Artikel "Kebajikan" Terkini
Mak Cik Maimun Sebak Kumpulan EPIC Hulur Bantuan
KUALA NERUS, 14 Oktober – Seorang Ibu Tunggal di Kampung Kubur Timah, Maimun Yunus tidak dapat menahan sebak apabila Kumpulan Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad menyampaikan bantuan keperluan asas beserta wang tunai kepada keluarganya.
Maimun, 61, berkata setelah kehilangan suami akibat kanser paru-paru pada tahun lepas, ditambah lagi dengan kehilangan kakinya akibat kencing manis, ujian itu menyukarkan dirinya mencari nafkah buat keluarga.
“Nak bergerak pun susah, anak-anak kena dukung naik motosikal, duit untuk baiki kereta pun tidak mampu. Keluarga kami bergantung kepada pekerjaan anak dan bantuan-bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kubur Timah.
“Mak cik nak ucapkan banyak-banyak terima kasih kepada kumpulan EPIC, Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, MPKK Kampung Kubur Timah dan ramai lagi. Dengan bantuan sebegini, boleh mak cik buat makan untuk anak-anak dan cucu-cucu yang ramai,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemubual pemberita di rumahnya hari ini dalam program EPIC Cakna dan Prihatin 2020 di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Saabi Wahab berkata, program sesi kelima tersebut bertujuan untuk membantu dan mengurangkan beban golongan yang kurang berkemampuan.
“Untuk hari ini, pihak kami telah menyampaikan bantuan katil hospital tiga fungsi kepada seorang penghidap diabetes di Tok Jembal diikuti bantuan keperluan asas serta wang sagu hati kepada Puan Maimun dan keluarga.
“Kami sentiasa mengambil berat tentang mereka yang kurang bernasib baik di dalam negeri. Program dalam masa terdekat akan melibatkan 3 hingga 4 kawasan, seperti di Ajil pada pagi esok tetapi ditangguhkan atas sebab pandemik COVID-19,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pegawai Penyelaras DUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman bersama pihak MPKK turut datang melawat dan mengambil cakna tentang keadaan keluarga Maimun.
“Pihak MPKK dan DUN Batu Rakit menganggap mereka seperti keluarga angkat kerana sering melawat dan memberi bantuan keperluan harian dan dapur pada tiap-tiap musim,” katanya.
14 Oct 20
1263
PKPM Bantu Kontak Rapat Mangsa COVID-19
MARANG, 13 Oktober - Pusat Khidmat Parlimen Marang (PKPM) mengambil inisiatif membantu kontak rapat mangsa COVID-19 yang sedang menjalani perintah kuarantin di dua lokasi berasingan di daerah ini.
Pegawai Khas Ahli Parlimen Marang, Haron Yusof berkata, bantuan wang tunai yang diagihkan melalui Pejabat Daerah Marang itu sedikit sebanyak dapat membantu pihak itu membeli pelbagai barangan keperluan.
“Antaranya makanan, barangan kelengkapan diri, naskah al-Quran dan sebagainya,” katanya kepada pemberita.
Sementara itu, Pegawai Daerah Marang, Tun Faisal Tun Abdul Razak berkata pihaknya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ahli Parlimen Marang yang turut bersama-sama membantu.
Katanya, pendekatan itu pastinya dapat mengurangkan beban pihak lain untuk membeli pelbagai keperluan diri bagi kontak rapat mangsa COVID-19.
“Setiap penempatan iaitu di Sektor Sumber Teknologi Pendidikan dan Akademi Bomba Dan Penyelamat Malaysia, Wakaf Tapai mempunyai bilangan kontak rapat yang agak ramai.
“Keadaan itu pastinya memerlukan perbelanjaan yang agak besar, terutama bekalan makanan dan barangan keperluan diri,” katanya.
Berdasarkan rekod, setakat ini seramai 162 orang kontak-kontak COVID-19 yang sedang dikuarantin. Kebanyakan mereka adalah daripada warganegara Malaysia yang bukan dari daerah Marang.
14 Oct 20
320
Sistem Wakaf Dan Pinjam Bantu Pesakit Kronik
MARANG, 13 Oktober - Sistem wakaf dan pinjam yang mula diperkenalkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang akhir tahun lepas nyata membantu penduduk di daerah itu terutama pesakit kronik yang kurang berkemampuan.
Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, sistem yang diamalkan ini membantu dari sudut kebajikan mereka di samping menunggu bantuan daripada agensi berkaitan seperti Majlis Agama Islam dan Adat Melayu serta Jabatan Kebajikan Masyarakat.
"Seperti contoh, mereka yang menghidap sakit lumpuh di mana mereka memerlukan katil atau kerusi roda bagi meringankan pergerakan dan pengurusan kendiri serta keluarga.
Penyumbang Wakaf Katil Pesakit
"Kami juga mengucapkan jutaan terima kasih serta penghargaan kepada semua penyumbang yang baik hati dan dermawan kerana sanggup memberi wakaf katil untuk kegunaan orang lain yang kurang bernasib baik.
"Ini dapat mewujudkan masyarakat yang saling menyayangi dan bantu membantu antara satu sama lain sekaligus dapat merapatkan ukhuwwah serta melahirkan masyarakat yang perihatin." katanya.
Beliau berkata ketika hadir menyerahkan sumbangan katil pesakit kepada ibu Muhamad Adafis Zakirai yang menghidap sakit lumpuh di Kampung Sungai Kerak.
Di samping itu, pihak Dun juga sangat mengalu-alukan mereka yang berhasrat untuk membantu kami kerana di sana adanya satu ganjaran besar iaitu ganjaran pahala untuk bekalan akhirat.
Turut hadir adalah, Setiausaha Majlis Tindakan Dun Rhu Rendang, Wan Nelang Abd Rahman, dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Sungai Kerak, Muhamad Azahar Adam.
13 Oct 20
331
Mangsa Dipatuk Ular Layak Terima Bantuan Serangan Binatang Buas
MARANG, 11 Oktober - Mangsa yang dipatuk ular, Noraniza Abu Bakar, 30, layak dikategorikan sebagai penerima Kumpulan Wang Amanah Bantuan Mangsa Serangan Binatang Buas daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan sokongan laporan daripada Jabatan Perhilitan Negeri Terengganu.
Kejadian malang, dipatuk binatang berbisa yang dikenalpasti daripada spesis ular senduk itu telah menimpa Noraniza, ketika terserempak dengannya di dalam bilik air.
Paling menyedihkan, mangsa yang tinggal di Kampung Sungai Kerak merupakan penghidap sakit kencing manis kronik menyebabkan kesan luka di kakinya menjadi lebih parah dan teruk.
Penolong Pengarah Jabatan Perhilitan Negeri Terengganu, Aniza Ibrahim berkata, berdasarkan kejadian yang menimpa mangsa, kami mengesyorkan agar mangsa memohon bantuan khusus itu bagi membantu meringankan beban mangsa atau keluarga mangsa yang terlibat dengan serangan binatang buas.
Penolong Pengarah Jabatan Perhilitan Negeri Terengganu, Aniza Ibrahim
"Peruntukan bagi bantuan ini adalah maksimum sebanyak RM20,000 untuk kes kematian atau kehilangan keupayaan kekal. Manakala bagi kes hilang upaya sebahagian, kadar bantuan ditentukan berdasarkan peratusan kategori kecederaan."
"Sepanjang tahun 2020, pihak Jabatan Perhilitan Negeri Terengganu telah menerima dua permohonan melibatkan serangan beruk dan babi hutan, manakala pada tahun 2019 pula, dua kes melibatkan serangan babi hutan dan beruang matahari."
Beliau berkata, sebaik sahaja selesai menziarahi mangsa di rumahnya setelah mendapat maklumat daripada laman rasmi facebook Pusat Khidmat Masyarakat yang dimuat naik di Rhu Rendang Sejahtera Official.
Turut hadir adalah Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng, Ketua Perhilitan Daerah Kuala Terengganu, Nik Norhafizah Daud, dan Pengerusi MPKK Sungai Kerak, Muhamad Azahar Bin Adam.
Antara kelayakan serta kriteria adalah mangsa atau waris mangsa diserang oleh binatang buas yang telah dikategorikan sebagai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
Contohnya adalah seperti gajah, seladang, babi hutan, beruang, harimau, ular sawa, ular-ular berbisa, spesis primat (beruk, kera siamang, ungka, lotong dan kongkang) serta buaya.
11 Oct 20
10062
Anak ‘Cleaner’ Derita Sakit Saraf Dapat Pembelaan
SETIU, 8 Oktober - Derita Nazmi Hazwan Kamal,14, yang mengalami sakit saraf sejak empat tahun lalu mendapat perhatian Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit apabila menerima bantuan kelmarin.
Menurut ayahnya, Kamal Abdullah, 55, menyifatkan tidak ada perkara yang paling membahagiakan selain diberi perhatian oleh kerajaan negeri.
Katanya, bantuan yang disalurkan serta kesungguhan kerajaan dalam meneyelesaikan status penerima bantuan Tabung Darul Iman (TDI) dalam kadar segera memberi kelegaan buat mereka sekeluarga.
“Kami tidak mempunyai mana-mana punca pendapatan tetap selain bantuan daripada Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) sebanyak RM200 sebulan untuk kegunaan mereka sekeluarga termasuk kos perubatan.
“Setakat ini hanya menerima bantuan JKM dan dulu pernah dapat bantuan Tabung Darul Iman, kemudian bantuan tersebut dihentikan seketika, sehinggalah pada hari ini, saya mendapat kembali bantuan tersebut,” ujarnya.
Dia berkata demikian ketika lawatan dan penyerahan bantuan TDI Pembantu Penyelia Hal Ehwal Masyarakat DUN Batu Rakit, Mohd Fadhol Ismail di Rumahnya Kampung Kubur Timah, semalam.
Katanya lagi, bekerja sebagai tukang sapu sekolah dengan gaji RM1,100 sebulan membuatkan keluarganya terbeban dengan kos kehidupan serta rawatan harian.
“Alhamdulillah, sudah banyak kali kami menerima bantuan pampers dari TDI, ianya dapat meringankan beban kewangan terutamanya harga pampers yang sangat mahal hari ini.
“Terima kasih kepada mewakili Pegawai Penyelaras Batu Rakit yang datang berkunjung ke rumah kami dan menyerahkan bantuan pampers hari ini,” jelasnya.
Sementara itu, Mohd Fadhol berkata, sumbangan itu akan memastikan rakyat yang berhak mendapat bantuan berkala atau bulanan sama ada daripada JKM, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu, Tabung Darul Iman atau bantuan langsung dari Pusat Khidmat Masyarakat.
“Hasrat kita ialah untuk memastikan tiada berlaku keciciran bagi yang berhak mendapat sebarang bantuan dan kita akan berusaha gigih ke arah pelaksanaannya,” katanya.
07 Oct 20
255
Isteri MB Ziarah Mangsa Musibah Kebakaran
MARANG, 6 Oktober - Isteri Menteri Besar Terengganu, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman sempat ziarah dua keluarga yang ditimpa musibah kebakaran di Bukit Payong, di sini.
Ziarah tersebut diadakan sebaik sahaja, isteri Menteri Besar itu selesai dari tempoh kuarantin selama dua minggu yang berakhir pada hari ini.
Menurutnya, salah seorang mangsa musibah kebakaran yang dikunjungi adalah merupakan rakan sekolahnya dulu.
"Terasa sayu hati apabila melihat sisa-sisa dan keadaan rumah akibat dari kebakaran tersebut, dan saya mendoakan agar urusan mereka dipermudahkan selepas ditimpa ujian kesukaran ini.
"Saya juga merasa amat bersyukur dengan nikmat kesihatan yang dikurnikan oleh Allah SWT setelah dikuarantin kerana masih berpeluang untuk bersama-sama menziarahi mereka yang ditimpa musibah ini."katanya.
Beliau berkata melalui perkongsian facebook rasmi miliknya sebaik sahaja selesai program ziarah tersebut.
Sedikit sumbangan juga turut diberikan kepada mangsa kebakaran bagi meringankan beban yang dialami.
Turut hadir adalah, isteri kepada YB Ustaz Mohd Nor Hamzah yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri Terengganu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Payong iaitu Ustazah Zainun Abd Wahab .
06 Oct 20
937
COVID-19 Kembali Menular, Rakyat Terus Dibantu
SETIU, 6 Oktober - Penularan pandemik COVID-19 sejak akhir-akhir ini tidak menghalang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi untuk turun padang untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat kurang berkemampuan.
Dr Azman Ibrahim berkata, rentetan penangguhan program rasmi kerajaan membuka peluang untuk menumpukan perkhidmatan sepenuhnya di DUN tanpa meminggirkan tanggungjawab sebagai Exco kerajaan negeri.
"Setakat ini, program rasmi kerajaan yang melibatkan rakyat umum ditangguhkan untuk suatu tarikh yang ditentukan kerana penularan kembali pandemik COVID-19. Namun, perkhidmatan kita kepada rakyat tetap berjalan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepenuhnya.
"Program menyantuni kebajikan rakyat tidak boleh tertangguh. Apa pun situasi yang berlaku, rakyat adalah keutamaan," katanya selepas menziarahi penduduk di beberapa kampung sekitar DUN Jabi, semalam.
Menurutnya, hasil turun padang itu terdapat beberapa orang telah dikenalpasti tidak menerima apa-apa bantuan daripada mana-mana agensi.
Ujarnya, tindakan segera untuk membuat permohonan telah dijalankan bagi membantu mereka terutama warga emas, orang berpenyakit dan Orang Kurang Upaya (OKU).
"Untuk berjumpa dengan rakyat kita, pergilah ke tempat di mana mereka berada. Secara umumnya, tidak sampai 10 peratus pun orang yang akan cari wakil rakyat untuk sesuatu urusan.
"Andai kita tunggu rakyat mari pejabat, itulah lebih kurang gambarannya. Fungsi dan peranan kita tak akan menyeluruh.
Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, melahirkan rasa bibang atas peningkatan kes COVID-19 yang berlaku di seluruh Negara.
"Saya sangat bimbang dan berdoa agar pergerakan rakyat untuk cari rezeki tidak kembali tersekat seperti awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu. Saya memahami dalam situasi sekarang ramai rakyat marahkan pemimpin lantaran penularan semula COVID-19. Itu hak rakyat dan inilah harga yang perlu dibayar atas apa sahaja tindakan kita sebagai pemimpin.
"Saya akur dan memohon maaf atas sebarang kekhilafan yang berlaku walau saya tak termasuk dalam senarai pemimpin politik yang balik dari Sabah. Teruskan mematuhi SOP bagi mengekang penularan ini," tambah beliau.
06 Oct 20
354
PKM Baik Pulih Dan Bina Baru Rumah Mangsa Kebakaran
MARANG. 5 Oktober - Ekoran daripada kejadian kebakaran di Kampung Kijing, baru-baru ini, sebuah rumah telah hangus terbakar keseluruhan manakala sebuah rumah lagi rosak di bahagian dinding dan atap akibat tempias daripada bencana itu.
Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang telah turun membantu menyalurkan bantuan bina baru rumah dan baik pulih rumah yang rosak sejak dari awal bencana itu berlaku.
PKM dan JKM menyerahkan bantuan kepada Ahmad Lotfi, mangsa rumah terbakar
Pegawai Khas PKM Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, sejak dari awal kejadian kebakaran tersebut, pada malam itu juga PKM telah turun bersama-sama Jabatan Bomba Marang dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Kijing bagi melihat bantuan yang perlu disalurkan kepada mangsa yang terlibat.
"Pada hari seterusnya, PKM telah membawa jabatan-jabatan terbabit, seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Marang dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Marang, dan juga Jurutera Daerah daripada Jabatan Kerja Raya Daerah Marang untuk proses penilaian keselamatan penghuni rumah.
"Mangsa rumah yang hangus terbakar, Ahmad Lotfi Abas telah menerima bantuan bina baru rumah daripada peruntukan bencana Tabung Darul Iman melalui laporan JKM.
Proses penilaian untuk permohonan baik pulih rumah tempias kebakaran
Menurutnya, rumah sewa bersebelahan yang terjejas akibat tempias kebakaran telah menerima bantuan baik pulih dari PKM, setelah proses penilaian keselamatan dan kos peralatan dilakukan.
"Pemilik rumah sewa juga sepatutnya boleh memohon bantuan daripada MAIDAM, tetapi akibat beberapa kekangan yang berlaku, PKM mengambil inisiatif untuk memberi bantuan segera kerana bimbangkan keselamatan penghuni rumah."
"Pada hari selepas kebakaran juga, sedikit bantuan kewangan telah diserahkan kepada mangsa kebakaran, bagi mengurangkan sedikit sebanyak beban yang ditimpa," ucapnya lagi.
Kebakaran yang berlaku pada 27 September itu, dipercayai berlaku akibat litar pintas, walaubagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.
Turut hadir dan bersama-sama terlibat dalam menyampaikan bantuan adalah Pegawai Kebajikan Daerah Marang, Mardiah Mohamed.
05 Oct 20
795
Nelayan Terima Bantuan Bina Baru Rumah LKIM
MARANG, 5 Oktober – Seorang nelayan, Yusri Musa, 48, dari Kampung Kelulut kini mampu menarik nafas lega apabila bakal mendiami rumah lebih selesa.
Rumah yang masih dalam pembinaan itu adalah inisiatif Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bersama Pejabat Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang yang mahu golongan nelayan menikmati hidup lebih selesa.
Yusri bersama keluarga sebelum ini terpaksa tinggal di rumah yang agak daif dan serba kekurangan.
Pengurus LKIM, Zainal Abiden Mohamad berkata, Yusri adalah salah seorang daripada dua orang penerima bina baru rumah di kawasan Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang melalui LKIM.
Peruntukan untuk bina baru rumah yang berjumlah RM56,000 adalah bertujuan membantu nelayan melalui persatuan nelayan di mana pemohon di sekitar marang adalah seramai sembilan orang.
Tapak rumah bina baru milik Yusri
Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, bantuan di bawah peruntukan ini merupakan satu nikmat yang sangat besar bagi mereka lebih-lebih lagi keluarga ini memang sangat memerlukan.
"Di pihak pusat khidmat, kami akan sentiasa mencari jalan untuk membantu mereka yang memerlukan melalui jabatan-jabatan yang menyalurkan peruntukan bina baru rumah seperti ini.
"Dalam kawasan Rhu Rendang, dua permohonan telah diluluskan, satu daripadanya adalah di Sungai Kerak di mana kita telah berusaha mengangkat permohonannya dan menyumbang bantuan untuk meratakan tanah serta meninggikan tapak tanah miliknya."
Beliau berkata ketika selesai tinjauan proses bina rumah milik Yusri bersama-sama Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman.
Sedikit sumbangan keperluan asas dan kewangan turut diserahkan kepada keluarga Yusri.
05 Oct 20
935
'Mobile Team' Terus Aktif Jejak, Bantu Rakyat Miskin
KUALA NERUS, 2 Oktober – 'Mobile Team' terus bergerak aktif dalam mencari dan membantu rakyat yang kurang berkemampuan dari segi kewangan di negeri ini.
Pegawai Penyelaras (DUN) Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab berkata, program ziarah sentiasa diatur pihaknya berpandukan data penerima daripada senarai e-kasih.
"Bentuk sumbangan yang diberikan adalah bantuan sara hidup, persekolahan, kanak-kanak, bantuan am bulanan negeri, dan bantuan modal perniagaan,” katanya selepas ditemui wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) semasa program ziarah 'Mobile Team' baru-baru ini.
Turut bersama program ini beberapa agensi seperti Pusat Khidmat Masyarakat (DUN) Seberang Takir, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM).
Sementara itu, menurut wakil Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu(PPNT), Mohd Ridwan Omar, program itu merupakan program berkala dengan kerjasama Pejabat Daerah.
"Yang mana 'Mobile Team' PPNT akan turun ke setiap daerah bagi menyantuni dan menghulurkan bantuan kepada penerima sumbangan," ujarnya.
01 Oct 20
354