lightning-solid
Berita :

Artikel "Pelancongan" Terkini

Promosi Kenyir Geopark Lokasi Wajib Dikunjungi
Promosi Kenyir Geopark Lokasi Wajib Dikunjungi
HULU TERENGGANU, 12 Oktober - Setiap individu dan pemain industri perlu memainkan peranan untuk  menjadikan Kenyir Geopark sebagai salah satu destinasi wajib dikunjungi para pelancong dalam usaha merancakkan pelancongan di Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata dengan penglibatan dan bantuan daripada pihak swasta kerajaan amat yakin bahawa sasaran ditetapkan iaitu 1 juta pelancong ke Kenyir Geopark akan dapat dicapai dengan mudah. "Sebagai contoh jika kita melancong ke negara China, akan ada tempat yang wajib dilawati dalam senarai seperti Tembok Besar...jadi kenapa kita tidak laksanakannya di Terengganu juga. "Ini antara perkara yang akan saya bincangkan dengan pemain industri di Terengganu supaya masukkan Kenyir Geopark ke dalam senarai tempat menarik yang wajib dikunjungi jika datang ke negeri ini,"katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di Program Jom Kenali Geopark di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, di sini hari ini. Turut hadir, Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Lizan Che Mat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Zawawi Ismail. Razali turut berkata, apabila pengunjung bertambah, ia akan secara tidak langsung menjana ekonomi penduduk sekitar termasuk pengusaha rumah bot dan restoran. Tambahnya, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan universiti-universiti yang pakar dalam bidang Arkeologi khususnya selain mendidik masyarakat setempat tentang nilai geopark tersebut. Dalam masa sama, beliau turut menyarankan para penggiat media sosial  menggunakan platform media sosial dalam mempromosikan produk-produk pelancongan tempatan bagi menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara ke negeri ini. Katanya, pada masa kini media sosial merupakan medium utama dalam menyebarluaskan maklumat secara pantas ke seluruh dunia yang sewajarnya digunakan untuk mempromosikan produk pelancongan tempatan. "Selain media arus perdana yang memainkan peranan penting, kita juga memerlukan media sosial kerana secara tidak langsung akan membawa lebih ramai pelancong apabila mereka tertarik dengan posting-posting yang dimuatnaik," ujarnya.  
12 Oct 23
1808
Bikini : ‘Saya Sebut Jangan Pakai Sut Renang Di Tempat Terbuka’
Bikini : ‘Saya Sebut Jangan Pakai Sut Renang Di Tempat Terbuka’
KUALA TERENGGANU, 12 Oktober – Exco Kerajaan Negeri, Datuk Razali Idris menafikan beliau memberikan kebebasan kepada pelancong terutamanya bukan Islam untuk berbikini di mana-mana lokasi pelancongan sebagaimana dilapor sebuah portal berita. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri itu menegaskan, kenyataan asalnya telah diputar belit pihak tertentu bagi membina persepsi negatif terhadap Terengganu. “Saya hanya sebut jangan memakai sut renang di kawasan terbuka seperti Pasar Kedai Payang, saya tak sebut selain itu. “Di tempat lain pelancong bukan Islam juga perlu memakai pakaian yang bersesuaian dengan adab dan budaya Terengganu, tidak melampaui batas,” katanya selepas menghadiri walkabout Kampung Cina bertempat di Pintu Gerbang Kampung Cina di sini semalam. Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal berkenaan, penyebaran berita itu tidak melemahkan semangatnya untuk menarik seramai mungkin pelancong Terengganu. Justeru itu ujarnya, pihaknya tidak mampu menghalang mana-mana individu untuk membina persepsi buruk kepada kerajaan negeri. “Sebolehnya kita tak mahu ada krisis dengan sesiapa, kita ada cara tersendiri dalam membangunkan negeri. “Pihak kerajaan memang sudah menduga pasti akan ada berita-berita tidak betul seperti itu, namun kita fokus dengan perancangan yang telah digariskan,” jelasnya. Sebelum ini, Razali berkata, pelancong bukan Islam tidak perlu merasa bimbang untuk berkunjung ke Terengganu kerana golongan terbabit tidak terikat dengan etika pemakaian dalam garis pelancongan negeri. Menurutnya, Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan dan Sukan hanya dikuatkuasakan kepada individu beragama islam. "Walau bagaimanapun katanya, pelancong bukan islam masih perlu menghormati budaya dan adab masyarakat Melayu Islam di Terengganu," tambah beliau.
12 Oct 23
1574
Kampung Melayu Lama, Cina Diangkat Aset Pelancongan
Kampung Melayu Lama, Cina Diangkat Aset Pelancongan
KUALA TERENGGANU, 11 Oktober – Kerajaan Negeri sedang berusaha memulihkan semula Kampung Melayu Lama dan Kampung Cina di negeri ini untuk dijadikan sebagai aset pelancongan. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata pihaknya telah meneliti pelbagai perkara yang perlu ditambah nilai. Katanya, tinjauan sudah dilakukan di beberapa kampung Melayu Lama sebelum ini dan pada hari ini pihaknya meninjau Kampung Cina. "Antara perkara yang perlu dititikberatkan adalah kebersihan, keceriaan dan beberapa lagi aspek yang perlu diberi perhatian. “Dari sudut masa berniaga juga perlu dipanjangkan sehingga jam 12 supaya pengunjung lebih ramai di sesuatu kawasan,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri walkabout Kampung Cina bertempat di Pintu Gerbang Kampung Cina di sini hari ini. Dalam tinjauan tersebut, Razali berkata pihaknya juga mengadakan perbincangan dengan beberapa NGO untuk menjalankan program bagi memeriahkan kawasan berkenaan. "Supaya peniaga di sini dapat berniaga sehingga pukul 12 malam dengan adanya orang datang. “Selain itu, antara perkara yang perlu diberi tumpuan adalah kebersihan yang merupakan perkara pokok dalam pelancongan. “Kebersihan juga tidak terletak kepada penguatkuasaan sahaja tapi komuniti juga perlu memberi peranan,” ujarnya.  
11 Oct 23
456
Terus Didik Pelancong Dengan Etika Berpakaian
Terus Didik Pelancong Dengan Etika Berpakaian
KUALA TERENGGANU, 11 Oktober – Kerajaan Negeri akan terus mendidik pelancong bukan Islam dan Islam mengenai etika berpakaian bersesuaian agar tidak timbul kecelaruan dalam kalangan rakyat. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, pihaknya juga bercadang untuk menjelaskan Prosedur Operasi Standard (SOP) pemakaian antara dua kategori pelancong itu. Katanya, pelancong bukan Islam tidak perlu bimbang kerana Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan dan Sukan hanya dikuatkuasakan kepada individu muslim. “Pelancong bukan Islam akan diberi penerangan agar tidak berpakaian melampau sehingga boleh menimbulkan keghairahan. “Sejak pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2022, terutama membabitkan Seksyen 34, iaitu perbuatan atau berpakaian tidak sopan di tempat awam dikuatkuasakan, tiada pelancong bukan Islam dikenakan tindakan dan hukuman,” katanya. Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Pesta Peranakan Cina, di sini, kelmarin. Mengulas lanjut, bagi pelancong muslim pula, individu yang berpakaian mendedahkan mana-mana bahagian tubuh sehingga menimbulkan keghairahan di tempat awam akan diberikan didikan terlebih dahulu sebelum dikenakan tindakan. "Kaedah mendidik oleh penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) membuktikan semua pelancong termasuk bukan muslim menerima baik penjelasan diberikan," tegasnya.
11 Oct 23
238
13 Kategori Perlumbaan 'Hangatkan' IGMR 2023
13 Kategori Perlumbaan 'Hangatkan' IGMR 2023
KUALA TERENGGANU, 5 Oktober - International Golden Monsun Ride (IGMR) 2023 menawarkan 13 kategori perlumbaan melalui kejohanan edisi ketiganya pada 16 Disember ini. Kategori dipertandingkan ialah Men Elite, Men Open dan Junior, Master A,B,C, Women Open dan Master, Heavyweight, Fat Bike Open, E-Bike Open dan Gravel Bike Open. Satu lagi kategori ialah kayuhan Fun Ride Open yang menampilkan pelumba-pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG). Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated (Terengganu Inc), Burhanuddin Hilmi Mohamed @Harun berkata, IGMR menawarkan hadiah keseluruhan berupa wang tunai berjumlah RM31,000. "Acara sukan berbasikal ini akan diadakan di Teluk Kalong ,Kemaman. "Peserta-peserta bagi semua 13 kategori akan menempuhi laluan beberapa destinasi pelancongan dan trak 'off road' di Kijal dan Kemasik," katanya dalam ucapan alu-aluannya pada Pra Pelancaran IGMR 2023 di KTCC Mall, hari ini. Lebih menarik, acara tahun ini turut menawarkan pelbagai hadiah cabutan bertuah bernilai RM120,000 dengan hadiah utama berupa sebuah kereta Perodua Myvi 1.3 Auto. Majlis itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim. Turut hadir, timbalannya Mohd Fadhli Rahimi Zulkifli, pengurusan EPIC Berhad serta ketua-ketua syarikat di bawah Kumpulan Terengganu Inc. Pendaftaran dibuka kepada orang ramai sehingga pertengahan November melalui pautan https://bit.ly/DaftarIGMR2023 dengan tawaran 'early bird' sah sehingga 15 Oktober ini. Untuk maklumat lanjut, sila layari Facebook kejohanan- IGMR 2023.                
05 Oct 23
383
Kerajaan Perlu Fokus Majukan 'Lidah Terengganu'
Kerajaan Perlu Fokus Majukan 'Lidah Terengganu'
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Pulau Duyong yang dikenali sebagai 'Lidah Terengganu' perlu diberikan tumpuan untuk dimajukan serta diterokai sepenuhnya. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Sr Zaharuddin Zahid berkata dengan keistimewaan yang dimiliki di Pulau Duyong itu ia mampu menjadikannya sebagai destinasi pilihan popular bagi merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri ini. "Diharap kerajaan negeri dapat meneliti dan melihat kembali Pulau Duyong ini dengan keunikan serta kepelbagaian aset yang telah ada seperti menjadi tempat pembuatan replika bot serta Kota Lama Duyong. "Saya difahamkan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) satu masa dahulu dengan kerjasama Taman Tamadun Islam pernah mejadikannya sebagai salah satu tempat persinggahan 'river cruise'. "Adalah menjadi harapan agar lokasi ini, juga kampung Seberang Bukit Tumbuh dan Jeti Lama Seberang Takir dapat dijadikan semula sebagai suatu destinasi persinggahan 'river cruise'," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap semasa sesi Perbahasan Titah Diraja pada Mesyuarat Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15, di sini, hari ini. Mengulas lanjut katanya, pihaknya kini juga sedang berusaha bagi menarik pengunjung ke Pulau Duyong itu dengan mewujudkan pelbagai aktiviti sukan air termasuk kayak. "Semua perancangan ini tidak akan berjaya tanpa kerjasama semua pihak, justeru amat diharpakan agar mendapat kerjasama pihak pelancongan dan juga agensi terlibat untuk memajukan Pulau Duyong ini sekali gus membawa limpahan ekonomi kepada penduduk setempat," ujarnya.
03 Oct 23
663
Zuraida Gesa Kerajaan Kuatkuasa Garis Panduan Pelancongan
Zuraida Gesa Kerajaan Kuatkuasa Garis Panduan Pelancongan
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Pemerkasaan pelaksanaan syariah perlu ditingkatkan dalam usaha membina kefahaman pengunjung luar terhadap usaha Terengganu sebagai pemangkin Koridor Pelancongan Islam Antarabangsa. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor menyatakan kegusaran apabila sebahagian pelancong Muslim yang semakin berani melanggar Garis Panduan Pelancongan yang diwujudkan kerajaan negeri. "Di sini terdapat dua kemungkinan samada, masih ramai tidak tahu akan kewujudan garis panduan pelancongan ataupun mereka tahu tetapi, semakin berani memakai pakaian mencolok mata dan melanggar batas kerana tiadanya penguatkuasaan," katanya ketika membahaskan Titah Diraja dalam Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri ke-15, di sini hari ini. Tegasnya, kerajaan negeri melalui agensi terlibat perlu mengambil inisiatif lebih agresif dalam memperkasakan Garis Panduan Pelancongan yang telah dilancarkan bersama Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan dan Sukan Negeri Terengganu. "Besar harapan saya agar pemantauan dilaksanakan di semua agensi dan jabatan kerajaan. "Saya yakin ini termasuk manifestasi dakwah Islamiah dan komitmen kerajaan dalam menuju Negeri Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera," katanya.
03 Oct 23
114
Terokai Potensi Baharu Dalam Industri Pelancongan- Sultan Mizan
Terokai Potensi Baharu Dalam Industri Pelancongan- Sultan Mizan
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah supaya kerajaan negeri memberi penekanan terhadap penjenamaan produk dengan mengenal pasti Unique Selling Point (USP) yang ditawarkan untuk menarik minat pelancong. Titah Baginda, kerajaan negeri perlu meneroka potensi baharu dalam industri pelancongan bagi memberi nilai tambah kepada aset-aset pelancongan sedia ada seperti menjenamakan Terengganu sebagai destinasi pelancongan marin terkemuka dalam negara. “Kepelbagaian dan keunikan sumber alam semula jadi, bermula dari jajaran pantai sepanjang dua ratus empat puluh empat (244) kilometer, kehijauan hutan hujan tropika, kepelbagaian sumber flora dan fauna, keindahan dasar laut yang memukau sehinggalah ke khazanah seni, budaya dan warisan yang masih terpelihara merupakan anugerah yang tidak terhingga daripada Allah Subhanahuwataala buat seluruh rakyat negeri ini.  “Keunikan tujuh pulau peranginan utama di Terengganu seperti Pulau Perhentian Besar, Perhentian Kecil, Pulau Redang, Pulau Tenggol, Pulau Bidong, Pulau Lang Tengah dan Pulau Kapas berpotensi tinggi untuk dipasarkan ke peringkat global,” titah Baginda. Sultan Mizan bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Pertama Dewan undangan Negeri Kelima Belas bertempat di Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, hari ini. Dalam pada itu, Baginda turut menitahkan agar kaedah promosi yang lebih strategik bagi melonjakkan aktiviti pelancongan marin Terengganu dilaksanakan. “Penemuan Bidong Shipwreck yang berusia lebih lima ratus (500) tahun di Pulau Bidong membuktikan terdapat banyak lagi khazanah dasar laut yang perlu diterokai.  “Justeru itu, Galeri Arkeologi Maritim Terengganu wajar diwujudkan agar segala penemuan berharga ini dapat disimpan pada suatu tempat yang boleh dijadikan sebagai sumber rujukan dan kajian,”titah Baginda lagi.  Dalam masa yang sama, Sultan Mizan  juga mahu pelancongan marin yang mencakupi aktiviti-aktiviti berkaitan seperti voluntarism dalam program-program konservasi penyu dan hidupan marin, penganjuran pelbagai acara berimpak tinggi di pulau-pulau, serta menonjolkan kebudayaan negeri melalui penglibatan komuniti setempat diperluaskan.  Baginda turut  menzahirkan keprihatinan apabila melihat sektor pelancongan mencatatkan perkembangan baik berdasarkan kemasukan pelancong keTerengganu pada tahun 2022 iaitu seramai 3.7 juta orang yang melepasi sasaran tiga juta sebelumnya.  
01 Oct 23
747
Bermula Minat Bela Haiwan, Cetus Idea Buka Mini Zoo Rimba Razia
Bermula Minat Bela Haiwan, Cetus Idea Buka Mini Zoo Rimba Razia
HULU TERENGGANU, 26 September – Bermula dari hobi memelihara haiwan, kini Dato’ Seri Zakaria Abdul Razak memberanikan diri membuka mini zoo sendiri yang terletak di Kampung Dusun, Kuala Berang dengan berkonsepkan 'petting zoo' . Katanya, mini Zoo yang diberi nama “Rimba Razia” mempunyai 80 jenis spesies haiwan itu memberi peluang kepada pengunjung berinteraksi serta selain memberi makan  sendiri kepada haiwan. "Segalanya bermula dari hobi membela haiwan, sehingga jumlah haiwan dibela itu makin bertambah maka terdetik di hati untuk membuka sebuah zoo bagi membolehkan orang ramai juga merasai dan memberi makan sendiri kepada haiwan di sini. "Kebanyakan haiwan di sini dari Eropah. Pelbagai haiwan yang signifikan di zoo ini antaranya unta, alpaca, kanggaru, kuda, keldai, capybara serta pelbagai jenis musang dari Eropah, Jepun, Thailand dan sebagainya. "Selain dapat berkongsi minat bersama-sama dengan pencinta haiwan, sedikit sebanyak dapat merancakkan lagi aktiviti pelancongan dan pertumbuhan ekonomi penduduk setempat,"ujarnya ketika ditemui pemberita.   Terdahulu Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Rosol Wahid dan ADUN Telemong, Mohd Zawawi Ismail hadir melawat Mini Zoo tersebut.     Menurut Zakaria, setiap hari khususnya waktu hujung minggu kehadiran pengunjung sama ada dari dalam dan luar Terengganu tidak  pernah putus untuk mengunjungi ke Mini Zoo tersebut. Tambahnya, sejak dibuka zoo tersebut mendapat perhatian ramai apabila dikunjungi kira-kira 3,000 hingga 4,000 pengunjung setiap hari terutama pada hujung minggu. "Baru lebih sebulan beroperasi. Alhamdulillah mendapat sambutan mengalakkan daripada pengunjung di mana hampir 50,000 pengunjung direkodkan setakat ini sejak ia beroperasi 15 Julai lepas,"ujarnya lagi.  
26 Sep 23
2030
Masalah Telekomunikasi di Pulau Tenggol Selesai
Masalah Telekomunikasi di Pulau Tenggol Selesai
DUNGUN, 24 September - Masalah komunikasi di Pulau Tenggol akhirnya selesai selepas menara telekomunikasi siap dibina di pulau terbabit.  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, menara telekomunikasi tersebut hanya menunggu masa untuk berfungsi sepenuhnya. "Penting menara komunikasi ini, bukan sahaja memudahkan pengunjung yang hadir juga atas faktor keselamatan jika berlaku sebarang perkara tidak diingini. "Memandangkan pulau ini berada di lokasi yang sangat jauh dari pantai sebelah darat jadi mudahlah untuk berkomunikasi jika berlaku sebarang kecemasan," ujarnya melalui hantaran di facebooknya, baru-baru ini.  Ujarnya, pulau berkenaan telah diketahui ramai sebagai tempat pilihan untuk mereka yang meminati aktiviti skuba dan snokerling bagi menyaksikan sendiri dengan mata kasar hidupan laut. "Dulu pun, pernah viral ada 'shark whale' sekitar pulau yang juga menjadi antara tarikan utama pengunjung untuk datang," ujarnya. Untuk rekod pada tahun lalu Pulau Tenggol telah diberikan keutamaan dalam projek Pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk kualiti perkhidmatan rangkaian jalur lebar mudah alih. Dengan mengambil kira industri pelancongan sebagai salah satu submer ekonomi utama negeri.  
24 Sep 23
381