Artikel "Kebajikan" Terkini
Khairunnisa' Sumbang RM2,000 Setiap DUN, Bantu Mangsa Banjir
MARANG, 14 Mac - Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa') bergerak aktif dalam menyumbang bantuan kepada mangsa banjir di mana setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) diperuntukkan sebanyak RM2,000.
Isteri Menteri Besar Terengganu, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman berkata, setiap DUN terdiri daripada 20 orang penerima yang terlibat dalam bencana dan musibah banjir baru-baru ini, juga merupakan mereka yang kurang berkemampuan.
Bantuan ini adalah usaha Khairunnisa' untuk membantu penduduk di seluruh negeri Terengganu khususnya tempat yang terjejas teruk di samping bantuan daripada agensi terlibat.
Beliau berkata ketika hadir menyerahkan bantuan tersebut kepada beberapa orang penduduk kampung di sekitar DUN Rhu Rendang baru-baru ini.
Turut hadir adalah petugas Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Rhu Rendang, dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Rhu Muda, Kijing, Rhu Dua dan Rusila.
"Sebenarnya bantuan ini telah bermula lama dulu, tetapi ada beberapa tempat yang menerima bantuan agak lambat kerana kekangan pergerakan akibat daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Alhamdulillah, selepas pergerakan kembali seperti biasa, dengan mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat, sumbangan ini dapat diserahkan semula," tambahnya lagi.
Beliau juga sempat menyantuni beberapa orang penduduk yang kurang sihat, sakit kronik dan baru menerima cahaya mata kembar seiras di sini.
18 Mar 21
253
RM284 Ribu Diagihkan KIR Mangsa Banjir Kijal
KEMAMAN, 16 Mac - Seramai 568 Ketua Isi Rumah (KIR) mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal menerima wang sumbangan berjumlah sebanyak RM284 ribu.
Ekoran daripada banjir yang melanda negeri Terengganu pada tahun lepas, kerajaan negeri telah mengumumkan bantuan sebanyak RM500 kepada setiap KIR mangsa banjir.
Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Ustaz Hazri Jusoh dalam ucapan ringkasnya di majlis agihan tersebut menyeru agar semua yang terlibat bersabar dan redha di atas ujian dan ketentuan Ilahi.
Ustaz Hazri Jusoh sedang berucap.
"Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Kita harus bersabar dan redha dengan ujian Allah, mudah-mudahan ia akan meningkatkan lagi keimanan kita kepadaNya insya-Allah.
"Menjadi keutamaan dan dengan sedaya mungkin kami berusaha untuk menaiktaraf sistem saliran yang sedia ada bagi mengelakkan bencana ini agar tidak akan berulang lagi pada masa akan datang," katanya.
Gimik penyerahan bantuan oleh Ustaz Hazri Jusoh ( dua dari kiri).
Salah satu punca banjir di kawasan Perumahan Mampu Milik Telok Kalong adalah ekoran daripada saluran airnya yang merentasi Jalan Telok Kalong - Kijal agak sempit, serta ia telah dikenal pasti oleh pihak kerajaan.
Hazri juga bersyukur dan berterima kasih kepada semua agensi kerajaan dengan kebanyakan badan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa syarikat swasta tampil menghulurkan bantuan semasa dan selepas banjir tempoh hari.
Suasana di Dewan Dato' Seri Tuan Guru, DITC.
Majlis tersebut diadakan di Dewan Dato' Seri Tuan Guru, Darul Iman Training Centre (DITC) di Telok Kalong semalam dengan mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh kerajaan akibat pandemik Covid-19.
15 Mar 21
545
Agihan Sumbangan Prihatin Mangsa Banjir DUN Air Putih
KEMAMAN, 15 Mac - Baru-baru ini telah berlangsungnya program serahan sumbangan prihatin banjir kepada mangsa yang terjejas berikutan bencana banjir yang melanda pada hujung tahun 2020 dan awal tahun 2021 yang lalu.
Program yang berlangsung selama dua hari di Dewan Serbaguna Kampung Air Putih ini menyaksikan seramai 918 orang mangsa banjir dari 10 buah kampung di sekitar Zon B Dun Air Putih menerima sumbangan berupa bantuan kewangan.
Antara kawasan yang terjejas teruk berikutan banjir ini adalah Kampung Teladas, Kampung Air Putih, Kampung Pasir Gajah, Kampung Felda Seberang Tayor, Kampung Seberang Tayor Hulu dan Kampung Seberang Tayor Hilir.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab Razak Ibrahim menyampaikan sumbangan dan melahirkan rasa kesyukuran di atas keprihatinan kerajaan negeri terhadap nasib yang menimpa mangsa banjir di kawasan berkenaan.
“Saya mewakili mangsa banjir di DUN Air Putih ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri Terengganu di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar yang sudi memberikan bantuan kewangan kepada mangsa banjir khususnya di DUN Air Putih ini,” ucap beliau ketika merasmikan program agihan sumbangan ini.
Tambah beliau lagi, terdapat 2 kategori penerima bagi agihan sumbangan kali ini.
Kategori yang pertama adalah mereka yang kediamannya tenggelam dilanda banjir lumpur secara mengejut dan telah mengakibatkan kerosakan harta benda yang teruk seperti peti sejuk, periuk, bantal dan lain-lain.
Kategori yang kedua pula adalah penerima sumbangan kewangan sebanyak RM500.
"Ribuan terima kasih diucapkan kepada pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Pejabat Daerah Kemaman, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Air Putih, Jabatan Amal kawasan kemaman dan semua pihak yang telah bertungkus-lumus membantu menjayakan program agihan sumbangan kali ini.
"Program agihan sumbangan akan diteruskan kepada mereka yang terjejas akibat banjir di zon A sekitar Air Putih pula," katanya.
15 Mar 21
485
Kerusi Dan Meja Untuk Peniaga Kecil
MARANG, 11 Februari - Peniaga kecil di Dewan Undangan Negeri (,DUN) Bukit Payong yang terkesan akibat penularab Pandemik Covid-19 terus dibantu
Terbaru seramai 9 peniaga kecil menerima sumbangan kerusi dan meja daripada Yayasan Pembangunan Usahawan Negeri Terengganu (YPU), melalui Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Payong yang telah disampaikan sendiri oleh YB Ustaz Mohd Nor Hamzah, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah berkata, sumbangan ini untuk kegunaan peniaga-peniaga kecil supaya dapat memberikan suntikan semangat dan menambahkan lagi rezeki dalam perniagaan.
"Kita sentiasa meneliti setiap pergerakan semasa yang dilalui oleh peniaga kecil ini. Dengan pemberian kerusi dan meja sebegini dapat memberikan keselesaan dan pilihan kepada pembeli sama ada mahu bungkus atau makan disitu."
“InsyaAllah, saya juga berharap dengan sumbangan ini dapat membantu mereka meningkatkan lagi pendapatan sekaligus meringankan beban peniaga-peniaga kecil sebegini." katanya ketika membuat penyerahan tersebut di Pekan Kedai Buloh, Bukit Payong.
Salah seorang daripada peniaga kecil tersebut yang berniaga kedai burger di Pekan Kedai Buloh, Norhafiza Ngoh, 41 yang telah berniaga selama 4 tahun di kawasan tersebut, turut meluahkan perasaan gembira dengan pemberian ini.
"Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada YPU dan YB Ustaz Mohd Nor Hamzah atas pemberian ini, sudah 4 tahun saya berniaga disini dan harnya menggunakan modal yang ada untuk menampung kos bagi menambah baik pulih peralatan."
"Jadi dengan sumbangan ini dapatlah saya memperbesarkan lagi kawasan perniagaan ini agar pelanggan yang datang dapat merasai keselesaan yang lebih baik dan gembira untuk terus membeli disini." Katanya.
10 Mar 21
396
Ziarah KP Harakah, Dr Khairudin Sampaikan Bantuan
SEREMBAN, 9 Mac - Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Dato’ Dr Mohd Khairudin Aman Razali telah menyampaikan sumbangan kepada Ketua Pengarang Harakah, Wan Nordin Wan Yaacob bagi meringankan beban perbelanjaan perubatan Ketua Editor Harakah itu dan isterinya.
Sumbangan disampaikan melalui Setiausaha Politiknya, Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin yang datang menziarahi Wan Nordin di kediamannya di Bandar Sri Sendayan di sini semalam.
Turut sama dalam ziarah itu, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Rafie Mustapha, Ketua Penerangan PAS Negeri Sembilan, Badzli Bakar, Setiausaha Dewan Ulama PAS Selangor, Ustaz Muhammad Najhan Abdul Halim, mantan Ketua Pengarah Jabatan Amal Malaysia, Mohd Nazree Haris dan isteri.
Dalam ziarah tersebut, Ustaz Mohd Kamal Nazmi yang mewakili Dr Khairudin turut bertanyakan perkembangan rawatan membabitkan Wan Nordin dan isterinya.
Sejak November lalu, Wan Nordin berdepan masalah sakit tulang belakang, saraf dan darah tinggi yang serius.
Selepas rawatan kiropratik pada awal Disember lalu, beliau masih lagi berdepan masalah yang sama, namun telah mampu berjalan tidak seperti sebelum ini.
Sementara isterinya, Ustazah Suraini Ab Hamid pula menghadapi masalah pendengaran di mana telinga sebelah kanannya tidak berfungsi, selain telinga kiri hanya mampu mendengar sekitar 30 peratus.
Pun begitu dengan bantuan pelbagai pihak, pada minggu lepas alat bantu pendengaran telah ditempah untuk beliau.
09 Mar 21
206
Tak Perlu Risau Cari Duit Rawat Anak Demam
KUALA TERENGGANU, 8 Mac - “Alhamdullilah dengan Kad Sejahtera ini, tidak lagi perlu susah cari duit hantar anak demam ke klinik swasta," luah seorang bapa, Hasim Salleh, 55, yang juga salah seorang daripada 493 penerima Program Kad Sejahtera di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal, baru-baru ini.
Bapa kepada lima orang anak yang berasal dari Kampung Pengkalan Arang berkata, sebelum ini apabila anak-anaknya demam atau sakit, dia terpaksa berdepan dengan kekangan kewangan.
“Tambah lagi bila klinik kerajaan penuh dengan orang ramai dan terpaksa menunggu lama bagi mendapatkan rawatan anak.
“Tapi alhamdullilah, dengan kemudahan ini ia memberi kesenangan untuk keluarga saya dan saya sendiri, sakit ringan-ringan sekalipun tidak perlu susah lagi berurusan dengan klinik kerajaan,” katanya.
Hasim berkata demikian semasa ditemubual pemberita selepas Penyerahan Kad Sejahtera bagi fasa kedua Peringkat DUN Bukit Tunggal oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat di rumahnya, kelmarin.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Dr Alias Razak berkata, sebanyak 25 JPKK di kawasannya akan memainkan peranan dalam mengagihkan kemudahan tersebut supaya tiada golongan memerlukan akan tercicir.
“Baucer rawatan kesihatan percuma di klinik swasta terpilih tersebut adalah untuk mereka yang memerlukan rawatan awal dan segera.
“Pihak kerajaan juga akan menambah lagi klinik-klinik swasta berdaftar supaya jaringan kemudahan ini luas, memberi kemudahan kepada rakyat,” jelasnya.
Untuk rekod, Program Kad Sejahtera kepada rakyat berpendapatan rendah dan miskin tegar merupakan salah satu janji terkandung dalam manifesto pada Pilhan Raya Umum (PRU) Ke 14 PAS Negeri Terengganu yang lalu.
07 Mar 21
417
505 Penduduk Bukit Payong Terima Kad Rawatan Percuma
MARANG, 6 Mac - Seramai 505 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payung menerima Kad Sejahtera atau baucer rawatan kesihatan percuma di klinik swasta terpilih semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah berkata, kad itu membolehkan bantuan mereka mendapat rawatan perubatan bernilai RM500 setahun membabitkan peruntukan RM252,500.
Katanya, golongan berpendapatan rendah, miskin dan miskin tegar dengan setiap keluarga antara golongan sasar yang layak menerima bantuan itu terdiri daripada penduduk DUN Bukit Payong.
"Kad sejahtera ini adalah untuk mensejahterakan rakyat agar lebih mudah untuk mendapat rawatan di klinik-klinik yang telah ditentukan oleh kerajaan. Berbanding sebelum ini rakyat terpaksa beratur panjang di hospital kerajaan bagi mendapatkan rawatan.
“Kad ini perlu dibawa setiap kali mahu mendapatkan rawatan di klinik swasta terpilih dengan penggunaan maksimum RM70 setiap kali mendapatkan rawatan.
“Bagaimanapun, penggunaan kad ini bukan untuk penyakit kronik, tetapi hanya untuk rawatan pesakit luar seperti demam dan batuk,” katanya ketika merasmikan penyerahan Kad Sejahtera di Dewan Sivik Bukit Payong, semalam.
Hadir sama, Penghulu Mukim Bukit Payong, Ahmad Zafiri Ahmad Zaki, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Payong, Mat Ghani Jusoh, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Pekan Bukit Payong, Mohd Nasir Ismail serta para penerima.
07 Mar 21
694
Bantuan Banjir Terengganu Mula Disalurkan Kepada Mangsa Terlibat
KEMAMAN, 28 Februari - Bantuan banjir bagi 12,000 mangsa bencana itu di negeri Terengganu diluncurkan oleh kerajaan negeri, bermula semalam.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM6.4 juta berupa bantuan tunai sebanyak RM500 kepada setiap ketua isi rumah bagi membantu mereka.
"Alhamdulillah, hari ini kita mula menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir selepas kelima-lima fasa bencana itu berakhir, baru-baru ini.
"Tentu sumbangan ini tidak mampu menyelesaikan masalah tetapi diharapkan dapat meringankan beban semasa yang ditanggung mereka. Dan, pada masa sama, semua wakli rakyat dan agensi akan terus memberikan bantuan dari masa ke masa," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan penyampaian bantuan banjir kepada 160 mangsa bencana di daerah Kemaman, semalam.
Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri , Dato' Zainal Abidin Hussin serta Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat.
Dr. Samsuri juga menyatakan, bantuan kerajaan Persekutuan akan turut disampaikan melalui tabung bantuan kepada mangsa-mangsa terbabit.
Tambahnya, keseluruhan bantuan tersebut akan disalurkan ke setiap daerah terlibat, Isnin ini.
28 Feb 21
376
Limpahan Rezeki Buat Penduduk RMM Telok Kalong
KEMAMAN, 28 Februari - Penduduk Rumah Mampu Milik (RMM) Telok Kalong, Kijal kini lega apabila pelbagai sumbangan diterima mereka akibat banjir yang melanda taman perumahan tersebut tahun lepas.
Selain kerajaan pusat dan kerajaan negeri, banyak di kalangan Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta syarikat swasta di sekitar kawasan tersebutn turut memberi sumbangan seperti wang tunai, barangan dapur, perkakas elektrik dan tikar getah.
Muhamad Haiqal Shafie.
Pegawai Khas Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Mohamad Haiqal Shafie memberitahu, seramai 621 mangsa banjir yang disenaraikan di DUN Kijal menerima bantuan.
"Hari ini seramai 157 orang penerima bantuan banjir yang didaftarkan ketika banjir tempoh hari menerima bantuan masing-masing.
"Hari ini juga adalah hari kedua agihan di mana hari Sabtu minggu lepas kita telah selesaikan sebahagian pengagihan tersebut," katanya.
"Memandangkan penerimanya agak ramai, jadi kita adakan sebanyak dua sesi bagi mengurangkan jumlah keberadaan peserta di dalam satu masa di musim penularan pendemik Covid 19 ini," ujarnya.
Haiqal ditemui pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) pada Majlis Pengagihan Sumbangan Banjir DUN Kijal di Kompleks Paya Lasir, Bandar Kijal Sejahtera semalam.
Sumbangan kali ini adalah daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang diselaraskan oleh Pejabat Daerah Kemaman, Jabatan Kebajikan Masyarakat Kemaman dan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kijal.
Turut hadir pada majlis itu, Ahli Jawatankuasa Pemuda Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Ameerah DUN Kijal dan Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung serta kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kijal.
27 Feb 21
1177
SATU Harap Pengguna Bersabar, Terus Salurkan Maklumat
KUALA TERENGGANU, 25 Februari - Syarikat Air Terengganu (SATU) berharap pengguna di Kuala Terengganu dan Marang yang mengalami masalah gangguan bekalan air sejak semalam, dapat bersabar dan terus menyalurkan maklumat tentang keadaan di lokasi masing-masing kepada SATU dari masa ke masa.
Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Ir. Atemin Sulong memaklumkan, pihaknya berusaha untuk menangani masalah tersebut sebaik mungkin.
"Untuk tindakan segera, kita telah membekalkan lima lori tangki ke lokasi-lokasi terlibat untuk menampung keperluan masyarakat bagi tempoh sementara.Selain itu, kita juga telah dibantu oleh Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) yang turut menghantar lori tangkinya ke sini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) sewaktu melakukan tinjauan di tapak loji SATU yang sedang dibina di Pulau Bahagia, hari ini.
Menurutnya, masalah berkenaan yang akhirnya dapat diatasi pada awal pagi semalam dan SATU telah membekalkan bekalan air ke Marang dengan penggunaan sebanyak 100 peratus manakala, bagi Kuala Terengganu dan Kuala Nerus kekal 75 peratus.
"Majoriti mula menerima bekalan pada tekanan rendah dan situasi ini akan berlanjutan berikutan loji memerlukan masa beberapa hari untuk kembali stabil.
"Sebanyak kira-kira 3,000 buah akaun di kawasan bandar pula masih belum menerima bekalan kerana masalah sumbatan angin dalam paip dan kita masih mengatasinya," jelasnya.
Beliau menyatakan, SATU terpaksa menunggu paras air tangki meningkat untuk menyelesaikan isu terbabit ditambah keutamaan mendahulukan bekalan air kepada pengguna semasa.
Jelas Atemin, isu gangguan bekalan air yang melanda sejak semalam itu sebenarnya berpunca daripada masalah teknikal gangguan tenaga elektrik yang berlaku di Loji Air Kepong 1 dan 2, dua hari lalu.
"Pada 23 Februari lalu, sewaktu program servis dilakukan, berlaku 'tripping' (pemutusan transmisi elektrik) pada sistem di dua loji berkenaan mengakibatkan bekalan air keseluruhan sistem di loji itu lumpuh sepenuhnya sekaligus menyebabkan air tangki berada pada paras minimum.
"Kita berjaya memulihkan masalah tersebut sebelum tengahari, namun apabila ia berlaku buat kali kedua pada sebelah petang, kita terpaksa mengambil masa lebih lama untuk memulihkannya," katanya.
Loji air SATU di Pulau Bahagia yang bakal siap tidak lama lagi.
Beliau menyatakan, pihak SATU sentiasa melakukan persediaan berdepan krisis seperti ini.
Bagaimanapun, sistem loji di Terengganu yang telah berusia menyukarkan proses penukaran alat ganti.
"Kami masih menunggu alat ganti yang dijangka tiba malam ini dan insya-Allah keadaan akan kembali normal dlm beberapa hari lagi," katanya.
25 Feb 21
815