lightning-solid
Berita :

Artikel "Ekonomi" Terkini

‘Gagal Patuhi Syarat, Kelonggaran Ditarik Balik’ - Menteri
‘Gagal Patuhi Syarat, Kelonggaran Ditarik Balik’ - Menteri
KUALA TERENGGANU, 3 Mei - Kerajaan akan menarik balik kelonggaran yang diberikan kepada pemain sektor perladangan dan komoditi semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) jika syarat keselamatan gagal dipatuhi. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, meskipun diberi kebenaran beroperasi 100 peratus semua pengusaha masih tertakluk kepada syarat yang ketat. Katanya, antara perkara yang perlu diberi perhatian adalah mengambil dan merekodkan suhu badan pekerja setiap hari, penggunaan pensanitasi tangan serta mengamalkan penjarakan sosial semasa bekerja. “Kita juga minta mereka yang terlibat dalam sektor di bawah kementerian ini supaya mengamalkan sistem penggiliran kerja bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19. “Sekiranya mereka gagal berbuat demikian, kerajaan pasti akan mengambil tindakan termasuk menarik balik kelonggaran yang diberikan ini,” katanya. Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas menyampaikan sumbangan gulai daging dan barangan keperluan harian kepada penduduk di Kampung Banggol Peradong di sini semalam. Menurut beliau, tujuan kerajaan memberi kelonggaran bersyarat itu adalah untuk menggerakkan kembali ekonomi negara selepas mengalami kerugian RM2.4 bilion sehari sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). “Kelonggaran juga diberi selepas menilai semua aspek, dan  jika langgar syarat kelonggaran itu maka akan ditarik balik. Kita masih lagi dalam tempoh PKP, berkait dengan Akta 342. “Sepatutnya ada arahan atau kawalan pergerakan ini tetapi kita perluaskan lagi kelonggaran itu pada sektor-sektor yang lain. Jadi kena faham, kita masih dalam tempoh PKP. Cuma kita beri peluang ‘bernafas’ untuk ekonomi,” tegasnya.
03 May 20
107
Pemotongan Royalti Minyak Terengganu Dikurangkan
Pemotongan Royalti Minyak Terengganu Dikurangkan
KUALA TERENGGANU, 27 April - Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk mengurangkan pemotongan 25 peratus kepada lima peratus  daripada royalti minyak atau Wang Tunai Petroleum (WTP) yang diterima Terengganu. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebelum ini potongan 25 peratus dibuat terhadap bayaran royalti minyak itu bagi tujuan pembayaran hutang kerajaan negeri. "Hari ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kewangan, Tengku Dato' Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bersetuju mengurangkan kadar pemotongan bayaran hutang negeri Terengganu. "Iaitu daripada 25 peratus kepada lima peratus pada tahun 2020 daripada bayaran Wang Tunai Petroleum (WTP)," katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasminya hari ini. Pada 16 April lalu, Ahmad Samsuri dalam bual bicara di Bernama TV memaklumkan, pihaknya telah membuat permohonan agar Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan semula pemotongan 25 peratus hutang kerajaan negeri menerusi WTP. "Ia bagi membolehkan kerajaan negeri memberi tumpuan yang lebih khusus kepada keperluan rakyat negeri ini terutama ketika menghadapi kesan penularan pandemik COVID-19," ujarnya. Tambah beliau, sejak Mei 2018 kerajaan negeri yang menerima lima peratus WTP dari kerajaan Persekutuan sudah membayar hutang berjumlah kira-kira RM400 juta, melalui pemotongan WTP yang diterima dua kali setahun. Terengganu dijangka akan menerima bayaran pertama royalti minyak sebanyak RM700 juta iaitu kiraan kasar sebelum pemotongan hutang sebanyak 25 peratus. Bayaran tersebut dilakukan sebanyak dua kali iaitu pada awal dan akhir tahun.
27 Apr 20
399
'GanuShop' Sedang Ditambah Baik
'GanuShop' Sedang Ditambah Baik
KUALA TERENGGANU, 24 April - Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) sedang menambah baik aplikasi bazar Ramadan atas talian Terengganu, 'GanuShop' ekoran beberapa masalah yang timbul sejak semalam.Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, proses tersebut mungkin mengambil masa satu hingga dua hari sebelum ia diyakini mampu beroperasi dengan lancar."Usaha menambah baik di peringkat 'provider' sedang giat kita jalankan selepas masalah teknikal dikesan semasa 'fully run test'."Kita harap semua peniaga dan pembeli bersabar, insya-Allah kita akan beroperasi mengikut apa yang termampu," jelasnya ketika dihubungi media hari ini.Mengulas lanjut, beliau berkata dalam masa terdekat proses tempahan makanan boleh dilakukan."Namun, proses penghantaran mungkin memerlukan inisiatif lain dahulu."Saya harap para peniaga boleh mencari alternatif lain dalam dua hari ini yang mematuhi syarat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum kita selesai baik pulih 'GanuShop'," tambahnya.
24 Apr 20
72
Empty Image
Suzana, Penerima Pertama Skim Bisnes COVID Di Terengganu
Suzana (dua dari kanan).Oleh : Muhammad A RahmanKUALA NERUS, 17 April – Suzana Muhammad menjadi penerima pertama Skim 'Covid Business Recovery-Micro' (CBRM) di Negeri Terengganu selepas selesai menandatangani perjanjian di Pejabat Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) Nasional di Dataran Rimba, di sini semalam.Suzana Muhammad, merupakan seorang peniaga yang membuka kiosk runcit untuk pelancong di Jeti Shahbandar, Kuala Terengganu selama 11 tahun.Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain yang hadir ketika majlis menandatangani perjanjian itu berkata, CBRM merupakan salah satu usaha pihak TEKUN Nasional membantu peniaga mikro yang terkesan atas penularan wabak COVID-19."Skim oleh TEKUN ini diadakan bertujuan membantu pada peniaga mikro. Saya berharap peniaga mikro bagi yang layak ambil peluang atas skim ini," ujar beliau.Turut sama hadir dalam majlis perjanjian berkenaan ialah Pengurus TEKUN Nasional Negeri Terengganu, Ghazali Husain.Sehingga kini, sekitar 6,000 peniaga telah membuat permohonan untuk mendapatkan skim CBRM yang mempunyai 26,000 kekosongan.Usahawan yang berminat boleh membuat permohonan dengan mengisinya di http://fas.tekun.gov.my/cbrm/.Hanya dokumen yang minimum perlu disertakan dalam permohonan berkenaan.Dokumen terbabit ialah borang penzahiran (declaration) yang ditandatangani dan penyata bank terkini (satu bulan), salinan MyKad pemohon dan pasangan, lesen perniagaan SSM/PBT/dokumen lain yang mengesah perniagaan, serta salinan salah satu bil utiliti.
17 Apr 20
144
Empty Image
Terengganu Peruntuk RM120,000 Bayar Elaun 'Runner GanuShop'
Nurkhuzaini berkata, orang ramai boleh memuat turun aplikasi 'GanuShop' di Play Store bagi mendapatkan juadah berbuka dan bersahur.KUALA TERENGGANU, 16 April - Kerajaan Terengganu memperuntukkan RM120,000 bagi membayar elaun 'standby' kepada 800 penghantar makanan atau 'runner' yang beroperasi di bawah bazar Ramadan atas talian, 'GanuShop'.Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, ia melibatkan 25 penghantar makanan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan kesemua daripada mereka akan menerima RM150 seorang untuk bulan Ramadan nanti."Bayaran itu tidak termasuk upah yang akan diterima oleh mereka melalui penghantaran pesanan makanan yang dibuat pembeli dalam 'GanuShop' nanti."Proses pendaftaran sebagai penghantar makanan akan dijalankan di setiap DUN, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN akan membuat pemilihan selepas permohonan untuk menjadi 'runner' dibuka pada Sabtu atau Ahad (18 atau 19 April) ini," katanya.Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran ‘GanuShop’ di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.Kata beliau, tempahan makanan akan ditutup pada 12 tengah hari dan penghantaran bermula 3 petang.Ditanya tentang arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang tidak membenarkan operasi penghantaran melebihi 10 kilometer radius, beliau memaklumkan kerajaan negeri sudah mempunyai perancangan."Insya-Allah kita akan mengeluarkan pas khas untuk 'runner GanuShop' supaya mereka boleh bergerak melebihi jarak 10 kilometer sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)."Persetujuan secara 'verbal' sudah kita perolehi daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM)," jelasnya.Menurut Nurkhuzaini lagi, sejak permohonan sebagai penjual di aplikasi 'GanuShop' dibuka semalam, lebih 700 peniaga telah mendaftar."Lain-lain usahawan yang berminat boleh mendaftar secara atas talian di aplikasi 'GanuShop', sehingga pagi tadi kita telah merekodkan lebih 700 peniaga."Setakat ini kita masih belum menetapkan tarikh akhir pendaftaran tersebut, tetapi kita mahu selesaikan proses itu sebelum 1 Ramadan," kata beliau.Harga dan kebersihan makanan pula akan sentiasa dipantau pihaknya dan agensi persekutuan.Tambahnya, aplikasi 'GanuShop' merupakan bazar Ramadan atas talian Terengganu yang dibangunkan kerajaan negeri dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU)."Aplikasi ini juga mempunyai penghantar makanan premium seperti Grab Food dan Food Panda, tetapi caj penghantaran yang dikenakan mereka sudah pasti lebih tinggi berbanding kita."Orang ramai boleh memilih sama ada mahukan penghantar makanan premium atau yang di bawah kita iaitu 25 orang di setiap DUN itu," ujarnya.
16 Apr 20
194
Empty Image
'GanuShop' : 800 'Runner' Disediakan Di Seluruh Terengganu
Nurkhuzaini Ab Rahman.KUALA TERENGGANU, 13 April - Seramai 800 penghantar makanan atau runner 'GanuShop' beroperasi pada Ramadan tahun ini dan kerajaan negeri akan menanggung elaun 'standby' mereka.Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, caj penghantaran makanan pula diletakkan pada kadar yang minima berbanding harga pasaran.Jelasnya, dua inisiatif itu bagi mengelakkan harga makanan meningkat di samping menggalakkan orang ramai untuk memiliki juadah berbuka puasa  dan sahur secara atas talian."Kerajaan negeri bersetuju untuk membayar kos elaun tersebut kepada 25 penghantar makanan di setiap DUN."Ia sekali gus mewujudkan 800 peluang pekerjaan (runner) di sepanjang bulan Ramadan lebih-lebih lagi dalam suasana tidak menentu ini," katanya semasa Wawancara Khas di Studio TV Darul Iman hari ini.Menurut beliau, orang ramai yang berminat untuk menjadi penghantar makanan boleh membuat permohonan di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN masing-masing."Segala permohonan mesti dibuat di PKM sebaik sahaja aplikasi ini dilancarkan," jelasnya.Dalam pada itu, Nurkhuzaini berkata, tahap kebersihan setiap makanan yang dijual juga akan dipastikan berada pada tahap terbaik."Walaupun makanan dimasak di rumah dan terlindung daripada orang ramai, kita tetap akan pastikan makanan tersebut bersih."Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah bersetuju untuk melakukan tinjauan dari rumah ke rumah (penjual) secara rawak di sepanjang bulan Ramadan," tambah beliau.
13 Apr 20
57
Empty Image
COVID-19 : YPUT Sedia RM4 Juta Bantu Peniaga
KUALA TERENGGANU, 13 April- Kerajaan negeri melalui Tabung Pemulihan Perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKS) menyediakan  peruntukan RM 4 juta bagi membantu lebih  80,000 peniaga di negeri ini yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Abdul Rahman berkata, apa yang disediakan itu atas saranan Perdana Menteri yang mewujudkan Pakej Prihatin PKS bagi membantu golongan usahawan di seluruh negara.Katanya, di Terengganu, pihaknya merekodkan hampir 80 peniaga  yang berdaftar di bawah Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT) dan Persatuan Peniaga Kecil dan Sederhana  di kesan terjejas.“Oleh itu, kerajaan negeri melalui YPUT mengambil cakna  dengan menyediakan beberapa insentif khas, termasuk mewujudkan Tabung Permulihan PKS, Bazar Online dan jualan produk sejuk beku dengan kerjasama pemilik laman facebook KUTERER (Kuala Terengganu Residen) yang memiliki lebih 100,000 pengikut.“Mereka yang terjejas wajar dibantu bertujuan meringankan beban membayar  sewa bangunan , upah pekerja dan sebagainya. Sekiranya bangunan itu milik kerajaan, risikonya agak rendah kerana pihaknya sudah mengeluarkan surat bayaran penangguhan bagi April dan Mei,”katanya.Beliau berkata demikian ketika bersiaran langsung melalui TV Darul Iman, hari ini.Menurutnya, mereka yang terjejas boleh membuat permohonan bantuan Tabung Pumulihan PKS melalui laman web www.ypu. com.my atau facebook Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) yang diperkenalkan mulai awal April lalu.“Sehingga hari ini hanya 180 peniaga yang berbuat demikian dan pihak kami mengalu-alukan lebih ramai peniaga yang terjejas  segera berbuat demikian.“Setiap permohonan akan segera diproses dan  berkemungkinan hanya mengambil masa sebulan untuk dilluluskan sekiranya memenuhi syarat yang ditetapkan,”katanya.
13 Apr 20
49
Empty Image
'GanuShop' Dilancar 15 April, Ganti Bazar Ramadan
Orang ramai boleh memuat turun aplikasi 'GanuShop' di Play Store bermula 15 April.KUALA TERENGGANU, 13 April - Aplikasi bazar Ramadan 'online' Terengganu atau 'GanuShop' dijangka akan dilancarkan pada 15 April ini.Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, aplikasi yang mengandungi elemen peniaga, pembeli, penghantar makanan dan proses pembayaran itu adalah pengganti kepada penganjuran bazar Ramadan tahun ini."Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) akan mengetuai setiap sistem dan operasi yang akan dilancarkan paling awal pada 15 April nanti."Sekarang ini kita 'running test' aplikasi itu dengan melibatkan lebih 30 usahawan dan ia sudah di fasa akhir."Kita mahu setiap usahawan yang sudah biasa dengan sistem itu memberi komen balas agar tidak timbul sebarang masalah selepas dilancarkan kelak," katanya dalam Wawancara Khas di Studio TV Darul Iman hari ini.Nurkhuzaini berkata, aplikasi bazar online itu akan dilancarkan pada 15 atau 16 April.Mengulas lanjut, Nurkhuzaini berkata, pendaftaran melibatkan peniaga dan penghantar makanan pula akan diuruskan oleh Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula pada hari pelancaran.Ujarnya, keutamaan diberikan kepada 7,180 peniaga bazar Ramadan tahun lalu kerana operasi penyediaan makanan mereka sudah dipantau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)."Jadi untuk pendaftaran baharu, kita ikut 32 DUN, PKM masing-masing akan buat pemilihan selepas setiap peniaga mendaftar secara 'online' di 'link' yang akan kita berikan semasa pelancaran nanti."Mesyuarat penyelarasan atau taklimat juga akan dibuat bersama semua wakil DUN seluruh Terengganu," jelas beliau.
12 Apr 20
104
Empty Image
Kerajaan Terengganu Bayar Elaun 'Runner' Bazar Online
Dr Alias Razak.KUALA TERENGGANU, 10 April - Kerajaan Terengganu akan membayar elaun khas kepada penghantar makanan di sepanjang Bazar Ramadan 'Online' berlangsung.Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak memaklumkan, kerajaan negeri juga akan menurunkan caj penghantaran makanan ke setiap rumah yang dibuat 'runner' berdaftar."Jadi, harga makanan tidak meningkat secara keterlaluan dan apa yang penting ia tidak membebankan orang ramai."Peniaga dan pasar yang ada (berdaftar) akan dikumpulkan dalam satu aplikasi, sejak kerajaan negeri mengumumkan pembatalan penganjuran bazar Ramadan seramai 7,180 peniaga sudah berdaftar untuk urus niaga secara dalam talian mereka akan dikendalikan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU)."Walau bagaimanapun, maklumat dan keputusan rasmi akan diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Abdul Rahman dalam masa terdekat," katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas operasi disinfeksi di Pasar Borong Gong Pauh, di sini hari ini.Pada 30 Mac lalu, kerajaan negeri telah bersetuju untuk membatalkan penganjuran bazar Ramadan tahun ini kerana dikhuatiri akan menyebabkan virus COVID-19 merebak.Sehubungan dengan itu, beberapa alternatif termasuk mewujudkan bazar Ramadan 'Online' telah dipertimbangkan bagi mengurangkan bebanan kewangan yang terpaksa ditanggung peniaga."Para peniaga disaran untuk mengusahakan pemasaran perniagaan secara dalam talian (online) selain membuat perkhidmatan penghantaran ke rumah untuk sebarang bentuk produk termasuk makanan," tambah beliau.
09 Apr 20
95
Empty Image
Penternak Ikan Sangkar Luah ‘Rasa Nak Mati’
Oleh : Hidayah AzlinSETIU, 9 April – Penternak ikan sangkar meluahkan ‘rasa nak mati’ akibat terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan 18 Mac lalu.Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ia ekoran perniagaan yang diusahakan mengalami kemerosotan jualan sehingga menjejaskan kewangan mereka.Jelasnya, kerajaan tidak mampu membeli hasil pertanian dan ternakan untuk diagihkan kepada rakyat kerana ruang-ruang pasaran sangat sempit dan terhad."Semua sektor terjejas teruk, termasuk sektor penternakan akuakultur ikan dalam sangkar. "Sejak PKP, jumlah ikan siakap dan kerapu hibrid yang berjaya dijual hampir tiada kerana restoran dan hotel tidak beroperasi," katanya.Beliau berkata demikian selepas Program Penyerahan Bantuan Makanan Ikan kepada penternak Daerah Setiu, di Kuala Setiu, Permaisuri.Walau bagaimanapun, Dr Azman berkata, masalah tersebut tidak akan dibiarkan begitu sahaja sebaliknya sumbangan makanan ikan untuk pemilik sangkar ikan di Kuala Setiu sentiasa disalurkan."Dengan usaha yang ada juga, kita ikhtiar untuk bantu cari pasaran. Ada hasil yang boleh jalan dan ada hasil terkandas," ujarnya.Sementara itu, menurut beliau, langkah pemprosesan pembekuan seperti daging burung puyuh dan arnab perlu dijalankan bagi menghalang peningkatan kos penternakan."Saya sudah minta Pengarah Pertanian Negeri untuk tunjukkan kaedah membuat lada kering kepada petani yang tak dapat pasarkan lada. "Ruang sejuk di negeri kita terhad untuk semua hasil disimpan dalam bentuk sejuk beku," jelas beliau.Tambahnya, Pengarah Pertanian Terengganu juga telah menghubungi sendiri beberapa pasaraya di Terengganu untuk menawarkan hasil pertanian keluaran tempatan dipasarkan di premis mereka. "Di samping itu, kita juga berhubung dengan rakan-rakan di negeri-negeri lain bagi mencari ruang pasaran. Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) juga membuka 37 outlet pemasaran hasil pertanian seluruh negeri sebagai tambahan," jelasnya.
08 Apr 20
916