lightning-solid
Berita :

Artikel "Pelancongan" Terkini

Kota Putera Himpun 300 Otai Kenderaan Klasik
Kota Putera Himpun 300 Otai Kenderaan Klasik
BESUT, 22 Januari- Lebih 300 pemilik kenderaan klasik terdiri daripada kereta-kereta keluaran Mercedes Benz dan jenama lain, selain motosikal dan basikal berusia lebih 100 tahun berhimpun di Dataran Limbungan, di sini sejak semalam. Kenderaan tersebut dihimpunkan sempena Karnival Permotoran Pantai Timur anjuran bersama Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera dan Kelab Otai Mercedes Benz Besut dibantu Majlis Daerah Besut dan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS). Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, program yang julung kali diadakan itu mempersembahkan keunikan tersendiri dan mendapat sambutan hangat di kalangan masyarakat setempat. “Kita merancang karnival ini dalam tempoh kurang sebulan untuk adakan tetapi, dengan  dukungan semua pihak, kita terima sambutan begini baik daripada peserta sehingga urus setia terpaksa mengubah target kehadiran mereka beberapa kali.  Nurkhuzaini bergambar di hadapan salah satu kereta klasik yang dipamerkan. “Daripada kurang 200 peserta yang dijangkakan semalam, hari ini kita dapati melebihi 300 kenderaan hadir mewakili kelab-kelab Mercedes Benz daripada enam buah negeri,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI). Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan perasmian karnival berkenaan, malam tadi. Antara basikal unik yang dipamerkan. Jelasnya, program berlangsung semalam diwarnai dengan siri konvoi kenderaan klasik ke kawasan-kawasan menarik di sekitar Kota Putera. “Besut ibarat mini Terengganu. Kalau orang kata Terengganu terkenal dengan pantai, kita ada Pantai Bukit Keluang dan Pulau Perhentian. Di sini juga kita ada air terjun dan air panas, ada tasik di Hulu Besut, kenapa tidak digembleng untuk diketengahkan kepada umum?  “Jadi Kota Putera ingin memulakan hasrat ini dengan menaikkan benda-benda yang perlu diketengahkan kepada masyarakat bagi menarik pengunjung dalam dan luar negara dan kita memulakan pecutan ini sebagai persediaan pelancongan pada masa akan datang,” katanya.  
22 Jan 22
790
Generasi Muda Harus Pelihara Khazanah Seni Melayu
Generasi Muda Harus Pelihara Khazanah Seni Melayu
MARANG, 18 Januari - Seni anyaman dan mencanting merupakan warisan kraftangan yang perlu dipelihara oleh generasi baharu bagi mengelakkan khazanah berkenaan hilang ditelan zaman. Isteri Menteri Besar Terengganu, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman berkata, pihaknya berhasrat untuk melihat lebih ramai penglibatan generasi pelapis dalam industri terbabit. "Pusat Khidmat Masyarakat DUN Rhu Rendang telah mengambil inisiatif menjalin kerjasama dengan Kemajuan Kraftangan Malaysia Terengganu. "Kami juga turut menghantar peserta untuk menyertai kursus anyaman berasaskan mengkuang dan pandan laut ini dengan harapan warisan ini dapat diteruskan sekali gus membantu peserta menjana pendapatan," katanya kepada media di Sungai Kerak baru-baru ini. Turut hadir Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman, Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu, Fazlin Mohamad Zaki, Persatuan Ibu Tunggal DUN Rhu Rendang dan Kakitangan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Rhu Rendang. Menurut Tuan Faizah lagi, produk yang mempunyai potensi pada masa hadapan itu perlu diperkukuhkan dengan penglibatan generasi muda bagi memberi nafas baru dalam teknik serta penghasilan produk. "Di Sungai Kerak ini kita dapat lihat, macam mana orang muda dapat mencanting batik dengan sangat mahir, oleh itu kita berharap pihak kraftangan dapat meneruskan bimbingan kepada pengusaha-pengusaha kraftangan dan pelapis. "Diharapkan penggiat-penggiat seni kraftangan ini terus dibimbing untuk mengembangkan seni mereka sekali gus menjadi usahawan kraftangan yang terkemuka di Terengganu dan juga Malaysia," ujarnya. Sementara itu, Adiguru Kraf Anyaman, Kelsom Abdullah berkata sekitar tahun 80an dan 90an dahulu, hampir 80 peratus penduduk di Kampung Rusila terlibat dengan bidang anyaman, namun kini, tidak sampai 10 peratus yang tinggal. "Sangat rugi jika seni anyaman ini pupus kerana inilah salah satu identiti orang Melayu yang perlu dijaga dan dilindungi.  "Dari sudut permintaan, produk anyaman ini mendapat permintaan yang tinggi, tetapi bahan-bahan seperti mengkuang dan pandan laut kini semakin sukar untuk didapatkan selain daripada pengusaha anyaman itu sendiri," tambahnya lagi. Manakala, menurut Pengusaha Daniel Batik Kraf, Pauzi bin Omor @ Omar, dia telah mengusahakan batik sejak pada tahun 2000 dan mendapat permintaan tinggi. "Kraftangan batik ini adalah warisan tradisi turun temurun, saya amat menggalakkan anak-anak muda yang berminat dengan bidang seni boleh lah mencuburi kraftangan batik," ucapnya.
18 Jan 22
693
Seni Kraf Lekar Lidi Nipah Punyai Nilai Estetika Tersendiri
Seni Kraf Lekar Lidi Nipah Punyai Nilai Estetika Tersendiri
SETIU, 18 Januari - Barangan kraf tangan seperti lekar yang diperbuat daripada lidi nipah kini makin dilupai namun pengusaha kraf tangan lekar di Kampung Pengkalan Gelap, Setiu masih lagi meneruskan tradisi nenek moyang mereka yang berusia lebih 100 tahun. Salah seorang pengusaha, Fatimah Che Long, 66, walaupun sudah berusia, dia tidak pernah merasa penat atau bosan mengusahakan kraf tangan tradisi itu bagi memastikan ia tidak hilang ditelan arus kemodenan. Beliau yang menjalankan anyaman berkenaan sejak 18 tahun lalu berkata, meskipun pendapatan tidak seberapa kerana jualan barangan itu banyak bergantung kepada tempahan tetapi ia mampu juga memberi pendapatan sampingan untuk keluarganya. “Pada zaman dulu lekar dijadikan alas periuk panas tetapi  kini diubah suai dan divariasikan dalam pelbagai bentuk dan saiz mengikut peredaran zaman. “Sekarang ada sesetengah lekar dibuat par untuk hantaran, tempat letak buah-buahan, bakul bawang dan ada juga yang dibentuk untuk hiasan, pasu bunga dan tempat letak mentol,” katanya. Menurut Fatimah, asas utama menghasilkan bakul adalah menggunakan lidi nipah dan selebihnya bergantung kepada kreativiti masing-masing. Tambahnya lagi, bekalan lidi nipah mudah diperoleh kerana kawasan terbabit dipenuhi rimbunan pokok nipah yang tumbuh liar sepanjang tebing sungai sambil berfungsi menghalang hakisan. "Paling utama pembuatannya memerlukan tujuh rumpun daun nipah dan setiap rumpun itu terdiri daripada 25 hingga 30 batang lidi nipah yang sudah matang.lebih 100 batang lidi diperlukan untuk menghasilkan satu lekar bergantung kepada saiznya.   "Proses seterusnya ialah membuat tapak bakul dan diikuti menganyam lidi itu secara berselang seli. Masa yang diperlukan tidak lebih setengah jam tetapi jika barang dihasilkan kecil, masa lebih lama diperlukan," ujarnya. Fatimah yang hanya belajar membuat anyaman berdasarkan pemerhatian sendiri berkata dia  mampu menghasilkan lebih enam lekar sehari mengikut saiz lidi nipah. “Kalau lidi yang lebih besar, mak cik hanya mengambil masa 10 hingga 20 minit untuk hasilkan sebuah lekar,tapi kalau lidi yang bersaiz kecil dan halus, kerjanya agak rumit dan hampir 45 minit diperlukan untuk menghasilkan sebuah lekar. “Lekar ini dijual mengikut saiz antara RM8 hingga RM18 dan lekar yang dibuat daripada lidi nipah ini tahan lama hingga 10 tahun serta tak mudah rosak sebab lidinya yang kukuh,” katanya yang dapat menghasilkan lebih 200 lekar sebulan. Selain membuat anyaman itu di rumahnya beliau juga sering diundang untuk mengadakan demotrasi di progam-program tertentu yang dianjurkan oleh jabatan kerajaan.  “Memang mak cik risau, tak ada pengganti yang dapat sambung seni ini sebab sekarang orang muda tak minat nak buat lekar ni termasuk anak-anak sendiri...ada yang tak tahu pun lekar ni diperbuat daripada apa. “Makcik harap sangat akan ada pihak yang dapat meningkatkan semula industri ini dan makcik bersedia menjadi tenaga pengajar sebab ramai juga orang yang makcik ajar termasuk dari luar negeri, dia orang datang sini dan lihat bagaimana cara kami buat lekar,” katanya. Fatimah juga berkata, lekar yang dihasilkannya bukan sahaja pernah mendapat sambutan dari luar negeri, malah turut mendapat sambutan daripada pelancong dari pelbagai negara termasuk China.
18 Jan 22
631
Anyaman Tikar Pandan Laut Unik Dan Mampu Bertahan Lama
Anyaman Tikar Pandan Laut Unik Dan Mampu Bertahan Lama
SETIU, 16 Januari - Daun pandan laut yang dianyam kemas menjadi tikar, mampu menyumbang pendapatan lumayan kerana keunikannya menjanjikan pasaran yang luas. Kini semakin sukar ditemui kerana bilangan individu yang meneruskan aktiviti menganyam kini terdiri daripada mereka yang sudah bergelar warga emas di kawasan luar bandar. Namun Wan Fatimah Wan Abdul Rahman, 62, dari Kampung Gong Batu membuktikan bidang anyaman berasaskan daun pandan laut masih mempunyai tempat termasuk sebagai hiasan bagi mereka yang cintakan seni kraf tradisional. Jelasnya, kraftangan tersebut boleh dijadikan industri yang berkembang maju kerana permintaan terhadap produk-produk tersebut masih tinggi. "Tikar pandan laut ini sungguh cantik, seni anyamannya begitu halus, dan mampu bertahan sehingga 40 tahun. "Terdapat pelbagai corak seperti tapak berbam, bunga bakul, bunga mata bilis, bakul besar serta bunga mata biawak mendapat permintaan tinggi.  "Malah saya turut mendapat tempahan  dari negeri-negeri lain seperti Kuala Lumpur termasuk negara luar iaitu Pattani," ujar ibu kepada lapan orang anak itu. Katanya, terdapat tiga jenis anyaman yang dihasilkan iaitu anyaman kasar yang dijual pada harga RM8, anyaman halus (RM20) dan anyaman paling halus (RM30) bagi setiap 0.3 meter tikar yang dihasilkan. Menceritakan bagaimana minatnya terhadap seni anyaman ini timbul, Wan Fatimah berkata segalanya secara spontan ketika dia berusia 15 tahun. "Sebab tak ada kerja nak buat pada masa itu, saya daftarkan diri bersama kawan-kawan ke kursus seni anyaman tikar anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara). "Akhirnya dari 25 peserta tinggal dua orang termasuk saya yang bertahan sehingga sekarang," katanya yang kini pendapatan bulanannya mencecah RM600 hingga RM1,000. Wan Fatimah berkata, untuk membuat tikar pandan, langkah pertama yang perlu dilakukan adalah membuang duri dan bahagian tengah daun pandan laut tersebut. "Daun pandan laut banyak duri sehingga luka jari-jemari dan tangan ketika memprosesnya adalah perkara biasa sehinggakan nak makan nasi pun susah. "Saya bersama suami mencari daun pandan laut di sepanjang tanah bencah .Ada juga ketika saya dapatkan daripada pokok yang ditanam di sekitar rumah saya ini,"katanya lagi. Setelah itu, proses diteruskan dengan membelah daun tersebut menggunakan jangak yang dikategorikan kepada beberapa jenis mengikut saiz belahăn daun tikar yang diperlukan. "Kemudian, daun yang telah dibelah diikat, dipukul, tumbuk dan direbus dalam api dan dijemur sehingga kering," ujarnya. Selepas itu, barulah proses mewarna dilakukan dan jemur dalam keadaan cuaca yang berangin dan tidak panas. "Sebelum proses menganyam, daun tersebut dilurut terlebih dahulu supaya lembut untuk dianyam," jelasnya. Tambahnya lagi, sebidang tikar pandan laut anyaman tangan hari ini dijual sekitar harga RM90 semeter namun hasil kreativiti seni anyaman yang unik dan menarik membolehkan tikar bersaiz lebih 10 meter tersebut mencecah harga RM1,000 ke atas.        
16 Jan 22
1942
Industri Pelancongan, Perhotelan Penyumbang Utama Ekonomi Negeri
Industri Pelancongan, Perhotelan Penyumbang Utama Ekonomi Negeri
KUALA TERENGGANU, 11 Januari - Industri pelancongan dan perhotelan antara penyumbang utama kepada ekonomi negeri Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berkata, hotel-hotel di Terengganu masih terus beroperasi dengan baik dan tidak begitu mengalami kejatuhan. “Hotel-hotel dibawah kerajaan negeri telah mencatatkan keuntungan berganda sehingga tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021. “Apabila saya mengumumkan pembukaan beberapa kawasan pelancongan melalui ‘Travel Bubble’ (SOP Gelembung Pelancongan) dengan pematuhan SOP yang ketat kita melihat keputusan tersebut pada waktu itu adalah tepat pada masanya bagi menyemarakkan kembali industri pelancongan dan menggalakkan pembukaan sektor pelancongan lebih awal,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Terengganu Inc. dan UiTM di Hotel Permai, hari ini. Turut hadir, Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc., Burhanudin Hilmi Mohamed dan Rektor UiTM cawangan Terengganu, Prof Ts Dr Mazidah Puteh. Menurut Ariffin, apabila sektor pelancongan aktif ia akan memberi limpahan kepada permintaan tempat tinggal seperti hotel, 'homestay' dan lain-lain.  “Jika kehadiran pelancong terus meningkat, industri perhotelan dalam negeri dijangka terus meningkat dan menjana keuntungan,” ujarnya. Terdahulu dalam ucapannya beliau berkata, seluruh dunia baru sahaja pulih daripada kejatuhan ekonomi dunia akibat pandemik COVID-19.  “Industri perhotelan Malaysia telah dianggarkan kehilangan pendapatan lebih RM5 billion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini. “Anggaran tersebut adalah berdasarkan kadar penghuni  bagi tempoh berkenaan. Lebih 91 buah hotel di Malaysia terpaksa ditutup sementara dan malah ada yang terpaksa menutup sepenuhnya," katanya. Tambah beliau, kerajaan negeri turut menyasarkan kedatangan sekitar tiga juta pengunjung ke Terengganu pada tahun 2022. “Kita lihat dulu untuk enam bulan pertama tahun ini kerana kita masih dalam tempoh pemulihan semula industri pelancongan negeri disebabkan pandemik COVID-19,” ujarnya.
11 Jan 22
462
Terengganu Tembusi Pasaran Antarabangsa, UAE
Terengganu Tembusi Pasaran Antarabangsa, UAE
KUALA TERENGGANU, 27 Disember - Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu memulakan sinergi promosi luar negara dengan penyertaan di Dubai Expo 2020, sebagai usaha memperluaskan kempen Visit Beautiful Terengganu.  Penyertaan kerajaan negeri dalam mempromosikan pelancongan negeri di Dubai Expo merupakan langkah pertama diambil dalam menggerakkan kempen promosi luar negara yang dilihat selari dengan perancangan promosi yang dirangka.  Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berkata, melalui penyertaan kali pertama di expo antarabangsa terbesar itu, pihaknya berharap dapat membuka peluang dalam mempromosikan dan memperkenalkan Terengganu di persada dunia, terutama melibatkan pasaran timur tengah dan negara-negara Emiriah Arab Bersatu (UAE).  “Ia juga merupakan platform terbaik bagi kerajaan negeri dalam mengenalpasti peluang perniagaan dan pelaburan berkaitan sektor pelancongan, selain dapat menjalinkan perkongsian maklumat berhubung industri pelancongan dengan fokus untuk meningkatkan permintaan perjalanan ke negeri Terengganu, terutama dalam mempromosikan Terengganu khususnya sebagai destinasi pelancongan mesra muslim,” ujarnya dalam satu kenyataan.  Tambah beliau, selari dengan tema pelancongan eko yang diketengahkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, kerajaan negeri turut mengenalpasti segmentasi dan produk-produk berkaitan seperti Tasik Kenyir, Setiu Wetlands, pulau-pulau dan pantai serta pelbagai lagi khazanah alam semula jadi yang dipromosikan menerusi paparan digital dan elektronik di expo tersebut.  Expo Dubai 2020 yang berlangsung dari 1 Oktober 2021 hingga 31 Mac 2022 di Dubai, dengan tema 'Connecting Minds, Creating the Future' melibatkan penyertaan lebih 190 buah negara dan organisasi dari seluruh dunia. Bertemakan Eco Tourism, minggu ke-13 expo yang berlangsung dari 26 Disember 2021 hingga 1 Januari 2022 tersebut diterajui oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, menerusi agensi pelaksana Tourism Malaysia disertai oleh beberapa buah negeri, antaranya Terengganu, Selangor, Sarawak, Perak, dan Langkawi. Antara pengisian program sepanjang expo berlangsung adalah, kempen promosi pelancongan negeri bersama media UAE, sesi libat urus bersama penggiat industri pelancongan Dubai, Tourism Talk, lawatan ke pavillion luar negara, dan pelbagai lagi.  
27 Dec 21
495
Setiu Wetland Cycling Trail Tarikan Unik Penggemar Aktiviti Berbasikal
Setiu Wetland Cycling Trail Tarikan Unik Penggemar Aktiviti Berbasikal
SETIU, 26 Disember - Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu (MPTNT) mengisytiharkan Setiu Wetland Cycling Trail sebagai usaha mempromosikan kawasan tanah bencah berkenaan kepada orang ramai. Laluan berbasikal sejauh 20km itu bermula dari Boardwalk Taman Negeri Setiu Wetlands melalui Kampung Gong Batu, Kampung Limau Nipis, Kampung Kuala Setiu, Kampung Fikri, Kampung Juna sebelum memasuki Kampung Pengkalan Gelap dan kembali ke Boardwalk Taman Negeri Setiu Wetlands. Sepanjang kayuhan, penunggang basikal akan melalui pelbagai ekosistem dan keunikan persekitaran Tanah Bencah Setiu yang berkeluasan 23,000 hektar keseluruhannya meliputi kawasan paya bakau, paya gelam, industri akuakultur, produk kraftangan, Savanah, kolam hijau, gerai jualan komuniti serta perkampungan nelayan yang amat bersesuaian sebagai laluan santai aktiviti berbasikal disamping menerokai alam semula jadi Tanah Bencah Setiu. Pengarah MPTNT, YM Tengku Mohd Arifin Tangku A.Rahman berkata, pemilihan aktiviti berbasikal bagi memperkenalkan Setiu Wetland adalah disebabkan komuniti tersebut yang ramai terutamanya di kalangan rakyat Terengganu sendiri. "Negeri kita juga dikatakan negeri basikal kerana telah banyak melahirkan pelumba bertaraf dunia. "Mengambil kira kawasan ini sinonim dengan alam semula jadi yang kaya dengan kepelbagaian biologi dan juga budaya komuniti yang ada, kita mahu supaya semua ini dapat dikongsi dengan pengunjung dengan laluan tersebut meliputi 10 ekosistem yang ada," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian trail berkenaan yang disempurnakan YM Tengku Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, semalam.  
25 Dec 21
499
MCT Angkat Imej Tasik Kenyir di Persada Dunia
MCT Angkat Imej Tasik Kenyir di Persada Dunia
HULU TERENGGANU, 21 Disember- Penganjuran Kenyir Monsoon Casting Tournament 2021 (MCT 2021) edisi ke-13 kali ini berjaya menghimpunkan seramai 352 peserta dari dalam dan luar negara, termasuk dua peserta masing-masing dari Jepun dan Amerika Syarikat.  Berkonsepkan "catch and release" program pertandingan memancing itu bertujuan memupuk kesedaran awam terutama peminat aktiviti memancing dalam usaha pemuliharaan dan pemeliharaan ekosistem dan biologi marin di Tasik Kenyir. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berharap, penganjuran MCT yang diadakan secara tahunan itu dapat menonjolkan lagi imej Tasik Kenyir bukan sahaja dalam kalangan rakyat negara ini, tetapi juga di persada dunia melalui penyertaan peserta antarabangsa. "Penganjuran acara berimpak tinggi sebegini sudah tentu memberikan banyak manfaat, terutama kepada pengusaha 'houseboat', pemandu bot Tasik Kenyir dan juga penduduk kampung yang turut mendapat limpahan ekonomi secara langsung kesan dari kedatangan pengunjung ke Tasik Kenyir," katanya ketika berucap pada majlis perasmian penutup MCT, semalam.  Jelasnya, meskipun penyertaan kali ini terhad berikutan penetapan SOP yang ketat, penganjur masih berjaya menghimpunkan sebanyak 24 buah ‘houseboat’, 120 buah ‘car topper boat’ dan 30 buah kayak di Tasik Kenyir. Program tahunan anjuran Kerajaan Negeri Terengganu melalui Jabatan Pelancongan Negeri, dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH)  itu berlangsung selama empat hari dan turut melibatkan kerjasama dari Tourism Malaysia Wilayah Timur, Pejabat Daerah Hulu Terengganu, Pejabat Kesihatan, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertehanan Malaysia (APM) dan pelbagai agensi lain.      
21 Dec 21
1141
Santuari Kelah Kenyir Menang 'Best Eco Tourism Initiative' 2021
Santuari Kelah Kenyir Menang 'Best Eco Tourism Initiative' 2021
KUALA TERENGGANU, 15 Disember- Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) baru-baru ini mendapat pengiktirafan Malaysia Tourism Council Gold Awards (MTCGA 2021). Dalam majlis di New World Hotel, Selangor itu, Santuari Kelah yang merupakan salah satu destinasi pelancongan Tasik Kenyir dinobatkan sebagai 'Best Eco Tourism Initiative'. Pengurus Besar KETENGAH, YM Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa berkata, kejayaaan tersebut dicapai hasil usaha bersama KETENGAH, kerajaan negeri dan para penggiat pelancongan terutama Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir dalam mempormosikan Tasik Kenyir menjadi destinasi pelancongan terulung di Malaysia. "Kejayaan ini juga memberikan inspirasi kepada semua pihak terutama agensi dan pemain pelancongan dalam menjadikan Terengganu dan Tasik Kenyir khususnya sebagai destinasi wajid dikunjungi. "KETENGAH memulakan inisiatif projek pemuliharaan pada 2006 dengan menjinakkan ikan kelah liar, satu spesis asal di tasik ini menjadi satu produk tarikan utama pelancongan," katanya. Tambahnya, pembangunan Santuari Kelah turut mendapat sokongan dan kerjasama kerajaan negeri untuk memastikan produk berkenaan terus berdaya saing dan berpotensi dimajukan ke tahap seterusnya. Santuari tersebut sekaligus menggalakkan pembiakan semula ikan kelah liar di habitat semula jadinya. Selain itu, kepelbagaian habitan semula jadi dan ikan kelah sering menjadi tumpuan kaki pancing yang berkunjung ke Tasik Kenyir.
15 Dec 21
701
Villapadu Desa Janjikan Percutian ‘Ala Kayangan’ Di Terengganu
Villapadu Desa Janjikan Percutian ‘Ala Kayangan’ Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 8 Disember - Ingin merasai pengalaman bercuti di villa yang  mewah dan privasi umpama berada di rumah sendiri dan jika itu yang diimpikan maka anda boleh merasainya di Villapadu Desa di Kampung Seberang Baruh, di sini Pastinya rumah yang lengkap dengan set BBQ, peralatan rumah yang hebat dengan suasana yang eksklusif, ibarat anda pulang ke kampung halaman sendiri.  Paling menarik adalah sudah pasti landskapnya yang cukup cantik menghijau sambil bunyi air di kolam renang yang tenang menambahkan lagi perasaan bercuti yang bebas tanpa gangguan. Menurut pemiliknya, Zulhisham Ayob,61, idea penataan landskap dan seni bina keseluruhan vila berkenaan dirancang rapi supaya keindahan alam semula jadi di sekitarnya dapat dinikmati tetamu sepanjang masa. “Apabila lokasi penginapan terletak di dalam kampung, sudah tentu tetamu yang bakal tiba membayangkan panorama unik dengan idea binaan menarik, bilik selesa dan sedap mata memandang. “Mengambil kira keperluan itulah landskap tropika cuba diketengahkan selari dengan keadaan asal tanah ini yang kaya dengan tumbuh-tumbuhan hijau,” kata bapa kepada lapan anak yang berpandangan jauh itu. Berpegang teguh untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan dan berfungsi sebagai penginapan mewah yang mampu menyaingi mana-mana hotel lima bintang di luar jangkaan mereka, sebaik sahaja mereka mendaftar masuk. Bermula dengan harga RM2,000 semalam, terdapat tiga bilik tidur utama yang mampu memuatkan 10 orang dewasa termasuk tiga kanak-kanak. Katanya, dengan pakej yang ditawarkan walaupun bersifat ‘premium’ namun dijanjikan kepuasan berganda kepada mereka yang membelinya. “Setiap pelanggan utamakan kebersihan, saluran paip yang terkemuka, katil yang selesa, penghawa dingin yang berfungsi, dapur yang serba lengkap, lokasi yang strategik, perkhidmatan pelanggan yang baik, sambungan internet, kemudahan hiburan dan perkhidmatan tambahan . “Jadi kenapa saya tidak boleh menawarkan tetamu semua keselesaan  yang mereka harapkan daripada percutian kelas pertama dan menjadikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan yang hebat dengan perkhidmatan yang baik daripada penduduk tempatan,” tambah bekas bos Pakar Media dan pengasas Oranje-ISC, salah satu agensi media dan pemasaran yang paling berjaya di Malaysia. Satu pengalaman yang menakjubkan jika anda dapat berkunjung ke sini malah satu tempat yang sangat menarik dan sesuai untuk anda sekeluarga.  Apa yang penting, anda perlu tahu bahawa pengalaman, ketenangan dan kepuasan hati adalah jauh melampaui dari wang ringgit. Jadi jangan terlalu berkira untuk "hadiahkan" diri anda dan keluarga anda dengan percutian! Empat hartanah di Kuala Terengganu, semuanya miliknya, kini menjadi tapak homestay vila mewah,yang membawa anda kembali kepada ke pangkuan desa dan alam menghijau tetapi lebih istimewa, dengan suasana yang lebih bergaya dan elegan. Sebuah rumah kampung lama, telah diubah suai menjadi sebuah vila yang indah di bawah jenama Villapadu, dua lagi hartanah, satu di sepanjang Sungai Terengganu dan satu lagi di tepi laut, hampir siap sementara satu lagi masih dalam pembinaan di Kampung Kubang Parit. “Ia bukan sekadar mempunyai harta untuk disewa, ia tentang memberikan segala-galanya kepada pelanggan,” ujarnya.
08 Dec 21
5022