Artikel "Pelancongan" Terkini
Penggerak Popularkan Kembali Laluan Mat Kilau
KUALA TERENGGANU, 29 Ogos- Persatuan Penggerak Rekreasi Terengganu (Penggerak) bakal menghidupkan kembali laluan asal Mat Kilau, dari Kampung Bantal di Ulu Tembeling Jerantut, Pahang ke Kampung Pasir Raja di Hulu Dungun.
Pengerusi Penggerak, Syed Mohd. Yasni Syed Yassin berkata, ekspedisi itu juga dapat membantu kerajaan Terengganu dan Pahang merancang pembangunan dan nilai tambah eko pelancongan negeri masing-masing.
Katanya, ia juga dapat membantu serta meningkatkan taraf sosio ekonomi penduduk setempat melalui penyediaan pakej laluan sebagai pemain industri pelancongan tempatan.
“Saya difahamkan aktiviti rekreasi mendaki gunung, menjelajah denai hutan dan menyusuri sungai yang mencabar semakin meningkat sejak akhir-akhir ini.
“Justeru itu, langkah kerajaan untuk memulihara semula tinggalan sejarah ini sangat tepat kerana ia juga adalah destinasi flora dan fauna yang unik untuk pencinta alam semula jadi di negara ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Terdahulu, Syed Mohd Yasni berkata, Penggerak juga telah mengadakan satu ekspedisi laluan Jejak Mat Kilau itu bersama sekumpulan peminat sukan lasak dan ekstrem dari Terengganu dan Pahang, baru-baru ini.
Menurut beliau, ekspedisi laluan asal Mat Kilau mencabar ketahanan mental dan fizikal peserta melibatkan jarak sejauh kira-kira 70 kilometer dan perjalanan mengambil masa selama dua hari.
“Ekspedisi hari pertama dimulakan dari Kampung Bantal dengan menaiki bot selama tiga jam ke Kuala Lurut, kemudian berjalan kaki mengharungi beberapa sungai yang mengambil masa empat jam sebelum sampai ke tapak perkhemahan di Pokok Durian untuk bermalam.
“Hari kedua pula, peserta ekspedisi melalui denai hutan dan laluan haiwan rimba untuk menuju ke beberapa checkpoint iaitu Sungai Kemala, Bukit, Pecah Pinggang, Bukit Mandi Angin, Lata Keling dan Lata Kundang sebelum dibawa menaiki kereta pacuan empat roda untuk tiba ke Pasir Raja,” ujarnya.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berkata Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Pahang untuk mengetengahkan laluan Mat Kilau sebagai produk pelancongan dua hala antara dua negeri.
Katanya, jika direalisasikan, ia mampu membawa masyarakat ke sudut sejarah yang berbeza dengan menjejaki laluan yang pernah dilalui oleh Mat Kilau semasa perjuangannya menentang British suatu masa dahulu.
29 Aug 22
738
Aroma Dapur Kayu Warung Mek Lamah Sajikan Kelainan
HULU TERENGGANU, 16 Ogos - Biarpun terpaksa ‘bertemankan’ bahang dan asap, Warung Mek Lamah, di sini tetap setia menggunakan dapur kayu sejak Mac 2020.
Terletak di jambatan yang menuju ke Kampung Dusun, warung yang dikendalikan oleh pasangan suami-isteri Abdullah Ali, 62, dan Jalamah, 59, juga pemilik nama Mek Lamah berkata, memasak menggunakan kayu api berbanding dapur gas dikatakan menjadikan masakan lebih lazat dan membangkitkan rasa yang mengasyikkan.
“Apa yang istimewanya memasak menggunakan dapur kayu ialah aroma smoky ataupun kayu bakar yang akan terhasil pada nasi ataupun air yang direbus, menjadikannya cukup istimewa dan meninggalkan memori yang sukar dilupakan.
"Kami mengekalkan resipi turun-temurun keluarga untuk memastikan keenakan masakan lauk pauk walaupun pedih mata dimasuki asap kayu api tetapi saya tetap tidak mahu menggunakan dapur gas sebab rasanya ebih wangi, dan lebih menggoda selera makan,”katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman(UPDI) ketika ditemui.
Menurut Mek Lamah, beliau amat mementingkan kesempurnaan untuk memastikan pelanggan tempatan atau luar benar-benar menikmati hidangan yang disajikan.
Justeru itu katanya, dia hanya menggunakan bahan segar untuk memastikan keenakan juadah yang terdapat di warung mereka.
Terdapat lebih 10 jenis masakan di warung Mek Lamah termasuk lauk pauk serta ulam-ulaman dan kerabunya yang unik.
Antara juadah yang menjadi pilihan utama adalah baung masak tempoyak dan masakan berasaskan daging salai yang diproses sendiri.
Pengunjung juga boleh menikmati suasana santai ketika makan berlatarbelakangkan suasana dusun buah-buahan menjadikan ia lokasi unik sesuai kepada mereka yang gemarkan ketenangan jauh dari hiruk pikuk bunyi bising.
Sementara itu, rata-rata pengunjung turut teruja dengan kaedah memasak yang digunakan dan mengimbau kenangan mereka ketika masih kecil.
Bagi pasangan suami isteri, Alias Kassim, 46 dan isteri, Sabariah Musa, 44, dari Kemaman, mereka sanggup datang dari jauh semata-mata ingin sesuatu kelainan ketika menikmati hidangan dan suasana kampung.
“Teringat zaman kecil..kalau tak pandai menyalakan dapur kayu, alamat tak berasap dapur dan tak dapat makanlah satu rumah. Sebelum tu kena cari dan membelah kayu api dulu.Kena sentiasa penuhkan gobok bawah dapur untuk memudahkan memasak .
“Tetapi itu semua hanya tinggal nostalgia saja dan jika nak mengimbau zaman kecil pasti saya akan datang ke sini serta menikmati masakan yang mampu menghapuskan kerinduan terhadap kenangan lama,”katanya.
Bagi kakitangan awam, Khairi Abd Ghani berkata, warung mek Lamah menjadi pilihan utama jika inginkan hidangan ala kampung.
”Menjadi rutin saya datang ke sini sebab makanan dia semua enak belaka dan suasana sekitarpun menarik,”ujarnya.
16 Aug 22
1689
Penganjur 'Jom Heboh' Setuju Ikut Garis Panduan
MARANG, 15 Ogos - Media Prima Berhad (MPB) selaku penganjur program Karnival Jom Heboh (KJH) bersetuju untuk melaksanakan program terbabit mengikut garis panduan hiburan yang ditetapkan kerajaan Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, pihaknya telah memberi beberapa saranan agar sebarang hiburan atau aktiviti yang akan dijalankan tidak melanggar batas di samping mengetengahkan konsep islamik.
"Sebagai contoh berdasarkan garis panduan kerajaan negeri jika hendak mengadakan konsert, penyanyi tidak boleh wanita dan semua barisan artis yang akan membuat persembahan pada karnival itu nanti adalah artis lelaki.
"Kita sebenarnya tiada masalah untuk menyokong mana-mana program yang hendak dianjurkan seumpama KJH ini asalkan memenuhi syarat yang ditetapkan oleh kerajaan negeri dan patuh syariah di samping akan membawa kepada keuntungan kepada rakyat," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau operasi pemasangan paip bagi projek menaik taraf bekalan air kawasan Marang, di sini, semalam.
Mengulas lanjut Ariffin berkata, namun tarikh sesuai bagi program KJH masih dalam perbincangan.
"Ketetapan asal adalah pada September ini namun ia masih dalam perbincangan, saya yakin karnival ini akan didatangi oleh pelancong dari negeri Pahang, Kelantan bahkan seluruh negara," katanya.
Dalam pada itu menurutnya, semua pihak sangat dialu-alukan untuk mengadakan aktiviti dan program di negeri ini.
"Mereka juga telah sedia maklum dengan ketegasan kerajaan negeri agar apa jua yang hendak dilakukan mesti patuh syariah, penerbit telemovie yang ingin melakukan pengambaran di negeri ini juga berjumpa kami dan sanggup mematuhi garis panduan kerajaan negeri.
"Drama itu mereka maklumkan akan menampilkan pelakon yang berhijab dan menutup aurat, ini memberikan gambaran bahawa usaha kita mendidik orang ramai termasuk mereka yang datang dari luar Terengganu telah difahami dan sudah maklum mengenai syarat yang mesti mereka patuhi.
"Sebenarnya ramai lagi penerbit filem yang datang ke Terengganu untuk membuat filem, kita terbuka untuk memberikan kerjasama kepada mana-mana penerbit filem atau drama kerana ia juga merupakan langkah untuk mempromosikan negeri ini agar lebih dikenali," ujarnya.
15 Aug 22
2326
SAP Tarikan Baharu Di Setiu
SETIU, 10 Ogos - Setiu Adventure Park (SAP) merupakan produk pelancongan berasaskan komuniti (CBT) baharu yang diperkenalkan penduduk setempat dengan kerjasama Pejabat Daerah Setiu, Jenoba trading & Servive dan MZ Global Outdoor Service.
Antara aktiviti utama yang menarik adalah berkayak, berkhemah di Sungai Langkap manakala di Sungai Ulu Kasar pula pelancong boleh mencuba 'flying fox' dan juga disediakan tapak perkhemahan.
Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu, Ahmad Rizal Mamat berkata para pengunjung sewajarnya mencuba produk pelancongan baharu itu serta menikmati keindahan panorama semulajadi yang pasti menenangkan jiwa dan sesuai untuk percutian keluarga.
"Tempat ini telah diberi suntikan pembangunan oleh pihak Kementerian Perumahan dan kerajaan Tempatan Malaysia (KPKT) yang mana peruntukan sebanyak RM480,000 telah disalurkan ke pihak Majlis Daerah Setiu untuk infrastruktur seperti pembinaan jalan, surau, wakaf dan juga gerai untuk penduduk berniaga.
"Bagi kami peruntukan ini agak besar bagi membangunkan tempat yang sebelum ini kosong, kita juga telah menerima peruntukan daripada Jabatan Pelancongan sebanyak RM20,000 untuk kedua-dua tempat ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Pelancaran CBT Setiu Adventure Park, di Kampung Langkap & Lata Ulu Kasar yang telah disempurnakan oleh Setiausaha kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja, di sini, baru-baru ini.
Tengku Seri Bijaya Raja berkata, setelah CBT tersebut dikenali ramai pastinya manfaat dan impaknya akan terpalit kepada semua pihak untuk menerima limpahan ekonomi terutamanya penduduk setempat.
"Bukan sahaja nama kampung akan tersohor malah boleh menjana pendapatan hasil jualan pelbagai gerai, ia akan turut memberikan peluang pekerjaan kepada komuniti dalam perusahaan pelancongan, barangan dan perkhidmatan yang disediakan kepada pengunjung.
"Tugas dan tanggungjawab komuniti adalah untuk memastikan produk ini sentiasa terpelihara, kekal dengan keindahan serta keunikan yang dimiliki ini dan perlu untuk sentiasa menjana idea baharu yang relevan bagi mempergiatkan lagi promosi tempat ini dalam usaha menarik seramai mungkin pelancong ke sini," katanya.
10 Aug 22
758
Primula Pink Ride Tarik Lebih 820 Peserta
KUALA TERENGGANU,6 Ogos – Program berbasikal ‘Primula Pink Ride’ tarik lebih 820 orang peserta melibatkan laluan sejauh 46 Kilometer.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata penganjuran itu adalah sinonim dengan Terengganu yang merupakan jaguh sukan berbasikal di Malaysia dan antarabangsa.
“Program ‘Pink Ride’ ini pada mulanya dibuka untuk kaum wanita sahaja tetapi terdapat beberapa permintaan untuk dibuka buat kaum lelaki juga dan akhirnya kita putuskan untuk buka kepada semua golongan.
“Program ini dianjurkan buat pertama kalinya di bawah Hotel Primula dan mendapat maklum balas yang sangat memberangsangkan daripada semua pihak,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penutup Primula Pink Ride 2022 bertempat di Dataran Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu di sini hari ini.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja.
Tambah Ariffin Deraman, hadiah utama bagi cabutan bertuah adalah wang tunai berjumlah RM10,000 diikuti dengan TV, gelang emas dan pelbagai lagi.
Sementara itu, terdapat ramai juga peserta daripada luar negeri yang mengikuti acara berbasikal ini antaranya daripada Johor, Selangor dan lain-lain.
06 Aug 22
561
Duyong Marina Belanja RM4.4 Juta Baik Pulih Kemudahan
KUALA TERENGGANU, 4 Ogos - Sebanyak RM4.4 juta diperuntukkan Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu bagi membolehkan resort kerajaan negeri, Duyong Marina & Resort (DMR) melakukan kerja pengubahsuaian dan pembaikan secara menyeluruh bermula 1 Ogos 2022.
Pengurus besarnya, Wan Mohd. Faizul Wan Abas berkata, kos terbabit melibatkan renovasi keseluruhan kawasan termasuk chalet, bangunan Cindai, bangunan Marina serta peralatan mekanikal dan pendawaian elektrik.
"Kita juga akan membaiki apa jua kerosakan yang berlaku di sepanjang jeti, apa yang rosak kita akan gantikan semua, termasuk mengantikan dinding, atap bocor dan semua penghawa dingin kita akan tukar baharu.
"Proses ini dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2023, setelah dibaik pulih pelbagai perancangan akan kita lakukan untuk membangunkannya kerana kita telah ada pelan induk untuk pembangunan di masa akan datang," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, ketika Majlis 'Soft Launch' Kempen Salam Malaysia #SenyumSokmo, di Verandah Restaurant, DMR, di sini baru-baru ini.
Ujar Wan Mohd. Faizul, tindakan yang diambil itu sekali gus membuktikan segala aduan yang disuarakan pengunjung didengari oleh pengurusan DMR
"Sebenarnya kita sentiasa mengambil berat terhadap setiap aduan daripada pelanggan apabila datangnya sebarang aduan kita memberikan tindak balas segera untuk kepuasan pengunjung sebab kita sentiasa 'on call' untuk melakukan kerja-kerja penyelengaraan.
"Menjadi masalah ialah aduan tidak diasalurkan segera, sebaliknya dimaklumkan selepas keluar dari hotel, saya rasa itu tidak wajarlah sebagaimana aduan yang pernah ditularkan dahulu mengenai bilik kotor dan rosak yang sengaja dihebahkan di media sosial sedangkan tiada sebarang aduan pun diterima.
"Kami mengambil sikap untuk tidak memanjangkan isu terbabit, kerana ia memerlukan masa dan juga kos jadi kami dinasihatkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan pimpinan negeri agar tidak menyaman pihak yang melakukan dakwaan berkenaan, demi kebaikan apa teguran yang betul kita ambil tindakan dan atas tohmahan yang tidak betul, kita maafkan," ujarnya lagi.
04 Aug 22
1029
Pusat Rekreasi Belukar Bukit Akan Dibaik Pulih
HULU TERENGGANU, 4 Ogos - Kerajaan Terengganu melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu akan membaik pulih infrastruktur di Pusat Rekreasi Belukar Bukit dalam jangka masa terdekat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, tindakan segera juga akan diambil Pejabat Daerah Hulu Terengganu bagi menyelesaikan masalah akibat bencana banjir yang lalu.
“Kerajaan Negeri turut menekankan supaya komuniti setempat turut berganding bahu dalam memajukan tempat rekreasi ini.
“Kawasan ini diselia dibawah Pejabat Daerah, akan tetapi perlu ada pihak yang bertanggungjawab untuk bekerjasama dan menguruskan tempat ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui oleh Media Urus setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semasa menghadiri Lawatan Kerja ke Hulu Terengganu baru-baru.
Beliau turut berkata, di Terengganu apabila infrastrukturnya telah ditambah baik tetapi tidak dijaga ia akan menyebabkan kualiti infrastruktur hanya bertahan dalam jangka masa yang pendek.
Pada masa yang sama, beliau turut memberikan pandangan yang positif berkenaan Pengkalan Rengas menjadi satu tempat rekreasi yang baru.
“Pihak kerajaan negeri berharap tempat-tempat rekreasi ini dapat dimanfaatkan dengan sepenuhnya oleh masyarakat setempat,” katanya.
04 Aug 22
583
Duyong Marina Rekod Pendapatan Tertinggi
KUALA TERENGGANU, 3 Ogos - Hotel atau resort milik kerajaan negeri, Duyong Marina & Resort (DMR) mencatatkan pendapatan tertinggi sejak penubuhannya apabila memperolehi hasil RM10 juta tahun lalu.
Pengurs Besar DMR, Wan Mohd. Faizul Wan Abas berkata, pendapatan itu telah diraih melalui pelancongan domestik.
"Sangat berbeza jika hendak dibandingkan dengan tahun 2020 di mana pada masa itu disebabkan pandemik maka aktiviti pelancongan sebagaimana sedia maklum sangat terjejas dan pendapatan yang kita perolehi pada waktu itu ialah RM7.4 juta,"ujarnya,
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, di Majlis 'Soft Launch' Kempen Salam Malaysia #Senyumsokmo, di Verandah retaurant, DMR di sini semalam.
Ujar Wan Mohd. Faizul, pada tahun ini pihaknya menyasarkan pendapatan sebanyak RM12 juta.
"Untuk mencapai sasaran ini ia agak mencabar dan kita juga melakukan 'renovation' di beberapa tempat, pelbagai cara dan usaha akan kita laksanakan termasuk memperkenalkan pelbagai produk baru.
"Kita akan berfikir di luar kotak bagi mencapai sasaran itu, jadi saya harap 'team sales' akan lebih kuat selepas ini, untuk masa sekarang kita akan terus pergiatkan promosi melalui perancangan yang telah kita aturkan mengikut jadual tahunan," katanya.
03 Aug 22
3270
Hotel di Tasik Kenyir Beroperasi Awal 2023
HULU TERENGGANU, 30 Julai – Hotel milik kerajaan negeri di Tasik Kenyir yang terbengkalai lama selepas dibina pada 2015 dijangka akan disiapkan dan beroperasi pada suku pertama tahun 2023.
Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Incorporated (Terengganu Inc), Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun menyatakan komitmen pihaknya bagi memastikan projek tersebut tidak terus terbengkalai.
“Sepatutnya hotel 150 bilik itu sudah lama siap, namun masih ada beberapa bahagian yang perlu dibaikpulih terutamanya bahagian dewan.
“Saya kira dalam 10 peratus sahaja lagi yang perlu disiapkan, dari segi barang dalaman bilik sudah siap. Kita harap dalam suku pertama 2023 boleh siap,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Tasik Kenyir Jet Ski Championship Challenge 2022 bersempena Terengganu Inc Challenge Series (TICS) yang dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Pulau Poh, di sini baru-baru ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh.
Selain hotel lapan tingkat tersebut, kerajaan negeri melalui Terengganu Inc dalam usaha membina dan membaiki beberapa lagi fasiliti seperti Taman Tema Kenyir (KWP) berkapasiti lebih besar yang mampu digunakan dengan selamat serta mesra alam.
Untuk rekod, operasi KWP dihentikan sejak 27 Mei 2017 atas alasan bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan dijalankan.
Ia susulan laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri I menyatakan bahawa KWP yang beroperasi sejak 31 Mei 2015 tanpa memperolehi Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).
Malah, ia dibina di Pulau Poh meliputi keluasan 4.3 ekar tanpa menjalankan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) yang hanya baharu dipersetujui untuk disediakan melalui mesyuarat pada 30 November 2016.
Terdahulu kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan telah menyerahkan sepenuhnya pengurusan Pulau Poh kepada Terengganu Inc bagi memajukan destinasi pelancongan negeri itu.
01 Aug 22
4294
200 Anak Penyu Dilepaskan Di Pantai Jambu Bongkok
MARANG, 31 Julai- Sebanyak 200 ekor anak penyu dilepaskan ke laut yang dilakukan di Pantai Jambu Bongkok di sini baru-baru ini, dalam usaha memulihara hidupan marin berkenaan daripada mengalami kepupusan.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Sulaiman Sulong berkata, program pelepasan anak penyu itu adalah hasil kerjasama Sekolah Kebangsaan Jambu Bongkok, PIBG Sekolah Kebangsaan Jambu Bongkok, FRI Rantau Abang dan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu.
Katanya, program seumpama itu sewajarnya menjadi contoh terbaik mendidik masyarakat memulihara penyu yang kini diancam kepupusan.
"Diharap ianya menjadi motivasi kepada semua pihak terutama pelancong dan nelayan agar sayangkan spesis tersebut.
"Ini kerana berdasarkan pemerhatian pihak berkaitan, setiap 1,000 ekor penyu yang dilepaskan, kebarangkalian penyu yang akan naik bertelur hanya seekor, " ujarnya seperti yang dipetik dalam laman Facebook rasmi Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu.
Tambah beliau, penyu yang dilepaskan itu diharap akan kembali semula ke Terengganu dan akan menjadi tarikan kepada industri pelancongan dan seterusnya memberi pulangan ekonomi kepada komuniti setempat.
29 Jul 22
364