Artikel "Kebajikan" Terkini
Jika Harga Sewa Bazar Rendah, Makanan Jadi Murah
KUALA TERENGGANU, 22 Mac- Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan Sumber Manusia Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman menasihati pengusaha-pengusaha bazar Ramadan supaya lebih bertimbang rasa dalam mengenakan harga kepada peniaga yang menyewa tapak perniagaan di bazar sepanjang bulan mulia itu.
Ketika ditanya tentang isu berkenaan, beliau menjelaskan ia merupakan bidang kuasa pihak berkuasa tempatan di lokasi terbabit.
"Lihat juga kemampuan peniaga-peniaga kita, biarlah 30 hari atau 28 hari, 25 hari yang mereka berniaga dapat pulangan. Jangan fikir janji khemah dan tapak terjual, peniaga dapat pulangan itu bukan urusan kita.
"Bagi kerajaan, agak sukar membendung perkara itu sebab ia di luar kawalan kita, kita hanya boleh mencadangkan supaya mereka ingat, jika gerai rendah harga, makanan pun jadi tidak berapa mahal. Itu rantaian yang ada.
"Kita cuba buat penyelarasan dan bangkitkan dari masa ke masa supaya ada ruang di peringkat persatuan sebab kadang-kadang bagi PBT, ini masa mereka cari duit cuma apabila bertembung dengan persatuan yang mengutamakan kebajikan ahli, ada antara mereka (peniaga) tidak mampu bersaing atau memenuhi harga semasa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan Skim Pembiayaan Khas Bazar Ramadhan (SPBAR) bernilai RM250,000 bagi membantu usahawan-usahawan Terengganu memperkukuh modal untuk berniaga di bazar Ramadan, di pejabat Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), hari ini.
Tambah Nurkhuzaini, terdapat ramai juga peniaga di bazar Ramadan tidak berdaftar dengan persatuan peniaga yang membolehkan mereka memohon bantuan SPBAR.
"Di situ, kita perlu ada keharmonian di peringkat PBT, kalau ada berlaku mungkin boleh dilaporkan maklumat dari peringkat awal supaya dapat diharmonikan.
"Apabila harga benda ini (tapak dan khemah) terlalu tinggi, kita mencadangkan kepada pengusaha bazar-bazar Ramadan supaya jangan pentingkan keuntungan semata-mata," nasihatnya.
Terdahulu, kerajaan negeri melalui YPU menyampaikan SPBAR kepada Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu (PPPKMT), Tuan Chik Tuan Muda
Skim pembiayaan segera itu bakal diagihkan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu (PPPKMT) kepada 124 penjaja dan peniaga kecil yang membuka perniagaan di bazar Ramadan seluruh negeri berkenaan.
22 Mar 23
438
YPU Salur RM250,000 Bantu Peniaga Bazar Ramadan
KUALA TERENGGANU, 22 Mac- Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) menyampaikan Skim Pembiayaan Khas Bazar Ramadhan (SPBAR) bernilai RM250,000 bagi meneruskan agenda meringankan beban usahawan-usahawan Terengganu untuk membuka perniagaan di bulan Ramadan.
Skim pembiayaan segera itu bakal diagihkan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu (PPPKMT) kepada 124 penjaja dan peniaga kecil yang membuka perniagaan di bazar Ramadan seluruh negeri berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan Sumber Manusia Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, skim yang dilaksanakan sejak empat tahun lalu telah banyak membantu usahawan kecil di negeri itu.
"Hampir setiap tahun kita sediakan (dana pembiayaan) untuk membantu usahawan-usahawan kecil kita menyertai bazar-bazar Ramadan, bagi mereka mendapatkan wang menyediakan bahan mentah dan peralatan.
"Pada peringkat awal (tahun 2020) kita bagi RM150,000, kemudian apabila permintaan tinggi kita naikkan kepada RM200,000 (2021) dan kini, kita naikkan kepada RM250,000 dengan melantik persatuan menjadi 'vehicle' kita.
"Seorang penerima kita beri antara RM1,000 hingga 3,000 mengikut permohonan dan keperluan mereka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan SPBAR kepada Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu (PPPKMT), Tuan Chik Tuan Muda di pejabat YPU, hari ini.
Hadir sama, timbalannya; Hilmi Harun serta Ketua Pegawai Eksekutif YPU; Mohd Rashdan Muda.
Tambahnya, meskipun masih terdapat kelewatan dalam pembayaran balik SPBAR, pihaknya bersetuju meneruskan skim tersebut dengan syarat sedia ada.
Nurkhuzaini menjelaskan, terdapat kelewatan bayaran daripada hanya 10 peratus peminjam berbanding 90 peratus yang telah menyelesaikan SPBAR.
"Kita masih lagi memberi kepercayaan kepada persatuan untuk mendapatkan balik pembiayaan yang diberikan," katanya yang berharap SPBAR dapat digunakan sebaik-baiknya.
22 Mar 23
199
Delegasi Terengganu Ke Turkiye Bawa Sumbangan RM1.3 Juta
KUALA NERUS, 17 Mac - Delegasi Kerajaan negeri bertolak ke Turkiye pada semalam bagi menyampaikan sumbangan lebih RM1.3 juta kepada mangsa gempa bumi di negara terbabit dan Syria.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata kutipan melalui Tabung Terengganu For Turkiye itu amat bermakna sebagai solidariti kerajaan terhadap nasib yang menimpa rakyat di dua buah negara tersebut.
"Alhamdulillah selama sebulan tabung ini telah digerakkan ke seluruh daerah, hasil ini berjaya dikumpulkan melalui agensi, Jabatan, masjid-masjid dan juga NGO di bawah PASrelief.
"Saya mengambil peluang mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat kerana berjaya memperolehi jumlah bantuan yang agak besar untuk membantu rakyat Turkiye.
"Melalui sumbangan ini kita akan menyampaikan bantuan berupa pek makanan sebagai persediaan menyambut Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi, menyediakan dapur rakyat serta yang paling utama sekali akan menyumbangkan kontena bagi dijadikan rumah tumpangan sementara kepada mangsa gempa bumi di sana," ujarnya.
Beliau yang mengetuai rombongan Kerajaan negeri, berkata demikian ketika berucap pada Pelepasan Misi Bantuan Kemanusiaan Ke Turkiye, di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM).
Turut menyertai rombongan berkenaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Nor dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) Mohd Soud Said.
Mengulas lanjut Wan Sukairi berkata, rombongan berkenaan akan berada di sana selama empat malam bagi menjayakan misi bantuan tersebut.
"Doakan kejayaan untuk misi pada kali ini, di atas sumbangan yang diberikan ini Kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang yang selama ini tanpa henti menghulurkan sumbangan.
"Di sini saya ingin turut memaklumkan bantuan ke Syria akan turut disampaikan melalui sempadan antara Negara Turkiye dan Syria," ujarnya lagi.
17 Mar 23
250
Darul Barakah Jadi Pilihan Utama Pemulihan Dadah
KUALA TERENGGANU, 16 Mac - Pusat Pemulihan Dadah Holistik yang dilaksanakan kerajaan negeri semakin mendapat sambutan di kalangan rakyat untuk memulihkan penagih-penagih dadah di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah memaklumkan, Perkampungan Darul Barakah buat masa ini menerima terlalu banyak permintaan dari masyarakat untuk mendapatkan rawatan bagi ahli keluarga mereka.
Menurut beliau, sepanjang hampir dua tahun pembukaan pusat pemulihan yang dikenali sebagai Perkampungan Darul Barakah itu, kini dihuni oleh seramai 96 pelatih.
"Ini merupakan janji manifesto kerajaan negeri dalam usaha membantu penagih dadah kembali ke pangkal jalan dan mengurangkan masalah ketagihan dalam masyarakat.
"Setakat ini, kita dapat lihat impaknya membantu dalam menyelesaikan segala permasalahan bagi memenuhi agenda rawatan penagih yang menjadi usaha Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
"Kita juga dapat merawat pelatih dengan pengajian Islam, akhlak dan kemahiran hidup," katanya ketika menjawab soalan lisan ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mesyuarat Keempat Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri ke-14, hari ini.
Jelasnya, pembukaan pusat pemulihan tersebut juga sedikit sebanyak membantu keluarga dalam menyelesaikan masalah ahli terlibat dadah.
Mohd Nor menambah, ia juga membuka kesedaran rakyat bahawa permasalahan dadah dapat diselesaikan dengan kerjasama dari semua pihak.
"Konsep pusat ini ialah pemulihan secara berterusan, dalam erti kata ada pemulihan dapat dilakukan dalam tempoh berasaskan modul ditetapkan dan ada juga pemulihan yang dilakukan sehingga mereka mati.
"Ini kerana, ada di kalangan mereka apabila kembali (ke kampung), terjebak semula dalam masalah penagihan dadah.
"Namun, hasil pemulihan yang dilaksanakan, sebahagian besar pelatih-pelatih ini memberi respon dengan positif kepada usaha-usaha dilakukan," katanya yang berharap proses pengambilan pelatih dari masa ke masa dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur.
16 Mar 23
750
Projek Ikan Keli Basmi Miskin Tegar
BESUT, 3 Mac - Projek penternakan ikan keli dalam tangki simen, di bawah program Basmi Miskin Tegar (BMT) dijangka dapat membantu meningkatkan ekonomi golongan berpendapatan rendah (B40).
Mentor program tersebut, Rohaizat Junaidi Jusoh, 40, berkata program di bawah Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) itu sudah berjaya membantu 13 penduduk dari Kampung Pengkalan Atap untuk menambah pendapatan sampingan.
"Terhasilnya projek penternakan ikan keli ini adalah disebabkan negeri di Pantai Timur, khusunya Terengganu kekurangan bekalan ikan keli. Jadi sebagai salah satu inisiatif, kami cuba untuk jalankan projek penternakan ikan keli ini.
"Hari ini sebagai pelancaran kita masukkan 30 ribu ekor anak ikan keli ke dalam tangki simen dan hasilnya akan mula dikutip setelah empat bulan setengah.
Rohaizat Junaidi Jusoh, Mentor Projek Penternakan Ikan Keli
"Anggaran sasaran pengeluaran paling minima adalah lebih kurang 700 kilogram sehingga 1 tan sebulan, dengan harga pasaran RM6 sekilo. Sekiranyanya sasaran pengeluaran tersebut tercapai, peserta akan mendapat hasil keuntungan hampir RM6 ribu sebulan," katanya ketika ditemui media selepas selesai sesi melepaskan anak ikan keli ke dalam sangkar.
Menurut Rohaizat lagi, dia akan membimbing kesemua peserta dari 'A hingga Z', bermula daripada pengeluaran hasil kepada fasa pemasaran dalam tempoh dua tahun sehingga semua peserta boleh berdikari menguruskan projek tersebut sendiri.
Pegawai Penyelaras DUN Kuala Besut, Azbi Salleh (tengah)
Sementara itu salah seorang peserta program tersebut, Zulkifli Ibrahim, 37, meluahkan rasa syukur kerana terpilih untuk menjadi salah seorang peserta.
"Saya sebagai salah seorang peserta yang terpilih rasa sangat bersyukur dan saya ucap jutaan terima kasih kepada pihak yang terlibat kerana memilih saya sebagai salah seorang peserta program ini. Terutamanya kepada pegawai-pegawai yang terlibat, Azbi dan Mentor program ini," ujarnya dengan penuh rasa terharu.
03 Mar 23
779
Pendaftaran Lesen Motosikal Percuma Dibuka
KUALA NERUS, 2 Mac- Pendaftaran permohonan Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera (LMTS) akan dibuka mulai 6 Mac ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah memaklumkan, program yang merupakan salah satu daripada manifesto Kerajaan PAS Terengganu itu diteruskan dengan bantuan pembiayaan bernilai RM300 seorang bagi mendapatkan lesen motosikal di negeri berkenaan.
Jelasnya, LMTS siri ketiga itu akan diadakan dengan sasaran 15,000 penerima melibatkan kos sebanyak RM4.36 juta.
"Program ini memberi peluang kepada semua belia beliawanis Terengganu berumur 16 hingga 40 tahun
"Permohonan LMTS 2023 insya-Allah akan mula dibuka pada 6 Mac hingga 20 Mac dan boleh dimohon secara dalam talian (online) di https://ibantuan.terengganu.gov.my.
"Kita sasarkan untuk laksanakan program ini bermula April hingga Disember 2023 melibatkan 12 Institut Memandu (IM) di seluruh negeri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, hari ini.
Tambah Wan Sukairi, permohonan juga dibuka kepada golongan orang kurang upaya (OKU) yang layak memohon lesen B2.
"Mereka ini ada beberapa kategori terutama yang memerlukan keperluan dan bantuan lebih spesifik.
Kita akan menyenaraikan jumlahnya dahulu, saya yakin mereka tidak ramai dan mungkin akan dilaksanakan program khas sebagaimana saranan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)," katanya.
Untuk rekod, sebelum ini LMTS dilaksanakan sebanyak dua siri dengan yang pertama (2019/2020) melibatkan 25,000 penerima dengan kos sebanyak RM6.85 juta.
Manakala, siri kedua (2020/2021) melibatkan kos RM4.25 juta untuk 15,000 penerima.
02 Mar 23
7869
Terengganu Tambah Bantuan ‘One-Off’ OKU
KUALA TERENGGANU, 19 Februari - Kerajaan Terengganu terus membela nasib rakyat kurang berkemampuan apabila menaikkan bantuan 'one-off' golongan orang kelainan upaya (OKU) di negeri terbabit.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebelum ini penerima OKU hanya menerima bantuan RM150 seorang.
“Pada tahun 2022, kita perkenalkan bantuan tunai kepada OKU. Bagi tahun 2023, Kerajaan Negeri telah bersetuju meningkatkan bantuan ‘one-off’ kepada OKU sehingga RM200 seorang.
“Kerajaan juga berusaha memberikan pendidikan kepada OKU penglihatan melalui pengajian Al-Quran dan hafazan. Setakat ini dua pusat Al-Quran braille diwujudkan di Besut dan Paka.
“Dua institusi ini akan terus diperkasa membolehkan seramai mungkin OKU penglihatan mendapatkan pendidikan ini,” katanya dalam Majlis Perasmian Penutup Karnival Orang Kurang Upaya Negeri Terengganu 2023 di Dataran Batu Buruk, di sini semalam.
Beliau turut berkata, Kerajaan Negeri bakal wujudkan pusat pengajian Al-Quran bagi OKU kategori pekak dan bisu selain usaha intervensi awal kanak-kanak autisme.
Pada masa yang sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Perpaduan negeri, Hanafiah Mat berkata, pembayaran akan dibuat selewat-lewatnya selepas Aidilfitri tahun ini.
Karnival OKU tersebut berlangsung selama tiga hari mengumpulkan sekitar 800 pelajar dari seluruh Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Terengganu.
19 Feb 23
904
180 Nelayan Sura Terima Bantuan 'One-Off'
DUNGUN, 8 Februari – Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura menyalurkan bantuan one off kepada 180 warga nelayan bagi meringankan beban golongan terbabit.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi berkata agihan bantuan itu merupakan agenda tahunan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura.
Katanya, seramai 150 orang penerima dari kalangan nelayan telah menerima bantuan tunai one-off itu pada tahun 2022, manakala jumlah penerima pada tahun 2023, meningkat kepada 180 orang penerima.
“Bantuan sebanyak RM150 berserta barang asas keperluan dapur diagihkan kepada setiap penerima bagi membantu golongan nelayan ini memandangkan sekarang ialah musim tengkujuh, menyebabkan para nelayan tidak dapat pergi ke laut.”
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyampaian Sumbangan Nelayan DUN Sura hari ini.
Wan Hapandi turut mengingatkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk mengenalpasti penerima bantuan ini merupakan mereka yang disahkan bekerja sebagai nelayan.
“Bantuan ini mestilah diagihkan kepada mereka yang disahkan bekerja sebagai nelayan sepenuh masa dan tidak mempunyai pekerjaan lain kerana ada juga di kalangan penduduk yang turun ke laut sebagai kerja sampingan atau hobi semata," jelasnya.
08 Feb 23
272
Lega Tanah Dirampas Dikembalikan Semula
DUNGUN, 31 Januari- Lima tahun penantian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun terlerai hari ini apabila 96 peserta terakhir tanah terkilan di DUN terbabit menerima geran tanah mereka hari ini.
Jelasnya, penyerahan geran tanah kepada kumpulan terakhir daripada keseluruhan 346 peserta itu amat melegakannya.
"Memanglah puas hati. Bukan kita sahaja, tetapi rakyat yang terkilan itu memang rasa bersyukur atas usaha kerajaan negeri kerana itu merupakan manifesto kita dan kita hendak selesaikan janji-janji itu.
"Alhamdulillah, dengan usaha pejabat tanah, pegawai-pegawai daripada atas ke bawah yang terlibat untuk bersungguh-sungguh supaya benda ini dapat diselesaikan dalam tempoh yang kita harapkan sebab, kita harap manifesto ini akan selesai dalam tempoh lima tahun pertama (pentadbiran)," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Hak Milik Tanah di Dewan Majlis Perbandaran Dungun, hari ini.
Majlis berkenaan disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar kepada 239 penerima.
Ini kerana kata Alias,, selain 96 peserta tanah terkilan, penyerahan Borang 5A turut diadakan kepada seramai 72 penduduk bagi Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Kampung Wa Sejahtera dan 71 penerima di RTB Pertanian Bukit Senyamuk.
Tambah Alias, penyerahan itu menamatkan penantian penduduk selama 24 tahun setelah tanah mereka diambil kembali kerajaan sebelum ini.
"Dan, bagi permohonan baharu mengikut proseslah seperti biasa.
"Ada lagi kawasan-kawasan yang menunggu undian lot iaitu di kawasan 'by-pass' Kampung Batu Tiong, kalau kita kira ada dalam 600 lot tetapi yang baru kita selesaikan untuk undi lot ini dalam 300 lot lebih.
"Yang baru memohon, kita buka kawasan-kawasan yang diberi oleh pejabat tanah, cuma sekarang tanah yang diberikan kebanyakannya tanah berpaya dan saya berharap kerajaan negeri melihat perkara ini lebih teliti untuk menyediakan kemudahan asas di kawasan terbabit," katanya.
31 Jan 23
2160
Masyarakat Cina Sinonim Dalam Kehidupan Saya - Abdul Hadi
MARANG, 23 Januari – Masyarakat kaum Cina bukanlah asing dalam kehidupan Ahli Parlimen Marang yang telah menjadi tradisi keluarganya untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina saban tahun biarpun secara sederhana.
Beliau yang juga Presiden PAS, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hadi Awang berkata, datuknya memiliki ramai anak angkat daripada kaum Cina, sama ada yang memeluk agama Islam atau pun tidak seterusnya menjadi sebahagian daripada keluarganya.
"Ketika berlaku Perang Dunia Kedua, terdapat pelarian Cina yang datang ke Pantai Timur, datuk saya pernah menyelamatkan seorang pelarian Cina bukan Islam dan disembunyikan di kebunnya, ketika itu beliau merupakan seorang penghulu kampung.
"Kebetulan pula salah seorang menantu saya sendiri daripada kaum Cina, menunjukkan hubungan keluarga kami dengan masyarakat kaum Cina bukanlah perkara baru", ujarnya melalui satu hantaran di Laman Rasmi Facebook beliau semalam.
Beliau turut menyeru buat semua rakyat Malaysia agar menjadikan perayaan ini sebagai salah satu cara untuk saling mengeratkan lagi silaturahim serta perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa dan kaum di tanah air tercinta ini.
"Selepas Majlis Sambutan Tahun Baru Cina di Kuala Lumpur bersama pimpinan PN dan GERAKAN pagi tadi, saya terus pulang ke Kampung Rusila bagi meraikan sambutan Tahun Baru Cina bersama anak menantu sekeluarga," katanya.
23 Jan 23
870