Artikel "Kebajikan" Terkini
Belanjawan 2021: Latihan Kemahiran Percuma Bagi Golongan Terjejas
KUALA TERENGGANU, 23 November- Memahami kebimbangan rakyat yang berdepan isu pengangguran akibat pandemik Covid-19, kerajaan Terengganu menawarkan peluang kepada rakyat negeri itu untuk mendapatkan latihan kemahiran secara percuma bagi meningkatkan tahap kemahiran diri serta meneroka bidang baru.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penawaran tersebut merupakan strategi jangka masa panjang kerajaan negeri bagi meningkatkan kemahiran pekerja dalam bidang yang diceburi.
"Sebanyak RM7.52 juta diperuntukkan di bawah inisiatif ini bagi meningkatkan kebolehpasaran dan kebolehgajian golongan graduan, penganggur dan pekerja yang terjejas akibat diberhentikan, diberikan cuti tanpa gaji dan dipotong gaji.
"Bagi meningkatkan dan melatih semula kemahiran golongan ini, program perantisan, latihan keusahawanan dan kursus jangka pendek akan dilaksanakan secara usaha sama dengan pelbagai pihak," katanya sewaktu membentangkan Belanjawan 2021 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.
Tambahnya, sebanyak lapan inisiatif diwujudkan antaranya ialah Terengganu Young Executive Program (TYEP), iaitu program latihan perantisan sebagai laluan kerjaya sebelum ke pasaran kerja.
Selain itu, latihan industri dan peluang pekerjaan kepada anak Terengganu terutamanya dalam bidang kemahiran, termasuk kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) akan turut diadakan melalui T-JOB.
"Terengganu juga akan memperkasakan pusat kemahiran seperti TESDEC dan TATIUC bagi menjadikan Terengganu sebagai hub untuk pekerja mahir dan profesional dalam bidang-bidang strategik melalui Terengganu Training Program (TTP).
"Kita juga berusaha membangunkan keusahawanan T-VET dan membimbing bakal usahawan dalam penyediaan rancangan perniagaan dan kemahiran komunikasi dalam Kursus Keusahawanan Terengganu di bawah seliaan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU)," katanya.
Inisiatif-inisiatif lain yang akan dilaksanakan kerajaan negeri ialah Program Jati Diri Generasi Sejahtera oleh Urusetia Belia, Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT), Terengganu Skill Enhancement Program for School Leavers (TSEP-S), Program Transformasi Pekerja Itqan melibatkan ikon anak Terengganu di perantauan yang berjaya dalam bidang masing-masing serta Karnival Pekerjaan 2021 bagiu dapat dimanfaatkan sepenuhnya rakyat Terengganu.
23 Nov 20
501
Rumah Terbakar Gara-Gara Lilin
KEMAMAN, 24 November - Tiga beranak tinggal sehelai sepinggang selepas rumah yang didiami di Kampung Bakau Tinggi di sini musnah dalam kebakaran malam kelmarin.
Mohammad Khairul Rizam Ahmad Zainuddin, 27, bersama isterinya Syafiqah Mustafa, 26, serta anak Mohd Adam Rizqi, 2, sedang tidur ketika berlaku kejadian tersebut pada jam 11.00 malam.
Menceritakan kejadian itu, Mohammad Khairul berkata, kebakaran dipercayai berpunca daripada sebatang lilin yang dinyalakan di atas almari selepas bekalan elektrik di rumahnya terputus.
Dalam kejadian itu, jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Chukai serta Balai Bomba dan Penyelamat Kemaman berjaya mengawal api daripada merebak ke kawasan sekitarnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat turut hadir pada malam tersebut.
"Saya telah mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kemaman untuk memberikan bantuan awal kepada mangsa," ujarnya.
Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri turut hadir ke rumah keluarga mangsa di Kampung Pengkalan Sir bagi menyerahkan sedikit sumbangan wang tunai, semalam. Foto oleh - Azizi Zakaria
23 Nov 20
119
Terengganu Beri Wang Pencen Untuk Warga Emas
KUALA TERENGGANU, 18 November - Terengganu bakal melengkapkan pelaksanaan manifesto pemberian pencen rakyat sebanyak RM50 sebulan kepada warga emas yang layak selepas sesi pemilihan selesai.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sedang mengedarkan borang permohonan Pencen Rakyat Warga Emas tersebut bagi diisi mereka yang layak.
Katanya, penerima akan ditentukan melalui analisa data yang di pejabat daerah.
"Bakal penerima pencen itu pastinya bukan penerima bantuan bulanan daripada mana-mana agensi kerajaan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Agama Islam dan Adat Terengganu (Maidam), Perkeso dan penerima pencen sedia ada.
"Hanya dibuka kepada warga emas berumur 60 tahun ke atas yang tiada sumber pendapatan tetap.
"Selain itu, dalam satu keluarga, seorang warga emas yang layak akan menerima manfaat tersebut," katanya.
Hanafiah Mat.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Person Under Surveillance di Pusat Kuarantin COVID-19 di Akademi Bomba dan Penyelamat di Wakaf Tapai, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Hanafiah memaklumkan analisa data dijangka mengambil masa enam bulan untuk diselesaikan.
"Selepas itu ia akan dibawa kepada mesyuarat mingguan Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri untuk mendapat persetujuan dan kelulusan.
"Apa yang dilaksana itu adalah termaktub dalam Manifesto Pilihan Raya lalu yang menjanjikan sumbangan bulanan sebanyak RM600 setahun atau RM50 sebulan," tambah beliau.
18 Nov 20
9209
160 Peruncit Terpilih Sedia Bekalan Musim Tengkujuh
KUALA TERENGGANU, 15 November- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah melantik peruncit dan pemborong terpilih sebagai pusat penyimpanan stok bekalan tambahan bagi menghadapi musim tengkujuh yang bakal tiba.
Timbalan Menteri KPDNHEP, Dato' Rosol Wahid memaklumkan, langkah itu sebagai persediaan menghadapi bencana banjir yang dijangkakan bermula pada November ini.
"Rakyat tidak perlu bimbang akan musim tengkujuh yang akan berlaku terutama di pantai timur. Bukan KPDNHEP sahaja semua pihak dalam keadaan siap sedia, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pejabat-pejabat daerah dan negeri-negeri telah bersedia.
"Kita telah melantik peruncit dan pemborong daerah terpilih yang akan menyediakan stok barang melebihi 30 peratus daripada stok biasa. Di Terengganu sahaja, sebanyak 160 peruncit dan 74 pemborong telah dilantik dan ini memberi keyakinan kepada rakyat dengan keberadaan barang keperluan dan pengguna tidak perlu risau dengan kenaikan harga," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita slepas melakukan tinjauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena sambutan Deepavali 2020 di Mydin Gong Badak, hari ini.
Tambahnya, dalam skim kawalan bermula 9 November sehingga 17 November itu, sebanyak 26 kes tidak patuh SHMMP telah direkodkan.
"Sebanyak 24 kes tidak memaparkan tanda harga dan dua kes menjual barang melebihi harga kawalan dan KPDNHEP telah mengeluarkan kompaun bernilai RM5,847," katanya.
Dalam SHMMP 2020,KPDNHEP telah menetapkan harga maksimum bagi 20 jenis barang keperluan harian sepanjang perayaan Deepavali termasuk dua barangan baharu iaitu timun dan kacang panjang.
Sepanjang dilaksanakan, penguatkuasa kementerian telah melakukan pemantauan ke lebib 8,300 premis untuk pematuhan harga di seluruh negara.
15 Nov 20
210
PKPB : Usah Panik, Bekalan Barangan Mencukupi
DUNGUN, 8 November – Kerajaan negeri menyeru rakyat supaya bertenang dan tidak panik tentang kekurangan bekalan barangan dalam menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, perkara itu bukan pengalaman pertama negeri menghadapi cabaran tersebut kerana sudah melalu ujian getir yang sama pada pertengahan tahun ini.
“Orang ramai tidak perlu risau kerana semua barang keperluan mencukupi. Beberapa jabatan kerajaan negeri termasuk di Wisma Negeri dan agensi lain sedang berbincang langkah dan strategi dalam menghadapi ujian ini.
“Jika di Ketengah Jaya, tiada masalah kekurangan barangan kerana Pegawai Daerah di sini merupakan pengerusi jawatankuasa bencana daerah yang akan pastikan barangan dapat disalurkan ke dalam kawasan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas pemberian bantuan kepada penduduk yang dikenakan PKPB di Ketengah Jaya, Mukim Rasau hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili dan Pegawai Daerah Dungun, Anuar Awang.
Mengulas tentang inisiatif bantuan kawasan tersebut, Hanafiah berkata, pusingan kedua penyerahan bantuan barangan basah dan keperluan harian kepada 932 orang penerima terdiri daripada mereka yang dikuarantin di rumah beserta keluarga masing-masing.
“Fokus kita kepada mereka yang dikuarantin dan memakai gelang kerana tidak boleh keluar untuk beli barangan harian. Namun begitu, kedai-kedai di sini masih dibuka untuk orang lain.
“Antara kawasan yang terlibat dalam bantuan iaitu Kerteh Satu, Kertih Enam, Kerteh Lima dan Kerteh Empat di mana bantuan diberi kepada wakil Majlis Pengurusan Komuniti Kampung untuk disalurkan kepada penerima sekali setiap empat hari.
“Buat masa sekarang, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia di Ketengah Jaya sedang giat membuat saringan, saya dimaklumkan kira-kira lebih 3,000 orang telah menjalani saringan.
“Kerja ini akan diteruskan sehingga mencapai matlamat kerana penduduk kawasan Ketengah Jaya kira-kira 17,000 ribu orang. Jika didapati mereka yang disyaki negative atau kena kuarantin Insya-Allah kita akan tambahkan bantuan,” ulasnya lagi.
Tegasnya, masyarakat khususnya di seluruh Terengganu diingatkan agar sentiasa patuh prosedur operasi standard (SOP) untuk bersama-sama memutuskan rangkaian COVID-19.
08 Nov 20
441
Teman Anak Perempuan Ke Tandas Setiap Malam
MARANG, 5 November - "Saya terpaksa menemani anak perempuan walaupun sudah berusia 14 tahun ke bilik air pada waktu tengah malam kerana bimbang keselamatannya.
"Terpaksa berbuat demikian kerana keadaan rumah terlalu daif, dinding dan bumbung tandas hampir runtuh," kata Nor Salasiah Abdul Rahman yang tinggal di Kampung Kelulut.
Menurutnya, keadaan atap dan bumbung rumah yang ditumpangi itu sangat teruk sehingga apabila hujan turun dia terpaksa meletak besen di ruang tamu bagi menadah air hujan kerana bocor.
"Suami, Zakaria Mohamad hanya berkerja kampung di mana sumber pendapatan sangat tidak menentu, tambahan pula semua anak masih bersekolah," katanya.
Keadaan bilik air dan tandas yang tiada pintu, bumbung dan dinding yang sempurna.
Keadaan keluarga itu mendapat perhatian Pusat Khidmat Masyarakat DUN Rhu Rendang setelah menerima maklumat dan aduan daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kelulut.
Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat DUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, pihaknya telah membawa isu tersebut kepada bagi pihak terbabit membantu menyelesaikan masalah mereka.
"Setelah perbincangan bersama Pejabat Daerah Marang, keluarga Zakaria Mohamad telah dimasukkan sebagai cadangan penama penerima rumah bagi Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) / Bina Baru di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).
"Berdasarkan maklumat, Zakaria boleh memohon PPRT dengan syarat yang kukuh seperti mempunyai tanah sendiri, lebih-lebih lagi melihat kepada keadaan mereka yang juga layak disenarai sebagai peserta e-Kaseh," katanya
Atap di sepanjang ruang tamu yang bocor dan berlubang
Menurutnya, namun sedikit masa diperlukan oleh keluarga ini untuk proses dan urusan tanah, tambahan lagi rumah yang diduduki sekarang adalah rumah tumpangan, bukannya rumah sendiri.
"Ziarah bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hari ini juga, keluarga ini telah menerima bantuan bulanan," tambahnya lagi.
05 Nov 20
1625
Sinar Baharu Buat Keluarga Norzaimah
KUALA TERENGGANU, 30 Oktober - Kunjungan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang dan ADUN Wanita, Zuraida Md Noor ke teratak Wan Norzaimah Wan Muhammad bakal mengubah kehidupan ibu tujuh anak itu ke arah yang lebih baik.
Sebelum ini, Norzaimah buntu untuk mencari sumber pendapatan tetap selepas ditinggalkan suami.
Lebih parah, dia terpaksa membesarkan tiga anaknya yang disahkan sebagai orang kurang upaya (OKU).
Penderitaan 'ibu tinggal' itu mendapat perhatian pihak berwajib yang menziarahi keluarga terbabit semalam dan hasrat Norzaimah untuk membuka perniagaan serta mempunyai pendapatan tetap bakal termakbul.
Menurut Zuraida, PKM dan pihaknya telah bersetuju untuk membantu Norzaimah dengan membelikan barangan keperluan perniagaan.
"Hari ini adalah tindakan susulan dengan membeli kelengkapan untuk membuka kedai dan memudahkan urusan mereka untuk berniaga di tempat yang baru disewa di Kampung Pulau Kerengga.
"Saya mengharapkan apa yang kita usahakan hari ini dapat membantu keluarga Norzaimah untuk berdikari dan ada sumber pendapatan tetap untuk menyara anak-anaknya.
"Jiran-jiran dan masyarakat sekeliling juga perlu memainkan peranan penting untuk sama-sama dalam memberi bantuan di mana ibu ini berada dalam keadaan sedang diuji di samping mendoakan urusan perniagaannya agar berjalan dengan lancar," katanya ketika ditemui pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas memberi bantuan kepada Norzaimah kelmarin.
Hadir sama, Pegawai Khas PKM DUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng.
Sementara itu, Norzaimah menyatakan rasa syukur dan berterima kasih kepada PKM DUN Rhu Rendang serta ADUN Wanita atas sumbangan yang diberikan.
"Proses untuk memulakan perniagaan iaitu membuka kedai makan telah dimulakan dengan memohon lesen dan mengubah suai kedai yang baru disewa.
"Saya juga mengambil upah menjahit baju sementara menunggu kedai ini dibuka sepenuhnya bagi menyara keluarga dengan dibantu oleh anak-anak terutamanya anak sulong saya," tambahnya lagi.
Untuk rekod, keluarga Norzaimah telah menerima bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat di samping mendapat perhatian sebagai penama Focus Group.
30 Oct 20
385
Rutin Mingguan Pemuda Rhu Rendang Bantu Penduduk Setempat
MARANG, 1 November- Menjadi rutin Lajnah Kebajikan Penyelaras Pemuda Pas Dewan Rhu Rendang pada setiap minggu menyampaikan sumbangan dan bantuan kebajikan menziarah penduduk setempat yang kurang bernasib baik.
Ketua Penyelaras Pemuda Pas Dun Rhu Rendang, Ziyad Zakaria berkata lajnah itu akan memilih mana-mana cawangan di di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang.
“Seramai sepuluh orang daripada golongan yang kurang berkemampuan akan dipilih dengan kerjasama pemuda cawangan setempat untuk dibantu.
“Sumbangan yang diberikan berbentuk keperluan asas dan barang dapur, pada masa yang sama, sumbangan bola sepak turut diberikan kepada kampung yang mempunyai padang bola,"katanya.
Beliau berkata sebaik sahaja selesai program ziarah pemuda di Kampung Batangan yang bermula sekitar jam 5.00 petang, baru-baru ini.
Menurutnya lagi, walaupun sumbangan dan bantuan yang diberikan mungkin tidak sebesar mana, tetapi ianya sangat bermakna kepada mereka yang memerlukan.”
“Selain itu, ziarah ini membuka ruang untuk kita saling mendekati antara satu sama lain, menunjukkan kecaknaan dan membina hubungan baik sesama masyarakat.
“Program hari ini adalah merupakan kali ke-12, melibatkan Kampung Batangan dan bakinya masih ada lapan cawangan,”tambahnya lagi.
30 Oct 20
131
Bulan Dakwah 2020, Ikhtiar Melestarikan Dakwah Dan Kebajikan
KUALA TERENGGANU, 29 Oktober – Sambutan Bulan Dakwah 2020 peringkat negeri Terengganu yang julung kali dianjurkan, dimulai dengan program I-Khidmat Cuci-cuci Masjid dan Musa’adah COVID-19, dalam usaha melestarikan gerakan dakwah dan kebajikan di negeri ini.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, beliau berharap program anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dapat mencapai objektif dalam meringankan beban masyarakat B40 dan miskin yang terkesan dengan musibah COVID-19.
“Pihak negeri mengucapkan terima kasih kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato' Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan pihak YADIM dalam menganjurkan bulan dakwah di peringkat negeri.
“Pelaksanaan ini wajar khususnya pada bulan Rabiulawal, bulan lahirnya Rasullulah SWT, yang membawa dakwah untuk mendidik masyarakat.
“Bagi program Musa’adah COVID-19, melibatkan pemberian bantuan makanan dan asas keperluan dapur kepada 30 golongan asnaf Qariah Kampung Gong Tok Nasek,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program I-Khidmat Cuci-cuci Masjid dan Musa’adah COVID-19 di Masjid Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu, pagi tadi.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman, Mohd Soud Said.
Sementara itu, Penolong Pengarah YADIM negeri, Nasrul Hadi Saidin berkata, bulan dakwah dilaksanakan di seluruh negara dari 4 Oktober sehingga 30 Disember melibatkan kira-kira 2,000 program bersifat kebajikan dan dakwah kepada masyarakat setempat.
“Program Cuci-cuci Masjid di Masjid Gong Tok Nasek pula melibatkan hampir 20 orang sukarelawan YADIM dan Rakan Siswa YADIM.
"Kita menyambut mereka yang ingin menyertai dan 300 sukarelawan lagi dijangka menyertai. Program dalam perancangan seterusnya adalah Is’ad Al Usrah iaitu inisiatif untuk melaksanakan kerja pembaikian di kediaman asnaf,” ulasnya.
Mengulas tentang kesan gelombang ketiga pandemik, beliau berkata, isu tersebut bukan kekangan tetapi cabaran untuk melaksanakan program dakwah secara kreatif dengan kapasiti dan peserta yang ada.
29 Oct 20
458
YADIM Peduli Lestari Dakwah, Bantu Keluarga Miskin
MARANG, 28 Oktober - Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) Terengganu terus melestarikan gerakan dakwah dengan menyumbang bantuan kepada golongan kurang bernasib baik menerusi program ‘YADIM Peduli’.
Program yang diadakan bersempena Bulan Dakwah 2020 menjadi agenda utama meningkatkan aktiviti dakwah di peringkat negeri bermula 3 Oktober sehingga 30 Disember tahun ini.
Penolong Pengarah YADIM Terengganu, Nasrul Hadi Saidin berkata melalui agenda tersebut, dianggarkan sebanyak 100 program telah disusun di pelbagai peringkat sehingga ke kawasan kampung.
“Ini termasuklah program ziarah prihatin yang dilaksanakan di Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang hari ini.
“Kami di Terengganu merasakan program sebergini perlu diteruskan, yang kurang bernasib baik perlu disantuni, yang sakit perlu diziarahi, dibantu dan didoakan kesihatan mereka.
“Inilah gambaran sebenar bertapa indahnya islam yang disifatkan seperti sebuah binaan yang sentiasa menguatkan antara satu sama lain.
“Mudah-mudahan ujian yang dilalui bukanlah menjadi penghalanh untuk kita sentiasa redha dan sabar dengan ujian dari Allah SWT," katanya sebaik sahaja selesai program ziarah “Yadim Peduli’ Musaadah COVID-19 di kampung Rusila semalam.
Turut hadir adalah Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng, dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Rusila, Azhan Muda.
28 Oct 20
665