Artikel "Pelancongan" Terkini
Aris Ariwatan Cipta Lagu 'Kenyir Keindahan Alami'
HULU TERENGGANU, 21 Mac - Penyanyi terkenal tanah air, Aris Ariwatan atau nama sebenarnya Harris Fadzillah Daud mencipta lagu 'Kenyir Keindahan Alami' bagi menarik lebih ramai pengunjung untuk hadir menikmati keindahan alam semula jadi yang terdapat di pusat pelancongan terbabit.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Senator Datuk Razali Idris berkata, lagu tersebut telah digubah dengan baik serta disampaikan dengan penuh penghayatan menceritakan tentang keindahan di tempat yang menjadi tumpuan ramai pelancong itu.
"Saya ucap syabas kerapada saudara Aris kerana berjaya mencipta lagu ini dengan baik dengan diselitkan dialek loghat daerah Terengganu walau beliau bukan anak jati negeri ini tetapi merupakan orang Perak.
"Liriknya apabila diamati ia menyentuh secara keseluruhan tentang perihal serta keindahan yang ada di sini, saya harap dengan lagu yang mengikut 'trend' muzik semasa serta mempunyai kekuatan melodinya yang tersendiri, mampu menjadi satu daya penarik untuk lebih ramai pelancong datang ke Tasik Kenyir ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Lagu 'Kenyir Keindahan Alami' dan Penutup Kenyir Eco Trophy 2022. di Pengkalan Gawi, di sini semalam.
Lagu berkenaan secara sahnya telah dimiliki sepenuhnya oleh KETENGAH apabila menerima akta hak cipta lagu daripada Aris di majlis tersebut.
Mengulas lanjut Razali berkata, lagu berkenaan sebenarnya telah lama disiapkan,namun kerana pandemik Covid-19 pelancarannya terpaksa ditangguhkan.
"Hampir dua tahun lagu telah dicipta hasil pengalaman Aris sendiri setelah meneroka kawasan ini," katanya.
Dalam pada itu menurut Aris, lagu berkenaan mengandungi unsur pendidikan iaitu menceritakan mengenai sejarah tasik tersebut.
"Menerusi klip video lagu ini saya meminjam watak 'Tok Aki' untuk diketengahkan agar menarik minat orang ramai untuk kenal siapa diantara penduduk asalnya, seperti Encik Ahmad yusof yang saya sempat bertemu dengannya.
"Saya minta maaf jika ada salah dan silap atau kekurangan semasa menjayakan watak berkenaan, tujuannya adalah untuk memberikan gambaran serta elemen sejarah silam, serta pada lagu ini ada dialek daerah yang diketengahkan semoga ia mendapat tempat dan menjadi daya tarikan kepada seluruh rakyat malaysia untuk datang berkunjung dan mengenali destinasi pelancongan terkemuka ini,"ujarnya.
21 Mar 22
937
Karnival Beautiful Terengganu 2022 Serlah Tarikan Baharu Tasik Kenyir
HULU TERENGGANU, 19 Mac- Karnival Beautiful Terengganu 2022 yang diadakan sejak Khamis lalu, secara tidak langsung membuka dimensi baru pelancongan Tasik Kenyir.
Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Fadli Yusof Zakaria berkata, karnival yang berlangsung di Pulau Poh, merupakan pembukaan kepada 22 kalendar Pelancongan Terengganu tahun ini.
"Kita harap, selepas ini Pulau Poh akan terus dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti ditambah dengan kemudahan yang menepati kehendak penganjuran acara berskala besar.
"Dengan pembukaan Pula Poh sebagai elemen terbaru perniagaan dalam penganjuran acara, ia akan menarik lebih ramai pengunjung ke Tasik Kenyir," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian karnival tersebut yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr. Mamad Puteh, semalam.
Sepanjang karnival berkenaan, pelbagai aktiviti diadakan seperti pameran agensi kerajaan dan swasta, pertandingan bot berhias, jualan pakej pelancongan oleh pemain industri dan sebagainya.
Tahun ini, kerajaan Terengganu telah merancang 22 acara utama untuk mewarnai kalendar pelancongan pada tahun ini antaranya Festival Warisan Sungai, Karnival Candat Sotong (April), Karnival Budaya Terengganu (Jun), Karnival Pantai (Julai), Terengganu International Air Festival (Ogos), Tenggiri Challenge dan Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud (September), Alami Rasa Terengganu (Oktober), Tasik Puteri Jet Ski Challenge (November) dan Monsoon Casting Tournament (Disember).
19 Mar 22
1890
Kerajaan Negeri Bantu Pengusaha CBT Terjejas Banjir
KUALA TERENGGANU, 17 Mac - Kerajaan negeri telah mengadakan rundingan bersama pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi membantu membaik pulih produk pelancongan berteraskan komuniti (CBT) yang terkesan ekoran banjir luar jangka melanda Terengganu baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berkata, Pusat Rekreasi Pengkalan Warisan dan Dataran Banggol Cempedak antara CBT yang terjejas teruk dengan bencana alam itu.
“Kalau di Pengkalan Warisan, hampir semua tempat jualan mereka musnah. Ini menyebabkan kita terpaksa tangguh program itu.
"InsyaAllah kerajaan negeri akan cuba ambil peranan membantu dua tempat ini dan tempat lain yang terkena banjir," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai isu tersebut pada sidang media sempena penganjuran program Karnival Beautiful Terengganu 2022 di Bilik Mesyuarat Jabatan Pelancongan Negeri, kelmarin.
Menurut Ariffin, kerja-kerja pembersihan kesan peninggalan banjir itu juga masih giat dilaksanakan di dua lokasi CBT yang dibangunkan penduduk setempat itu.
Ujar beliau, pihaknya menganggarkan kerugian kira-kira RM200,000 yang terpaksa ditanggung pemain industri CBT dengan kerosakan sekitar 30 hingga 80 peratus.
Bagaimanapun Ariffin berkata pihaknya sedang menilai jumlah kerugian sebenar yang dialami penggiat industri pelancongan susulan musibah banjir berkenaan.
16 Mar 22
256
Kerajaan Negeri Sasar 200,000 Pengunjung Ke Karnival Beautiful Terengganu
KUALA TERENGGANU, 15 Mac- Kerajaan negeri menyasarkan kehadiran seramai 200,000 pengunjung ke Karnival Beautiful Terengganu 2022 dalam tempoh tiga hari program itu diadakan bermula 17 Mac ini di Pulau Poh, Tasik Kenyir.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berkata, karnival tersebut merupakan usaha kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri untuk merancakkan kembali sektor pelancongan domestik.
Katanya, ia juga merupakan platform bagi menghimpunkan kepelbagaian produk pelancongan dari seluruh daerah yang akan dipaparkan secara langsung kepada pengunjung.
"Pelbagai acara menarik menanti pengunjung, antaranya pertunjukan malam berlampu yang bakal menerangi Tasik Kenyir, modular pameran agensi, jualan pakej pelancongan istimewa ditawarkan pemain industri.
"Selain itu, terdapat juga persembahan kebudayaan, pertandingan memasak ikan baung, pertandingan houseboat dan speedboat berhias, pakej Kenyir Trail, permainan sukan rakyat.
"Acara utama pada malam perasmian pula adalah pertunjukan Kenyir Aqua Light and Sound, pertunjukan ukiran laser Tasik Kenyir, pancutan air berirama dan pelbagai lagi," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena penganjuran program Karnival Beautiful Terengganu 2022 di Bilik Mesyuarat Jabatan Pelancongan Negeri, hari ini.
Tambah Ariffin, penganjuran Karnival Beautiful Terengganu diharap dapat menjadi satu acara yang dapat menarik kunjungan orang ramai dan seterusnya mempromosikan Kempen Visit Beautiful Terengganu.
“Penganjuran karnival ini sekaligus bakal menonjolkan lagi Tasik Kenyir sebagai destinasi eko pelancongan yang terunggul bukan sahaja di Terengganu, tetapi juga di peringkat nasional.
"Malah penganjuran karnival ini turut diharap dapat menyumbang kepada peningkatan taraf sosio-ekonomi rakyat negeri melalui impak aktiviti rantaian dari sektor pelancongan, kesenian dan kebudayaan," jelasnya.
Katanya, program melalui kolaborasi lebih daripada 20 jabatan dan agensi itu turut menyasarkan pelbagai golongan pengunjung, termasuk belia, pelancong dalam dan luar negeri, pelajar, penduduk tempatan dan mereka yang sudah berkeluarga bagi memeriahkan karnival.
15 Mar 22
646
MARPA, ANM Pacu Perubahan Tanggapan Negatif Terhadap Nuklear
KUALA TERENGGANU, 9 Mac - Persepsi awam mengenai sinaran nuklear seringkali dikaitkan dengan perkara - perkara ancaman keselamatan dan permusnahan sama ada pada manusia, hidupan liar dan alam sekitar.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata tanggapan ini perlu ditepis dengan memberikan maklumat serta fakta-fakta yang betul kepada masyarakat awam.
"Teknologi nuklear ini mampu menyumbang kepada keselamatan sejagat, kemakmuran ekonomi dan pembangunan negara.
"Malah hakikatnya, teknologi nuklear ini amat penting dalam sektor perubatan dan industri. Seterusnya, aspek keselamatan amat perlu dititikberatkan semasa pengendalian,"katanya.
Beliau berkata demikian mewakili YAB Menteri Besar Terengganu ketika berucap dalam Program Perasmian Raditation Protection Conference & Workshop 2022 di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu, Isnin lalu.
"Tahniah diucapkan kepada Persatuan Perlindungan Sinaran Malaysia (MARPA) dan Agensi Nuklear Malaysia atas penganjuran persidangan ini sebagai acara yang penting, landasan terbaik untuk memacu dan mempertingkat prestasi perlindungan sinaran di sesebuah organisasi.
"Pada waktu yang sama dapat meningkatkan status profesionalisme Pegawai Perlindungan Sinaran di Malaysia,"ujarnya lagi.
09 Mar 22
245
Terengganu Terima Anugerah Bandar Pelancong Bersih ASEAN
KUALA TERENGGANU, 8 Mac - Kuala Terengganu merupakan antara 10 bandar di negara ini yang menerima anugerah Standard Bandar Pelancong Bersih Asean pada Majlis Anugerah Standard Pelancongan ASEAN bagi tempoh 2022 hingga 2024, semalam.
Sembilan lagi bandar ialah Putrajaya, Kuching Selatan, Kuching Utara, Kuantan, Miri, Sibu, Georgetown, Muar dan Langkawi.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata anugerah itu untuk memberi pengiktirafan kepada penggiat industri terbabit yang memenuhi standard ASEAN serta layak mendapat pengiktirafan daripada kerajaan.
"Menerusi pengekalan standard dalam amalan mempraktikkan Standard Pelancongan ASEAN setiap masa sebagai nilai tambah kepada produk atau perkhidmatan yang masing-masing telah sedia ada.
"Industri ini pada hari ini menitikberatkan perkhidmatan yang lebih berkualiti dan pelancongan selamat. Justeru, pihak industri perlu mengukuhkan penyamapaian perkhidmatan mengikut situasi semasa yang sesuai dengan gaya hidup masa kini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan melalui video, pada majlis berkenaan yang diadakan di Kuala lumpur, semalam.
Pada majlis itu, seramai 29 pemain industri pelancongan negera menerima sejil anugerah daripada kementerian berkenaan.
Dalam perkembangan yang berbeza , Nancy berkata Malaysia juga akan mengadakan kerjasama dengan ASEAN bagi menganjurkan program pengurusan sisa hotel mampan dalam usaha menggalakkan konsep amalam hijau di kalangan pengusaha hotel.
08 Mar 22
3848
Tasik Kenyir Selamat Dikunjungi
HULU TERENGGANU, 3 Mac – Tasik Kenyir yang dibadai banjir puing beberapa hari lalu disahkan selamat untuk dikunjungi para pelancong.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, pihaknya telah melakukan tinjauan dan diberikan taklimat oleh pihak berwajib mengenai perkara terbabit.
"Air masih berada pada paras yang selamat, banjir baru-baru ini juga tidak memberikan kesan besar, Tasik Kenyir masih mampu menampung kadar air.
“Keadaan air juga sangat jernih ketika kami sedang melakukan tinjauan," katanya selepas tinjauan terbabit semalam.
Menurut Ariffin, pelancong yang sudah membuat tempahan menginap dan menaiki rumah bot atau bot laju boleh datang seperti biasa.
“Keadaan air di tasik ini sudah kembali berkurang, sebelum ini agak sedikit tinggi daripada kebiasaan," katanya.
Mengulas lanjut tentang keselamatan pengunjung, pengusaha bot Tasik Kenyir perlu memastikan pelancong memakai jaket keselamatan dan sebagainya.
Dalam perkembangan berbeza, Ariffin turut memaklumkan bahawa pihaknya sedang membuat penelitian bagi membenarkan pelancong ke pulau di negeri itu.
“Kita sedang berbincang untuk membenarkan pelancong ke pulau kerana sebelum ini angin masih lagi kuat, kita tangguh dulu sementara atas faktor keselamatan.
"Insya-Allah dalam beberapa hari lagi kita semua boleh ke pulau," tambah beliau.
03 Mar 22
944
SJPay Mudahkan Pelancong Ke Pulau Redang
SETIU, 23 Februari– Melalui tiket secara atas talian 'Setiu Jetty Pay (SJPay) yang dilancarkan oleh Majlis Daerah Setiu akan memudahkan orang ramai yang berhasrat untuk melancong ke Pulau Redang yang seringkali menjadi tumpuan rakyat tempatan dan juga luar negara datang berkunjung
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, kemudahan tersebut akan membantu pelancong untuk membuat bayaran fi akses di jeti Merang.
“Bermula hari ini, aplikasi ini boleh dimuat turun di Google play dan App Store, sistem ini juga akan turut membantu Majlis Daerah Setiu meningkatkan kecekapan melalui daftar masuk secara automatik dan pantas tanpa melalui kaunter.
"Dengan adanya sistem ini, secara tidak langsung juga dapat membendung penularan wabak Covid-19 yang sedang menular kerana para pelancong tidak lagi perlu bersesak untuk beratur di kaunter sebagaimana sebelum ini,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis perlancaran 'SJPay' ini di Jeti Pelancongan Merang ,semalam.
Dengan tindakan produktif oleh pihak majlis daerah berkenaan, Shaharizukirnain merakamkan ucapan syabas kerana inisiatif berkenaan untuk memastikan sektor pelancongan di daerah berkenaan kembali rancak setelah terkesan dengan Printah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
"Dengan memiliki pulau yang cantik sebagai Pulau Redang, selain itu Pulau Lang Tengah, Hutan Lipur Lata Changkah, Hutan Lipur Lata Payong, Setiu Wetlands dan pelbagai lagi tarikan yang kita ada akan kembali meriah dikunjungi oleh pelancong dalam negara bahkan pelacong asing akan kembali berkunjung apabila sempadan negara akan mula dibuka kelak,"katanya.
23 Feb 22
770
Enam Lokasi Pelancongan CBT Di Besut
KUALA TERENGGANU, 22 Februari- Enam lokasi di Besut kini dikenalpasti sebagai Kawasan Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) bagi merancakkan kembali sektor pelancongan Terengganu.
Pengarah Jabatan Pelancongan Nergeri Terengganu (JPNT), Fadli Yusof Zakaria, berkata dengan penambahan enam CBT di Besut, Terengganu kini mempunyai 29 CBT yang aktif mengetengahkan keunikan dan kekuatan produk serta perkhidmatan masing-masing.
Katanya, lokasi tersebut adalah Felda Selasih, Mukim Kerandang, Kampung Kubang Depu, Kampung Kayu Kelat, Pulau Perhentian dan terbaharu di Bukit Bubus, Tembila.
“Pemilihan Bukit Bubus mempunyai kekuatan tersediri untuk dinaiktaraf sebagai CBT, antaranya memperkenalkan aktiviti paragliding.
“Aktiviti yang semakin mendapat tempat di kalangan peminatnya mendapat tumpuan 38 negara membabitkan 74 peserta antaranya dari Nepal, New Zealand, Vietnam, Filipina, Greece, Thailand, Norway, Poland, Mongolia dan Jepun dalam penganjuran Terengganu International Paragliding Competition pada tahun 2017,” katanya dalam satu kenyataan media.
Tambah Fadli, selain Besut, Kuala Terengganu dan Marang kini mempunyai lima CBT, Kemaman dan Hulu Terengganu (4 CBT), Dungun dan Kuala Nerus (2 CBT) dan Setiu (1 CBT ).
Menurutnya, Kalang Warisan dan Dataran Batu Putih adalah contoh CBT terbaik di negeri ini kerana diasaskan sendiri oleh komuniti di kawasan terbabit dan menjadi tumpuan pengunjung dalam dan luar negeri Terengganu.
“Penduduk turut bekerjasama sehingga terhasilnya sebuah kawasan unik yang memiliki pelbagai daya tarikan tersendiri dan pernah menerima pengunjung sehingga mencecah 1,000 orang sehari.
“Pihak kami tidak menyasarkan jumlah tertentu penubuhan CBT dalam tempoh setahun, ini kerana mahu menumpukan jumlah CBT yang sedia ada supaya mampu mewujudkan peluang pekerjaan, membangunkan ekonomi kampung, penubuhan koperasi dan seterusnya menaikkan imej kampung,” ujar beliau.
23 Feb 22
1386
Tasik Kenyir Bakal Jadi Langkawi Kedua Di Malaysia
KUALA LUMPUR, 20 Februari - Pelbagai fasiliti dan program menarik bakal ditawarkan di Tasik Kenyir, Terengganu sekali gus berupaya mengangkat kawasan pelancongan itu setaraf dengan Pulau Langkawi.
Pengarah Eksekutif yang juga Presiden Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc), Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun, berkata selain fasiliti sedia ada dan yang bakal siap tidak lama lagi, pihaknya giat merangka 'strategi' bagi merangsang kedatangan pelancong ke kawasan pelancongan itu.
Dengan pelaburan keseluruhan melebihi RM400 juta, beliau menyasarkan sekitar 1.5 juta pelancong akan mengunjung Tasik Kenyir sekali gus diharapkan juga dapat memberi kesan limpah kepada penduduk dan pengusaha setempat.
"Pulau Poh disifatkan sebagai mercu tanda baharu pelancongan untuk Terengganu. Kita ada banyak fasiliti di situ seperti jambatan ikonik baharu, sebuah jeti dan yang penting ada kawasan perniagaan. Kita juga akan ada taman seperti taman ekstrem dan taman realiti maya yang akan kita popularkan.
"Ia (Pulau Poh) adalah kawasan awam. Kita ada hotel yang akan beroperasi suku ketiga tahun ini. Ada 150 bilik di situ. Kita sudah ada taman tema air. Jadi, sudahpun ada beberapa tarikan sedia ada. Semua itu kita akan promosikan sekali.
"Kita akan buka taman tema air dalam masa dua bulan ini. Ia sudah ada cuma kita akan naik tarafnya. Kita sekarang ini juga sudah mengenal pasti beberapa syarikat besar yang akan datang buka taman komersial bebas cukai. Cuma sekarang ini, kita mencari operator taman realiti maya dan taman ekstrem. Ia masih dalam peringkat perbincangan kita.
"Kita nampak potensi pelancongan (di Tasik Kenyir) amat besar. Malahan kita boleh jadi (Pulau) Langkawi kedua kalau kita promosikan dan ia pun bebas cukai. Cuma kita tidak ada program yang betul," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi Media Prima Berhad (MPB) dan New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) di Anjung Riong, Balai Berita, pagi tadi.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Operasi OMNIA, Mohd Efendi Omar; Pengarang Kumpulan BH, Datuk Saidon Idris dan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit.
Burhanuddin Hilmi berkata, Pulau Poh adalah antara pulau terdapat di Tasik Kenyir. Ia berkeluasan 104 ekar dan memiliki cukup ruang untuk dijadikan pusat komersial membabitkan 45,000 kaki persegi.
Memperincikan mengenai pelaburan untuk pembangunan di kawasan pelancongan itu, Burhanuddin berkata kos pembinaan jeti, jambatan dan hotel dianggarkan lebih RM300 juta.
Peruntukan menaiktaraf taman teman air, katanya menelan pelaburan sekitar RM5 juta, RM10 juta untuk pembinaan taman realiti maya dan RM5 juta lagi untuk pembangunan taman ekstrem di kawasan itu.
"Kita ingin menjemput (tawaran bangunkan) untuk taman realiti maya, kalau ada sesiapa yang ada pengalaman mengusahakannya, kita mengalu-alukan pihak berkenaan datang kepada kita.
"Dua taman lagi belum dibuka dan kita sedang mencari rakan. Mungkin bermula pada awal suku keempat sebab pelaburannya agak besar. Kita nak cari pelabur yang sanggup melabur di situ.
"Kita ada bercakap dengan satu pelabur. Rupanya di Langkawi pun sudah bermula. Kita juga ada bercakap dengan beberapa pihak dan kita nampak kosnya bukan murah. Ia melebihi RM10 juta. Kita kena pastikan pelaburan itu berbaloi," katanya.
Mengenai perancangan program, Burhanuddin berkata pelbagai aktiviti sedang dirangka antaranya cabaran basikal gunung antarabangsa, kayuhan basikal, belon panas udara dan sukan air.
Selain itu, katanya terdapat juga festival makanan tempatan akan dianjurkan nanti sebagai usaha memperkenal dan mempromosikan makanan Terengganu.
"Tasik Kenyir sangat luas melebihi 200,000 hektar. Jadi, semua aktiviti itu boleh dilakukan. Kalau zon cukai bebas lebih kepada Pulau Poh. Taman geo secara keseluruhannya adalah Tasik Kenyir.
"Di Tasik Kenyir, kita juga ada santuari ikan kelah, (pusat) konservasi gajah, 76 rumah bot dan aktiviti bot laju. Semua itu kita ada. Apa kita buat Pulau Poh ini akan menarik ramai pelancong," katanya- BERITA HARIAN
20 Feb 22
3602