lightning-solid
Berita :

Artikel "Pelancongan" Terkini

Karnival Beautiful Terengganu Platform Perkenal Pakej Pelancongan
Karnival Beautiful Terengganu Platform Perkenal Pakej Pelancongan
KEMAMAN, 25 Februari- Kerajaan negeri menerusi Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu meneruskan kesinambungan penganjuran Karnival Beautiful Terengganu Malaysia (KBTM) 2023 yang berlangsung di Padang Astaka, di sini selama empat hari bermula 23 Februari lalu. Timbalan Pengerusi (l) Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Sulaiman Sulong berkata, penganjuran KBTM kali kedua itu dilihat sebagai platform terbaik kepada penggiat industri pelancongan (players) Terengganu bagi memasarkan produk dan pakej pelancongan masing-masing kepada pengunjung secara berdepan. "Selain dapat memperkenalkan seni warisan budaya yang ada di Terengganu, tujuan utama adalah untuk menjadi paltform bagi memperkenalkan pakej serta perkhidmatan yang berkaitan pelancongan yang disediakan oleh pemain industri kepada pengunjung karnival. "Kita tampilkan keunikan dengan membawa produk-produk pelancongan dan pakej menarik yang dapat memberi pilihan kepada pengunjung. "Kita ada 20 gerai pempamer yang boleh dikunjungi oleh para pengunjung untuk mendapat pilihan perkhidmatan dan pakej pelancongan dengan tawaran harga yang berpatutan," ujarnya ketika berucap merasmikan KBTM 2023 di Padang Astaka, malam tadi. Menurut Sulaiman, kerajaan negeri mahu mereka (pemain industri) melihat ini adalah satu inisiatif yang bersungguh digerakkan oleh kerajaan negeri dan sekali gus ingin menjadikan KBTM sebagai peluang yang perlu direbut.  "Ini adalah peluang terbaik untuk memasarkan dan menjual produk, pakej yang ada pada pemain industri di Negeri Terengganu. "Sekiranya pemain industri di peringkat negeri kurang minat kita bersedia panggil penggiat luar, " ujarnya. Sementara itu katanya, sektor pelancongan Negeri Terengganu merupakan penyumbang kedua terbesar selepas industri minyak dan gas di negeri ini yang juga menyumbang kepada sosiol ekonomi penduduk.  "Kerajaan negeri sentiasa komited dan berusaha untuk mempromosikan produk-produk pelancongan dalam menarik jumlah kedatangan pengunjung ke negeri Terengganu. "Pelbagai usaha dan promosi yang dilakukan oleh kerajaan negeri samada di peringkat dalam dan luar negeri termasuk ke luar negara. "Salah satu yang kita usahakan ialah KBTM yang kita adakan ini sebagai usaha mempergiatkan lagi kempen promosi sektor pelancongan negeri, " ujarnya.
25 Feb 23
1354
Petai Bubus 'Raja Sungai Terengganu' 2023
Petai Bubus 'Raja Sungai Terengganu' 2023
KUALA TERENGGANU, 25 Februari - Pasukan Petai Bubus muncul 'Raja Sungai Terengganu' bagi sukan perahu panjang apabila menewaskan pasukan Mahkota Dewa Gedong (Tanjung Sabtu) dalam perlumbaan akhir di Taman Tamadun Islam (TTI), semalam. Pasukan Petai Bubus membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,500 manakala, Mahkota Dewa Gedong membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,000. Sementara itu, Banggol Peradong di tempat ketiga turut menerima hadiah bernilai RM500. Perlumbaan sempena Festival Sukan Air Terengganu anjuran bersama Urus Setia Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu (UBSNT) dan TTI itu menonjolkan antara sukan tradisi yang menjadi kebanggaan rakyat negeri persisir pantai itu sebagai salah satu acara dipertandingkan. Pengarah UBSNT, Mohd Nasir Abd Razak berkata, acara berkenaan menjadi pembukaan kepada Festival Air Terengganu yang berlangsung selama tiga hari sehingga Ahad. "Kita sebagai pihak kerajaan negeri berharap sukan air ini akan lebih berkembang lagi. "Kita akan cuba menghidupkan aktiviti dan karnival seperti ini tambahan pula, air memang sinonim dengan Terengganu sebagai negeri persisir pantai. "Apa-apa sahaja berkaitan sukan air akan menjadi keutamaan kita untuk diberikan sokongan dalam apa jua bentuk," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang acara perahu panjang. Festival Air Terengganu memasuki hari kedua, hari ini akan menampilkan acara utama iaitu perlumbaan jet ski melibatkan lebih 40 pasukan seluruh negara. Sembilan kategori akan dipertimbangkan melibatkan dua jenis perlumbaan iaitu Cross Course dan Endurance. Selain itu, pertandingan memancing, perlumbaan perahu layar dan pelbagai acara sukan air turut diadakan.    
24 Feb 23
1747
Sektor Pelancongan Domestik Perlu Diperkasa
Sektor Pelancongan Domestik Perlu Diperkasa
KUALA LUMPUR, 23 Februari - Sektor pelancongan perlu diperkasa bagi memastikan sektor ini terus menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, sesuatu perlu dibuat apabila ramai rakyat Malaysia memilih untuk melancong ke luar negara seperti di Hatyai, Thailand dengan kos yang murah berbanding melancong ke Pulau Langkawi.  "Atas dasar bahawa pulau pelancongan itu berkos tinggi, persoalannya, sejauh mana langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan bagi memberikan promosi dan kesedaran kepada rakyat untuk memilih pelancongan domestik berbanding pelancongan luar negara pada ketika ini," soalnya. Wan Hassan berkata demikian ketika berbahas dalam sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih sempena Titah Diraja Penggal Kedua di Parlimen hari ini.  Seterusnya, beliau turut menyentuh isu hakisan pantai yang berlaku dalam Parlimen Dungun yang turut  menjejaskan sektor pelancongan di Dungun.  "Sebagai contoh sejauh kira-kira 10 kilometer dari Pantai Teluk Lipat ke Teluk Gadung di sini yang berlarutan sejak beberapa tahun lalu kini semakin meruncing hakisan pantai sehingga membimbangkan penduduk," ujarnya.  Katanya lagi, didapati beberapa buah laluan utama turut dilimpahi air laut berikutan ombak laut yang kuat akibat fenomena air pasang besar.  "Oleh itu saya ingin mendapat pencerahan daripada pihak kerajaan apakah status penyelesaian masalah hakisan pantai bagi masa panjang di Parlimen Dungun di bawah program yang dilaksanakan oleh ECERDC. " Sehubungan itu, besar harapan saya agar segala isu yang saya bangkitkan di dewan rakyat berkaitan sektor pelancongan domestik terutama di Parlimen Dungun mendapat perhatian daripada Kerajaan pada hari ini walaupun berbeza kefahaman politik," ujarnya.
23 Feb 23
293
'Beach Comber' Sapu Sampah Pantai Terengganu
'Beach Comber' Sapu Sampah Pantai Terengganu
KUALA TERENGGANU, 12 Februari - Kerajaan negeri bakal menggunakan jentera 'Beach Comber' dan traktor bagi operasi pembersihan sampah sarap di kawasan pantai tumpuan pelancong di Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Dr Alias Razak berkata, inisiatif itu melibatkan tiga lokasi pantai utama iaitu Pantai Pandak, Batu Burok serta Teluk Ketapang. Ujarnya, pembersihan pantai berkenaan akan dilakukan secara berkala sebanyak dua kali seminggu bagi memastikan kebersihan dan keindahannya kekal terpelihara. "Ini menjadi 'pilot project'  bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan pesisiran pantai. Majlis Bandaraya Kuala Terengganu menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama yang menerimanya untuk menjaga tiga pantai  yang sering menjadi tumpuan orang ramai untuk datang berkunjung. "Insya-Allah kalau ia boleh memberikan hasil yang baik dan berkesan, kita akan pertimbangkan untuk diserahkan ke daerah lain pula,"ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kenderaan 'Beach Comber' dan Traktor berharga RM470,000 kepada MBKT, di Hotel Primula , di sini, hari ini. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed dan Datuk Bandar, Datuk Rosli Latif. Mengulas lebih lanjut mengenai penggunaan jentera tersebut, Dr Alias berkata, ia akan membantu kerja-kerja pembersihan pantai dengan lebih pantas, menjimatkan tenaga, masa, meningkatkan produktiviti pekerja dan akan lebih efisien. "Antara kelebihannya lagi ialah, ia berkeupayaan untuk melakukan kerja-kerja pembersihan dalam keadaan pasir kering, lembap atau basah juga dilengkapi sistem penapis untuk menapis sampah di pesisir pantai seperti botol, kaca, batu, kayu dan lain-lain sampah yang dihanyutkan oleh ombak ke pesisir pantai," jelasnya. "Namun begitu, kesedaran dalam kalangan orang ramai tetap perlu dipertingkatkan agar mengambil langkah untuk bersama-sama memelihara kebersihan pantai dengan tidak lagi mengamalkan sikap buang sampah merata-rata. "Sebaliknya amalkan sikap membuang sampah di dalam tong sampah yang telah disediakan dengan cukup banyak di kawasan tumpuan orang ramai ini,"katanya.          
12 Feb 23
1797
Taman Eko Rimba di Terengganu Dibuka Semula Mac Ini
Taman Eko Rimba di Terengganu Dibuka Semula Mac Ini
KUALA TERENGGANU, 9 Februari – Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT) akan membuka semula tujuh Taman Eko Rimba di bawah seliaanya bermula Mac depan Penolong Pengarah Kanan (Pembangunan) JPNT, Helmy Tariq Othman berkata, ia  membabitkan Taman Rekreasi Sekayu, Hulu Terengganu; Lata Payung (Setiu); Air Menderu (Kemaman); Chemerung dan Rimba Bandar Bukit Bauk (Dungun); Lata Belatan dan Lata Tembakah (Besut) yang ditutup kepada orang ramai. Namun katanya, pembukaan itu bagaimanapun bergantung keadaan Monsun Timur Laut (MTL) ketika ini. “Sekiranya keadaan cuaca bertambah baik, kawasan terbabit akan dipertimbangkan dibuka dengan lebih awal kepada pengunjung. "Setakat ini Taman Eko Rimba di bawah kita masih belum dibuka kepada pengunjung kerana didapati MTL masih belum berakhir di negeri ini. "Justeru, kita mahu memastikan kawasan terbabit selamat dikunjungi dan dijangkakan Mac ini akan dibuka kepada orang ramai untuk melakukan aktiviti pendakian dan perkelahan," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Pokok Landskap di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, di sini hari ini. Tambahnya, pemantauan dari semasa ke semasa di kesemua kawasan terbabit dilakukan bagi mengelak orang ramai menceroboh masuk ke kawasan itu. "Setakat ini, kita belum menerima apa-apa laporan orang ramai melakukan aktiviti ke kawasan terbabit dan kita harap semua pihak mematuhi arahan ditetapkan," ujar beliau. Pada 1 November lalu, semua Taman Eko Rimba di Terengganu ditutup kepada semua pengunjung ekoran hujan lebat berterusan dan banjir yang melanda negeri ini.  
09 Feb 23
782
Bukit Puteri Dibuka Kembali Akhir Januari Ini
Bukit Puteri Dibuka Kembali Akhir Januari Ini
KUALA TERENGGANU, 20 Januari - Bukit Puteri yang kaya dengan catatan sejarah dan lagenda sehingga menjadi antara lokasi produk tarikan pelancongan negeri bakal beraksi kembali akhir Januari ini. Pengarah Muzium Negeri Terengganu, Che Muhammad Azmi Ngah berkata kerja-kerja naiktaraf Bukit Puteri sedang rancak berjalan bermula pada 17 Oktober 2022  dengan  kos sebanyak RM 230,660. "Dalam masa terdekat, Insyallah tempat bersejarah ini akan dibuka kepada orang ramai dengan beberapa penambahbaikan. "Pembaharuan terkini di Bukit Puteri ini adalah pembinaan tangga baru yang lebih selamat dan mesra pelawat, kaunter tiket, pemasangan lampu dan juga naiktaraf landskap," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI). Tambah beliau, projek naiktaraf ini adalah kerjasama antara Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu yang menyalurkan peruntukan ke Jabatan Pelancongan Negeri melalui program Pelaksanaan Inisiatif Projek Jaminan Makanan, Pelancongan Serta Pemeliharaan dan Pemuliharaan Alam Sekitar Terengganu. Bukit Puteri merupakan satu tempat yang penuh bersejarah kerana pernah menjadi kubu dan rebutan semasa Perang Saudara semasa zaman pergolakan Kesultanan Terengganu antara tahun 1931 hingga 1939.  Antara peninggalan sejarah yang masih jelas dapat dilihat di Bukit Puteri ini antaranya singgahsana sementara, tempat simpanan bedil dan meriam, genta (loceng besar), meriam beranak, tiang bendera dan rumah api. Pengunjung  juga dapat melihat keindahan Bandaraya Kuala Terengganu dari atas bukit ini dan sememangnya menggamit pemandangan bagi yang pertama kali melihatnya.    
20 Jan 23
910
Peruntukan RM40,000 Naik Taraf Kampung Tiong
Peruntukan RM40,000 Naik Taraf Kampung Tiong
KUALA TERENGGANU, 11 Januari – Peruntukan sebanyak RM40,000 disalur bagi menaik taraf dan penambahbaikan Kampung Tiong. Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata Kampung Tiong sentiasa menjadi tumpuan para pelancong dalam dan luar negeri ketika berkunjung ke Kuala Terengganu. Katanya, penambahbaikan itu akan memberi keselesaan buat para pengunjung dengan pemandangan indah dan lebih kondusif. “Yang pertama adalah projek menaik taraf serta mencantikkan kawasan penjaja pasar tani. “Kedua iaitu kerja-kerja mengecat, menyelenggara serta menceriakan bangunan medan selera pasar pagi deretan kawasan penjaja,” jelasnya. Beliau berkata demikian melalui satu kenyataan dalam laman Facebook Miliknya pada hari ini. Turut hadir dalam tinjauan tersebut, Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu bagi hal ehwal bukan Islam, Dr Balachandran Gopal Krishnan. Tambah Amzad, Kerja-kerja yang akan dilakukan adalah seperti membaiki bumbung yang uzur, membaiki longkang serta penutup yang rosak. Di samping, membaiki lantai, tapak gajah dan penghadang jalan, dan menambah tong sampah juga turut dilakukan. “Semoga usaha ini akan berjaya menjadikan Kampung Tiong lebih indah serta menarik lebih ramai lagi pelancong untuk datang ke Kuala Terengganu. “Secara tidak langsung akan merancakkan ekonomi di kawasan sekitarnya,” katanya.      
11 Jan 23
706
100 Acara Pelancongan Menarik Tonjol Keunikan Terengganu
100 Acara Pelancongan Menarik Tonjol Keunikan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 5 Januari- Sebanyak 100 acara pelancongan dan kebudayaan menarik mengisi Kalendar Acara Tahunan (COE) 2023 Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu kali ini. Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, jumlah itu melibatkan 17 acara ikonik dan 83 acara lain yang disusun rapi oleh Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) dalam usaha mencapai sasaran tiga juta pelancong ke Terengganu pada tahun ini. Katanya, COE 2023 juga sebagai usaha menggandakan jumlah kedatangan pelancong tempatan dan antarabangsa ke Terengganu sekaligus menjadikan negeri ini sebuah destinasi utama percutian. “100 acara ini dikumpulkan dari perbincangan bersama pelbagai pihak termasuk pejabat daerah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelbagai persatuan serta kelab supaya tidak berlaku pertembungan,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran COE 2023 Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu di Paya Bunga Hotel, hari ini. Turut hadir, Pengarah JPNT, Fadli Yusof Zakaria. Katanya, Karnival Beautiful Terengganu Malaysia (BTM) yang bakal berlangsung selama empat hari bermula 23 Februari nanti di Padang Astaka Kemaman merupakan acara pertama sebagai pembuka tirai COE 2023. “Ia bakal disusuli dengan acara lain antaranya Konsert Cilik Gamelan, Karnival Merakyatkan Budaya, Kapas Marang Internasional Swimathon 2023, Karnival Pantai Terengganu, Fiesta Candat Sotong dan Pelita Raya Tradisi Terengganu,” katanya. Menurut beliau, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM4.5 juta bagi memastikan industri pelancongan Terengganu pada tahun ini terus berkembang pesat. “Daripada jumlah itu, sebanyak RM1 juta diperuntukkan melalui Geran Pelancongan Darul Iman (GPDI) yang membolehkan mana-mana penggiat industri pelancongan, persatuan dan NGO menganjurkan pelbagai aktiviti dan program berimpak tinggi untuk rakyat negeri ini,” katanya.  
05 Jan 23
903
Kerugian Sektor Pertanian, Penternakan, Perikanan Lebih RM88 Juta
Kerugian Sektor Pertanian, Penternakan, Perikanan Lebih RM88 Juta
KUALA TERENGGANU, 4 Januari - Sektor pertanian, penternakan dan perikanan di negeri ini mengalami kerugian lebih RM88 juta akibat bencana yang melanda pada tahun lalu. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar, Dr Azman Ibrahim berkata jumlah tersebut melibatkan semua daerah dalam negeri ini. Katanya, jumlah bagi keseluruhan petani, penternak dan nelayan yang mengalami kerugian pada tahun lalu adalah seramai 3,697 orang. “Setakat rekod diterima dalam sektor pertanian adalah mengalami kerugian sekitar RM39.2 juta yang melibatkan seramai 2555 orang warga tani. “Manakala bagi sektor penternakan pula jumlah kerugian adalah sebanyak RM3.4 juta dengan seramai 781 penternak,” jelasnya. Beliau berkata demikian selepas Majlis Amanat Sektor Pertanian Negeri Terengganu Tahun 2023 bertempat Dewan Permata, Permai Hotel di sini hari ini. Turut hadir, Timbalan Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar, Hilmi Harun. Tambah Dr Azman, sektor perikanan pula mengalami kerugian melebihi RM6 juta yang melibatkan seramai 361 orang penternak akuakultur dan juga nelayan. Justeru, jumlah kerugian sehingga hari ini melebihi RM 88 juta dengan seramai 3697 orang warga tani, penternak dan nelayan yang terlibat dalam sektor pertanian dan terkesan dengan banjir pada baru-baru ini. Untuk makluman, sektor pertanian dan perikanan di negeri ini kerugian kira-kira RM49.6 juta akibat banjir Monsun Timur Laut (MTL), pertengahan bulan lalu.     
04 Jan 23
281
Kampung Budaya Terengganu Raih Anugerah Program Terbaik
Kampung Budaya Terengganu Raih Anugerah Program Terbaik
KUALA TERENGGANU, 18 Disember- Kampung Budaya Terengganu terus mendapat pengiktirafan dalam industri pelancongan apabila sekali lagi dinobatkan sebagai penerima Anugerah Program Pelancongan Kebudayaan Terbaik oleh Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) dan Santai Travel Magazine. Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri merangkap Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, anugerah tersebut merupakan anugerah kedua yang diterima oleh Kampung Budaya Terengganu dalam masa tiga bulan. Katanya, sebelum ini pihaknya menerima Anugerah Emas, kategori pusat pelancongan kebudayaan baharu sempena Majlis Anugerah Emas Majlis Pelancongan Malaysia di Sarawak pada 22 Oktober lalu. “Turut menerima anugerah adalah Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (Program Pelancongan Pendidikan Terbaik), Primula Beach Hotel (Best 4 Star Eco Green Beach Front Hotel) dan Summer Bay Lang Tengah Island Resort (Aktiviti Pelancongan Resort Pulau Terbaik). “Anugerah tersebut telah disampaikan di majlis gilang gemilang Malaysia Tourism Industry Award di Royale Chulan Kuala Lumpur pada 16 Disember lepas,” ujarnya dalam satu kenyataan, semalam. Katanya, sebanyak 60 anugerah telah disampaikan kepada individu, agensi kerajaan dan penggiat industri pelancongan dan perhotelan di majlis yang dirasmikan oleh Pengerusi Tourism Malaysia, Tan Sri Dr Ong Hong Peng.  
18 Dec 22
263