Artikel "Kebajikan" Terkini
Mangsa Banjir Terharu Jabatan Amal Hulur Bantuan
MARANG, 3 Disember - Mangsa banjir di Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan di daerah ini meluahkan rasa terharu atas bantuan yang dihulurkan anggota Jabatan Amal di saat mereka diuji dengan musibah tersebut,
Salah seorang mangsa banjir, Mohd Bakhtimi Mohd Ali Hanafiah, 58, berkata, kehadiran Jabatan Amal DUN Pengkalan Berangan ke kediaman mereka bagi membersihkan kotoran akibat bencana itu tidak mampu dibalas dengan wang ringgit.
"Kami baru pulang ke rumah setelah beberapa hari terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di SK Pengkalan Berangan. sampai di rumah kami tak sangka anggota Jabatan Amal datang membantu membersihkan rumah kami.
“Alhamdulillah, kami sangat berterima kasih kepada Jabatan Amal yang begitu cepat bertindak.
"Kesan banjir memang banyak, tetapi dengan bantuan mereka, saya rasa lega dan boleh kembali memulakan kehidupan,” katanya penuh syukur.
Ujarnya, dengan bantuan terbabit rumahnya kembali bersih dan selesa untuk didiami.
Bakhtimi turut menyatakan segala tindakan pantas dan keprihatinan yang ditunjukkan oleh Jabatan Amal itu juga telah mendapat penghargaan daripada para penduduk yang terlibat.
"Usaha murni ini turut memberi harapan kepada banyak lagi keluarga yang terjejas oleh banjir untuk kembali meneruskan kehidupan mereka dengan lebih baik," katanya.
03 Dec 24
247
Dapur Rakyat PKM Sura Bantu Mangsa Banjir
DUNGUN, 1 Disember - Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura mengambil inisiatif mewujudkan Dapur Rakyat sebagai usaha membantu mangsa banjir yang terjejas akibat hujan lebat yang melanda kawasan tersebut.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tg Md Fauzi, usaha itu dilaksanakan berikutan jumlah mangsa banjir di kawasan DUN Sura yang meningkat secara mendadak dengan banyak kawasan yang sebelum ini tidak pernah dinaiki air, kini terperangkap dalam banjir.
Menurutnya, Dapur Rakyat berfungsi menyediakan makanan dan keperluan asas kepada mereka yang terjejas dan dijalankan secara bergotong-royong, di mana sukarelawan dan anggota masyarakat bersama-sama menyediakan makanan untuk mangsa banjir.
"Kita menghadapi situasi yang luar biasa ketika ini. Banyak kawasan yang tidak dijangka akan tenggelam, kini telah terjejas teruk.
"Kami berterima kasih kepada semua sukarelawan dan dermawan yang telah menunjukkan semangat kebersamaan ini. Bantuan seperti ini sangat penting bagi memastikan tiada yang tertinggal dalam proses pemulihan pasca banjir.
"Kami juga amat mengalu-alukan bantuan daripada semua pihak. Bagi mereka yang ingin menyumbang, sama ada dalam bentuk barang keperluan memasak atau sumbangan wang ringgit, anda boleh menyertai kami dalam meringankan penderitaan mangsa banjir ini," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.
Tambahnya, selain menyediakan makanan, PKM Sura juga berusaha memastikan bahawa bantuan terus sampai kepada mangsa yang memerlukan, terutama mereka yang terperangkap di kawasan-kawasan yang sukar diakses.
Dr. Fakhruddin berharap, inisiatif kecil yang diusahakan untuk sama-sama 'merasai' keperitan mangsa banjir, dapat memberi sedikit kelegaan dalam menghadapi ujian besar ini.
01 Dec 24
294
44 PPS Dibuka Di Daerah Dungun
DUNGUN, 30 November - 44 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di Daerah Dungun setakat jam 10.00 pagi tadi, berikutan banjir di beberapa kawasan dalam daerah ini.
Menurut kenyataan oleh Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Daerah (JPBD) Dungun semua PPS di Dungun kini menempatkan seramai 3,653 mangsa daripada 1,030 keluarga yang membabitkan empat Dun terjejas iaitu Dun Bukit Besi, Rantau Abang, Sura dan Paka.
Hujan lebat dan agak kerap berlaku juga menyebabkan tiga sungai utama di Daerah Dungun ini naik mendadak semalam.
Setakat laporan pagi ini, air Sungai Pasir Raja menurun, kini mencatat 36.97 meter tahap normal.
Manakala Sungai Kuala Jengal dan Jambatan Jerangau paras air tahap bahaya kerana air sungai dari Pasir Raja menurun ke dua kawasan ini.
Semalam telah diadakan satu taklimat khas bersama Incident Commander Khidmat Malaysia Dungun (KHIDMAT), Wan Hassan Mohd Ramli, Khidmat Malaysia Kawasan Dungun, Jabatan Amal Kawasan Dungun, Pacuan 4x4 Dungun (PADAT) dan Sukarelawan Banjir Dun Bukit Besi yang diadakan di Bilik Gerakan Operasi Banjir Dun Bukit Besi.
Dalam taklimat tersebut, Wan Hassan yang juga merupakan Ahli Parlimen Dungun berkata orang ramai diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak bermain di kawasan banjir selain terus mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan.
"Insya-Allah jentera kami akan senantiasa memantau dan memberi khidmat tenaga bantu untuk mangsa banjir di Dungun. Doakan semoga kami dipermudahkan segala urusan," Ujarnya
30 Nov 24
397
Infrastruktur, Perumahan, Keselamatan Jadi Fokus Ahli Parlimen Besut
KUALA LUMPUR, 26 November – Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh lantang menyuarakan isu kritikal yang membabitkan kebajikan rakyat di Daerah Besut meliputi infrastruktur, pengurusan sisa pepejal, keselamatan komuniti serta perumahan mampu milik.
Katanya, sistem pengurusan sisa pepejal yang lebih cekap adalah perlu di daerah tersebut.
"Pengasingan sisa di peringkat awal kutipan perlu dilaksanakan untuk mengurangkan beban tapak pelupusan, projek waste- to- energy juga boleh menjadi solusi jangan panjang.
"Dengan menukar sisa kepada tenaga altenatif," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2025 Peringkat Jawatankyasa Bagi Kementeria Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), di sini, hari ini
Dalam pada itu beliau turut mengesa agar pembinaan balai bomba di Pulau Perhentian dibina.
"Kami hanya memerlukan balai berskala kecil bertaraf gred D untuk mempercepatkan masa tindak balas kecemasan seperti kebakaran dan penyelamatan.
"Tapak telah diluluskan sejak 2016, tiada alasan untuk kelewatan,” tegas beliau sambil menekankan jarak 20km dari Pulau Perhentian ke Kuala Besut yang menyukarkan operasi kecemasan.
Menyentuh mengenai isu perumahan pula Zulkifli berkata kurangnya Rumah Mampu Milik (RMM) di Daerah Besut sangat membimbangkan.
"Terutamanya untuk golongan B40 dan M40 (kerana) rakyat Besut menghadapi kesukaran memiliki rumah sendiri.
"Kerajaan perlu membina lebih banyak rumah mampu milik dan melaksanakan inisiatif seperti skim MyHome untuk membantu rakyat mendapatkan rumah pertama,” ujarnya.
Sementara itu katanya, Isu keselamatan juga perlu diberikan perhatian serius khususnya ancaman anjing liar di Besut yang membahayakan penduduk agar kes tragis di Semporna yang melibatkan kematian seorang kanak-kanak akibat diserang anjing liar tidak berlaku di daerah terbabit.
“Saya mahu tindakan tegas diambil terhadap ancaman ini, tetapi dengan mematuhi prosedur yang berhemah, termasuk terhadap mereka yang bertanggungjawab memiliki anjing ini,” katanya.
26 Nov 24
87
Ahli Parlimen Gesa Kerajaan Persekutuan Baiki Jalan Raya di Besut
KUALA LUMPUR, 24 November – Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh menggesa Kerajaan Persekutuan agar segera menaik taraf jalan-jalan rosak di sekitar daerah Besut
Kata beliau, usaha itu penting bagi mengelakkan masalah banjir ekoran keadaan jalan yang rosak.
Jelasnya, ia juga bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya memandangkan kawasan terbabit menjadi laluan utama orang ramai.
"Dua projek utama, pertama, pembinaan dan penyiapan longkang U-Drain serta kerja menaik taraf jalan di FT189 antara Seksyen 17.85 hingga 18.75, dengan anggaran kos RM11.7 juta.
"Kedua, pembaikan jalan FT65 dari Kampung Tembila hingga Kampung Pengkalan Gaduh, termasuk pembinaan jambatan baru untuk mengatasi masalah limpahan air, yang dianggarkan memerlukan peruntukan sekitar RM43 juta.
“Setiap kali musim tengkujuh, jalan ini ditenggelami air, menyebabkan penduduk terputus hubungan tanpa laluan alternatif. Ini memberi kesan besar kepada aktiviti harian dan ekonomi setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa perbahasan peringkat Jawatankuasa bagi Belanjawan 2025 bagi Kementerian Kerja Raya.
Che Mohamad Zulkifly turut menekankan bahawa reka bentuk jalan yang kurang selamat di kawasan itu sering mengakibatkan kemalangan, terutama melibatkan kenderaan berat.
Beliau menjelaskan bahawa projek tersebut akan memberi impak positif dari segi ekonomi, sosial, dan keselamatan.
"Ia bukan sahaja meningkatkan aksesibiliti, tetapi juga menyokong pertumbuhan sosioekonomi penduduk, sejajar dengan pembangunan kawasan yang semakin pesat.
"Saya menyeru Kementerian Kerja Raya untuk segera meluluskan peruntukan demi kesejahteraan rakyat.
“Putus kasih boleh dirawat, tetapi kalau jalan terputus, kesannya kepada rakyat amat besar,” tegasnya.
24 Nov 24
1097
Paya Bunga Hotel Sumbang RM50 Ribu Buat Palestin
KUALA TERENGGANU, 12 November - Paya Bunga Hotel Terengganu menghulurkan sumbangan bernilai RM50,000 bagi membantu keperluan rakyat Palestin yang sedang berjuang mempertahankan tanah air mereka.
Pengerusi Ahli Lembaga Pengarahnya, Ahmad Shah Muhamed berkata inisiatif dengan kerjasama Iman Care dan Cinta Gaza Malaysia itu adalah bukti sokongan pihak hotel terhadap usaha kemanusiaan global.
Selain sumbangan yang diberikan, konsert amal 'Kubah Hayat Untukmu Palestin' yang diadakan pada Sabtu lalu turut mengumpulkan dana dan melancarkan tabung kutipan sebagai usaha memperkukuhkan komitmen jangka panjang dalam misi membebaskan Palestin.
"Konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi satu manifestasi solidariti dan tanggungjawab bersama dalam membantu saudara-saudara kita di Palestin. Ia membuktikan bahawa melalui seni serta perpaduan, kita mampu menyuarakan sokongan sekali gus menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan," katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pihak Paya Bunga Hotel sempena konsert berkenaan.
Sumbangan tersebut diserahkan kepada Pengasas Cinta Gaza Malaysia, Nadir Al-Nuri yang turut hadir menyaksikan penampilan istimewa artis terkenal tanah air, Ramli Sarip dan Tokoh Puisi Kebangsaan 2024, Marzuki Ali.
12 Nov 24
120
100 Sukarelawan Dungun Siap Sedia Hadapi Banjir
DUNGUN, 2 November - Seramai 100 sukarelawan bersedia untuk digerakkan bagi memberi bantuan sekiranya banjir berlaku di kawasan Dungun, susulan ramalan Monsun Timur Laut (MTL) bermula 5 November sehingga Mac 2025 ini.
Pengerusi Khidmat Malaysia Dungun Khairul Ismail berkata, persediaan itu turut dilakukan dengan kerjasama pelbagai pihak antaranya Khidmat Malaysia, Jabatan Amal, Pemuda PAS, Ameerah dan badan bukan kerajaan (NGO).
"Sukarelawan banjir Dungun kini dalam 'mood' bersiap siaga dan bersedia untuk digerakkan ke lokasi banjir serta menyampaikan bantuan yang perlu kepada mangsa terlibat.
“Sukarelawan dari segi persediaan banjir akan membantu bukan sahaja sebelum dan semasa, tetapi turut melibatkan pasca banjir seperti membersihkan rumah mangsa.
"Insya-Allah semoga dipermudahkan segala urusan buat semua sukarelawan banjir di Dungun," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ucapan aluan Majlis Himpunan Sukarelawan Banjir PAS Dungun, baru-baru ini.
Majlis tersebut turut dirasmikan oleh Incident Commander Khidmat Malaysia Dungun (KHIDMAT), Wan Hassan Mohd Ramli juga merupakan Ahli Parlimen Dungun.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman.
02 Nov 24
185
Kerajaan Terengganu Sentiasa Buka Permohonan Tanah Baharu
BESUT, 28 Oktober - Kerajaan negeri Terengganu menegaskan bahawa permohonan tanah baharu sentiasa dibuka untuk rakyat yang layak.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian, dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, menjelaskan bahawa rakyat yang memerlukan tanah boleh mengemukakan permohonan pada bila-bila masa.
“Kerajaan komited untuk memberikan peluang kepada semua rakyat tanpa had masa tertentu.
“Usaha ini adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri dalam meningkatkan taraf hidup rakyat, terutamanya bagi mereka yang tidak memiliki tanah sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Program Dialog Exco di Dewan Merdeka Kota Putera Square, Kampung Raja, di sini, baru-baru ini.
Menurut Mohd Nurkhuzaini, terdapat kekeliruan dalam kalangan rakyat mengenai dua jenis tanah iaitu permohonan tanah baharu yang sah dan tanah haram.
“Permohonan tanah baharu adalah sah dan terbuka kepada semua yang layak, manakala tanah haram adalah masalah pencerobohan yang memerlukan tindakan tegas.
“Kita akan terus memastikan bahawa semua permohonan tanah dibuat mengikut peraturan yang sah, dan tindakan undang-undang akan diambil bagi menangani isu tanah haram,” ujar beliau.
Tambah Mohd Nurkhuzaini, Kerajaan Terengganu mengambil langkah tegas dalam memastikan tanah-tanah yang dianugerahkan kepada rakyat tidak dijual atau dipindah milik secara tidak sah, terutama melalui ‘pintu belakang’.
“Setiap tanah yang diberikan, sama ada melalui permohonan tanah baharu atau tanah yang tertakluk di bawah pemilikan terkilang, tertakluk kepada larangan gadaian, pajakan, dan penjualan.
“Peraturan ini jelas dinyatakan dalam surat anugerah tanah bagi memastikan harta milik rakyat tidak disalahgunakan atau diperdagangkan oleh pihak yang ingin mengambil keuntungan.
“Isu penjualan tanah secara tidak sah ini sering kali berlaku melalui cara yang tidak formal atau 'pintu belakang', yang jelas melanggar syarat anugerah tanah tersebut," katanya.
Beliau mengingatkan bahawa tanah-tanah itu diberikan bagi memperkukuhkan kedudukan ekonomi rakyat dan memastikan orang ramai memiliki harta sendiri, bukan untuk dijadikan sumber keuntungan cepat oleh pihak tertentu.
“Tanah-tanah ini adalah untuk kegunaan pemohon, bukan untuk dijual atau digadai dengan mudah. Kita tegaskan bahawa tanah anugerah ini tidak boleh dipindah milik dalam tempoh 10 tahun.
“Kerajaan negeri menyatakan kesediaan untuk mengambil langkah penguatkuasaan yang ketat terhadap mana-mana individu yang melanggar perjanjian anugerah tersebut.
“Langkah ini diambil bukan sahaja untuk mengekang pencerobohan atau penyalahgunaan tanah, tetapi juga untuk melindungi kepentingan rakyat serta memastikan tanah tersebut memberi manfaat jangka panjang kepada pemilik asal,” jelasnya.
28 Oct 24
6245
Mangsa Kebakaran Terharu MB Serah Rumah Baharu
MARANG, 27 Oktober – Mangsa kebakaran di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang sebak dan teruja selepas menerima rumah baharu daripada Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri baru-baru ini.
Rohazlina Omar, 55, berkata dia tidak menyangka janji Ahmad Samsuri untuk membina kediaman baharu buat mereka sekeluarga selepas rumah lama musnah dijilat api pada 2023 ditunaikan dalam masa yang singkat.
Katanya, dia diberitahu rumah itu bernilai kira-kira dalam RM70,000 dan ia dibina hasil kerjasama agensi negeri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Alhamdulillah, saya tidak percaya rumah ini siap dengan proses yang sangat cepat daripada yang saya sangka.
"Saya juga mengucapkan setinggi penghargaan kepada Menteri Besar Terengganu, Tabung Darul Iman, Jabatan Kebajikan Masyarakat Marang, Majlis Daerah Marang, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta semua yang terlibat," katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui media selepas menerima kunci rumah bagi Program Perumahan Terengganu Sejahtera daripada Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang di sini baru-baru ini.
Turut hadir bersama Pegawai Daerah Marang, Zulkifly Bin Isa, YDP Majlis Daerah Marang, Tuan Haji Lukema Meri, Pegawai Tabung Darul Iman, Hanapiah Ismail dan Penghulu Mukim serta Pengerusi JPKK Seberang Marang.
Menceritakan perasaanya, Rohazlina berkata, dia terkejut selepas diberitahu akan menerima kunci rumah baharu daripada Ahmad Samsuri
“Saya berasa terkejut selepas mendapat panggilan daripada anak saya dan terus meluru ke rumahnya.
"Perasaan sama ketika rumah terbakar dulu, walaupun sedang berdukacita namun ia bertukar kerana keesokan paginya Menteri Besar Terengganu merangkap ADUN Rhu Rendang datang ziarah melihat keadaan rumah saya yang hangus dijilat kebakaran.
“Saya berasa gembira dan ini membuktikan YAB sangat prihatin pada rakyatnya,” ujarnya lagi.
27 Oct 24
318
Mangsa Banjir, OKU Terharu Impian Miliki Rumah Tertunai
KUALA NERUS, 10 Oktober - Setelah tertangguh beberapa waktu, penduduk di sini dapat menarik nafas lega apabila menerima rumah yang dinanti-nantikan sejak sekian lama.
Kegembiraan dan rasa terharu itu dikongsikan penerima projek perumahan tersebut termasuk dua Orang Kelainan Upaya (OKU) dan mangsa banjir.
Khairul Anuar Ali, 43 tahun, yang berstatus OKU menzahirkan rasa gembira dan teruja apabila dapat memiliki kediaman sendiri setelah sekian lama diidamkan.
“Saya tidak mampu lagi bekerja sejak beberapa tahun yang lalu dan kini hanya menerima sumbangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) secara bulanan dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) secara tahunan.
"Sudah tentu saya sangat gembira apabila dapat memiliki rumah sendiri pada hari ini setelah hanya mampu menyewa (rumah) sebelum ini.
“Ucapan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Terengganu terutamanya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim yang banyak membantu saya dengan menghulurkan keperluan asas secara bulanan dan banyak memudahkan urusan saya sehingga dapat memiliki rumah sendiri,” ujarnya ketika ditemui pemberita.
Dia berkata demikian selepas diraikan dalam Majlis Penyerahan Kunci Program Residensi Rakyat (PRR) bersama 500 penerima di Bukit Nenas hari ini.
Dalam pada itu, Adnan Yunoh, seorang guru agama yang mempunyai 14 orang anak meluahkan perasaan gembira tidak terhingga apabila menerima kunci rumah itu setelah menempuh ujian banjir setiap tahun.
“Selama ini hanya menumpang di rumah keluarga, setiap tahun apabila tiba musim tengkujuh, kami memang wajib berpindah ke pusat pemindahan banjir, itu sudah biasa bagi kami sekeluarga.
"Kami hanya mampu bersabar dengan dugaan tersebut, apabila dapat rezeki rumah yang Allah kurnia ini, saya rasa sangat bersyukur. Terima kasih sebanyaknya diucapkan kepada kerajaan yang bersusah payah dan mengambil tanggungjawab demi memudahkan urusan rakyat,” katanya.
Sementara itu seorang anak muda dari Tok Jiring, Mohd Zulkifli Mat Din, 29, sangat teruja kerana dapat memiliki kediaman sendiri di usia muda,
"Terima kasih kepada pihak kerajaan setelah berjaya menyediakan fasiliti kemudahan kepada rakyat Terengganu khususnya bagi penduduk kawasan Kuala Nerus," jelasnya.
Untuk rekod, Kerajaan Terengganu dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melancarkan projek PRR Bukit Nenas pada tahun 2018 yang menelan kos RM96 juta.
Projek itu bagi membangunkan 500 unit rumah pangsa lima tingkat, dan menawarkan lima unit khusus untuk golongan OKU.
Di samping itu turut disediakan fasiliti asas seperti surau, taska, tadika dan taman permainan.
10 Oct 24
617