lightning-solid
Berita :

Artikel "Kebajikan" Terkini

ADUN Sura Peruntuk RM34,500 Sebulan Bantu Asnaf
ADUN Sura Peruntuk RM34,500 Sebulan Bantu Asnaf
DUNGUN, 29 Ogos - Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura memperuntukkan lebih RM34,500 sebagai bantuan kepada 345 golongan asnaf setiap bulan.  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik berkata, asnaf yang terdiri daripada keluarga susah, ibu tunggal, ibu terabai dan sesiapa yang mencukupi syarat layak menerima bantuan berkenaan. “Bermulai Julai 2020 lepas, setelah kita bermesyuarat, kita putuskan untuk tambah lagi jumlah penerima sumbangan bulanan ini.  "Daripada 230 orang meningkat kepada 345 iaitu hampir sekali ganda dan jumlah peruntukan juga bertambah kepada RM34,500,” katanya kepada pemberita.  Menurut beliau, program yang dinamakan sebagai Sumbangan Bulanan Al Mustadh’afin ini telah bermula sebelum pilihanraya umum (PRU) 14 dan diteruskan sehingga sekarang.  Tambah beliau lagi, penerima sumbangan sentiasa ditukar setiap bulan.  “Kita buat sistem giliran dimana nama yang sama tidak boleh dapat berturut turut kecuali atas beberapa sebab dan faktor.  "Setidak-tidaknya dengan cara ini hampir semua orang akan merasainya,” ujarnya.  Dalam pada itu, Wan Hapandi memaklumkan sekiranya ada pihak yang mengetahui atau mengenali keluarga yang terabai atau layak, segera maklum kepada MPKK terdekat untuk dibantu.  
29 Aug 20
396
Ameerah DUN Sura Sumbang Kit kebersihan Kepada PASTI
Ameerah DUN Sura Sumbang Kit kebersihan Kepada PASTI
DUNGUN, 27 Ogos- Ameerah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura menyerahkan sumbangan kit kebersihan percuma kepada anak-anak Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di DUN berkenaan sebagai tanda sayang dan usaha murni menangani penularan pandemik COVID-19.  Ketuanya, Khadijah Tahar berkata, pemberian terbabit adalah untuk memastikan pelajar dan guru PASTI sentiasa kekal bersih.  “Kita namakan ini sebagai ‘Projek Kami Sayang Sekolah’ dimana kami turun ke semua PASTI dalam DUN Sura dan agihkan kit kesihatan yang mengandungi pelitup muka, pensanitasi tangan dan pencuci tangan," ujarnya kepada pemberita selepas mengagihkah kit di beberapa PASTI, baru-baru ini. Munurut Khadijah lagi, projek ini akan diteruskan lagi ke tadika dan sekolah-sekolah di DUN berkenaan “InsyaAllah kami akan teruskan sumbangan ini ke tadika dan sekolah sekolah terpilih pada masa akan datang.  "Kami juga membuka peluang dan ruang kepada warga Dungun dan sesiapa sahaja untuk terus memberi sumbangan kepada kami untuk kami sampaikan kepada anak-anak diluar sana,” ujarnya.  Dalam masa yang sama, bendera jalur gemilang turut diedar sempena bulan kemerdekaan dan hari merdeka yang akan tiba tidak lama lagi. 
27 Aug 20
444
Saluran Kebajikan Keutamaan Tetap PKM
Saluran Kebajikan Keutamaan Tetap PKM
MARANG, 25 Ogos - Menjadi satu keutamaan tetap bagi Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang dan agensi berkaitan bagi menjaga saluran kebajikan untuk membantu masyarakat dan komuniti yang memerlukan bantuan. Pegawai Khas PKM Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, pihaknya sentiasa menitik beratkan usaha untuk menjaga kebajikan masyarakat setempat. "Setiap minggu akan diadakan satu program ziarah atau kunjungan bersama-sama agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Marang, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam), Petugas Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Dun Rhu Rendang dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di tempat terlibat. "Kunjungan ini mensasarkan mereka yang memerlukan bantuan seperti mereka yang dilanda musibah, kemalangan, bencana, sakit kronik dan lain lagi. "Biasanya maklumat ini kita terima melalui aduan daripada pihak MPKK, i-MiTS, dan aduan terus di PKM di mana kita akan susun satu jadual bagi urusan ke rumah secara terus. Beliau berkata ketika selesai mengadakan kunjungan ke enam buah rumah melibatkan MPKK Rusila, Taman Rasyidah, Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Sungai Kerak, Sentol Patah, Rusila, dan Kijing Pantai, baru-baru ini. Menurutnya lagi, kebanyakan pengadu atau penduduk kampung tidak tahu saluran mana yang patut dituju, jadi dengan kaedah ini kita bawa terus agensi ke rumah untuk sebarang penjelasan berkenaan bantuan yang perlu dan layak dipohon. "Sebarang permasalahan atau kekeliruan juga boleh diselesaikan secara berdepan di mana ianya lebih baik bagi mengelakan salah faham antara rakyat dan jabatan. "PKM juga turut menyatakan seribu penghargaan kepada agensi terlibat dan pihak MPKK yang sering memberikan kerjasama dan terlibat dalam usaha membantu masyarakat memerlukan. "Di samping usaha bagi menyalurkan bantuan tersebut, sedikit sumbangan daripada Pejabat ADUN juga turut disumbangkan kepada mereka yang dikunjungi," tambahnya.
26 Aug 20
479
Hanafiah Terima Anugerah Pangkat Kolonel Kehormat APM
Hanafiah Terima Anugerah Pangkat Kolonel Kehormat APM
KUALA TERENGGANU, 21 Ogos - Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat dianugerahkan pangkat Kolonel Kehormat (PA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kelmarin. Hanafiah yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai berkata, beliau berbesar hati atas penganugerahan itu dan menyifatkannya sebagai pembakar semangat untuknya terus membantu masyarakat. "Terima kasih Yang Berhormat Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dan APM yang telah mengiktiraf diri saya untuk menerima anugerah ini. "Lebih 30 tahun saya berkecimpung dengan rakyat atau masyarakat di negeri ini. Susah senang bersama mereka samada ketika banjir, tanah runtuh, ribut dan seumpamanya," ujarnya. Beliau yang juga merupakan Ahli Tetap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu juga pernah melakukan misi bantuan sehingga ke luar negara seperti Sudan dan Kemboja. "Semoga kita semua akan terus sama-sama berganding bahu bagi melindungi masyarakat awam daripada kesusahan dan sebarang bencana samada bencana alam atau bencana buatan manusia," katanya lagi. Beliau berkata demikian ketika selesai Majlis perjumpaan Yang Berhormat Menteri Tugas-Tugas Khas bersama YAS Datuk Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Warga APM Terengganu di Camelia Grand Ball Room, Tingkat 7, Hotel Paya Bunga, di sini, kelmarin. Dalam majlis berkenaan, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komuditi, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mendahului penerimaan pangkat Pesuruhjaya Kehormat (PA). Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan, dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak, dan Pengarah APM negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman.
21 Aug 20
5679
NUSA Bantu Asnaf Anjur Program Amal Bulanan
NUSA Bantu Asnaf Anjur Program Amal Bulanan
MARANG, 18 Ogos - Norlan United Skuad Amal (NUSA) di bawah Program Amal Asnaf Bulanan telah turun membantu 10 keluarga kurang berkemampuan di sekitar Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang. 10 buah keluarga tersebut merupakan penerima yang terdiri daripada golongan asnaf, hilang punca pendapatan akibat COVID19, ibu tunggal, penghidap sakit kronik dan lain-lain. Eksekutif Pentadbiran dan Sumber Manusia, Muhammad Faris Abdul Muluk berkata program itu merupakan program tahunan yang diadakan secara bulanan dan akan berterusan pada setiap bulan. “Buat masa ini, bantuan ini mungkin belum merangkumi di keseluruhan tempat, tapi kebanyakannya telah mula menyasarkan semua daerah di Terengganu.” “Pihak NUSA melalui Tanggungjawab Sosial Korperat (CSR) juga melakukan kerjasama dengan agensi serta Pejabat DUN, serta ada juga yang diusahakan sendiri melalui pekerja syarikat.” Turut hadir adalah Petugas Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Rhu Rendang dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Rhu Rendang, Bukit Rhu Rendang, Rhu Rendang Pantai, Kijing, Kijing Pantai serta Paya. Menurutnya lagi, anggaran bajet yang diperuntukkan untuk program ini adalah sebanyak 350 pek sebulan. Antara bentuk sumbangan adalah merupakan keperluan asas atau harian, kerusi roda malah ada juga melalui tenaga gotong royong di rumah-rumah. Sementara itu, Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman berkata, pihaknya mengalu-alukan NUSA yang sudi memberi bantuan kepada mereka yang layak di sekitar DUN Rhu Rendang. "Tanggungajawab sosial daripada syarikat korperat seperti ini juga boleh membantu agensi-agensi dan jabatan lain dalam mengagihkan bantuan kepada rakyat dan masyarakat", ucapnya.
18 Aug 20
808
Pemohon Bantuan Tabung Darul Iman Perlu Kemukakan Surat Pengesahan KKM
Pemohon Bantuan Tabung Darul Iman Perlu Kemukakan Surat Pengesahan KKM
DUNGUN, 17 Ogos - Pesakit kronik yang ingin memohon bantuan menerusi Tabung Darul Iman perlu mengemukakan surat pengesahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Rugayah Mahmood berkata, keengganan pesakit untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan atau di hospital menjadi antara penyebab kegagalan mendapat bantuan dari tabung berkenaan. "Untuk memohon sumbangan Tabung Darul Iman memerlukan surat pengesahan daripada doktor, kalau tidak mahu ke hospital, macam mana nak dapat surat doktor," ujarnya ketika rutin ziarah ke Pulau Serai baru-baru ini.  Ziarah tersebut juga disertai Pembantu Penyelia Hal Ehwal Wanita Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera(i-MiTS), Ahli Jawatankuasa (AJK) Wanita Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pulau Serai dan AJK Lajnah Kebajikan Muslimat DUN Rantau Abang. Sementara itu, beliau turut menggalakkan orang ramai melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala. "Pemeriksaan kesihatan sebenarnya tidaklah menakutkan. Malah, apa yang perlu ditakutkan jika penyakit lambat diketahui menyebabkan ia sukar untuk disembuhkan dan mungkin membawa mudarat," ujarnya. Justeru, beliau menasihati supaya orang ramai mengubah tanggapan buruk dan membuang rasa takut untuk berjumpa doktor.  
17 Aug 20
1363
B40 Kini Layak Mohon Kad Sejahtera
B40 Kini Layak Mohon Kad Sejahtera
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Golongan B40 dengan pendapatan purata perkapita keluarga di bawah RM280 setiap bulan kini layak membuat permohonan untuk mendapatkan manfaat kesihatan melalui program Kad Sejahtera yang dilancarkan pada Julai tahun lepas. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata ketika ini proses permohonan sedang dilakukan untuk golongan B40 melalui pelbagai termasuk Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK). "Sejak dilancarkan pada Julai 2019, penerima manfaat Kad Sejahtera ialah seramai 12,126 bagi tempoh  hingga Disember 2019. "Pembayaran yang telah dituntut atas penggunaan yang dibuat oleh pemilik kad sejahtera pula ialah sebanyak RM364,388 bagi tempoh September 2019 hingga 31 Disember 2019 pula," katanya menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wan Hapandi Wan Nik pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini. Menjawab soalan tambahan Wan Hapandi yang mahukan penjelasan mengapakah jumlah tuntutan sangat sedikit sehingga menggambarkan seolah-olah program itu tidak mendapat sambutan daripada rakyat Terengganu, Dr Alias berkata ia adalah program baharu dan terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi jumlah tuntutan yang sedikit itu. "Ini mungkin ada yang masih tidak tahu tentang program ini dan saya minta Yang Berhormat perlu berperanan untuk beri penerangan supaya rakyat dapat nikmati manfaat ini. "Selain itu, jumlah penyertaan klinik swasta juga masih kurang, mungkin sebab mentaliti yang menganggap bayaran kerajaan nanti lambat dan ambil masa tiga atau empat bulan, jadi tak banyak yang mahu jadi klinik panel program ini,"katanya lagi. Menurutnya lagi, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk program Kad Sejahtera itu dengan anggaran penerima seramai 20,000 orang setahun.     
12 Aug 20
4635
Gabungan NGO Malaysia Lancar Aid4Lebanon
Gabungan NGO Malaysia Lancar Aid4Lebanon
  KUALA TERENGGANU, 8 Ogos - Sebanyak 20 badan bukan kerajaan (NGO) yang berpengalaman dalam mengendalikan misi kemanusiaan di dalam dan luar negara melancarkan Aid4Lebanon sebagai sokongan dan solidariti terhadap mangsa letupan di Beirut, Lubnan. Dalam satu kenyataan semalam, sekretariat Aid4Lebanon berkata, pihaknya juga akan menggerakkan kempen sumbangan yang diselaraskan secara rasmi di bawah saluran Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Dato' Seri Abdul Hadi Awang. "Bentuk sumbangan segera diperlukan adalah bantuan perubatan dan keperluan harian kepada manga-mangsa yang terlibat. "Sekretariat Aid4Lebanon mensasarkan kutipan dana sebanyak RM10 juta dalam tempoh terdekat," ujar kenyataan itu. Sekretariat Aid4Lebanon menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama menyumbang bagi menyatakan solidariti kemanusiaan sejagat. "Peristiwa letupan Ammonium Nitrat di Beirut yang mengorbankan lebih 135 nyawa dan menyebabkan kecederaan lebih 5,000 mangsa, manakala ratusan ribu sokongan dan solidariti terhadap mangsa letupan kehilangan tempat kediaman amat menyedihkan kita. "Tidak cukup dengan kes wabak COVID-19 yang telah meragut 68 nyawa dan lebih 5,000 kes positif, kerajaan Lubnan terpaksa berdepan pula dengan bencana letupan besar sehingga diumumkan darurat yang akan berlangsung selama dua minggu," tambah kenyataan itu.
08 Aug 20
649
Isu Mendapan Pelabuhan Chendering Selesai Jika Hakisan Pantai Rusila Dibaiki Segera
Isu Mendapan Pelabuhan Chendering Selesai Jika Hakisan Pantai Rusila Dibaiki Segera
KUALA TERENGGANU, 8 Ogos - Kerajaan Persekutuan menyasarkan pelan 'serampang dua mata' bagi menyelesaikan isu mendapan di Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering di sini dengan menyegerakan projek membaiki hakisan pantai di Rusila, Marang. Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dato' Che Abdullah Mat Nawi berkata, projek tersebut memerlukan sumber pasir yang banyak dan kos dapat dioptimumkan dengan langkah memperdalamkan pelabuhan Chendering. Dato' Che Abdullah ketika ditemui pemberita, hari ini. "Saya insya-Allah, akan cuba memastikan apa yang dijanjikan (pembaikian hakisan pantai) itu dapat disalurkan segera kerana pengurangan pendaratan ini melibatkan juga bidang-bidang lain seperti perbekalan air batu dan pemprosesan isi ikan terhenti akibat tidak cukup sumber. "Aktiviti perniagaan yang lain turut akan berkurang oleh kerana kurangnya pendaratan di LKIM Chendering, jadi saya harap peruntukan itu dapat menyelesaikan masalah ini segera supaya LKIM Chendering dapat beroperasi sepenuhnya dan dapat mengembalikan kegemilangannya," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke pelabuhan berkenaan sempena Lawatan Kerja ke Terengganu, hari ini. Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, Mohd Sor Othman memaklumkan, tambakan Pantai Rusila Marang seluas 50 meter lebar dan tiga kilometer panjang memerlukan antara 800 hingga satu juta kubik meter pasir. "Hasil lawatan Menteri Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man ke Terengganu beberapa minggu lepas telah meluluskan peruntukan RM15 juta untuk menyelesaikan sementara hakisan yang berlaku di Rusila dan kita jangkakan sumber utama yang dapat mengoptimumkan kos itu adalah dengan memperdalamkan pelabuhan Chendering. Che Abdullah berjumpa nelayan dan peraih yang beroperasi di pelabuhan LKIM Chendering.  "Bagaimanapun, kajian akan dibuat berapa jumlah pasir yang perlu dikorek dan dikeluarkan dari pelabuhan ini. Saya difahamkan pelantikan juru ukur telah dilakukan oleh JPS Malaysia untuk membuat kerja-kerja ukur di Rusila dan kawasan ini. Proses berikutnya iaitu penyediaan dokumen dan tender juga sedang disediakan JPS," katanya. Pelabuhan berkenaan yang mula beroperasi 1983 berkeluasan 41 hektar termasuk 33 hektar dermaga pelabuhan (harbour basin) merupakan satu-satunya fasiliti pendaratan yang dibina untuk mengendalikan bot C2 kerana dermaganya yang panjang. Namun, disebabkan masalah mendapan pasir amat serius, bot- bot laut dalam tidak dapat masuk mendaratkan tangkapan menyebabkan ramai pengusaha bot mengalihkan operasi ke Tok Bali, Kelantan dan Kuantan Pahang. Keadaan bertambah teruk apabila benteng pemecah ombak juga telah bocor menyebabkan lebih banyak pasir masuk ke pelabuhan. Penurunan pendaratan mula berlaku sejak 2013 iaitu daripada13 ribu 682 metrik tan pendaratan ikan di Pelabuhan LKIM Chendering yang direkodkan dan jumlah itu menurun kepada hanya seribu 334 metrik tan sahaja tahun lalu. Kilang air batu yang turut terjejas.                
08 Aug 20
1133
Penantian 27 Tahun Miliki Air Bersih Tercapai
Penantian 27 Tahun Miliki Air Bersih Tercapai
MARANG, 5 Ogos - Penantian dan impian keluarga Siti Nuraisyah Abdul Latif, 44, sejak 27 tahun lalu untuk memiliki bekalan air bersih akhirnya tercapai apabila bekalan air mula dipasang dua hari sebelum hari raya Aidiladha baru-baru ini. Sebelum ini, keluarganya terpaksa menggunakan air telaga yang kurang bersih dan apabila tiba musim panas, Nuraisyah terpaksa berulang alik ke surau berdekatan yang melebihi satu kilometer dari rumahnya untuk mendapat keperluan air. “Apabila menggunakan air telaga, baju putih atau baju sekolah anak-anak bertukar kekuningan, air juga berbau dan terasa masam, malah kuku juga bertukar kebiruan namun kami terpaksa mengendahkanya. “Saya berasa amat bersyukur setelah sekian lama, kami tiga buah keluarga yang tinggal di sini dapat menggunakan bekalan air bersih yang sangat diimpikan selama ini. “Sebelum ini, kami tidak mampu menanggung kos pemasangan meter air yang agak besar kerana jauh daripada rumah orang lain, tambahan lagi suami hanya berkerja sebagai buruh.” katanya kepada wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman ketika lawatan diadakan ke rumahnya. Nuraisyah tinggal bersama lima orang anak, dan tiga daripadanya masih bersekolah. Seorang daripada anaknya yang telah berkahwin dan tinggal berdekatan juga turut mengalami masalah yang sama.  Menurut Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, masalah keluarga ini diberikan keutamaan agar impian keluarga ini menjadi realiti dengan kehidupan yang lebih selesa. “Isu ini mendapat perhatian daripada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga merupakan ADUN Rhu Rendang supaya masalah ini dapat diselesaikan dengan kadar segera.” “Terima kasih juga diucapkan kepada yang terlibat, iaitu Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, pihak Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd (SATU), dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Gong Beris.” “Kita juga akan terus membantu dan menyelesaikan masalah rakyat secara berperingkat dari masa ke semasa,” tambahnya.
06 Aug 20
533