Artikel "Kebajikan" Terkini
Bantuan Banjir RM6.4 Juta Lebih Disalurkan Bermula Esok
KUALA TERENGGANU, 25 Februari – Kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan banjir sekali bayaran berjumlah RM500 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) bermula sabtu, 27 Februari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, sumbangan keseluruhan bernilai RM 6,406,500.00 kepada 12,813 KIR di seluruh negeri akan dimulakan di daerah Kemaman dengan perasmian disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
“150 penerima akan menerima bantuan pada majlis di daerah yang boleh dikatakan paling terjejas akibat musim banjir pada Januari lalu.
“Manakala dalam 8,300 mangsa banjir di seluruh Terengganu akan mendapat bantuan dalam bentuk wang melalui Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) di daerah masing-masing.
“Peruntukan hampir RM7 juta ini melibatkan mangsa yang terjejas akibat banijr pada akhir tahun lepas dan awal Januari,” katanya ketika ditemubual pemberita.
Beliau berkata demikian selepas mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Wisma Darul Iman, pagi semalam.
Tambah beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, bagi setiap daerah adalah di bawah Pejabat Daerah kemudian diagihkan di Pejabat DUN masing-masing oleh wakil rakyat atau pegawai penyelaras berkenaan.
“Insya-Allah, pembayaran akan selesai dilunaskan pada minggu hadapan.
“Jumlah mangsa yang paling ramai adalah di Kemaman, iaitu di DUN Chukai dan DUN Air Putih dengan jumlah keseluruhan mangsa di Chukai seramai kira-kira 3,200 orang,” tambahnya.
25 Feb 21
2716
1,500 Penduduk Bukit Payong Terima Bantuan PKP
MARANG, 24 Februari – Seramai 1,500 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong yang terjejas pendapatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerima sumbangan RM100.
Mereka yang terpilih menerima Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) itu antaranya penjaja makanan, pekerja kedai gunting, pengusaha salon dan pekerja kedai basuh kereta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah, berkata walaupun nilaian agihan itu tidak besar, tetapi ia cukup bermakna kepada mereka yang memerlukan, terutama yang terputus punca pendapatan.
“Dengan nilaian itu, sekurang-kurang dapat meringankan beban untuk membeli barangan keperluan dapur.
"Kita sedar sekarang ini terlalu ramai yang tidak dapat meneruskan pekerjaan mereka terutama bagi peniaga-peniaga yang tidak dapat memeruskan jualan mereka,” katanya kepada pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman baru-baru ini.
Bantuan itu diagihkan secara berperingkat-peringkat mengikut mukim.
Seorang peniaga Kedai Urutan Tradisional (SPA) dari Kampung Surau Haji Daud, Norhayati Mohammed, 39, berkata, bantuan itu sangat bermakna kerana sepanjang PKP peniagaan mengalami kemerosotan teruk.
"Saya sangat bersyukur dengan bantuan yang diberikan dan ucapan terima kasih kepada pihak YB Ustaz Mohd Nor Hamzah dan pihak kerajaan yang telah menyalurkan sumbangan ini kepada saya
"Dengan pemberian ini dapatlah saya membeli barangan alatan yang diperlukan lagi dalam kerja SPA ini." katanya ketika ditemui dalam program penyerahan tersebut
24 Feb 21
2317
Mak Ngah Lah Terima Bantuan Pelbagai Pihak
MARANG, 23 Februari - Pelbagai pihak tampil membantu warga emas,Hamlah Ismail atau lebih dikenali Mak Ngah Lah, 73, yang ditimpa musibah kebakaran rumah di Kampung Kelulut baru-baru ini.
Dalam kejadian pada 11 Februari lalu, hampir separuh rumah milik Mak Ngah Lah hangus.
Sebelum ini warga emas itu menerima kunjungan daripada Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang yang hadir bersama-sama menyerahkan bantuan segera berbentuk keperluan asas pada hari kejadian.
Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng, berkata di samping PKM Rhu Rendang, ada juga bantuan yang disampaikan daripada pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta pihak Pusat Khidmat Ahli Parlimen Marang.
"Rata-rata sebahagian besar daripada 36 JPKK di Dun Rhu Rendang, telah membuat kutipan derma dan menyumbang sejumlah wang kepada mangsa kebakaran ini.
Katanya ketika dihubungi oleh Wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman.
Turut hadir sebelum ini, adalah Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman, dan JPKK Kampung Baru Bukit Kecil.
Menurutnya Nasaruddin, Makngah Lah juga akan menerima bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) secara one-off bernilai RM3000.
"Manakala, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula sedang menunggu proses dokumen lengkap daripada pemohon untuk diangkat kepada Tabung Darul Iman bagi menyalurkan bantuan.
"Kita sangat berterima kasih kepada pihak-pihak yang tampil membantu sementara menunggu proses bantuan lain daripada agensi dapat disampaikan.
"Walaubagaimanapun, kita juga bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa yang berlaku, dan proses siasatan telah dibuat oleh pihak forensik Jabatan Bomba Malaysia, tambahnya.
23 Feb 21
353
Pengusaha Teksi, Pemandu Pelancong Terima Bantuan RM44,100
KUALA TERENGGANU, 23 Februari – Lebih 100 pemandu teksi dan pemandu pelancong telah menerima insentif Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (Berkat) 2021 bernilai RM44,100 secara berperingkat pada petang semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman memaklumkan, bantuan tersebut disalurkan kepada wakil setiap persatuan seperti Persatuan Pemandu Pelancong Bandar, Persatuan Pemandu Pelancong Alam Semulajadi dan Persatuan Pemandu Teksi.
“Seramai 44 pemandu teksi Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di samping 103 pemandu pelancong bandar dan alam semulajadi menerima bantuan sebanyak RM300 setiap seorang.
“Terdahulu, pihak kami telah memaklumkan jumlah bantuan dalam RM200 seorang tetapi telah dinaikkan kepada RM300 seorang buat pemandu yang terkesan teruk akibat kemelesetan sektor tersebut akibat kekangan pandemik.
“Bantuan ini diberi secara berperingkat atas sebab pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan selebihnya akan disalurkan melalui akaun penerima masing-masing,” katanya kepada pemberita ketika sidang media.
Beliau berkata demikian semasa sidang media program agihan Berkat kepada pemandu teksi dan pemandu pelancong di Kampung Budaya, Muzium Negeri Terengganu di sini.
Turut hadir, Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu, Mohd Huzaril Nizam Ibrahim.
Sementara itu, seorang penerima, Rustam Mokhtar, 48, menceritakan, pengalaman pahit ketandusan rezeki ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada awal tahun ini amat memeritkan.
“Boleh dikatakan 80 peratus terkesan, satu minggu itu hanya meraih dalam RM30 sahaja berbanding kebiasaanya dalam RM100 sehari sebelum dilanda musim COVID-19.
“Namun begitu, alhamdullilah pemandu-pemandu persatuan kami bersyukur dengan bantuan diberi kerajaan negeri, ini sedikit sebanyak akan ringankan beban dan kami akan terus redha menghadapi ujian ini,” katanya ketika ditemubual pemberita.
Rustam yang juga antara 44 pemandu teksi LTSM menyokong usaha kerajaan Terengganu yang akan memohon kelonggaran rentas daerah kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri untuk melancarkan ekonomi penggiat pelancongan.
23 Feb 21
987
Nasib Ibu Tunggal Lima Anak Dapat Pembelaan
MARANG, 21 Februari - Seorang ibu tunggal yang baru kehilangan suami kerana menghidap kanser buah pinggang mendapat perhatian Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang baru-baru ini.
Norhaida Yaacob, 48, juga terpaksa menanggung lima orang anak termasuk dua daripada merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan sakit terlantar.
Salah seorang anaknya yang berusia tujuh tahun, sakit terlantar dan tidak dapat menguruskan diri kerana menghidap sakit cecair dalam kepala sejak daripada kecil.
Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng, berkata, ini menyebabkan ada kos perubatan yang terpaksa ditanggung di samping kos pengurusan makanan seperti pampers dan harian.
"Sebelum ini kita telah mengunjungi keluarga ini untuk menziarahi arwah suaminya dan memberikan sedikit sumbangan barang keperluan dan cadangan permohonan bantuan.
"Antaranya adalah bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk anak OKU dan Tabung Darul Iman (TDI) untuk meringankan sedikit sebanyak kos perubatan dan barang-barang keperluan anak serta suami yang sakit," katanya.
Katanya ketika menziarahi keluarga itu di samping menyampaikan sedikit sumbangan di samping mengucapkan takziah atas kematian suami Norhaida.
Turut hadir adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Perumah Awam Kos Rendang (PAKR) Sungai Kerak, Mohd Shafie Ngah.
Menurutnya lagi, sebaik menerima berita kematian suaminya, pihak PKM telah berusaha membantu ibu tunggal tersebut dengan berhubung dengan pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
"Setelah menghubungi pihak PERKESO, mereka bersetuju untuk turun melihat dan menyiasat kes ini dalam masa terdekat bagi membantu keluarga ini," katanya.
21 Feb 21
449
Hotel Primula Bantu Golongan Asnaf
MARANG, 19 Februari - Seramai 72 orang asnaf dan penduduk kurang berkemampuan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang menerima bungkusan makanan daripada Hotel Primula..
Pengurus Operasi F&B Primula Beach Hotel, Muhammad Amdam Nordin, berkata pihaknya sentiasa terbuka untuk memberikan sumbangan kepada masyarakat yang memerlukan.
“Kita membuka ruang kepada ramai pihak, sama ada Badan Bukan Kerajaan (NGO), individu persendirian, dan penyumbang untuk menyumbang kepada kami untuk diagihkan melalui bentuk pek makanan seperti ini.
“Program ini juga diadakan setiap kali menerima hasil sumbangan orang ramai kepada kami, bagi menjaga kebajikan masyarakat memerlukan." katanya
Katanya ketika hadir menyerahkan sumbangan bungkusan makanan kepada Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang untuk diagihkan, baru-baru ini.
Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, bantuan ini telah diagihkan kepada penduduk sekitar kawasan ini melalui JPKK sekitar.
“Kami sentiasa mengalu-alukan pihak yang ingin memberikan sumbangan atau khidmat kepada asnaf atau mereka yang memerlukan.
"Lebih-lebih lagi, dalam keadaan kita menempuhi kesukaran berdepan dengan pandemik covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tambahnya lagi.
18 Feb 21
60
PKM Permaisuri Sumbang Katil Kepada Pesakit Strok
SETIU, 18 Februari - Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Permaisuri menyumbangkan sebuah katil hospital bagi kegunaan seorang pesakit strok di Kampung Putera Jaya, semalam.
Pegawai Penyelaras DUN Permaisuri, Zul Bhari A Rahman berkata, Foo Chek Eng, 62, adalah penerima pertama katil tersebut pada tahun ini melalui sistem wakaf.
"Bantuan ini bagi memudahkan kehidupan mereka sekeluarga," katanya ketika ditemui oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semalam.
Chek Eng yang mengalami masalah kesihatan akibat serangan strok sejak lima tahun lalu tidak mampu melakukan tugasan harian seperti biasa dan tanggungjawab itu dipikul suaminya, Wang Kiat Wang, 66.
Menurut suaminya yang bekerja kampung dan seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA), anak lelakinya juga turut membantu menguruskan kehidupan mereka.
"Dia banyak membantu kami, menguruskan apa yang patut terutamanya membabitkan hal-hal dalam rumah ini.
"Terima kasih banyak kepada PKM dengan sumbangan yang bermakna ini," jelasnya.
18 Feb 21
213
HSNZ Terima 300 PPE Rakan 1.0
KUALA TERENGGANU, 17 Februari - 300 set peralatan perlindungan diri (PPE) dan pelindung muka sumbangan Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) mula dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bagi membantu keperluan barisan hadapan menghadapi penularan pandemik COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, penghantaran pertama tersebut merupakan sebahagian daripada jumlah 2,000 set PPE yang dibuat UBSNT dalam program Bantuan Kelengkapan Frontliner (Rakan 1.0), baru-baru ini.
"Pertama sekali, material PPE ini diproses setiap hari oleh badan bukan kerajaan (NGO) yang berkerjasama dengan UBSNT dan apabila siap satu peringkat ia akan dihantar terus ke HSNZ.
"Setakat ini, target kita adalah 2,000 set, namun sekiranya situasi belanjutan, bantuan demi bantuan akan cuba kita salurkan dari masa ke masa," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu menyempurnakan program sumbangan 10,000 mushaf Al-Quran dan 50,000 pelitup muka ke Sabah di pejabat DUN Wakaf Mempelam, hari ini.
Turut hadir, Pengarah UBSNT, Mohd Nasir Abd Razak, dan pengerusi IMAN CARE, Mohd Nasrun Abdullah.
Jelasnya, UBSNT menggerakkan usaha membantu barisan hadapan bersama Iman Care iaitu penyumbang utama serta Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA), HANEES, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), TESDEC dan beberapa agensi lain.
“UBSNT, melalui Unit NGO sentiasa terbuka menerima kerjasama daripada NGO-NGO di luar sana dalam membantu menyelesaikan dan menangani pelbagai keperluan sosial," katanya.
Sumbangan tersebut disampaikan Wan Sukairi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor dan diterima oleh Timbalan Pengarah Perubatan II HSNZ, Dr. Mazila Mat Zin di lobi hospital berkenaan, hari ini.
17 Feb 21
273
50,000 Pelitup Muka, Al-Quran Belayar Ke Sabah
KUALA TERENGGANU,17 Februari - Urus Setia Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu Sejahtera (UBSNT) hari ini menghantar sebanyak 50 ribu pelitup muka dan 10 ribu naskhah al-Quran ke Sabah dalam usaha membantu negeri tersebut menghadapi penularan COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah memaklumkan, Program Bayu Kasih 2021 itu merupakan kerjasama UBSNT bersama Iman Care sebagai penaja utama akan menyerahkan sumbangan tersebut kepada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan beberapa NGO terlibat di sana untuk diagihkan.
"Barangan ini akan dihantar dengan kerjasama Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) menggunakan KD Mahawangsa yang mana rombongan ini akan bergerak ke Kota Bharu mengambil baki barangan yang bakal dibawa dan seterusnya ke Lumut untuk dinaikkan ke kapal yang terus ke Sabah.
"Bagi pihak kerajaan negeri, saya mengucapkan syabas dan tahniah atas usaha ini. Mudah-mudahan segala seumbangan ini akan memberikan kelegaan dan membantu sedikit sebanyak situasi di sana yang kita sedia maklum menghadapi situasi yang agak luar biasa selain amat memerlukan keperluan ini," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu menyempurnakan pelepasan delegasi tersebut di pejabat DUN Wakaf Mempelam, hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md. Noor serta wakil-wakil dari NGO terlibat.
17 Feb 21
451
PKPD : Penduduk Felda Tersat Terima Sumbangan Pek Makanan
HULU TERENGGANU, 16 Februari – Lebih 220 sumbangan pek makanan diagihkan kepada setiap isi rumah melibatkan 583 orang penduduk di 198 buah rumah di Felda Tersat, Ajil yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Pusat Khidmat Masyarakat Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Adun Ajil menyalurkan bekalan sumbangan kepada penduduk kampung Felda Tersat.
Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid berkata, pihak kerajaan dan parti pemerintah tidak akan meminggirkan rakyat mahupun penduduk yang dikenakan PKPD khususnya dalam kawasan Hulu Terengganu ini.
“Bantuan bekalan keperluan dan makanan yang disalurkan ketika PKPD dilakukan atas dasar keprihatinan dan tanggungjawab kepada rakyat serta prinsip kemanusiaan sejagat,"jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika hadir menyampaikan bantuan bekalan tersebut, baru-baru ini.
Turut hadir dalam penyampaian sumbangan bekalan tersebut ialah Yang Berhormat Adun Ajil, Maliaman Kassim, Pegawai Penyelidik (Tanah Persekutuan) Pejabat Menteri Besar Negeri Terengganu, Naraza Muda, dan Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Hulu Terengganu, Mohd Harun Esa
Terdahulu, kerajaan telah mengumumkan dua lokaliti di daerah Hulu Terengganu ini, iaitu Felda Tersat, Ajil dan Tapak Bina Kuarters Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kuala Berang, dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan PKPD yang bermula pada 14 Februari sehingga 17 Februari 2021.
Tambah Muhyidin, sumbangan yang diserahkan itu, telah diwakili oleh Pengerusi JPKK Felda Tersat untuk diagihkan bekalan makanan untuk keluarga yang dikuarantin di penempatan tersebut.
“Ia bagi memastikan semua sumbangan-sumbangan ini dapat sampai ke setiap keluarga penduduk yang merupakan sebahagiannya adalah peneroka Felda bagi kawasan ini.
“Saya berharap, dengan penyaluran bantuan sumbangan yang sedikit sebanyak ini, dapat membantu meringankan sedikit bebanan penduduk yang mana mereka ini tidak dapat keluar masuk untuk mencari bekalan ataupun keperluan yang lebih di luar sana, akibat daripada PKPD yang masih berkuatkuasa sehingga hari ini,"ujarnya lagi.
Beliau juga menegaskan bahawa kerjasama sebegini akan diteruskan dari masa ke semasa, supaya kebajikan rakyat dan masyarakat setempat terus terjaga dan terbela.
16 Feb 21
468