Artikel "Pelancongan" Terkini
Taman Rekreasi Agro Darau Mampu Lonjak Potensi Besut
BESUT, 9 Jun- Pembukaan Taman Rekreasi Agro Darau, yang dilancarkan secara rasmi hari ini akan membuka ruang percambahan ekonomi di kawasan Hulu Besut.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kewujudan taman rekreasi bernilai RM15 juta itu menjadi suatu permulaan kerana lokasi berdekatan dengannya akan menjadi stesen keretapi Rel Hubungan Pantai Timur (ECRL).
"Sekiranya ia berjalan dengan baik, insya-Allah perkara paling besar yang akan berlaku adalah limpahan ekonomi yang mana ekonomi setempat akan bercambah.
"Selain daripada menjadi pusat rekreasi alternatif yang boleh menyumbang kepada ekonomi setempat dan peningkatan kualiti persekitaran, antara yang diperlukan rakyat ialah menjana pendapatan," katanya dalam ucapan perasmian di lokasi berkenaan, hari ini.
Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri; Dato' Shahidan Embok, Pengarah Tanah dan Galian Terengganu; Dato' Zulkifli Ali, Yang Dipertua Daerah Besut; Mohd Fadli Ngah serta pegawai penyelaras DUN Hulu Besut; Mat Daik Mohamad dan pegawai Daerah dan Pentadbir Tanah Besut; Azran Amin Mazlan.
Beliau turut menzahirkan tahniah kepada pihak-pihak terlibat yang memastikan projek berkenaan berjalan dengan baik dan dapat disaksikan hari ini.
"Tentunya tempat ini tak begitu asing dengan saya yang dilahirkan tidak jauh dari sini.
"Semoga pembukaan taman rekreasi ini melonjakkan potensi Besut untuk melompat lebih jauh sebagai kawasan eko-pelancongan dan menyumbang kepada ekonomi rakyatnya," katanya.
Taman Rekreasi Agro Darau berkeluasan 10.37 ekar itu mula dibina pada 2017 berjaya disiapkan pada November 2021.
Taman itu memiliki kemudahan menara tinjau, taman permainan dan gimnasium luar, selain turut menempatkan gelanggang petanque serta jeti. Lebih menarik, ia juga mempunyai agro bazar dan restoran terapung yang dapat dimanfaatkan sebagai aktiviti santai keluarga.
09 Jun 22
3873
Polis Terengganu Seru Mangsa Penipuan Homestay Tampil
KUALA TERENGGANU, 8 Jun – Ibu Pejabat Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Kontinjen Terengganu menasihatkan individu yang menjadi mangsa penipuan rumah inap di Terengganu supaya tampil membuat laporan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Supt M Zamri Mahmud berkata, semakan di Kontinjen Terengganu mendapati hanya terdapat satu aduan berkenaan rumah inap tersebut.
“Laporan diterima daripada seorang mangsa di mana beliau telah menerima sebuah mesej pesanan ringkas dari satu nombor telefon yang mengaku sebagai pemilik rumah inap di Jalan Pasir Panjang.
“Pada hari yang sama, mangsa telah membuat pembayaran secara dalam talian ke satu akaun berjumlah RM221.50.
“Namun, apabila mangsa pergi ke lokasi rumah inap berkenaan, ia didapati tidak wujud,” katanya melalui satu kenyataan media yang dikeluarkan PDRM, hari ini.
Jelasnya, pihak Polis sedang melakukan siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun yang mana jika disabitkan bersalah boleh dikenakan hukuman penjara dalam tempoh tidak kurang dari 1 tahun dan tidak lebih dari 10 tahun dengan sebatan dan juga dikenakan denda.
Terdahulu, Sinar Harian semalam melaporkan bahawa salah seorang pelancong, Masnawi Md Yusoff, 50 berkata, mereka sekeluarga mengalami perkara sama ketika ingin menyambung percutian di Terengganu setelah melawat beberapa lokasi di Kelantan.
Menurut mangsa, beliau menempah rumah inap secara dalam talian pada pagi Jumaat dan telah membayar sejumlah RM245 untuk menginap selama dua hari, dua malam iaitu pada 5 hingga 7 Jun.
"Saya tiba di situ pada Ahad lalu. Sebaik tiba di lokasi berkenaan, saya gagal menemui rumah inap yang telah ditempah. Saya cuba menghubungi 'pemilik' rumah berkenaan beberapa kali namun talian tidak dijawab," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Selasa.
Masnawi yang berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan turut diberitahu oleh beberapa individu yang tinggal berdekatan lokasi bahawa sudah ramai yang menjadi mangsa dan dipercayai tertipu dengan rumah inap yang tidak wujud itu.
08 Jun 22
2989
Kerajaan Terengganu Serius Tangani Dakwaan Isu Keracunan
BESUT, 6 Jun- Kerajaan Terengganu memandang serius dakwaan isu membabitkan enam individu keracunan makanan dan jatuh sakit selepas berang di perairan Pulau Perhentian Kecil dipercayai tercemar dengan sisa kumbahan tidak dirawat, dua hari lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital, Ariffin Deraman berkata, pihaknya telah melaksanakan siasatan segera berhubung isu berkenaan.
Menurutnya, setakat ini pihak Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Besut belum menerima sebarang laporan berhubung kes tersebut.
"Dalam satu mesyuarat khas tindakan daerah Besut yang dipengerusikan oleh Tuan Pegawai Daerah Besut semalam, kita telah mengarahkan jabatan terlibat untuk mengambil sampel air yang didakwa tercemar tersebut serta melakukan pemantauan dengan segera terhadap isu itu.
"Ini perkara serius memandangkan ia melibatkan soal keselamatan pelancong, dan jika dakwaan tersebut didapati benar, ia sudah tentu memberikan imej negatif terhadap industri pelancongan negeri kita," jelasnya menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, awal pagi ini.
Tambah Ariffin, isu berkenaan secara tidak langsung akan menjejaskan keyakinan pelancong untuk berkunjung ke pulau-pulau peranginan di Terengganu, lebih-lebih lagi sekiranya ia tidak ditangani dengan baik.
Berdasarkan kenyataan dikeluarkan JKNT semalam, pihak JKNT telah menyemak data kejadian keracunan makanan bagi tahun 2021 sehingga 5 Jun (semalam) dan tidak menerima apa-apa notifikasi kes keracunan makanan yang berlaku di Pulau Perhentian.
06 Jun 22
231
e-BECA Diperkenal Bantu Tingkat Pendapatan Pengayuh
KUALA TERENGGANU, 2 Jun- Inovasi baharu, e-BECA telah diperkenalkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi meningkatkan pendapatan pengayuh beca dan merancakkan industri pelancongan di Terengganu.
Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata. transformasi yang pertama di Malaysia itu dilakukan bagi memastikan industri beca di negeri ini tidak akan pupus.
"Idea ini datang melalui Pertandingan Inovasi Beca Terengganu 2021 secara dalam talian semasa fasa Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.
"Inovasi ini mampu membantu 20 pengusaha beca yang sudah berusia untuk meneruskan pencarian rezeki mereka dengan menggunakan sistem yang lebih mudah tanpa menggunakan kudrat yang banyak.
"Ia menggunakan tenaga solar, dan tidak perlu banyak berkayuh serta boleh bergerak dalam tempoh yang lebih lama sehingga berupaya untuk beroperasi selama 24 jam, selain ia masih mengekalkan ciri-ciri sedia ada,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media, selepas merasmikan Majlis Pelancaran e-BECA, di Dataran Syahbandar, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital 2, Abdul Razak Ibrahim, Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri, Anuar Awang, Timbalan Ketua Setiausaha MOSTI, Dr. K. Nagulendran, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), Sharmila Mohamed Salleh.
Mengulas lanjut inovasi berkenaan katanya ia dihasilkan melalui kerjasama antara YIM, SME Corp, Malaysia dengan disokong oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu, Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM), Jabatan Pelancongan negeri serta Persatuan Pelancongan Terengganu.
"Teksi Terengganu ini selain rekaannya yang moden ia turut dinaiktaraf dengan menggunakan paparan skrin LED bagi penyampaian maklumat dan promosi serta dilengkapi dengan sistem audio yang menarik saya merasa bangga dengan apa yang dibuat oleh 'innovator' tempatan ini.
"KIta juga akan turut membincangkan agar bayaran dikenakan nanti adalah berpatutan dan bersesuaian, jika dikenakan pada kadar mahal maka ia tidak akan lagi menarik dalam masa yang sama kita hendak pastikan ia mampu menjana pendapatan yang lumayan kepada golongan B40 serta menarik golongan muda untuk turut menceburi bidang perkhidmatan ini bagi dijadikan sebagai kerjaya," ujarnya.
Sementara itu, Pengayuh Beca, Abdullah Mohamad, 64, berkata, inovasi tersebut sangat membantu untuknya terus terbabit dalam perusahaan berkenaan yang telah diceburinya semenjak 40 tahun lalu.
"Saya tidak lagi rasa penat sebagaimana sebelum ini, hendak ke sesuatu tempat pun lebih cepat, dimana ia sangat ringan berbanding beca yang saya ada sebelum ini, jadi ini suatu yang sangat baik.
"Sangat membantu dari sudut penambahan pendapatan, jika sebelum ini berupaya untuk beroperasi dalam masa yang singkat selepas ini dapat berkerja lebih lama untuk memenuhi kehendak pelancong-pelancong yang datang bertandang ke negeri ini," katanya lagi.
02 Jun 22
805
Pengunjung Luar Sanggup Datang Terengganu Meriahkan MRTM
KUALA TERENGGANU, 21 Mei- Tidak hanya rakyat negeri ini sahaja teruja menyambut Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Aidilfitri 2022 yang julung-julung kali diadakan di sini malah turut menarik pengunjung dari luar Terengganu untuk hadir bagi memeriahkan program.
Acara yang diadakan selama tiga hari itu telah dibanjiri oleh 70,000 keluarga Malaysia dari seluruh negara yang rata-ratanya ketika ditemui menyatakan keterujaan apabila mendapat tahu ia diadakan di negeri ini sehingga sanggup datang dari jauh.
Salah seorang pengunjung dari Shah Alam, Mohd Rizal Fatah, 37 menyifatkan Terengganu sangat beruntung kerana terpilih diadakan acara ini.
"Sangat bertuah, kita dapat lihat pada malam ini ia dihadiri oleh pelbagai bangsa, mungkin kalau diperhatikan betul-betul akan terdapat pelancong luar negara setelah dua tahun tidak diadakan upacara besar sebegini apabila negeri ini menjadi tuan rumah sudah tentu ia menarik minat saya untuk hadir semata-mata ke program ini.
"Sebagaimana kita sedia maklum Terengganu kini menjadi ikon pelancongan negara bagi saya sangat sesuai ia dipilih untuk diadakan acara sebegini,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) pada program terbabit, semalam.
Manakala bagi Azrie Akmal Azami, 24 , pula berkata perjalananya dari kedah ke Terengganu bersama keluarga ternyata berbaloi apabila dapat menghadiri MRTM berkenaan.
"Di mana bagi saya majlis ini sungguh meriah, mempersonakan dengan pelbagai aktiviti kesenian dan kebudayaan yang memperlihatkan keunikkan yang ada di negara kita ini, serta dapat bersama dengan pimpinan utama dalam negara.
"Dari segi makanan pula semua ada, dan saya apabila datang ke Terengganu ini antara menu utama kegemaran saya yang ada pada malam ini ialah Nasi Dagang, Insya-Allah saya akan ambil masa lama sedikit di sini dimana selepas majlis ini saya akn berkunjung ke tempat-tempat yang menarik di sini, diantaranya kami akan pergi ialah ke Tasik Kenyir,"ujarnya.
Sementara itu pengunjung dari negeri ini, Siti Nur Syafikah Mohd Nazari, 27, berkata sangat berbangga sebagai rakyat Terengganu dengan diadakan program tersebut.
"Saya dapat tahu program ini melalui hebahan di media sosial dan saya lihat video di lama web kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), sangat kagum terasa bukan seperti di Terengganu ternyata negeri kita ini semakin jauh ke hadapan dan menjadi tumpuan bukan sahaja negara bahkan dunia.
"Apabila tiga hari lepas saya melalui 'Drawbrigde' terlihat persiapan program ini, saya sangat teruja 'wow' terasa bukan macam dekat negeri sendiri, terasa sangat bangga apabila 'event' besar sebegini diadakan di negeri kita, malah telah memlih 'Drawbrigde' yang selama ini mercu ini menjadi kebanggan kita semua Semoga ini menjadi permulaan yang baik buat negeri ini dan akan terus berkembang maju dan membangun.
"Paling utama, semua yang hadir malam ini tidak hanya dari Terengganu, ramai dari luar datang dengan kepelbagaian kaum maka aspirasi keluarga Malaysia dapat diterjemahkan,"ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd Haizat Kama, 30, berkata pada awal mendapat tahu mengenai perkembangan program begini diadakan terdetik kebimbangan kerana selama ini takut berlaku sesuatu di luar jangka yang akan menjejaskan imej negeri Terengganu.
"Dimana kita tahu rakyat negeri ini sangat sensitif dengan hiburan-hiburan melampau, namun saya melihat program ini berjaya mematuhi garis panduan hiburan yang ditetapkan, semoga perkara ini akan bertambah baik di masa hadapan.
"Dalam masa yang sama dengan penganjuran program ini yang turut diselit dengan hiburan, kesenian dan kebudayaan ini menampakkan bahawa polisi kerajaan tidak menghalang hiburan asalkan patuh syariah serta tidak melanggar syariat yang telah ditetapkan di dalam Islam,"ujarnya.
21 May 22
384
PM Yakin dan Bangga Dengan Kerajaan Terengganu
KUALA NERUS, 21 Mei - Perdana Menteri yakin kerajaan Terengganu di bawah kepimpinan Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mampu mencapai sasaran untuk menarik sekurang-kurangnya tiga juta pelancong dari dalam dan luar negara pada tahun ini.
Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada promosi 'Beautiful Terengganu' dan kempen lain yang giat dilakukan kerajaan negeri.
"Kita juga dapat lihat sendiri keunikan dan kecantikan Negeri Terengganu dengan pelbagai tarikan yang ada di sini," katanya dalam ucapan perasmian Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2022 di Dataran Jambatan Angkat, di sini semalam.
Tambah Ismail Sabri lagi, beliau turut berbangga dengan pembangunan sektor pelancongan di Terengganu.
"Negeri ini terkenal dengan keunikan makanan serta kaya dengan budaya, ia pasti menjadi destinasi pelancong dalam dan luar negara.
"Jadi mari lah kita pakat mari ke Terengganu, negeri cantik, budaya menarik, orangnya pula baik-baik belaka," katanya.
21 May 22
1179
Malaysia Iktiraf Terengganu Sebagai Destinasi Pelancongan Utama Negara
KUALA TERENGGANU, 21 Mei - Terengganu dilihat berpotensi besar untuk menjadi destinasi pelancongan utama negara.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, Terengganu memiliki kepelbagaian produk pelancongan berteraskan kekayaan alam semula jadi, mempunyai keunikan budaya kesenian, warisan dan tinggalan sejarahnya yang tersendiri.
"Terengganu sangat terkenal memiliki pesisiran pantai terpanjang dan indah sejauh 244 Kilometer (KM), antara yang menarik lagi ialah adanya tasik buatan yang terbesar di Asia Tenggara dan pulau-pulau.
"Selain itu Terengganu memiliki pusat seni ukiran, industri batik dan songket. Justeru amat tepatlah Terengganu dikenali sebagai negeri yang cantik, budaya menarik serta orangnya baik-baik dan berbudi bahasa.
"Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan terus memainkan peranannya sebagai agensi utama dalam industri pelancongan bagi merancakkan semula industri ini setelah teruk terjejas akibat Covid-19 sebelum ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Aidilfitri 2022, di Dataran Drawbrige pada semalam
Majlis yang julung-julung kali diadakan di negeri ini yang telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Ismail Sabri turut dihadiri oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman dan Tengku Seri Bijaya Raya Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu.
Kata Nancy, majlis yang dihadiri oleh 70,000 rakyat bukan hanya dari negeri Terengganu bahkan dari seluruh negara itu melambangkan kesepaduan, keserasian sebagai sebuah Keluarga Malaysia.
"Dihadiri oleh semua rakyat daripada pelbagai kaum untuk sama-sama memeriahkan sambutan ini, dimana identiti kepelbagaian kaum di Malaysia inilah yang telah menjadi keunikan serta salah satu tarikan utama pelancong ke negara ini.
"Segala elemen yang dimiliki termasuk seni dan budaya daripada pelbagai bangsa ini telah mencorakkan negara yang selama ini hidup dalam suasana aman dan harmoni sehingga dunia mengenali Malaysia.
"Sekali gus menjadi kunci utama untuk dijadikan sebagai sumber kekuatan untuk kita berusaha merancakkan kembali industri pelancongan di negara ini,"jelasnya lagi.
20 May 22
982
Kejatuhan Nilai Ringgit Tidak Jejas Sektor Pelancongan
KUALA NERUS, 20 Mei - Penyusutan nilai mata wang Ringgit Malaysia tidak memberi kesan kepada industri pelancongan secara keseluruhan di dalam negara.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Syukri berkata, sehingga kini industri pelancongan masih bertahan walaupun negara kini mengalami kejatuhan nilai ringgit.
"Sehingga hari ini dari segi mobiliti pelancong belum menunjukkan kesan negatif dan sektor tersebut masih lagi berjalan seperti biasa.
"Jika kita lihat, berlaku peningkatan tempahan di hotel-hotel dalam negara malah ada yang sudah penuh terutama pada hujung minggu dan musim cuti persekolahan," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Rewang Raya dan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2022 di Masjid Seberang Takir di sini hari ini.
Dalam pada itu, Nancy berkata, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) memberikan pelbagai subsidi bagi mengurangkan beban dan menggalakkan pelancong domestik untuk bercuti di dalam negara dalam fasa endemik.
"Antara subsidi yang kita berikan adalah diskaun baucar hotel, penerbangan, pengangkutan darat, spa dan semua yang berkaitan dengan pelancongan," katanya.
20 May 22
293
Ringgit Lemah : Penggiat Pelancongan Dinasihat Jangan Naikkan Harga
KUALA NERUS, 20 Mei - Para penggiat pelancongan dalam negara dinasihatkan tidak ghairah menaikkan harga pakej percutian mereka susulan senario kelemahan nilai ringgit yang berlaku ketika ini.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Syukri berkata, tindakan itu boleh merencatkan permintaan dalam sektor berkenaan.
"Kita menyarankan mereka (penggiat pelancongan) supaya tidak mengambil kesempatan kepada pelancong, sebab kita sama-sama mempunyai satu misi iaitu mahu melihat Malaysia lebih maju dari sudut ekonomi.
"Jadi sama-sama kita tolong satu sama lain, jangan ketatkan lagi peluang orang lain bercuti sebaliknya giatkan lagi rezeki masing-masing melalui sektor pelancongan," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Rewang Raya dan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2022 di Masjid Seberang Takir, di sini hari ini.
Jelas Nancy, pihaknya sukar untuk mengawal sekiranya ada pihak yang masih mengambil peluang untuk menaikkan harga namun ia bergantung kepada pelancong itu sendiri.
"Kita minta kebijaksanaan pelancong sendiri untuk menilai dan mereka boleh melihat sendiri perbandingan kerana sekarang semua atas talian jadi boleh lihat sendiri dari segi harga mana yang terbaik.
"Kadang-kadang mereka memilih untuk harga mahal dengan kualiti terbaik. Oleh sebab itu, kita serahkan kepada mereka untuk menilai dan memastikan mereka memilih dengan bijak," tambahnya.
20 May 22
76
MRTM 2022 : Terengganu Sedia Sambut 100,000 Pengunjung
KUALA TERENGGANU, 18 Mei - Terengganu bersedia untuk menyambut kedatangan 100,000 pengunjung sempena Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) 2022 yang diadakan di Dataran Jambatan bermula malam esok.
Pengerusi Jawatankuasa Pelanconga, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, kerajaan negeri telah melakukan segala persiapan rapi bagi memastikan segala perancangan berjalan lancar sepanjang tiga hari ia diadakan.
"Penganjuran MRTM yang diadakan julung-julung kali di sini kita sangat yakin pelancong dari luar akan datang bagi menghadiri program ini, sudah tentu di Drawbdridge ini akan berlaku kesesakan luar biasa dengan kehadiran pengunjung di peringkat kerajaan negeri kita telah berbincang untuk menguruskan kesesakan.
"Ini juga membuktikan bahawa Terengganu semakin mendapat perhatian bukan sahaja di pihak Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Dato' Sri Nancy Shukri, orang ramai juga tertarik dengan negeri ini.
"Jadi ini akan memberi peluang untuk sektor pelancongan di Terengganu akan bertambah maju dan terus menjadi pilihan utama serta penganjuran MRTM ini akan menjadi nilai tambah untuk mempromosikan Terengganu," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita, pada sidang medianya, selepas mengadakan tinjauan ke tapak Sambutan MRTM, di Dataran Drawbrdge, di sini, pada hari ini.
Ujarnya, program yang dianjurkan oleh kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu merupakan suatu kejutan dan sangat istimewa bagi kerajaan negeri.
"Jadi saya ucap terima kasihlah kepada Dato' Sri Nancy, kerana memilih negeri ini yang mana program ini sangat besar, tidak dijangka dan dirancang namun Terengganu telah diberi kepercayaan.
"Insya-Allah ia akan diselitkan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk majlis rewang di mana saya bersama Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan juga menteri akan terlibat dengan majlis rewang pada pagi Jumaat dari pukul 6 hingga 8 malam, akan ada jamuan rakyat yang akan menumbangkan 10 ekor lembu.
"Sudah tentu akan ada juadah-juadah yang lain bukan sahaja nasi minyak, bahkan semua makanan tradisi antaranya nasi dagang, keropok lekor serta pelbagai lagi juadah tradisional akan dihidangkan," ujarnya lagi.
18 May 22
3778