lightning-solid
Berita :

Artikel "Pelancongan" Terkini

Tasik Kenyir Disasarkan Jadi Taman Geo Park Akhir Tahun Ini
Tasik Kenyir Disasarkan Jadi Taman Geo Park Akhir Tahun Ini
KUALA TERENGGANU, 15 Februari - Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN) mensasarkan kawasanT asik Kenyir, Hulu Terengganu sebagai Taman Geo (Geo-Park) bakal menjadi realiti menjelang akhir tahun ini. Pengarah UPEN, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, pihaknya kini sedang dalam usaha untuk merealisasikan perkara tersebut yang bakal menjadi tarikan terbaharu di tasik buatan manusia tersebut. Katanya, langkah ke arah itu kini kembali aktif sebaik mendapat persetujuan kerajaan negeri dengan membenarkan UPEN untuk menyelaras serta bersetuju Pejabat Daerah Hulu Terengganu (PDHT) mengetuai perancangan itu. Tambah beliau, buat permulaan pihak berkaitan  sudah menganjurkan Bengkel Pemurnian Dossier Geopark Tasik Kenyir  bersama 15 jabatan dan dua universiti terpilih termasuk Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Universiti Malaysia Terengganu, Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Terengganu serta  PDHT. “Hasil rumusan bengkel akan dibentang kepada Mesyuarat Ahli-Ahli Majlis Kerajaan Negeri dalam tempoh terdekat dan seterusnya diangkat kepada Jawatankuasa Geopark Kebangsaan (JGK) untuk direalisasikan. “Pihak kami berharap, usaha kali ini yang dibarisi  pakar penyelidik  dan beberapa pengkaji  benar-benar berjaya bukannya projek  rancang dan dibiarkan tanpa tujuan atau diibaratkan`touch and go’. “Taman Geo aset penting bagi Terengganu dan bakal memberi manfaat daripada pelbagai sudut termasuk sektor pelancongan, ekonomi penduduk, peluang pekerjaan, pendapatan negeri dan menarik minat lebih ramai pelabur,” katanya. Berdasarkan rekod,  perancangan menjadikan Taman Geo, Tasik Kenyir bermula sejak 2015 dan pada 2017 segala dokumen berkaitan diangkat kepada  JGK tetapi gagal disebabkan beberapa faktor termasuk tiada pihak yang bersetuju untuk mengetuai rancangan itu. Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Bengkel Pemurnian Dossier Geopark Tasik Kenyir, di Hotel Permai, anjuran Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Unit Perancang Ekonomi Negeri dan Jabatan Mineral dan Geosains Terengganu di sini, hari ini. Tun Ahmad Faisal turut menjelaskan pengisytiharan Tasik Kenyir sebagai Taman Geo tidak akan membebankan mana-mana pihak atau menjejaskan pendapatan sedia ada kerana tidak membabitkan pewartaan sebaliknya hanya perlu dijenamakan semula.
15 Feb 22
1419
Terengganu Akur Jika Sempadan Negeri Ditutup
Terengganu Akur Jika Sempadan Negeri Ditutup
MARANG, 15 Februari - Kerajaan Terengganu akur jika sempadan negeri untuk aktiviti pelancongan ditutup susulan peningkatan kes Covid-19 sejak akhir-akhir ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, walaupun ia akan menjejaskan sektor pelancongan yang kembali rancak dan pulih dengan kehadiran ramai pelancong ke negeri ini, keselamatan rakyat tetap menjadi keutamaan pihaknya. "Tetapi saya yakin dan percaya perkara itu tidak akan berlaku, kerajaan tidak akan mengambil langkah-langkah berkenaan, maknanya sektor pelancongan akan boleh diteruskan seperti biasa paling utama pelancong yang hadir perlu sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard yang telah ditetapkan oleh pihak kerjaan. "Seandainya berlaku juga, kita akan berbincang untuk membantu pengusaha pelancongan yang terkesan sebagaimana inisiatif yang pernah diwujudkan pada sebelum ini iaitu Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) bagi sektor ini. "Tetapi perkara ini tidak dibincangkan lagi, sebab ia masih belum berlaku serta saya berkeyakinan tidak akan berlaku sekatan ekonomi sebagaimana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPD) selepas merasmikan Majlis Penyerahan Borang 5A bagi Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Pertanian, Paya Kolam, di Dewan Serbaguna Kampung Tanjung Ketom, di sini, pada hari ini. Dalam perkembangan berkaitan, Ariffin berkata sektor pelancongan di negeri ini sangat memberansangkan pada waktu ini, dengan kehadiran pelancong yang ramai berkunjung ke negeri ini terutama pada hari minggu. "Boleh dikatakan semakin meningkat, semua hotel penuh, jalan raya penuh sesak dengan pengunjung yang ramai berpusu-pusu ke negeri ini dapat kita lihat setiap kali pada hujung minggu Pasar payang, Batu Burok, Drawbridge, Taman Tamadun Islam (TTI) juga muzium dipenuhi orang ramai. "Di Terengganu ini selain tempat pelancongannya menarik ia juga turut menjadi pilihan orang ramai untuk berkunjung kerana makanannya, boleh dikatakan Nasi Dagang Atas Tol antara tempat makan yang menjadi tumpuan. "Kalau kita tengok pada Jumaat, Sabtu dan Ahad pelanggan beratur penuh. Itu membuktikan Terengganu sentiasa menjadi pilihan utama rakyat di negara ini untuk datang melancong," ujarnya lagi.  
15 Feb 22
9933
DITC : Lokasi Terbaik Riadah Bagi Penjawat Awam.
DITC : Lokasi Terbaik Riadah Bagi Penjawat Awam.
Oleh : Fatimah Din KEMAMAN, 12 Februari - Darul Iman Training Centre (DITC) antara lokasi terbaik untuk diadakan pelbagai program oleh golongan penjawat awam. Seorang penjawat awam, Hidayah Azlin, 27, berkata tempat tersebut memang sesuai untuk penjawat awam berkursus, mengikuti pelbagai kem latihan dan mengadakan pengisian kerana kelengkapan fasilitinya. Kawasan bukitnya sesuai untuk aktiviti lasak Di samping itu, tambahnya DITC terletak di tepi Pantai Teluk Kalong adalah lokasi strategik yang menjadi tarikan semua pencinta pantai dan kawasan berbukit untuk aktiviti lasak.  "Bilik penginapan pun selesa, murah dan ada 'view' pantai di bilik bernombor ganjil dan ada kawasan  yang luas untuk riadah ringan-ringan dan hari keluarga," katanya yang ditemui ketika sedang mengikuti satu kursus di sini kelmarin. Manakala rakannya, Ummi Syuhada Halmi Shari, 33 yang turut bersetuju sambil berkata makanan yang disediakan tempat itu cukup berkualiti.
11 Feb 22
1140
Hari Tanah Lembap Sedunia : Promosi Setiu Wetlands
Hari Tanah Lembap Sedunia : Promosi Setiu Wetlands
SETIU, 6 Februari – Kesedaran dan kerjasama dalam memulihara khazanah alam di Taman Bencah Setiu (Setiu Wetlands) perlu diterapkan di dalam pelbagai pihak termasuk komuniti bagi memelihara alam sekitar disamping faedah ekonomi dan pelancongan. Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN) mewakili Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, warga tempatan bersama pihak berkaitan perlu konsisten berganding bahu membangunkan kawasan ekologi tersebut di mata dunia. “Selari dengan Sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia (World Wetlands Day), di samping menjaga persekitaran dan kelestarian kawasan seluas 1596 hektar ini, masyarakat juga boleh mempelajari fakta-fakta dalam menjadi ‘spokesperson’ tarikan eko pelancongan ini. “Pakej dibawa daerah Setiu amat unik, termasuk Setiu Wetlands, para pelancong boleh melihat keunikan dan keistimewaan budaya komuniti di Kampung Mangkuk, ini akan membawa hasil ekonomi buat kita. “Bersama agensi-agensi kerajaan seperti Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu (MPTNT), Institut pengajian tinggi (IPT) seperti Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) serta ahli masyarakat mengekalkan kelestarian taman negeri ini,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran Sambutan World Wetlands Day 2022 di Jeti Kampung Gong Batu, pagi semalam. Turut hadir, Pegawai Daerah Setiu, Rosli Latif. Sementara itu, Pengarah MPTNT, Tengku Mohd Arifin Tengku A. Rahman menjelaskan, penganjuran kali kedua itu berperanan mengangkat lokasi yang menyimpan lebih 10 ekosistem itu dikenali dan berdaya saing dalam sektor eko pelancongan. “Kesedaran betapa pentingnya tanah bencah memerlukan pemuliharaan konsisten kerana ia bukan sahaja membawa rezeki kepada masyarakat tetapi juga perlindungan daripada bencana seperti banjir dan hakisan. “Oleh itu, pentingnya agar kita memikul tanggungjawab ini bukan sahaja di peringkat kerajaan tetapi juga di peringkat komuniti,” tambahnya. Dalam program tersebut, pelbagai pengisian menyeronokkan dijalankan seperti pertandingan mewarna bot Setiu Wetlands, pertandingan memasak Selera Rasa, Fun walk dan lain-lain lagi.  
05 Feb 22
732
Bercuti Ke Pulau Redang Dengan Penerbangan Terus SKS Airways
Bercuti Ke Pulau Redang Dengan Penerbangan Terus SKS Airways
KUALA NERUS, 31 Januari - Syarikat penerbangan komersial terbaharu, SKS Airways, kini menawarkan penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang (LTSAAS) ke Lapangan Terbang Pulau Redang bermula hari ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata perjalanan udara yang kedua selepas Berjaya Air diharap akan memacu industri pelancongan Pulau Redang yang terjejas akibat pandemik. "Kini, percutian ke Pulau Redang semakin mudah dengan adanya penerbangan terus tanpa menggunakan kenderaan darat, sama ada pandu kereta sendiri atau menaiki bas sehingga ke jeti. "Saya yakin penerbangan terus dari Subang itu akan membawa lebih ramai kehadiran pelancong secara terus ke Pulau Redang," katanya. Beliau berkata demikian di sidang media majlis Sambutan Penerbangan SKS Airways Inaugural Flight, Subang-Pulau Redang di Lapangan Terbang Pulau Redang di sini hari ini. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Yang Berhormat Mulia Tengku Seri Bijaya Raja. Katanya, penerbangan itu mengambil masa selama 1 jam 20 minit dengan kapasiti 19 penumpang termasuk kru penerbangan. "Buat masa ini, SKS Airways beroperasi sekali penerbangan setiap hari sehingga 6 Mac dan akan bertambah pada dua kali sehari yang akan bermula pada 7 Mac nanti dengan harga tawaran serendah RM160 sehala," tambah Ariffin lagi. Sementara itu, Ketua Unit Perancangan dan Strategik SKS Airways, Hasmadi Muhamad, pemilihan Pulau Redang merupakan salah satu strategi untuk meluaskan pasaran syarikat penerbangan mereka. "Selain itu, Pulau ini juga merupakan salah satu destinasi tumpuan dan pulau tercantik di Malaysia di samping mempunyai landasan kapal terbang. "Pihaknya turut mendapat sambutan baik daripada pelancong yang memilih penjimatan dari segi masa dan jarak," jelasnya. Tambah beliau, pihak SKS Airways juga menawarkan akses ke lawatan pulau-pulau lain dengan penerbangan bermula antara (LTSAAS) ke Pulau Pangkor mulai 25 Januari dan ke Pulau Tioman dari (LTSAAS) pada suku kedua 2022.   SKS Airways memulakan operasi dengan pesawat jenis Twin Otter yang terkenal di seluruh dunia kerana keteguhan dan kebolehpercayaan dengan keupayaan Short Take Off and Landing (STOL) yang sangat baik. Pesawat itu juga turut membolehkannya mendarat dengan selesa di landasan udara pendek.  
31 Jan 22
7147
JPNT Rangka Inisiatif Baru Tingkat Industri Pelancongan
JPNT Rangka Inisiatif Baru Tingkat Industri Pelancongan
KUALA TERENGGANU, 27 Januari - Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) sedang merangka beberapa inisiatif baru bagi meningkatkan pembangunan industri pelancongan di negeri ini sekaligus dijangka berupaya mencapai sasaran tiga juta pengunjung pada tahun ini. Antaranya mengenalpasti, merancang, mengadakan pelbagai program, aktiviti dan memperkukuhkan community based tourism (CBT) bagi meningkatkan lagi daya tarikan dan kunjungan pelancong ke Terengganu. Pengarah JPNT, Fadli Yusof Zakaria berkata, buat permulaan, pihaknya dengan kerjasama Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT) menganjurkan bengkel halu tuju CBT selama dua hari, bermula semalam melibatkan semua pejabat daerah dan pengusaha CBT. “Bengkel ini memfokuskan berkaitan hala tuju pelancongan berasaskan komuniti CBT dan pengkongsian pengalaman CBT Kalang Warisan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Bengkel Hala Tuju Pelancongan CBT di Hotel Permai, hari ini. Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan Produk), Ahmad Fathil Abd Ghani.  Fadli berkata, berdasarkan rekod, sebanyak 28 CBT di negeri ini kini  aktif membantu sektor pelancongan Terengganu, termasuk Kalang Warisan, Dataran Batu Putih dan Merchang Lestari. “Pihak kami melihat  CBT  cukup unik, bukan sahaja mampu menjadi tarikan kepada pelancong malah menambah sumber ekonomi kepada penduduk setempat. “Pada masa sama,  mengeratkan hubungan persaudaraan antara penduduk dan mampu mempamerkan kelebihan kampung kepada pihak luar, termasuk pelancongan asing,” katanya. Menurutnya, program CBT diterajui sepenuhnya komuniti, JPNT hanya membantu dari segi khidmat nasihat, penambahan infrastruktur, promosi dan publisiti. “Tugas dan tanggungjawab komuniti adalah untuk memastikan produk-produk CBT di daerah ini sentiasa terpelihara, memiliki keunikan tersendiri, menjana idea baru yang relevan serta mempergiatkan lagi aktiviti promosi dari masa ke masa,” ujarnya.
30 Jan 22
489
AirAsia Tawar Penerbangan Terus Dari Kota Kinabalu Ke Kuala Terengganu
AirAsia Tawar Penerbangan Terus Dari Kota Kinabalu Ke Kuala Terengganu
KUALA NERUS, 30 Januari - Syarikat penerbangan tambang murah terbaik dunia, AirAsia Berhad (AirAsia) menyasarkan peningkatan dalam sektor pelancongan domestik selepas melakukan kerjasama dengan kerajaan negeri melalui pembukaan laluan penerbangan secara terus dari Kota Kinabalu ke Kuala Terengganu, bermula hari ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata perkembangan itu akan membantu merancakkan kembali industri pelancongan negeri selepas terjejas teruk akibat  pandemik Covid-19. Katanya, inisiatif tersebut juga diyakini dapat membantu meningkatkan kemasukan tiga juta pengunjung ke Terengganu sebagaimana disasarkan. "Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada AirAsia kerana memilih Terengganu sebagai salah satu laluan baharunya. "Justeru itu, saya mengajak rakyat untuk mengambil peluang bercuti ke Sabah dan sebaliknya," ujarnya. Beliau berkata demikian di sidang media selepas menyambut penerbangan sulung AK5310 yang membawa 59 penumpang pertama yang berlepas dari Kota Kinabalu  pada jam 3.15 petang dan tiba di Kuala Terengganu pada jam 5.40 petang di Lapangan Terbang  Sultan Mahmud, di sini hari ini. Tambah Ariffin, pihaknya akan terus menyokong AirAsia dan berharap untuk terus bekerjasama pada masa hadapan bagi mempromosikan industri terbabit. "Kita telah mengemukakan cadangan kepada AirAsia untuk menambah laluan baharu dari Kuching, Pulau Pinang termasuk mengembalikan semula penerbangan dari Senai, Johor ke Kuala Terengganu," ujar beliau lagi. Katanya, sehingga kini Terengganu merekodkan sebanyak 12 penerbangan  dalam sehari, yang merupakan tertinggi pernah direkodkan selepas pandemik Covid-19. Sementara itu, Ketua Komersial AirAsia, Nur Liyana Mahizzan berkata penerbangan antara Kota Kinabalu dan Kuala Terengganu berlepas pada setiap hari Ahad dengan tambang promosi sehala serendah RM128 sahaja hingga 14 Februari ini.  Tambah beliau, selain laluan Kota Kinabalu-Kuala Terengganu, pihaknya juga telah melancarkan tiga laluan baharu dalam usaha untuk memacu pelancongan domestik. "Laluan Kuching-Langkawi, Johor Bahru-Bintulu dan Pulau Pinang-Sibu yang diperkenalkan pada awal bulan Januari juga salah satu persediaan untuk pihak kami kembali menyediakan laluan antarabangsa," ujarnya.  
30 Jan 22
2495
Kerosakan Lampu Jambatan Angkat Sedang Dibaiki
Kerosakan Lampu Jambatan Angkat Sedang Dibaiki
KUALA TERENGGANU, 30 Januari - Kerosakan lampu pada ikonik Terengganu, jambatan angkat kini dalam proses pembaikan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman. Katanya, orang ramai diminta bertenang dan tidak mmenyebarkan berita tidak benar yang boleh menjejaskan industri pelancongan Terengganu. “Sebenarnya berlaku kerosakan pada lampu di Drawbridge dan kini sedang dibaiki, bukan kita sengaja tidak pasang. “Justeru itu, diharapkan orang ramai dapat bersabar dan kita akan usahakan yang terbaik agar ianya dapat berfungsi seperti biasa,” ujarnya ketika dihubungi pemberita, hari ini. Baru-baru ini tular di media sosial, dimana netizen mempersoalkan mengapa lampu pada Drawbridge hanya menyala sebelah sahaja, sekaligus mengecewakan mereka yang mahu mengabadikan gambar kenangan di mercu tanda Negeri Terengganu itu.    
30 Jan 22
787
‘Mek Raya’ Promosi Produk Pelancongan Di Wilayah Ketengah
‘Mek Raya’ Promosi Produk Pelancongan Di Wilayah Ketengah
KUALA TERENGGANU, 30 Januari- Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) melalui Ketengah Holding Sdn Bhd menjalin kerjasama dengan syarikat produksi Nang Surya Studios bagi mempromosi Wilayah Ketengah, khususnya Tasik Kenyir menerusi telemovie untuk siaran RTM berjudul ‘Mek Raya’. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ketengah Holding Sdn Bhd, Mohd Zaid Sulaiman berkata, telemovie yang memaparkan kisah masyarakat tempatan itu mengadakan pengambarannya seratus peratus di Terengganu di mana sebahagian besarnya dilakukan di sekitar Hulu Terengganu dan Tasik Kenyir. “Telemovie ini berkisar mengenai masyarakat majmuk "Keluarga Malaysia" di Terengganu dan dalam masa yang sama memaparkan lokasi menarik Wilayah Ketengah yang mencakupi Pulau Orkid, Santuari Kelah, Jeti Gawi, Pulau Poh di Tasik Kenyir, Muzium Bukit Besi dan Kampung Pasir Raja,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan bagi Telemovie Mek Raya antara Ketengah Holding Sdn Bhd dan Nang Surya Group Sdn Bhd di Primula Beach Resort, hari ini. Mohd Zaid berkata, Ketengah Holding Sdn Bhd menyumbang sebanyak RM50,000 untuk produksi ‘Mek Raya’. “Kita mengharapkan dengan penajaan ini promosi produk pelancongan di Wilayah Ketengah terutamanya dan di Terengganu amnya dapat disebarluaskan. “Secara tidak langsung, jumlah pelancong ke negeri kita dan Wilayah Ketengah meningkat seterusnya akan melonjakkan rantaian ekonomi peniaga tempatan,” katanya. Dalam pada itu, Mohd Zaid berkata, pihaknya amat berbesar hati kerana Nang Surya Group memilih Wilayah Ketengah sebagai lokasi pengambaran bagi telemovie terbitan mereka. Telemovie 'Mek Raya' menampilkan barisan pelakon antaranya Watie Sadali, Zul Huzaimy, Azrul Rajalawak, Dave, Joyce Harn.  
30 Jan 22
774
22 Acara Pelancongan Menarik Menanti, Moh ke Terengganu!
22 Acara Pelancongan Menarik Menanti, Moh ke Terengganu!
KUALA TERENGGANU, 23 Januari - Kerajaan Terengganu mengumumkan sebanyak 22 acara utama bakal mewarnai kalendar pelancongan Terengganu tahun ini. Sekalipun masih berdepan penularan pandemik Covid-19, kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri telah merangka pelbagai aktiviti kebudayaan dan pelancongan, termasuk bertaraf antarabangsa bagi menarik pelancong ke negeri pantai timur itu bagi tahun 2022. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, pemilihan acara-acara dalam kalendar utama mempunyai impak dan kekuatan tersendiri selain mampu menjadi daya tarik kepada pengunjung yang datang. “Kerajaan negeri mempunyai harapan besar dalam menjadikan Terengganu sebagai negeri yang bukan sahaja menawarkan destinasi menarik, tetapi menyajikan pengalaman pelancongan melalui penganjuran acara. “Hasrat melaksanakan ‘Calendar For Event’ (COE) sebelum ini agak tergendala kerana kita berdepan pandemik Covid-19 sejak dua tahun lepas, namun kini agak beransur pulih. “Jadi, mudah-mudahan COE yang dilancarkan hari ini dapat menjadikan Terengganu destinasi terpenting bagi kedatangan pelancong khususnya pelancong tempatan dan sebenarnya, kita juga menjemput pelancong-pelancong luar untuk datang berkunjung,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan COE 2022 di Primula Beach Hotel, di sini hari ini. Hadir sama, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri, Fadli Yusof Zakaria dan Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Terengganu, Zanariah Zakaria. Tambah Ariffin, terdapat beberapa acara baru yang menarik bakal disajikan kepada pengunjung yang datang.   “Sebenarnya, kita buat kesesuaian semula pada tahun ini. Kita banyak acara menarik di peringkat daerah dan kita ambil sebahagian daripadanya ke dalam kalendar utama kita. “Antara acara yang dijangka menjadi tumpuan adalah Karnival Beautiful Terengganu yang akan diadakan sempena pembukaan Jambatan Pulau Poh, Tasik Kenyir dengan kerjasama Terengganu Incorporated Sdn. Bhd (Terengganu Inc) dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH). “Pelbagai acara menarik akan diadakan dan lebih unik, perasmian acara akan dilakukan pada sebelah malam yang mana tidak pernah diadakan di Tasik Kenyir sebelum ini,” katanya. Selain itu, antara acara yang turut diadakan ialah Festival Warisan Sungai (Mac), Karnival Candat Sotong (April), Karnival Budaya Terengganu (Jun), Karnival Pantai (Julai), Terengganu International Air Festival (Ogos), Tenggiri Challenge dan Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud (September), Alami Rasa Terengganu (Oktober), Tasik Puteri Jet Ski Challenge (November) dan Monsoon Casting Tournament (Disember). Untuk maklumat lanjut, perkembangan aktiviti-aktiviti menarik pelancongan negeri Terengganu dapat diketahui menerusi pelbagai laman sosial rasmi ‘Beautiful Terengganu Malaysia’ dan twitter @trgtourism.
23 Jan 22
2464