pelancong. “Saya menyeru semua yang terlibat dalam aktiviti pelancongan seperti pengusaha hotel dan resort, homestay, agensi pelancongan, agensi selaman, pemandu pelancong memberi penekanan terhadap (SOP) dalam mengendalikan pelancong di negeri ini. "Semua pihak terlibat perlu serius dalam memastikan isu-isu yang melibatkan kesihatan dan keselamatan pelancong di Terengganu menjadi keutamaan. Antara langkah pencegahan yang perlu diambil oleh pemain industri (pelancongan) adalah dengan memastikan pengunjung wajib mendaftar menerusi sistem aplikasi MySejahtera, Masuk.la, dan CHaSe Covid-19 yang akan memudahkan pengesanan maklumat pelancong yang berkunjung ke negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam. Dalam pada itu, Ariffin berkata, sektor pelancongan Terengganu antara yang pertama pulih selepas gelombang pertama dan kedua COVID-19 dengan jumlah kehadiran pelancong ke negeri ini mencatatkan peningkatan begitu memberangsangkan berbanding tempoh sama tahun lalu. Beliau berkata beberapa destinasi pelancongan di negeri ini turut mencatatkan peningkatan jumlah pelancong termasuk Pulau Redang yang menerima kedatangan 25,004 pelancong pada Ogos lepas berbanding hanya 11,640 pelancong pada bulan yang sama tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 114.8 peratus. Pada Ogos lepas juga Pulau Perhentian mencatatkan 41,420 pelancong berbanding 13,940 pelancong pada Ogos 2019 (kenaikan 197.13 peratus) dan Zoo Kemaman merekodkan 28,740 pengunjung berbanding 6,852 pengunjung pada Ogos 2019 (kenaikan 319.4 peratus). Bagi bulan yang sama, Taman Tamadun Islam mencatatkan 95,878 pengunjung berbanding 69,783 orang pada Ogos tahun lepas (kenaikan 37.4 peratus) manakala Lata Kolam Air Deru Ecopark menerima 23,956 pengunjung berbanding 16,006 pengunjung pada Ogos 2019 (peningkatan 49.67 peratus).- BERNAMA.  
06 Oct 20
301
Kampung Budaya Terengganu Ditutup Sementara
Kampung Budaya Terengganu Ditutup Sementara
KUALA TERENGGANU, 6 Oktober - Produk pelancongan baharu iaitu Kampung Budaya Terengganu di Kompleks Muzium Negeri, Losong ditutup bermula semalam sehingga 31 Oktober 2020 berhubung peningkatan kes berkaitan pandemik Covid-19. Jabatan Pelancongan negeri dalam satu kenyataan berkata, penutupan ini juga dilihat sebagai usaha dan inisiatif pengurusan Kampung Budaya Terengganu bagi mengekang dan mengawal penyebaran pandemik Covid-19 selaras dengan pandangan dan nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara, Negeri Terengganu (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). “Arahan penutupan ini melibatkan keseluruhan operasi serta pengisian program dan aktiviti di Kampung Budaya Terengganu kecuali kakitangan yang terlibat dalam perkhidmatan perlu (essential services) seperti keselamatan dan penyelenggaraan tertakluk kepada kelulusan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu. “Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak dalam memastikan penularan pandemik Covid-19 ini dicegah demi menjaga kesejahteraan dan keselamatan bersama,” kata kenyataan itu semalam. Kenyataan itu turut menyatakan bahawa pihak pengurusan sentiasa memastikan tahap kesihatan kakitangan yang bertugas di Kampung Budaya Terengganu berada pada tahap terbaik sejak pembukaan Kampung Budaya Terengganu pada 3 September 2020, “Sepanjang pengoperasian Kampung Budaya Terengganu juga, pihak pengurusan sentiasa memastikan pengunjung untuk wajib mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh MKN dan KKM dipatuhi pengunjung,”katanya.  
06 Oct 20
5454
Ikan 'Sekila' Semakin Digilai Ramai
Ikan 'Sekila' Semakin Digilai Ramai
KUALA TERENGGANU, 4 Oktober - Kanak-kanak di era 80an dahulu sudah sinonim dengan ikan 'sekila' atau nama komersialnya ikan Betta. Ikan ini terdapat dalam pelbagai jenis dan sangat sesuai untuk dijadikan sebagai ikan hiasan. Menurut pengusaha ternakan itu, Shaifullah Azaha, 39, antara jenis ikan betta yang menjadi kegilaan sekarang ialah Avatar, Blue Rim, Koi Galaxy, Tiger Nemo, dan betta Multicolour. "Saya banyak biakkan Koi Galaxy, Blue Rim, Multicolour, dan Marble. Sekarang sedang usahakan projek membiakkan betta jenis Samurai, Tiger Nemo, dan Half Moon Dumbo. "Perniagaan ini amat menggalakkan kerana masyarakat sekarang semakin meminati keunikkan ikan betta. Namun, kerana kurangnya kelengkapan untuk pembiakan, banyak permintaan pelanggan terpaksa ditolak," jelasnya. Tambahnya  lagi, harga pasaran ikan berkenaan bermula dari RM20 hingga mencecah kepada RM500 seekor bergantung kepada jenis dan bentuk serta ciri-ciri fizikalnya. Beliau yang mula menceburi dunia perniagaan ikan betta bersama adiknya, Muhammad Azizi Azaha pada akhir tahun 2019 memaklumkan, segala-galanya bermula hanyalah kerana hobi. "Apabila ada kawan-kawan yang mula berminat dan sedia membeli, saya cuba tularkannya melalui aplikasi Telegram. Alhamdulillah, ia semakin mendapat sambutan. "Peminat ikan ini bukan sahaja ada di Terengganu, bahkan dari seluruh Semenanjung Malaysia. Malah, ada pelanggan kami yang menjadi johan dalam Johor Betta Challenge," tambahnya. Perniagaan beliau turut menarik minat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed untuk mengunjungi kedainya yang terletak di Kampung Tanjung. "Saya kagum dengan semangat anak muda yang berani mencuba nasib untuk berniaga. Dengan usaha yang bersungguh-sungguh berserta tawakkal yang tinggi, tiada apa yang mustahil untuk menggapai kejayaan," katanya. Kepada peminat ikan betta, boleh hubungi pengusaha ikan ini melalui aplikasi Telegram dan Facebook 'TanjungBettaOurFarm'.
04 Oct 20
2592
Paragon Cinema, Pawagam Patuh Syariah Ketiga Dibuka
Paragon Cinema, Pawagam Patuh Syariah Ketiga Dibuka
KUALA TERENGGANU, 30 September- Terengganu terus menjadi satu-satunya negeri yang melaksanakan pengasingan tempat duduk lelaki dan wanita dalam panggung wayang gambar (pawagam). Pembukaan outlet Paragon Cinema di KTCC Mall, di sini semalam menjadikan ia sebagai pawagam ketiga di Terengganu selepas LFS Cinema dan TGV Cinema sekali gus turut melaksanakan pematuhan syariah melalui pengasingan tempat duduk. Pawagam ini menempatkan 10 buah dewan tayangan dengan muatan sehingga 232 kerusi bagi kapasiti satu dewan ATMOS. Paling menarik, ia turut memiliki satu dewan skrin gergasi dengan saiz skrin sebesar 18 meter memuatkan 276 kerusi menjadikan Hall 10 Paragon Cinema Kuala Terengganu ini adalah antara yang terbesar di Pantai Timur dengan jumlah kerusi sebanyak 1516 kerusi. Selain itu, Paragon Cinema memberi 'wajah' baharu dengan menyediakan kemudahan untuk pelanggan OKU di mana tempat duduk khas disediakan untuk golongan OKU dan ramp khas di setiap dewan tayangan. Ia selaras matlamat pawagam tersebut untuk menyediakan tempat hiburan keluarga secara holistik tanpa mengira status. Sempena pembukaan semalam, hanya lima dewan dibuka terlebih dahulu untuk tayangan percuma selama seminggu bagi filem-filem terpilih serta berbayar bagi filem-filem terkini. Walaubagaimanapun, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tetap perlu dipatuhi di mana setiap pengunjung akan melalui saringan gejala terlebih dahulu di pintu masuk pawagam dan dikehendaki untuk mengimbas QR Code MySejahtera. Pemakaian penutup hidung dan mulut serta Penjarakan fizikal semasa beratur di kaunter tiket dan ketika menonton wayang juga diwajibkan.
30 Sep 20
7635
Terengganu Yakin Capai  Lima Juta Pelawat Melebihi Sasaran Awal
Terengganu Yakin Capai  Lima Juta Pelawat Melebihi Sasaran Awal
DUNGUN, 23 September - Terengganu yakin akan mencapai sasaran lima juta pelawat domestik pada akhir tahun ini melebihi sasaran awal iaitu 4.5 juta pelancong.  Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata ia berdasarkan jumlah sedia ada menunjukkan sasaran tahun ini berada di landasan tepat dan pihaknya percaya angka itu dapat dicapai sehingga penghujung tahun ini. “Kami dapati berlaku peningkatan sekali ganda setiap bulan.Sebagai contoh di Taman Tamadun Islam, pada bulan Jun hanya 34,000 pengunjung seterusnya  meningkat kepada 50,000 orang dan  mencecah 94,000 pengunjung pada bulan Ogos. “Ini merupakan trend yang berlaku di semua pusat pelancongan sebab itulah kita menjangkakan untuk dapat lima juta ini tidak mustahil dan munasabah walaupun pada asasnya kita cuma sasar 4.5 juta pelancong yang datang. “Disamping itu, Industri pelancongan domestik Terengganu turut menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila mencatatkan kadar purata penginapan kedua tertinggi di Malasia selepas Pahang pada Julai 2020 sebanyak 65 peratus yang dikeluarkan oleh Persatuan Hotel Malaysia, dan apabila melihat angka ini, memang sesuatu yang luar biasa dan tidak mustahil untuk berjaya dalam sasaran kita,”ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Hulu Dungun, di sini hari ini. Tambahnya lagi, jumlah pelancong yang direkod hanya di sebahagian tempat yang berdaftar sahaja dan ia tidak termasuk penginapan seperti homestay, resort-resort, rumah persendirian yang tidak berdaftar. “Jumlah pelancong keseluruhan, yang kita ‘rate’ hanya sebahagian tempat sahaja, sebagai contoh di Sekayu , di tempat pedalaman ini, kita tak tahu jumlah sebenarnya. tapi kita akan rekodkan hujung tahun ini , insyaAllah kita menjangka  akan mencapai angka yang kita cadangkan ataupun yang kita sasar,” ujarnya. Menurut Ariffin, antara  faktor sambutan hangat ini adalah tarikan terhadap kecantikan pulau-pulau di Terengganu selain mempunyai jajaran pantai sepanjang 244 kilometer yang indah. “Pulau-pulau seperti Redang, Perhentian dan Kapas mencatatkan purata penginapan sebanyak 40 hingga 50 peratus pada hari bekerja manakala 70 hingga 80 peratus pada hari minggu. “Sehingga kini, terdapat 373 hotel, resort dan chalet di Terengganu dengan 12,000 bilik yang berdaftar dan daripada jumlah itu, 65 buah terdiri daripada hotel, resort dan chalet di pulau dengan lebih 1,300 bilik,”tambah beliau. Justeru itu katanya, Kerajaan negeri dengan kerjasama dan bantuan dari Tourism Malaysia Wilayah Timur, Pejabat Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia Negeri Terengganu, agensi-agensi di Peringkat Kementerian dan Negeri serta NGO Pelancongan dan pemain industri pelancongan akan meneruskan promosi bagi Merancakkan Pelancongan Domestik dan menjadikan Terengganu sebagai pilihan destinasi utama untuk melancong.  
23 Sep 20
452
Pasar Terapung Drawbridge Adaptasi Konsep Pulau Suri
Pasar Terapung Drawbridge Adaptasi Konsep Pulau Suri
KUALA NERUS, 22 September - Pasar terapung yang bakal diwujudkan berhampiran Drawbridge akan menjadikan 'floating market' di Pulau Suri, Kelantan sebagai antara rujukan utama. Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab berkata, pihaknya telah mengadakan lawatan ke pasar itu baru-baru ini bagi melihat bagaimana ia beroperasi dan apa daya tarikan yang ada. “Pihak Pejabat Daerah kini sedang giat merancang projek pasar terapung di Seberang Takir sebagai produk pelancongan terbaharu Terengganu. "Di samping pasar tersebut juga mampu membantu penduduk setempat menjana pendapatan lumayan hasil daripada jualan insya-Allah. "Konsep jualan yang dibuat seakan-akan pasar terapung di negara jiran menghimpunkan pelbagai jualan, khususnya hanya terdapat di sekitar perkampungan termasuk lokan bakar, nasi kerabu dan aneka kuih," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Pejabat Pusat Khidmat DUN Seberang Takir di sini hari ini. Sementara itu, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ariffin Abdullah menghargai usaha kerajaan negeri untuk mewujudkan pasar. Katanya, ia bukan sahaja mampu memajukan negeri tetapi turut memberi kesan besar kepada peniaga-peniaga. "Insya-Allah persiapan telah dirancang dan dijangka bermula awal tahun hadapan," jelasnya. Dalam pada itu, Pengasas Pasar Terapung Pulau Suri yang dikenali sebagai Pak Lan berkata, dia bersama dua lagi rakannya membelanjakan RM30,000 untuk membuka pasar terapung itu. "Bermula dengan 10 buat bot sahaja dan sehingga kini bertambah ke 38 buah bot. "Selama ini peniaga di sini tidak dapat memasarkan produk mereka ke luar tetapi hari ini mereka boleh tersenyum kerana pendapatan sehari boleh mencecah RM2,000 ke RM3,000," ujarnya ketika ditemui pemberita semasa lawatan di Pasar Terapung Pulau Suri.
22 Sep 20
6513
Pelancongan Luar Bandar Bakal Dirancakkan Lagi
Pelancongan Luar Bandar Bakal Dirancakkan Lagi
    DUNGUN, 23 September - Kerajaan negeri bersedia melihat pembangunan dan potensi kawasan-kawasan rekreasi yang terdapat di semua daerah bagi merancakkan eko-pelancongan dan ekonomi penduduk kampung tersebut. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, pihaknya akan memastikan potensi ini mampu membawa manfaat kepada masyarakat kerana kawasan-kawasan tersebut mampu hasilkan pelbagai nilai pelancongan melibatkan sejarah, produk baharu dan ekosistem sungai. Jelas beliau, pihaknya kini bergerak ke arah community based tourism (CBT), bagi pengurusan yang lebih strategik kawasan-kawasan rekreasi inu. "Kita ingin memastikan kesemua pusat pelancongan khususnya di kampung-kampung yang strategik di seluruh negeri dikawal oleh pejabat daerah, pejabat hutan, ataupun bawah Lembaga Tabung Kerajaan negeri. "Akan tetapi asas komuniti yang paling utama sekali ialah Majlis Pengurusan Komuniti Kampung(MPKK) mesti terlibat  supaya tidak menjadi satu konflik pada masa akan datang.  "Kalau dulu satu tempat tu tidak mendapat sambutan, tiada yang kisah tentang pengurusannya tetapi bila mendapat sambutan macam ini, ramai yang berminat termasuk agensi luar yang boleh menyebabkan orang tempatan berputih mata dari segi ekonomi mereka," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerja ke kawasan rekreasi Hulu Dungun, di sini hari ini. Justeru itu katanya, kerajaan negeri sedang melihat kesemua pusat-pusat rekreasi ini yang menjadi tumpuan pelancong khususnya selepas Covid19 yang semakin reda khususnya di Terengganu. "Isu ini timbul apabila pelancong  semakin berminat sebenarnya untuk datang ke pusat rekreasi luar bandar menyebabkan kalau ada tandas, tandas kena cukup termasuk surau dan banyak lagi perubahan yang perlu dibuat sesuai dengan norma baharu," ujarnya.
22 Sep 20
1236
Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan Medium Pimpin Tasik Kenyir Sebagai Eko-Pelancongan Terulung
Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan Medium Pimpin Tasik Kenyir Sebagai Eko-Pelancongan Terulung
HULU TERENGGANU, 17 September- Kerajaan negeri berhasrat menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan Tasik Kenyir bagi meningkatkan kerjasama pelbagai pihak dalam membangunkan destinasi tersebut sebagai pusat eko-pelancongan terbaik. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman, pelaburan kerajaan negeri untuk Tasik Kenyir yang dianggarkan mencecah RM1 bilion selama ini perlu diselaraskan dengan baik. "Perlu satu kerjasama yang baik antara kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) sendiri sebagai agensi yang menguruskan untuk kita selaraskan pembangunan yang kerajaan negeri telah habiskan di sini, "Dengan kerjasama ini, kita akan jadikan Tasik Kenyir tumpuan utama pelancong pelbagai peringkat," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas sesi dialog bersama Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir, yang terdiri daripada pengusaha-pengusaha pelancongan setempat di Pusat Penerangan Pelancongan di Pengkalan Gawi, baru-baru ini. Jelasnya, sesi dialog bersama pemain industri pelancongan tempatan itu menimbulkan pelbagai isu yang direkodkan dan akan diperhalusi di peringkat tertinggi kerajaan negeri. "Para pengusaha mengetengahkan pelbagai isu dan ada antaranya menjadi tanggungjawab kami untuk menyelesaikannya. Kami positif dengan maklumat ini dan walaupun ada perkara yang tidak boleh selesai esok, tetapi kita bersedia menyelesaikan dari segi infrastruktur. "Hari ini, kami turut meninjau beberapa lokasi di Air Terjun Lasir, Taman Rama-Rama dan Taman Orkid yang menjadi tempat tumpuan dan akan diperhalusi. Manakala, kursus-kursus yang dicadangkan, insya-Allah kita akan buat kerana walaupun berpengalaman 20-30 tahun, ilmu mereka perlu disesuaikan dengan perkembangan zaman," katanya. Dalam pada itu, Ariffin turut mengumumkan dana berjumlah RM20,000 bagi membantu keperluan pengusaha di sana. "RM20 ribu walaupun tidak besar, tetapi mereka dapat gunakan untuk menambah baik keperluan dan meningkat kerjasama melalui pelbagai pihak. "Kita juga ingin maklumkan, jeti Pulau Pos yang sedang dibina dijangka akan selesai pada Disember dan jeti sedia ada akan disesuaikan dengan rumah bot dan bot laju supaya boleh ditempatkan di situ," katanya. Turut hadir dalam sesi dialog tersebut ialah Pengurus Besar KETENGAH, YM Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa dan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri, Ab Rasid Jusoh.      
17 Sep 20
1048