Artikel "Pelancongan" Terkini
Kejohanan Jet Ski Kembali Selepas 13 Tahun
HULU TERENGGANU, 29 Julai - Tasik Kenyir Jet Ski Championship 2022 menjadi acara pembukaan bagi Terengganu Inc Challenge Series (TICS) setelah kali terakhir diadakan pada 2009 di Pulau Poh, Tasik Kenyir.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata kumpulan anak syarikat negeri, Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) menjadi penganjur utama kejohanan berprestij itu.
“Pihak kerajaan negeri melalui jabatan pelancongan telah menyerahkan sepenuhnya pengurusan Pulau Poh kepada Terengganu Inc.
“Kita sangat mengalu-alukan penyertaan Terengganu Inc dalam memajukan industri pelancongan negeri, khususnya di Tasik Kenyir,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Tasik Kenyir Jet Ski Championship Challenge 2022 yang dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Pulau Poh, di sini hari ini.
Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata acara Jet Ski menjadi salah satu daripada empat acara TICS bakal diadakan secara tahunan.
“Selain itu, Mountain Bike dan Trail Run di sini (Tasik Kenyir) serta Monsun Ride di Setiu pada Disember nanti.
“Kita turut bercadang untuk memasukkan acara demikian ke dalam kalendar pelancongan negeri, Insya-Allah,” tambahnya.
Kejohanan Jet Ski itu turut mendapat penyertaan antarabangsa dari Singapura, Brunei dan Indonesia dengan 70 penyertaan dan menawarkan hadiah berjumlah RM50,950.
Pengunjung dari dalam dan luar negeri dijangka bakal memeriahkan penganjuran yang bakal berlangsung bermula hari ini dan berakhir 30 Julai nanti.
28 Jul 22
818
70 Rumah Bot Tasik Kenyir Akan Digredkan
KUALA NERUS, 19 Julai- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) akan mengredkan 70 rumah bot yang beroperasi di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu dalam tempoh terdekat sebagai usaha meningkatkan mutu dan menaiktaraf perkhidmatan itu.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) MOTAC, Mohd Zamri Mat Zain, berkata, perincian pengredan sama ada mengikut penarafan bintang atau dikelaskan kepada kategori tertentu akan ditentukan kemudian bersama Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) dan agensi yang terlibat.
Katanya, keputusan untuk mengredkan rumah bot tidak semudah mengredkan Premis Penginapan Pelancongan (PPP) yang dilaksanakan terhadap hotel bandar, hotel resort, hotel tanah tinggi, hotel butik dan hotel inovatif sebelum ini.
“Ini kerana, perkhidmatan rumah bot yang dianggap hotel bergerak itu melibatkan banyak aspek teknikal terutama berkaitan sistem kumbahan, enjin bot, pengurusan bilik enjin, saliran ekzos, tangki minyak dan tandas.
“Bagaimanapun, antara kriteria utama yang perlu dititikberat pengusaha bot dalam memastikan mereka layak diberikan pengredan adalah perlu mempunyai lebih 10 bilik, 50 katil, aspek keselamatan, kebersihan, penyediaan makanan dan penyaman udara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika beruca pada Majlis Penutup Bengkel Pembangunan dan Pemurnian Kriteria Penggredan PremisPenginapan Pelancong Hotel Inovatif Kategori Houseboat anjuran Motac dengan kerjasama JPNT di Hotel Raia, Kuala Nerus, kelmarin.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri, Fadli Yusof Zakaria dan Pengerusi Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir A. Aziz Ar Rahim.
Menurut Mohd Zamri, penggredan yang akan dilaksanakan itu bukanlah satu mandatori kepada premis untuk memohon dan tiada tindakan penguatkuasaan akan dikenakan kepada pengusaha rumah bot yang tidak membuat pemohonan pengredan.
“Hal ini sama seperti penggredan PPP sedia ada di mana pelaksanaannya adalah secara sukarela. Walau bagaimanapun MOTAC akan sentiasa menggalakkan mereka untuk diberikan penggredan di bawah MOTAC.
“Pelaksanaan penggredan ini juga akan menjadi pemangkin kepada industri rumah bot di Malaysia untuk terus menawarkan perkhidmatan dan fasiliti yang terbaik,” katanya.
19 Jul 22
618
Baik Pulih Taman Monumen TTI Bermula Hujung Tahun Ini
KUALA TERENGGANU, 18 Julai – Sebanyak RM5 juta diperuntukkan kerajaan negeri bagi membaik pulih ikon pelancongan Terengganu, Taman Monumen yang menempatkan 22 replika masjid terkenal dunia di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini .
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Wan Adnan Wan Derahman berkata pihaknya akan melaksanakan kerja baik pulih dan mengindahkan semula Taman Monumen yang sebahagiannya sudah lusuh secara berperingkat bermula akhir tahun ini.
“Kita akan mulakan proses pembaikian monumen kincir Air yang kerosakannya agak teruk dan selepas itu Taj Mahal dan Samarra.
“Pihak kami juga akan bekerjasama dengan beberapa universiti untuk hantar pelajar mereka khususnya dalam bidang seni bina jalankan kerja lapangan dan tanggungjawab sosial korporat di Taman Monumen ini,” katanya ketika ditemui pemberita.
Taman Tamadun Islam adalah taman tema pertama yang mengiktiraf seni bina Islam. Kompleks ini menempatkan 22 replika bangunan berkaitan sejarah Islam dunia dari 20 negara.
Tarikan utama di sini termasuk Masjid Negara (Malaysia), Dome of the Rock (Palestin), Masjidil Haram (Arab Saudi), Al-Hambra Citadel (Spain) dan Taj Mahal (India).
Terdapat juga Mimbar Kalyan (Uzbekistan), Makam Abu Nasr (Afghanistan), Mimbar Berputar Samarra (Iraq), Masjid Mohd Ali (Kaherah), Masjid Besar Qairawan (Tunisia), Masjid Besar Agadez (Nigeria), Aleppo Citadel (Syria), Masjid Kul Syarif (Russia) dan Mimbar Xian, China.
Kesemua 22 replika masjid termasuk monumen dan tugu dibina pada nisbah skala 1:4 hingga 1:22 berbanding saiz asal.
18 Jul 22
1020
TNB Juara Candat Sotong
MARANG, 16 Julai - Kemeriahan Fiesta Candat Sotong 2022 anjuran Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu berakhir dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Terengganu melakar kejuaraan dalam acara utama mencandat sotong.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Sulaiman Sulong berkata, program tersebut menjadi salah satu tarikan pelancong ke negeri Terengganu.
“Kita bukan sekadar melakukan pesta candat sotong bagi mencipta pengalaman manis, namun yang penting menjadikan pengalaman mengurus program sebegini hingga mendapat tempat di hati komuniti seluruh negara.
“Pada masa yang sama, kita harap pengusaha bot mengambil sikap bertanggungjawab untuk memastikan negeri kita terjaga,” katanya dalam Majlis Perasmian Penutup dan Majlis Penyampaian Hadiah Fiesta Candat Sotong 2022 di Pulau Kekabu, di sini hari ini.
TNB menjuarai acara dengan membawa hasil sotong seberat 55 kilogram (kg) membawa pulang wang tunai RM5,000 diikuti Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang dengan hasil 54.5 kg.
Pesta candat tahunan anjuran bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Pejabat Daerah dan Tanah Marang kali ini melibatkan 30 buah bot dengan penyertaan seramai 300 peserta termasuk dari Australia dan Indonesia.
Fiesta Candat Sotong 2022 bermula sejak 14 hingga 16 Julai dengan pelbagai aktiviti seperti jualan produk industri kecil sederhana (IKS), persembahan kebudayaan dan pertandingan memasak sotong.
16 Jul 22
1275
Pesta Candat Sotong Kembali Meriah
MARANG,15 Julai - Pesta mencandat sotong di Terengganu kembali meriah apabila seramai 300 peserta mengambil bahagian dalam penganjuran kali ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata Marang sekali lagi menjadi tuan rumah pada tahun ini kerana mempunyai daya tarikan tersendiri serta terkenal di kalangan pelancong asing dengan aktiviti itu.
Katanya, hadiah bernilai RM5,000 ditawarkan kepada pemenang dalam fiesta kali ini.
"Apabila tiba musim mencandat, orang ramai yang terdiri daripada pengunjung telah membuat tempahan bot untuk merasai sendiri pengalaman mencandat sotong di tengah laut.
"Acara tahunan ini juga yang secara tidak langsung mempromosikan negeri Terengganu sebagai destinasi tumpuan pelancong bagi merasai pengalaman mencandat sotong," jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Fiesta Candat Sotong di Jeti LKIM, Marang di sini hari ini.
Selain itu, menurut Ariffin, pengusaha bot di sini turut menawarkan pakej mencandat 'experience tourism' dengan harga serendah RM800 semalaman bagi sebuah bot dengan kapasiti 10 penumpang.
"Pakej ini secara tidak langsung dapat menyumbang kepada peningkatan ekonomi penduduk tempatan menerusi aktiviti rantaian pelancongan.
“Penganjuran selama tiga hari ini akan diadakan di dua lokasi, iaitu di Pusat Rekreasi Pulau Kekabu dan majlis perasmian dan pelepasan peserta akan diadakan pada 15 Julai 2022 (Jumaat) di Jeti LKIM, Marang,” ujarnya.
Tambah Ariffin, di Pulau Kekabu pelbagai pengisian aktiviti berkaitan pelancongan dan kebudayaan seperti silat, gamelan, persembahan busking lagu rakyat, permainan tradisional, serta jualan produk-produk IKS turut diadakan.
"Ia bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam bermula 14 Julai hingga 16 Julai 2022.
“Untuk rekod, Program candat sotong Terengganu pernah diiktiraf sebagai Program Pelancongan Terbaik pada tahun 2019 daripada Majlis Pelancongan Malaysia,” katanya.
15 Jul 22
959
Laluan Warisan Mat Kilau Produk Pelancongan Dua Negeri
KUALA TERENGGANU, 2 Julai - Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Pahang untuk mengetengahkan laluan Mat Kilau sebagai produk pelancongan dua hala antara dua negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berkata jika direalisasikan, ia mampu membawa masyarakat ke sudut sejarah yang berbeza dengan menjejaki laluan yang pernah dilalui oleh Mat Kilau semasa perjuangannya menentang British suatu masa dahulu.
Katanya, ia dapat mengembalikan nostalgia dan kegemilangan sejarah serta jejak-jejak dan tinggalan sejarah Pahlawan Melayu yang terkenal iaitu Mat Kilau dan rakan-rakannya di Pasir Raja, Dungun yang merentasi hutan khatulistiwa ke Hulu Tembeling, Pahang.
"Saya difahamkan jelajah laluan warisan itu sememangnya mencabar sehingga mengambil masa dua hingga hari untuk tamat jadi satu perbincangan akan diadakan dengan pihak berkaitan untuk melaksanakannya.
"Ia juga turut membawa mengenali kubu Mat Kilau serta mengenali keunikan alam semulajadi dengan lebih dekat melalui aktiviti sepanjang 'hiking'," katanya ketika ditemui pemberita.
Tambahnya, penambahbaikan akan turut dilaksanakan bagi kemudahan sepanjang jejak Mat Kilau seperti keselamatan, hentian rehat dan lain-lain bagi menarik lebih ramai pengunjung untuk melaluinya.
Difahamkan laluan antara Pahang dan Terengganu agak berbukit bukau serta laluan sungai yang perlu diharungi hampir 60 peratus daripada keseluruhan perjalanan melalui laluan itu.
02 Jul 22
1639
'Rating Star' Rumah Bot Tasik Kenyir Tahun Hadapan
KUALA TERENGGANU, 1 Julai -Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu akan memperkenalkan sistem penarafan bintang buat pertama kali kepada 70 rumah bot di Tasik Kenyir bermula tahun hadapan.
Pengarahnya, Fadli Yusof berkata tujuan sistem ini dilaksanakan adalah memberi penarafan dan pengiktirafan kepada premis mengikut kriteria yang ditetapkan.
Katanya, ia juga akan membantu pelancong merancang percutian mengikut kehendak masing-masing dengan tepat.
"Sekarang pihak kami dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang menyediakan dokumen untuk gred bermula satu sehingga lima bintang sebagaimana hotel- hotel di darat.
"Antara kriteria untuk pemberian bintang, kita akan menilai tandas, kemudahan air, sistem kumbahan, penyediaan makanan mengikut standard dan bilik penginapan yang terdapat di setiap rumah bot di Tasik Kenyir," ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman baru-baru ini.
Tambah beliau lagi, percutian akan bertambah mudah, selesa, puas hati dan menenangkan apabila individu membuat perancangan secara menyeluruh dengan menentukan destinasi yang diingini dilawati sejajar dengan matlamat serta duit dibelanjakan berbaloi dalam segenap segi.
"Bila kita buat penarafan bintang, secara tidak langsung akan mempengaruhi harga pakej bagi setiap rumah bot namun menjanjikan kepuasan kepada pelancong sebagaimana mereka menginap di hotel-hotel yang terdapat di negeri ini,"katanya.
01 Jul 22
1243
Pahang, Destinasi Kedua Promosi Jelajah Beautiful Terengganu
KUANTAN, 29 Jun- Kempen Jelajah Beautiful Terengganu, Pakat Maghi Terengganu 2022 kini diteruskan di Pahang sebagai destinasi pilihan kedua selepas Kedah dengan penawaran pakej percutian menarik di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berkata, ia merupakan kerjasama kerajaan negeri Terengganu menerusi Jabatan Pelancongan Negeri meneruskan sinergi promosi dalam negara.
Katanya, program memperkasakan kempen promosi sektor pelancongan dan kebudayaan negeri ini yang turut mendapat kerjasama Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Terengganu memfokuskan segmentasi pelancongan tertentu dalam menarik lebih ramai pengunjung domestik ke Terengganu.
"Pahang dilihat mempunyai potensi besar dalam industri pelancongan terutama lokasi popular seperti Tanah Tinggi Genting dan Tanah Tinggi Cameron yang berupaya menjadi faktor tarikan pengunjung.
" Terengganu turut mempunyai beberapa persamaan dengan Pahang yang sekaligus dapat memberikan pilihan produk serta pakej pelancongan kepada pelancong sasar," ujarnya kepada pemberita.
Tambah beliau, Pahang mempunyai pulau terkenal seperti Pulau Tioman dan begitu juga Terengganu yang yang mempunyai tujuh pulau peranginan utama yang selama ini menjadi faktor tarikan utama pengunjung seperti Pulau Redang, Pulau Perhentian, dan Pulau Kapas.
"Begitu juga sepertimana Pahang menjenamakan masakan ikan patin sehingga terkenal diseluruh negara, Terengganu juga mempunyai menu masakan istimewa Ikan baung yang akan dijadikan ikon baharu dalam ketengahkan Terengganu sebagai destinasi baharu untuk pelancongan gastronomi" ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi MAH Terengganu, Suaibah Harun berkata, Program Jelajah BTM yang menggunakan kaedah Business to Business (B2B) itu dianggap antara strategi terbaik bagi pelancongan di Terengganu.
Menurut beliau, kaedah itu memberi lebih fokus kepada pemain industri dalam mendapatkan input serta maklumat berkaitan perkhidmatan dan pakej yang ditawarkan di Terengganu.
"Kesan promosi yang digerakkan pihak jabatan melalui pelbagai saluran telah menunjukkan peningkatan hasil tempahan hotel di bawah MAH.
"Purata tempahan pada hari biasa ialah 50 peratus dan jumlah itu meningkat kepada 80 peratus pada hujung minggu, musim cuti persekolahan, perayaan dan setiap kali adanya penganjuran program oleh kerajaan negeri," katanya.
Jelajah BTM ke Pahang kali ini melibatkan 13 penggiat industri pelancongan yang terdiri daripada
pengusaha hotel, agensi kerajaan, agensi pelancongan dan pengusaha produk nasi dagang serta keropok lekor.
29 Jun 22
652
50 Persatuan Motosikal Meriahkan 'Bike Week'
KUALA NERUS, 26 Jun - Terengganu Bike Week 2022 (TBW2022) mencatatkan sejarah apabila disertai 50 buah persatuan motosikal berkuasa besar termasuk dari Thailand dan Singapura.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata penglibatan tersebut sekali gus merancakkan agenda pelancongan di negeri Terengganu.
“Acara ini pastinya berjaya menarik kunjungan orang ramai selain para ‘bikers’ ke negeri ini serta merancakkan ekonomi di negeri ini.
“Pada masa yang sama, para ‘bikers’ turut menjadi duta pelancongan ke negeri Terengganu Darul Iman,” katanya dalam ucapan perasmian Terengganu Bike Week 2022 di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini semalam.
Turut hadir Pengasas East Coast Motorcycle Club (ECMC), Tengku Sri Temenggung Raja Terengganu dan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri, Fadli Yusof Zakaria.
TBW2022 mencatatkan penyertaan sekitar 2,000 peserta yang berdaftar dengan anggaran lebih 10,000 'riders' yang turut serta memeriahkan acara.
25 Jun 22
617
Kewujudan Ma'daerah Mampu Tambah Populasi Penyu
KEMAMAN, 16 Jun - Kerajaaan Negeri Terengganu berharap dengan adanya usaha yang berterusan dijalankan di Santuari Penyu Ma’Daerah (Ma’Daerah) ini akan mempertingkatkan lagi peningkatan pendaratan penyu di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata pada tahun lepas sahaja, 2021, Jabatan Perikanan telah melepaskan sebanyak 432,000 ekor anak penyu kembali ke lautan.
"Mengikut statistik, dalam 1000 ekor yang kita lepaskan biasanya seekor akan kekal hidup dan kembali semula ke daratan dimana ia dilepaskan.
"Kita harap paling kurang 400 ekor anak penyu akan hidup sehingga dewasa, matang dan kembali semula untuk bertelur di pantai dimana ia dilepaskan.
“Setiap tahun kerajaan negeri memperuntukkan lebih daripada RM600,000 untuk kerja-kerja pengurusan penyu, menaiktaraf pusat-pusat konversi penyu, bayar upah pekerja-pekerja dan termasuklah pembelian semula telur-telur penyu daripada pemajak bagi tujuan untuk ditetaskan.
“Dan sebagaima kita sedia maklum, bermula daripada 1 Jun baru-baru ini, dimulakan penguatkuasaan enakmen pemeliharaan penyu Enakmen Penyu 1951 mulai 1 Jun 2022, mengharamkan penjualan telur penyu.
"Jadi tidak ada lagi telur penyu yang dijual secara terbuka selepas daripada pelaksanaan enakmen ini kerana sudah ada peraturan.
"Alhamdulillah, nampaknya tinjauan yang dilakukan di lokasi-lokasi telur penyu di jual, tidak ada lagi penjualan yang dilakukan,” katanya kepada pemberita dalam Program Terengganu Turtle Camp 2022 hari ini.
Jabatan Perikanan mengenalpasti punca kematian penyu adalah ombak besar, pelanggaran kipas bot, musim tengkujuh dan terperangkap dalam pukat tunda.
Mengikut rekod, laporan kematian penyu melebihi angka 40 ekor sejak Januari lalu melahirkan kebimbangan pihaknya dalam mengekang perkara tersebut.
16 Jun 22
1014