Artikel "Kebajikan" Terkini
4,000 Keluarga Di Permaisuri Mula Terima Barangan Keperluan
SETIU, 22 Jun - Seramai 4,000 keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri mula menerima barangan keperluan harian di bawah program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) 3.0.
Pegawai Penyelaras DUN Permaisuri, Zul Bhari A Rahman berkata, agihan itu akan menyasarkan golongan yang terjejas teruk sebelum dipanjangkan kepada kategori lain.
Katanya, ia selepas mengambil kira mereka yang terjejas pendapatan dan tidak dapat bekerja ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlarutan.
"Alhamdulillah, dua hari kita mengambil masa untuk membuat agihan barangan bantuan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembanguan dan Keselematan Kampung (JPKK) sebelum barangan ini diperturunkan kepada penerima yang terkesan di bawah pentadbiran masing-masing.
"Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua JPKK yang memberikan komitmen terbaik menguruskan serahan bantuan BERKAT 3.0 ini bermula dari stor operasi sehingga sampai kepada penerima", tambahnya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Agihan barangan bantuan BERKAT 3.0 peringkat DUN Permaisuri berlangsung dua hari itu dibantu beberapa petugas sukarelawan bagi melancarkan proses agihan.
22 Jun 21
270
Buruh Lega Kerajaan Sentiasa Salur Bantuan Makanan
BESUT, 22 Jun - Seorang buruh di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jerteh lega selepas bantuan makanan dan kewangan sentiasa disalur kepada golongan yang terjejas pendapatan sepertinya.
Mohamad Razali Deraman, 65, berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dikuatkuasakan dia dan keluarga tidak putus-putus menerima sumbangan daripada kerajaan negeri.
"Saya sangat bersyukur kerana dalam tempoh kawalan pergerakan yang sukar mencari nafkah ini, saya terima bantuan daripda Pejabat Penyelaras DUN Jerteh. Terima kasih kerajaan PAS.
"Terima kasih Pegawai Penyelaras DUN Jerteh, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad atas bantuan yang diberikan selama ini sejak Hari Raya Aidilfitri sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas menerima Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) 3.0 kelmarin.
Kaum Cina turut menerima bantuan keperluan harian.
Sementara itu, bagi Azizah Mat Nasir, penguatkuasaan PKP Diperketatkan (PKPD) dan PKP 3.0 'melumpuhkan' mereka sekeluarga.
"Ditambah lagi dengan keadaan suami yang terkena strok dan tidak mampu memcari nafkah buat kami.
"Namun, kami bersyukur kerana menerima bantuan keperluan harian seperti ayam, barangan dapur semasa PKPD dan kali ini PKP 3.0 juga, mengurangkan sedikit beban saya," jelasnya.
Dlalam pada itu, Ustaz Wan Azhar menegaskan, pihak kerajaan negeri akan sedaya upaya membela golongan yang tidak bernasib baik sepanjang temph 'total lockdwon'
"Apa yang telah dijanjikan oleh kerajaan bagi mengurangkan beban dalam tempoh 'Total Lockdown' baru-baru ini telah selesai di DUN Jerteh.
"Kerajaan PAS Terengganu memutuskan untuk melancarkan program BERKAT 3.0 secara bersasar yang berjumlah RM200,000 bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Sebanyak 6,000 penerima yang terjejas tanpa mengira parti secara keseluruhan di dalam DUN Jerteh bakal menerima bantuan seperti beras, tepung, bihun, telur, ikan, ayam dan segala keperluan lain.
"Harapan saya supaya rakyat dalam DUN Jerteh dapat mengambil manfaat daripada sumbangan yang disalurkan ini." ujar beliau.
Dalam agihan baru-baru ini, Ustaz Wan Azhar menyalurkan keperluan harian kepada penduduk di Mukim Pelagat, Mukim Kubang Benbam dan Mukim Bukit Kenak.
Operasi pengagihan yang dibuat bermula 12 Jun yang lepas sehingga semalam terakhir di JPKK Padang Landak.
Seorang petugas ditempat pengagihan.
22 Jun 21
299
Agihan Bantuan COVID-19 DUN Batu Buruk Masuk Fasa Empat
KUALA TERENGGANU, 21 Jun – 2,000 pek bantuan makanan asas bagi fasa keempat Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT 3.0) Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk telah mula diagihkan kepada masyarakat yang terjejas pendapatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, bantuan tersebut disalurkan melalui kesemua 36 buah Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) sejak beberapa hari lepas.
“700 pek daripada jumlah bantuan tersebut telah diagihkan lebih awal kepada kawasan di Mukim Bukit Besar yang termasuk dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) melibatkan 12 buah JPKK.
“Manakala selebihnya diagihkan pada pada hari-hari seterusnya,” katanya ketika ditemubual oleh pemberita baru-baru ini.
ADUN Batu Buruk turut sama membantu dalam proses agihan
Menurutnya lagi, sejurus Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT 3.0), Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk telah menyusun bantuan untuk disalurkan secara berperingkat.
“Pada fasa pertama, kita telah agihkan sebanyak 2,000 kilogram ikan kepada masyarakat yang terjejas.
“Manakala fasa kedua sebanyak 900 pek bantuan makanan asas telah diagihkan.
“Fasa ketiga pula, kita telah agihkan sebanyak 1,100 ekor ayam kepada mereka yang terjejas pendapatan,” tambahnya lagi.
Beliau juga berharap agar bantuan yang disalurkan ini dapat meringankan beban rakyat yang terkesan dalam tempoh PKP ini.
“Bantuan ini tidak terhenti setakat ini dan akan diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya lagi.
Selain itu, beliau menasihatkan agar masyarakat kekal berada di rumah sekiranya tiada keperluan untuk keluar dan menjaga keselamatan dengan mengikut arahan yang ditetapkan sekiranya berada di luar rumah.
Proses agihan makanan asas dijalankan
21 Jun 21
401
Penduduk Rhu Rendang Terima Sumbangan Ayam
MARANG, 20 Jun - Sebanyak 3, 600 ayam diagihkan kepada penduduk Rhu Rendang yang terjejas sepanjanng tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0.
Apa yang diusahakan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Rhu Rendang itu adalah tambahan kepada pek makanan yang sudah dagihkan kepada 2,000 penduduk sebelum ini ketika Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT 3.0).
Penyelia Insitut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Rhu Rendang, Mohd Najmuddin Rani berkata, agihan seekor ayam untuk sebuah rumah di mana setiap 36 Jawatakuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung menerima 100 ekor ayam.
“Selain daripada usaha ini, 'Gerobok Rezeki' juga diwujudkan untuk memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan bantuan makanan.”
“Mereka boleh hadir terus ke pejabat dimana almari ini ditempatkan untuk mengambil bekalan makanan yang diperlukan di mana bekalan ini juga turut disumbangkan oleh individu yang dermawan.
Menurutnya lagi, agihan tersebut diserahkan kepada JPKK oleh Pengarah MTD Rhu Rendang, Hassan Awang untuk diagihkan kepada penduduk kampung.
Turut hadir dalam pengagihan ini adalah Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Sabri Zakaria.
“Kita juga mengucapkan terima kasih kepada pihak pengerusi yang banyak membantu dan menjalankan amanah kepada rakyat.”
“Kita akan terus membantu mereka yang memerlukan, dan penduduk juga boleh menghubungi pihak pejabat dan pengerusi masing-masing, tambahnya lagi.”
20 Jun 21
502
4,000 Penduduk DUN Tepoh Terima Bantuan BERKAT 3.0
KUALA NERUS,16 Jun - Lebih 4,000 penduduk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh yang terkesan dengan pelaksanaan 'total lockdown' menerima Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) 3.0 yang telah disalurkan oleh pihak kerajaan negeri baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pihaknya berterima kasih di atas keprihatinan kerajaan negeri.
"Alhamdulillah atas penyaluran bantuan BERKAT 3.0 oleh pihak Kerajaan Negeri Terengganu buat seluruh masyarakat yang terkesan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini. Bantuan ini amat perlu bagi meringankan beban sebahagian besar rakyat yang terputus pendapatan dan juga golongan yang susah," katanya.
Bermula Jumaat yang lalu, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Tepoh telah menyantuni sebahagian lapisan masyarakat yang terkesan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Kawalan Kampung (JPKK) setempat bagi memantau penyampaian bantuan BERKAT 3.0 ke rumah sasaran dan turut sama menyantuni sebahagian penduduk yang susah dan sakit.
Program dimulakan di Kampung Gong Datuk dan disusuli dengan kampung-kampung yang lain.
Mereka yang terlibat merupakan penerima awal bantuan BERKAT 3.0 yang telah pun disampaikan oleh pihak JPKK.
Hishamuddin juga berharap orang ramai dan jiran tetangga dapat menyalurkan maklumat rakyat yang benar-benar berkesempitan kepada pihak PKM DUN Tepoh dan juga pihak JPKK setempat agar tindakan sewajarnya dapat diambil secara segera.
BERKAT 3.0 merupakan inisiatif bantuan berikutan PKP yang dikuatkuasakan pada 1 Jun hingga 14 Jun dengan peruntukan yang diberikan sebanyak RM200,000 untuk semua kawasan DUN dalam negeri Terengganu. Tanggungjawab agihan itu diuruskan sepenuhnya oleh pihak JPKK bagi setiap kampung.
PKM DUN Tepoh turut membantu meringankan beban penduduk yang memerlukan susu bayi, susu pesakit, lampin pakai buang kanak-kanak dan lampin pakai buang dewasa atau pesakit.
15 Jun 21
438
Di Sebalik Fitnah, MB Tetap Turun Padang Agih Bantuan
MARANG, 8 Jun – Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tetap meneruskan agihan bantuan kepada rakyat seperti biasa meskipun dilempar fitnah daripada pihak tidak bertanggungjawab kebelakangan ini.
Pegawai Khasnya, Sabri Zakaria berkata, Menteri Besar dilihat tenang dan gembira dapat bertemu rakyat seolah-olah tiada apa yang berlaku.
“Hari ini heboh berita pasal Menteri Besar. Goyah la, tergugat la dan macam-macam lagi cerita rekaan yang ada.
“Namun ia tidak menjejaskan Menteri Besar untuk terus membantu rakyat, pagi tadi saya ada bersama beliau dalam agihan bantuan COVID-19 di Kampung Kuala Tengah.
“Mengikut jadual, beliau ada mesyuarat hari ini, tetapi tetap ‘mencuri’ masa untuk turun menyampaikan bantuan pada rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang,” katanya ketika dihubungi UPDI hari ini.
Mengulas tentang laporan polis yang dibuat terhadap pengfitnah, Sabri berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk bertindak.
“Kita fokus buat kerja bantu rakyat lagi baik daripada melayan benda-benda rekaan seperti itu,” jelasnya.
Tambah Sabri, selepas selesai mengagih bantuan, Menteri Besar terus meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Marang.
“Sebelum hadir mesyuarat Menteri Besar hadir ke PPV Marang untuk melihat sendiri proses vaksinisasi yang berlangsung dan menyampaikan sumbangan makanan kepada petugas frontliner,” katanya.
08 Jun 21
2201
4 Tan Ikan Diagih Kepada Penduduk
KUALA TERENGGANU, 4 Jun - Sebanyak empat tan ikan cencaru diagih kepada penduduk di daerah ini khususnya golongan B40 dan yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, sumbangan kepada lebih 4,000 keluarga itu merupakan sebahagian daripada inisiatif pihaknya bagi mengurangkan beban rakyat.
“Setiap golongan sasar akan menerima satu kilogram ikan tersebut yang telah diagihkan melalui wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), saya anggarkan 16,000 orang akan menerima manfaat itu.
“Untuk tempoh seminggu ini kita telah membelanjakan sekitar RM200,000 untuk daerah, sebelum ini kita turut agihkan barangan keperluan harian kira-kira 1,200 bakul makanan berisi beras, minyak masak, tepung dan lain-lain lagi kepada golongan memerlukan,” katanya selepas Program Bantuan Bekalan Basah di Flat Ladang, hari ini.
JPKK sedang membungkus ikan untuk diagihkan kepada penduduk.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Menurut Ahmad Amzad, sebelum ini pihaknya turut mengagihkan 10,000 keping roti canai kepada penduduk dan ia dapat membantu menjana ekonomi lebih 30 peniaga roti canai sekitar Kuala Terengganu.
Dalam perkembangan sama, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu berkata, selepas ini pihaknya juga akan mengagihkan bahan mentah seperti ayam kepada golongan memerlukan selain sumbangan 1,200 bakul makanan.
"Keutamaan sumbangan bakul makanan kali ini adalah mereka yang belum terima bantuan yang diuruskan oleh Jawatankuasa Pembangunan Komuniti Kampung (JPKK). Seiring dengan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh dan PKPD, mereka akan hantar sumbangan terus ke rumah penerima,” katanya.
Tambah Ahmad Amzad lagi, Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Terengganu dengan kerjasama setiap DUN turut bersedia jika ada sebarang keciciran dalam agihan bantuan yang berlaku.
“Kita juga membuat persiapan jika ada yang tercicir, jika ada orang keputusan bekalan makanan di rumah tolong beritahu kepada wakil rakyat masing-masing, kita akan bantu,” katanya.
04 Jun 21
813
‘Lockdown’ : 32 Dun Terengganu Terima Peruntukan RM200,000
KUALA TERENGGANU, 2 Jun – Kerajaan Terengganu bersetuju untuk menyalurkan peruntukan RM200,000 kepada setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam menghadapi pelaksanaan ‘total lockdown’ dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, merasakan penguatkuasaan ‘total lockdown’ mungkin berlanjutan, pihaknya melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini memutuskan untuk melancarkan program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu 3.0 (BERKAT 3.0).
“Oleh itu, bantuan secara bersasar yang berjumlah RM200,000 akan diagih kepada setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Ini meliputi 32 DUN dengan jumlah keseluruhan RM6,400,000 yang akan diagihkan secara dua fasa,” katanya ketika melancarkan BERKAT 3.0 hari ini.
Dalam kenyataan sama, Ahmad Samsuri menyeru agar semua rakyat Terengganu bersatu hati dalam tempoh yang kritikal ini.
“Setiap langkah dan pematuhan arahan dan SOP amatlah signifikan untuk mengatasi pandemik COVID-19 yang semakin serius. Pastikan mendaftar vaksin dalam Program Imunisasi Negara.
“Akhirnya, jangan lupa jadikan doa dan munajat dalam rutin kita setiap hari. Sayangi nyawa keluarga anda dan hargailah petugas barisan hadapan yang masih belum berhenti berjuang sejak lebih setahun yang lalu,” katanya.
02 Jun 21
3589
Bantuan PKP, PKPD Diagih Secara Telus
BESUT, 28 Mei – Kerajaan Terengganu memberi jaminan bahawa agihan bantuan kepada rakyat yang berdepan dengan situasi terdesak akibat wabak COVID-19 terutama di daerah Besut, dibuat secara telus.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, di Dewan Undangan Negeri (DUN) beliau, setiap tugasan yang diberikan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) akan dipantau perlaksanaannya.
Malah jelasnya, laporan mesti dihantar ke Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk direkodkan.
"Mohon jangan ada pihak terlalu mudah buat tohmahan tanpa bukti bahawa agihan tidak telus, ‘Tok Ngulu’ makan sendiri, ‘Tok Ngulu’ bagi anak beranak dan sebagainya.
"Kalau ada bukti, saya terbuka untuk terima dan buat tindakan pembetulan. Setiap kelemahan mesti diperbaiki," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengagihkan bekalan barangan bantuan sempena PKPD Besut di setiap rumah Pengerusi JPKK Dun Jabi, semalam.
Ujar Dr Azman, bilangan keluarga yang dikuarantin di Jabi semakin meningkat, sehubungan dengan itu pihaknya akan menyelesaikan dulu agihan bekalan untuk mereka yang tidak dapat keluar rumah kerana dihadkan pergerakan.
"Untuk meminimakan pergerakan, ‘Tok Ngulu’ hanya perlu tunggu di rumah. Saya akan menghantar barang untuk diagihkan kepada penerima yang telah disenaraikan.
"Ingatan kepada 'Tok Ngulu' jangan ada seorang pun anak buah kita yang memerlukan pertolongan tercicir daripada menerima bantuan. Kena perhatikan sebaiknya dalam kampung masing-masing. Slogan PKPD kita, biar sama lapar sama kenyang," katanya.
Tambahnya, bantuan sebanyak RM400,000 yang diluluskan Kerajaan Negeri untuk Besut baru-baru ini sedang dan akan diberikan kepada mereka yang memerlukan.
"PKPD mungkin berlanjutan melihat kepada situasi kes sekarang. Kita perlu rancang program bantuan sebaiknya agar memberi manfaat dengan tepat kepada sasaran dalam tempoh PKPD berkuatkuasa.
"Dalam masa yang sama, Pejabat ADUN Jabi menggunakan sumber-sumber tambahan lain agar keperluan rakyat mampu dipenuhi dalam situasi mendesak sekarang," tambah beliau.
Tegasnya, setiap sen yang dibelanjakan adalah direkodkan dengan laporan lengkap perlu dihantar kepada pentadbiran negeri.
28 May 21
502
JPKK Dun Jabi Bantu Golongan Terjejas PKPD
BESUT, 24 Mei – Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi bersiap sedia membantu golongan yang terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, PKPD selama dua minggu di kawasan terbabit menyebabkan ada golongan yang terputus bekalan makanan.
"Beras MyGAP Ganu akan disalurkan untuk warga Jabi yang kehabisan bekalan dalam tempoh dua minggu PKPD.
"Ada orang kita yang berkemampuan dan boleh manfaatkan kelonggaran ‘Standard Operating Procedures’ (SOP) PKPD untuk keluar beli barangan keperluan harian.
"Tetapi ada orang kita yang walaupun diberi kelonggaran keluar cari bekalan, mereka tak dapat bekerja dan tiada duit, mereka inilah yang kita nak bantu dan wajib dibantu. Bukan beras saja, ada lagi barangan harian lain diberi," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengagihkan bekalan bantuan makanan kepada semua JPKK DUN Jabi, hari ini.
Dr Azman turut menegaskan kepada semua Pengerusi JPKK agar meningkatkan lagi tahap kecaknaan terhadap keadaan rakyat di bawah dalam menghadapi hari-hari sukar ini.
"Kepada yang memerlukan, jangan segan dan malu untuk beritahu kepada 'Tok Ngulu' kita di kampung masing-masing. Beritahu terus kepada saya pun tak mengapa.
"Untuk keluarga yang sedang dikuarantin memang ada dalam senarai kita dan sudah dibantu. Jiran-jiran pun tolong prihatin tentang sesama kita Biar kita bersatu hati sama lapar dan sama kenyang dalam keadaan susah ketika ini" katanya lagi.
24 May 21
3665