lightning-solid
Berita :

Artikel "Pelancongan" Terkini

Rumah Rakit Cik Na, Santai Atas Air
Rumah Rakit Cik Na, Santai Atas Air
  Sekiranya ke Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, pastinya seseorang itu hanya tertumpu kepada rumah bot (houseboat) tetapi kini boleh beralih ke rumah rakit untuk bercuti dan melakukan pelbagai aktiviti atas air. Perkhidmatan itu disediakan beberapa pengusaha rumah rakit  dengan tawaran harga pakej yang sangat berpatutan berbanding sewaan  rumah bot yang perlu dibayar  secara pukal. Turut menawarkan perkhidmatan ‘ala-ala’ rumah atas itu adalah Rumah Rakit Cik Na Kenyir milik  Zanariah Jafaar yang mengusahakannya bersama suami Abd Razak A Bakar  sambil dibantu anak-anak. Istimewanya rumah itu, setiap tetamu atau pelancong yang bertandang akan disambut mesra oleh pemilik. Dihidang makanan tengahari  berasaskan ikan sungai iaitu ikan lampam, baung, sebarau, seluang yang dimasak Cik Na. Kemudianya memulakan aktiviti  sama ada mengikuti pakej yang ditawarkan atau di atas kreativiti sendiri. Antaranya  tetamu boleh mengikuti trip ke lubuk memancing, pengembaraan di sungai, mandi-manda di kawasan air terjun dan menikmati pemandangan di sekitar Tasik Kenyir dan menyelusuri sungai dengan menaiki bot. Ada juga yang bertandang ke rumah itu  semata-mata untuk memancing, menganjurkan hari keluarga dan barbeku. Cik Na berkata, tercetus idea untuk membina rumah rakit secara bergotong-royong  dua tahun lalu adalah hanya suka-suka, selain gemar mencari ketenangan di tasik itu    “Awal pembinaan daripada satu bilik dan satu bilik air itu, kini rumah rakit kami  miliki enam bilik, dua bilik air, pelantar memancing dan ruang tamu. “Semua kemudahan itu mampu menampung tetamu  20 hingga 30 tetamu pada satu-satu masa. “Kebanyakan mereka yang pernah berkunjung sama ada dari  luar Terengganu atau luar negara pasti akan kembali menginap, kemungkinan berpuas hati dengan layanan dan perkhidmatan, selain mengemari suasana di Tasik Kenyir,”katannya. Menurut Cik Na, tiada perbezaan ketara  dengan perkhidmatan rumah rakit lain. “Kelainannya mungkin daripada segi layanan kerana kami di sini bermula daripada tugas menyambut tetamu, memasak, menghidang, membersih dan  memandu bot, semuanya  di kalangan ahli keluarga,”katanya. Pakej 1  (minima 8 orang) – RM75 satu kepala Pakej 2  (minima 10 orang) – RM60  satu kepala Pakej 3  (minima 12  orang) – RM50 satu kepala Pakej 4  (minima 18 orang) – RM40 satu kepala Jarak perjalanan dari pekan Kuala-Berang – Rumah Rakit Cikna-  40 kilometer Jika berminat sila hubungi talian 019- 914 5964  
05 Nov 20
7620
Sedia Bantu Rancakkan Kembali Pelancongan Di Tasik Kenyir- Ariffin
Sedia Bantu Rancakkan Kembali Pelancongan Di Tasik Kenyir- Ariffin
  KUALA TERENGGANU, 1 November – Kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah)  melalui Jabatan Pelancongan negeri dalam memberi sokongan dan mempromosi pelancongan di Tasik Kenyir yang merudum ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang. Pengerusi Jawatankuasa  Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital, Ariffin Deraman berkata pihaknya sentiasa merangka inisiatif dalam membantu industri pelancongan yang terjejas apabila berlakunya wabak pandemik COVID19 di Terengganu. “Dari segi bantuan belum ada lagi, tetapi promosi kita akan sentiasa buat melalui Jabatan Pelancongan secara  berterusan khususnya di Tasik Kenyir .  "Pihak kami akan berusaha tarik pelabur dan juga menarik pelancong di sekitar Pahang, Kelantan dan negeri-negeri  yang tidak berisiko. “Kerajaan negeri  akan sentiasa membantu beri sokongan dan mempromosi, insyaAllah apabila reda COVID19,  kita jangka orang ramai akan datang balik untuk melancong di Terengganu,”katanya ketika dihubungi wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman(UPDI), hari ini. Ariffin berkata demikian ketika diminta mengulas tentang 75 pengusaha pelancongan di tasik buatan manusia terbesar di rantau Asia itu berdepan kerugian lebih RM1 juta akibat pembatalan tempahan rumah bot dan bot laju pada saat akhir, sepanjang bulan ini. Katanya lagi, isu ini bukan sahaja melibatkan Tasik Kenyir tetapi industri pelancongan di seluruh negeri turut mengalami kemerosotan. ‘’Kemerosotan ini bukan sahaja di Kenyir tetapi  juga melibatkan hotel-hotel  apabila tempahan yang agak besar menerima pembatalan tempahan apabila pengunjung-pengunjung dari pantai barat tersekat dengan PKPB. “Namun jika dibandingkan dengan pantai barat, sektor pelancongan di pantai timur khususnya Terengganu masih dapat bertahan kerana kita masih ada lagi kemasukan pelancongan dari negeri sekitar yang tidak terlibat dengan PKPB,” katanya. Untuk rekod, kehadiran pengunjung ke Tasik Kenyir bagi menggunakan kedua-dua perkhidmatan rumah bot dan bot laju cukup memberangsangkan sejak Julai lalu dengan seramai 7,882 orang diikuti 13,687 pada Ogos dan September (11,603 orang).
01 Nov 20
1325
MyCorps Bantu Bina Infrastruktur Di Lata Ulu Kasar
MyCorps Bantu Bina Infrastruktur Di Lata Ulu Kasar
SETIU, 30 Oktober - Lata Ulu Kasar yang menerima kehadiran ramai pengunjung setiap hujung minggu bakal berubah dengan kehadiran sukarelawan MyCorps Malaysia 2.0 Setiu. Bermula dua minggu lalu, sukarelawan MyCorps Malaysia di bawah inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mula membina tandas dan tempat persalinan buat kemudahan pengunjung. Ketuanya, Nortasa Shakri berkata, beliau memilih Lata Ulu Kasar sebagai tempat projek kerana potensinya sebagai daya penarik utama pelancong ke daerah ini. "Alhamdulillah kita menerima kerjasama baik daripada Majlis Daerah Setiu (MDS), Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Merbau Menyusut. "Tandas dan bilik persalinan yang diangagarkan bakal siap menjelang minggu hadapan ini akan mempunyai sistem saliran air bersih dan kumbahan yang sempurna. Ketua Projek MyCorps Malaysia 2.0 Nortasa Shakri dan Pegawai Penyelaras DUN Langkap Ybhg. Azmi Maarof meninjau tandas dan bilik persalinan yang sedang dibina. ​​​ "Terima kasih juga diucapkan kepada sukarelawan 'Eight For Aid' yang membantu dalam misi ini dan Jabatan Amal DUN Langkap yang membantu menyiapkan surau yang terbengkalai serta 13 ahli Kelab Rakan Muda Daerah Setiu yang membantu membersikan kawasan sekitar lata," ujar beliau ketika ditemui wartawan hari ini. Sementara itu, Pegawai Penyelaras DUN Langkap, Azmi Maarof berkata, setakat ini bajet bagi pembangunan Lata Eko Rimba Ulu Kasar sudah diangkat oleh MDS kepada kementerian berkaitan. "Di sini kita dapat melihat peranan Pertubuhan Bukan Kerajaan membantu kerajaan dalam perkara yang memberi manfaat kepada masyarakat. Terima kasih diucapkan kepada beliau atas usaha ini," jelasnya. Misi Sukarelawan MyCorps ini rentetan pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia menyebabkan misi antarabangsa dialihkan ke dalam negara yang melibatkan 16 kumpulan secara keseluruhan. Jabatan Amal Malaysia DUN Langkap membantu menyiapkan surau di Lata Ulu Kasar.  
30 Oct 20
1359
Pulau Serai Tarikan Pelancongan Baharu di Dungun
Pulau Serai Tarikan Pelancongan Baharu di Dungun
DUNGUN,30 Oktober - Daerah Dungun bakal memiliki satu lagi tarikan pelancongan baharu apabila jeti kayu unik hampir siap dibina di Pulau Serai. Pembantu Penyelia Hal Ehwal Belia i-MiTS Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang, Muhammad Irham Che Ghani berkata, pembinaan jeti berasaskan kayu yang bermula 14 Ogos lalu telah menjadi tumpuan ramai. “Syukur alhamdulillah jeti hampir siap sepenuhnya dan memerlukan beberapa penambahbaikan sahaja lagi dari aspek keselamatan dan lain-lain.  "Asalnya kita buat saja-saja sebagai tempat orang kampung bersantai, tapi mendapat perhatian warga Dungun sehingga jadi viral,” katanya kepada pemberita. Jelasnya lagi, ramai yang datang ke jeti tersebut untuk bergambar dan tidak kurang juga menjalankan aktiviti penggambaran.  "Selain dari itu, tarikan terbaru adalah ‘Dungun Water Taxi’ yang sudah memulakan operasinya," ujarnya. Menurut Irham, ia mula beroperasi semalam dengan kadar bayaran dewasa RM5 dan kanak kanak RM2.  “Trip pertama Water Taxi adalah jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengahari kemudian rehat dan bersambung jam 2.00 petang hingga 5.00 petang pula. Muatan bot seramai 15 orang sahaja," ujarnya.  "Dengan pengangkutan air tersebut orang ramai berpeluang menyelusuri Sungai Dungun yang memakan masa hampir satu jam dan berhenti di tujuh perhentian dimana pengunjung juga boleh menikmati keindahan alam semulajadi kawasan sekitar,” katanya. 
30 Oct 20
12316
Penginapan Hotel Terengganu Ketiga Tertinggi
Penginapan Hotel Terengganu Ketiga Tertinggi
KUALA TERENGGANU, 21 Oktober – Terengganu sekali lagi menjadi di antara destinasi pelancongan pilihan rakyat Malaysia selepas Persatuan Hotel Malaysia (MAH) mengumumkan peratus penginapan di hotel negeri ini adalah ketiga tertinggi. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata,  sehingga bulan Ogos Terengganu berada di tempat ketiga selepas Pahang dan Perak. "Alhamdullilah, walaupun pada Jun, Terengganu menduduki tangga ketiga manakala Julai tangga kedua, tetapi kita masih diantara ketiga tertinggi daripada segi peratusan penginapan pengunjung, berbeza dengan tahun sebelumnya," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa mengadakan lawatan kerja menjejaki lokasi-lokasi bersejarah ulama Islam yang terdapat di sekitar Sungai Terengganu dan Sungai Nerus, semalam. Mengulas lanjut tentang kesan gelombang ketiga COVID-19 kepada sektor pelancongan negeri, Ariffin berkata, penyusutan ini sudah dijangka dengan seluruh negara merasa kesannya. "Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri pantai barat, anggaran penurunan adalah 20 peratus kerana pelancong barat menarik balik tempahan penginapan dan tidak boleh keluar berkunjung. Kebetulan juga musim monsun di pulau-pulau yang turut menyumbang kepada penurunan. "Walaubagaimanapun, masih ada lagi pengunjung yang datang seperti di Taman Tamadun Islam dalam jumlah kurang separuh daripada jumlah bulan lalu. "Perbincangan berterusan dengan penggiat industri pelancongan dan agensi bukan kerajaan (NGO) sentiasa diadakan dari masa ke semasa dalam menghadapi gelombang ketiga ini. Harapan tahun depan supaya keadaan akan reda, industri pelancongan Terengganu akan kembali meriah seperti bulan-bulan lepas," ujarnya lagi.
21 Oct 20
4471
Tempat Bersejarah Ulama Jadi Produk Pelancongan Baharu
Tempat Bersejarah Ulama Jadi Produk Pelancongan Baharu
KUALA TERENGGANU, 20 Oktober – Kerajaan negeri telah mengerakkan usaha bagi memajukan tempat-tempat bersejarah ulama islam terutamanya di sekitar Taman Tamadun Islam dan susur Sungai Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, sebuah jawatankuasa khas telah mengkaji dan mengenalpasti tempat-tempat yang kurang mendapat perhatian. Katanya, jawatankuasa tersebut juga menjadi penyelaras supaya komuniti dan pengusaha pelancongan mendapat manfaat dalam sektor tersebut.  "Pada hari ini kami telah melawat tempat peninggalan sejarah iaitu rumah dan surau Haji Abdul Rahman Limbong atau lebih dikenali sebagai Tok Limbong di Kampung Jongok Tong, Beladau Kolam, Kuala Terengganu. "Kita berbincang untuk membangunkan kembali rumah ini sebagai produk pelancongan bersejarah Islam di susur Sungai Terengganu, sambil memelihara keasliannya. Aktiviti Ratib Khas di surau Haji Abdul Rahman Limbong sentiasa diadakan oleh komuniti setempat, tetapi tidak diketahui ramai. "Rumah Tok Limbong telah diubahsuai kerana binaan lama yang rapuh. Pura Tanjung Sabtu pula mempunyai rumah lama dengan persekitaran yang cantik jika dibersihkan, kita akan cuba untuk istiharkan tempat-tempat sebegini sebagai tarikan pelancongan," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa mengadakan lawatan kerja menjejaki lokasi-lokasi bersejarah ulama Islam yang terdapat di sekitar Sungai Terengganu dan Sungai Nerus, di sini hari ini. Mengulas lanjut, beliau berkata Kompleks Tuanku Nur Zahirah yang merupakan kompleks songket juga mempunyai daya tarikan tersendiri untuk diketengahkan. Dalam perkembangan lain, Ariffin memberitahu, usaha komuniti Banggol Cempedak yang menjalankan penyedutan pasir sehingga menjadikan pesisir sungai di kawasan itu sebagai tempat pelancongan wajar diikuti. "Komuniti sebegini wajar dijadikan contoh dan Pejabat Dewan Undangan Negeri Alur Limbat akan berbincang lagi usaha dalam melengkapkan sektor sebegini," ujarnya lagi.  
20 Oct 20
1927
Tasik 'Pepsi Blue' Dibangun Sebagai Kawasan Pelancongan
Tasik 'Pepsi Blue' Dibangun Sebagai Kawasan Pelancongan
MARANG, 19 Oktober - Terengganu mahu menjadikan kawasan bekas pelombongan emas, Tasik Lubuk Mandi atau lebih dikenali sebagai Tasik 'Pepsi Blue' di Rusila sebagai lokasi pelancongan baharu di negeri itu. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, perkara itu akan diperincikan menerusi perbincangan dengan pegawai daerah di samping wakil Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) terlibat dalam masa terdekat. "Walaupun kawasan bekas lombong emas ini telah ditutup bertahun-tahun tetapi kita tahu ada yang menceroboh masuk semata-mata untuk melihat keindahan panoramanya dan bergambar hingga lokasi ini viral di media sosial. "Jadi kita fikir kalau diolah dengan baik mungkin Tasik Lubuk Mandi boleh menjadi destinasi pelancongan seolah-olah di Kawah Putih, Bandung, Indonesia," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di sini semalam. Hadir sama, Pegawai Daerah, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman. Menurut Ariffin, sekiranya dibuka kelak, tentunya aspek keselamatan menjadi keutamaan. Ujarnya, sistem keselamatan seperti mengenakan syarat tertentu untuk pengunjung termasuk larangan mandi serta mengadakan aktiviti atas air berkemungkinan akan diaplikasikan. "Antara kemudahan yang dikenal pasti perlu diwujudkan bagi memastikan keselamatan pengunjung sentiasa terjamin ialah laluan pejalan kaki di samping pembinaan pagar di sekeliling tasik bagi mengelak insiden jatuh. "Tasik Lubuk Mandi mulai menjadi perhatian ramai pada 2015 selepas video beberapa remaja terjun ke tasik berwarna biru itu tular di media sosial," katanya. Tambah beliau, inisiatif memperkenalkan Tasik Lubuk Mandi itu sekali gus bakal melengkapkan pakej pelancongan di Marang yang ketika ini terkenal dengan tarikan seperti Masjid Rusila, Pulau Kekabu, Dataran Batu Putih dan Kampung Jenang. "Tentunya manfaat ekonomi akan turut dinikmati penduduk setempat menerusi kegiatan perniagaan di kawasan tasik," katanya.  
19 Oct 20
6311
Santuari Kelah Tasik Kenyir Ditutup Sementara
Santuari Kelah Tasik Kenyir Ditutup Sementara
  KUALA TERENGGANU, 15 Oktober- Santuari Kelah Tasik Kenyir akan ditutup kepada orang ramai bermula Jumaat ini hingga akhir Februari tahun hadapan. Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa  berkata penutupan awal ini adalah disebabkan beberapa faktor keselamatan termasuk bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 yang semakin meningkat. “Faktor lain yang turut mempengaruhi penutupan awal berikutan penurunan paras air yang drastik (136.93 meter) menyebabkan kesukaran laluan ke Santuari Kelah buat masa ini,”katanya dalam satu kenyataan hari ini. Tambah beliau lagi, pra monsoon yang diramalkan bermula esok  oleh Jabatan Meteorologi  di Pantai Timur juga menyebabkan pihaknya membuat keputusan  untuk menutup santuari kelah lebih awal dari kebiasaan.  
15 Oct 20
2949
Taman Negeri Boardwalk Setiu Dinyahkuman
Taman Negeri Boardwalk Setiu Dinyahkuman
SETIU, 14 Oktober - Majlis Daerah Setiu (MDS) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Setiu selesai melakukan operasi disinfeksi atau nyahkuman di Taman Negeri Terengganu, Boardwalk Setiu Wetlands, Kampung Pengkalan Gelap di sini hari ini. Ketua Jabatan Kesihatan Persekitaran, Majlis Daerah Setiu, Nurul Asmera Binti Zamli berkata, operasi itu melibatkan 10 anggota bagi keseluruhan kawasan dan laluan pejalan kaki yang memakan masa hampir 2 jam. "Operasi disinfeksi ini adalah bagi menghapuskan agen-agen bawaan wabak COVID-19 sekali gus mencegah penularan wabak ini," katanya ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI). Untuk rekod, Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu baru-baru ini telah mengeluarkan arahan notis penutupan sementara kepada orang ramai dalam mengambil langkah berjaga-jaga situasi semasa akibat pandemik COVID-19. Dalam pada itu, masyarakat terus dinasihatkan untuk mematuhi 'Prosedur Operasi Standard' (SOP) seperti pemakaian pelitup muka, penggunaan 'handsanitizer' dan mengamalkan penjarakan fizikal.
14 Oct 20
1546
Pantai Pulau Kekabu Ditutup Setiap Hari Minggu
Pantai Pulau Kekabu Ditutup Setiap Hari Minggu
MARANG, 10 Oktober - Pantai Pulau Kekabu akan ditutup sementara pada setiap hari minggu bermula semalam selepas peningkatan kes pandemik COVID-19 di Terengganu. Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat ekoran kehadiran pengunjung yang terlalu ramai pada hari minggu. "Ini menyebabkan pihak MDM khuatir akan berlaku peningkatan kes akibat daripada prosedur operasi standard (SOP) yang tidak dipatuhi oleh orang awam," jelasnya ketika dihubungi wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini. Menurutnya lagi, langkah itu juga diambil kerana wujud kluster baharu, iaitu Kluster Bah Sahabat yang dikenalpasti di daerah ini. "Penutupan Pulau Kekabu adalah berkuatkuasa pada hari minggu sahaja, bukan setiap hari namun sebarang perubahan akan dimaklumkan dari masa ke semasa," tambahnya. Pusat rekreasi keluarga itu kembali menjadi tumpuan pelancong sebaik tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) tamat sehingga menyebabkan kesesakan dan agak sukar dikawal. Sebelum ini, pihak MDM juga telah menetapkan peraturan kepada semua pengunjung iaitu perlu mengosongkan kawasan perairan pantai pada jam 6.30 petang.  
10 Oct 20
3138