lightning-solid
Berita :

Artikel "Kebajikan" Terkini

49 Permata Maulidur Rasul Lahir di Terengganu
49 Permata Maulidur Rasul Lahir di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 9 Oktober - Seramai 49 bayi lahir di hospital-hospital negeri Terengganu hari ini, bersamaan tarikh kelahiran Nabi Muhammad SAW, 12 Rabiul Awal. Daripada jumlah tersebut, seramai 37 Permata Maulidur Rasul dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). Sebagaimana amalan kerajaan negeri, bagi meraikan kelahiran 'Permata Maulidur Rasul' itu, Menteri Besar, Dato'Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sendiri menyampaikan sumbangan berupa hamper dan bantuan tunai kepada ibu dan bayi di hospital berkenaan, hari ini. "Selain menarik minat masyarakat tentang tarikh kelahiran yang sama seperti tarikh kelahiran baginda Nabi SAW, dengan harapan ini juga merupakan doa daripada semua pihak termasuk kerajaan negeri agar mereka menjadi penyumbang kepada generasi akan datang. "Sama ada bayi itu lelaki atau perempuan, semoga mereka menjadi individu yang memberi sumbangan kebaikan kepada masyarakat kita," katanya dalam kunjungannya bersama isteri, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman. Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja serta ahli parlimen dan dewan undangan negeri (ADUN) Kuala Terengganu.  
09 Oct 22
265
Pemuda Berpenyakit ‘Aneh' Terima Bantuan
Pemuda Berpenyakit ‘Aneh' Terima Bantuan
MARANG, 29 September - Seorang pemuda Rhu Rendang, Halias Mohamad, 34, disyaki menghidap satu penyakit yang jarang berlaku menyebabkan keseluruhan jari tangannya membiru dan mereput serta menyebabkan perlu menahan kesakitan seperti berdenyut sepanjang masa. Halias berkata, penyakit tersebut disahkan pihak perubatan sebagai Iskemia iaitu aliran darah dan oksigen berkurangan di bahagian badan tertentu. "Keadaan seperti ini berlaku sebulan yang lalu, keadaan fizikal mula berubah apabila berat badan saya semakin susut. "Hampir setiap 10 minit, saya perlu berdiri dan terus berjalan bagi mengelakkan rasa berdenyut dan sakit di bahagian kaki termasuklah waktu malam menyebabkan saya tidak mendapat rehat yang cukup," katanya. Keadaan kesepuluh jari pada kedua-dua belah tangan Halias Dia berkongsi keadaannya ketika menerima kunjungan daripada Isteri Menteri Besar Terengganu, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman di Kampung Medan Jaya, petang semalam. Jelasnnya juga, selain bahagian tangan, kini jari kakinya juga mula membiru seakan terjadi perkara yang sama. Turut hadir bersama beberapa agensi daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Tabung Darul Iman (TDI), Klinik Kesihatan Marang dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Medan Jaya. To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman memberikan sumbangan kewangan kepada Halias "Sebelum ini saya masih mampu berkerja sebagai seorang pengawal keselamatan di Kuala Terengganu, tapi terpaksa berhenti dan terpaksa berulang alik ke hospital. "Kini saya bergantung kepada isteri yang berkerja sebagai pembantu kedai makan untuk menanggung tiga orang anak yang masih bersekolah dan kecil. Rumah yang disewa juga menjadi beban sekarang," tambahnya lagi. Sementara itu, Isteri Menteri Besar Terengganu, telah memberi sumbangan kewangan kepada Halias serta anak-anaknya selain bantuan perubatan atau sewa rumah daripada MAIDAM, bantuan persekolahan anak-anak daripada JKM, dan bantuan sara diri tahunan daripada TDI.  
29 Sep 22
488
ADUN Belia Wanita Santuni Masyarakat, Ibu Bersalin
ADUN Belia Wanita Santuni Masyarakat, Ibu Bersalin
MARANG, 25 September - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia Wanita Terengganu mengambil inisiatif menyantuni golongan belia dan masyarakat sekitar DUN Rhu Rendang dalam ziarah ibu bersalin dan 'Street Dakwah'. Pembantu Hal Ehwal Beliawanis Institut Modal Insan Terengganu (i-MiTS) DUN Rhu Rendang, Syarifah Noorsheikha Syed Mahmud memuji usaha yang dianjurkan bagi merapatkan jurang antara komuniti dengan pemimpin muda negeri. "Kita sangat berbesar hati apabila pihak ADUN Belia Wanita menyatakan hasrat ingin bekerjasama dalam menjayakan aktiviti ziarah di sekitar DUN ini. "Tujuh orang pemimpin belia ini telah menyantuni 23 ibu muda yang baru bersalin di perkampungan Sentol Patah, Batangan, Rhu Rendang, Kijing, Bandar Marang, Paya, Darat Pok Chan dan Rhu Muda. Mereka juga turut melakukan aktiviti 'Street Dakwah' di sekitar Pulau Kekabu dalam usaha mendekati anak muda dan masyarakat di samping berkongsi tentang kejayaan manifesto Kerajaan Terengganu. "Ada dalam kalangan mereka yang tahu, malah ada juga yang kurang dan tidak mengambil tahu. Jadi peranan ADUN Belia ini adalah menyampaikan tentang kejayaan serta pelaksanaan yang telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri sehingga ke hari ini. Dalam pada itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rhu Rendang, Mohd Fahkruddin Zakaria berkata, program ini wajar diteruskan untuk memberi pendedahan kepada anak muda tentang isu semasa di samping mendekati masyarakat setemmpat. "Golongan muda intelektual seperti ini, juga perlu diberi pendedahan untuk berhadapan dengan rakyat lebih awal, malah mendekati kehidupan masyarakat supaya dapat dijadikan pengalaman untuk mereka sendiri kelak," tambahnya lagi.  
26 Sep 22
325
Konvoi Kemerdekaan YADIM Terengganu Santuni Masyarakat
Konvoi Kemerdekaan YADIM Terengganu Santuni Masyarakat
KUALA TERENGGANU, 17 September – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Terengganu telah menganjurkan Konvoi Kemerdekaan Keluarga Malaysia 2022 bersempena Hari Malaysia, semalam.  Menurut Penyelaras Program, Nor Mazila Mohd Zin, konvoi tersebut berlangsung secara serentak oleh pihak YADIM di seluruh Malaysia pada hari itu.  “Konvoi kita pada hari ini akan ke Taman Rahmat, Pulau Kerengga untuk menyantuni golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) di sana. Rider Grab Food antara yang menyertai Konvoi Kemerdekaan Keluarga Malaysia 2022 “Selain itu, kita juga mengadakan aktiviti gotong-royong membersihkan Surau Taman Rahmat dan ziarah di sekitar kawasan tersebut,” kata Nor Mazila ketika ditemu bual pemberita. Tambahnya lagi, antara kelainan pada program kali ini ialah penglibatan penghantar makanan Grab Food yang dikumpulkan untuk menghantar makanan ke rumah-rumah di taman tersebut.  “Pada sebelah petang pula kita adakan aktiviti ‘street dakwah’ di Pantai Kelulut dan program ini akan berakhir di sana,” katanya lagi.  Pelepasan konvoi tersebut telah dirasmikan dan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi di perkarangan Masjid Tengku Tengah Zaharah.  Kira-kira 80 orang peserta telah menyertai konvoi  ini yang terdiri daripada ‘rider’ Grab Food, Sukarelawan YADIM dan para mahasiswa.  
18 Sep 22
292
Permohonan Dana i-Belia Dibuka Hari ini
Permohonan Dana i-Belia Dibuka Hari ini
KUALA TERENGGANU, 18 September - Pendaftaran Bantuan i-Belia dibuka selama 20 hari, bermula hari ini sehingga 6 Oktober. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah memaklumkan, pendaftaran i-Belia dibuka secara dalam talian melalui dua kategori. "Kategori pertama ialah untuk belia bujang dan yang kedua adalah belia mahasiswa. "Kerajaan negeri telah meluluskan lebih RM20 juta dengan jangkaan penerima seramai 135,974 orang. "Di mana setiap penerima akan menerima RM150 setiap seorang," katanya. Tambah Wan Sukairi, kerajaan negeri membuka peluang untuk mendaftar kepada semua belia termasuk perantau. Jelasnya, i-Belia menetapkan pemohon mestilah berumur di antara 18 tahun hingga 39 tahun berdasarkan syarat ditetapkan. "Antaranya, status pemohon adalah masih bujang pada tarikh permohonan. "Bagi pemohon yang bekerja, jumlah pendapatan bulanan tidak melebihi RM1,500 sebulan, manakala bagi yang belum bekerja pendapatan isi rumah mestilah tidak melebihi RM2,500. "Semua permohonan perlu dibuat secara dalam talian melalui sistem i-Bantuan," katanya. Permohonan boleh dilakukan di https://ibantuan.terengganu.gov.my bagi pemohon dalam negeri Terengganu. Manakala, bagi perantau perlu membuat permohonan di https://ibantuan.terengganu.gov.my/perantau-belia/ Semua pemohon mestilah rakyat Terengganu dan pengundi berdaftar di negeri Terengganu. Sebarang pertanyaan, boleh hubungi pusat khidmat DUN tempat mengundi masing-masing.                  
18 Sep 22
4519
Permohonan Bantuan OKU, Ibu Tunggal Dibuka
Permohonan Bantuan OKU, Ibu Tunggal Dibuka
KUALA TERENGGANU, 25 Ogos - Kerajaan negeri sudah membuka permohonan bantuan bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan ibu tunggal bermula semalam, 24 Ogos sehingga 3 September 2022. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata bantuan sekali bayar sebanyak RM150 kepada setiap OKU dan ibu tunggal itu selaras dengan bajet 2022 Terengganu,    Katanya, mereka yang layak boleh hubungi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) atau pusat khidmat masyarakat di DUN masing-masing. “Pihak urus setia kami telah bercadang untuk memberitahu kepada orang ramai yang terlibat dan yang layak dengan bantuan tersebut melalui hebahan secara atas talian. "Antara syarat-syarat bantuan bagi OKU ialah mereka hendaklah berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta yang berumur 18 tahun ke atas dan bukan daripada kakitangan kerajaan," jelasnya. Beliau berkata demikian sewaktu sidang media berhubung i-bantuan untuk OKU, Ibu Tunggal Dan Pencen Rakyat di Bilik Mesyuarat MMKN, Wisma Darul Iman semalam. Tambah Hanafiah, bagi bantuan ibu tunggal pula adalah terbuka kepada semua wanita yang berstatus ibu tunggal dan bukan penerima i-Fitri. “Isi rumah penerima hendaklah di bawah RM2,500 sebulan dan mereka yang berada dalam penjawat awam tidak layak untuk memohon," ujarnya. Sementara itu, syarat utama i-bantuan bagi kedua-dua bantuan tersebut adalah pemohon hendaklah rakyat negeri Terengganu yang menetap dan pengundi berdaftar di dalam negeri ini. “Pemohon juga bukan mereka yang menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan seumpamanya. “Maklumat pemohon juga mestilah telah ada dalam sistem Profil Rakyat Terengganu (PRT20),” katanya.    
25 Aug 22
1263
Peruntukan RM12 Juta, Pencen Rakyat 2022 Boleh Dimohon Hari ini
Peruntukan RM12 Juta, Pencen Rakyat 2022 Boleh Dimohon Hari ini
KUALA TERENGGANU, 24 Ogos - Kerajaan negeri memperuntukkan RM12 juta bagi bantuan pencen rakyat yang memanfaatkan anggaran lebih 23 ribu penerima. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata pemberian pencen rakyat yang kembali diteruskan itu akan dibuka bermula 24 Ogos (hari ini) hingga 3 September 2022.  Katanya, individu yang layak boleh memohon melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Pembangunan Kampung (JPKK) atau Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing. “Pada tahun lepas, seramai lebih 20,000 orang yang menerima manfaat daripada pencen rakyat serta mendapat maklum balas yang baik daripada semua pihak. "Kita akan kekalkan nama-nama mereka yang sedia ada kecuali mereka yang telah menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan seumpamanya," jelasnya. Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung i-bantuan untuk OKU, ibu tunggal dan pencen rakyat di Tingkat 5, Wisma Darul Iman di sini hari ini. Tambah Hanafiah, pemohon hendaklah berumur 60 tahun ke atas serta bukan pesara kerajaan dan pendapatan isi rumah juga hendaklah di bawah RM2,500 sebulan. "Pemohon juga hendaklah rakyat yang menetap di negeri Terengganu dan pengundi berdaftar di dalam negeri ini," katanya.  
24 Aug 22
1471
Perantau Lembah Klang, Pahang Meriahkan Bola Sepak Piala MB
Perantau Lembah Klang, Pahang Meriahkan Bola Sepak Piala MB
KUALA TERENGGANU, 27 Julai – Pesta Bola Perantau Anak Terengganu Piala Menteri Besar mendapat sambutan menggalakkan dengan penglibatan 20 buah pasukan di EV Arena, Shah Alam, di sini baru-baru ini. Acara tahunan tersebut kembali diadakan selepas terhenti ekoran pandemik Covid-19 dengan dua kategori yang dipertandingkan iaitu Terbuka 9 sebelah dan Semi Veteran 7 sebelah.  Presiden Persatuan Anak Terengganu di Perantauan (PERANTAU), Dr Nuri Al Amin Endut berkata anjuran demikian turut disertai perantau dari Pahang dan Negeri Sembilan selain dari sekitar Lembah Klang. “Program sebegini lebih berfokus kepada jalinan silaturahim antara perantau yang berada di luar negeri Terengganu selain komitmen PERANTAU menjaga kebajikan para perantau. “Kita ingin perantau Terengganu tahu bahawa Kerajaan Negeri cakna terhadap rakyat walaupun berada di luar negeri,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini. Beliau turut berkata, PERANTAU sebagai sebuah NGO menjadi penghubung antara perantau dan pihak Kerajaan Negeri. “Sebelum ini, kita telah gerakkan aktiviti kebajikan dalam menghadapi musibah banjir dan juga bekerjasama dalam urusan i-Perantau. “Insya-Allah kita sedang merancang untuk mengadakan Karnival Terengganu Maju Berkat Sejahtera (KTMBS) peringkat PERANTAU,” tambahnya. Program tersebut dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat yang mewakili Menteri Besar dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman.  
27 Jul 22
450
Banjir Baling: Terengganu Salur Lebih RM155,000
Banjir Baling: Terengganu Salur Lebih RM155,000
KUALA TERENGGANU, 13 Julai – Terengganu melalui kerajaan negeri dan PAS Terengganu menyalurkan bantuan lebih RM155,000 kepada Kedah yang dilanda banjir lumpur baru-baru ini. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bantuan tersebut melibatkan wang tunai serta barangan keperluan bencana yang diserahkan kepada Menteri Besar Kedah. “Kerajaan negeri memberi RM50,000 dan bagi pihak PAS negeri Terenggan juga memberi RM50,000 selain bahan bahan makanan dan keperluan yang dibawa. “Sehingga kita mendapat maklum balas baharu bahawa ada keperluan tenaga manusia atau peralatan insya-Allah kita akan cuba bantu saudara kita yang ditimpa bencana di Kedah,” katanya dalam sidang media ketika menghadiri Korban Perdana DUN Rhu Rendang di Pekarangan Surau Pengkalan, di sini baru-baru ini. Beliau turut berkata bahawa pihaknya sentiasa berhubung dengan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk mengenalpasti bentuk bantuan yang masih diperlukan.  Bantuan tersebut telah disampaikan menerusi Pengerusi Badan Khidmat Pengurusuan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) negeri, Hanafiah Mat dan Setiausaha PAS Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah.  Seekor lembu turut disumbangkan buat para sukarelawan yang bertugas di kawasan kejadian bagi operasi pemulihan. Terdahulu, bencana kepala air berlaku di Baling, Kedah menyebabkan berlakunya kehilangan nyawa serta kehilangan tempat tinggal.
13 Jul 22
427
Lepas 31,000 Anak Benih Ikan, Udang
Lepas 31,000 Anak Benih Ikan, Udang
KUALA TERENGGANU,30 Jun – Sebanyak 31,000 benih anak ikan dan udang dilepaskan Jabatan Perikanan Terengganu di Sungai Terengganu di sini pada hari ini. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata langkah itu bagi memperkayakan sumber perikanan untuk nelayan darat. “Sebelum ini di beberapa lokasi seluruh daerah kita telah lepaskan lebih kurang 329,000 ribu anak benih ikan ke pelbagai perairan sungai, kolam dan tasik yang ada di seluruh negeri Terengganu. “Kesinambungan daripada program memperkayakan sumber perikanan pada tahun lepas kita telah lepaskan sehingga 1.7 juta anak benih ikan dan udang dari pelbagai spesies di seluruh negeri,” jelasnya. Beliau berkata demikian selepas Program Pelepasan Benih Ikan Serta Penyerahan Bantuan Kepada Nelayan Darat Dan Penternak bertempat di Sungai Terengganu, Kalang Warisan, Kampung Pulau Manis Serada. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman dan Pegarah Perikanan Negeri Terengganu, Encik Ruzaidi Mamat Mengulas mengenai program tersebut, Dr Azman memaklumkan peruntukan berjumlah RM100,000 telah disalurkan Kerajaan Negeri bagi perolehan bantuan peralatan kepada nelayan darat tulen. Katanya, bantuan yang diterima setiap nelayan berupa satu set pukat tangsi (saiz mata 3 inci, tali, pelampung dan pemberat), jaket keselamatan dan kotak peralatan memancing. “Peralatan ini akan diserahkan kepada 145 orang penerima di seluruh daerah, jumlah penerima pada hari ini adalah 10 orang nelayan darat tulen dari daerah Kuala Terengganu (tiga), Marang (dua) dan Kuala Nerus (lima),” katanya. Sementara itu ujarnya, sejumlah RM2.08 juta peruntukkan bantuan bencana telah disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Pejabat Perikanan Negeri Terengganu bagi perolehan bantuan peralatan akuakultur (sangkar, pukat, tali sauh, pam air, genset), makanan dan benih ikan. "Peralatan ini akan diserahkan kepada 175 orang pengusaha akuakultur di seluruh daerah dan jumlah penerima pada hari ini adalah 16 orang pengusaha akuakultur dari Kampung (Kg). Beladau Kepong, Kg. Beladau Selat dan Kg. Pulau Manis, Serada," ujarnya.  
30 Jun 22
624