Artikel "Kebajikan" Terkini
Terengganu Inc Santuni Penduduk Kampung Mak Jintan
KUALA NERUS, 17 April – Syarikat induk pelaburan kerajaan negeri, Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) hari ini menyantuni penduduk di kawasan terpencil dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh bersempena Jejak Ramadan.
Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata, inisiatif berkenaan merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tahunan mereka.
“Kita masih lagi mengekalkan tradisi dan amalan terdahulu iaitu Jejak Ramadan. Alhamdulillah bagi tahun ini kita berupaya peruntukkan sumbangan buat 30 keluarga.
“Nilai bagi program ini adalah sekitar RM15,000 termasuklah sumbangan peribadi daripada para kakitangan serta syarikat,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan sumbangan di Kampung Mak Jintan.
Aktiviti ziarah ke rumah penduduk diakhiri dengan majlis berbuka puasa bersama warga penduduk yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim.
Burhanuddin turut menyatakan Terengganu Inc amat berbesar hati memilih kampung Mak Jintan sebagai lokasi bagi Jejak Ramadan 2023.
“Tahun lepas kita ke satu kampung di Ajil, tahun depan insh-Allah akan teroka tempat lain pula yang memerlukan,” tambahnya.
Kesemua 30 ketua keluarga asnaf di kampung berkenaan menerima wang tunai dan barang keperluan harian.
17 Apr 23
467
600 Terima Manfaat Kad Sejahtera di Permaisuri
SETIU, 12 Mac : 600 orang penerima Kad Sejahtera peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri bakal terima manfaat pembiayaan rawatan kesihatan.
Pegawai Penyelaras, Zul Bhari A Rahman berkata, penerima Kad Sejahtera yang terpilih menerima inisiatif ini adalah mereka yang bertuah dan sebaiknya dimanfaatkan semaksima mungkin.
"Alhamdulillah, hasil usaha pimpinan kerajaan hari ini memikirkan usaha yang terbaik bagi memberikan kesejahteraan kepada rakyat melalui pembiayaan rawatan kesihatan,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Penyerahan dan Taklimat yang diadakan di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Setiu, Sungai Tarom semalam.
Sebanyak RM 500 diperuntukkan setahun dengan 13 jenis rawatan asas dan pembedahan kecil melalui klinik panel yang terpilih bagi tujuan tuntutan rawatan.
Kad Sejahtera adalah manifesto yang ditawarkan oleh PAS Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu dan telah berjaya ditunaikan.
Rata-rata ditemui mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri atas inisiatif yang baik ini dan berharap usaha ini diteruskan pada masa akan datang.
12 Apr 23
268
140 Pelajar PASTI Ceria Dapat Baju Raya Baru
BESUT, 10 April - Kecerian jelas terpancar pada wajah 140 orang pelajar Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Kawasan Besut apabila mereka dibawa membeli baju raya baharu di Pasar Raya Pantai Timur.
Pengerusi PASTI Kawasan Besut, Mohd Hilmi Hamdan berkata, pihaknya menganjurkan Program Beli Baju Raya PASTI selama dua hari dengan menyasarkan kepada pelajar yatim, asnaf dan fakir miskin.
"Alhamdulillah, kita telah berjaya membeli baju raya baharu untuk 140 orang pelajar yang terpilih daripada1,290 keseluruhan pelajar PASTI Besut hasil kutipan dan sumbangan orang ramai dengan kos perbelanjaan RM70 setiap orang.
"Daripada jumlah sumbangan sebanyak RM9,800 itu, kita menyasarkan kepada pelajar yatim, asnaf dan fakir miskin. Mereka bergembira dengan apa yang disumbangkan oleh orang ramai. Kami selaku pihak PASTI Kawasan Besut hanya menjadi pemudah cara dan perantara untuk membantu anak-anak pasti dan meringankan bebanan ibu bapa dalam membuat persiapan bagi menyambut hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.
Pengerusi PASTI membantu pelajar memilih pakaian
"Saya mewakili pihak PASTI mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penyumbang baik daripada sekitar Besut dan juga dari luar Terengganu yang turut membuat sumbangan. Mudah-mudahan hal ini akan menjadi amal jariah dan pahala yang berpanjangan kepada semua penderma sekalian," ujarnya selepas program berkenaan.
Turut hadir bersama dalam program tersebut adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Muhd Nurkhuzaini Ab Rahman dan Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kuala Besut, Azbi Salleh yang turut memberi sumbangan kepada PASTI.
Menurutnya juga, di peringkat PASTI Kawasan Besut akan meneruskan lagi program-program sebegini pada masa hadapan.
Katanya, program itu telah pun diadakan sejak beberapa tahun yang lepas setiap kali Ramadan sempena menyambut ketibaan perayaan Aidilfitri.
Penyerahan sumbangan kepada PASTI Kawasan Besut
Dalam pada itu, ibu kepada pelajar, Siti Masitah Zakria, 28 menzahirkan rasa syukur dan terharu kerana dipilih menerima bantuan.
"Saya menyucapkan ribuan terima kasih kepada pihak PASTI Kawasan Besut kerana meringankan bebanan kami ibu bapa.
"Setiap tahun anak saya terpilih menerima sumbangan baju raya. Anak saya pun gembira dapat beli baju raya baru. Semoga Allah membalas jasa pihak PASTI dan para penyumbang," ujarnya.
10 Apr 23
437
Remaja 18 Beradik Sebak Dapat Baju Raya
KUALA TERENGGANU, 10 April - Seorang remaja daripada 18 beradik, Mohd Amirul Najmie Nordin 13, sebak ketika meluahkan rasa gembira apabila menerima sumbangan baju raya di Mydin Mall Kuala Terengganu baru-baru ini.
Anak ke-16 itu terharu dan bersyukur atas sumbangan yang dijayakan bersama Epic Berhad, Iman Partner Consult dan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan.
"Saya tidak tahu bagaimana nak mengucapkan terima kasih kepada yang menyumbang.
"Saya hanya ingin mengucapkan terima kasih sebanyak-banyaknya atas sumbangan baju raya ini. Ini benar-benar membantu saya dalam persiapan menyambut lebaran tahun ini," katanya kepada pemberita semasa program Kasih Ramadan bersama Anak Yatim dan Asnaf.
Amirul, yang masih bersekolah tingkatan satu tinggal bersama keluarganya di sebuah rumah kecil di Kampung Bukit Jetit, Marang.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong menyatakan selain Amirul, ramai lagi golongan asnaf dan anak yatim yang menerima sumbangan berkenaan.
"Alhamdulillah, kita mengadakan program Kasih Ramadan, meraikan anak-anak yatim dan juga asnaf dalam DUN Pengkalan Berangan dengan memberi sumbangan pakaian raya kepada 144 orang penerima dengan peruntukkan RM150 seorang," ujar beliau.
Sulaiman juga turut merakamkan ucapan terima kasih kepada para penyumbang yang banyak membantu golongan kurang berkemampuan.
"Sumbangan ini ditaja oleh Epic Berhad, Iman Partner Consult dan PKM DUN Pengkalan Berangan. Terima kasih diucapkan kepada para penyumbang dan semua yang terlibat termasuklah pihak MYDIN yang turut mengambil bahagian dengan memberikan sumbangan beg untuk setiap seorang," jelasnya.
10 Apr 23
391
Nisa’ Hulur Bantuan Kepada Penduduk Pulau Redang
SETIU, 2 April - Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pertubuhan Wanita Kebajikan Nur Insani (Nisa') menyampaikan sumbangan kepada warga Pulau Redang yang memerlukan.
Pengarah Program Nisa' Small Kindness dan I Love School Ramadan, Nadwa Insyirah Hussin, berkata seramai 50 pelajar sekolah menerima sumbangan berbentuk kelengkapan sekolah.
Selain itu katanya, 50 wanita muda lagi menerima kelengkapan wanita seperti telekung solat, kuih raya dan handsock.
"Para penerima turut diberi sumbangan duit raya sebagai persiapan menjelang Aidilfitri.
Ahli Jawatankuasa Nisa' Terengganu
"Nisa' I Love School ini adalah program tahunan Nisa' Terengganu, kami membantu pelajar yang memerlukan.
"Program ini sudah dijalankan lebih 10 tahun dan setiap tahun akan dipilih daerah yang berlainan untuk kami salurkan bantuan," katanya kepada media ketika program berkenaan semalam.
Sementara itu, jelas Nadwa, Nisa' Small Kindness pula adalah produk daripada Nisa Malaysia yang memfokuskan kepada kebajikan golongan wanita muda.
"Dana untuk sumbangan yang kami salurkan ini bukan daripada NGO Nisa sendiri tetapi sumbangan daripada penderma dan orang ramai. Kami hanyalah sebagai perantaraan sahaja untuk menyampaikan kepada penerima," katanya.
Penyampaian sumbangan
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Nisa' Malaysia, Laila Farhana Abu Bakar berkata, NGO Nisa' Malaysia merupakan satu pertubuhan NGO yang memperjuangkan kebajikan wanita muda di bawah 40 tahun.
"Selain memperjuangkan kebajikan wanita muda, matlamat kami juga adalah untuk menyampaikan islam kepada semua masyarakat islam terutamanya kaum wanita untuk menerapkan cara hidup islam yang betul.
"Jadi kami bukan sekadar hadir memberi sumbangan sahaja tetapi juga untuk menyampaikan ilmu kepada kaum wanita.
"Pertubuhan Nisa' ini terdapat di satu Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak. Jadi kami akan berhubung dengan Nisa' setiap negeri untuk bantu lebih ramai masyarakat di Malaysia," ujarnya.
Menurut beliau, bantuan yang dihulurkan bukan daripada sudut kewangan sahaja, tetapi turut memberi bimbingan kaunseling dan sebagainya memandangkan terlalu ramai orang yang mengalami depresi terutamanya kaum wanita.
"Sementara itu, sebab utama kami memilih program I Love School pula adalah untuk menyampaikan mesej bahawa hanya dengan pendidikan dan ilmu yang boleh mengubah nasib diri, keluarga dan masyarakat sama ada percaya atau tidak.
"Harapan kami, semoga dengan bantuan persekolahan yang kami salurkan ini akan memberi lebih semangat kepada adik-adik untuk hadir ke sekolah menuntut ilmu demi mencapai cita-cita dan kejayaan dalam ada sahaja bidang yang diceburi," tambahnya.
Ketua Pengarah Nisa Malaysia, Cik Laila Farhana Abu Bakar
02 Apr 23
401
Terengganu Lulus 28,260 Permohonan Tanah
KUALA TERENGGANU, 2 April - Kerajaan negeri sudah meluluskan 28,260 permohonan rakyat Terengganu untuk memiliki tanah sejak 2018 hingga Disember 2022.
Menurut Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri, bilangan tersebut walau bagaimanapun tidak termasuk tanah bagi kategori terkilan atau pemberian semula selepas dinafikan hak pada 1999-2004
PTG dalam kenyataan itu memaklumkan, agihan tanah meningkat saban tahun bahkan lebih tinggi berbanding sebelum 2018.
“Pada 2016 jumlah tanah yang diagihkan bagi kategori pertanian dan bangunan atau rumah ialah 974, 2017 (1,915), 2018 (793), 2019 (3,473), 2020 (5,173), 2021 (8,859) dan 2022 (9,962),” jelas kenyataan itu.
Pihak PTG menjangkakan pemberian tanah kepada rakyat akan terus rancak berjalan pada tahun ini.
Ini termasuk pada 30 Mac lalu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi selesai mengadakan majlis agihan tanah kepada penduduk setempat.
Dalam majlis berkenaan, seramai 250 orang peserta daripada enam Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di Bukit Besi menerima dokumen hak milik tanah.
Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, usaha yang cuba dilaksanakan oleh pihaknya untuk menyegerakan pemilikan tanah akhirnya menatijahkan kejayaan.
"Kita cuba permudahkan apa yang seharusnya dimiliki oleh rakyat. Prosedur ini memakan masa yang lama melibatkan pelbagai agensi,” katanya.
Mengulas lanjut kata beliau, pihaknya akan sentiasa komited untuk menyelesaikan isu berkait dengan tanah bagi memastikan rakyat mendapat hak sebagaimana yang dijanjikan.
02 Apr 23
1824
Permohonan i-Fitri Perantau Dibuka 6 April
SERDANG, 1 April - Berita gembira untuk rakyat Terengganu yang berada di perantauan apabila bantuan i-Fitri akan mula dibuka permohonannya pada 6 hingga 20 April secara atas talian melalui i-Bantuan.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada hari ini mengumumkan inisiatif tersebut di Majlis Berbuka Puasa Kepimpinan Kerajaan Negeri Bersama Anak Terengganu di Perantauan, di MAEPS.
"Kita menyasarkan 20,000 perantau akan menerimanya melalui peruntukan sebanyak RM6 juta.
"Untuk jumlah keseluruhan i-Fitri bagi seluruh rakyat adalah RM57 juta untuk 190,000 orang penerima," ujarnya.
Antara syarat utama i-Fitri Perantau mestilah rakyat Terengganu yang menetap di luar, juga merupakan pengundi berdaftar di Terengganu.
Syarat kelayakannya pula ialah, pendapatan isi rumah tidak melebihi RM2,500, penjawat Awam atau lantikan kerajaan yang menerima elaun tetap bulanan adalah tidak layak memohon.
Peniaga berlesen tidak layak memohon kecuali pendapatan isi rumah tidak melebihi RM2,500 sebulan.
Manakala yang tidak mempunyai slip gaji perlu mengemukakan surat akaun pendapatan yang disahkan penghulu mukim, Pengerusi JPKK, atau pegawai Kerajaan yang berkelayakan.
Pemohon hendaklah mencetak borang permohonan sebagai simpanan dan bukit permohonan selesai dan permohonan boleh ditolak sekiranya maklumat tidak benar atau tidak lengkap.
01 Apr 23
13494
'One Stop Centre' NGO Terengganu Beroperasi Dalam Masa Terdekat
KUALA NERUS, 31 Mac - Kerajaan Terengganu dengan Kerjasama Majlis Muafakat NGO Terengganu (MMNT) bakal menubuhkan Anjung NGO Sejahtera yang berfungsi sebagai 'One Stop Centre' atau pusat utama bagi melancarkan sebarang aktiviti atau mesyuarat pertubuhan.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato' Yahaya Ali memaklumkan, Anjung NGO Sejahtera sudah siap 95 peratus dan akan dapat dimanfaatkan oleh NGO khususnya yang masih tidak memiliki pejabat atau kemudahan fasiliti sendiri.
"Insya-Allah akan dirasmikan pembukaannya tidak lama lagi dan mula beroperasi dalam masa terdekat.
"Pertubuhan atau NGO sangat sinonim dengan sikap proaktif, tulus ikhlas berkhidmat, tinggi rasa empati, sedar tanggungjawab manusiawi dan begitu dekat dengan komuniti awam. Tidak melampau sekiranya saya sebutkan bahawa NGO adalah nukleus penggerak masyarakat dan pencetus perubahan.
"Kita boleh lihat menerusi program Tabung Terengganu for Turkiye and Syria yang dilancarkan baru-baru ini, merupakan satu pencapaian yang besar dan membanggakan kita semua. Alhamdulillah hasil kutipan mencecah RM1.3 juta sehinggakan Terengganu dinobat sebagai penyumbang terbesar dari Malaysia. Syabas kepada para penyumbang yang juga terdiri dari sebahagian besar NGO yang berada di dalam dewan ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Townhall NGO Terengganu di Dewan Al-Wathiqu Billah Kuala Nerus semalam.
Untuk rekod, sebanyak 200 pertubuhan dan badan bukan kerajaan hadir menunjukkan tanda komitmen bersama kepimpinan kerajaan negeri.
Bagi menzahirkan penghargaan serta pengiktirafan daripada kerajaan negeri buat NGO-NGO yang banyak menabur bakti dalam arena kebajikan dan sosial di Terengganu, sebanyak lima Anugerah Khas NGO Terbaik telah diberi.
31 Mar 23
506
YBC Sempoi, Rakyat Chukai Lebih Kenal
KUALA TERENGGANU, 29 Mac - Kaedah yang dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat mengagihkan ikan tanpa diletakkan dalam plastik tidak perlu dijadikan isu besar kerana ia hanya perkara biasa bagi masyarakat yang tinggal di tepi pantai.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional itu telah dikenali sebagai 'YB paling sempoi' di negeri ini.
"Nak (hendak) tahu sempoi ke tidak, sembanglah dengan YB Haji Hanafiah, bergurau tak kira siapa. Mesra, dekat dengan rakyat tanpa mengira siapa.
"Tapi itulah rencam kepelbagaian pandangan, kita rai jerlah, Apa yang paling pasti, rakyat dalam kawasan DUN beliau lebih mengenali wakil rakyatnya,"ujarnya menerusi satu hantaran di facebooknya.
Ujarnya lagi, bukan senang untuk puaskan hati semua orang walaupun dilihat Hanafiah sering kali berusaha membantu rakyat dengan pelbagai cara termasuk agihan 'ikan aya' itu sehingga menerima komen negatif kerana tular di media sosial.
"Suasana ni biasa 'je' sesama orang kampung khususnya penduduk di tepi pantai, Itu tanda ikan baru naik dan masih segar. Penerima tiada rasa penghinaan pun.
"Suasana nelayan nak kongsi ikan sekarang mungkin payah sikit sebab kos sara hidup yang makin meningkat dan harga ikan juga boleh tahan, adakalanya, bagi nelayan bot fiber, mereka balik dengan tangan kosong walaupun sehari di tengah lautan,"katanya.
Sementara itu, Hanafiah semalam mengagihkan ayam mentah untuk keluarga yang tidak berkemampuan dalam kategori asnaf di desa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) semalam.
"Kecil bagi kita, besar bagi mereka ... Tenang hati melihat mereka masih mampu mempamerkan senyuman,"ujarnya menerusi TikToknya.
29 Mar 23
611
'Tiada Salah Agih Ikan Aya Tanpa Plastik'- Hanafiah Mat
KUALA TERENGGANU, 27 Mac - Menerima kritikan kerana mengagihkan 'ikan aya' tanpa menggunakan plastik, Hanafiah Mat menjawab tohmahan segelintir pengguna TikTok bahawa cara itu tidak salah.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional itu berkata, tidak terfikir untuk meletakkan ikan tongkol itu di dalam plastik kerana besar, serta memudahkan mereka yang menerimanya untuk terus masak bagi dijadikan hidangan berbuka puasa.
"Bagi saya tiada masalah buat agihan begitu ke setiap rumah, melainkan jika ikan yang diberikan itu ikan selayang atau ikan kembung. Mestilah akan dimasukkan dalam plastik dahulu kerana saiznya lebih kecil,"ujarnya sebagaimana yang dilaporkan Sinar Harian, di sini, hari ini.
Melalui perkongsian video yang dimuat naik sejak Ahad itu menerima lebih 90,000 tontonan dengan 953 komen termasuk mereka yang mempertikaikan niat murni Hanafiah kerana disifatkan menghina golongan miskin dan agihan ikan percuma itu dikatakan seolah-olah seperti mahu diberikan kepada kucing.
Bagaimananapun, terdapat komen positif yang menyokong dan mempertahankan tindakan Hanafiah dengan memuji misi yang jelas dipamerkan olehnya itu dalam membantu meringankan bebanan rakyat.
"Saya terima segala kecaman dengan berlapang dada kerana ia tidak meninggalkan kesan kepada saya. Saya akan terus buat kerja dan berbakti untuk rakyat.
"Hari ini kita sambung lagi agihan 'ikan aya' seperti semalam, kali ini masih juga diberikan kepada penduduk yang tinggal di kawasan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) serta mereka yang memerlukan.
"Syukurlah, untuk setiap ekor 'ikan aya' yang diagih boleh dimasak singgang misalnya untuk dimakan oleh empat ahli keluarga, walaupun pemeberian ini dilihat kecil oleh sesetengah orang, ia dihargai oleh mereka yang memerlukan,"ujarnya.
Dalam pada itu Hanafiah berpendirian agihan yang dilakukan dengan cara demikian dapat meminimumkan penggunaan plastik sekali gus akan melestarikan dan memelihara alam sekitar daripada dicemari bahan buangan seperti sisa plastik.
Difahamkan, proses agihan seekor ikan seberat antara 900 gram hingga 1 kilogram (kg) pada semalam melibatkan lebih 60 rumah PPRT di Kampung Paya Berenjut, Kampung Besut 2, Bakau Tinggi di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai dan hari ini akan diteruskan dengan melibatkan sekitar 55 buah rumah lagi akan menerimanya.
27 Mar 23
321