Artikel "Kebajikan" Terkini
Nelayan Tarik Nafas Lega Selepas 27 Tahun
DUNGUN, 29 Jun - Seorang nelayan yang hidup dalam kebimbangan selama hampir 30 tahun, dengan kemungkinan rumah yang didiaminya bersama keluarga akan dirobohkan pada bila - bila masa, akhirnya mampu menarik nafas lega setelah menerima Borang 5A.
Ab Rashid Jusoh, 50 yang tinggal Kampung Paya, Balai Besar membina rumah di kampung berkenaan secara berdikit - dikit sambil mengemukakan permohonan tanah kepada pihak berwajib.
"Saya mula membina rumah sewaktu anak sulung saya berumur tiga tahun sehinggalah umurnya sekarang 30 tahun. Ketika itu, saya tidak mampu hendak menyewa dan menggunakan duit yang ada untuk membina rumah tersebut sedikit demi sedikit walaupun dilanda kebimbangan sekiranya rumah tersebut dirobohkan pihak berkuasa.
"Saya sangat bersyukur kerana dengan umur saya ini, sebelum saya menutup mata akhirnya hasrat saya untuk menyediakan tempat berteduh yang terjamin untuk keluarga saya tercapai," ceritanya.
Ab Rashid ditemui selepas menerima Borang 5A Tapak Rancangan Tanah Berkelompok(RTB) Tapak Rumah Kampung Paya di Majlis Penyerahan Borang 5A Bagi RTB Tapak Rumah Kampung Paya dan Geran Tanah RTB Dalam DUN Rantau Abang di Dewan Majlis Perbandaran Dungun baru-baru ini.
Pada majlis tersebut, seramai 145 orang telah menerima Borang 5A Tapak RTB Tapak Rumah Kampung Paya , manakala 73 orang penerima geran tanah RTB di pelbagai tempat di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh ADUN Rantau Abang, Alias Harun dan turut dihadiri oleh ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik, Pegawai Penyelidik Pejabat Menteri Besar Terengganu, Azman Shafawi Abdul Rani dan Pegawai Daerah Dungun, Yusman Ibrahim.
Salleh Mohamad
Manakala, Salleh Mohamad, 38 yang juga tinggal di kampung yang sama turut meluahkan rasa syukur kerana penantiannya sejak sekian lama hampir tamat dengan penerimaan Borang 5A.
"Saya telah menghabiskan banyak wang untuk membina rumah ini walaupun tidaklah semewah orang lain tetapi cukup bermakna untuk saya yang bekerja sebagai buruh kasar. Sekiranya dirobohkan, ia memberi kesan yang sangat besar kepada saya dan keluarga." ujar ayah kepada empat orang anak itu.
Sementara itu, Alias di dalam ucapannya berterima kasih kepada pihak yang berusaha keras menyelesaikan masalah tanah rakyat tersebut.
" Walaupun masih ramai yang sebenarnya layak mendapat geran tersebut tapi belum menerimanya saya mohon agar bersabar kerana pihak kami memang ingin menyelesaikan sesegera yang boleh, tetapi berdepan dengan kekangan-kekangan yang tidak dapat dielakkan,"
29 Jun 22
767
Permohonan Bantuan i-Belia Dibuka Julai
ALOR SETAR, 26 Jun - Permohonan bantuan 'one-off' atau i-Belia untuk anak muda dan mahasiswa akan mula dibuka pada Julai depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pelaksanaan pemberian berkenaan membuktikan bahawa kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan golongan yang menjadi aset penting Terengganu.
"Sekarang ini dalam proses diangkat kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk dinilai serta diluluskan, saya menjangkakan dalam tempoh satu hingga dua minggu ini perkara ini akan selesai.
"Insya-Allah selepas itu kita akan mula membuka permohonannya bagi mengumpulkan data penerima dan peruntukannya nanti berdasarkan jumlah data penerima yang kita kumpulkan, selepas daripada itu proses pengagihan akan kita lakukan seberapa segera," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas hadir pada Majlis Mesra Pimpinan Kerajaan Negeri Terengganu bersama Perantau, di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah, di sini semalam.
Majlis berkenaan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Kedah, Dato' Wan Romani Wan Salim serta Pengarah Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT). Mohd Nasir Abdul Razab.
Mengulas mengenai program berkenaan, Wan Sukairi berkata pertemuan dengan perantau Zon Utara yang dihadiri 100 keluarga dari Kedah, Perak, Perlis dan Pulau Pinang itu sangat bermakna kepada kerajaan negeri.
"80 orang (Ketua Isi Rumah) telah menerima bantuan i-Perantau yang mana ini merupakan kali ketiga diadakan setelah kita menyantuni perantau di Lembah Kelang (Zon Barat) yang kedua di Johor (Zon Selatan).
"Masih ada beberapa buah negeri lagi yang belum selesai sepenuhnya agihan dana i-Perantau ini, insya-Allah kita akan cuba untutk selesaikan segera dalam masa terdekat," ujarnya.
26 Jun 22
3766
Ibu Tunggal Terharu Tidak Dipinggir
ALOR SETAR, 26 Jun - Seorang ibu tunggal yang merantau di Kedah terharu apabila tidak dipinggir malah mendapat perhatian kerajaan negeri.
Kehidupan sebagai ibu tunggal bagi Nor Ashikin Ibrahim, 43, bukanlah perkara mudah kerana terpaksa melalui pelbagai keperitan hidup demi memastikan tiga anaknya mendapat pendidikan sempurna.
Katanya, keprihatinan kerajaan Terengganu memilih dirinya bagi mendapatkan dana i-Perantau sangat meringankan bebanannya yang hanya berkerja sebagai kerani dengan pendapatan RM 1,500 sebulan.
"Saya sangat berbesar hati menerima bantuan ini di saat saya memerlukan sedikit tambahan perbelanjaan untuk menampung keperluan anak sulung saya yang memperolehi keputusan 8 A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini bagi melanjutkan pelajaran.
"Dua lagi anak saya turut bersekolah masing-masing berusia 16 tahun serta 13 tahun, banyak juga duit perlu digunakan untuk membiayai persekolahan, jadi saya sangat teruja dengan sikap yang ditunjukkan oleh kerajaan kepada saya yang telah merantau ke sini sejak 20 tahun yang lalu," jelasnya.
Dia yang merupakan salah seorang daripada 80 penerima dana i-Perantau Zon Utara berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Kepimpinan Kerajaan negeri bertemu perantau di Kediaman Menteri Besar Kedah, di sini semalam.
Menurut Nor Ashikin, episod kehidupan keluarganya mula berubah apabila bercerai dengan suami tujuh tahun lalu.
"Setelah itu saya membesarkan anak saya dengan penuh susah payah dalam mengalas segala tanggungjawab demi membesarkan mereka," ujarnya.
Katanya, hasrat untuk pulang ke Terengganu pernah terdetik dalam nalurinya, namun kerana memikirkan perihal kerja dia terpaksa menangguhkan dahulu impian serta niatnya itu.
"Saya yakin dan percaya kerajaan negeri sekarang pasti akan membuat perubahan yang baik untuk rakyatnya dari apa yang disampaikan oleh YB Wan Sukairi," katanya yang berasal dari Bukit Payong.
Dalam pada itu menurutnya, usaha kerajaan negeri menyantuni anak Terengganu di perantau merupakan suatu perkara baik yang sewajarnya diteruskan.
"Saya pertama kali terlibat dengan program seumpama ini, mendapat begitu banyak maklumat yang saya tidak ketahui selama ini di mana ia sangat berguna kepada saya bagi mengetahui segala kebaikan yang dilakukan kerajaan negeri.
"Dalam masa yang sama menzahirkan pimpinan kerajaan negeri sangat mesra rakyat," ujarnya lagi.
26 Jun 22
465
'Bantuan Ini Saya Gunakan Untuk Mencari Rezeki'
MARANG,16 Jun - Bantuan berupa peralatan keperluan berniaga bernilai RM5,000 yang diberikan oleh kerajaan akan dimanfaatkan untuk mencari rezeki buat keluarga, ujar penerima insentif terbabit.
Khairul Yusmadi Mustaffar, 48, berasa amat gembira dan berterima kasih kepada pimpinan kerajaan kerana dengan bantuan itu dia dapat membangunkan kembali perniagaannya.
“Pemberian ini, dapat membantu saya untuk meneruskan perniagaan serta menggantikan peralatan yang lama kerana peralatan yang sedia ada untuk berniaga sudah tidak boleh digunakan lagi,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas Majlis Peningkatan Pendapatan dan Penyerahan Bantuan Peralatan Perniagaan yang di Dewan dirasmikan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Dewan Terbuka, Sekolah Kebangsaan Seberang Marang di sini semalam.
Turut hadir Pengarah Pembangunan Negeri, Dato’ Indera Nik Nasarudin Mohd Zawawi.
Sementara itu, seorang tukang jahit, Nur Azliani Anzarina, 31, turut melahirkan rasa gembira dan berterima kasih kepada kerajaan atas bantuan mesin jahit bermutu tinggi.
“Melalui bantuan ini sangat membantu saya untuk meneruskan pekerjaan serta dapat meningkatkan mutu kerja lebih baik lagi dengan adanya mesin jahit ini.
“Tidak lupa juga, saya ingin mengucapkan terima kaseh juga kepada JPKK Kampung Kelulut kerana membantu saya dalam permohonan e-Kasih ini sehingga lulus," katanya.
16 Jun 22
389
Pelajar Jatuh Jejantas Terima RM8,000
KUALA TERENGGANU, 15 Jun – Kerajaan negeri melalui Tabung Darul Iman (TDI) memperuntukkan sejumlah RM8,000 bagi tujuan pembedahan kepada seorang pelajar yang terjatuh dari jejantas di Kemaman baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata pihaknya sudah mendapat persetujuan daripada pengurusan TDI bagi tujuan berkenaan.
“Kerajaan bersetuju untuk meluluskan peruntukan mellaui Tabung Darul Iman dengan kos sebnayak RM8,000 kepada seorang pelajar di Kemaman yang ditimpa kemalangan baru-baru ini.
“Saya harap dengan peruntukan ini dapat meringankan beban keluarga mangsa untuk melakukan pembedahan dan didoakan agar kembali sihat seperti sediakala,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai merakamkan ucapan takziah buat keluarga mangsa kejadian tersebut.
Terdahulu, seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah di Chukai terjatuh dari jejantas setinggi 10 meter yang mengakibatkan dia mengalami patah pinggang.
15 Jun 22
749
MB Terengganu Runding Semula Projek Jalan Hulu Besut-Kuala Krai
BESUT, 10 Jun- Kerajaan negeri akan berunding dengan kerajaan Persekutuan berkaitan pelaksanaan semula projek pembinaan jalan raya menghubungkan Keruak, Hulu Besut ke Lata Rek, Kuala Krai yang sebelum ini dibatalkan.
Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, projek jalan sejauh 12 kilometer itu telah berada pada proses mengeluarkan tender sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, namun dibatalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas itu.
"Saya memberi jaminan kepada penduduk di Hulu Besut untuk berunding dengan kerajaan Persekutuan iaitu kementerian yang berkaitan bagi membolehkan projek ini dilaksanakan.
"Saya rasa perkara ini boleh dipercepatkan kerana seperti saya katakan tadi, kerajaan pusat sebenarnya sudah dalam proses hendak tender projek ini.
"Untuk makluman, bagi projek-projek yang besar seperti ini, apa yang sering bermasalah adalah kerja-kerja teknikal seperti laporan yang perlu disiapkan sebelum dokumen tender keluar, apabila maklumat teknikal sudah ada, tinggal tender sahaja dan itu lebih cepat sebenarnya," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Geran Hak Milik Kekal Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di Pasir Akar, semalam.
Beliau turut memohon rakyat negeri itu mendoakan semoga projek tersebut menjadi kenyataan.
"Saya rasa ia tidak sesukar mana, cuma ihsan daripada kerajaan pusat supaya kalau tidak dimasukkan dalam Rolling Plan, mungkin boleh dijadikan satu projek khas di peringkat kerajaan pusat," katanya.
10 Jun 22
1618
350 Penduduk Hulu Besut Terima Geran Tanah
BESUT, 10 Jun- Seramai 350 penduduk di Hulu Besut menerima geran hak milik kekal melibatkan enam Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit.
Enam RTB tersebut adalah RTB Pak Sik (Keruak), RTB PPRT Belaoh, RTB Bukit Baling (Kampung Seberang La), RTB Sungai Lah (Kg. Batu 13), RTB Bukit Merah (Felda Tenang) dan RTB Bukit Madunna di Kg Bukit Payong.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pemberian geran milikan kekal tersebut merangkumi dua kategori tanah iaitu tanah tapak rumah dan tapak pertanian.
"Alhamdulillah, hari ini kita berjaya menyelesaikan pemberian geran tanah bagi penduduk di Hulu Besut ini dan ia adalah antara permulaannya, insya-Allah akan lagi usaha-usaha untuk memberi milikan tanah kepada yang layak sebagaimana syarat dibuat kerajaan negeri.
"Dalam masa sama, saya minta juga kepada semua untuk memahami bahawa proses pengurusan tanah ini membabitkan prosedur yang ketat dan sudah tentu memakan masa.
"Ini penting bagi mengelakkan sebarang kesilapan yang boleh membawa implikasi undang-undang kelak. Jadi, tanah yang menjadi milik tuan-tuan dan puan-puan, kita doakan supaya dapat digunakan dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua penerima, seterusnya mendapat keberkatan Allah SWT," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Penyerahan Geran Tanah RTB di Padang Akar, semalam.
Turut hadir, YBM Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Terengganu, Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Shahidan Embok, Pengarah Tanah dan Galian Terengganu, Dato' Zulkifli Ali, Pegawai Penyelaras DUN Hulu Besut, Mat Daik Mohamad dan penyelaras-penyelaras DUN.
Dalam pada itu, Mat Daik memaklumkan bahawa lebih 500 penduduk di DUN terbabit telah menerima geram selama pentadbiran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN sejak 2018.
10 Jun 22
494
Jalan Baru Bakal Dibina Di Laluan Durian Telor, Besut
KUALA TERENGGANU, 2 Jun – Pengguna jalan Kampung Durian Telor - Jalan Pelagat/Lata Tembakah bakal menikmati kemudahan jalan baru apabila kerajaan negeri meluluskan pemilikan tanah sekitar bagi tujuan itu.
Kelulusan tersebut diputusakan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) dipengerusikan Menteri Besar, Rabu lalu.
Pengambilan tanah seluas 79 lot tanah di Mukim Pasir Akar, Hulu Besut diwartakan di bawah Seksyen 4 Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi tanah-tanah terlibat untuk urusan projek tersebut.
Projek pembinaan jalan baru ini bakal melibatkan laluan yang menghubungkan antara Kampung Durian Telor dengan beberapa perkampungan sehingga jalan utama Pelagat ke Lata Tembakah.
Jalan utama Durian Telor-Pelagat menjadi laluan alternatif bagi pengguna jalan raya dari Hulu Besut ke Jalan Kota Bharu - Kuala Terengganu terutamanya musim tengkujuh atas faktor ketinggian di kawasan itu.
02 Jun 22
5198
Impian Miliki Tanah Sendiri Tercapai
DUNGUN, 26 Mei - Para peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi menzahirkan rasa syukur atas keprihatinan kerajaan negeri menamatkan tiga tahun penantian mereka untuk memiliki tanah sendiri.
Salah seorang peserta, Zakaria Mohammad, 30, sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana menunaikan impian untuk memiliki tanah yang sudah lama dimohon.
“Proses permohonan ini agak sukar, namun ketua kampung dan pihak yang terlibat bekerja keras memudahkan urusan terutamanya pihak kerajaan sekarang,” katanya ketika ditemui pemberita.
Zakaria yang bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel milik abangnya merupakan salah seorang daripada 514 peserta RTB yang menerima borang 5A bagi geran lot tanah sendiri di Balai Orang Ramai, Bandar Al-Mukhtafi Billah Shah, Bukit Besi di sini hari ini.
Majlis Penyerahan Dokumen Hakmilik dan Borang 5A itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun, ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik, Pegawai Daerah Dungun, Jusman Ibrahim serta Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman.
Seorang lagi peserta, Mohd Saifullizam Mustafa, 52, memuji komitmen kerajaan dalam menyelesaikan pemilikan tanah buat rakyat Terengganu.
"Terima kasih kepada kerajaan negeri dengan komitmen memberi lot tanah ini yang menonjolkan salah satu kebaikan pihak kerajaan.
“Dengan kelulusan ini, saya berhasrat untuk mengusahakan ia sebagai kawasan ternakan,” ujarnya.
Peserta yang menerima borang 5A perlu membuat pembayaran premium tanah sebanyak 10 peratus daripada nilaian sebenar tanah dalam tempoh tiga bulan.
24 May 22
228
SATUCare Bantu Pasang Paip Rumah Buruh
MARANG, 26 Mei - SATUCare telah membantu keluarga seorang buruh, Muhamad Khairul, 36, bagi pemasangan paip bekalan air daripada pihak Syarikat Air Terengganu (SATU) melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) baru-baru ini.
Pegawai Khas Menteri Besar, Wahad Osman berkata, saluran paip air sepanjang 250 meter dapat disambungkan ke rumah mereka melalui inisiatif ini di Kampung Tertak Batu dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang.
"Sebelum ini, mereka hanya menggunakan sumber air hujan yang ditadah ke dalam tangki air di luar rumah untuk kegunaan harian.
"Ada satu ketika mereka terpaksa balik ke kampung ibu bapa atau ke surau berdekatan untuk mendapatkan bekalan air," katanya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Tangki yang digunakan untuk menadah bekalan air hujan di luar rumah
Muhamad Khairul yang berkerja sebagai buruh kecil, juga tinggal bersama isteri dan dua anaknya yang dibina secara berperingkat telah tinggal di situ selama lebih dua tahun.
Menurutnya lagi, dengan bantuan ini sekaligus dapat memberikan keselesaan dan mengurangkan beban mereka lebih-lebih lagi sumber bekalan air bersih sangat penting dalam kehidupan seharian.
Kerja-kerja pemasangan paip sedang dijalankan
Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, beberapa siri perbincangan telah diadakan dengan pihak SATU bagi merealisasikan hasrat tersebut.
"Alhamdulillah, siasatan dan tinjauan dibuat sendiri dengan kerjasama pihak SATU ke rumah mereka, dan setelah beberapa siri mendapatkan maklum balas, mereka telah menerima bantuan CSR daripada SATUCare.
"Kami juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak SATU atas bantuan dan usahasama yang dilakukan, malah telah memberi banyak manfaat kepada masyarakat," tambahnya lagi.
24 May 22
366