lightning-solid
Berita :

Artikel "Kebajikan" Terkini

DUN Rantau Abang Raikan 700 Asnaf, Anak Yatim
DUN Rantau Abang Raikan 700 Asnaf, Anak Yatim
DUNGUN, 23 Mac – Seramai 700 asnaf dan anak yatim dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang menerima sumbangan sebagai persediaan menyambut Syawal kali ini. Sumbangan berupa pakaian dan keperluan hari raya itu merupakan inisiatif berterusan yang dijalankan pihak DUN Rantau Abang dalam usaha membantu golongan yang memerlukan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, program berkenaan merupakan salah satu usaha tahunan untuk memastikan golongan asnaf dan anak yatim tidak ketinggalan dalam merayakan bulan Syawal dengan penuh keceriaan. “Kutipan sumbangan kali ini adalah hasil daripada sumbangan masyarakat setempat, termasuk individu dan syarikat koperat yang prihatin. "Alhamdulillah , menerusi sokongan daripada semua pihak, kami dapat melaksanakan program ini dengan lebih baik setiap tahun. "Terima Kasih kepada semua yang telah menyumbang dalam tabung kebajikan Ramadan kali ini, di mana sumbangan tersebut memberi harapan dan kegembiraan kepada penerima," katanya. Mohd Fadhli turut mendoakan agar Syawal tahun ini menjadi tahun yang lebih bermakna buat golongan asnaf dan anak yatim, dan semoga mereka terus diberkati dengan rezeki yang melimpah.  
23 Mar 25
145
125 Asnaf Dirai, Terima Sumbangan
125 Asnaf Dirai, Terima Sumbangan
BESUT, 24 Mac – Seramai 125 golongan asnaf menerima sumbangan dalam Majlis Iftar Perdana Parlimen Besut yang berlangsung di Dewan Haji Salleh, Alor Lintah baru-baru ini. Program itu dianjurkan bagi membantu mereka yang memerlukan serta mengeratkan ukhuwah antara pemimpin dan masyarakat setempat. Sumbangan disampaikan oleh Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, bersama Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman. Menurut Che Mohamad Zulkifly, inisiatif tersebut merupakan tanda keprihatinan kepada golongan yang memerlukan, khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan. “Semoga sumbangan ini dapat meringankan beban mereka serta membawa kegembiraan dalam menyambut Ramadan,” katanya. Majlis dimulakan dengan penyampaian sumbangan kepada asnaf, diikuti tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh Ustaz Adam Said bagi memberikan peringatan rohani kepada para hadirin. Acara diteruskan dengan bacaan tahlil dan doa, sebelum majlis berbuka puasa serta solat Maghrib berjemaah. Sementara itu, Mohd Nurkhuzaini turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan majlis tersebut. “Kehadiran ramai penduduk menyemarakkan lagi majlis ini. Terima kasih kepada semua petugas dan sukarelawan yang bekerja keras. Semoga usaha ini diberkati,” katanya.  
22 Mar 25
45
Guru PASTI Terima Sumbangan Ringankan Beban
Guru PASTI Terima Sumbangan Ringankan Beban
KEMAMAN, 21 Mac – Seramai 86 orang guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih menerima sumbangan istimewa daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam, sebagai tanda penghargaan atas jasa dan dedikasi mereka dalam mendidik generasi muda. Majlis penyampaian sumbangan yang berlangsung pada 18 Mac di perkarangan Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Air Putih bukan sekadar acara simbolik, tetapi juga menjadi medan pertemuan yang mengeratkan ukhuwah antara pemimpin dan pendidik. Mohd Hafiz menegaskan bahawa sumbangan tersebut adalah bukti penghormatan terhadap usaha gigih guru-guru PASTI yang berkhidmat di 13 pusat pendidikan dalam kawasan tersebut. “Sumbangan ini adalah tanda penghargaan kepada guru-guru yang telah berusaha keras dalam mendidik anak-anak di DUN Air Putih. “Majlis ini juga menjadi platform bagi mereka untuk berkumpul, bertukar pandangan, serta memperkukuh hubungan dalam memperkasakan pendidikan PASTI,” katanya. Guru-guru yang hadir dilihat begitu teruja dan bersemangat menerima sumbangan tersebut. Mereka berharap agar inisiatif sebegini dapat diteruskan bagi membakar semangat dalam menjalankan tugas mendidik dengan lebih cemerlang. Mohd Hafiz turut menzahirkan harapan agar para pendidik terus bersemangat dan komited dalam menyampaikan ilmu, sekali gus menyumbang kepada pembangunan modal insan yang berkualiti di DUN Air Putih. Majlis tersebut mencerminkan sokongan berterusan terhadap sektor pendidikan dan membuktikan keprihatinan pemimpin setempat dalam menghargai jasa pendidik yang berperanan penting dalam membentuk masa depan generasi akan datang.
21 Mar 25
154
200 Asnaf Terima Zakat Perniagaan Emas Dimiliki ADUN
200 Asnaf Terima Zakat Perniagaan Emas Dimiliki ADUN
BESUT 18Mac –  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut,Azbi Saleh telah melaksanakan tanggungjawab sosialnya dengan memberikan sumbangan zakat dari Kedai Emas Sri Ayu dimilikinya kepada 200 orang golongan asnaf. Majlis agihan sumbangan tersebu telah diadakan semalam di Masjid Haji Daud, Alor Teratai, dan melibatkan 10 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang terlibat. Penerima terdiri daripada penduduk Kampung Alor Teratai, Kampung Alor Jejawi, Kampung Tok Saboh, Kampung Sri Kemunting, Kampung Taman Sri Seratus, Kampung Pachakan, Kampung Gertak Seratus, Kampung Kayu Kelat, Kampung Alor Pisang, dan Kampung Taman Tasik.  Menurut Azbi penerima terdiri daripada pelbagai latar belakang, termasuk ibu tunggal, warga emas dan keluarga yang kurang berkemampuan. "Setiap penerima menerima bantuan kewangan yang diharapkan dapat meringankan beban mereka menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang.  “Sumbangan ini adalah salah satu cara untuk kita membantu golongan yang memerlukan. Saya berharap bantuan ini dapat memberikan sedikit kegembiraan dan meringankan beban mereka dalam persiapan menyambut hari raya,"ujarnya. Tambah beliau, melihatkan penduduk menerimanya dengan perasaan penuh syukur dan memahami ramai yang berharap agar agar lebih banyak inisiatif seperti itu akan terus dilaksanakan pada masa akan datang. "Semoga majlis seumpama ini akan menggalakkan pelbagai pihak untuk tampil membantu dalam kalangan penduduk setempat serta melahirkan semangat kebersamaan,"ujarnya.  
18 Mar 25
326
'Jangan Bandingkan Kehidupan Kita Dengan Orang Lain' - Satiful
'Jangan Bandingkan Kehidupan Kita Dengan Orang Lain' - Satiful
DUNGUN, 15 Mac - Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat sempat menyampaikan pesanan pentingnya menerima ketentuan Allah dalam setiap ujian kehidupan dalam program Bantuan Persekolahan & Aidilfitri anjuran Darul Aitam Paka, hari ini. Dalam program yang menyaksikan seramai 165 orang anak yatim dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka menerima bantuan yang disampaikan, beliau mengingatkan supaya bersyukur dan tidak membandingkan diri dengan kehidupan orang lain. "Boleh jadi apa yang kita suka itu tidak baik untuk kita. Dan boleh jadi apa yang kita tidak suka itu baik disisiNya," katanya.   Dalam kesempatan sama, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada para penyumbang yang telah menyokong program ini dan menyatakan bahawa sumbangan mereka sangat berharga untuk menjayakan program tersebut. "Melalui bantuan mereka, program ini dapat dijalankan dengan sempurna, memberikan kelegaan dan keceriaan kepada anak-anak yatim yang menerima bantuan ini," tambahnya. Beliau menyifatkan, program itu tidak hanya menjadi bukti kepedulian kepada golongan yang memerlukan, tetapi juga menggambarkan semangat kesetiaan dan keberkatan dalam menghadapi ujian kehidupan. "Kita menggesa agar kita semua bersyukur atas segala nikmat yang diberi dan bersedia untuk terus memberi sokongan kepada mereka yang memerlukan dalam masyarakat," ujarnya lagi.  
15 Mar 25
132
“Gembira Pilih Baju, Dapat Duit Raya!” – 130 Asnaf Dirai
“Gembira Pilih Baju, Dapat Duit Raya!” – 130 Asnaf Dirai
Oleh : Mohamad Farhan Anam KUALA TERENGGANU, 14 Mac – “Seronok sangat! Dapat pilih baju raya sendiri,” kata seorang penerima yang tersenyum lebar ketika sibuk memilih pakaian di Mydin Mall dalam program Iftar Sentuhan Kasih Ramadan 1446H. Seramai 130 penerima diraikan dalam program ini yang dianjurkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor, bersama penyumbang utama seperti EPIC Berhad, Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd, Iman Care dan Mandalika. Setiap penerima menerima RM150 untuk membeli pakaian raya, selain duit raya RM100. Menurut Zuraida, program bermula dengan sesi membeli pakaian, di mana kanak-kanak dan keluarga asnaf dibawa menaiki bas khas dari Masjid Raja ke pusat membeli-belah. “Seronok tengok adik-adik kita tersenyum sambil mencuba baju baru,” ujar Zuraida yang turut serta dalam sesi tersebut semalam. Jelas beliau, selepas itu, mereka dibawa ke sebuah hotel bagi menunaikan solat Asar berjemaah sebelum menikmati juadah berbuka puasa dalam suasana penuh kesyukuran. "Majlis ini bukan sekadar berkongsi rezeki, tetapi juga mengeratkan silaturahim dan menyuburkan kasih sayang dalam bulan yang mulia ini," tambah beliau. Dengan wajah yang berseri-seri, penerima pulang membawa bukan sahaja pakaian dan sumbangan, tetapi juga kenangan manis yang akan dikenang hingga ke Syawal.
14 Mar 25
298
'Sepakat Bersih, Tambun Tanah Supaya Tak Jadi Masalah'
'Sepakat Bersih, Tambun Tanah Supaya Tak Jadi Masalah'
KEMAMAN, 1 Mac - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat mengesyorkan para peserta yang menerima Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) supaya bekerjasama dan sepakat ketika membersihkan dan menambun tanah mereka supaya masalah kemudian hari dapat dielakkan. "Saya syorkan kepada peserta supaya berpakat kerana apabila berpakat, harga untuk pembersihan dan juga tambun menjadi murah. "Biasanya sebelum ini, peserta-peserta RTB banyak berpakat mengupah kontraktor membersih dan tambung tanah supaya serata di semua kawasan. Kalau tiga kaki, tiga kaki belaka. "Kita tidak mahu ada tiga kaki, ada empat kaki kerana kesannya nanti (boleh menyebabkan) banjirlah," maklumnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menyempurnakan penyerahan Dokumen Hak Milik dan Notis Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Tapak Bangunan Kediaman bagi DUN Cukai, di sini kelmarin. Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar itu menyerahkan geran tanah kepada 99 penerima dan borang 5A kepada 41 peserta melibatkan empat RTB iaitu Kampung Fikri, Kg. Mak Lagam, Kg Paya Berenjut dan Kg Teluk Nyior. Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Mohd Fadli Yusof Zakaria. Tambahnya, setakat ini Kemaman merupakan daerah paling banyak mengeluarkan geran tanah dan borang 5A sepanjang penggal lepas sehingga kini. "Kita dari empat DUN di sini bermula awal bulan Ferbuari banyak telah bagi geran dan borang 5A. Saya nasihatkan yang dapat (borang) 5A ini bayar secepat mungkin. "Jika sekiranya tidak mampu, boleh minta rayuan selama tiga bulan, menjadi enam bulan dari tempoh asal. Kalau tidak mampu juga, kita benarkan bayar ansuran selama setahun setengah, cuma apabila habis baru dapat geran. "Kena ingat bahawa sebelum dapat geran, walaupun kita bayar ia bukan tanah kita, selepas dapat geran barulah jadi tanah kita. Jangan 'lok' (biarkan sahaja), kena cari 'pitih' juga untuk bayar," katanya. Hanafiah turut mengingatkan supaya penerima geran tidak menjual tanah-tanah mereka, sebaliknya dijadikan pusakan untuk anak-anak. "Hendak boleh tanah ini bukan senang, sangat susah. Kemudian, harga tanah semua sekarang ini melebih RM100 ribu lebih di Kemaman dan kerajaan hanya minta bayaran 10 peratus sahaja, kalau tanah berharga RM120 ribu, peserta cuma perlu bayar RM12 ribu sahaja. "Jadi, bukan senang," katanya.   
01 Mar 25
222
Wad Kelas Ketiga Percuma Manfaatkan 224,000 Pesakit Terengganu
Wad Kelas Ketiga Percuma Manfaatkan 224,000 Pesakit Terengganu
KUALA TERENGGANU, 25 Februari – Kerajaan Terengganu telah memperuntukkan lebih RM12 juta sejak tahun 2020 bagi melaksanakan program Wad Kelas Ketiga Percuma, yang telah memberi manfaat kepada lebih 224,000 pesakit di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, menyatakan bahawa program ini adalah satu inisiatif penting dalam memastikan akses kesihatan yang lebih baik untuk rakyat, khususnya golongan kurang berkemampuan. "Dalam tempoh lima tahun pelaksanaan, peruntukan lebih RM12 juta telah membolehkan seramai 224,000 pesakit menerima rawatan tanpa membebankan kewangan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Iman, di sini kelmarin. Beliau turut menegaskan bahawa program itu bukan sekadar menyediakan bantuan kewangan tetapi juga mencerminkan komitmen kerajaan negeri terhadap kesejahteraan rakyat. "Ia bukan hanya berkaitan angka atau jumlah peruntukan, tetapi bagaimana inisiatif ini telah membantu meringankan beban rakyat dan memastikan mereka mendapat rawatan sewajarnya,” ujarnya. Menurut Wan Sukairi, kejayaan program ini turut didorong oleh usaha kerajaan dalam mendapatkan sumber pembiayaan tambahan. Selain dana kerajaan negeri, program ini turut menerima sokongan sektor korporat termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC). "Kami tidak hanya bergantung kepada peruntukan kerajaan semata-mata, tetapi turut mendapat sokongan pelbagai pihak untuk memastikan kesinambungan program ini demi manfaat rakyat," tambahnya.
26 Feb 25
243
Terengganu Terus Laksana Wad Kelas Ketiga Percuma Hingga 2028
Terengganu Terus Laksana Wad Kelas Ketiga Percuma Hingga 2028
KUALA TERENGGANU, 25 Februari – Rakyat Terengganu boleh menarik nafas lega apabila kerajaan negeri mengumumkan program Wad Kelas Ketiga Percuma akan disambung sehingga tahun 2028 walaupun berdepan sekatan royalti. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, keputusan ini dibuat selepas mendapat kelulusan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) baru-baru ini. "Alhamdulillah, kerajaan negeri telah meluluskan kertas kerja untuk menyambung kontrak program Wad Kelas Ketiga Percuma bermula tahun 2025 hingga 2028,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Iman, di sini. Beliau menegaskan, sebelum ini pelaksanaan program ini disambung secara tahunan, namun kali ini ia diberikan jaminan selama tiga tahun sekali gus. "Langkah ini diambil bagi memastikan kelangsungan program yang telah memberi manfaat besar kepada rakyat sejak diperkenalkan pada tahun 2020. "Kita melihat program ini benar-benar diperlukan rakyat. "Ia memberikan impak positif kepada masyarakat, justeru kerajaan negeri berusaha mencari sumber dana bagi membiayai program ini," tambahnya. Menurut Wan Sukairi, dana bagi menampung kos program ini bukan sahaja datang daripada peruntukan kerajaan negeri, malah turut disokong oleh sumbangan daripada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan sebagainya. "Kerajaan negeri telah memperuntukkan RM4 juta setahun bagi memastikan kelangsungan program ini.  "Dengan peruntukan tersebut, ribuan pesakit dari golongan kurang berkemampuan bakal terus menerima rawatan tanpa dikenakan sebarang bayaran. "Kerajaan komited untuk memastikan rakyat terus menerima manfaat kesihatan secara percuma serta berusaha mengukuhkan sumber kewangan agar program ini dapat diteruskan tanpa sebarang gangguan," ujarnya.
25 Feb 25
919
EPIC Berhad Peruntuk RM75,000 Bagi 'Back To School 2025'
EPIC Berhad Peruntuk RM75,000 Bagi 'Back To School 2025'
BESUT, 13 Februari – Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) meneruskan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan memperuntukkan sebanyak RM75,000 bagi menyantuni 300 orang penerima melalui program 'EPIC Back To School 2025' kali ini.  Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Haji Muhtar Suhaili, berkata program tahunan  tersebut bertujuan membantu keluarga yang memerlukan dan menyokong pembangunan pendidikan di Terengganu melalui bantuan kelengkapan sekolah kepada murid kurang berkemampuan di Terengganu.   Tambahnya, program itu diperluaskan ke beberapa kawasan pada tahun ini, memberi manfaat kepada 300 murid di tiga lokasi berbeza; 100 murid dari empat DUN di Kuala Terengganu pada siri pertama, 100 murid dari DUN Kijal, Kemaman pada siri kedua dan 100 murid dari DUN Jabi pada siri ketiga. “Bagi CSR 'Back To School 2025' siri ketiga kali ini, ia melibatkan 185 orang murid di mana 100 orang murid ditaja oleh EPIC. “Manakala, 85 orang murid lagi ditaja oleh Pusat Khidmat Dun Jabi, daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr. Azman Ibrahim sendiri. “Jadi program ini sebahagian daripada program CSR yang memang setiap tahun kita buat. Cuma tahun ini lebih ramai daripada tahun lepas. Tahun lepas hampir 100 orang dan tahun ini 300 orang, tiga kali ganda lebih ramai,” jelasnya kepada pemberita di program tersebut di Pasar Raya Zon Ria, Jerteh, semalam..   Tambahnya,  dalam usaha membantu persiapan itu, murid yang terpilih telah menerima baucer bernilai RM200 untuk ditebus dengan barang kelengkapan persekolahan seperti pakaian seragam, beg dan pelbagai lagi keperluan asas persekolahan di pasar raya tersebut. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr. Azman Ibrahim berkata, usaha EPIC Berhad dalam membantu murid-murid yang memerlukan sangat dipuji. “Saya berharap semoga tanggungjawab korporat sosial yang dilaksanakan  oleh anak-anak syarikat negeri berkongsi keuntungan untuk dinikmati oleh ahli masyarakat kita diteruskan. “Dan di pihak DUN Jabi kita akan terus sentiasa bersedia untuk bekerjasama bagi menyediakan program-program dalam bentuk CSR dan kemasyarakatan seperti ini. “Mudah-mudahan, anak-anak kita ceria untuk kembali ke awal sesi persekolahan dengan pakaian seragam baru dan semangat baru dan semoga mereka menjadi bakal-bakal pewaris untuk meneruskan apa yang kami pikul sekarang ini," ujarnya.   Menurutnya lagi, program tersebut bukan sekadar meringankan beban ibu bapa, tetapi juga memberi semangat kepada anak-anak untuk lebih bersedia menghadapi sesi persekolahan.
13 Feb 25
231