Artikel "Kebajikan" Terkini
Sultan Mizan Labuh Tukun Pulihara Sumber Perikanan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 10 Oktober - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mencemar duli menyempurnakan Program Melabuh Tukun Tiruan Kuboid Juvenil Penghalang Pukat Tunda di Perairan Marang, hari ini.
Dalam program yang bermula di Jeti Duyong Marina Resort, keberangkatan tiba baginda pada jam 9.00 pagi disambut Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ir. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Asas Tani Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim.
Hadir sama menyambut keberangkatan tiba baginda ialah ketua-ketua jabatan dan sebahagian pegawai-pegawai kerajaan negeri.
Sultan Mizan (berbaju biru) melakukan selaman dasar.
Sebaik berangkat tiba, Tuanku Mizan berkenan menandatangani plak perasmian disaksikan tetamu yang hadir.
Bagi meneruskan program, Timbalan Mufti Negeri Terengganu, Sahibul Fadhilah Prof Madya Dr Syed Hadzrullathfi Syed Omar membacakan doa.
Sultan Mizan kemudian berkenan menaiki bot Jabatan Perikanan Malaysia Terengganu yang mula bergerak ke lokasi melabuh tukun tiruan pada jam 9.15 pagi di kawasan Alur Tuman.
Sultan Mizan berkenan melakukan selaman dasar bagi menyempurnakan simbolik program dengan meletakkan plak perasmian ke dalam tukun.
Sebanyak 20 tukun tiruan dilabuhkan di perairan Marang pada program ini merupakan sebahagian daripada 100 unit tukun yang dibina dan dilabuhkan menerusi Program Memperkayakan Sumber Perikanan Marin Negeri Terengganu bagi tahun ini.
Sebelum ini, sebanyak 20 tukun telah dilabuhkan di sekitar perairan Dungun, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu dengan kos projek berjumlah RM3.1 juta.
Pada 5 Oktober lalu juga, Sultan Mizan telah berkenan menandatangani plak perasmian 'Pembangunan 500 Tukun (5 Tahun) Tiruan Garisan Sempadan Zon Persisir Pantai Perairan Terengganu'.
Melaluinya, kerajaan negeri meletakkan sasaran untuk mewujudkan garisan semladan tukun di sepanjang 244 kilometer pantai negeri ini.
Ia merupakan usaha jangka masa panjang bagi menangani isu kekurangan sumber dan pendapatan nelayan seterusnya meningkatkan sosioekonomi rakyat Terengganu.
10 Oct 24
367
Sultan Terengganu Berkenan Rasmi Sambutan 75 Tahun Maidam
KUALA TERENGGANU,19 September - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli merasmikan Sambutan 75 Tahun Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), yang berlangsung di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, hari ini.
Keberangkatan tiba baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah bersama Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin pada jam 11.10 pagi.
Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja serta Yang Dipertua Maidam, Dato' Shaikh Harun Shaikh Ismail.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Dato' Mufti Negeri Terengganu, Dato' Dr Mohamad Sabri Haron dan diteruskan dengan persembahan ucapan oleh Yang Dipertua Maidam, disusuli tayangan video sambutan.
Majlis disempurnakan dengan titah Tuanku Sultan sekali gus merasmikan Majlis.
Baginda diiringi Yang di-Pertuan Muda Terengganu kemudian berkenan mencemar duli menandatangani buku Sambutan 75 Tahun Maidam sebagai simbolik pelancaran.
Majlis diteruskan dengan Persembahan Cek Cura Sumbangan Dana Wakaf/Asnaf kepada Tuanku Sultan.
Baginda diiringi Sultanah Nur Zahirah bersama Yang di-Pertuan Muda Terengganu serta Menteri Besar berangkat pulang pada kira-kira jam 12.20 tengah hari.
19 Sep 24
341
Program Komuniti DUN Bukit Payung Dapat Sambutan Hangat
KUALA TERENGGANU, 18 September - Program Komuniti DUN Bukit Payong (PROKOM@DBP) yang berlangsung di Dataran Padang Bola Sepak Kampung Atas Tol kelmarin mendapat sambutan yang amat menggalakkan.
Program yang dianjurkan sempena sambutan N18 Sejahtera berjaya menarik pelbagai lapisan masyarakat untuk turut serta dalam pelbagai aktiviti.
Acara dimulakan dengan perarakan maulidur rasul diikuti dengan persembahan silat serta persembahan nasyid dari kumpulan Soutul Muhibbin yang memukau hadirin.
Selain itu, pertandingan hafazan, azan, serta acara sukan rakyat seperti tarik tali turut memeriahkan suasana.
Antara yang paling mendapat perhatian ialah sesi bicara cinta Rasul & Qasidah yang penuh penghayatan serta gol soccer untuk kanak-kanak berumur 6 hingga 7 tahun, yang memberikan kegembiraan kepada anak-anak kecil.
Pameran agensi kerajaan dan sukaneka wanita juga tidak ketinggalan menyemarakkan lagi program ini.
Program ini turut dimeriahkan dengan jamuan rakyat serta penyampaian hadiah cabutan bertuah, hadiah utama berupa pakej percutian dua hari satu malam (2H1M) menjadi tumpuan utama peserta yang menanti dengan penuh debaran.
Dengan tema 'N18 Sejahtera' program ini berjaya mencapai matlamatnya untuk merapatkan silaturahim di kalangan penduduk setempat serta menyemarakkan semangat perpaduan dalam suasana penuh harmoni.
ADUN Bukit Payung, Dato' Mohd Nor Hamzah berkata, beliau berharap program itu dapat diteruskan pada masa akan datang, dengan pengisian yang lebih mantap dan bermanfaat buat komuniti setempat.
18 Sep 24
237
300 Asnaf DUN Cukai Terima Sumbangan
KEMAMAN, 28 Ogos - Seramai 300 keluarga diraikan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai dalam Program Sumbangan Asnaf,baru-baru ini.
Adunnya, Hanafiah Mat berkata, program sebegini sentiasa diadakan secara berperingkat dan dari masa ke semasa.
"Kami di peringkat kerajaan negeri sentiasa memahami keadaan rakyat yang mana golongan asnaf perlu diberikan perhatian.
"Walau apa jua situasi yang berlaku, kebajikan kepada masyarakat perlu diteruskan.
"Kami akan berusaha sedaya upaya untuk memberikan khidmat yang terbaik bagi membela nasib rakyat terutamanya untuk golongan asnaf," ujarnya ketika menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut.
Dalam majlis yang berlangsung di Dewan Sivik Gong Pauh itu, Hanafiah telah menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai dan beras.
Mereka terdiri daripada asnaf yang tinggal di Kampung Gong Pauh, Taman Perumahan Gong Pauh, Jalan Dato dan Kampung Jaya.
Dalam pada itu, Hanafiah turut mengadakan program yang sama di beberapa kawasan yang lain termasuk Kampung Dusun Nyior, Kampung Pengkalan Pandan dan Kampung Kubang Kurus.
28 Aug 24
269
Junaidi, Fatimah Terharu Dapat Rumah Baharu
SETIU, 13 Ogos - Rumah berkeadaan daif dimiliki Junaidi Daud, 49, bersama isterinya, Siti Fatimah Harun,45, mendapat perhatian daripada kerajaan untuk dibina kediaman baru.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, keputusan itu adalah yang terbaik untuk pasangan berkenaan yang kini menetap di Kampung (Kg) Che Long, Permaisuri.
Ujarnya, perkara itu akan dipastikan dilaksanakan segera melalui kerjasama pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan Jawatankuasa Pemandu Projek (JPP).
"Insya-Allah kita akan memastikan rumah baru dapat dibina di atas tanah sama dimiliki oleh mereka dan kerajaan akan cuba dapatkan bekalan air yang turut menjadi masalah bagi keluarga ini sebelum ini.
"Kita juga akan usahakan supaya generator dapat digunakan sebagai langkah sementara kerana mereka juga turut mengalami masalah bekalan elektrik.
"Sekarang ini dengan ketiadaan bekalan air mereka bergantung kepada air hujan serta telaga yang mengalami masalah kekeringan serta bergantung bekalan air di balai raya," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika menghadiri Program Jelajah Kebajikan 'Jalinan Kasih Tautan Budi' Peringkat Daerah Setiu, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut Maliaman berkata, sepanjang jelajah yang membabitkan lima daerah, keadaan yang dihadapi oleh keluarga itu paling teruk kerana bukan sahaja menghuni rumah daif tetapi turut hidup dalam ketiadaan bekalan asas iaitu air dan elektrik.
"Di kampung-kampung lain saya rasa tidak terlalu teruk yang ini memang keadaanya sangat daif, apatah lagi Ketua Isi Rumah (KIR) menghidapi penyakit kronik dan tidak boleh bekerja dan hanya mengharapkan isteri.
"Kita harapkan agensi-agensi serta jabatan yang ada termasuk Pejabat Daerah, MAIDAM, JPP, Pusat Khidmat Masyrakat (PKM), serta jawatankuasa di bawah portfolio saya sendiri akan menyegerakan perkara ini," ujarnya.
Sementara itu, Fatimah Harun berbesar hati dengan keprihatinan pihak kerajaan negeri dan terharu dengan keputusan yang diambil dan ia memberikan sinar harapan buat mereka.
"Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri dan dengan penyelesaian yang diputuskan itu dapatlah kami hidup dalam keadaan lebih sempurna," ujarnya.
13 Aug 24
245
Barcode Aduan Rakyat Dilancarkan
Hulu Besut, 13 Ogos - Pelancaran barcode aduan rakyat bagi memperkasakan suara rakyat telah diperkenalkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin berkata inisiatif tersebut dibuat bagi memudahkan penduduk setempat membuat aduan serta mengemukakan permasalah yang dihadapi oleh mereka.
"ini bagi memastikan setiap isu yang dihadapi oleh penduduk dapat diambil tindakan dengan cepat dan berkesan.
" Dalam usaha untuk memudahkan proses aduan, kita memperkenalkan sistem aduan melalui imbasan kod bar yang akan diletakkan di lokasi-lokasi strategik dan tumpuan awam di DUN ini.
"Mereka hanya perlu mengimbas kod bar menggunakan telefon pintar mereka, yang dibawa terus ke platform aduan digital yang disediakan," ujarnya ketika ditemui semasa majlis pelancaran barcode itu, di sini, hari ini.
Melalui platform itu katanya penduduk boleh mengemukakan pelbagai jenis aduan termasuk masalah infrastruktur, kebersihan, keselamatan serta sebarang isu lain yang memerlukan perhatian wakil rakyat.
"Kami memahami kepentingan mendengar suara rakyat dan bertindak terhadap setiap permasalah yang dibangkitkan, dengan adanya sistem ini, kita berharap dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik dan responsif kepada penduduk di Hulu Besut," katanya.
13 Aug 24
131
Adun Terengganu Jelajah Negeri, Hulur Bantuan Rakyat
BESUT, 11 Ogos – Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Kelab Penyokong Kerajaan Negeri (BBC) menjelajah ke seluruh daerah dalam Terengganu bagi mendekati dan menghulurkan sumbangan kepada keluarga kurang bernasib baik.
Pengerusi BBC yang juga ADUN Bandar, Ahmad Shah Mohamed berkata, program berkenaan telah bermula sejak April lalu di DUN Ladang.
"Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif tahunan BBC untuk mendekati rakyat di pelbagai kawasan.
"Dalam program yang diadakan pada semalam, BBC telah melawat DUN Jerteh, sebagai sebahagian daripada siri ziarah yang juga merangkumi agihan sumbangan keperluan asas," katanya.
Jelas Ahmad Shah lagi, program ziarah tersebut juga adalah usaha untuk memastikan pihaknya dapat mendengar dan memahami keperluan serta masalah rakyat di kawasan-kawasan dilawati.
Beliau berkata acara tersebut bermula seawal pukul 7.30 pagi dengan sesi sarapan pagi bersama penduduk tempatan.
Tambahnya, program diikuti dengan ziarah dari rumah ke rumah bermula sekitar pukul 8.30 pagi.
"Ziarah tersebut melibatkan lawatan ke rumah-rumah orang tua, pesakit kronik, dan mereka yang memerlukan bantuan.
“Kami membahagikan peserta kepada tiga kumpulan untuk memastikan setiap rumah dapat dilawati.
"Ini adalah peluang bagi kami untuk menunjukkan sokongan dan keprihatinan kepada mereka yang memerlukan," ujarnya.
Selain ziarah, program pada hari tersebut turut melibatkan acara sukan Pasti untuk Negeri Terengganu, yang turut disertai oleh wakil-wakil BBC.
Untuk rekod, program tersebut dirancang untuk diteruskan ke DUN Telemong pada akhir bulan ini atau awal bulan depan, dengan sasaran untuk melawat sekurang-kurangnya tiga kawasan setiap tahun.
11 Aug 24
611
Kerajaan Terengganu Tamatkan Derita 18 Keluarga Hilang Tempat Berteduh
KEMAMAN, 22 Julai - Derita hilang tempat berteduh yang dihadapi 18 keluarga di Kampung Habib Mohsin di daerah ini berakhir selepas Kerajaan Terengganu berjaya mencari jalan penyelesaian.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, kerajaan negeri menerusi Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) akan memulakan pembinaan 18 unit rumah dalam ketegori rumah asnaf.
Katanya, 18 unit kediaman di Paya Berenjut itu sudah dimulakan dengan kerja-kerja asas.
"Termasuk kerja-kerja pembersihan tapak dan 'earth filling' sudah selesai dan minggu ini dijangka akan dipasang 'hoarding' dan 'cabin' serta akan dinaikkan papan tanda serta kerja-kerja berkaitan," ujarnya.
Beliau berkata demikian melalui suatu kenyataan di facebooknya, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut katanya, khabar gembira itu diharapkan akan menamatkan segala kesukaran yang dihadapi mereka sebelum ini.
"Berita baik buat mangsa perpindahan penduduk Habib Mohsin, Kuala Kemaman, deritamu mengalir di denyut nadiku.Bersabarlah, keselesaanmu adalah keutamaanku," tulisnya di platform facebook itu.
Tapak rumah yang telah memulakan kerja pembinaan.
Berkongsi mengenai status terkini berkenaan projek terbabit katanya ia telah mula memasuki tapak pada 18 Julai.
"Kontraktor mula membersihkan tapak pada 16 Julai dan kemudian buat 'site survey' (pegging) pada 18 Julai," katanya lagi.
Dalam pada itu ujarnya, masalah yang dialami penduduk di Habib Mohsin itu merupakan perkara lama yang membina kediaman sementara dengan menumpang tanah yang kini dituntut oleh pewaris.
Bagi menyelesaikan masalah dihadapi penduduk, Hanafiah berusaha sedaya upaya bagi memastikan penduduk terbabit mendapat kediaman yang selesa, hasil pertemuan dengan pihak MAIDAM telah memberikan kelegaan.
23 Jul 24
344
Exco 'Terjah' Kampung Hulur Bantuan Kepada Keluarga B40
HULU TERENGGANU, 22 Julai - Seramai 10 keluarga B40 yang berdepan bebanan kewangan di daerah Hulu Terengganu menerima bantuan segera melalui program Ziarah Kasih yang dilaksanakan di daerah berkenaan semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata program secara bersiri di setiap daerah itu bertujuan untuk memberikan bantuan segera kepada keluarga yang menghadapi kesulitan ekonomi serta masalah kesihatan.
Menurutnya, bantuan yang disalurkan itu merangkumi keperluan asas serta sokongan kewangan kepada keluarga yang memerlukan.
“Sasaran utama Ziarah Kasih ini, adalah rumah yang ahlinya menghadapi masalah besar, terutamanya dari segi ekonomi.
“Keluarga yang kita kunjungi hari ini melibatkan Ketua Isi Rumah (KIR) yang sudah berusia dan mempunyai anak-anak ramai dan ada yang juga sakit,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman ketika sidang media Program Ziarah Kasih Daerah Hulu Terengganu bertempat di Kampung Payang Kayu semalam.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Zawawi Ismail.
Maliaman berkata bantuan tersebut penting bagi meringankan beban keluarga yang menghadapi kesulitan yang mendalam.
“Program Ziarah Kasih ini meliputi beberapa kampung termasuk Kampung Machang, Kampung Kuala Pueh, Kampung Dura, dan Kampung Payang Kayu.
“Beberapa agensi juga turut serta seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Ajil, Pejabat Daerah Hulu Terengganu, dan beberapa lagi agensi terlibat,” ujarnya.
Beliau berkata, program Ziarah Kasih itu akan diteruskan ke lima daerah lain termasuk Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Dungun, dan Kemaman dalam tempoh yang akan datang.
“Diharapkan segala bantuan yang diberikan dapat menyokong keluarga-keluarga yang memerlukan dan membantu mereka untuk menghadapi cabaran yang dihadapi.
“Saya juga memohon kepada orang ramai untuk menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat atau saya sendiri jika terdapat maklumat mengenai rumah-rumah yang perlu dikunjungi.
“Kami mengalu-alukan sebarang maklumat mengenai keluarga yang memerlukan bantuan supaya kami dapat turun padang bersama dengan agensi-agensi sokongan,” ujarnya.
Katanya, diharapkan program Ziarah Kasih dapat memberikan impak yang positif kepada masyarakat terutamanya dalam menangani isu kesusahan dan kesihatan yang dihadapi oleh golongan berisiko.
Beliau juga menyatakan bahawa program tersebut bukan sahaja memberi fokus kepada pemberian bantuan tetapi turut melibatkan penyertaan Orang Kurang Upaya (OKU).
“Kita ingin mengubah minda masyarakat bahawa OKU bukan hanya penerima bantuan tetapi juga penyumbang.
“OKU yang turut serta dalam program ini adalah sebahagian daripada pasukan yang membantu melaksanakan bantuan kepada keluarga yang memerlukan,” katanya.
22 Jul 24
263
Kerajaan Negeri Baiki Segera 96 Rumah Terjejas Ribut
MARANG, 19 Julai - Sebanyak 96 buah rumah yang dibadai ribut kelmarin mendapat perhatian dan pembelaan segera daripada kerajaan negeri.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pihaknya akan memperhalusi segala kerugian dan kerosakan dialami mangsa bagi memudahkan proses penyaluran bantuan agar mereka yang terjejas dapat menduduki kembali kediaman itu dengan selesa.
"Bagi tindakan segera dalam masa sehari dua ini adalah untuk memastikan mereka boleh masuk dahulu, sebab itu urusan membaiki atap dan sebagainya telah kita selesaikan dan hari ini dijangka selesai bahagian membaik pulih bumbung yang rosak.
"Supaya kalau hujan tidak akan merosakkan barangan dalam rumah, yang lain daripada itu adalah untuk memastikan segala sisa-sisa kekotoran ini dapat dibersihkan secepat mungkin," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media semasa mengadakan lawatan ke lokasi bencana ribut bertempat di Pantai Kekabu dan Kampung Seberang Marang, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut katanya, rumah terjejas akibat ribut mengalami kerosakan yang berbeza-beza justeru ia memerlukan kos dan bantuan berlainan.
"Kesemuanya telah kita uruskan dan kini dalam proses, kediaman yang paling teruk rosak akan ambil masa sedikit untuk dilakukan pembaikan oleh sukarelawan, segala kerja baik pulih ini secara gotong royong dengan bantuan daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta penduduk tempatan.
"Insya-Allah kita akan bantu untuk memastikan mereka boleh masuk rumah terutama bagi rumah yang paling teruk terjejas dengan segera," ujarnya.
Sementara itu katanya, gerai para peniaga Pulau Kekabu tidak mengalami kerosakan yang teruk kerana kebanyakan mereka menghentikan operasi apabila melihat angin yang kuat.
19 Jul 24
713