lightning-solid
Berita :

Artikel "Pelancongan" Terkini

Terengganu Monsoon Surfing Popularkan Marang
Terengganu Monsoon Surfing Popularkan Marang
Kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dengan kerjasama Kelab Motor Terengganu telah menganjurkan Terengganu Monsoon Surfing 2020 bertempat di Pulau Kekabu, Marang pada 17 hingga 19 Disember 2020. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital, Ariffin Deraman berkata program itu merupakan penganjuran pertama kali bersesuaian dengan musim monsoon dengan menampilkan aktiviti luncur air di lokasi Pulau Kekabu, Marang. “Terengganu Monsoon Surfing 2020 yang dianjurkan oleh Jabatan Pelancongan Negeri Terenggau dengan diuruskan oleh Kelab Motor Terengganu bertujuan bagi menggalakkan industri pelancongan Negeri Terengganu semasa musim monsoon ini yang menjadikan Terengganu, khususnya Daerah Marang sebagai satu destinasi pilihan bagi pelancongan dalam dan luar negeri. “Ini juga dapat menepis tanggapan ramai yang mengatakan Terengganu bukanlah sebuah destinasi pelancongan yang sesuai apabila tibanya musim monsoon, malah dengan adanya aktiviti seperti ini dapat menggalakkan lagi orang ramai untuk berkunjung, bukan hanya sebagai peserta malah sebagai tontonan kepada semua,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Terengganu Monsoon Surfing 2020 Kekabu Surf Competition. Hadir sama, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu Encik Mohd Huzairil Nizam Ibrahim. Selain itu, beliau berkata, Terengganu Monsoon Surfing 2020 ini melibatkan penyertaan seramai 65 orang dari Terengganu, Pahang, Langkawi dan Johor yang mana ada diantara mereka adalah Atlit Malaysia di peringkat SEA Games dan juga peluncur professional. “Penganjuran ini juga sentiasa memastikan segala SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara semasa tempoh PKPP dan PKPB ini dipatuhi oleh peserta malah pengunjung yang datang menyaksikan acara ini. “Melihat kepada penganjuran ini, Pulau Kekabu dilihat sebagai lokasi yang terbaik dan berpotensi untuk penganjuran program sebegini pada masa hadapan dan mampu menjadi acara identiti kepada Daerah Marang, maka Terengganu Monsoon Surfing ini akan dianjurkan lagi pada tahun 2021 dengan skala yang lebih besar. Ujarnya. Ia bukan sahaja dapat mempromosikan kempen Beautiful Terengganu Malaysia malah, apabila tiba musim monsoon, Terengganu tetap menjadi pilihan destinasi pelancongan.
19 Dec 20
1015
Terengganu Lancar Tahun Melawat Kenyir 2021
Terengganu Lancar Tahun Melawat Kenyir 2021
KUALA TERENGGANU,17 Disember - Bagi melonjakkan sektor pelancongan negeri, Terengganu hari ini mengumumkan 2021 sebagai Tahun Melawat Kenyir (TMK2021). Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, inisiatif anjuran Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) memilih Tasik Kenyir kerana destinasi ekopelancongan tersohor itu mempunyai pelbagai produk yang digemari pengunjung. “Produk yang boleh diterokai oleh pelancong seperti Santuari Kelah, Kenyir Elephant Conservation Village (KECV), Taman Herba, Taman Orkid, Air Terjun Lasir dan Sungai Saok, Gua Bewah dan Gua Taat, Zon Bebas Tasik Kenyir dan pelbagai lagi. “TMK2021 yang julung-julung kali diadakan ini akan dimeriahkan lagi dengan pelbagai program menarik sepanjang tahun sekali gus memperkukuhkan Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan wajib sekiranya berkunjung ke Terengganu. “Acara-acara yang dirancang telah memfokuskan pelbagai lapisan masyarakat dan akan menarik lebih ramai peminat sukan lasak kerana ekologi yang terdapat di Tasik Kenyir membuka ruang acara sebegini dilaksanakan,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI). Ariffin Deraman. Mengulas lanjut, beliau berkata, penganjuran TMK2021 juga antara lain untuk merancakkan kembali ekonomi pemain pelancongan yang terbantut dek penangan COVID-19.  “Dengan adanya penganjuran sebegini yang diatur secara berpanjangan dan penekanan kepada pelancongan komuniti setempat (community based tourism). “Ia juga akan memberi impak positif kepada penggiat pelancongan yang terdiri daripada pengusaha bot laju, pengusaha rumah bot dan pengusaha kedai makan dan juga komuniti setempat,” tambah beliau.
17 Dec 20
2226
Warung Roti Canai Dikelilingi Sawah Padi
Warung Roti Canai Dikelilingi Sawah Padi
KUALA NERUS, 16 Disember - Idea membina gerai di tengah-tengah sawah padi di Kampung Padang Maras, Batu Rakit, di sini pernah diperlekehkan sebagai kerja pelik dan tidak masuk akal satu masa dahulu. Bagaimanapun, tohmahan itu tidak mematahkan semangat pemilik Warung Roti Canai Pok Ripin, Mat Ariffin Taib, 69 untuk berniaga bersama isteri dan dibantu empat orang anaknya. Menurut Mat Ariffin, orang ramai yang hadir ke gerai tersebut kebanyakkannya kerana tertarik dengan persekitaran warung yang dikelilingi sawah padi menghijau, udara nyaman dan permandangan indah. "Walaupun baru dibuka tiga bulan lalu, sambutan orang ramai terhadap warung ini diluar jangkaan, kami menerima kunjungan sekitar 500 pelanggan setiap hari dan jumlahnya bertambah sekali ganda apabila hari minggu," katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semalam. Sementara itu, aanak pemilik warung, Zakaria Mat Ariffin, 26, berkata sudah hampir 30 tahun ayahnya berniaga roti canai sejak di tapak asal warung berhampiran Pasar Maras. "Ketika itu hanya pelanggan tetap dan orang-orang kampung yang datang membeli," jelasnya. Katanya, sebaik berpindah ke tapak baru pada awal Oktober lalu, pelanggan yang dikunjung di luar jangkaan, bukan sahaja di kalangan penduduk setempat, malah ada yang tinggal di Pahang dan Kuala Lumpur. “Walaupun di tapak baru, ayah masih mengekalkan harga lama iaitu hanya RM1, masing-masing  untuk roti canai kosong, nasi lemak, mee goreng dan pelbagai jenis air. “Faktor itu juga membuatkan kedai ayah semakin hari semakin dikenali ramai, sehinggakan terpaksa menunggu meja kosong untuk menikmati makanan,” jelasnya. Menurutnya, hasrat akan datang cukup besar kerana dia bersama adik-beradik yang lain mahu meluaskan perniagaan ayah mereka dengan membuka kiosk-kiosk baharu. "Ada juga yang bercadang menambah lain-lain perkhidmatan, termasuk pakej berbasikal mengelilingi kawasan sawah dan membina pondok rehat untuk bergambar. "Saya berasa bangga walaupun warung milik ayah hanya dibina menggunakan kayu terpakai yang dibeli hasil sumbangan adik-beradik dan hasil carian kayu di hutan, kini Warung Pok Ripin menjadi sebutan ramai," tambahnya.  
16 Dec 20
7353
Primula Beach Hotel Ambil Langkah Pencegahan COVID-19
Primula Beach Hotel Ambil Langkah Pencegahan COVID-19
KUALA TERENGGANU, 9 Disember - Primula Beach Hotel melaksanakan operasi sanitasi membabitkan bangunan dan persekitaran hotel secara berkala. bagi meningkatkan keyakinan pelancong datang ke Terengganu. Pengurus Besarnya, Suaibah Harun berkata program itu bertujuan untuk memastikan Primula Beach Hotel kekal selamat dan bersih agar dapat memberikan keyakinan kepada orang ramai untuk menginap di hotel yang merupakan salah satu anak syarikat kerajaan negeri Terengganu. Katanya, ia juga bagi memberikan kesedaran kepada umum untuk sentiasa mengamalkan SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. “Kami telah mengambil inisiatif dalam mencegah penularan wabak COVID-19 dengan menganjurkan program sanitasi  Primula Beach Hotel secara berperingkat dengan kerjasama oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Terengganu. “Antara kawasan hotel yang terlibat adalah kawasan yang melibatkan tumpuan orang ramai seperti Kawasan Lobi Hotel, Bayu Restaurant,Anjung Bistro, Kuala Kopi Launge,Bayu Launge,Dewan Seminar, Bilik Tetamu dan sekitarnya,”katanya ketika dihubungi. Seramai 17 orang anggota Jabatan Bomba Dan Penyelamat Negeri Terengganu yang diketuai oleh Puan Rozizah Ibni Hajar,Pegawai Bomba Kanan II Mohd Nor mewakili Jabatan Bomba dan Penyelamat Hiliran dan juga Pegawai Bomba Kanan II mewakili Jabatan Bomba dan Penyelamat Jalan Kota telah turut serta program kali ini. Tambah Suaibah, pihak hotel berharap dengan penganjuran program seperti ini,  dapat bersama-sama membendung wabak Covid-19 daripada terus menular dan memberikan kepercayaan kepada awam untuk mengunjungi Primula Beach Hotel tanpa rasa ragu. "Pekerja kami juga melakukan kerja nyah cemar dan sanitasi secara berterusan di semua bilik dan kemudahan hotel sejak PKP lagi selain mematuhi garis panduan ketat diarahkan kerajaan sebagai langkah berjaga-jaga,”katanya.  
09 Dec 20
1117
Komited Bantu Nasib Pengusaha Bot Penambang - Dr. Khairuddin
Komited Bantu Nasib Pengusaha Bot Penambang - Dr. Khairuddin
KUALA NERUS, 7 Disember - Masa depan industri bot penambang di Kuala Terengganu yang kini tidak menentu mendapat perhatian Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato Dr Mohd Khairuddin Aman Razali. Mohd Khairuddin dalam satu majlis telah menyerahkan bantuan pelampung keselamatan, kewangan serta beras dan minyak masak secara bulanan kepada 15 pengusaha sektor tersebut. Beliau turut berkata, pihaknya akan berbincang bersama Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu untuk merancang dan melaksanakan kaedah terbaik untuk meningkatkan sambutan bot penambang dengan mengadakan promosi dari semasa ke semasa.  "Sebelum ini perkhidmatan awam air  mendapat sambutan pada awal tahun  walaupun tambang dinaikkan RM2 sehala namun setelah wabak Covid-19 melanda sejak Mac lalu, sambutan semakin merosot.  "Di peringkat kerajaan, saya akan turut berbincang dan memberi suntikan program-program menerusi Duyong Marina Resort yang mempunyai para pelanggan yang hendak menikmati pandangan sekitar ‘Drawbridge’," ujarnya selepas Majlis Penyerahan Pelampung Keselamatan Pengusaha Bot Penambang di Jeti Penambang di Kampung Seberang Takir, baru-baru ini.     Sementara itu, Pengerusi Persatuan Bot Penambang Terengganu, Muhamad Ibrahim, berkata jumlah pengusaha bot penambang terus berkurangan dari sejak akhir-akhir ini. “Dua tahun lepas, terdapat 17 pengusaha bot penambang, tetapi kini hanya tinggal 15 sahaja yang aktif. Ramai berhenti kerana tidak puas hati dengan pendapatan dan sambutan diterima," ujar beliau.  Bagi Mahmud Harun, 62, salah seorang pengusaha bot penambang di Seberang Takir, dia pernah merasai zaman kehebatan bot penambang pada satu ketika dahulu. "Bot penambang bukan asing di Terengganu. Jika dahulu ia menjadi pengangkutan terpenting namun kini kemodenan tidak lagi memihak kepada pengusahanya. "Akan tetapi ia sudah berubah, lebih-lebih lagi apabila tiba musim tengkujuh, pendapatan kami sebagai pengusaha bot penambang sangat merosot," katanya.      
06 Dec 20
499
Duyong Marina Berjaya Jimat RM86 Ribu
Duyong Marina Berjaya Jimat RM86 Ribu
KUALA TERENGGANU, 2 Disember - Duyong Marina & Resort (DMR) berjaya menjimatkan RM86 ribu setahun dengan penubuhan Jabatan Landskap bagi melaksanakan kerja-kerja mengindahkan resort secara lebih efisien dan efektif. Pengurus Besar DMR, Wan Mohd Faizul Wan Abas berkata, penubuhan jabatan tersebut diusulkan selepas pihak resort kurang berpuas hati dengan penyelanggaran syarikat yang menguruskan landskap resort secara kontrak sebelum ini. "Dengan tertubuhnya Jabatan Landskap,  penyeliaan jadi lebih baik dan banyak kerja landskap yang dapat dibuat kerana DMR mengambil pakar landskap yang mempunyai pengalaman 15 tahun dalam bidang berkaitan di Suterasemai Sdn Bhd.  "Bajet tersebut yang berjumlah RM22 ribu sebulan atau bersamaan RM 264 ribu setahun sebelum ini dapat dipindahkan kepada perbelanjaan Jabatan Landskap dan gaji pekerja menjadikan kos operasi keseluruhan jabatan masih dapat dijimatkan," katanya melalui satu kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini. Jelasnya, penubuhan jabatan berkenaan juga menjadi salah satu jawapan kepada soalan Adun Kijal, Dato' Seri Ahmad Said tentang isu pengambilan kakitangan DMR dalam suasana Covid-19 dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), minggu lalu. "Untuk makluman semua, kakitangan DMR sebelum saya masuk berjumlah 132 orang (Disember 2019). Ketika itu, banyak kekosongan yang tidak diisi dan pada Julai 2020, beberapa kakitangan berhenti kerja berikutan ada yang menerima tawaran di tempat lain yang kebanyakannya bertugas di Kitchen dan penyelenggaraan makanan (F&B).  Oleh kerana ketika itu jualan di Bytes Cafe sedang meningkat, maka kami ambil keputusan untuk membuat pengambilan baharu segera," katanya. Tambah Wan Faizul, jualan Bytes Cafe yang hanya mengutip jualan sekitar RM300 hingga RM800 sehari sebelum ini melonjak naik secara mendadak kepada RM1,000 hingga RM3,000 pada hari biasa setelah penjenamaan semula Jabatan Jualan dan Pemasaran. "Kalau hujung minggu, boleh cecah sampai RM10,000. Jadi, kami tak menang tangan dan terpaksa ambil ramai pekerja sambilan. Buat masa sekarang,  kami juga mengambil ramai pelajar latihan industri untuk mengurangkan kos pekerja. "Walau bagaimanapun, DMR sedang merangka langkah penjimatan dari masa ke masa, namun dalam masa sama tidak mahu strategi pemasaran produk-produk baharu terganggu," katanya.    
02 Dec 20
1677
Sidang DUN: Kampung Budaya Terima 24,753 Pengunjung
Sidang DUN: Kampung Budaya Terima 24,753 Pengunjung
KUALA TERENGGANU, 24 November - Kampung Budaya Terengganu berjaya merekodkan 24,753 kehadiran  pengunjung sejak dibuka 4 September tahun ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital, Ariffin Deraman berkata ia merupakan produk baharu pelancongan negeri menerima impak yang besar dengan kehadiran pelancong dan pengunjung ke negeri Terengganu. "Selain daripada itu juga, Kampung Budaya Terengganu juga turut memberikan impak kepada produk pelancongan negeri yang sedia ada seperti Muzium Negeri Terengganu dan Taman Tamadun Islam. "Ini kita dapat lihat dengan pertambahan pengunjung ke dua-dua lokasi berkenaan," ujarnya. Beliau berkata ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini. Tambah beliau, kehadiran pelancong dari dalam dan luar negeri telah memberikan peluang penjanaan ekonomi setempat. "Pengusaha pengusaha Industri Kecil Sedehana (IKS). Batik, Songket dan pengusaha makanan dan penduduk sekitarnya turut menerima tempias dengan kehadiran mereka,"katanya.
24 Nov 20
656
Exco Terengganu Dinobat Hero Pelancongan Malaysia
Exco Terengganu Dinobat Hero Pelancongan Malaysia
KUALA TERENGGANU, 14 November - Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman dinobatkan sebagai Hero Pelancongan Malaysia sempena Sidang Kemuncak Emas Pelancongan Malaysia 2020 yang berlangsung semalam. Ariffin dalam satu kenyataan menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak terutama pegawai dan kakitangan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (Tourism Terengganu) serta Jabatan dan Agensi kerajaan yang terlibat. “Pertama sekali saya ingin mengucapkan syukur Alhamdulillah dan jutaan terima kasih kepada Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) atas ‘Anugerah Malaysia Tourism Heroes’ yang diberikan kepada saya. “Anugerah ini adalah hasil kerjasama daripada semua pihak yang turut terlibat dan juga pemain-pemain industri pelancongan yang banyak membantu dan memberi sokongan, ini adalah hadiah untuk Negeri Terengganu hasil daripada kerjasama semua pihak. “Semoga kecemerlangan ini dapat diteruskan dan ditambah baik dalam usaha meningkatkan lagi produktiviti dan memacu pembangunan negeri,” katanya. Mengulas lanjut, beliau memberi komitmen untuk terus mengangkat industri pelancongan Terengganu ke tahap tertinggi “Akhir sekali, saya mendoakan agar Terengganu terus maju dalam usaha merealisasikan misi untuk mencapai status ‘Negeri Terengganu Negeri Pelancongan’,” tambah beliau. Sidang Kemuncak Emas Pelancongan Malaysia 2020 berlangsung dari 11 hingga 13 November 2020 di platform digital maya http://www.MTCSummit.com.
14 Nov 20
4515
Ujian Mungkin Sama, Tetapi Peritnya Berbeza
Ujian Mungkin Sama, Tetapi Peritnya Berbeza
KUALA TERENGGANU, 13 November - Hampir seminggu sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kembali dilaksanakan di seluruh negara, rata-rata peniaga di Pasar Kedai Payang merasai kesannya. Pengusaha beca, Omar Awang, 75, memaklumkan bahawa suasana di lokasi membeli-belah itu semakin sunyi sejak empat hari lalu. "Hari ini, sudah empat jam saya menunggu namun masih tiada pelanggan. "Sewaktu rakyat Malaysia boleh merentas negeri dahulu, bolehlah dapat RM20 hingga RM30 sehari, sekarang tiada langsung," katanya ketika ditemui di sana dalam tinjauan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), petang semalam. Hal itu turut diakui pekerja kedai produk songket, Siti Nordiana Ibrahim, 20. Jelasnya, semenjak PKPB dilaksanakan, bilangan pengunjung ke Pasar Kedai Payang berkurangan mendadak. "Memang sunyi dan tiada orang datang, apatah lagi hendak membeli. Mujur, kami ada juga menjual secara dalam talian, tetapi masih kurang sambutan. "Produk songket memang mengharapkan pembelian daripada pengunjung luar dan sebelum ini kita mendapatkan jualan sehingga mencecah RM500 sehari," katanya. Sementara itu, peniaga kedai kain pasang dan sutera, Ani Liyana Jalil,26 juga mengatakan, sebelum ini, kedai-kedai di lokasi terkenal itu sentiasa memperoleh jualan. "Setakat ini, waktu sekarang yang dirasakan paling teruk, bulan Ramadan pun tidak begini.  "Tiada orang langsung yang masuk ke kedai," katanya. Bagi pengusaha kedai peralatan tembaga dan dapur, Ahmad Bakar, 68, yang telah hampir 20 tahun berniaga di situ, kekurangan pelanggan terutama dari luar negeri memang memberi kesan. "Sekarang orang kurang, namun sekurang-kurangnya ada sedikit orang tempatan yang membeli. "Alhamdulillah, saya masih memperoleh jualan sekitar RM200 hingga RM300 sehari. Jika ada pelancong sebelum ini, bolehlah dapat sehingga RM600 sehari," katanya.            
13 Nov 20
3762
Keropok Lekor Tok Molor Tambah Cawangan Di Marang
Keropok Lekor Tok Molor Tambah Cawangan Di Marang
MARANG, 9 November –  Usaha pemilik Keropok Lekor Tok Molor melebarkan sayap perniagaan dengan membuka kilang dan gerai jualan di Kampung Pulau Kerengga, di sini sewajarnya dipuji. Bukan sahaja menaik imej daerah itu di mata masyarakat luar, malah mampu merancakkan sektor pelancongan dan menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Pengarah Urusan Keropok Lekor Tok Molor, Rapuan @ Sharuddin Abd Rahman, 52,  berkata dengan pembukaan kilang itu, pihaknya mampu membuka ruang pekerjaan kepada 150  orang kampung, terdiri golongan belia, ibu tunggal dan anak yatim.. “Saya memulakan perniagaan itu sejak berumur 34 tahun secara kecil-kecilan di halaman rumah sendiri, alhamdullilah berkat kesabaran, dia berjaya membuka cawangan kedua selepas cawangan asal di Kampung Tok Molor,”katanya.   Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Huzairil Nizam Ibrahim berkata dalam masyarakat menghadapi masalah pandemik Covid-19 yang serius usahawan ini hadir membantu dalam menguruskan sektor pekerjaan. "Sama-sama membantu negeri Terengganu terus maju dalam keadaan kita menempuhi ujian dan rintangan, Pok Din berjanji akan berusaha dalam menyediakan pekerjaan seramai 500 orang, untuk membantu kerajaan negeri kepada penduduk setempat. "Ini bukti kegigihan bumiputera kita yang setaraf dengan usahawan-usahawan lain di luar sana, di mana apabila bercakap pasal pelancongan, Terengganu tidak lari daripada Keropok Lekor sebagai produk negeri,"katanya. Beliau berkata ketika hadir merasmikan operasi Kilang Keropok Lekor Tok Molor di Pulau Kerengga, semalam. Turut hadir adalah, Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman, Penasihat Syarikat Keropok Lekor, Dato' Suhaimi Dato' Salleh, wakil Jabatan Perikanan, wakil Pejabat Daerah Marang, wakil Majlis Daerah Marang, dan agensi lain. "Produk ini adalah duta Terengganu yang sebenarnya, oleh itu, Jabatan pelancongan juga akan berkejasama dalam mempromosikan produk ini di mana potensi dengan kekuatan produk tradisi masyarakat kita dan akan menjadi satu produk yang menarik serta sering meniti di bibir mulut pelancong. "Kepada pekerja, berilah kerjasama dan berkerjalah sebaik-baik nya, kerana rezeki ini tidak akan lari kemana, ianya akan pulang kepada pekerja, orang ramai dan mengalir ke masyarakat marang juga,"tambahnya lagi. Syarikat yang mula ditubuhkan pada tahun 2012 ini telah mengeluarkan jenama Tok Molor ke luar negeri setiap minggu dimana turut tertumpu di luar semenanjung, iaitu Sabah dan Sarawak.  
09 Nov 20
5166