Artikel "Pelancongan" Terkini
Primula Adalah 'Best 4 Star Eco Green Beach Front Hotel'
KUALA TERENGGANU, 17 Disember - Primula Beach Hotel menerima pengiktirafan 'Best 4 Star Eco Green Beach Front Hotel', di Anugerah Industri Pelancongan Malaysia 2022 (Malaysia Tourism Industry Award 2022) yang berlangsung di ibu negara, semalam.
Pengurus Besarnya, Suaibah Harun berkata anugerah tersebut merupakan pengiktirafan pertama yang berjaya diperolehi Primula setelah hampir 40 tahun bertapak dalam industri pelancongan di Terengganu.
"Anugerah ini juga secara tidak langsung menjadi motivasi kepada seluruh penggiat industri pelancongan dan hospitaliti untuk lebih berdaya saing saat mengharungi detik sukar semasa pandemik dan terus bertahan dalam situasi paling mencabar itu.
"Sekaligus memberi semangat untuk kami bekerja dengan lebih gigih lagi dalam mempromosikan perniagaan pelancongan sekali gus mewujudkan imej positif negeri di Malaysia dan juga peringkat Antarabangsa,"ujarnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.
Menurut beliau, anugerah kemuncak industri pelancongan yang mengiktiraf semua penggiat industri Malaysia dalam menjayakan aspirasi pelancongan negara itu dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) dan Santai Travel.
Dalam majlis tersebut, lebih 60 penggiat industri pelancongan telah dinobatkan sebagai pemenang dalam anugerah yang julung kali diadakan bagi meraikan kecemerlangan dan sokongan mereka dalam pembangunan industri pelancongan.
Tambah Suaibah lagi , tanpa sokongan tenaga kerja pihak hotel juga, mereka tidak mungkin akan sampai ke tahap tersebut dan pengiktirafan itu menjadi inspirasi untuk menjadi lebih baik dan progresif di masa akan datang.
"Kami akan terus berganding bahu serta bekerjasama dalam menjayakan aspirasi pelancongan negara untuk
memastikan sektor ini terus maju dan ia menjadi tugas bersama dalam industri secara berterusan," katanya.
17 Dec 22
343
Pasar Payang Baharu Akan Dibuka Tahun Hadapan
KUALA TERENGGANU, 27 November - Pasar Besar Kedai Payang yang menjadi lokasi utama tumpuan pelancong ke negeri ini yang dibangunkan semula pada tahun 2018 kini sudah berada pada tahap kemajuan 90 peratus dan akan dibuka kepada umum tahun hadapan.
Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif berkata, projek yang dibangunkan untuk memberikan keselesaan kepada peniaga dan pengunjung kini sudah berada di peringkat akhir dengan 10 peratus kemajuan lagi.
"Melibatkan kerja-kerha 'finishing' termasuk penyediaan landskap yang cantik, kemasan longkang, cat, pencahayaan dan lain-lain lagi.
"Selepas mengalami beberapa kali tempoh lanjutan, insya-Allah orang ramai akan menikmati suasana membeli belah di Pasar Payang berwajah baharu ini pada Mei depan," ujarnya sebagaimana yang dilaporkan Sinar Harian, semalam.
Antara tarikan lain yang akan terdapat di Payang Payang itu nanti, Rosli berkata akan terdapat sebuah menara jam yang dibangunkan semula di pintu masuk bagi mengamit nostalgia jam besar sekitar 50 tahun dahulu sebelum ia dirobohkan,
Katanya, kerajaan negeri berharap pasar tumpuan utama masyarakat itu akan memberikan lebih manfaat kepada peniaga dan pengunjung sekali gus dapat memacu perkembangan sektor pelancongan serta ekonomi setempat.
"Proses transformasi ini akan menjadikan Pasar Payang lebih cantik dan beri keselesaan buat semua pihak, semoga Pasar Payang akan terus menjadi destanasi ikonik yang menjadi tempat wajib singgah apabila pelancong datang ke negeri ini,"ujarnya lagi.
26 Nov 22
1105
Terengganu Nikmati Impak Ekonomi Pelancongan Sukan
KUALA TERENGGANU, 22 November - Kejohanan Sukan Gabungan Agensi-agensi Amanah Bumiputera & Perusahaan- Perusahaan Awam Malaysia (Gemaputra) yang akan membuka tirai perlawanan esok dijangkakan turut memberi impak kepada industri pelancongan negeri secara berterusan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) baru-baru ini.
YDP Gemaputra Malaysia merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMINT, Wan Adnan Wan Derahman berkata, dijangkakan seramai 1,200 orang atlet melibatkan 14 Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) akan berkampung di Kuala Terengganu sepanjang kejohanan berlangsung bermula hari ini hingga 26 November.
"Ini tidak termasuk keluarga mereka yang turut hadir memeriahkan lagi suasana.
"Bukan hanya semata-mata sukan, yang kita lihat kehadiran mereka akan memeriahkan tempat-tempat pelancongan di Terengganu.
"Saya dimaklumkan hotel-hotel di sini pada masa ini penuh ditempah kontinjen yang hadir," katanya.
Tambahnya, PMINT sendiri bakal merasai pengalaman berbeza dengan penganjuran kejohanan kali ini.
"Kali terakhir kita menjadi tuan rumah adalah pada tahun 1996 dengan mempertandingkan 15 acara, tetapi saya rasakan pengalaman kali ini berbeza.
"Saya harap sepanjang program, jawatankuasa dilantik dapat melaksanakan tugas dengan baik. Dengan cuaca semasa yang baik, harapnya kita dapat menyediakan program terbaik," katanya.
Antara hotel-hotel yang terlibat sebagai penginapan kontinjen itu adalah hotel patuh syariah Terengganu iaitu Paya Bunga Hotel, Grand Puteri, Tanjung Vista, Grand Continental, Sri Malaysia, YT Midtown dan Hotel Quinara.
21 Nov 22
181
Kempadang Angler 'Tawan' Terengganu Tenggiri Challenge 2022
MARANG, 10 Oktober - Pasukan Kempadang Angler dari Kuantan, muncul juara Terengganu Tenggiri Challenge (TTC) 2022 apabila berjaya menaikkan tujuh ekor tenggiri dengan jumlah berat keseluruhan 25 kilogram.
Wakil pasukan, Sahfarin Salim, 39 menyifatkan kemenangan tersebut sebagai rezeki mereka sepasukan.
"Ini pertandingan pertama yang kami sertai untuk tenggiri challenge jadi, tentulah gembira sebab kami orang baru.
"Hari ini, pertandingan bermula agak lewat dan keadaan laut bergelora menyebabkan kita ada masa yang pendek untuk mendapatkan ikan.
"Alhamdulillah, rezeki berpihak kepada kami," katanya ketika ditemui selepas program berkenaan di Pulau Kekabu, di sini kelmarin.
Beliau yang bekerja sebagai perunding jualan kenderaan itu turut menyokong program TTC dijadikan sebagai program tahunan sebagaimana saranan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman.
"Pertandingan ini sangat baik, saya amat berbesar hati YB mengumumkan akan menilai untuk menjadikannya sebagai program tahunan.
Dengan hadiah berbaloi dan berskala besar, apatah lagi jika dinaikkan nilai hadiah ia mampu menarik lebih ramai penggiat sukan memancing," katanya.
Program anjuran Jabatan Pelancongan Terengganu itu menghimpunkan seramai 200 penggiat sukan memancing di Marang, sekaligus membantu merancakkan ekonomi setempat selama dua hari ia berlangsung.
Pengarah program, Taufik Samsuddin berkata, penganjuran kali keempat itu mendapat sambutan hangat dari kalangan peminat sukan air itu.
"Kita bermula pada tahun 2016 di Pulau Kapas, selepas itu berlangsung di sini bagi kali kedua dan ketiga.
"Penganjuran terhenti akibat pandemik COVID-19 melanda, namun tidak sangka penganjuran tahun ini menerima sambutan hebat.
"Dalam sehari sahaja, permohonan penyertaan telah penuh diisi," katanya.
Beliau turut gembira dengan hasrat menjadikan TTC sebagai program tahunan.
"Sebagai penggiat sukan memancing, program ini bukan sahaja memartabatkan sukan memancing tetapi memperkenalkan tempat-tempat terbaik di Terengganu.
"Kita sebagai duta kecil dalam mengangkat nama Terengganu," katanya.
10 Oct 22
259
TIF 'Gegarkan' Taman Tamadun Islam
KUALA TERENGGANU, 29 September - Program Terengganu Islamic Festival (TIF) yang bermula hari ini, 29 September sehingga 1 Oktober 2022 dijangka akan 'menggegarkan' suasana Taman Tamadun Islam dengan pelbagai aktiviti.
anjuran Kerajaan Negeri Terengganu mensasarkan lebih daripada 5000 orang pengunjung pada
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Dan Teknologi Maklumat, Ariffin Deraman berkata, pihaknya menyasarkan lebih 5,000 pengujung ke program terbabit.
Katanya, festival itu turut memberi peluang kepada 100 usahawan serata Malaysia untuk memasarkan produk-produk di samping mempromosikan Taman Tamadun Islam.
"Antara aktivti yang menarik yang ada sepanjang program itu berlangsung adalah Program Bicara Hati, persembahan nasyid kumpulan Hijjaz, Nada Murni dan Rabbani serta Pertunjukan Fesyen Islamik dan sebagainya.
"Dengan adanya program seperti ini, ia akan menarik pelancong dan rakyat dari dalam dan luar negeri Terengganu ke Taman Tamadun Islam," katanya.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri Majlis Perasmian Terengganu Islamic Festival (TIF) yang bertempat di Taman Tamadun Islam di sini hari ini.
Turut hadir Pengurus Besar TTI Management Sdn. Bhd, Ahmad Bukhori Ghazali dan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Fadli Yusof Zakaria,
Mengulas lanjut mengenai program itu, Ariffin berkata ia berkonsepkan jualan, pameran produk halal dalam dan luar negara, serta pameran seni, budaya dan warisan tradisional.
"TIF yang sedang berlangsung pada hari ini sehingga 1 Oktober 2022 juga bertujuan untuk mempromosikan produk-produk halal dalam semua sektor dalam konteks makanan, perkhidmatan, kewangan dan takaful, aksesori, agensi kerajaan dan sebagainya," katanya.
29 Sep 22
561
Kumpulan Terengganu Inc Taja TSG RM2 Juta
KUALA TERENGGANU, 29 September - Syarikat pelaburan induk strategik Kerajaan Negeri Terengganu, Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) meningkatkan nilai tajaan kepada Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) sebanyak RM2 juta pada tahun 2023, berbanding RM1.5 juta pada tahun ini.
Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed Harun berkata, penajaan bagi tahun kelima berturut-turut sejak 2017, Terengganu Inc serta anak-anak syarikat Kumpulannya sudah tidak asing lagi dalam menjadi pemangkin utama kepada kemajuan dan keunggulan pasukan berbasikal taraf benua ternama itu.
"Kita rasa ini adalah sokongan yang amat padu kepada TSG dan kita amat bangga dengan pencapaian besar yang diperolehi pasukan ini.
"Kami memahami peningkatan kos dalam menguruskan pasukan dan kita sama-sama mengambil peranan serta manfaat dengan salah satu pasukan yang mengharumkan nama negeri kita di peringkat dunia," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menandatangani perjanjian bersama TSG yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood di sini, semalam.
Tajaan bersama secara Kumpulan itu melibatkan usaha sama TDM Berhad, salah satu syarikat di bawah Kumpulan Terengganu Inc dan juga bahagian penjagaan kesihatannya iaitu Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare).
Sementara itu, Burhanuddin Hilmi optimis akan dengan penajaan sedia ada bakal memacu TSG untuk menunjukkan persaingan sengit pada edisi ke-26 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 yang dijadual berlangsung dari 11 hingga 18 Oktober ini.
29 Sep 22
760
Lebih 552 Peserta Bakal Tawan Gunung Tebu
KUALA TERENGGANU, 29 September – Lebih 552 Peserta Mount Tebu Climbathon Challenge (MTCC’22) bakal menawan puncak Gunung Tebu pada 1 Oktober 2022 di Hutan Lipur Lata Belatan, Besut, Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata acara itu bertujuan bagi menggerakkan peranan Malim Gunung Perhutanan (MGP) yang telah dijayakan tahun ini di bawah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM).
Katanya, semua individu yang mahu mendaki lima gunung di Terengganu akan diwajibkan menggunakan khidmat malim gunung perhutanan (MGP) untuk memastikan pendakian mereka berjalan dengan selamat.
“Lima gunung tersebut ialah Gunung Sarut di Setiu, Gunung Tebu di Besut serta Gunung Chemerong, Berembun dan Langsir (CBL) di Dungun, Gunung Bukit Tangga di Besut dan Bukit Baik di Dungun.
“Hanya lima gunung tersebut yang diwajibkan penggunaan khidmat MGP memandangkan aktiviti pendakian di situ mendapat permintaan tertinggi dari peminat aktiviti lasak di Terengganu," jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Sidang Media dan Penyerahan Penajaan Mount Tebu Climbathon Challenge bertempat di Bilik Rehat Khas Aras Bawah, Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Mengulas lanjut berkenaan program, penganjuran MTCC’22 ini akan dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku contohnya fenomena kepala air dan sebagainya.
“MTCC'22 yang akan berlangsung pada Sabtu ini menawarkan tiga kategori utama kepada peserta dengan jarak 15.6 kilometer serta hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM14,300," katanya.
Tambah Ariffin Deraman, kerajaan negeri sentiasa menyokong mana-mana pihak yang berminat menganjurkan aktiviti atau pertandingan termasuk di kawasan pergunungan untuk melonjakkan lagi industri pelancongan berasaskan sukan di Terengganu.
29 Sep 22
541
Air Terjun Kenyir Keruh Bukan Kerana Pembalakan
KUALA TERENGGANU, 14 September - Aktiviti pembalakan bukan menjadi punca keindahan Air Terjun Sungai Lasir di Tasik Kenyir keruh dan berkeladak.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata situasi itu berlaku akibat hujan lebat yang kini tidak menentu yang menyebabkan aliran deras dari bukit turun memasuki tasik dan sungai-sungai di kawasan Kenyir
"Situasi yang berlaku ketika ini tidak ada kena mengena dengan pembalakan...kalau kita masih ingat apa yang berlaku baru-baru ini (banjir buruk pada akhir Februari lalu) ada kelihatan seolah-olah kayu-kayu balak yang jatuh (dalam tasik) akibat banjir.
"Ada pihak kata ini disebabkan oleh pembalakan sedangkan penelitian Jabatan Perhutanan serta jabatan-jabatan berkaitan yang lain dan saya sendiri pergi tinjau ke kawasan berkenaan pada waktu itu, ia bukan disebabkan pembalakan.
"Namun, runtuhan bukit yang kuat ini mengakibatkan aliran air membawa sekali pokok-pokok kayu (di sepanjang laluannya), seolah olah disebabkan satu pembalakan tetapi ia tidak sebenarnya," katanya.
Beliau berkata demikian di sidang media selepas Majlis Penyerahan Tunggakan Elaun Imam dan Bilal Masjid Mukim Negeri Terengganu di Damai Lounge, Wisma Darul Iman.
Dalam masa yang sama katanya, Terengganu mempunyai syarat-syaratnya yang ketat agar tiada sebarang pencemaran akibat dari pembalakan.
"Saya sentiasa berkomunikasi dengan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri sekiranya ada isu-isu baharu (yang terlepas pandang) dan buat masa ini tak ada lah," katanya.
Tambah Ahmad Samsuri, beliau telah membuat tinjauan dengan menaiki helikopter ke kawasan Kenyir bagi melihat sendiri runtuhan bukit yang berlaku.
“Saya dah lihat sendiri dan mendapati air keruh dan berkeladak di air terjun Tasik Kenyir itu tak ada kena mengena dengan pembalakan,” ujarnya.
14 Sep 22
625
TIAF Pacu Ekonomi Luar Bandar
BESUT, 30 Ogos- Penganjuran Terengganu Air Festival (TIAF) yang pertama kali diadakan mampu memacu kerancakan aktiviti ekonomi dalam negeri khususnya di daerah Besut.
Pengerusi Jawatankuasa. Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro. Dan Hal Ehwal Penjaja Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, penganjuran program yang berlangsung selama tujuh hari itu berpotensi diadakan secara tahunan melibatkan lebih banyak penyertaan.
"Sepanjang berlangsungnya TIAF, semua sektor dapat digemblengkan. Kita lihat para usahawan kita dapat menumpang berniaga dan aktiviti-aktiviti juga bukan terhad kepada sukan luncur udara. Kita ada juga pertandingan memancing, boating selain berlangsung acara seperti fun ride di mana aktiviti sederhana dan lasak itu boleh dijalankan serentak.
"Kalau di bandar, mungkin berlakunya kesesakan dari segi penganjuran program-program. Itulah kita hendak cari serta menaikkan tempat-tempat di luar bandar tetapi suasananya bertaraf antarabangsa dan saya rasa Bukit Bubus ini memiliki potensi dari segi pemandangan juga ekosistemnya.
"Cuma kita berharap, kerajaan negeri boleh melihat perkara ini dengan lebih dekat supaya kita tidak sahaja berada di paras sederhana dan rendah sebaliknya, penganjuran ini dapat dibawa ke peringkat lebih tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di TIAF yang berlangsung di Bukit Bubus Paragliding Park, semalam.
Dalam program tersebut, seramai 65 peluncur udara melakukan 'Merdeka Fun Fly' sempena meraikan kemerdekaan negara sebagai acara terbesar yang diadakan.
"Kepada penganjur, dan pihak Majlis Daerah dan Tanah Besut terima kasih kerana memberikan kerjasama yang baik. Mudah-mudahan ini bukan yang pertama dan terakhir ia dilangsungkan.
Saya harap, ini langkah pertama dan akan terus dijayakan lagi supaya ia dapat dikenali lagi samada di peringkat nasional dan antarabangsa," katanya.
29 Aug 22
292
Primula Beach, Hotel Pertama Taja Pasukan Sukma Terengganu
KUALA TERENGGANU, 29 Ogos- Primula Beach Hotel menzahirkan sokongan kepada atlet-atlet Terengganu yang akan bertanding dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2022 dengan menaja pasukan menembak negeri itu.
Syarikat perhotelan itu menjadi perintis program kolaborasi bersama Kontinjen Sukma Terengganu sebagai menterjemahkan obligasi sosial syarikat kepada masyarakat khususnya warga sukan Terengganu.
Pengurus besarnya, Suaibah Harun berkata, inisiatif berkenaan merupakan salah satu usaha hotel tersebut untuk menyokong pertumbuhan industri pelancongan sukan yang semakin berkembang pada masa ini.
"Ini inisiatif kita untuk memberikan sokongan moral kepada atlet-atlet dari negeri Terengganu supaya lebih bersemangat dan semoga berjaya menang dalam Sukma nanti.
"Kita terbuka untuk menyokong apa juga 'sport tourism' kerana ia amat membantu ekonomi negeri terutamanya kepada industri perhotelan.
"Baru-baru ini, kita mengadakan Pink Ride dan ia sangat berjaya serta menunjukkan adanya manfaat industri pelancongan dalam bidang sukan. Ramai pengunjung datang untuk sukan tetapi ia menjana ekonomi negeri disebabkan ada kaitan antara industri satu sama lain," katanya ketika ditemui pemberita dalam Majlis Hi-Tea bersama pasukan menembak Sukma di hotel itu, semalam.
Tambahnya, para atlet akan lebih positif dengan sokongan daripada pihak industri terhadap usaha mereka mengharumkan nama negeri.
"Saya juga cuba (mengetengahkan) menerusi Persatuan Hotel-hotel Malaysia cawangan Terengganu dengan harapan mungkin ada dua tiga hotel lagi akan menyokong untuk menaja pasukan-pasukan Sukma.
"Penganjuran sukan memberikan impak luar biasa dalam menjana ekonomi, ia 'create awareness' dan memberi kesan yang besar," katanya.
29 Aug 22
166