Artikel "Kebajikan" Terkini
Terengganu Sumbang RM157,000 Bagi Pusat Islam di Lubnan
KUALA TERENGGANU, 14 Januari - Kerajaan negeri Terengganu melalui anak syarikatnya serta Ahli Mesyuarat Kerajaan negeri menghulurkan sumbangan sebanyak RM157,000 kepada PASRelief bagi membiayai sepenuhnya kos menyiapkan aras tiga Pusat Islam di Arsal, Lubnan.
Sumbangan itu telah disampaikan oleh Terengganu Incorporated Sdn.Bhd (RM40,000), Corporate Advisor Menteri Besar Terengganu Inc (RM20,000), Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, NGO dan Sukan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah (RM 20,000), Eastern Pasific Industrial Corporation Berhad (RM10,000).
Selain itu Kumpulan Medic Iman Health Care Sdn.Bhd (RM10,000), Wakil Ladang Rakyat Terengganu Sdn.Bhd (RM7,000), Permint Granite Sdn.Bhd (PGSB), Syarikat Air Terengganu (RM5,000), Koridor Utiliti Teknologi Terengganu Sdn.Bhd (RM5,000), GPQ Sdn.Bhd (RM5,000), Terengganu Telecomunications Sdn.Bhd (RM5,000)
Manakala Pengkalan Bekalan Kemaman Sdn.Bhd (RM5,000) dan Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Darul Iman Terengganu (RM20,000)
Pengerusi PASRelief, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Pusat Islam itu akan diwujudkan kelas menjahit, makmal komputer, kelas latihan, pejabat dan dapur yang ditaja sepenuhnya oleh pihaknya dan Aid4Lebanon.
"Selain kelengkapan di aras tiga itu, PASRelief juga menaja sistem solar untuk menjana elektrik bagi kegunaan sepenuhnya di Pusat Islam tersebut, kos keseluruhan projek ini adalah sebanyak RM585,000.
"Pusat Islam di Arsal ini mempunyai tiga tingkat iaitu aras pertama dijadikan Majis Jamek, aras kedua dijadikan markaz al-Quran yang ditaja sepenuhnya oleh NGO dari Turkiye,"ujarnya.
Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran dan Penyerahan Cek Sumbangan Perasmian Pusat Islam Arsal, di Primula Beach Hotel, di sini, semalam.
Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang turut menghulurkan sumbangan sebanyak RM10,000.
Mengulas lanjut Sanusi berkata, PAS Relief telah mengetuai Sekretariat Aid4Lebanon berperanan selama ini menunjukkan sokongan dan solidariti terhadap mangsa letupan Amomonium Nitrate di Beirut yang mengorbankan lebih 135 nyawa, mengakibatkan kecederaan lebih 5,000 mangsa, serta ratusan ribu hilang kediaman pada 4 Ogos 2020.
Menurutnya delegasi PASReleif akan ke Lubnan pada 16 Januari ini dan turut mengharapkan sumbangan daripada semua pihak untuk memastikan lebih banyak mangsa pelarian dapat dibantu.
"Tidak lengkap sekiranya misi ke Lubnan ini tidak menyatuni kem-kem pelarian Palestin untuk membantu penduduknya,"ujarnya yang turut menyumbang RM20,000 dalam majlis berkenaan.
Dalam majlis berkenaan selain Terengganu, Kelantan serta beberapa pertubuhan yang lain turut menghulurkan sumbangan sebanyak RM58,000 bagi menjayakan misi pada kali ini.
14 Jan 23
332
Lelaki Lumpuh Bakal Terima Bantuan Bulanan
KUALA TERENGGANU, 4 Januari – Seorang ketua keluarga yang terlantar lumpuh akibat kemalangan di Jalan Aring baru-baru ini bakal menerima bantuan bulanan daripada kerajaan negeri dan agensi kebajikan.
Muhammad Faizal Hakimi Mat Jusoh, 26, terbabas ketika ke tempat kerja sebelum kereta dipandunya berpusing dan melanggar tebing di tempat kejadian.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata bantuan bagi Faizal yang kini diuruskan sepenuhnya oleh isteri baru sahaja diluluskan.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat telah membuat lawatan dan bersetuju untuk meluluskan bantuan penjagaan buatnya.
“Bantuan dari segi rawatan juga telah dipohon melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) selain inisiatif tambahan daripada Tabung Darul Iman (TDI),” katanya.
Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong, Mohd Safari Abu ketika dihubungi berkata pihaknya menzahirkan penghargaan kepada semua agensi yang mengambil perhatian terhadap mangsa.
“Kita telah dimaklumkan bahawa JKM telah meluluskan bantuan pesakit terlantar sebanyak RM500 sebulan bermula Januari ini selepas mereka mengadakan lawatan tempoh hari.
“Bagi bantuan daripada MAIDAM pula, kita kini sedang menunggu surat pengesahan daripada doktor dan Pusat Khidmat Masyarakat Telemong akan pantau prosesnya,” katanya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Marang merangkap Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menziarahi Faizal ketika ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) sewaktu bencana banjir melanda kawasan itu.
04 Jan 23
674
MAIDAM Salur RM2 Juta Bantu Mangsa Banjir
KUALA TERENGGANU, 26 Disember - Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu hari ini, menyampaikan sumbangan sebanyak RM2 juta kepada Kerajaan Terengganu bagi menyokong usaha membantu mangsa-mangsa banjir negeri itu.
Yang di-Pertua MAIDAM, Dato' Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, sumbangan tersebut bertujuan meringankan bebanan mereka yang ditimpa musibah banjir agar dapat memulihkan kehidupan seperti biasa.
"Sumbangan melalui sinf al-Ghamirin ini merupakan bantuan bagi orang-orang berhutang, yang mana mangsa-mangsa banjir kehilangan harta dan dibolehkan layak mendapatkan bantuan ini.
"Bantuan ini kita serahkan kepada kerajaan negeri supaya dapat diselaraskan dan menampung keperluan mereka secara lebih bersasar.
"Selain itu, suntikan kewangan membolehkan mereka membeli atau membaiki peralatan rumah dan kenderaan yang rosak," katanya.
Sumbangan tersebut diserahkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja di Wisma Darul Iman, hari ini.
Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Rozali Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Dr. Ahmad Azrin Adnan.
Dr. Ahmad Azrin menambah, bantuan hari ini merupakan bantuan awal diberikan oleh agensi itu.
"Sekiranya ada keperluan dalam hal lain seperti penggantian rumah dan sebagainya, kita akan terus berhubung dengan kerajaan negeri," katanya.
Gelombang kedua banjir yang negeri berkenaan minggu lalu, membabitkan 41,021 mangsa terpaksa dipindahkan ke 296 pusat pemindahan sementara (PPS).
Terdahulu, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan, banjir kali ini merupakan situasi terburuk pernah dialami Terengganu dengan kesemua lapan daerah dalam negeri itu terjejas dalam tempoh yang sama.
"Kerajaan negeri juga akan menyamlaikan bantuan tunai kepada seramai 11,308 ketua isi rumah (KIR) terlibat sebagaimana diumumkan baru-baru ini," katanya.
26 Dec 22
829
PKM Kijal, Ar Rijal Care Rai 120 Kanak-kanak
KEMAMAN, 17 Disember - Seramai 120 orang kanak-kanak diraikan didalam Program Khatan Perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal 2022 yang diadakan Masjid Meraga Beris, Kijal kelmarin.
Program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kijal dengan kerjasama Ar Rijal Care dan Masjid Meraga Beris dengan mengenakan separuh bayaran mendapat sambutan masyarakat setempat.
Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Hazri Jusoh berkata ianya salah satu inisiatif serta Corporate Social Responsibility (CSR) daripada pejabat PKM Kijal dalam membantu rakyat kawasan Kijal dimana masalah kewangan kebanyakan keluarganya masih belum pulih sepenuhnya akibat pendemik COVID-19.
Hazri Jusoh (dua dari kiri) menyantuni para petugas.
"Saya mengharapkan dengan program sebegini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebanan keluarga dalam memastikan ahli keluarga kita dapat meneruskan hidup dengan sempurna," ucapnya.
Beliau hadir merasmikan program tersebut turut menasihati ibubapa agar lebih cakna dan mengambil tahu kemana anak-anak pergi bermain di musim tengkujuh ini.
"Kepada anak-anak yang kini memasuki cuti akhir tahun persekolahan, jangan pergi bermain di paya, sungai atau tali air. Saya juga mengharapkan agar ibubapa mengambil lebih perhatian kemana anak kita pergi bermain di musim hujan begini.
Sebahagian daripada peserta program.
"Dua tiga hari lepas kita mendengar berita seorang kanak-kanak berusia tiga tahun mati lemas didalam tali air di Kampung Kebor Besar, Manir amat mengharukan semua masyarakat di Terengganu." ujarnya.
Turut hadir, Penyelia IMITS DUN Kijal, Haji Wahab Ahmad, Ahli Majlis Perbandaran Kemaman, Zawawi Mohamed, Pengerusi Ar Rijal Care, Zulkifli Nara dan Ahli Jawatankuasa JPKK Meraga Beris.
16 Dec 22
219
Warga Pulau Syukur Tiada Lagi Pilih Kasih
BESUT, 18 November – Masyarakat Pulau Perhentian, Kuala Besut menzahirkan kesyukuran terhadap pemimpin masyarakat mereka kerana menjalankan amanah tanpa pilih kasih.
Salah seorang penduduk, Mohd Hazimazudin Che Haziz, 32, berkata keadilan bantuan yang dikongsi dalam era kerajaan PAS membuatkan warga pulau menikmati rezeki yang sama.
“Apabila berlakunya perubahan kerajaan negeri kepada PAS, kami di Pulau Perhentian sehingga hari ini terima banyak bantuan.
“Ketua kampung pula tidak pilih kasih, bantuan tanpa bezakan latar belakang parti politik. Namun bantuan diterima oleh semua penduduk.
“Satu perkara besar yang tak pernah berlaku pada zaman sebelum ini tapi kerajaan negeri laksanakan adalah pemberian geran tanah kepada penduduk pulau,” katanya ketika ditemui di jeti Pulau Perhentian baru-baru ini.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Azbi Salleh berkata pihak kerajaan tidak sesekali mengabaikan hak dan keperluan warga pulau.
“Sejarah tercipta apabila kita berjaya berikan geran tanah hak milik kekal kepada 20 penduduk di sini.
“Saya secara peribadi menganggap masyarakat pulau seperti di darat, apa yang perlu diterima dari segi bantuan mestilah sama mengikut keperluan,” tambahnya.
Terdahulu, calon parlimen Besut daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Nawi Mohamad melemparkan fitnah terhadap kerajaan negeri berkaitan isu Teluk Keke dengan mengheret rakyat pulau.
Walau bagaimanapun, Exco kerajaan negeri, Mohd Nur Khuzaini A. Rahman hadir ke Pulau perhentian bagi menjelaskan tuduhan liar itu.
18 Nov 22
559
PMINT Lancar Skuad, Tabung Prihatin Persiapan Banjir
KUALA TERENGGANU, 15 November - Kumpulan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) melancarkan Skuad PMINT Prihatin, bagi melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat dalam membantu masyarakat setempat melibatkan aktiviti kemasyarakatan serta bantuan ketika bencana di seluruh negeri Terengganu terutamanya pada musim banjir ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Adnan Wan Derahman berkata, selaras penubuhan itu turut dilancarkan Tabung PMINT Prihatin bagi mengumpulkan sumbangan dalam bentuk tunai dan barangan keperluan untuk diagihkan kepada golongan terkesan.
"Setakat ini, kita menjangkakan skuad ini akan dianggotai kira-kira 120 sukarelawan terdiri daripada kakitangan sembilan anak syarikat iaitu PMINT Urus, Permint Granite, Cas Ligas, Taman Tamadun Islam (TTI) Management, PMINT Minerals P-Excell, Terengganu Agrotech Development Corp (TADC) dan Pertima Terengganu.
"Bagi melaksanakan aktiviti dan misi-misi kebajikan ini, kita juga merancang untuk menjalinkan kerjasama dengan badan yang bertanggungjawab untuk membina kemahiran dalam kaedah menyelamat bagi sukarelawan terlibat.
"Bagi Tabung PMINT Prihatin, kita mula membuka sumbangan dalam bentuk tunai, barangan keperluan merangkumi makanan dan pakaian untuk diagihkan kepada golongan terkesan dengan bencana di seluruh Terengganu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan pelancaran Skuad PMINT Prihatin dan Tabung PMINT Prihatin di Paya Bunga Square, Ahad lalu.
Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi PMINT, Azmal Azaddin dan Pengurus Besar Khidmat Sokongan PMINT, Zawiyah Zakaria.
Tambahnya, Kumpulan PMINT menyerahkan dana bernilai RM20,000 sebagai permulaan sumbangan tabung berkenaan.
"Kita sasarkan Tabung PMINT Prihatin mampu mengumpulkan sekitar RM50,000 buat fasa pertama (akhir tahun) ini dan kita mengalu-alukan sumbangan barangan keperluan, makanan dalam tin terutamanya,pakaian serta kita akan selaraskan agihan tersebut supaya sampai tepat kepada golongan sasaran," katanya.
15 Nov 22
338
Kerajaan Terengganu Hulur Bantuan Kepada Mangsa Ribut
MARANG, 3 November – Sebanyak 36 buah rumah sekitar Kampung Undang, Marang yang dilanda puting beliung menerima bantuan awal daripada Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Bukit Payong.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan negeri, Hanafiah Mat berkata Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) terlibat diarahkan untuk mengambil tindakan dengan segera sejurus berlakunya bencana itu.
“Alhamdulillah hari ini saya bersama Yang Berhormat (YB) kawasan untuk melihat dan menilai lebih kurang 36 buah rumah terlibat dan saya telah beri arahan kepada JPKK untuk buat tindakan segera.
“Kemudian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan buat siasatan seterusnya akan lapor kepada Tabung Darul Iman sebelum diangkat kepada kerajaan.
“Selepas ribut reda, Pejabat DUN bersama JPKK terus turun dan bertindak serta merta. Saya ucap terima kasih kepada semua yang terlibat, yang pastinya hari ini (semalam) semua sudah selesai dibaiki,” katanya selepas mengadakan ziarah mangsa ribut di Kampung Undang, semalam.
Salah seorang mangsa, Baharuddin Ismail, 65, berkata kejadian ribut yang berlaku sekitar jam 2.30 petang itu merupakan kali pertama berlaku sejak tinggal di situ.
“Apa yang berlaku (puting beliung) memang saya lihat dengan mata sendiri. Dua kali angin tu mari, yang pertama tiada apa lagi, datang yang kedua dalam 5-6 saat habis terbang atap.
“Khamis minggu lepas baru siap pasang atap baru dengan kos RM5,000 tapi terpaksa tukar baru. YB pun sanggup bagi kayu sebab atap saya sudah ada,” katanya.
Terdahulu, kejadian ribut melanda kawasan Kampung Undang melaporkan kerosakan terhadap beberapa buah rumah tanpa ada kemalangan jiwa.
03 Nov 22
744
Kerajaan Tunai Janji Bina Rumah Mangsa Kebakaran
KEMAMAN, 2 November – Kerajaan Terengganu membina rumah baharu untuk mangsa yang terlibat dengan tragedi kebakaran pada Januari lalu di Taman Islam Kampung Bakau Tinggi baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata pembinaan rumah tersebut mengambil masa selama lapan bulan untuk disiapkan.
Katanya, kos bagi setiap rumah tersebut bernilai lebih kurang RM55,000 di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
“Ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana telah menyediakan peruntukan yang besar bagi memastikan rumah yang terbakar akibat kebakaran dapat dibina semula.
“Semoga pemberian rumah ini dapat memberikan manfaat buat mereka dan seluruh ahli keluarga,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas majlis Penyerahan kunci rumah baru kepada tujuh orang mangsa kebakaran di Pusat Pengajian Taman Islam, Bakau Tinggi semalam.
Salah seorang mangsa kebakaran, Mohd Rabi Ali yang juga merupakan Mudir di Pusat Pengajian Taman Islam merakamkan ucapan terima kasih atas usaha kerajaan negeri.
“Hari ini kami telah menerima secara rasmi kunci rumah dan akan segera pindah ke rumah tersebut.
“Sebelum ini kami menumpang dan menyewa rumah-rumah di luar kawasan ini,” katanya.
Pada Januari lalu, tujuh buah rumah di Taman Islam Kampung Bakau Tinggi musnah dalam kebakaran yang berlaku kira-kira 7.40 pagi menyebabkan 32 penghuninya hilang tempat tinggal, namun tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
01 Nov 22
202
Bas Percuma Untuk Pengundi Luar
KUALA TERENGGANU, 26 Oktober –Kerajaan Terengganu akan menyediakan bas percuma bagi membolehkan pengundi luar pulang menunaikan tanggungjawab kepada negara dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripadap kempen ‘Maghi Balik Ngundi’.
“Objektif utama adalah untuk menerapkan kesedaran tanggungjawab kalangan rakyat khususnya belia dan mahasiswa.
"Selain itu kita juga mahu meringankan beban rakyat Terengganu di perantauan untuk pulang sempena dengan PRU-15 ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Pelancaran kempen Jom Balik Mengundi & Jom Keluar Mengundi Tanggungjawab bersama ‘Rakan2022’ di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Urus Setia Belia Sukan dan NGO Sejahtera (UBSNT), Mohd Nasir Abd Razab dan wakil Anak-Anak Terengganu di Perantauan (PERANTAU), Sabri Mamat.
Menurut Wan Sukairi, kempen 'Maghi Balik Ngundi' itu akan dijalankan di setiap DUN dan parlimen.
"Mereka akan mengadakan promosi berkenaan dengan kempen ini termasuk NGO perantau dalam menguruskan proses pulang dari seluruh negara.
“Kemudian, sekretariat ini akan menyediakan pengangkutan bas yang secukupnya dengan kerjasama penuh semua agensi kerajaan.
"Sekiranya bas-bas yang dimiliki pihak kerajaan tidak mencukupi, maka sekretariat akan menyewa bas daripada luar, insya-Allah,” katanya.
Wan Sukairi turut menjelaskan, segala proses permohonan pulang menaiki bas sewa khas tersebut adalah terbuka buat semua golongan perantau.
"Pengangkutan dari semua lokasi luar negeri termasuklah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
"Segala prosedur dan permohonan akan dputuskan dalam tempoh segera sebelum memulakan kempen tersebut melalui laman rasmi mereka," katanya.
26 Oct 22
2373
531 Penerima Syukur Urusan Mohon Tanah Mudah, Cepat
MARANG, 20 Oktober- Seramai 531 penduduk dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang menzahirkan syukur apabila urusan mereka untuk memiliki tanah dan lot kediaman diselesaikan dengan segera.
Mereka menerima surat hak milik tanah dan notis 5A bagi Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) dalam daerah Marang, hari ini.
Salah seorang penerima notis 5A dari Kg Gong Nangka, Syukri Mohd Taib, 39, berterima kasih dengan pelaksanaan yang cepat dan baik daripada kerajaan negeri.
"Kalau hendak beli terus, kita tidak mampu. Sepanjang beliau (Menteri Besar) tadbir, beliau banyak menyelesaikan masalah.
"Walaupun kita dengar ada orang-orang cerita itu ini di belakang, tetapi beliau berusaha betul-betul untuk selesaikan hal rakyat.
"Berbanding dulu, pada tahun-tahun belakang ini, proses lebih mudah. Sebenarnya, saya pun tidak memohon secara terus tetapi JPKK melakukan siasatan dan membuatkan permohonan untuk saya.
"Saya dengar ramai yang risau jika tidak dapat dilaksanakan sebelum mengundi kerana mungkin tidak akan dapat, tetapi alhamdulillah dapat diselesaikan dan diserahkan sebelum mengundi (Pilihan Raya Umum)," katanya.
Tambah tukang gunting rambut itu, beliau akan berusaha menjelaskan premium tanah sekitar RM4,000 untuk membolehkan memiliki dan membina kediaman kekal.
Hal ini turut diakui pemuda Kg. Gong Nangka, Muhammad Syafie Mad Muda, 30, kerana hasratnya untuk membina rumah sendiri sejak berkahwin pada usia 22 tahun kini tercapai.
"Kepada Dato' Seri Menteri Besar, terima kasih sebeb pemberian tanah kepada yang memerlukan, untuk kami membina keluarga, anak-anak.
"Sebelum ini, tiga empat kali permohonan ditolak, jadi sekarang urusan yang cepat begini adalah usaha bagus kerajaan negeri," katanya.
Sementara itu, Juliana Ismail, 43, yang menetap di Kg. Alur Tuman berasa terkejut apabila dipilih menerima surat hak milik tanah.
"Saya terharu dan bangga dengan usaha yang dilaksanakan kerajaan negeri, kali ini cuma sekali saya mohon.
"Sebelum ini, 12 tahun sebagai ibu tunggal beberapa kali permohonan saya ditolak. Jadi, saya sudah tidak berharap dan cuma membuat permohonan seperti biasa pada dua tiga tahun lalu.
"Alhamdulillah, ini rezeki saya dan anak-anak. Sudah lama kami menyewa iaitu sekitar 15 tahun, saya memang hendak usaha buat rumah di sini untuk kediaman dan anak-anak," katanya.
Dalam program yanb diadakan di Dewan Majli Daerah Marang itu, sebahagian mereka turut hadir mencabut undi lot tanah melibatkan enam RTB iaitu Kampung(Kg) Alor Tuman, Gong Nangka, Bukit Cempedak, Gong Cempedak, Baruh Mak Abu dan Kg. Batu Putih fasa II.
Majlis disempurnakan Menteri Besar Terengganu yang merupakan ahli dewan undangan negeri ADUN Rhu Rendang, Dato'Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
20 Oct 22
644