Artikel "Kebajikan" Terkini
Leher Ditebuk Angkara Penyakit Misteri
SETIU, 11 September – "Leher dia terpaksa ditebuk, baru dia boleh bernafas sendiri tanpa bergantung dengan alat bantuan pernafasan," ujar Shakirah Elias ibu kepada Muhammad Akif Darwisy, 10, yang menderita penyakit misteri sejak berumur enam tahun.
Kata Shakirah, 32, kejadian yang berlaku pada Disember 2016 itu benar-benar menguji mereka sekeluarga apatah lagi ia berlaku secara mengejut dan pantas.
"Waktu itu, Akif nak main di luar rumah, namun dia tiba-tiba pengsan terduduk, mukanya berubah menjadi biru, kemudian saya dan suami, Ayub Fauzi (ketika itu berumur 43 tahun) membawanya ke klinik kesihatan terdekat.
"Di klinik, Akif diberikan bantuan pernafasan selama dua jam, apabila semuanya sedikit terkawal dia dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut dan dirawat di unit rawatan rapi (ICU) selama sebulan, sepanjang di sana pihak hospital tidak mengetahui punca Akif pengsan dan doktor mengesahkan dia tidak mengalami apa-apa penyakit.
"Di hospital semuanya bergantung kepada alat bantuan pernafasan, selepas doktor melakukan pembedahan (menebuk) leher akhirnya dia boleh bernafas seperti biasa," jelasnya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim baru-baru ini.
Menurut ibu muda itu, dia redha dengan nasib menimpa anak sulung daripada dua beradik itu meskipun terpaksa melalui ujian tersebut secara sendirian pada dua tahun lalu selepas kehilangan suami tercinta.
Ujarnya, keprihatinan semua pihak sedikit sebanyak mengurangkan beban ditanggung termasuk untuk membeli keperluan Akif seperti pampers dan susu boleh mencecah RM2,000 sebulan.
"Terima kasih kepada semua termasuk Dr Azman yang menyumbangkan sebuah katil baharu untuk anak saya, ia sedikit sebanyak mengurangkan beban kekuarga mereka. Sudah lama cuba membuat permohonan katil baru memandangkan katil yang sedia ada sudah uzur, tambahan pula, Akif sudah semakin besar.
"Akif hanya mampu terlantar, minum susu melalui tiub dan dipakaikan pampers sejak 2016. Dengan bantuan katil baharu ini ia memberi keselesaan serta akan lebih memudahkan kerja saya untuk menguruskan dia," katanya yang menginap di PAKR Anak Ikan di sini.
Jelas Shakirah, kesihatan Akif beransur baik berbanding tahun-tahun sebelum ini yang agak menyukarkan mereka sekeluarga.
"Daripada kaku, kini sudah boleh pusingkan kepala, kaki dan tangan, malah ada ketika dia menangis dan senyum," jelasnya.
Dalam pada itu, Dr Azman menzahirkan rasa simpati terhadap ujian yang menimpa keluarga kecil berkenaan dan akan memberi pehatian sewajarnya.
"Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Semoga kedua Akif dan keluarga tabah menjalani liku-liku kehidupan di hari mendatang. Hari ini kita bagi katil baharu agar Akif lebih selesa," katanya lagi.
Untuk rekod, wanita tabah terbabit turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan dan telah membuat permohonan baru kepada Tabung Darul Iman.
11 Sep 20
926
Terengganu Agih RM4.188 Juta Kepada MPKK
KUALA TERENGGANU, 9 September - Kerajaan Terengganu bersetuju untuk menyalurkan bantuan geran bernilai RM4.188 juta kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di seluruh negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata sebanyak 1,047 MPKK akan memperolehi bantuan itu dengan setiap entiti menerima RM4,000.
Katanya, ia diberikan secara 'one-off' dan dijamin tiada MPKK yang tercicir.
"Penyaluran geran ini adalah bantuan jangka pendek bagi tahun 2020 dalam rangka keprihatinan kerajaan negeri.
"Ia bagi merangsang perancangan serta pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan di peringkat kampung dalam melalui fasa PKPP sekarang ini.
"Kerajaan negeri komited untuk mempastikan pengurusan MPKK Terengganu sentiasa berada pada tahap terbaik dalam memberikan khidmat bakti kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
09 Sep 20
2260
Mangsa Kebakaran Rumah Terima Bantuan Segera
KUALA TERENGGANU, 8 September - Mangsa kebakaran rumah di Kampung Gong Nangka semalam, Zulkifli Daud telah menerima reaksi balas daripada agensi kerajaan.
Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (PKM ADUN) Batu Buruk telah mengambil inisiatif untuk memberikan bantuan secara ‘one off’ serta membaik pulih kerosakan yang dialami rumah-rumah berdekatan.
Manakala, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan Khairunnisa masing-masing telah menyampaikan bantuan keperluan kepada mangsa.
Sementara itu, pihak JKM dan Tabung Darul Iman (TDI) akan membantu untuk membuat permohonan pembinaan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) buat mangsa dan tindakan susulan akan diambil oleh pihak PKM ADUN Batu Buruk.
Tragedi kebakaran yang berlaku sekitar pukul 7.00 malam semalam telah memusnahkan keseluruhan rumah mangsa dan mengakibatkan kerosakan pada rumah-rumah di sekitarnya.
08 Sep 20
714
SATU Agih 100,000 Liter Air Bersih Sehari Ke Selangor
KUALA TERENGGANU, 10 September - Syarikat Air Terengganu (SATU) mengagihkan 100,000 liter air bersih atau dengan muatan 20 trip sehari bagi meringankan beban penduduk di sekitar Lembah Kelang, Selangor yang terjejas akibat krisis air.
Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Ir Atemin Sulong berkata, sebuah lori tangki dengan dua pemandu itu ditugaskan menghantar bekalan air di sekitar Klang sejak hari kedua krisis air di negeri itu dan dijangka berterusan sehingga minggu depan.
"Syarikat Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ada pusat penyelarasannya dan mereka akan membahagikan kawasan penghantaran air dan bagi SATU, kita ditugaskan di sebahagian kawasan Klang.
“Bantuan ini sebenarnya selaras dengan memorandum persefahaman (MoU) antara operator dan permintaan Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN), maknanya jika berlaku krisis air antara negeri, kita akan turun membantu.
“Semasa kita berdepan dengan krisis air pada tahun 2018, mereka juga datang bantu dalam pengagihan air bersih di kawasan yang terjejas,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Gangguan bekalan air di sekitar Lembah Klang bermula sejak Khamis lalu apabila Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3, dan Rantau Panjang dihenti tugas akibat pencemaran sumber air mentah.
Dalam perkembangan sama, Ir Atemin berkata, selain di Selangor, SATU juga melakukan misi yang sama, dengan menghantar lori tangki dengan kapasiti 5,000 liter ke Machang, Kelantan sejak 29 Ogos lalu hingga semalam
07 Sep 20
854
100 Fakir Miskin Pulau Redang Terima Sumbangan
SETIU, 7 September - Lebih 100 orang fakir miskin yang tinggal di Pulau Redang menerima sumbangan daripada kerajaan negeri dalam satu program yang berlangsung di Balairaya Kampung Baru, baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa. Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat memanjat kesyukuran atas kejayaan penganjuran program tersebut dan berterima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat dalam menjayakannya.
Katanya, di bawah portfolio beliau, pihaknya akan memastikan kebajikan penduduk di Pulau Redang diberikan perhatian sewajarnya.
"Alhamdulillah, hari ini saya dapat bersama-sama penduduk di Pulau Redang untuk menyampaikan sumbangan daripada kerajaan negeri Terengganu.
"Insya-Allah, kita akan membantu mereka bukan sahaja dalam menghadapi kesusahan atau bala bencana, bahkan kami berhasrat melihat lebih daripada itu dalam memastikan anak-anak mereka juga menerima pendidikan yang baik dan dapat melanjutkan pelajaran di dalam atau di luar negara," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program kebajikan yang bertemakan 'Terengganu Prihatin, Redang Sejahtera' di Pulau terbabit baru-baru ini.
Turut hadir, Penolong Setiausaha Kerajaan, Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Mohd Shahrir Ghani, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ariffin Abdullah dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Ustaz Mohd Shafizi Ismail.
Dalam program tersebut, kerajaan negeri telah menyerahkan sumbangan berbentuk wang tunai dan sekampit beras kepada lebih 100 orang fakir miskin serta mengadakan jamuan rakyat kepada seluruh penduduk di sana.
Taklimat dan sesi dialog antara pihak Tabung Darul Iman (TDI), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) turut dijalankan bagi memastikan rakyat mendapat info yang terkini.
Manakala, melalui kerjasama dengan Akademi Didik Ulamak Amilin Terengganu (DUAT) mengadakan kuliah maghrib yang berlangsung di Masjid Kampung Baru.
07 Sep 20
328
Krisis Air Isu Bersama, Usah Perlekehkan Sesiapa – Dr Azman
SETIU, 6 September – Krisis air yang sedang melanda salah sebuah negeri di Malaysia ketika ini merupakan isu bersama yang tidak patut perlekehkan mana-mana pihak.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata isu besar ini merupakan masalah sejagat di Malaysia dan tiada negeri bebas sepenuhnya daripada kemelut itu.
"Sama ada masalah terputus terus bekalan air, tekanan air rendah, kualiti air yang rendah atau kawasan penempatan penduduk yang belum dapat bekalan air bersih.
"Jadi, seeloknya jangan ada siapa yang memperlekehkan sesiapa. Ini adalah isu kita bersama. Bezanya ada negeri yang agak ringan masalah dan ada negeri yang sangat kronik.’’ beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, pihaknya terus komited untuk meminimakan sedaya mungkin jumlah penduduk yang belum mendapat bekalan air bersih.
"Kerja-kerja pemasangan paip air di Jabi memang agak intensif kita buat sama ada daripada peruntukan ADUN, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan ada ketikanya sumber dalam poket sendiri. Yang penting isu air ini perlu ditangani secara berperingkat.
"Terdapat berbelas buah rumah di Kampung Kuala Kubang masih menggunakan air daripada sumber Air Terjun Lata Belatan, Jabi. Air yang berpunca dari Gunung Tebu ini sangat sejuk, bersih dan segar.
''Dah berpuluh tahun saliran paip sepanjang lebih tiga kilometer dari kaki gunung ke rumah penduduk tak diselenggara dan dah banyak yang rosak dan bocor. Kita keluarkan sedikit belanja bagi kerja-kerja penggantian paip dan beberapa peralatan lain. Dalam hal ini pemimpin setempat perlu proaktif. Kenal pasti masalah di kawasan masing-masing dan angkat permohonan bajet ke atas," ujarnya lagi.
06 Sep 20
1280
Pembangunan Infrastruktur Luar Bandar Tidak Dipinggirkan
SETIU, 5 September - Projek pembangunan infrastruktur tidak tertumpu di kawasan bandar sahaja tetapi turut dilaksanakan di sekitar luar bandar demi kesejahteraan rakyat pedalaman.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata pembangunan di kawasan kampung sedang giat dijalankan termasuk usaha untuk meminimakan masalah yang ditanggung penduduk terutama pada musim tengkujuh.
"Kita agihkan sedikit sebanyak biar sama rasa, semua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK). Untuk kali ini, jalan dan longkang U di Kampung Bukit Tanah. Insya-Allah, musim banjir akan datang, masalah air bertakung kita cuba minimakan sedaya yang boleh," katanya ketika ditemui pemberita semalam.
Menurutnya, sebarang pembangunan boleh dibina daripada pelbagai sumber sama ada Peruntukan Projek Kecil ADUN, Majlis Daerah, Pejabat Daerah, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) malah ada ketikanya peruntukan poket sendiri boleh dikeluarkan.
"Fungsi kami ialah merancang, mengatur dan membuat urusan bersama agensi atau jabatan terlibat agar peruntukan yang ada dapat disalurkan serta dibelanjakan sebaiknya bagi manfaat rakyat.
"Saya ibarat seorang ayah yang ada anak ramai. Tak boleh tunggu dan lihat sekadar apa yang mari sahaja. Perlu cergas bergerak ke sana ke mari, cari belanja dan peruntukan untuk keperluan anak-anak.
"Naik lif, turun tangga, masuk pejabat keluar pejabat. Jumpa Menteri, KSU dan pegawai-pegawai kanan kementerian. Akhirnya biarlah ada hasil yang boleh dibawa balik kepada rakyat.
"Jangan salah faham, duit pun bukan diberi kepada kita. Tapi dalam bentuk projek pembangunan melalui tatacara kewangan yang ketat," tambah beliau.
05 Sep 20
1003
19 Tahun Menanti, Akhirnya Kerajaan Beri Tanah
MARANG, 4 September - Penantian hampir dua dekad penduduk Kampung Lapang Jambu Laut untuk memiliki tanah sendiri berakhir selepas menerima Geran Hak Milik Kekal dan Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok baru-baru ini.
Ismail Abu Bakar, 51, berkata, dia sangat bersyukur dan berterima atas segala usaha pihak kerajaan yang mengotakan janji untuk memberi semula tanah yang diambil sebelum ini.
"Lama kami tunggu, selama 19 tahun lamanya, akhirnya sekarang baru dapat kembali hak milik tanah. Terima kasih kerajaan PAS Terengganu atas usaha yang diambil.
"Setelah pemerintahan PAS yang baru kami dapat geran ini. Bertambah bertuah lagi, geran ini disampaikan sendiri Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang," katanya yang menuntut hak milik untuk tanah-tanah terkilan sejak tahun 2001.
Menurut Ismail lagi, pemberian geran itu membolehkannya mendirikan sebuah rumah untuk anak-anak dan mampu hidup dengan lebih selesa.
"Anak-anak di rumah sudah mengetahui lebih awal tentang pemberitahuan penerimaan ini dan mereka berasa sangat gembira dengan mendapat geran tanah yang kekal ini," jelasnya lagi.
Turut berkongsi perasaan gembira ialah Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Lapang Jambu Laut, Zulkifli Puteh, ujarnya, meskipun penerima menanti agak lama, mereka tidak pernah mengalah dan hari ini membuktikan penantian mereka sangat berbaloi
"Sesungguhnya sudah lama kita mohon untuk mendapatkan geran hak milik sejak kita berjuang daripada tahun 2000 sehingga pada hari ini," tambahnya.
04 Sep 20
405
Keluhan Bapa Dua Anak Berbalas
KUALA NERUS, 3 September - Keluhan bapa dua anak, Norisham Ngah terhadap kesukaran hidup yang dialaminya selepas terlibat dalam kemalangan di kampung Telaga Batin beberapa bulan lalu berakhir.
Kesihatan Norisham, 35, yang tidak menentu mendesak isterinya untuk bekerja mengambil upah memotong bawang di sebuah kedai untuk menyara anak-anaknya yang masih bersekolah.
Menyedari kepayahan mereka sekeluarga, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menerusi Pegawai Khasnya, Ustaz Wan Yusrizal Wan Shafi'i menghulurkan sumbangan bagi meringakan beban keluarga terbabit pagi tadi.
Hadir sama, Penyelia i-MITS DUN Seberang Takir, Muda Abdullah dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Hulu Takir, Ahmad Sirajul Fahmi Ramli.
Norisham ketika ditemui pemberita berkata, dia sangat terharu atas keprihatinan semua pihak termasuk wakil kerajaan dan MPKK kerana mengambil berat akan keperitan rakyat serta dirinya.
"Alhamdulillah, terima kasih atas bantuan dan sumbangan yang diberi. Semoga Allah membalas jasa YB," ujar beliau setelah menerima bantuan.
Beliau yang juga seorang penjual ayam di Kampung Padang Air sempat berkongsi pengalaman sewaktu kemalangan berlaku dan memohon doa supaya kesnya dapat diselesaikan dengan baik.
03 Sep 20
351
Terengganu Sokong Hasrat PM Naikkan Bantuan JKM
KUALA TERENGGANU, 1 September - Kerajaan Terengganu menyokong hasrat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menaikkan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada RM1,000.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, pihaknya amat terharu dengan pengumuman itu memandangkan jumlah pemberian bantuan berkenaan pada masa kini dilihat tidak mencukupi.
“Saya menyokong penuh cadangan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri untuk menaikkan bantuan JKM termasuk kepada orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal daripada sekitar RM200 hingga RM300 ke RM1,000.
“Memandangkan kos kehidupan termasuk harga barangan sangat tinggi maka saya berkeyakinan dengan peningkatan jumlah bantuan bulanan ini akan memberi lebih keselesaan kepada para penerima," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.
Katanya lagi, kenaikkan itu juga pasti dapat membantu anak-anak penerima untuk meneruskan pembelajaran di sekolah rendah, menengah dan universiti dengan selesa.
"Saya yakin dengan bantuan ini mereka dapat mengurangkan beban sara hidup.
"Perkara ini sering menjadi rungutan di kalangan mereka di bawah dan mereka memohon supaya bantuan bulanan dapat dinaikkan, bayangkan sebelum ini mereka terpaksa menggunakan sebahagian duit bantuan untuk membayar sewa rumah dan selebihnya membeli barangan keperluan, memang tidak cukup," ujarnya.
Kelmarin, Muhyiddin mengusulkan agar bantuan bulanan JKM dinaikkan sehingga RM1,000 kepada mereka yang berkelayakan.
Menurutnya, cadangan itu akan dikemukakan oleh beliau pada mesyuarat Jemaah Menteri minggu hadapan.
01 Sep 20
3136