lightning-solid
Berita :

Artikel "Kebajikan" Terkini

Air Percuma 20 Meter Padu: Bekalan Air Mencukupi
Air Percuma 20 Meter Padu: Bekalan Air Mencukupi
KUALA TERENGGANU, 11 Mei-  Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), memberi jaminan bekalan air mencukupi bagi pelaksanaan Bekalan Air Percuma sebanyak 20 meter padu kepada semua rakyat di negeri Terengganu. Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Ir Atemin Sulong memaklumkan, keperluan bekalan air bagi rakyat Terengganu masih stabil menjelang perayaan hari raya Aidil Fitri yang bakal disambut, dua hari lagi. "Berdasarkan anggaran penggunaan semasa, jumlah 20 meter padu yang diberikan secara percuma oleh kerajaan negeri dapat menampung keperluan penggunaan pada kadar biasa bagi lima orang pengguna dalam satu rumah selama 20 hari. "Bekalan air percuma yang diumum oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dua hari lalu sebenarnya telah bermula sejak 1 Mei, bermakna rakyat Terengganu telah menikmati manfaat ini sejak sepuluh hari lalu," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), semalam. Terdahulu, Dr. Samsuri mengumumkan memperluaskan bekalan air percuma sebanyak 20 meter padu pertama kepada semua pengguna kategori rumah tangga sempena bulan perayaan Aidilfitri bagi membantu rakyat negeri ini menghadapi suasana hari raya dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu serta dalam situasi pandemik COVID-19. Bantuan ini melibatkan perbelanjaan yang berjumlah hampir RM570,000 untuk tempoh selama sebulan dan bakal meringankan impak keadaan ekonomi akibat wabak COVID-19 yang melanda kepada lebih 1.33 juta rakyat yang terdiri daripada isi rumah kategori rumah tangga.  
11 May 21
298
Manfaat Berpanjangan, Kriteria Bantuan Di Terengganu
Manfaat Berpanjangan, Kriteria Bantuan Di Terengganu
MARANG, 7 Mei - Perkara yang memberi manfaat berpanjangan kepada golongan sasar menjadi kriteria utama penyaluran bantuan atau sesuatu dana di Terengganu. Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan, bantuan disampaikan kerajaan negeri berdasarkan pertimbangan akan keperluan dan manfaat yang lebih baik kepada rakyat. "Memang kalau ditanya, semua orang hendak duit di tangan tetapi kalau kita bercakap tentang keperluan asasi yang lebih mendesak, itu perlu diberi keutamaan kepada rakyat untuk meneruskan kehidupan," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majllis penyerahan sumbangan tablet menerusi Inisiatif Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di Dewan Perpustakaan Marang, hari ini. Turut hadir, Pengarah Eksekutif Terengganu Inc. Sdn Bhd, Burhanuddin Hilmi Mohamed@ Harun dan pentadbir daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak. Sebelum ini, Ahmad Samsuri berkata, pihaknya tidak mahu bantuan yang diberikan habis sekelip mata sebaliknya mengambil inisiatif mewujudkan satu program lain yang kesannya bertahan lama seperti pemberian kad sejahtera untuk manfaat kesihatan rakyat . Sehubungan dengan itu katanya, tidak timbul isu tentang dana raya negeri Terengganu pada tahun ini sebaliknya ia diterjemahkan dalam bentuk bantuan COVID-19 kepada golongan memerlukan. "Kerajaan negeri kini masih dalam proses mengenal pasti penerima dana bantuan yang akan diberikan kerajaan negeri dalam masa terdekat. "Ada tetapi tidak sama. Kita tidak namakan dana raya, sebaliknya kita berikan dana bantuan kepada mereka yang memerlukan dalam bulan Ramadan ini. Kita anggarkan, akan ada sekitar 1,000 orang penerima bagi setiap DUN. "Sekarang ini, kerajaan masih dalam proses kenal pasti penerima yang layak dan kebetulan ia jatuh pada bulan Ramadan ini. Bagi bantuan ini, kita akan beri samada dalam bentuk bantuan tunai RM100 atau barang keperluan di samping bantuan lain," katanya.              
07 May 21
1947
Anak Yatim Terengganu Dapat Duit Raya
Anak Yatim Terengganu Dapat Duit Raya
KUALA TERENGGANU, 29 April - Seramai 226 anak yatim daripada pertubuhan berdaftar seluruh Terengganu menerima bantuan duit raya daripada kerajaan negeri semalam. . Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, pihaknya prihatin terhadap golongan sasar tersebut dan bersetuju untuk membantu dengan menyalurkan sumbangan itu kepada mereka. “Tambah lagi, lapan pertubuhan sukarelawan anak yatim berdaftar juga menerima bantuan berjumlah RM40,000 sebagai imbuhan dan pencetus semangat ikhlas daripada Kerajaan Negeri Terengganu. “Antara penerimanya seperti Rumah Tunas Harapan Darul Hilmi, Seberang Takir, Asrama Perkaya Marang, Pertubuhan Asrama Anak-Anak Saudara Kito Yatim, Fakir dan Miskin PERKIM Negeri Terengganu. “Bagi pertubuhan yang belum berdaftar ramai lagi yang saya yakin bulan ini masing-masing berkejar untuk memberi sumbangan,” jelasnya. Beliau berkata demikian semasa berucap semasa Majlis Penyampaian Sumbangan Sempena Perayaan Aidilfitri, di Wisma Darul Iman. Menurut Pengetua Asrama Kebajikan Anak Anak Yatim/Fakir Darul Akhyar Mukim Batu Rakit, Ahmad Irshad Mustaqim Zamri yang hadir sama berkata, beliau berterima kasih kepda kerajaan negeri dan akan memanfaatkan bantuan itu untuk pengurusan asrama. “Kami di Darul Akhyar mempunyai 125 orang pelajar (40 anak yatim) dari Tingkatan Satu sampai Lima, jumlah tersebut akan digunakan bagi kebajikan pelajar dan penambahbaikan peralatan sekolah,” katanya ketika ditemubual pemberita. Pertubuhan lain yang menerima sumbangan ialah Tahfiz Perkaya Dungun, Pusat Jagaan Berkediaman Baitul Cakna, Hulu Terengganu, Pusat Jagaan Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim Al-Hijrah, Kemaman dan Asrama Darul Falah Marang.
29 Apr 21
1103
RM30 Ribu Dana Istimewa Untuk Fakir Miskin
RM30 Ribu Dana Istimewa Untuk Fakir Miskin
MARANG, 21 April - Seramai 300 penduduk di daerah ini terpilih menerima dana istimewa sempena Ramadan berupa pemberian secara langsung daripada Ahli Parlimen Marang.  Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berharap agar bantuan tersebut dapat meringankan beban mereka yang memerlukan. Katanya selain dana tersebut, turut diagihkan adalah bantuan berupa barangan keperluan hasil sumbangan pelbagai pihak.  “Inilah kelebihan yang ada pada orang Islam yang tak ada pada orang bukan Islam. Yang senang, bersyukur kepada Allah taala dan mendapat pahala syukur. Dan yang susah bersabar menghadapi kesusahan dan mendapat pahala sabar. “Bagi pihak Parlimen Marang, saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberi bantuan dan semoga Allah taala menggandakan pahala dan kelebihan kepada mereka,” katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Sumbangan dan Dana Ramadan Parlimen Marang di Dewan MPKK Rhu Rendang, baru-baru ini. Abdul Hadi turut menyeru kepada masyarakat agar memanfaatkan bulan mulia ini bukan sahaja meningkatkan kualiti dan kuantiti ibadat tetapi juga gerak kerja kebajikan serta jihad. “Marilah kita melafazkan kesyukuran kerana diberi kesempatan menjadi tetamu Allah SWT pada bulan Ramadan, dihidangkan dengan amal ibadah dan kerja-kerja kebajikan, memberi sumbangan dan tolong menolong antara satu sama lain," tambah beliau.    
21 Apr 21
590
'Pupuk Perpaduan dan Hargai Keharmonian'
'Pupuk Perpaduan dan Hargai Keharmonian'
KUALA NERUS, 8 April - Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat mengingatkan bahawa semua rakyat di negara ini khususnya di Terengganu perlu menerima hakikat bahawa Malaysia merupakan sebuah negara berbilang kaum yang unik. "Keunikan inilah yang menjadikan kita istimewa dan terbilang di mata masyarakat dunia. "Jadi, pupuklah semangat perpaduan dan ukhuwwah sesama kita, hargailah keamanan dan peliharalah perpaduan dan keharmonian demi negara yang kita semua cintai," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Perpaduan Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2021 di Duyong Marina & Resort, semalam. Majlis berkenaan dihadiri wakil-wakil persatuan pelbagai bangsa dan kaum di Terengganu dengan tujuan mewujudkan penyatuan di kalangan masyarakat dalam membangun negeri yang maju, berkat dan sejahtera. Program makan malam tersebut disempurnakan Yang di Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato' Yahaya Ali mewakili Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar. Menurut Hanafiah, keamanan yang diperolehi hari ini adalah hasil perpaduan dan toleransi segenap masyarakat.  "Adalah menjadi tanggungjawab generasi baharu hari ini untuk menghargai dan menghayati konsep perpaduan. "Tugas dan tanggungjawab utama kita pada hari ini adalah memenuhkan dada dengan ilmu pengetahuan dunia dan ukhrawi agar perpaduan yang kita telah kecapi selama ini dapat dipertahankan dan seterusnya dikekalkan. "Tanpa ilmu pengetahuan dan usaha–usaha yang berterusan bagi mempertahankan perpaduan yang telah lama wujud ini, semuanya hanya akan tinggal kenangan dan menjadi lipatan sejarah sahaja," katanya.                    
08 Apr 21
139
Tepuh Berbasikal Salurkan Sumbangan
Tepuh Berbasikal Salurkan Sumbangan
KUALA NERUS, 1 April - Unik, cepat dan mesra, itulah pendekatan yang telah diambil oleh Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh melalui Kelab Tepoh Cakna Cycling Team (TCCT) untuk menyantuni dan menyalurkan sumbangan kepada penduduk dengan berbasikal. Aktiviti kayuhan basikal sambil berkebajikan itu antara satu rutin ziarah yang telah direncana dan dilaksanakan oleh DUN Tepoh dalam misinya mendekati masyarakat dan menyalurkan bantuan terus kepada golongan-golongan yang memerlukan.  Dalam satu program yang berlangsung pada 30 Mac lalu, TCCT telah mengunjungi Kampung Jeram Hilir, dalam siri jelajahnya untuk menyantuni dan menyalurkan sumbangan kepada penduduk yang terlibat. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim telah bersama-sama dalam kayuhan tersebut dan turut berkesempatan melawat 20 buah keluarga di sekitar Kampung Jeram Hilir. Beliau menyampaikan sumbangan berupa barangan dapur sempena menyambut bulan Ramadan tidak lama lagi.   “TCCT akan terus melaksanakan aktiviti kebajikan secara berbasikal ini dari semasa ke semasa dan akan singgah di lokasi-lokasi lain di masa akan datang," katanya. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Jeram Hilir dan Pengerusi Masjid Kampung Jeram Hilir atas kerjasama erat yang telah diberikan semasa siri jelajah tersebut berlangsung. Kelab TCCT ini secara rasminya telah dilancarkan pada bulan September 2020 dan telah menjadi sebahagian daripada program di bawah Pusat Khidmat Masyarakat DUN Tepoh. Kelab itu ditubuhkan dengan misi berkebajikan secara berbasikal dalam mukim Tepoh.
31 Mar 21
282
RMM Bukit Gasing Catat Unit Rumah Tertinggi
RMM Bukit Gasing Catat Unit Rumah Tertinggi
MARANG, 1 April - Rumah Mampu Milik (RMM) Bukit Gasing mencatat rekod tersendiri apabila menjadi projek pembinaan unit rumah tertinggi iaitu sebanyak 238 buah rumah berbanding RMM di kawasan lain. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, RMM Bukit Gasing yang berkeluasan 23 ekar merangkumi 238 unit rumah dengan kos pembinaan sebanyak RM34 juta yang ditanggung oleh kerajaan negeri. “Di negeri Terengganu ini kita melancarkan konsep perumahan patuh syariah yang kita namakan sebagai Rumah Darul Iman yang dikenali sebagai RAHMAN. Di mana semua rumah di Terengganu diharapkan dapat mengikuti ciri-ciri dan spesifikasi RAHMAN yang telah ditetapkan kerajaan negeri,” ucapnya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek RMM Bukit Gasing II, Marang. Untuk rekod, sebelum ini, kerajaan negeri telah melancarkan empat projek RMM iaitu RMM Tajin Hulu Terengganu sebanyak 250 unit, RMM Tok Jembal Kuala Nerus sebanyak 160 unit, RMM Tempinis Jabi Besut sebanyak 100 unit dan RMM Gong Cengal Kertih Kemaman sebanyak 200 unit. Turut hadir dalam majlis tersebut, Pegawai Khas Ahli Parlimen Marang, Haron Yusof, Pengarah Tanah dan Galian Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri, Wan Adnan Wan Derahman.
31 Mar 21
876
Satiful Lega Peserta Terkilan RTB Di Paka Terima Geran
Satiful Lega Peserta Terkilan RTB Di Paka Terima Geran
DUNGUN, 29 Mac - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Satiful Bahri Mamat menarik nafas lega melihat 81 peserta tanah terkilan di kawasan Dewan Undangan Negeri berkenaan menerima geran tanah masing-masing, baru-baru ini. “Ini merupakan program pertama yang melibatkan pemberian geran Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka dan baki-baki yang tinggal kita akan selesaikan sedikit demi sedikit dengan segera. "Mereka ini sudah menunggu sekian lama dan telah keluarkan banyak duit sepanjang proses mengusahakannya, sekarang baru mereka dapat geran. Jadi, saya pun selesa dengan keputusan ini. "Walaupun kerajaan negeri tidak dapat memberikan semula semua kerugian yang dialami pada 20 tahun lalu, namun para peserta dapat semula tanah mereka dan premium yang mereka perlu bayar dikekalkan pada kadar lama iaitu sekitar RM1,100 bagi satu lot, ini merupakan bantuan secara tidak langsung daripada kerajaan atas kesabaran mereka menunggu," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas merasmikan Majlis Penyerahan Geran Tanah bagi DUN Paka di Dewan Sivik Paka. Jelas Satiful yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, penyerahan geran tanah itu melibatkan 41 orang peserta dari RTB Terkilan Cherong Melintang dan 40 peserta dari RTB Terkilan Beril yang telah menjadi isu panas sejak 20 tahun lalu. “Proses untuk bagi mengeluarkan sekeping geran terpaksa melalui banyak proses sebelum diserahkan kepada peserta. “Tetapi beruntunglah bagi mereka yang tergolong peserta terkilan ini kerana termasuk di dalam keputusan khas kerajaan negeri yang dikatogerikan peserta terkilan 1999-2004, maka proses tidak begitu panjang,” katanya. Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan agar peserta yang telah menerima geran dapat bekerjasama membersih kawasan, melaksanakan ukur batu lot dan sebagainya. “Kita tidak mahu orang yang terima geran tetapi kawasan lotnya tidak terurus dan akhirnya naik semak kembali. Sebab itu, kita sarankan agar mereka menubuhkan jawatankuasa pelaksana dan berpakat sesama mereka bagi mengurangkan kos dalam mengusahakan tanah masing-masing,” tambahnya lagi.  
29 Mar 21
1076
PASTI Menjadi Lubuk Pahala Usahawan Marang
PASTI Menjadi Lubuk Pahala Usahawan Marang
MARANG, 18 Mac - Pusat cucian layan diri (Dobi Nofa Laundry) bersebelahan Pizza Kapas dan Turtle Art Studio di Kampung Rhu Muda bermurah hati memberi sumbangan tetap kepada PASTI Al-Munir.   Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Al-Munir, Bukit Gasing menjadi lubuk bercucuk tanam di dunia untuk di jual di akhirat kelak bagi pusat cucian layan diri yang dikenali sebagai Dobi Nofa Laundry. "Saya akan pastikan sumbangan tetap ini akan disalurkan kepada pengurusan PASTI Al-Munir untuk meringankan beban pengurusan dan sesi pembelajaran mereka", kata pemilik kedai pusat cucian layan diri tersebut, Abd. Rahman, 31. Pusat cucian itu telah mula operasi selama dua bulan yang lepas dan dibuka 24 jam yang menawarkan perkhidmatan mesin basuh (washer) dua biji 28kg satu biji 16kg dan satu biji 14kg serta mesin pemanas (dryer) 4 biji semuanya 28kg. Sekalipun dibadai pandemik Covid-19, kerja yang tidak menentu dek kerana mempunyai simpanan sebelum-sebelum ini. Anak muda ini nekad untuk memulakan perniagaan ini. Ulasnya lagi yang berasal dari Bukit Gasing, menetap di gong chempedak, Marang itu, pelbagai kerja telah dijalankan demi mencari sesuap nasi dan menyara kehidupan yang sebelum ini bekerja sebagai staf TNB berstatus kontrak. "Gigih memajukan perniagaan ini bukanlah untuk diri sendiri semata-mata tetapi untuk mengubah hidup orang lain di sekeliling juga," ucapnya.
23 Mar 21
2001
Syukur, Akhirnya Terima Bekalan Elektrik
Syukur, Akhirnya Terima Bekalan Elektrik
MARANG, 18 Mac - Penderitaan sebuah keluarga yang tinggal di rumah tidak berelektrik selama lebih 15 tahun berakhir setelah mendapat bekalan asas itu baru-baru ini. Zakaria Mamat, 48, berkata, dia dan keluarga sangat gembira dan bersyukur kerana akhirnya mereka dapat hidup seperti orang lain. Katanya, sebelum ini mereka hanya menyambung tenaga elektrik dari rumah bersebelahan akibat tidak mampu menanggung kos pendawaian dan deposit elektrik. "Biasanya kami hanya menggunakan sebiji lampu mudah alih bagi menerangi rumah pada waktu malam, ke dapur dan kemana-mana hanya bergantung pada lampu tersebut. "Bilik anak-anak juga bergelap dan saya juga tidak berani menambah serta menyambung lebih banyak peralatan elektrik kerana bimbang berlaku masalah," jelasnya. Beliau berkata ketika menerima kunjungan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, ke rumahnya setelah selesai pemasangan tersebut. Sebelum ini, keluarganya turut dikunjungi oleh PKM, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM), dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Baru Bukit Kecil. Sementara itu, Pegawai Khas PKM Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, pihaknya telah berusaha membawa permasalahan keluarga Zakaria kepada agensi terbabit iaitu MAIDAM, bagi mendapatkan bantuan dana pendawaian tersebut. "Saudara Zakaria juga mempunyai masalah kewangan, di mana dia yang berkerja sebagai pemandu bas persiaran sebelum ini tidak dapat berjalan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekaligus menyebabkannya hilang mata pencarian. "Usahanya sebelum ini memohon bantuan daripada beberapa pihak tidak mendapat perhatian, jadi kita merasa bersyukur kerana dapat membantu keluarganya untuk tinggal di rumah yang lebih selesa dengan mempunyai bekalan elektrik. "Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih, kepada mereka yang terlibat dalam membantu menyelesaikan masalah keluarga ini terutamanya MAIDAM, Tenaga Nasional Berhad (TNB) Marang dan JPKK Kampung Baru Bukit Kecil." PKM juga telah memaklumkan kepada pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) sebagai cadangan penama e-kaseh, bagi membantu penduduk kurang berkemampuan, tambahnya.
18 Mar 21
1334