Artikel "Kebajikan" Terkini
Lima Pesakit Terima Bantuan Kewangan
MARANG, 28 September - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah sempat meluangkan masa menziarah dan bertanya khabar lima pesakit yang kurang beekemampuan.
Pada masa sama ziarah itu bertujuan menyerahkan bantuan bulanan wang tunai RM200 kepada pesakit dan bantuan sama akan diteruskan pada bulan seterusnya.
Lima pesakit itu adalah dari Kampung Sena Rendang, Kampung Machang Lada, Kampung Mak Kemas dan Kampung Padang Paksu Man.
Mohd Nor berkata, untuk serahan pertama, pihaknya menyalurkan terus supaya dapat bertemu dan melihat sendiri situasi pesakit serta masalah yang dihadapi.
"Kita juga berharap dengan adanya sumbangan yang berupa wang ringgit sebegini akan memudahkan lagi pengurusan kewangan terhadap keluarga tersebut," katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Pembangunan Insan Dakwah Dan Penerangan negeri itu berkata ketika ditemui dalam program penyerahan sumbangan tersebut di Kampung Sena Rendang, Bukit Payong, Marang baru-baru ini.
Turut sama dalam program tersebut Penolong Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Marang, Shahrizal Ali dan pegawainya serta Pegawai-pegawai dari Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Payong.
28 Sep 20
337
Keperluan Rakyat Amanah Kami
KUALA TERENGGANU, 28 September - Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Bandar begitu komited dalam memastikan tiada warga komunitinya terabai dari sudut kebajikan. Keperluan rakyat merupakan amanah yang terpikul di pundak setiap wakil masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata, PKM Dun Bandar sentiasa mengalukan kedatangan warga komuniti untuk datang mengadu ataupun berkongsi permasalahan yang dihadapi.
"Kami akan berusaha semampunya untuk membantu mereka yang memerlukan. Namun masyarakat harus faham antara keperluan dan keinginan."
"Jangan sampai terambil keperluan orang lain kerana hanya mahukan keinginan kita ditunaikan. Itu adalah satu dosa," katanya.
Ahmad Shah berkata demikian ketika ditemui semasa penyampaian sumbangan kebajikan termasuk sebuah kerusi roda kepada Pak Bidin di rumahnya di Kampung Losong Haji Mamat, baru-baru ini.
Beliau sudah tiga bulan tidak dapat bekerja kerana diserang penyakit Gout. Ibunya pula menghidap jangkitan kuman pada paru-paru dan sedang dalam rawatan susulan di klinik.
24 Sep 20
144
Ibu Tunggal Sara Dua Anak Terima Bantuan
BERA , 24 September - 'Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul', itulah perumpaan yang sesuai digambarkan bagi mengambarkan kesusahan seorang ibu tunggal dalam menyara dan membesarkan dua anaknya.
Norsabariha Md Sidek, 37, yang berasal dari Kampung Durian Guling, Marang dan menetap di Bera, Pahang menghadapi krisis ekonomi sejak beberapa tahun lalu.
Katanya, keadaan bertambah rumit apabila anaknya, Puteri Nur Qisha, 8, sedang menghidap penyakit tonsil dan memerlukan rawatan susulan setelah selesai pembedahan beberapa minggu lalu.
"Bagaimanapun, kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong dan rombongan untuk melihat keadaan kami sekeluarga sangat dihargai.
"Terima kasih juga kepada semua atas sumbangan yang diberikan," kata Norsabariha kepada pemberita semasa aktiviti ziarah Sulaiman baru-baru ini.
Turut hadir, Pengerusi Perantau Pahang Terengganu Dr Hasbullah dan SU MTD Pengkalan Berangan Badaruddin Ismail.
ADUN Pengkalan Berangan YB Ustaz Sulaiman Sulong terus prihatin dan cakna terhadap warga DUN Pengkalan Berangan walaupun yang berada luar daripada Negeri Terengganu.
Sementara itu, Sulaiman berkata, pihaknya akan terus memberi bantuan kepada rakyat DUN Pengkalan Berangan yang memerlukan walaupun mereka berada di luar negeri.
"Selagi mereka adalah pengundi dari DUN Pengkalan Berangan, maka perlu untuk kita terus prihatin walaupun mereka berada di luar dari negeri kita," ujarnya.
22 Sep 20
117
MPKK Jabi Gotong-Royong Baiki Pondok Polis
SETIU, 22 September – Pondok polis Jabi yang terjejas akibat dibadai ribut pada Khamis lalu mendapat perhatian Dr Azman Ibrahim apabila satu aktiviti gotong-royong dijalankan semalam bagi membaiki kerosakan terbabit.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi itu berkata, inisiatif berkenaan diambil bagi mengekal dan meningkatkan jalinan baik antara pihak berkuasa dan komuniti.
"Polis dan masyarakat berpisah tiada. Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Jabi bergotong-royong baik pulih atap Pondok Polis Jabi yang rosak dalam kejadian ribut khamis lepas.
"Sekadar sumbangan kecil kami berbanding besarnya pengorbanan anggota keselamatan sehingga kami mampu tidur lena di malam hari. Semoga dengan usaha ini dapat memberikan keselesaan untuk terus berkhidmat. Terima kasih semua,’’ katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Dalam kejadian ribut terbabit, sekitar 30 buah rumah di Jabi, kedai serta tanaman padi turut terjejas dan akan diberikan bantuan secara berperingkat.
22 Sep 20
821
ADUN Jabi Agih RM3,000 Kepada Masjid, MPKK
SETIU, 22 September – Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi mengagihkan sumbangan secara ‘one-off’ sebanyak RM3,000 kepada 37 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan 22 masjid di seluruh DUN terbabit.
ADUN Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, bantuan kepada setiap Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) berjumlah RM2,000 turut diberikan bagi merancakkan lagi perjalanan entiti itu.
Katanya, walaupun tiada peruntukan khusus untuk institusi-institusi tersebut, pihaknya tetap mengusahakan beberapa langkah supaya ia memberi manfaat kepada semua pihak.
"Kesemua 37 MPKK dalam DUN Jabi menerima sumbangan ‘one-off’ sebanyak RM3,000 dari Pejabat ADUN Jabi. Sebelum ini pun macam-macam peruntukan kita dah bagi berdasarkan keperluan.
"Kita tak ada suatu peruntukan khusus untuk masjid, PIBG atau MPKK. Dengan apa yang ada, kita atur dan agihkan sebaik mungkin agar sama dapat merasa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya lagi, pihaknya merupakan badan yang bertanggungjawab dalam memberi kemudahan kepada semua.
"Tahun ini tak ada mesyuarat agong PIBG. Untuk kesemua PIBG bagi 14 buah sekolah dalam DUN Jabi, kita salurkan sumbangan ‘one-off’ sebanyak RM2,000 di samping sumbangan berkala lain sebelum ini. Tak banyak tapi sama merasa," tambah beliau.
22 Sep 20
825
30 Buah Rumah Dibadai Ribut Dibaiki Segera
SETIU, 18 September - Sebanyak 30 buah rumah yang rosak di Jabi akibat dibadai ribut semalam akan dibaiki segera bermula hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, kejadian pada waktu asar itu menjejaskan beberapa buah kampung di sini.
"Ribut melanda beberapa kampung di Jabi waktu asar semalam disertai hujan lebat. Antara kampung yang terjejas ialah Kampung Oh, Kampung Renek, Kampung Bharu Tok Dor, Kampung Padang Lengkuas, Kampung Sri Aman dan beberapa kampung lain.
"Terdapat beberapa buah rumah ditimpa pokok tumbang. Tujuh batang pokok di atas pembahagi jalan Pekan Jabi turut rebah.
"Alhamdulillah, hanya atap, syiling dan sebahagian dinding sahaja yang rosak. Setakat ini, tiada kecederaan dan kematian yang dilaporkan akibat daripada ribut berkenaan," katanya.
Ribut turut merosakkan sawah padi.
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ke beberapa rumah penduduk di sekitar Jabi, petang semalam.
"Saya sangat berterima kasih atas tindakan segera kakitangan Pejabat ADUN dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) menyelesaikan apa yang perlu disegerakan terutama mengalihkan pokok tumbang yang menghalang laluan.
"Kita buat operasi secara menyeluruh untuk baik pulih rumah yang rosak. Jumlahnya setakat dilaporkan sekitar 30 buah rumah. Harap bersabar semua," katanya.
Dalam pada itu beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Idustri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri berkata, beberapa ekar sawah padi di Baruh Kampung Oh Jabi juga ranap akibat angin yang kuat itu.
"Insya-Allah kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan sewajarnya melalui Tabung Bencana Pertanian Negeri," jelasnya.
18 Sep 20
861
ADUN Alur Limbat Bantu Pak Khamis
KUALA TERENGGANU, 16 September -
"Saya berasa lega dan terharu apabila ada pihak yang tampil memberikan sumbangan bagi membiayai kos menanam bangkai kerbau," kata Khamis Jusoh.
Katanya, dia memperuntukkan lebih RM300 sehari untuk menyewa jengkaut bagi menanam bangkai kerbau dikandangnya itu.
Khamis berkata demikian ketika ditemui ketika menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Alur Limbat Ariffin Deraman yang juga Exco Kerajaan Negeri Terengganu di Kampung Kubang Bujuk, di sini, hari ini.
Sementara itu, Ariffin berkata kerajaan negeri juga akan menyalurkan bantuan melalui Tabung Bencana untuk meringankan urusan keluarga itu.
Sehingga pagi tadi, 50 kerbau milik Pak Khamis, 64, mati termasuk 'Semek', yang paling disayangi anaknya Muhammad Syukur, 15, atau lebih dikenali sebagai 'Mowgli Malaysia'.
Syukur mula terkenal apabila gambar-gambar yang menampilkan kemesraannya dengan lebih 100 kerbau peliharaan
keluarganya tular, selain gambar itu turut tersenarai sebagai antara 20 yang terbaik dunia.
17 Sep 20
794
Keprihatinan Kerajaan Negeri Terhadap Ibu Tunggal Dipuji
MARANG, 15 September - Keprihatinan kerajaan Terengganu bagi mengelakkan ibu tunggal yang layak menerima bantuan khas tercicir mendapat pujian Jabatan Pembangunan Wanita (JPW).
Pengarah JPW Terengganu, Raja Kamariah Raja Abdul Rahman berkata, ia terbukti apabila kebanyakan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu telah mengadakan taklimat berhubung Bantuan Khas Ibu Tunggal di Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).
Katanya, walaupun bantuan itu tidaklah terlalu besar, tetapi ia sangat membantu mereka yang kurang berkemampuan.
"Memang kerajaan hanya bagi sekali secara one-off sebanyak RM300, tetapi sebenarnya nilai itu sangat berharga dan besar bagi orang yang memerlukan.
Raja Kamariah Raja Abdul Rahman
"Di Terengganu, kita tidak mempunyai masalah dari segi kerjasama di DUN, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung dan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) yang menunjukkan keprihatinan dalam menjaga masyarakat," ujarnya.
Beliau berkata ketika berucap dalam Program Taklimat Bantuan PENJANA Ibu Tunggal di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, di sini kelmarin.
Turut hadir, Penyelia i-MiTS Rhu Rendang, Mohd Embong, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat DUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng dan wakil Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Marang, Jalaluddin Awang.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan seramai 1,500 orang telah mendapat bantuan itu dalam fasa satu, dua dan tiga.
Sementara itu, Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman berkata, program itu diadakan bagi memastikan semua ibu tunggal yang layak tidak tercicir.
"Itu tujuan kita, lebih-lebih lagi pada saat ini mereka golongan yang sangat memerlukan setelah terjejas dengan pandemik COVID-19.
"Selagi kita bergelar kerajaan, kita akan terus menjaga kebajikan masyarakat setempat, memberi maklumat dan menjadi pengantara atau orang tengah bagi memudahkan urusan rakyat," jelasnya lagi.
13 Sep 20
826
Kerajaan Terengganu Tidak Lokek Bantu Rakyat
KUALA TERENGGANU, 12 September - Kerajaan negeri tidak pernah lokek untuk membantu rakyat agar kehidupan mereka lebih baik daripada sebelumnya.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar berkata, ia diterjemahkan melalui penyaluran peruntukan kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk membantu rakyat di DUN masing-masing.
"Saya di DUN Ladang ini suka membantu sebenarnya, suka membantu apa yang perlu dibantu...tandas ke, tandas lah kena bantu.
"Walaupun Ladang ini dekat dengan bandar. Kemiskinan bandar ini lebih teruk daripada kemiskinan di kampung.
"Apa dia nak, kita tidak soal banyak, dia nak hidup, ambillah. Bukan duit saya pun, duit kerajaan. Kita beri, mudahkan begitu. Minta harini, esok dapat. Maknanya, kita (kerajaan) rasa seronok boleh bantu orang seperti ini dan rasa bersalah kalau tidak bantu mereka," ujarnya.
Tengku Hassan menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Majlis Aku Janji dan Dialog Prestasi Kecemerlangan Para Pelajar Tingkatan Lima di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Bariah di sini.
Sementara itu ketika ditemui wakil media selepas majlis tersebut, beliau turut menekankan bahawa kerjasama yang erat antara tiga entiti iaitu pelajar, pendidik dan ibubapa menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru mampu mencipta kecemerlangan sesebuah sekolah.
"Pelajar kena 'smart' belajar dengan bimbingan guru yang 'smart' mengajar dan PIBG membantu di belakang," jelasnya.
12 Sep 20
1966
PKM Rhu Rendang Serah Bantuan Kerusi Roda Dan Ziarah Remaja Kemalangan
MARANG, 11 September - Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang telah menyerahkan bantuan kerusi roda bagi memudahkan pergerakan dua penduduk uzur di Kampung Rusila dan Rhu Renggeh.
Seorang remaja sekolah di Kampung Gong Nangka yang terlibat kemalangan baru-baru ini juga turut diziarahi sebagai tanda cakna kepada golongan yang tidak bernasib baik.
Menziarahi remaja sekolah yang terlibat dalam kemalangan
Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman berkata, bantuan kerusi roda ini memang penting bagi golongan memerlukan lebih-lebih lagi yang uzur dan sakit untuk memudahkan pergerakan serta menguruskan diri.
“Menziarahi mereka yang tidak bernasib baik juga adalah sebagai tanda kerajaan kini mengambil berat dan ambil tahu tanpa mengira latar belakang.
"Aktiviti ziarah dan agihan bantuan telah menjadi rutin bagi PKM bagi melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat dan orang awam,"katanya
Turut hadir adalah Ketua Pemuda Pas Dun Rhu Rendang, Ziyad Zakaria, Pegawai Khas PKM Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Gong Nangka, Rusila dan Rhu Renggeh.
Serahan kerusi roda kepada wakil pesakit
Menurutnya lagi, bantuan yang diagihkan adalah berdasarkan keperluan dan keutamaan yang diteliti daripada maklumat yang diterima sama ada daripada MPKK dan PKM.
“Semua penduduk di Rhu Rendang layak menerima bantuan, dan PKM akan berusaha untuk mengagihkan bantuan dengan sebaiknya.
“Bantuan yang diagihkan juga tidak hanya datang daripada PKM, tetapi juga daripada agensi lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Tabung Darul Iman, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) serta lain-lain,” tambahnya lagi.
Selain daripada serahan kerusi roda, sedikit sumbangan berupa barang keperluan asas dan kewangan turut diberikan.
11 Sep 20
496