Artikel "Ekonomi" Terkini
Golden Pharos Berhad Umum Dividen RM1.7 Juta Setelah 11 Tahun
Dato' Tengku Hassan umum berita gembira buat pemegang saham GPB.KUALA TERENGGANU, 20 Jun - Golden Pharos Berhad (GPB), anak syarikat Kerajaan Negeri Terengganu mengumumkan bayaran dividen buat kali pertama selepas 11 tahun, kali terakhir pada tahun 2008 dengan jumlah sebanyak RM1.8 juta.Pengerusi Jawatankuassa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar berkata, pembayaran dividen itu berjumlah 1.27 sen bagi setiap unit saham biasa dengan jumlah keseluruhan RM1.7 juta. “Pembayaran dividen ini diputuskan setelah kita mencatat keuntungan tujuh kali berturut-turut (selama 21 bulan) sejak suku ketiga 2017 dengan peningkatan sebanyak 264 peratus iaitu sebanyak RM1.82 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 (FY18).“Keuntungan ini juga merupakan prestasi terbaik syarikat dengan peningkatan hasil sebanyak 13 peratus lebih tinggi kepada RM74.12 juta berbanding RM65.64 juta sebelum ini yang mana kebanyakannya disumbangkan oleh sektor pembalakan dan pengilangan,” katanya.Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan GPB kali ke-31 di Primula Beach Hotel, di sini hari ini.Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif GPB, Dato’ Nadza Abdul dan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn. Bhd., Dr. Wan Ahmad Rudirman Wan Razak.Dato' Nadza harap prestasi kekal positif.Dalam perkembangan sama, Dato’ Nadza turut berharap prestasi GPB akan terus positif dengan jangkaan positif ekonomi Malaysia berdasarkan data jangkaan yang diberikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).“Pada tahun 2019 ini, BNM menjangkakan ekonomi negara akan meningkat sebanyak 4.3 peratus dan kita jangkakan perkembangan syarikat akan sejajar dengan peningkatan ini,” katanya.GPB memiliki kawasan pembalakan seluas 129,000 hektar di bawah perjanjian konsesi bersama kerajaan negeri. Setiap tahun hanya 2,600 hektar boleh diusahakan hasil berdasarkan Catuan Tebangan Tahunan (CTT).Bagaimanapun, GPB juga mengusahakan program Ladang Hutan untuk menggantikan balak-balak yang telah ditebang. “Selain itu, berbeza dengan syarikat perladangan lain, rasional kita mengadakan Ladang Hutan adalah untuk membekalkan kayu kepada anak syarikat kita iaitu Permint Plywood Sdn. Bhd.,” katanya.
20 Jun 19
1016
Terengganu Bakal Lahirkan 70 Usahawan Perintis Pertama U-GATES Dan U-BES
Mohd Nurkhuzaini (dua dari kiri) memperkatakan sesuatu kepada beberapa orang usahawan di Majlis Ramah Mesra Raya YPU.KUALA TERENGGANU, 17 Jun - Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) bakal melahirkan kira-kira 70 orang usahawan perintis pertama Program Usahawan Graduan Sejahtera (U-GATES) dan Usahawan Belia Sejahtera (U-BES) tidak lama lagi.Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, dari jumlah itu, 40 orang usahawan menyertai program U-GATES manakala selebihnya (30 orang) untuk program U-BES.Katanya, mereka sedang menjalani kursus keusahawanan anjuran YPU dengan kerjasama Majlis Amanah Rakyat (MARA) selama setahun bermula April lalu yang diadakan di Kuala Lumpur."Kerajaan negeri menggunakan peruntukan kira-kira RM500 ribu untuk membiayai program U-GATES manakala peruntukan tidak kurang dari RM100 ribu lagi untuk program U-Bes tahun ini," jelasnya. Katanya, setiap peserta U-GATES diberi elauan sebanyak RM1,000 sebulan sebagai bantuan sara hidup selama mereka menyertai kursus tersebut.Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.Tambahnya, mereka juga akan diberi geran sebanyak RM5,000 seorang untuk memulakan perniagaan atau mengembangkan perniagaan sedia ada.Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Majlis Ramah Mesra Raya U-GATES dan U-BES bersama Exco Kerajaan Negeri itu di Dewan Serba Guna YPU, di sini hari ini.Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Anuar Awang dan Pengurus Pembangunan Usahawan YPU, Tengku Ahmad Shabirin Awalludin.Mohd Nurkhuzaini yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera berkata, peserta U-GATES terdiri daripada graduan universiti manakala peserta U-BES terdiri daripada belia berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berminat untuk berkecimpung dalam bidang keusahawanan."Ada di kalangan mereka sudah pun mengorak langkah dalam pelbagai bidang usahawan termasuk perniagaan secara dalam talian, bidang penternakan, kulinari dan lain-lain," ujarnya.Menurutnya, mereka adalah yang terpilih dari kalangan kira-kira 1,000 orang pemohon untuk menyertai program berkenaan."Mereka adalah insan yang bertuah kerana terpilih menyertai program tersebut dan diharapkan mereka berjaya menjadi usahawan perintis program itu sebaik sahaja tamat kursus itu nanti," jelasnya.Dalam ucapan Belanjawan 2019 di Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu baru-baru ini, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan bahawa kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1 juta untuk latihan keusahawanan, modal perniagaan dan pemantauan prestasi peserta untuk program U-GATES manakala RM2 juta lagi untuk dana U-BES.
17 Jun 19
464
Rumah Terbuka Medan Erat Ukhuwah - Dr Khairuddin
Dr. Khairuddin meraikan kanak-kanak yang hadir dengan duit raya.Oleh: Nizam at-TakiriKUALA NERUS, 11 Jun – Majlis rumah terbuka yang diadakan merupakan medan terbaik mengeratkan ukhuwah sesama masyarakat dalam musim hari raya ini.Ahli Parlimen Kuala Nerus, YB Dato Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, program-program sebegini turut menjadi medium penting bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara masyarakat Kuala Nerus dan bersama pemimpin-pemimpin setempat.“Rumah terbuka yang diadakan pemimpin secara tidak langsung membina persefahaman dan ruang komunikasi antara kedua pihak.“Alhamdulillah, ramai warga Kuala Nerus datang ke rumah terbuka pada tahun ini dan banyak juadah yang disediakan untuk semua tetamu yang hadir,” katanya ketika ditemui dalam majlis sambutan Rumah Terbuka Ahli Parlimen Kuala Nerus di kediaman rasminya di Lembah Takir, baru –baru ini.Para pemimpin perlu manfaat majlis rumah terbuka untuk dekati rakyat.Majlis tersebut berlangsung secara meriah dengan kehadiran hampir 3,000 penduduk dari seluruh daerah dengan pelbagai juadah lazat disediakan.Antara tetamu yang hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias bin Razak; Pengerusi Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah; Yang Dipertua Parti Islam SeMalaysia (PAS) Kawasan Kuala Nerus, M.Shukrimun Shamsudin serta Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Tuan Haji Mohd Fazil bin Wahab.Dalam majlis berkenaan, Dr. Khairuddin juga meraikan tetamu dengan mengagihkan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir.Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus (PKAPKN) selaku penganjur merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pengunjung yang hadir memeriahkan majlis rumah terbuka kali ini. Semoga ikatan ukhuwah akan dapat diteruskan pada masa akan datang.Hampir 3,000 pengunjung hadir ke rumah terbuka Kuala Nerus.
11 Jun 19
266
Golden Pharos Bhd Untung RM0.30 Juta Dalam Suku Pertama 2019
Dato’ Nadza AbdulKUALA TERENGGANU, 30 Mei - Golden Pharos Bhd (GPB) mencatatkan prestasi positif dalam suku pertama berakhir 31 Mac 2019 (1Q2019) dengan memperoleh keuntungan sebelum cukai sebanyak RM0.30 juta.Keuntungan ini merupakan keuntungan kelapan sejak suku ketiga 2017 selepas GPB berjaya keluar daripada kerugian yang dialaminya selama beberapa tahun.Syarikat pembalakan itu pada Selasa lalu turut merekodkan pendapatan syarikat berjumlah RM15.65 juta dalam tempoh yang sama.Ketua Pegawai Eksekutif Dato’ Nadza Abdul, berkata keuntungan dalam 1Q2019 berjumlah RM0.30 juta itu menunjukkan sedikit peningkatan berbanding dengan suku sebelumnya (4Q2018) iaitu RM0.17 juta.“Pada masa hadapan, kumpulan ini mensasarkan untuk mendapat keputusan yang lebih baik dalam suku berikutnya dengan peningkatan pengeluaran balak selepas ini.“Dalam tempoh suku pertama tahun ini sendiri, sebanyak enam lesen pembalakan telah diluluskan di mana ia sudah pasti akan memberi faedah kepada operasi syarikat dalam suku kedua tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan.GPB, melalui anak syarikatnya Kumpulan Pengurusan Kayu Kayan Trengganu Sdn Bhd, kebiasaannya hanya menerima tujuh hingga lapan kelulusan bagi lesen pembalakan dalam setahun.Menurut Nadza, keadaan cuaca yang bertambah baik akan terus memberi kelebihan kepada syarikat untuk mencatatkan prestasi yang lebih baik di masa hadapan.Beliau turut berkata, produk venir keluaran anak syarikatnya, Permint Plywood Sdn Bhd, akan turut memberi kelebihan kepada pendapatan kumpulan apabila ia berjaya memasuki Perjanjian Tahap Perkhidmatan (SLA) dengan Gimzan Plywood Sdn Bhd untuk meningkatkan kapasiti produk.
30 May 19
493
Hotel Permai Kumpul Dana Bantu Penduduk Palestin
Ramadan merupakan bulan ke sembilan dalam kalendar Islam membawa rahmat yang sememangnya dinantikan oleh umat Islam. Selain menahan lapar dan dahaga, kita juga digalakkan agar memperbanyakkan amal ibadah dalam mendekatkan diri kepada Allah SWT.Atas kesedaran itu, Permai Hotel Kuala Terengganu mengambil satu inisiatif mulia bekerjasama dengan Aman Palestin untuk membantu mengumpul dana `Tabung Bantuan Kecemasan Gaza' bagi meringankan beban yang ditanggung oleh penduduk di Palestin.Pengurus Besar Hotel Permai, Noralizan Abd Rahman berkata, kerjasama tersebut berbentuk derma ikhlas yang akan dikumpul daripada hasil jualan baucar Bufet Ramadan apabila RM1 daripada setiap jualan baucar akan disalurkan kepada Aman Palestin untuk tujuan tersebut.Menurutnya, pihak Aman Palestin akan memainkan peranan mereka dalam usaha menyampaikan sumbangan itu sehingga tiba ke Bumi Gaza. "Dengan kerjasama sebegini, secara tidak langsung umat Islam yang berbuka puasa di Permai Hotel Kuala Terengganu akan turut berpeluang untuk mengejar kerahmatan ganjaran pahala berlipat ganda dengan “Berbuka Sambil Beramal” bersesuaian dengan tema yang dibawa iaitu `Rahmat Iftar'.“Kami rasa terpanggil untuk bekerjasama dengan Aman Palestin ini setelah mengikuti perkembangan yang berlaku di Gaza baru-baru ini di mana ia telah dibom dan ramai rakyat yang tidak bersalah telah terkorban atau tercedera," katanya sebagai mengulas mengenai hasrat murni hotel itu. Noralizan berkata lagi, setiap kali Ramadan, menjadi satu kelaziman bagi Permai Hotel untuk menyediakan hidangan utama yang menjadi daya penarik kepada pengunjungnya.Dalam pada itu, melalui Rahmat Iftar pada tahun ini, hotel itu mengumumkan untuk mengetengahkan hidangan “Roasted Whole Lamb Moroccan Style”.Kata beliau, hidangan ini dipilih berdasarkan kepada citarasa tetamu yang sering menginap dan menjamu selera di Permai Hotel Kuala Terengganu. Sementara itu, Eksekutif Chef, Mat Andri Abas memberitahu, untuk hidangan istimewa ini, pihaknya mengumpul rempah ratus terbaik untuk mengekalkan rasa enak kambing yang dibakar.Beliau menjangkakan sebanyak dua ekor kambing akan dihidangkan pada setiap hari dalam Bufet Ramadan pada tahun ini. “Selain itu, kami juga akan mengetengahkan hidangan tradisi Terengganu yang turut menjadi kegemaran ramai iaitu Ketupat Sotong,” tambahnya. Lebih istimewa, menu berbuka puasa yang disediakan oleh pasukan Chef Permai Hotel pada tahun ini bakal menyajikan lebih daripada 120 juadah istimewa dari seluruh dunia temasuk dari negara Asia lain.Bufet Ramadan itu akan dibuka sehingga hari terakhir Ramadan. Baucar “Rahmat Iftar” kini sedang dijual dengan harga RM 65.00 seorang. Untuk keterangan lanjut dan membuat tempahan, sila hubungi Permai Hotel Kuala Terengganu di talian 09-622 2122.
29 May 19
455
Ingat Pesan Ustaz Azhar, Bermuzik Jangan Sampai Jadi Najis
Oleh : Adli MohamadKUALA TERENGGANU, 26 Mei- Seniman jalanan atau busker, Muhammad Syahid Eiba Saari, 39, menjadikan pesanan pendakwah terkenal tanahair, Ustaz Azhar Idrus iaitu bermain muzik jangan sampai menjadi najis, sebagai asas dalam mencari rezeki .Katanya, dia berpegang teguh kepada kata-kata keramat itu sejak mula melibatkan diri dalam dunia hiburan walaupun hanya menghiburkan orang ramai di tempat-tempat terbuka dan apabila memenuhi undangan."Mengimbas kenangan ketika mula-mula bermain muzik, masyarakat Terengganu sukar menerima seniman jalanan seperti kami dan dikatakan tidak sesuai."Namun kita teruskan juga tanpa berputus asa, selepas itu masyarakat mula faham dengan apa yang kita bawa menjadikan 'busking' sebagai sumber mencari rezeki dengan memenuhi undangan dan jemputan, bermain di majlis-majlis tertentu dan juga di pasar malam dan sebagainya, "jelasnya yang merupakan pengasas 'busker' di negeri ini.Dia berkata demikian, ketika ditemui pihak media, pada Program 'Car Food Sahur', di Pantai Batu Burok semalam.Muhammad Syahid Eiba SaariMohammad Syahid yang juga merupakan salah seorang urusetia 'Car Food Sahur' 5.0 berkata muzik itu tidak salah selagi mana tidak melanggar batas syariat serta patuh kepada ajaran Islam dan jumhur ulama secara umum tidak mengharamkan muzik."Di Bulan Ramadan ini kita juga menghiburkan orang ramai di tapak Car Food sahur ini dengan memainkan lagu bertemakan ketuhanan, dan diantara kami ada yang berbakat memainkan lagu nasyid dengan cara dan gaya yang tersendiri. "Asalkan jangan sampai melalaikan, jangan sampai masuk waktu solat kita tidak segera bersolat, sebaliknya terus sibuk bermuzik," jelasnya.Tambahnya beliau amat mengharapkan agar kerajaan negeri menyokong pemuzik sepertinya untuk terus memanfaatkan bakat seni yang ada untuk dijadikan sumber mencari rezeki, disamping turut sama-sama memeriahkan negeri Terengganu ke arah menarik kehadiran pelancong.Barisan peserta 'Car Food Sahur' 5.0Jelasnya lagi, Terengganu mempunyai ramai anak muda berbakat besar yang berminat untuk bergiat menjadi pemuzik sepertinya."Kita mengharapkan agar kerajaan negeri beri ruang dan galakkan dan di pihak kami sendiri akan cuba mematuhi etika pemakaian yang dikeluarkan melalui Majlis Agama dan akan memastikan tidak ada perkara yang bertentangan dengan agama termasuk memilih lagu yang bersesuaian yang boleh diterima masyarakat dalam meraikan hiburan."Kami juga akan pastikan tiada unsur-unsur menghasut serta yang boleh menimbulkan imej yang negatif kepada kerajaan negeri," ujarnya.
25 May 19
367
Bobby' s Kitchen Restoran Eksklusif Pada Harga Berpatutan
Oleh : Adli MohamadKUALA TERENGGANU, 24 Mei- Bobby's Kitchen sebuah restoran yang kelihatan mewah dan eksklusif dengan harga yang berpatutan kini menjadi pilihan warga tempatan untuk menjamu selera.Pemiliknya, Abdul Hakim Abdul Halim, 28, berkata dia amat mementingkan kualiti dan kepuasan pelanggan serta dapat menikmati suasana yang penuh santai jika berkunjung ke restorannya."Ia menjadi pilihan untuk membawa keluarga bersantai di samping kami menyediakan pakej makanan berkonsepkan timur dan barat."Tidak ketinggalan masakan kampung, Thailand dan ada juga makanan barat.Para pengunjung dihiburkan dengam hiburan santai oleh 'buskers' dengan seleksi lagu puisi dan lagu ketuhanan serta lagu yang tidak melampau," ujarnya.Abdul HakimBeliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, di restoran miliknya, di Bukit Besar berhampiran Dewan Badminton, semalam.Menurutnya lagi, Bobby's Kitchen juga mempunyai cawangan di Paka, Dungun." Restoran mula beroperasi jika hari biasa pada waktu 5.30 petang sehingga 12.30 malam, di Bulan Ramadan, ia bermula pada jam 6 petang berakhir 2 pagi kerana memberi peluang untuk berbuka dengan pakej hidangan istimewa pada Bulan Ramadan dan juga memberi peluang untuk bersahur, "jelasnya.Beliau yang mula berniaga di restoran berkenaan bermula tahun 2017 turut memberi jaminan, bahawa makanan yang ditempah akan segera disiapkan dengan layanan penuh mesra dan para pengunjung tidak akan menunggu lama untuk menerima layanan." Ia bagi menjamin kualiti Bobby's Kitchen terjamin dan sentiasa menjadi pilhan ramai," jelasnya.
23 May 19
1059
Ayam Payang Dalam Kenangan Tarik Perhatian Pengunjung
KUALA TERENGGANU, 21 Mei - Setiap kali Ramadan menjengah, pasti ada satu perasaan unik yang sukar digambarkan berbanding bulan sebelumnya, di samping kemeriahan berpuasa dan solat sunat tarawih, kewujudan bazar Ramadan juga mewarnai suasana.Namakan saja apa jenis makanan yang anda idamkan, baik tradisional ataupun barat, semuanya sedia dijual dengan ratusan deretan peniaga di bazar Ramadan, sehingga anda jadi rambang mata memilihnya, hanya sediakan duit sahaja tetapi jangan sampai membazir.Antara hidangan lazat yang menjadi buah mulut orang ramai ialah ayam payang (tempayan). Malah menu istimewa itu mempunyai peminatnya sendiri dan mendapat permintaan yang tinggi.Pemiliknya, Mohd Shaharudin Shafie, 26, berkata, ayam yang dibakar di dalam tempayan mendapat sambutan penduduk setempat kerana aroma dan kelainan rasanya berbanding ayam lain.Mengenai keistimewaan ayamnya, Mohd Shaharudin sempat berkongsi rahsia bahawa ayamnya akan diperap dengan ramuan rempah ratus khas selama lapan jam sebagaimana yang dipelajari di Thailand dan di Malaysia sendiri tujuh tahun lalu sebelum dipanggang di dalam tempayan besar."Ia dimasak menggunakan bara arang sehingga menghasilkan isi yang lebih lembut berbanding ayam yang digoreng malah tempayan baharu yang digunakan itu mampu memuatkan 25 ekor ayam dalam satu-satu masa dan dapat dimasak dengan lebih cepat iaitu kira-kira satu jam berbanding sebelum ini tiga jam.“Rata-rata pelanggan memberi komen yang positif dengan rasa ayam yang berjus, lembut dan terasa rempah sehingga ke tulangnya dan setiap hari kami memperuntukkan 150 hingga 250 ekor ayam yang dijual pada harga RM24 seekor serta setiap pembelian percuma dengan sebotol air jus buah,” katanya.Mohd Shaharudin.Jelasnya lagi, kawalan api melalui kayu arang yang sempurna sepanjang proses memanggang penting bagi memastikan ayam tidak hangus hingga mengubah rasa, warna dan kualiti.Jika sebelum ini mereka berniaga di tujuh lokasi berbeza setiap tahun, tetapi untuk tahun ini hanya fokus di Bazar Ramadan Batu Burok dengan menyewa enam lot tapak dan pada tahun ini mereka menambah tiga tempayan lebih besar menjadikan kesemuanya 15 tempayan digunakan.“Bagi memenuhi permintaan pelanggan yang ingin merasai ayam payang selepas Ramadan, kini kami dalam proses membuka sebuah kedai di Kuala Ibai selepas raya nanti dan insya-Allah tidak ada masalah lagi jika pelanggan nak membelinya serta tidak perlu menunggu tahun depan,” ujarnya lagi.Perniagaan mereka bukan semata-mata untuk tujuan kewangan, tetapi juga menyimpan simbolik dan kenangan tersendiri demi sahabat tercinta, Allahyarham Mohd Lukman Riduan yang telah pulang ke rahmatullah dua tahun lalu akibat kemalangan jalan raya.“Arwah adalah antara orang yang mencetus perniagaan ini termasuk memberi dorongan dan idea dalam perniagaan ayam payang. Bila arwah pergi, kami mengambil keputusan untuk menukar nama perniagaan kami kepada Ayam Payang Dalam Kenangan sebagai tanda ingatan kami yang tidak pernah pudar kepadanya.“Malah sebahagian hasil keuntungan daripada perniagaan ini akan kami salurkan kepada keluarga arwah dan juga rumah anak yatim terpilih,” katanya ketika ditemui di Tapak Bazar Ramadan Batu Buruk, di sini baru-baru ini.Mohd Shaharudin berkata, beliau bersyukur kerana perusahaan Ayam Payang Dalam Kenangan Bazar Ramadan Batu Buruk itu mendapat sambutan memberangsangkan daripada pengunjung dan memberi pulangan lumayan kepada mereka.
20 May 19
1096
West Wharf Berpotensi Catat Prestasi Lebih Baik
Ahmad Amzad bersama pengurusan Sukma Samudra sewaktu tinjauan.Oleh: Syed KamalKEMAMAN, 15 Mei - Pelabuhan Sukma Samudra atau lebih dikenali sebagai West Wharf (Dermaga Barat) Pelabuhan Kemaman dilihat berpotensi mencatat prestasi lebih baik pada tahun ini berbanding tahun-tahun sebelum ini.Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, untuk suku pertama tahun 2019 Sukma Samudra mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan dalam hasil dan keuntungan berbanding tempoh yang sama, tahun lalu. Beliau turut memuji pihak pengurusan Sukma Samudra yang dilihat sangat komited dalam perkhidmatan itu. “Melihat kepada komitmen yang diberikan oleh pengurusan dalam meningkatkan kecekapan dan mutu perkhidmatan, saya yakin kita berada pada landasan yang betul untuk membuat catatan prestasi yang lebih baik,” katanya.Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan tapak ke Sukma Samudra bagi meninjau sendiri kemajuan kerja-kerja pembaikan dermaga pelabuhan bersama Pengurus Besar Sukma Samudra, Ashari Mohamad serta pengurusan kanan dermaga itu, semalam.Selaku Pengerusi Sukma Samudra Sdn Bhd merangkap Ahli Lembaga Pengarah EPIC Berhad, Amzad sempat meninjau ketibaan Kapal Accomodation Vessel Setia Station1 yang bakal beroperasi berdasarkan pelaksanaan kontrak ExxonMobil bernilai lebih RM500 juta yang dianugerahkan kepada Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad.Beliau turut meninjau kerja-kerja baik pulih kapal KD Gempita milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Limbungan Terapung EPIC Marine selain beramah mesra dengan anggota TLDM yang ditempatkan untuk mengawasi kemajuan proses pembaikan.Sukma Samudra Sdn Bhd menguruskan dermaga barat Pelabuhan Kemaman manakala Dermaga Timur diuruskan oleh Konsortium Pelabuhan Kemaman Sdn Bhd. Kedua duanya adalah anak anak syarikat EPIC Berhad.
15 May 19
1084
185 Penerima Dana TUGAS
Nurkhuzaini bersama wakil penerima dana TUGAS.KUALA TERENGGANU, 14 Mei – Seramai 185 daripada kira-kira 580 pemohon Tabung Usahawan Sejahtera (TUGAS) menerima pembiayaan dana berjumlah RM619,939 sejak diperkenalkan Januari lalu.Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, kerajaan negeri menerusi Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) berusaha menyelesaikan permohonan berkenaan secepat mungkin supaya pemohon dapat memajukan perniagaan masing-masing.“Saya rasa amat terharu menyampaikan dana TUGAS ini kerana saya juga berasal daripada keluarga penjaja dan memahami keperluan mereka.“Walaupun jumlah yang diterima tidaklah begitu banyak, di sisi mereka ia satu nilai yang besar dan dapat membantu mensejahterakan mereka dalam bidang yang diceburi,” katanya ketika ditemui pemberita.Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Tabung Usahawan Sejahtera Terengganu (TUGAS) di Dewan Konvensyen YPU, di sini, semalam.Nurkhuzaini bersama Hilmi (kiri) dan Anuar menyerahkan replika cek kepada wakil penerima SP3T.Turut hadir, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah YPU, Hilmi Harun; Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Anuar Awang serta Ahli-ahli Lembaga Pengarah YPU.Nurkhuzaini turut memaklumkan kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM15 juta dana TUGAS bagi membantu usahawan-usahawan Terengganu.“Kita berhasrat untuk menggunakan sepenuhnya peruntukan yang diberikan tahun ini kepada yang layak tanpa mengehadkan kuantiti penerimanya.“Saya rasa masih terdapat Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menjadi antara medium permohonan TUGAS kurang mempromosikannya kepada penduduk di kawasan masing-masing dan berharap kempen diadakan untuk mempelawa lebih ramai rakyat yang memerlukan membuat permohonan,” katanya.Daripada keseluruhan penerima, Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan Terengganu (SP3T)(17 penerima), Tabung Siti Khadijah (TSK) (10 penerima), Skim Pembiayaan Atas Talian Terengganu (SPINT)(3 penerima), Dana Usahawan & Industri Mikro Terengganu (DUIT)(2 penerima) serta Dana Prihatin Terengganu –OKU(D-Hati)(2 penerima).Dua skim baharu turut diperkenalkan iaitu Skim Bantuan Usahawan Mualaf (10 penerima) dan Skim Pembiayaan Khas Bazar Ramadan (141 penerima).Untuk makluman, sejak dilancarkan pada Januari 2002 sehingga April 2019, sejumlah lebih kurang RM23 juta pembiayaan telah dikeluarkan melibatkan seramai 2,326 usahawan.
14 May 19
138