lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Jangan Jadikan Sidang Dewan Rakyat Platform Berpolitik
Jangan Jadikan Sidang Dewan Rakyat Platform Berpolitik
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Setiap Ahli Parlimen dalam negara ini diingatkan agar tidak menjadikan Persidangan Dewan Rakyat sebagai platform untuk berpolitik murahan sebaliknya kepentingan rakyat perlu diberikan tumpuan dan keutamaan. Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, apa yang ingin didengari rakyat adalah perkara yang mendatangkan manfaat serta kebaikan buat mereka. "Sebenarnya saya sedar dan faham mereka (Ahli Parlimen) seramai 222 merupakan orang politik... Tetapi apabila masuk ke dalam dewan berbahas dengan baik jangan jadikan ia sebagai platform untuk menyampaikan modal politik. "Politik itu kita main di luar, yang kita hendak bincangkan dalam parlimen ini adalah isu rakyat yang seharusnya diutamakan," ujarnya. Beliau berkata demikian pada sidang medianya sempena Program Jelajah Yang Dipertua Dewan Rakyat Ke Dewan Undangan Negeri di Semenanjung, di Wisma Darul Iman di sini, semalam. Turut hadir, Yang di-Pertua DUN Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah dan Timbalannya, Khazan Che Mat. Mengulas lebih lanjut Johari berkata, cadangan memendekkan tempoh perbahasan di Parlimen dengan dihadkan kepada tiga minit pada pandangan beliau ia relevan bagi memastikan setiap perkara yang dibahaskan tidak meleret panjang. "Sebenarnya kalau pergi ke parlimen-parlimen luar negara seperti Eropah masa yang diberikan hanya tiga minit, di England tanpa ada kerusi dan meja dia boleh bercakap dalam masa seminit. "Tidak bermakna tidak boleh berucap, ketika dibincangkan tentang bajet setiap orang saya pernah bagi sampai 15 minit begitu juga dengan waktu-waktu tententu khususnya yang berhubung di peringkat jawatankuasa atau ada isu-isu tertenu saya maksimumkan kepada lima minit. "Jangan berbunga-bunga dengan pantun sehingga berpantun sahaja cecah 20 minit, jadi jenuhlah kita kena ingat setiap minit kita berada dalam dewan itu merupakan masa rakyat," ujarnya.  
13 Aug 24
196
Jangan Biar Anak Terlalu Bebas, Dikhuatiri Terperangkap 'Dadah Sintetik'
Jangan Biar Anak Terlalu Bebas, Dikhuatiri Terperangkap 'Dadah Sintetik'
SETIU, 13 Ogos- Ibu bapa di negeri ini disaran agar tidak memberikan kebebasan kepada anak remaja terutama yang masih berada di bangku sekolah kerana dikhuatiri akan terlibat dengan gejala penagihan dadah sintetik yang kini kian menular dan menjadi trend. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, sikap sambil lewa dan mengabaikan anak-anak menjadi punca remaja mudah terlibat dengan perkara itu. Katanya, masalah itu bolrh menjadi faktor kepada keruntuhan institusi kekeluargaan. "Kesan kepada penglibatan remaja dalam gejala penagihan dadah jenis sintetik (tiruan) ini boleh menyebabkan kemusnahan bukan hanya kepada diri dia sahaja, tetapi akibat akal yang rosak pelaku akan bertindak lebih ganas termasuk sanggup membunuh dan membawa kepada bencana lain. "Jadi gangguan ini akan menyebabkan kemusnahan dalam institusi keluarga, masyarakat dan akan menghakis kebahagian. "Jadi anak-anak ini perlu dibentuk dari awal oleh ibu dan ayah kerana mereka membesar dari bayi sehingga remaja adalah dalam keluarga, jadi ahli keluarga mesti memainkan peranan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semasa Program Jelajah Kebajikan 'Jalinan Kasih Tautan Budi' Peringkat Daerah Setiu, di sini, hari ini. Mengulas lebih lanjut katanya, hilang pantauan daripada ibu bapa akan lebih memburukkan keadaan untuk terlibat dengan gejala yang tidak bermoral itu. "Saya suka nasihatkan kepada semua jangan beri kebebasan kepada anak-anak, jagalah mereka. "Kerana apabila anak-anak terlalu bebas jadi mereka akan mengisi kelompongan masa dengan pengisian yang akan merosakkan diri. "Adalah lebih baik jika kita pastikan anak-anak kita ini luangkan waktu bersama kita dan keluarga dengan melakukan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan dan suka menghabiskan masa di rumah demi kebahagian bersama," ujarnya.
13 Aug 24
192
Barcode Aduan Rakyat Dilancarkan
Barcode Aduan Rakyat Dilancarkan
Hulu Besut, 13 Ogos - Pelancaran barcode aduan rakyat bagi memperkasakan suara rakyat telah diperkenalkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) ini.  Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin berkata inisiatif tersebut dibuat bagi memudahkan penduduk setempat membuat aduan serta mengemukakan permasalah yang dihadapi oleh mereka. "ini bagi memastikan setiap isu yang dihadapi oleh penduduk dapat diambil tindakan dengan cepat dan berkesan.  " Dalam usaha untuk memudahkan proses aduan, kita memperkenalkan sistem aduan melalui imbasan kod bar yang akan diletakkan di lokasi-lokasi strategik dan tumpuan awam di DUN ini. "Mereka hanya perlu mengimbas kod bar menggunakan telefon pintar mereka, yang dibawa terus ke platform aduan digital yang disediakan," ujarnya ketika ditemui semasa majlis pelancaran barcode itu, di sini, hari ini.  Melalui platform itu katanya penduduk boleh mengemukakan pelbagai jenis aduan termasuk masalah infrastruktur, kebersihan, keselamatan serta sebarang isu lain yang memerlukan perhatian wakil rakyat. "Kami memahami kepentingan mendengar suara rakyat dan bertindak terhadap setiap permasalah yang dibangkitkan, dengan adanya sistem ini, kita berharap dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik dan responsif kepada penduduk di Hulu Besut," katanya. 
13 Aug 24
137
Adun Terengganu Jelajah Negeri, Hulur Bantuan Rakyat
Adun Terengganu Jelajah Negeri, Hulur Bantuan Rakyat
BESUT, 11 Ogos – Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Kelab Penyokong Kerajaan Negeri (BBC) menjelajah ke seluruh daerah dalam Terengganu bagi mendekati dan menghulurkan sumbangan kepada keluarga kurang bernasib baik. Pengerusi BBC yang juga ADUN Bandar, Ahmad Shah Mohamed berkata, program berkenaan telah bermula sejak April lalu di DUN Ladang. "Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif tahunan BBC untuk mendekati rakyat di pelbagai kawasan. "Dalam program yang diadakan pada semalam, BBC telah melawat DUN Jerteh, sebagai sebahagian daripada siri ziarah yang juga merangkumi agihan sumbangan keperluan asas," katanya. Jelas Ahmad Shah lagi, program ziarah tersebut juga adalah usaha untuk memastikan pihaknya dapat mendengar dan memahami keperluan serta masalah rakyat di kawasan-kawasan dilawati. Beliau berkata acara tersebut bermula seawal pukul 7.30 pagi dengan sesi sarapan pagi bersama penduduk tempatan. Tambahnya, program diikuti dengan ziarah dari rumah ke rumah bermula sekitar pukul 8.30 pagi. "Ziarah tersebut melibatkan lawatan ke rumah-rumah orang tua, pesakit kronik, dan mereka yang memerlukan bantuan. “Kami membahagikan peserta kepada tiga kumpulan untuk memastikan setiap rumah dapat dilawati. "Ini adalah peluang bagi kami untuk menunjukkan sokongan dan keprihatinan kepada mereka yang memerlukan," ujarnya. Selain ziarah, program pada hari tersebut turut melibatkan acara sukan Pasti untuk Negeri Terengganu, yang turut disertai oleh wakil-wakil BBC. Untuk rekod, program tersebut dirancang untuk diteruskan ke DUN Telemong pada akhir bulan ini atau awal bulan depan, dengan sasaran untuk melawat sekurang-kurangnya tiga kawasan setiap tahun.
11 Aug 24
617
18,600 Benih Spesis Ikan Asli Dilepaskan ke Sungai Dusun
18,600 Benih Spesis Ikan Asli Dilepaskan ke Sungai Dusun
HULU TERENGGANU, 8 Ogos - Jabatan Perikanan Negeri Terengganu (JPNT) melepaskan 18,600 ekor pelbagai spesis benih ikan asli di perairan umum Sungai Terengganu, di Kampung Dusun, Telemong hari ini. Pengerusi Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata jumlah benih ikan yang dilepaskan pada pagi itu terdiri daripada benih ikan baung sebanyak 3,500 ekor, Lampam Sungai berjumlah 15,000 ekor manakala Kelah pula sebanyak 100 ekor. Katanya, program tersebut bertujuan untuk meningkatkan stok ikan bagi menjamin bekalan protein dari sumber ikan sentiasa mencukupi kepada rakyat. "Selain itu, menjadi tarikan baru pelancongan kepada golongan kaki pancing untuk mengunjungi kawasan Kampung Dusun dan kampung-kampung lain yang terdapat di sepanjang jajaran sungai ini. "inisiatif tersebut turut memberi impak dan manfaat kepada nelayan dan golongan sasar yang terdiri daripada  masyarakat luar bandar, pulau serta pedalaman bagi mendapatkan sumber protein murah dan meningkatkan pendapatan juga sosioekonomi," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas program berkenaan. Maliaman berkata, program tersebut diharapkan dapat terus melestarikan sumber perikanan sungai dalam memenuhi ruang sebagai salah satu sumber ekonomi bagi nelayan darat di samping dapat memulihara ekosistem. “Saya harapkan kita semua akan terus menjaga persekitaran daripada tercemar akibat perbuatan tangan-tangan manusia yang tidak menjaga kesejahteraan sungai. "Disini juga kawasan utama pembiakan Tuntung. Sebelum ini kita sudah kehilangan salah satu daya tarikan negeri kita iaitu penyu yang sudah kurang mendarat di Rantau Abang," ujarnya. Untuk Rekod pada tahun 2024, Jabatan Perikanan Negeri Terengganu menerima RM135,000.00 peruntukan bagi perolehan benih ikan. RM85,000.00 adalah dari Kerajaan Negeri manakala RM50,000.00 dari Kerajaan Persekutuan.    
08 Aug 24
225
Surau Pantai Batu Buruk Berwajah Baru
Surau Pantai Batu Buruk Berwajah Baru
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos - Surau di Taman Rekreasi Pantai Batu Buruk yang telah siap diperbaiki, diserahkan oleh EPIC Berhad dan Konsortium Pelabuhan Kemaman yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhtar Suhaili kepada Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, hari ini. Surau tersebut diperbaiki pada Jun lalu melibatkan kos keseluruhan bernilai RM120,000 yang ditanggung sepenuhnya oleh EPIC Berhad dan Konsortium Pelabuhan Kemaman dan dibuka bermula hari ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi yang menerima penyerahan berkenaan, merakamkan ucapan terima kasih kepada syarikat terlibat dan ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato' Ahmad Amzad Hashim yang turut bersama mengusahakan pelaksanaan projek itu. "Bagi kami daripada pusat khidmat DUN, kita menerima banyak aduan dan kita telah ambil tindakan sejak daripada penggal lepas lagi dan inilah kemuncaknya dan saya kira insya-Allah, ia akan berikan kemudahan kepada pengunjung-pengunjung. "Apa yang penting ialah kesinambungan, yang telah ada perbincangan untuk kita rancang kesinambungan surau ini supaya hidup dan terjaga. "Dari segi pengurusan insya-Allah akan diuruskan oleh pusat khidmat DUN Batu Buruk bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pantai Batu Buruk," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan tersebut, hari ini. Menurut Dr Khalil, pihaknya akan melantik imam bertugas dalam tempoh terdekat supaya surau itu boleh diimarahkan khususnya pada waktu yang tertentu seperti waktu Asar, Maghrib dan Isyak. Tambahnya, melalui pemerhatian secara umum kawasan-kawasan pelancongan di negeri Terengganu memiliki kemudahan rumah ibadah sama ada surau dan masjid berdekatan yang memudahkan pelancongan menjaga ibadah sewaktu bercuti.      
07 Aug 24
1406
Terengganu Teruskan Inisiatif Pinjaman Tanpa 'Riba'
Terengganu Teruskan Inisiatif Pinjaman Tanpa 'Riba'
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos - Kerajaan Terengganu tetap meneruskan pemberian pinjaman tanpa caj tambahan kepada usahawan dan peniaga di negeri terbabit walaupun hak royalti petroleum disekat. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, inisiatif melalui Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) diteruskan bagi membantu usahawan memajukan perniagaan mereka. Namun begitu katanya, jumlah penerima yang mendapat pinjaman tahun ini lebih kecil berbanding dengan tahun lalu. "Sejak dilancarkan skim TUGAS pada 2019 sehingga ke pertengahan tahun ini, kita telah berjaya menyalurkan skim itu kepada 4,963 usahawan  dengan jumlah peruntukan sebanyak RM28 juta. "Program hari ini melibatkan 33 orang usahawan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM467,586.40 melibatkan penerima pinjaman RM10 ribu hingga RM30 ribu," jelasnya. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan program Majlis Penyerahan Surat Tawaran Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) kali ke dua tahun 2024 di Dewan Serbaguna Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu, semalam. Menurut Ariffin, sepanjang 1 Januari hingga 31 Disember 2023, kerajaan negeri telah memberi pinjaman melalui tabung TUGAS sebanyak RM8,042,800.96 manakala pada  1 Januari sehingga 30 Julai 2024 sebanyak RM1,131,275.52 dibelanjakan. "Kita ada sedikit kekangan kewangan seperi yang sedia maklum, tetapi kerajaan membuat keputusan untuk tetap melaksanakan inisiatif ini walaupun, insya-Allah tahun depan kita usahakan dapat bagi lebih banyak. "Kita ada dua siri lagi (untuk tahun ini) dan dijangka RM0.5 juta lagi akan diberi," katanya.
07 Aug 24
2608
Satu Rumah Satu Jalur Gemilang
Satu Rumah Satu Jalur Gemilang
KUALA TERENGGANU, 1 Ogos – Semua agensi kerajaan, sektor swasta, dan rakyat di Terengganu diseru mengibarkan Jalur Gemilang di bangunan serta kediaman masing-masing sebagai usaha menyemarakkan semangat patriotisme melalui konsep "Satu Rumah Satu Jalur Gemilang". Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti Dan Pembangunan Luar Bandar, Hanafiah Mat berkata, langkah itu sebagai simbolik kepada rasa cinta, penghargaan terhadap tanah air dan tanda perpaduan serta kesatuan dalam meraikan kemerdekaan negara. “Jadi mulai hari ini setiap jabatan, premis setiap rumah, kaya miskin, kota dan desa, setiap rakyat negeri Terengganu kita pastikan mengambil peranan menyemarakkan kibaran Jalur Gemilang paling tidak satu rumah satu Jalur Gemilang berkibar. “Ini bukan soal isu kaum, parti, kedudukan atau pekerjaan. Ini soal maruah, soal harga diri apabila tiba bulan kebangsaan kibaran Jalur Gemilang meluas di seluruh negara, di pasang di setiap sudut lokasi jabatan kerajaan, sekolah,rumah-rumah ibadah dan premis kediaman,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Jalur Gemilang Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman, di dewan Besar Wisma Darul Iman, pada hari ini. Menurutnya, program pada hari ini dianjurkan khusus oleh kerajaan negeri dengan tujuan menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan kali ke-67 dan ianya merupakan acara tahunan diadakan bagi memperingati sejarah serta pencapaian negara sejak kemerdekaan. “Merdeka ini hanya difahami mampu di mengerti dan dimaknai sekiranya menyingkap lembaran sejarah. “Tidak ada negara yang merdeka secara semena-mena, ia memerlukan pengorbanan visi dan wawasan pemimpin-pemimpin terdahulu dengan keringat, darah dan air mata. “Ia menuntut pengorbanan tentera polis yang pada masa itu dipanggil 'homeguard', pejuang-pejuang  anti penjajah dan rakyat berjiwa patriotik,” ujarnya. Tambahnya, jiwa merdeka menzahirkan kebebasan rakyat daripada sebarang elemen negatif dalam menginterpretasikan semangat patriotik.  “Ini dilakukan melalui aspek pemikiran integrasi sosial dan ekonomi, seterusnya membentuk kesatuan rakyat yang kukuh, harmoni, serta progresif,” kata Hanafiah.
01 Aug 24
260
91 Peserta Wakili Terengganu Ke HEBAT 5.0
91 Peserta Wakili Terengganu Ke HEBAT 5.0
KEMAMAN, 1 ogos - Pertubuhan Pengurusan Kecemasan & Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) akan mengadakan Himpunan Petugas Bencana Khidmat Malaysia (HEBAT 5.0) selama tiga hari bermula 2 Ogos ini di Pulau Jeha di Chenor, Pahang.  Pengerusi Khidmat Malaysia Terengganu, Hanafiah Mat, berkata, seramai 91 orang akan mewakili Negeri Terengganu terdiri dari gabungan pelbagai jabatan dan NGO dibawahnya. "Jumlah tersebut terdiri daripada 81 peserta lelaki dan 10 peserta wanita yang akan diketuai oleh Pengarah Operasi Khidmat Malaysia Terengganu, Sauji Abdul Rasid. "Peserta HEBAT 5.0 akan didedahkan dengan simulasi bencana bagi mempersiapkan anggota Khidmat Malaysia menghadapi situasi sebenar," ujarnya. Tambah beliau, menariknya situasi simulasi bencana kali ini adalah menghadapi sebuah kampung yang ditenggelami banjir besar dan menjadikan ia sebuah pulau. "Antara objektif HEBAT 5.0 adalah menyeragamkan garis panduan dalam pengurusan bencana dan menguji tahap kesiapsiagaan pasukan Khidmat Malaysia negeri-negeri. "Justeru, saya mewakili kerajaan negeri dan Khidmat Malaysia Negeri Terengganu berharap, para peserta HEBAT 5.0 akan memperoleh pengalaman baru dan menjadi nilai tambah bagi menghadapi musibah tengkujuh yang saban tahun melanda negeri ini," ujarnya. Antara jabatan dan NGO yang mewakili Terengganu kali ini adalah Jabatan Amal Malaysia, Briged Muslimat, Yayasan Amal Malaysia Terengganu, Pertubuhan Prihatin Anak Watan Terengganu, Terengganu Adventure Group, GTN Care dan Pasukan Radio Amatur Terengganu.  
01 Aug 24
141
Pupuk Minat Anak-Anak Terhadap Sukan Memanah
Pupuk Minat Anak-Anak Terhadap Sukan Memanah
Oleh : Syahida Mohd KUALA NERUS, 30 Julai- Ibu bapa disaran memupuk minat anak-anak terhadap sukan memanah yang menjadi sunnah Nabi selain aktiviti berenang dan berkuda. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, aktiviti memanah dapat melatih dan menjadikan seseorang itu lebih positif dan rasional untuk mengatasi masalah selain mampu meningkatkan kecergasan fizikal. ”Syabas dan tahniah kepada penganjur kerana menganjurkan aktiviti sebegini kerana ia adalah riadah yang menjadi sunnah nabi yang menyarankan ibu bapa melatih anak-anak kemahiran menunggang kuda, memanah dan berenang,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kejohanan Memanah Dinamik 2D Satria 2024 di Kampung Jeram, di sini, baru-baru ini. Katanya, program seperti ini penting untuk dikembangkan kepada peringkat yang lebih luas khususnya masyarakat sekitar. “Saya melihat pertandingan seperti ini boleh diperluaskan lagi di peringkat DUN dan Parlimen agar lebih menyeluruh dan boleh dimasukkan dalam jadual pertandingan sama ada peringkat DUN dan juga Parlimen,” ujarnya. Kejohanan tersebut telah diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Keluarga SATRIA dan merupakan anjuran Kelab Memanah Tradisional Badar (SATRIA) . Selain dari pertandingan memanah terdapat pelbagai lagi aktiviti yang turut diadakan antaranya pertandingan mewarna kanak-kanak, teka biji betik, pertandingan kuih tradisional dan pertandingan busana terbaik.
30 Jul 24
121