lightning-solid
Berita :

Artikel "Kebajikan" Terkini

Bukan Melayu Terengganu Tak Terpinggir
Bukan Melayu Terengganu Tak Terpinggir
KUALA NERUS, 23 Januari – Kerajaan Negeri Terengganu terus mempelbagaikan program melibatkan masyarakat bukan Melayu Islam bagi memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian kaum di negeri terbabit. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pihaknya tidak ketinggalan menganjurkan aktiviti ziarah komuniti Tionghua di Kampung Pulai Baharu, Tepoh bagi mengukuhkan perpaduan antara kaum. Katanya, program agihan limau Mandarin yang dijalankan petang semalam itu menjadi simbolik hubungan erat antara Kerajaan Negeri dan masyarakat pelbagai kaum. “Program agihan limau Mandarin ini adalah usaha tahunan pihak Kerajaan Negeri untuk meraikan kepelbagaian budaya di Terengganu. "Kami berpegang teguh kepada prinsip bahawa setiap rakyat, tanpa mengira kaum dan agama, adalah sebahagian daripada keluarga besar negeri ini. Agenda perpaduan dan keharmonian antara kaum sentiasa menjadi keutamaan kami,” ujar Hishamuddin selepas program itu. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pulai Baharu, Lai Liang Qing bersama pimpinan setempat lain. Tahun ini, sebanyak 250 kotak limau Mandarin telah diagihkan kepada komuniti Tionghua di kawasan DUN Tepoh, termasuk JPKK Pulai Baharu, JPKK Taman Perumahan Wakaf Tembesu, JPKK Padang Air, JPKK Padang Nenas, JPKK Gong Badak 4, dan JPKK Jeram Hulu.   Hishamuddin sendiri hadir bagi menyampaikan sumbangan kepada penduduk Kampung Pulai Baharu, manakala agihan di kawasan lain diselaraskan melalui Pengerusi JPKK masing-masing sebelum sambutan Tahun Baharu Cina. Menurut ADUN Tepoh itu lagi, sumbangan tersebut diharap dapat memberikan kegembiraan dan keceriaan kepada masyarakat Tionghua sempena sambutan Tahun Baharu Cina. Dalam pada itu, 'Uncle Ho', salah seorang penerima bantuan, menyatakan rasa terharu dengan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap masyarakat Tionghua di kampung tersebut. “Kami rasa dihargai dan disayangi. Terima kasih atas usaha Kerajaan Negeri Terengganu yang tidak pernah mengabaikan komuniti kami,” katanya. Selain itu, Hishamuddin turut memaklumkan beberapa program lain yang dirancang selepas perayaan ini untuk terus mengeratkan hubungan dengan komuniti Tionghua. "Antaranya ialah Jamuan Makan Malam di Dewan Kampung Pulai Baharu, yang dianjurkan bersama oleh JPKK Kampung Pulai Baharu dan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Tepoh. “Pendekatan ini bukan sekadar simbolik, tetapi mencerminkan keikhlasan kerajaan dalam memastikan tiada kaum yang merasa terpinggir. Terengganu adalah negeri yang majmuk dan aman, dan kita akan terus berusaha mengekalkan keharmonian ini demi generasi akan datang,” tambah beliau. Usaha ini menjadi bukti jelas bahawa Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa komited dalam menjaga kebajikan semua rakyatnya, tanpa mengira bangsa dan agama, sekali gus memperkukuh semangat perpaduan antara kaum di negeri ini.  
26 Jan 25
1128
EPIC Berhad Salur RM2.3 Juta CSR Bantu Rakyat
EPIC Berhad Salur RM2.3 Juta CSR Bantu Rakyat
KUALA TERENGGANU, 19 Januari - Anak syarikat kerajaan negeri Terengganu, Eastern Pacific International Corporation (EPIC) Berhad, telah memperuntukkan RM2.3 juta bagi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pada tahun ini. Pengarah EPIC Berhad, Datuk Haji Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim berkata, program CSR akan menjadi simbol permuafakatan serta sokongan kepada usaha kerajaan negeri dalam menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada komuniti setempat. “Sejak 2018 lagi, saya ingin memaklumkan bahawa pihak EPIC Berhad memang sentiasa menjalankan tanggungjawab sosialnya dalam membantu komuniti rakyat di Terengganu. “Dan hari ini, kita (EPIC Berhad) memberikan bantuan kepada anak-anak bantuan persiapan kembali ke sekolah”, ujarnya kepada pihak media selepas menyempurnakan program ‘EPIC Back To School 2025’ edisi pertama, di Pusat Sains & Kreativiti (PSKT), hari ini. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) EPIC Berhad, Dr. Ts. Haji Muhtar Suhaili. Kata Ahmad Amzad, seramai 100 orang penerima yang terdiri daripada pelajar prasekolah, PASTI, sekolah rendah dan sekolah menengah telah dipilih melalui penilaian daripada Pejabat Khidmat Masyarakat (PKM) di Dewan Undangan Negeri (DUN). Jelasnya, program ini telah diperuntukkan dana sebanyak RM100,000 .   “Kami memberikan bantuan dalam bentuk baucer bernilai RM200 untuk setiap penerima, bagi meringankan beban ibu-bapa untuk membeli persiapan anak-anak kembali ke sekolah”, katanya. Dalam pada itu, edisi kedua dan ketiga program itu seterusnya akan berlangsung di DUN Kijal dan Jabi pada bulan ini dengan jumlah penerima seramai 200 orang, menjadikan jumlah penerima bantuan secara keseluruhan seramai 300 orang pada tahun ini. Tambah beliau, dengan peningkatan pendapatan yang diperolehi pada masa akan datang, anak syarikat negeri Terengganu itu turut memasang hasrat untuk meningkatkan lagi saluran bantuan kepada masyarakat negeri.  “Saya selaku Ahli Lembaga Pengarah EPIC Berhad menyokong sebarang cadangan untuk meningkatkan lagi kadar bantuan kepada rakyat dan kadar bilangan penerima supaya lebih ramai dapat merasa daripada kemajuan yang dicapai oleh EPIC Berhad," tambah beliau. Menurut Ahmad Amzad, selain daripada program 'EPIC Back To School 2025' itu, pihaknya juga telah menjalankan program CSR mencantikkan surau Batu Burok baru-baru ini bagi memberi kemudahan dan keselesaan yang lebih baik kepada pengunjung.
19 Jan 25
382
Penoreh Getah Menang Motosikal
Penoreh Getah Menang Motosikal
Oleh: Muhammad Zulkifli Sulaiman KUALA NERUS, 12 Januari – Ahmad Zaki Abdullah, 63 tahun, menjadi pengunjung yang paling bertuah pada Majlis Jalinan Kasih Nelayan dan Penoreh Getah Peringkat DUN Tepoh di Dewan Masyarakat Tok Jiring, Kuala Nerus apabila namanya terpilih untuk menerima hadiah utama berupa sebuah motosikal SYM. Beliau yang menetap di Kampung Banggol Nyior, Gemuruh, Tepoh, hadir sebagai penerima bantuan musim monsun daripada Kerajaan Negeri Terengganu tidak menyangka akan memenangi hadiah utama cabutan bertuah itu. Dia menyifatkan motosikal itu tersebut sebagai rezeki buat keluarganya selepas tahun lalu, penerima dari Kampung Banggol Binjai, Tepoh, yang juga seorang penoreh getah, turut berjaya menerima sebuah motosikal SYM dalam program yang sama. “Terima kasih kepada pihak penganjur yang menyediakan cabutan bertuah ini, ini kali pertama saya mendapat cabutan bertuah sebuah motosikal," katanya selepas menerima motosikal itu daripada Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr. Alias Razak. Majlis yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat Dun Tepoh dengan kerjasama Pejabat Ahli Parlimen Kuala Nerus diadakan itu bagi menyantuni warga nelayan dan penoreh getah yang terjejas akibat musim monsun.  Seramai 250 penduduk disantuni dan diberikan bantuan berupa kewangan dan barangan keperluan asas. Manakala, seramai 15 orang lagi penerima bertuah turut menerima hadiah cabutan bertuah berupa barangan elektrik dan perkakasan rumah.  
14 Jan 25
158
14 Tahun Penduduk Kampung Darat Hidup Tanpa Elektrik
14 Tahun Penduduk Kampung Darat Hidup Tanpa Elektrik
SETIU, 13 Januari – Setelah 14 tahun hidup dalam kegelapan, keluarga Tumiran Munawar dan penduduk Kampung Darat, Batu Rakit akhirnya dapat menikmati kemudahan elektrik yang amat mereka dambakan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, sebelum ini, Tumiran, 73, dan keluarganya terpaksa bergantung sepenuhnya kepada generator untuk meneruskan kehidupan seharian mereka sejak mereka mula menetap di kampung tersebut pada tahun 2010.  Katanya, setiap tahun, keluarga ini terpaksa mengeluarkan belanja yang tinggi untuk menggantikan generator yang rosak, sehingga kini mereka telah menukar sebanyak tujuh generator. "Keadaan ini sangat membebankan mereka. Bayangkan, di tengah kesulitan hidup sebagai petani, mereka terpaksa berhadapan dengan masalah bekalan elektrik yang tidak menentu.  "Tumiran dan isterinya, bersama anak-anak, juga menggunakan lampu solar sebagai sumber pencahayaan yang terhad. Tiada peluang untuk menikmati kemudahan asas yang dianggap biasa oleh ramai orang," kata Mohd Shafizi. Menurut beliau, kehidupan mereka akhirnya berubah dengan adanya bekalan elektrik yang stabil, suasana yang dulunya suram dan gelap kini penuh dengan cahaya, memberi harapan baru kepada mereka untuk menjalani kehidupan yang lebih baik.  "Alhamdulillah, hari ini, kehidupan mereka berubah. Mereka tidak lagi perlu bergantung kepada generator yang sering rosak, dan boleh menikmati keselesaan hidup yang sepatutnya dinikmati oleh setiap insan," tambahnya dengan penuh rasa syukur. Menurut Mohd Shafizi, projek pemasangan bekalan elektrik ini melibatkan pemasangan 69 tiang elektrik, yang bukan sahaja akan memberi manfaat kepada keluarga Tumiran, tetapi juga seluruh penduduk Kampung Darat.  "Dengan adanya bekalan elektrik yang stabil, penduduk setempat kini boleh merancang untuk membangunkan rumah, mengusahakan pertanian, dan membuka peluang pekerjaan baru. "Harapan saya, projek ini bukan sekadar memberi kemudahan elektrik, tetapi juga membuka jalan kepada pembangunan yang lebih pesat dan memberi peluang kepada penduduk untuk mengecapi kehidupan yang lebih baik," katanya, penuh optimis. Beliau turut merakamkan penghargaan yang mendalam kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) Terengganu, yang diketuai oleh Pengurus Besar, Ir. Mohamad Mohyddin Mohamed Nor, serta seluruh pasukan TNB dan kontraktor yang telah berusaha gigih merealisasikan projek ini.  "Ucapan terima kasih yang tidak terhingga saya hulurkan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan projek ini. Kerjasama dan usaha yang berterusan ini telah membawa perubahan besar kepada masyarakat luar bandar yang sebelum ini hidup dalam kegelapan.  "Ini adalah bukti bahawa dengan tekad dan sokongan bersama, kita boleh mengubah kehidupan insan lain," ujarnya.
13 Jan 25
205
Anak IC Lain, Bolehkah Dapat Bantuan Terengganu?
Anak IC Lain, Bolehkah Dapat Bantuan Terengganu?
IPOH, 12 Januari - Kebanyakan dilema ibu bapa kelahiran Terengganu di perantauan adalah berkait dengan bantuan pendidikan anak-anak mereka. Antara isunya ialah kesukaran memperoleh bantuan pendidikan disebabkan anak-anak mereka lahir di luar Terengganu, namun tidak mendapat kelebihan negeri tempat lahir berikutan ibu bapa berasal dari Terengganu. Dalam hal ini, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan negeri memberi kelonggaran untuk memberikan bantuan pendidikan yang diperlukan. "Kerajaan negeri menerusi Yayasan Terengganu (YT) dan beberapa agensi lain ada menawarkan pelbagai kemudahan untuk pendidikan dalam bentuk pinjaman dan biasiswa berdasarkan beberapa kelayakan. "Walaupun lahir di negeri lain, anak-anak ini layak memperolehi bantuan ini sekiranya ibu atau bapanya berasal dari Terengganu dan mengundi di sana. "Jadi, nasihat saya sekiranya ibu dan bapa berasal dari Terengganu, maka pasti salah seorang atau kedua-duanya mengundi di Terengganu untuk mengekalkan kelayakan asas ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika memberi jawapan dalam sesi dialog di Program Temu Mata Anak-anak Terengganu di Perantauan di sini, hari ini. Hadir sama dalam program tersebut ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional merangkap ADUN Ladang, Zuraida Md Noor dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Harun Esa. Untuk makluman, selain bantuan pendidikan Terengganu turut menawarkan bantuan pembiayaan kepada usahawan kelahiran Terengganu yang mengusahakan perniagaan di tempat lain. Malah, ketika bencana banjir menimpa Lembah Klang beberapa tahun lalu, kerajaan Terengganu turut memberi bantuan pelbagai bentuk kepada anak-anak negeri yang terkena musibah dalam usaha meringankan beban mereka.  
12 Jan 25
2660
Kerajaan Negeri Gembira Perantau Kritik, Sumbang Idea
Kerajaan Negeri Gembira Perantau Kritik, Sumbang Idea
SEBERANG PERAI, 12 Januari- Kerajaan negeri berbesar hati menerima kritikan dan pandangan daripada rakyat Terengganu yang berada di perantauan dalam usaha menambah baik pentadbiran negeri. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan merangkap ADUN Wakaf Mempelam, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, program pertemuan bersama anak-anak perantauan menjadi medan terbaik bagi mendapatkan sebarang idea kritikan dalam memantapkan lagi pengurusan khidmat dan bakti kerajaan negeri kepada rakyat. Beliau turut melahirkan rasa gembira mendengar luahan daripada anak-anak Terengganu yang memberi pelbagai respon berkenaan pelaksanaan dasar-dasar di negeri Terengganu. "Musuh utama kepada manusia adalah kejahilan, apabila manusia mendapat maklumat yang benar dan sahih, itulah yang menghapuskan semua kekeliruan dan salah faham dalam minda manusia. "Inilah tujuan kita mengadakan jelajah ke seluruh pelusuk tanah air bertemu perantau. "Kita ingin mendengar sebarang kritikan juga idea-idea baru yang boleh dikongsikan terus kepada kepimpinan kerajaan negeri tanpa pihak ketiga, sebab kita tahu anak-anak Terengganu di luar ini terdiri daripada pelbagai segmen dan kepakaran masing-masing," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pertemuan bersama anak-anak Terengganu di perantauan anjuran Urus Setia Wanita Terengganu (USWA) dengan kerjasama PERANTAU, di sini semalam. Hadir sama ialah ADUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail dan Timbalan Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (IMITS), Hamidi Jusoh. Tambah Wan Sukairi, kehadiran kepimpinan negeri dalam program tersebut memberikan satu 'signal' keprihatinan kerajaan negeri kepada rakyat di perantauan bagi menguatkan hubungan dua hala kedua-dua pihak. Program pertemuan bersama anak-anak perantauan kali ini merupakan siri kedua dianjurkan bagi tahun 2025. Siri kedua kali ini meliputi PERANTAU di wilayah utara merangkumi negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak. Program selama tiga hari di tiga lokasi berasingan itu menghimpunkan sekitar 200 anak-anak Terengganu yang berkelana di luar, secara keseluruhannya.    
12 Jan 25
167
Perantau Faham, Simpati Kekangan Dihadapi Terengganu
Perantau Faham, Simpati Kekangan Dihadapi Terengganu
ALOR SETAR, 10 Januari - Rata-rata rakyat Terengganu yang berada di perantauan memahami situasi semasa dan kekangan yang dihadapi kerajaan Terengganu dalam membangunkan negeri. Menurut Presiden Persatuan Anak Terengganu di Perantauan (PERANTAU), Prof Madya Dr Nuri Al-Amin Endut, langkah baru kerajaan Persekutuan yang menyukarkan pembayaran royalti, menimbulkan respon positif di kalangan mereka. "Anak-anak Terengganu (di perantauan) keseluruhannya, apabila kami bertemu, kami melihat mereka memahami situasi yang berlaku kerana ini bukannya kali pertama. "Perkara ini pernah dialami dahulu dan rakyat yang melaluinya buat kali kedua, lebih memahami dan lebih matang. "Mereka lebih bersimpati dengan situasi semasa dalam keadaan prestasi kerajaan negeri yang cukup baik, tetapi masih dihukum kerajaan Persekutuan atas alasan tidak munasabah," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pertemuan pimpinan kerajaan negeri bersama anak-anak Terengganu di Puji Arabian Delight; salah satu perniagaan yang diusahakan anak Terengganu di sini, semalam. Majlis pertemuan yang dihadiri sekitar 50 rakyat Terengganu yang menetap di Kedah dan Perlis itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Terengganu, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah. Hadir sama, ADUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail dan Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Mohd Nasir Razak. Dr Nuri menambah bahawa PERANTAU sendiri memandang serius perkara berkenaan dan telah bertindak membawa memorandum ke parlimen tahun lalu. "Ini adalah suatu hak kerajaan negeri yang wajib dituntut, itu antara penegasan kita tentang royalti. "Kami terharu dengan tindakan kerajaan negeri yang sentiasa datang bertemu dengan kami (perantau) serta berusaha dengan bajet yang terhad, tetap menitikberatkan untuk menyelesaikan bantuan khususnya i- perantau," katanya. Dalam pada itu, mewakili penganjur program, Penolong Pengarah Kanan Urus Setia Wanita Terengganu (USWA), Nor Farahdila Mohamad memaklumkan bahawa anak-anak perantauan memberikan respon positif dalam pertemuan tersebut. "Sangat baik, rakyat Terengganu yang berada di luar teruja hadir dan ingin bertanya beberapa soalan tentang perkembangan yang berlaku di negeri Terengganu. "Antara soalan yang ditanya berkait dana perantau, bantuan persekolahan malah infrastruktur di Terengganu seperti perbaikan jalan," katanya.                    
11 Jan 25
3479
Program 'Ceria Ke Sekolah' TNB Untuk B40
Program 'Ceria Ke Sekolah' TNB Untuk B40
KEMAMAN, 24 Disember - Tenaga Nasional Berhad (TNB) Terengganu bersama Pejabat Ahli Parlimen Kemaman menganjurkan program 'Ceria Ke Sekolah 2024' bagi mengagihkan baucer bantuan persekolahan kepada murid-murid golongan B40.  Berlangsung di Kemaman Arena Square semalam, program yang merupakan salah satu cabang tanggungjawab sosial korporat (“CSR”) syarikat tersebut memberikan fokus kepada usaha menyokong pembangunan mampan dan menyeluruh sektor pendidikan di negeri Terengganu. Pengurus Besar TNB Negeri Terengganu, Haji Ir. Mohamad Mohyddin Mohd Noor berkata, TNB menyasarkan murid-murid daripada keluarga yang kurang berkemampuan dalam menyediakan keperluan pakaian seragam untuk menghadapi sesi persekolahan yang akan datang melalui program yang dianjurkan. "Program sebegini bukanlah perkara baharu yang dijalankan oleh kami, malah sudah melebihi 10 tahun pihak kami mengadakan program sebegini dalam membantu masyarakat setempat.  "Selain program Ceria Ke Sekolah, pihak syarikat juga mengadakan program Sekolah Amanah dan Sekolah Angkat dalam memperlihatkan kesungguhan kami dalam memajukan bidang pendidikan di negeri Terengganu ini. “Pihak TNB mengharapkan agar bantuan yang dihulurkan buat para pelajar pada hari ini akan meringankan beban kewangan ibubapa dan berbelanjalah dengan berhemah. Semoga semua pelajar sentiasa beroleh kecemerlangan serta kejayaan untuk masa hadapan diri dan keluarga,” ucapnya lagi.  Turut hadir adalah sebagai perasmi adalah Pengerusi Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar, Hanafiah Mat dan Pegawai Khas Ahli Parlimen Kemaman, Haji Hazri Jusoh. Seramai 300 pelajar yang terpilih dari setiap DUN di sekitar Kemaman yang hadir bersama ibu bapa dan penjaga menerima baucer bernilai RM100 setiap satu daripada TNB Terengganu.
25 Dec 24
354
Dewan Perniagaan Cina Terengganu Bantu Mangsa Banjir
Dewan Perniagaan Cina Terengganu Bantu Mangsa Banjir
KEMAMAN, 21 Disember - Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Terengganu (TCCCI) tidak ketinggalan menyalurkan sumbangan melalui Pejabat Ahli Parlimen Kemaman kepada mereka yang terbeban akibat bencana banjir baru-baru ini. Naib Presidennya, Vincent Ng Thian Hock memuji kesabaran yang ada pada mangsa banjir walaupun beberapa kali diuji dengan musibah banjir tahun ini.  "Kami amat menyanjung ketabahan dan kesabaran tuan puan dalam menghadapi bencana yang menimpa kalian pada kali ini.  "Kami memahami walaupun diuji dengan kehilangan harta benda dan kerosakkan tempat tinggal bahkan mungkin kenangan yang berharga adalah amat sukar untuk dilalui.  "Namun ketahuilah bahawa anda tidak keseorangan. Kami amat prihatin dan dengan semangat 'Ganu Kite', kami gabungan tiga Dewan Perniagaan Negeri Terengganu tidak berdiam diri.  "Dengan usaha yang kecil ini kami bergerak dan bersedia untuk turut membantu mereka yang ditimpa bencana samada dalam bentuk kebendaan dan sokongan moral," katanya. Vincent berkata demikian di hadapan seramai 694 Ketua Isi Rumah di Kampung Telok Kalong sempena Majlis Agihan Sumbangan Barangan Kepada Mangsa Banjir yang diadakan di Dewan Tok Guru, Darul Iman Training Centre (DITC), Kemaman semalam. Turut hadir, Pegawai Khas Ahli Parlimen Kemaman, Ustaz Haji Hazri Jusoh mewakili Ahli Parlimen Kemaman dan ADUN Kijal, Datuk Razali Idris.  Untuk rekod, beberapa syarikat lain yang turut menghulurkan sumbangan pada majlis tersebut antaranya adalah Maxis yang menyediakan pendaftaran sim kad percuma yang terisi RM35 setiap keping kepada penerima.
21 Dec 24
317
Waris Tragedi Tanah Runtuh Terima Sumbangan
Waris Tragedi Tanah Runtuh Terima Sumbangan
HULU TERENGGANU, 6 Disember - Sebanyak RM5,000 hasil sumbangan orang ramai berjaya disampaikan kepada keluarga dua beradik yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di kampung Bukit Apit, Ajil minggu lalu. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, sumbangan tersebut disampaikan kepada waris agar dapat membantu meringankan beban ditanggung. "Hari ini kita beri sumbangan kepada waris keluarga yang meninggal. Kejadian ini amat menyedihkan bukan saja kepada keluarga malah seluruh rakyat. "Ini ujian besar bagi mereka (keluarga) dan diharap sumbangan ini dapat meringankan beban dan kesedihan yang terpaksa ditanggung dengan pemergian ahli keluarga," katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada ibu mangsa tragedi tanah runtuh, Ruziah Fuad, 46 di sini hari ini. Sementara itu, Pengerusi Rakan Care Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil, Muhammad Zakaria menzahirkan ucapan terima kasih kepada kesemua orang ramai dan dermawan yang menyumbang kepada tabung Derma Kilat yang dilancarkan oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) tersebut sejak minggu lalu "Kami memandang tinggi dan mengucapkan terima kasih begitu mendalam kepada seluruh penderma  yang begitu prihatin  dan JPKK Kampung Jaba dan Bukit Apit yang turut bekerjasama dalam usaha mengerakkan tabung sumbangan ini. "Saya juga berharap sumbangan ini, sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan mangsa bencana yang masih dalam proses pemulihan dan memulakan kehidupan baharu selepas kejadian," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman pagi tadi. Kejadian tanah runtuh pada 29 November lalu menyebabkan seorang selamat dan dua lagi maut di tempat kejadian. Mangsa pertama, Uzair Azman, 17, ditemui selamat di bawah runtuhan dinding konkrit di ruang tamu rumah, jam 5.17 petang.  Dua mangsa yang maut akibat terperangkap di bawah runtuhan tanah tersebut dikenali sebagai Puteri Sajidah Azman,16, dan Siti Fatimah Azman,13.
06 Dec 24
901