Artikel "Ekonomi" Terkini
ECERDC Tarik Hampir RM3.0 Bilion Pelaburan Ke Terengganu
KUALA TERENGGANU, 5 Disember – Terengganu menerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah menarik pelaburan komited sebanyak RM2.9 bilion bagi tahun 2021.
Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat berkata, pelaburan tersebut bakal mewujudkan lebih 5,000 peluang pekerjaan dan 600 peluang keusahawanan direkodkan sehingga bulan lepas.
“Tumpuan diberikan kepada Taman Biopolimer Kerteh (KBP), salah sebuah taman perindustrian paling berjaya yang dibangunkan oleh ECERDC.
“ECERDC akan memperhebatkan kegiatan mempromosikan pelaburan ke Terengganu dengan kerjasama agensi-agensi Persekutuan dan Negeri untuk menarik pelaburan baharu serta memastikan pelaburan dapat direalisasikan terutamanya di KBP.
“Baru-baru ini, KBP telah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM220 juta daripada Greenverse Sdn. Bhd. (GVSB) untuk membangunkan sebuah loji pengurusan sisa berjadual secara bersepadu,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Menurutnya lagi, pelaburan tersebut dijangka mewujudkan sehingga 250 peluang pekerjaan baharu yang merangkumi jawatan profesional, pengurusan dan kemahiran teknikal.
“KBP, hab bioekonomi dan bahan kimia khusus ECER yang meliputi kawasan seluas 140 hektar, telah menarik pelaburan yang direalisasikan berjumlah RM5.2 bilion setakat ini.
“Kompleks PKS KBP juga menerima sambutan yang menggalakkan walaupun siap ketika pandemik.
“Sebanyak 98 peratus daripada lot yang ada telah diduduki majoritinya oleh syarikat-syarikat Industri Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) yang memberi sokongan kepada PETRONAS dan syarikat-syarikat petrokimia lain di Wilayah ini,” katanya lagi.
Jelasnya, sasaran ECERDC adalah pertumbuhan industri petrokimia khusus, dan kini sedang membangunkan Fasa 4 yang terdiri daripada kawasan tambahan seluas 397 ekar bagi menampung pertumbuhan akan datang untuk para pelabur menjelang pertengahan tahun 2025.
06 Dec 21
686
Pendapatan GLC Terengganu, TDM Meningkat Sembilan Peratus
KUALA TERENGGANU, 2 Disember - Pendapatan anak syarikat kerajaan (GLC) Terengganu, TDM Berhad bagi suku ketiga yang berakhir pada 30 September 2021 meningkat sebanyak sembilan peratus berbanding 2020.
Ketua Komunikasi Korporat TDM, Norfar’izan Hashim berkata, pencapaian memberangsangkan itu disumbangkan oleh jumlah pendapatan yang tinggi direkodkan oleh bahagian penjagaan kesihatan dan perladangan.
“Masing-masing sebanyak RM6.5 juta dan RM4.2 juta, atau peningkatan sebanyak 13 dan 16 peratus.
“TDM juga mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM18.9 juta ketika suku tersebut, berbanding RM27.7 juta (termasuk keuntungan one-off RM21.8 juta) ketika suku yang sama di tahun sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.
Menurut beliau, pendapatan TDM bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2021 turut meningkat sebanyak 10 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Ujarnya, ia juga adalah hasil peningkatan pendapatan oleh bahagian penjagaan kesihatan sebanyak 12 peratus atau RM16.7 juta dan bahagian perladangan sebanyak 10 peratus atau RM16.0 juta.
“TDM juga mencatatkan peningkatan PBT yang ketara sebanyak RM14.3 juta, lebih daripada dua kali ganda angka yang dicatatkan dalam tempoh yang sama sebelumnya.
”PBT sebanyak RM27.7 juta dan RM5.8 juta bagi suku ketiga 2020 dan sembilan bulan berakhir 2020, masing-masing adalah termasuk keuntungan ‘one-off’ atas pembelian bernilai RM21.8 juta daripada pemerolehan TDM-YT Plantation Sdn. Bhd,” tambah beliau.
02 Dec 21
630
GLC Terengganu Rangkul Anugerah 'Company Of The Year'
KUALA TERENGGANU, 29 November - Anak syarikat kerajaan (GLC) Terengganu, TDM Berhad berjaya merangkul anugerah 'Company of The Year' buat kali pertama di Majlis Kemampanan & CSR Malaysia 2021 yang diadakan di Shangri La Hotel, Kuala Lumpur hari ini.
TDM memenangi anugerah itu di bawah kategori perladangan dan penjagaan kesihatan untuk inisiatif bantuan COVID-19 serta kebajikan haiwan.
Ketua Komunikasi Korporat TDM, Norfar’izan Hashim berkata, pengiktirafan itu memperakui sumbangan dan komitmen syarikat dalam menerajui pembangunan mampan serta menghormati hak individu, komuniti dan alam sekitar.
"Ia juga jelas mencerminkan misi TDM untuk menjadi contoh kepada institusi korporat di Terengganu.
"TDM sebelum ini telah mengetengahkan inisiatif 'Living Together with Elephants' dan sumbangan RM1.0 juta kepada Tabung Bantuan COVID-19 Terengganu, sekali gus membolehkan syarikat mendapat penganugerahan tersebut," jelas beliau.
Mengulas lanjut, Ketua Pegawai Eksekutif TDM Plantation Sdn Bhd (TDMP), Mohd Ghozali Yahaya berkata, program 'Living Together with Elephants' adalah satu langkah bagi menangani isu pencerobohan gajah liar di ladang kelapa sawit syarikat di Kemaman dan Setiu.
Katanya, melalui inisiatif itu TDM telah merintis rangkaian pengurusan gajah liar pertama di Terengganu dengan mengumpulkan pemain industri kelapa sawit tempatan bagi mengatasi isu pencerobohan dan hidup harmoni bersama binatang tersebut.
"Rangkaian ini menyediakan platform untuk menjana strategi pengurusan yang berkesan dan boleh dilaksanakan pada skala berbeza untuk mencegah serta mengurangkan konflik manusia-gajah secara tidak langsung menjadikan operasi kelapa sawit lestari untuk manusia dan hidupan liar.
“Selain memasang kolar satelit pada ketua kawanan gajah di Ladang Pelung untuk menjejaki pergerakan dan melakukan pencegahan, kami juga bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (DWNP)
Terengganu untuk menubuhkan bank makanan gajah dan mengenal pasti spesies tumbuhan yang akan ditanam di unit operasi," ujarnya.
Di samping itu kata Mohd Ghozali, TDM bersama bahagian penjagaan kesihatan syarikat, Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) berada di barisan hadapan dalam menangani COVID-19 sejak awal tempoh pandemik.
"Menerusi inisiatif sosial korporat seperti 'Huluran Kasih' dan 'Bakul Prihatin TDM', Kumpulan TDM menunjukkan solidariti dalam menyokong pekerja, komuniti dan mereka yang memerlukan ketika masa-masa mencabar.
"Pada tahun lalu, TDM telah memberikan sumbangan sebanyak RM1 juta dengan pembelian bekalan perubatan serta bantuan dan sokongan kemanusiaan untuk memerangi virus tersebut," tambah beliau.
Ujarnya lagi, pada Jun tahun ini, TDM telah menyumbang RM100,000 kepada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan berkolaborasi bagi menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) menerusi program jangkauan (outreach) vaksinasi yang meliputi kawasan luar bandar di seluruh negeri Terengganu.
"Bukan itu sahaja, empat hospital komuniti iaitu KMI Kuala Terengganu Medical Centre, KMI Kuantan Medical Centre, KMI Kelana Jaya Medical Centre dan KMI Taman Desa Medical Centre telah beroperasi sebagai Pusat Vaksinasi Hospital Swasta (PPVHS) dan memberikan vaksin kepada orang ramai sejak bulan Jun yang lalu," katanya.
29 Nov 21
2692
Lulus Peruntukan RM1.5 Juta Perkasa Ukiran Kayu Terengganu
BESUT, 28 November - Kerajaan pusat telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.5 juta bagi meningkatkan hasil produktiviti ukiran kayu di negeri ini sekali gus memperkasakan sektor terbabit.
Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, perbelanjaan tersebut adalah bagi keperluan mesin, alatan serta jentera pengukiran kayu.
"Sekarang ini mereka melakukan kerja pengukiran kayu ini secara manual hingga mengakibatkan proses berkenaan sangat lambat, jadi secara tidak langsung melalui penggunaan mesin kerja-kerja ini akan menjadi lebih mudah dan cepat, serta kualiti boleh ditingkatkan.
"Selain meluluskan permintaan untuk membeli mesin-mesin pengukiran bot dan perabot ini, juga ada perimnataan agar ia disenaraikan dalam tender kerajaan, kerana selama ini yang ada hanya bidang kayu yang disenaraikan sebagai kayu kayan.
"Jadi kita perlu jadikan ia sebagai subkontraktor, dan kita akan bawa ke kabinet untuk berbincang dengan Menteri Kewangan agar ia diiktiraf dan juga menjadikan pensijilannya lebih mantap selepas pengiktirafan lebih tinggi dan dihargai," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Penyerahan Mesin kepada Pengusaha Bumiputera Dalam Industri Pembuatan Bot & Pelancaran Pelan Strategik Pembangunan Industri Kayu Negara di Desa Ukiran Kayu (DUK) di Kampung Raja, Besut, pada hari ini.
Mengulas lanjut mengenai industri kayu, beliau berkata sektor itu sangat berpotensi dan telah mencatatakan keuntungan di antara RM13 hingga RM14 bilion.
"Tahun hadapan kita mensasarkan RM24 bilion, kerana kita telah meningkatkan kajian dan kita juga telah meningkatkan kaedah teknologi baru dan kita juga telah mencari pasaran yang berkembang di negara Eropah.
"Serta beberapa negara yang kita telah kenal pasti, antaranya China dan Afrika Utara untuk dieksport barangan kayu, ukiran kayu ini juga berpotensi untuk ditawarkan ke luar negara," ujarnya.
Katanya, pihaknya akan turut berbincang untuk melaksanakan promosi ukiran kayu ini ke pejabat kerajaan.
"Sebagai Menteri komoditi mungkin saya boleh minta agar setiap kementerian masing-masing untuk menggunakan kayu ukiran ini, dan kumpulan atau persatuan ukiran kayu ini membekalkannya kepada kementerian.
"Jadi insya-Allah kita akan salurkan kepada persatuan pengukir untuk perbelanjaan pejabat melakukan 'renovation' jadi di sana kita boleh selaraskan perusahaan mereka, kita memiliki keanggotaan seramai lebih 800 orang di seluruh negara termasuk di negeri ini yang memiliki keahlian seramai 300 orang," ujarnya.
28 Nov 21
891
I-Fitri Legakan Rakyat Menjelang Perayaan
KUALA NERUS, 18 November - Rata-rata gembira dan menyambut baik dengan pengumuman pemberian dana I-Fitri dalam Belanjawan 2022 Terengganu Darul Iman, baru-baru ini.
Bagi Nur Kidam Hasyim, 34, sejak kerajaan negeri mengambil alih daripada kerajaan terdahulu, dana tersebut ditukar dalam bentuk lain supaya semua penerima mendapat faedah yang berpanjangan.
"Saya akur dengan tindakan kerajaan masa itu dan kerajaan berhak menentukan segala perjalanan pentadbiran.
"Selepas dua hari pembentangan Belanjawan 2020, semua orang sudah bercakap mengenainya dan saya gembira dengan berita itu. Dapatlah juga merasa raya tahun ini," katanya ketika ditemubual pemberita.
Seorang lagi penerima, Khairiah Alias, 28, beliau bersyukur dan berterima kasih kepada Menteri Besar tidak terhingga kerana beliau tidak pernah menerima dana sedemikian sebelum ini hatta dana raya.
"Golongan berumah tangga seperti saya semestinya lega, sedikit meringankan beban" katanya.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Seberang Takir, Mohd Fadhil ketika ditemui, beliau menerima baik pemberian itu dan bersedia menguruskan bila sampai masa tarikh permohonan nanti.
"Kita tak tahu lagi macam mana pemberian nanti, lebih mudah masuk terus ke akaun penerima," ujarnya
23 Nov 21
251
Terengganu Showcase Platform Bantu Usahawan Berkembang Maju
KUALA TERENGGANU, 21 November - Dalam memastikan usahawan kecil dan sederhana dapat mengembangkan perusahaan mereka kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan usahawan dan Urus Setia Pembangunan Usahawan Terengganu (PEUTER) telah menganjurkan 'Terengganu Showcase'.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, program itu menjadi platform dalam usaha kerajaan untuk meningkatkan promosi produk yang diusahakan melalui Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam negara.
"Ia dapat menambahkan jualan mereka sekali gus bagi menambahkan pendapatan mereka, dalam masa terdekat ia akan diadakan di Mesra Mall yang akan berlangsung pada 22 hingga 26 Disember yang akan melibatkan seramai 20 orang usahawan.
"Manakala pada Mac 2022 kita merangka untuk mengadakan 'Terengganu Showcase' di Aeon Mall Nilai Negeri Sembilan yang akan melibatkan 35 usahawan Terengganu, kita akan melaksanakannya tiga kali dalam setahun," ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai usaha kerajaan untuk memastikan usahawan negeri ini berkembang maju katanya, pihak kerajaan juga akan turut menyertai apa jua aktiviti karnival keusahawanan samada dianjurkan oleh kerajaan mahupun swasta.
"Bagi pasaran luar negara pula pihak kerajaan negeri akan menyertai aktiviti promosi dan jualan yang dilaksanakan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) sebagai agensi peneraju untuk mempromosikan produk tempatan di pasaran luar negara.
"Bagi tujuan berkenaan pihak YPU juga akan meneruskan beberapa program usahawan yang sedang diadakan bagi membantu usahawan mengembangkan perniagaan mereka serta meningkatkan kapasiti keluaran mereka dimana ia melibatkan kerjasama pengusaha yang berada di luar negara.
"Baru-baru ini walaupun dalam menghadapi pandemik kita telah berjaya menghantar empat produk kita ke Dublin dan United Kingdom (UK), insya-Allah kita akan susuli selepas pintu negara dibuka nanti," ujarnya.
18 Nov 21
531
BAJET 2022: OKU, Kaum Ibu, Belia dan Mahasiswa Terima Bantuan One-Off
KUALA TERENGGANU, 15 November- Berbanding tahun lalu, dalam Belanjawan 2022 Terengganu Darul Iman kali ini, kerajaan negeri mengumumkan pelbagai bantuan tunai terus kepada rakyat melalui pelbagai program.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bagi menyokong pemberdayaan wanita dan belia, bantuan tunai 'one-off' sebanyak RM150 akan diagihkan kepada 6,000 isteri ketua isi rumah e-Kasih dan ibu tunggal yang berpendapatan di bawah RM2,500.
"Bagi menyokong kewangan golongan belia, dengan ini saya mengumumkan bantuan tunai one-off bernilai RM150 kepada 66,400 belia bujang berumur antara 18 hingga 39 tahun dan 21,800 orang mahasiswa daripada isi rumah berpendapatan RM4,000 dan ke bawah.
"Selain itu, seramai 8,900 orang kelainan upaya (OKU) daripada isi rumah berpendapatan RM4,000 dan ke bawah juga akan menerima bantuan tunai one-off bernilai RM150.
"Diharapkan bantuan ini dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk memenuhi keperluan," katanya.
15 Nov 21
1587
Pelan Strategik Kelestarian Pelancongan Terengganu Wujudkan Dimensi Baru
KUALA TERENGGANU, 11 November- Kerajaan negeri mengorak langkah melancarkan Pelan Strategik Kelestarian Pelancongan Negeri Terengganu sebagai inisiatif melestarikan pelancongan negeri secara menyeluruh, memulihkan dan mewujudkan dimensi baru industri pelancongan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, pelan tersebut merangkumi misi dan matlamat dalam menjadikan Terengganu sebagai negeri pilihan pelancong dalam dan luar nagara.
"Ibarat sebuah rumah lama, kita perlu penambahbaikan untuk menjadikannya lebih baik. Sebenarnya, kita telah bermula hujung tahun lalu, cuma kerana pandemik, kami menunggu masa yang sesuai untuk dilancarkan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pelancaran Buku Pelan Strategik Kelestarian Pelancongan Negeri Terengganu oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman, semalam.
Jelasnya, antara fokus utama yang terkandung di dalamnya adalah memastikan mutu penyampaian perkhidmatan yang berkualiti, menekankan pembangunan produk pelancongan melalui pendekatan komuniti serta pemantapan jaringan infrastruktur pemasaran melalui sinergi pelbagai agensi.
"Antaranya, kita telah kenal pasti 40 produk Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) dan memperuntukkan hampir RM1 juta dalam menjayakannya.
"Pandemik ini, sektor pelancongan sangat terjejas dan antara yang boleh memberikan suntikan ekonomi segera adalah CBT yang dimajukan," katanya.
Tambah Ariffin, kerajaan negeri turut sasarkan kedatangan sekitar tiga juta pengunjung ke Terengganu bagi tahun 2022 dalam tempoh pemulihan semula industri pelancongan negeri tersebut dan berharap pembukaan semula gerbang antarabangsa mampu membantu mencapai sasaran berkenaan.
11 Nov 21
658
Kolej Komuniti KT Anjur Karnival Usahawan
KUALA TERENGGANU, 6 November – Kolej Komuniti Kuala Terengganu sedang giat memberi pendedahan kepada graduan usahawan melalui penganjuran Karnival Mini Usahawan di Kuala Terengganu City Centre (KTCC) Mall yang diadakan sehingga 7 November ini.
Melalui karnival yang dijalankan sepanjang 4 hari itu, 20 gerai pameran serta demonstrasi produk pelajar program Sijil Fesyen dan Pakaian, Unit Pembelajaran Sepanjang Hayat.dipamerkan kepada pengunjung
Pengarah Kanan Akademik Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Mohd Noor Shahudin berkata, penganjuran tersebut merupakan pelaksanaan program TVETpreneurship (SPK) merupakan inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).
“Pelaksanaan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ini adalah bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan menceburi bidang keusahawanan, kolej di negeri ini adalah penganjuran kali pertama.
Pengarah Kanan Akademik Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Mohd Noor Shahudin melawat salah satu graduan seni khat
“Matlamat utama program TVETPreneurship adalah untuk meningkatkan kefahaman dan kemahiran pelajar terhadap bidang keusahawanan sebagai sebuah kerjaya pilihan.
“Selain itu, ia juga berpotensi melahirkan pelajar berkeyakinan diri yang tinggi dan berupaya memulakan dan mengurus perniagaan yang baru,” katanya ketika berucap dalam perasmian Karnival Mini Usahawan di KTCC Mall, semalam.
Sementara itu, Pengarahnya, Ts. Ali Mamat turut berkongsi, 15 pelajar terlibat secara langsung dalam dilatih untuk berinteraksi secara terus dengan bakal-bakal pelanggan dan akan mengalami sendiri suasana proses melakukan promosi dan pemasaran serta jualan.
05 Nov 21
738
Kadar Kebolehpasaran Graduan Kolej Komuniti Terengganu 94 Peratus
KUALA TERENGGANU, 5 November - Graduan lepasan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Kolej Komuniti di Terengganu mempunyai kebolehpasaran kerja yang tinggi sehingga mencecah 94 peratus.
Pengarah Kolej Komuniti Kuala Terengganu, Ts. Ali Mamat berkata, peratusan tersebut bermaksud kebolehkerjaan sama ada graduan melibatkan diri dalam sektor pekerjaan atau menjadi usahawan.
“Pihak kami sering menjadi ‘Feeder’ iaitu pembekal tenaga dan sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pemain industri.
“Antaranya seperti pengeluar batik terkenal, Noor Arfa Batek, yang turut menjadi penasihat bagi program Sijil Fesyen dan Pakaian di kolej komuniti kami, jadi ia merupakan situasi ‘win-win’,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa temubual di Karnival Mini Usahawan di KTCC Mall, semalam.
Menjelas berkenaan sambutan pengambilan pelajar di kolejnya, beliau memaklumkan kebanyakkan pelajar terdiri daripada anak Terengganu serta kemasukan daripada negeri luar seperti Kelantan sehingga Sabah.
Sementara itu, Ali turut menjelaskan, pelaksanaan karnival usahawan sehingga 7 November di KTCC di bawah program TVETpreneurship (SPK) merupakan satu bentuk pakatan strategik yang melahirkan usahawan yang holistik dengan menitik beratkan proses pemasaran dan jualan.
05 Nov 21
709