lightning-solid
Berita :

Artikel "Pelancongan" Terkini

Pusat Sains Terengganu Catat Kehadiran Lebih 74,000
Pusat Sains Terengganu Catat Kehadiran Lebih 74,000
KUALA TERENGGANU, 20 September - Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) terus menjadi daya tarikan pelancongan berteraskan pendidikan apabila mencatatkan jumlah pengunjung tertinggi melebihi 74,000 orang. Tengku Seri Bijaya Raja, Setiausaha Kerajaan Terengganu berkata, jumlah kehadiran itu bermula Januari hingga Ogos tahun ini dan ia dijangka akan terus meningkat sehingga 150,000 sebagaimana yang disasarkan tahun ini. "Bagi pihak kerajaan negeri saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada PSKT kerana telah menjadi salah satu destinasi tarikan pelancongan berteraskan pendidikan (edu-tourism) yang mencatatkan jumlah pengunjung tertinggi," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap Menyempurnakan Majlis Penutup Pertandingan 'Spark Your Creativity Challenge 2023', di sini, semalam. Dalam pada itu, Tengku Seri Bijaya turut menyeru agar ibu bapa terus menjadikan PSKT sebagai pilihan untuk membawa anak-anak bagi meluangkan waktu dengan melakukan aktiviti yang bermanfaat. "Banyak aktiviti menarik yang disediakan agar anak-anak kita dapat menyuntik minat, membangunkan potensi dan memperkasakan daya saing dalam subjek berkaitan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM)," ujarnya.
20 Sep 23
239
Industri Pelancongan Islam Terengganu Berpotensi Ke Peringkat Global
Industri Pelancongan Islam Terengganu Berpotensi Ke Peringkat Global
KUALA TERENGGANU, 18 September – Terengganu berpotensi besar dalam mempromosikan pelancongan Islam ke peringkat global. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata Terengganu mempunyai produk pelancongan yang hebat dan unik bertaraf antarabangsa. Katanya, serta pelbagai tawaran lokaliti berasaskan pelancongan dan industri berkaitan yang memberi lonjakan kepada industri pelancongan global. “Segala-galanya ada di Terengganu termasuk alam semula jadi, gunung-ganang, sungai, keindahan tasik, panorama yang memukau di pulau-pulau serta pesisiran pantai yang menakjubkan. “Lebih-lebih lagi, aktiviti teras, hiliran dan sokongan berkaitan industri pelancongan dalam kepelbagaian terutama pelancongan Islam. “Justeru, negeri Terengganu dapat menawarkan permintaan dan penawaran yang lebih meluas,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasmi miliknya pada semalam. Terdahulu, beliau menghadiri makan malam World Islamic Tourism Awards (WITA) 2023 bersekalikan dengan persidangan Asia Islamic Tourism Expo-Exhibition and Conference Haji, Umrah dan Pelancongan Islam (AITEX) malam Jumaat lalu. “Saya sangat teruja kerana WITA dan AITEX berupaya mengangkat pelancongan Islam dan menyemarakkan ekonomi dan pemasaran industri pelancongan Islam tepat pada landasannya, selepas mendepani cabaran hebat sewaktu COVID-19 lalu. “Persidangan dihadiri pakar-pakar professional, peneraju dan usahawan hebat dari seluruh dunia berkongsi pandangan, pendapat dan perkongsian berkaitan pelancongan Islam. “Penyediaan pameran dengan keluasan 7,157 meter persegi dan dipenuhi dengan pemeran dari negara Timur Tengah dan Asia,” jelasnya. Beliau berkata, sudah tentu pakej seperti umrah dan pelancongan Islamik menjadi tarikan utama, di samping ruang khas untuk perbincangan mahupun MoU disediakan bagi menjalankan jaringan perniagaan masing-masing. Beliau turut memuji penganjur kerana menawarkan 55 anugerah mengikut kategori yang sudah tentu memberi pengiktirafan, penghargaan dan motivasi kepada mereka yang terpilih. “Terima kasih jua kerana saya berpeluang menyampaikan anugerah kepada pemenang bersama-sama tokoh tersohor dan negarawan negara, Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut hadir bersama. “Suasana santai begitu dirasai apatah lagi diselang-seli nyanyian dan irama Islamik, persembangan kombo dan pertunjukan fesyen Muslimah dan pakaian batik Malaysia,” ujarnya.    
18 Sep 23
585
Pertahan Semangat Federalisme, Terengganu Taja LTdL
Pertahan Semangat Federalisme, Terengganu Taja LTdL
KUALA TERENGGANU, 13 September - Kerajaan Negeri Terengganu secara rasmi diumumkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai penaja utama Le Tour de Langkawi 2023 (LTdL) yang akan berlangsung pada 23 hingga 30 Spetember ini. Dalam kejohanan bertaraf antarabangsa itu, kerajaan negeri melalui Tourism Terengganu memberi tajaan sebanyak RM800,000 meliputi tajaan wang tunai dan bantuan logistik. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim ketika ditanya tentang kesudian menaja kejohanan tersebut meskipun berlainan fahaman politik dengan kerajaan pusat, menyifatkan amalan politik matang dan sejahtera dalam pentadbiran PAS sebagai kerajaan negeri mengangkat semangat federalisme dalam hubungan antara kedua-dua pihak.  "Kerajaan negeri bersikap terbuka dalam hubungan antara kerajaan Pusat dan Negeri. Kita mempertahan semangat federalisme. Hubungan baik antara kedua peringkat ini akan terus dipelihara. "Apatah lagi dalam agenda sukan kerana sukan untuk semua. Melahirkan atlet datangnya dari lubuk negeri dan dibangunkan pula secara lebih komprehensif di peringkat nasional. Jika atlet kami diangkat, mereka tetap digelar Atlet Malaysia. Ini semangat kesukanan yang telah lama dibina. Tiada agenda politik. Foto: Le Tour de Langkawi. "Tempohari juga, kami menerima tajaan Kementerian Belia & Sukan untuk penganjuran Tour Gateh De Tranung(TGDT23). Ia tanggungjawab bersama," katanya. Tambahnya, kerajaan Terengganu sebenarnya telah bersetuju untuk menaja LTdL 2023 sejak 31 Mei, iaitu semasa rombongan penganjur ke Wisma Darul Iman bagi membentangkan pakej penajaan. Keputusan tersebut diambil berdasarkan pakej pulangan penjaan yang cukup lengkap, khasnya peluang untuk mempromosikan negeri Terengganu ke seluruh dunia. Sehubungan itu, kerajaan negeri dengan penjenamaan Beautiful Terengganu telah diberi penghormatan menaja kategori Pelumba Terbaik Asia (Jersi Putih) dan wakil kerajaan Terengganu akan menyarungkan jersi putih pada setiap peringkat perlumbaan. Selaras hasrat Terengganu untuk menjadi Land of Cyclist, Terengganu turut diberi penghormatan menjadi lokasi Peringkat 1 LTdL 2023 yang melibatkan laluan sepanjang 184.4 kilometer (km) dari Kerteh ke Kuala Terengganu. Peringkat 2 sejauh 186.2km juga akan bermula dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu, Kelantan.  
13 Sep 23
667
Langkah Segera Diambil Selesai Isu ‘Tol’ Pulau Kapas
Langkah Segera Diambil Selesai Isu ‘Tol’ Pulau Kapas
MARANG, 7 September - Kerajaan negeri telah mengambil langkah segera bagi menyelesaikan aduan pelancong berhubung isu ‘tol’ atau bayaran berganda di beberapa kaunter sebelum dibenar masuk ke Pulau Kapas. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, pihaknya mengambil maklum rintihan rakyat yang berbangkit di media sosial. Katanya, sebarang kesulitan dan birokrasi akan diatasi secara berhemah dan tidak membebankan pelbagai pihak termasuk pemegang taruh yang mempunyai kepentingan berkaitan Pulau Kapas. “Perjumpaan dengan pemegang taruh telah berjalan di Majlis Daerah Marang dan perbincangan berlangsung secara harmoni. “Saya ambil maklum soal harga tiket bot dan pembayaran 'fee' yang dicajkan dan setiap jalan penyelesaian akan dipermudahkan agar pengunjung tidak terbeban,” katanya dalam satu kenyataan semalam. Razali dan Timbalannya, Sulaiman Sulong berbincang bersama Majlis Daerah marang bagi menyelesaikan isu itu. Dalam perkembangan berkaitan, beliau menegaskan, setiap permasalahan prasarana seperti caj tempat letak kereta, penyediaan letak kenderaan yang tidak mencukupi serta tandas rosak dan tidak bersih akan diberi perhatian. “Begitu juga dengan fasiliti pulau yang perlu diperbaiki dan dinaik taraf serta tahap keselamatan akan diambil perhatian utama dan khusus. “Saya akan berhubung dengan kementerian berkaitan di Kerajaan Persekutuan untuk berbincang lebih lanjut serta langkah susulan terbaik dicapai kelak,” jelas beliau. Dalam masa yang sama, beliau turut berterima kasih kepada pengunjung kerana memilih Pulau Kapas untuk datang bercuti dan beriadah bersama keluarga serta prihatin dalam menambah nilai fasiliti sedia ada.
07 Sep 23
776
Makan Durian Di Kebun Konsep Agro Tourism Terengganu
Makan Durian Di Kebun Konsep Agro Tourism Terengganu
MARANG, 6 September - Kerajaan Terengganu menggalakkan pengusaha pertanian negeri itu menghidupkan konsep Agro Tourism dengan menjemput orang ramai makan durian dalam kebun. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, konsep itu bertujuan supaya orang ramai menikmati durian segar dari kebun di samping menghidupkan aktiviti pelancongan pertanian terutama di musim buah-buahan di negeri itu. Katanya, aktiviti itu membolehkan rakyat Malaysia dari seluruh negara berkunjung ke Terengganu untuk menikmati rasa durian berbagai jenis termasuk durian premium menjadikan Terengganu antara destinasi utama penggemar durian. "Saya menyeru orang luar dan dalam negeri Terengganu termasuk pelancong tempatan dan luar negeri datang beramai-ramai ke Mizi Agro Farm di Kampung Lubuk Batu Marang, rasa sendiri, tengok suasana dan makan durian dalam kebun," katanya ketika ditemui di kebun Mizi Egro Farm seluas lapan ekar di sini semalam. Dr Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk berkata pelancong begitu ramai datang ke Terengganu di hari minggu dan musim cuti sekolah sekaligus berpeluang melawat kebun tersebut sambil makan durian di situ. Sementara itu pemilik kebun durian itu Mohd Tarmizi Mamat berkata kebun duriannya mendapat sambutan menggalakkan dari rakyat Malaysia dari seluruh negara yang berkunjung sambil makan durian di kebun di musim cuti sekolah baru-baru ini.
05 Sep 23
1544
Lapangan Terbang Sultan Mahmud Dalam Perhatian Kerajaan Negeri
Lapangan Terbang Sultan Mahmud Dalam Perhatian Kerajaan Negeri
KUALA TERENGGANU, 4 September – Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) Terengganu sedang diteliti oleh Kerajaan Negeri bagi menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata pihaknya telah melakukan tinjauan di lapangan terbang tersebut yang dikatakan agak suram. "Melalui tinjauan tersebut, kami mendapati bahawa LTSM ada sedikit kekurangan dari sudut pelancong asing untuk terus datang ke negeri Terengganu. “Ramai pelancong asing yang transit di Singapura dan melalui jalan darat ke semenanjung Malaysia,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Sidang media dan Penyerahan Penajaan Mount Tebu Climbathon Challenge (MTCC) 2023 bertempat di Aras Bawah, Wisma Darul Iman di sini hari ini. Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu (JPNT), Fadli Yusof Zakaria. Tambah Razali, perbincangan juga telah dijalankan bersama pihak imigresen dan kastam untuk tindakan lanjut. “Insya-Allah, dalam masa terdekat Kerajaan Negeri akan berusaha untuk meningkatkan lagi kualiti Lapangan terbang tersebut yang juga merupakan mercu tanda negeri Terengganu,” ujarnya. Untuk rekod, LTSM merupakan lapangan terbang antarabangsa yang terkenal terutamanya pada musim haji.  
04 Sep 23
4368
Hasrat Jadikan Terengganu 'Land Of Cycling' Mampu Dicapai
Hasrat Jadikan Terengganu 'Land Of Cycling' Mampu Dicapai
MARANG, 4 September - Kerajaan negeri optimis impian untuk menjadikan Terengganu sebagai negeri kayuhan basikal mampu dicapai. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, hasrat menjadikan Terengganu sebagai 'Land Of Cycling' merupakan sebagai sebahagian daripada promosi pelancongan negeri Terengganu. "Di mana destinasi yang menjadi tempat atau hentian program sebagaimana yang diadakan hari ini (Tour Gateh D'Tranung) akan lebih memperkenalkan lagi lapan daerah iaitu dari Marang, Dungun, Kemaman , Hulu Terengganu sehingga ke Besut. "Kita akan meneruskan program seperti hari ini bagi memastikan hasrat kerajaan untuk mengangkat sukan basikal ini juga menjadikan Terengganu 'Negeri Kayuhan Basikal' akan mampu tercapai dan akan menjadi satu faktor pelancong dari dalam dan luar negara datang ke negeri ini," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan pelepasan Kejohanan Tour Gateh D'Tranung Peringkat 1, di Pulau Kekabu di sini hari ini. Katanya hari ini sebanyak 27 pasukan hebat antara benua terlibat, serta penyertaan dari Singapura, Indonesia serta Brunei. "Selain kita turut menerima peserta antarabangsa yang pada awalnya ingin turut menyertai namun membatalkan penyertaan pada saat akhir. "Insya-Allah kita akan ulangi lagi pada tahun hadapan dengan menjadikan ia sebagai acara antarabangsa. "Sebenarnya bagi menjadikan negeri Terengganu sebagai negeri kayuhan basikal ia turut dibantu dengan reputasi Terengganu yang selama ini telah melahirkan ramai jaguh-jaguh dalam sukan basikal yang mencipta nama bukan sahaja dalam negara tetapi di peringkat antarabangsa," ujarnya lagi.
04 Sep 23
807
592 Peserta Bakal Tawan Gunung Tebu
592 Peserta Bakal Tawan Gunung Tebu
KUALA TERENGGANU, 4 September - Seramai 592 Peserta Mount Tebu Climbathon Challenge 2023 (MTCC’23) bakal menawan puncak Gunung Tebu pada 9 September 2023 di Taman Eko Rimba, Lata Belatan, Besut, Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata penganjuran itu diadakan bertujuan mengajak orang ramai bagi membudayakan aktiviti bersukan yang cergas melalui elemen pendakian gunung.  Katanya, acara ini menjadi platform untuk mempromosikan pelbagai keindahan dan keunikan hutan lipur, air terjun dan gunung ganang yang ada di Negeri Terengganu dengan mempromosikan pelancongan sukan ‘Sports Tourism’. “Program MTCC ini adalah acara berkonsep ‘Trail Run/Perlumbaan gunung yang dihidupkan semula dalam membawa elemen penghayatan alam semulajadi dan ‘Sport & adventure tourism’ di Besut, Terengganu. “Gunung Tebu yang berketinggian 1,039 meter dari paras laut semestinya merupakan destinasi gunung Terengganu yang menjadi tumpuan para pendaki di Malaysia. “Di kaki gunung yang merupakan Hutan Lipur Lata Belatan sentiasa menjadi tarikan pengunjung untuk aktiviti rekreasi keluarga terutamanya disetiap hujung minggu,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Sidang media dan Penyerahan Penajaan Mount Tebu Climbathon Challenge (MTCC) 2023 bertempat di Aras Bawah, Wisma Darul Iman di sini hari ini. Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu (JPNT), Fadli Yusof Zakaria dan Pengarah Program, Mohd Rafi Kori. Tambah Razali, program tersebut menawarkan tiga kategori utama sejauh 18.5 km melibatkan penyertaan terbuka lelaki dan wanita. Antaranya, veteran lelaki dan wanita (KATEGORI CENGAL) serta tertutup Terengganu lelaki dan wanita (KATEGORI MERANTI) yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM19,300. Manakala, satu lagi kategori sebagai ‘Fun Run’ dikenali KATEGORI NYATUH sejauh 5 km ditawarkan untuk peserta yang ingin merasai kemeriahan larian dalam suasana secara santai. "Pelepasan MTCC yang melibatkan pelbagai kategori akan berlangsung pada 7.30 pagi, 9 September 2023. "Peserta kategori utama akan mengharungi cabaran denai gunung sejauh 18.5 km naik dan turun dan akan melibatkan Had Masa (Cut Of Time) tiba di Puncak Gunung Tebu dalam tempoh 5 jam sahaja. "Rekod peserta terpantas sebelum ini adalah 1 jam 43 minit 47 saat (Peserta Kenya), manakala rekod peserta tempatan adalah 2 jam 10 minit 09 saat (Peserta MTCC Tahun Lepas) dari Terengganu," katanya. Melalui acara ini katanya, impak ekonomi pelancongan akan terus bermanfaat kepada penduduk dan industri pelancongan setempat di daerah Besut. "Sama ada melibatkan hotel dan rumah penginapan, restoran, kedai kedai runcit, pulau perhentian dan sebagainya. "Secara tidak langsung juga dapat membuka minda penduduk setempat dalam mengambil seberapa banyak peluang ekonomi disebalik bertandang di Daerah Besut," jelasnya. Selain itu, acara ini juga bertujuan salah satu usaha bagi menggerakkan peranan Malim Gunung Perhutanan (MGP) Terengganu yang telah dijayakan pada tahun 2022. “Terima kasih rakan rakan penaja iaitu Syarikat Air Terengganu, EPIC Group, Universal Fitness Leisure (UFL), F&N, Minyak Herba Asma, Atwa Stolen, My Coklat, Arena Sports, Brooks, Manis FM. "Acara ini melalui anjuran bersama Kelab Kembara Terengganu (Terengganu Backpackers) dan TAC Outdoor dengan sokongan Tourism Malaysia, Kerajaan Negeri Terengganu dan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu. "Dijemput kepada semua yang berdekatan untuk hadir ke Taman Eko Rimba Lata Belatan Jumaat dan Sabtu ini," ujarnya. Sementara itu, pelbagai aktiviti sampingan yang diadakan sempena program tersebut antaranya pameran dan jualan sukaneka air bersama pengunjung, busking, mewarna kanak kanak, kuiz pelancongan serta ‘Outdoor Challenge’.  
04 Sep 23
259
'Silap Kata Mundur, Terengganu Negeri Wajib Dikunjungi'
'Silap Kata Mundur, Terengganu Negeri Wajib Dikunjungi'
KUALA TERENGGANU, 3 September – Silap besar jika ada pihak mengatakan Terengganu sebagai sebuah negeri yang mundur dan patut diboikot, ujar pelancong dari Selangor. Sunaini Othman, 54, yang berasal dari Shah Alam berkata, Terengganu merupakan sebuah negeri yang wajib dan berbaloi untuk dikunjungi. Katanya, negeri pantai timur itu terus menjadi pilihan orang ramai menghabiskan masa bercuti sehingga beberapa lokasi popular dipenuhi pelancong, sepanjang tempoh cuti sekolah berlangsung baru-baru ini. "Ini merupakan kali kedua saya datang dan kalau boleh nak datang lagi. Bagi saya orang yang mengatakan Terengganu  mundur adalah silap, cakap orang yang tak fikir lebih jauh sekadar nak puaskan hati mereka sahaja. "Bagi saya Terengganu adalah tempat terbaik untuk datang tak kira lah apa orang nak kata sebab bagi saya semua best, rakyat bagus , bersopan santun, peramah dan banyak tempat menarik untuk dilawati,”ujarnya ketika ditemui di Pasar Payang di sini hari ini. Terdahulu, tinjauan pemberita di beberapa lokasi antaranya di Masjid Kristal, Jeti Pulau Redang, Taman Tamadun Islam, Pasar Payang dan banyak lagi lokasi meriah dengan kehadiran pelancong yang mengabadikan kenangan mereka di mercu pelancongan negeri itu. Sementara itu, pelancong asing dari Singapura, Reid Lim, 36 dan isteri Kit Shan 31 yang berasal Hong Kong berkata, Terengganu memiliki banyak tempat menarik berbanding negeri lain di Malaysia. Menurut beliau yang kali pertama datang bercuti ke negeri pesisir pantai itu, antara yang digemarinya adalah makanan, cuaca dan masyarakat Malaysia yang peramah dan menerima baik pelancong sepertinya. "Saya sangat sukakan Terengganu dan ketika datang di sini, saya paling gemar makan nasi dagang dan isteri lebih kepada keropok lekor. Di sini juga ada pelbagai makanan enak yang selalu dianggap pelancong sebagai 'syurga' makanan.Negeri ini bukan hanya ada pantai yang indah tetapi pantai itu juga bersih “Saya tak tahu apa yang orang lain fikirkan tapi saya sukakan tempat ini bila datang ke Terengganu. Jika ada yang mengatakan Terengganu tidak sesuai untuk bercuti, mungkin ada salah faham sebab segalanya menarik tentang negeri ini, termasuk binaan bangunan... pasti akan datang untuk kali kedua tidak lama lagi," katanya.  
03 Sep 23
6607
Jaga Kebersihan, Terengganu Kini Destinasi Pilihan Pelancong
Jaga Kebersihan, Terengganu Kini Destinasi Pilihan Pelancong
BESUT, 28 Ogos - Rakyat Terengganu digesa menjaga kebersihan dengan meninggalkan budaya membuang sampah di merata-rata tempat bagi memastikan kebersihan di negeri ini memuaskan pelancong. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong berkata, setiap rakyat perlu berperanan dalam menjadikan amalan kebersihan satu budaya yang perlu ada dalam diri setiap anggota masyarakat. "Pelancongan merupakan salah satu cabang pendapatan ekonomi negeri Terengganu, seluruh negara hari ini apabila sebut di mana lokasi untuk 'healing' maka ramai yang memilih untuk datang ke negeri ini. "Sekiranya aspek kebersiham tidak dijaga sudah tentu ia akan memberikan imej yang negatif  apabila dicemari sampah sarap seperti plastik, botol mineral, dan sisa-sisa makanan. "Kerana itu, menjadi tanggungjawab semua untuk memastikan semua lokasi yang ada dalam negeri ini berada dalam keadaan bersih di samping kita mempromosikan Terengganu untuk terus dikunjungi orang ramai," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Program International Air Festival (TIAF), di sini, semalam. Kata Sulaiman, kebanjiran ramai pelancong dari dalam dan luar negara telah merancakkan ekonomi negeri kerana itu sektor pelancongan dijadikan tumpuan utama. "Agenda memperkasakan pelancongan ini bukan sahaja untuk menguntungkan kerajaan negeri tetapi memberikan pulangan ekonomi yang lumayan kepada komuniti setempat. "Sebagai contoh kita cukup bangga dengan Bukit Bubus ini yang mengamit kehadiran peserta dari luar negara yang menyertai acara TIAF ini. di mana lokasi diadakan acara ini  telah menyumbangkan impak yang positif kepada penduduk setempat. "Acara 'meluncur udara' ini telah dijadikan sebagai acara tahunan yang telah menjadikan Besut sebagai salah satu tarikan pengunjung serata dunia untuk hadir," ujarnya.  
28 Aug 23
1872