lightning-solid
Berita :

Artikel "Bisnes" Terkini

Cendol Pulut Durian Menangis Pikat Hati Penggemar
Cendol Pulut Durian Menangis Pikat Hati Penggemar
KUALA NERUS, 30 November - Cendol pulut sememangnya antara pencuci mulut yang menjadi kegemaran ramai, lebih mengiurkan sekiranya ia diserikan dengan isi durian segar, pulut atau diletakkan lebihan kacang merah. Kadang-kadang disebabkan rasa kepingin, ada di antara kita sanggup memandu jauh mendapatkan cendol yang biasanya diadun bersama kuah santan dan nisan. Berdasarkan faktor itu, mendorong Muhammad Fadhil Mohd Sabri, 23, yang sememangnya minat berniaga sejak dibangku sekolah menengah membuka Kedai Kalut Cafe di Gong Badak, Kuala Nerus. Mempromosikan menu utama Cendol  Pulut Durian Menangis,  Ais Batu Campur Durian, Mee Sup Stambong 3 Serangkai dan  Mee Sup Stambong Puyuh 3 Beradik. Kalut Cafe yang mula beroperasi pada Jun tahun lalu kini semakin memikat hati penggemar cendol durian. Walaupun Terengganu kini luar musim durian, tidak mendatangkan masalah pada pemilik restoran itu untuk mendapatkan bekalan durian. Harga cendol durian daripada isi segar durian  Musang King, D24, Tembaga, Kampung, D13, Kawen dan Ioi itu  ditawarkan dengan harga yang  sangat berpatutan iaitu serendah RM7 sehingga RM33 atau bergantung kepada harga semasa durian. Fadhil berasal dari Kuala Besut dan menuntut di tahun akhir Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), berkata rata-rata pelanggan yang mengunjugi Kalut Cafe pasti mahu mencuba cendol durian. Katanya, walaupun buat masa sekarang di luar musim raja buah, tidak mendatangkan masalah bagi Kalut Cafe sekiranya pelanggan mahu menikmati menu itu, bekalan durian sentiasa ada. “Kebanyakan mendapat bekalan dari Pahang dan Johor, selain ada menyimpan durian sejuk beku. Buat masa sekarang saya dapat hidangkan cendol pulut durian tembaga,” katanya ketika di temui Urusetia Penerangan Darul Iman, di restorannya baru-baru ini. Fadhil ketika bercerita berkaitan perniagaan, dia minat berniaga sejak di bangku sekolah menengah, menjual pelbagai jenis kerepek kepada rakan sekolah selain meletakkan produk itu di koperasi sekolah. “Awalnya cikgu marah, lama kelamaan beri  dorongan untuk terus berniaga kerana melihat kesungguhan saya berniaga. “Tabiat itu  berterusan sehingga tamat belajar sekolah menengah,  awal beniaga di kaki lima jalan di hadapan Maktab Rendah Sains Mara, Batu Rakit, pada Februari 2019, kemudianya  terpaksa ditutup pada Mac tahun lalu kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). “Memikirkan pelanggan tetap sudah ada dan ramai yang bertanya bila mahu kembali berniaga, saya membuat keputusan untuk  membuka Restoran Kalut Café  yang kini dibantu empat pekerja, semuanya penduduk setempat,”katanya.  
30 Nov 21
1303
Daftar Niaga, Kerjasama Jabatan Bantu Usahawan Kecil
Daftar Niaga, Kerjasama Jabatan Bantu Usahawan Kecil
MARANG, 17 Oktober - Seramai 14 orang usahawan kecil di kawasan Rhu Rendang telah terlibat dalam pendaftaran perniagaan dalam satu program melibatkan kerjasama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang. SSM telah membantu daftar niaga usahawan ini melibatkan pendaftaran secara percuma beberapa orang peserta dan memudahkan urusan dalam program tersebut. Ketua Seksyen Operasi SSM, Mohd Khairuddin A Manaff berkata, pihaknya telah membantu tiga orang peserta mendaftar secara percuma manakala dua orang lagi di bawah Bantuan Prihatin Nasional. “Usahawan perlu mendaftar SSM agar dapat manfaat bantuan daripada agensi atau jabatan terlibat untuk bantu perusahaan mereka. “Seperti contoh lain juga, kemudahan mendapatkan latihan, mendapat pinjaman daripada agensi, memudahkan usahawan untuk membuka akaun dan meningkatkan keyakinan pelanggan itu sendiri," katanya. Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng mengucapkan jutaan terima kasih di atas kerjasama yang diberikan daripada pihak SSM. “Program ini merupakan kali kedua diadakan setelah sebelum ini seramai sembilan orang telah berdaftar pada program kali pertama. “Mudah-mudahan dapat membantu para peniaga kecil kita di kawasan DUN Rhu Rendang," ujarnya. Seorang usahawan kecil yang membuat ukiran bot, turut diserahkan sendiri daftar niaga oleh SSM di rumahnya. Turut hadir, Pengurus Pembangunan Usahawan YPU Negeri Terengganu, Engku Mohd Hairulnizam Tuan Ahmad dan Pengarah Kraftangan Negeri Terengganu, Juhairi Azmi.
17 Oct 21
457
Pemuda Bantu Suri Rumah Jana Pendapatan
Pemuda Bantu Suri Rumah Jana Pendapatan
DUNGUN, 5 Oktober - Di samping menjana pendapatannya sendiri, seorang pemuda turut berjaya memberi peluang suri rumah di kampungnya untuk menambah pendapatan keluarga.  Pemilik Alesha Bridal, Mohd Nasir Amin, 31, berkata, apabila mendapat tempahan baju atau pakaian pengantin, pihaknya akan menghantar barang-barang keperluan untuk dijahit di rumah masing-masing. "Mereka bekerja dari rumah, ini secara tidak langsung memberi kemudahan bersama keluarga dan meningkatkan pendapatan," katanya yang berkecimpung dalam perniagaan itu sejak 2013. Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program ziarah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah kepada Calon Anugerah Belia Negara Kategori Khas Kerajaan Negeri Terengganu di Kampung Che Lijah, kelmarin. Dalam program tersebut Wan Sukairi turut menyampaikan sijil penyertaan kepadanya yang disaksikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun dan Pegawai Daerah Dungun, Anuar Awang. Bermula 2016, Calon Kategori Usahawan Belia itu mengorak langkah membesarkan lagi perniagaan pakaian pengantin yang diceburinya dengan menyediakan perkhidmatan pakej lengkap perkahwinan yang secara tidak langsung membuka peluang pekerjaan kepada mereka yang berada di kampung tersebut.  "Sebagai 'wedding planner' saya bersama-sama isteri, Habesah Abdul Malik, 28, menyediakan katering, juru gambar dan set pelamin, orang kata lengkap untuk mengadakan satu majlis perkahwinan," ujar bapa kepada dua orang anak.  Menurut Nasir, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memang menyebabkan perniagaannya agak merosot tetapi dia masih mampu menerima tempahan secara atas talian. "Alhamdulillah perniagaan atas talian mendapat sambutan dan insya-Allah dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN) fasa ketiga akan menrancakkan kembali perniagaan ini," katanya yang mendapat latihan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Dusun Tua. 
04 Oct 21
231
YPU Boleh Bantu Usahawan Perkasa Ilmu Perniagaan Online
YPU Boleh Bantu Usahawan Perkasa Ilmu Perniagaan Online
MARANG, 2 Ogos - Dalam Tempoh dan keadaan norma baru yang diamalkan ketika pandemik Covid-19 ini, platform secara atas talian memang sangat penting bagi orang-orang yang melakukan perniagaan. Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) adalah satu agensi yang menawarkan pelbagai khidmat untuk membantu usahawan dan para peniaga lebih-lebih lagi yang terkesan serta terjejas.. Pengurus Pembangunan Usahawan YPU Negeri Terengganu, Engku Mohd Hairulnizam Tuan Ahmad berkata pihaknya akan membantu memberi panduan dalam hal peniagaan kepada peniaga dan usahawan. "YPU juga boleh bantu set up ilmu berkaitan platform secara atas talian, dana, pembangunan produk, packaging dan kursus-kursus berkaitan keusahawanan. Boleh juga berdaftar sebagai ahli YPU. "Kebanyakan orang yang berumur mungkin agak susah untuk menggunakan medium generasi masa kini, namun jika dipelajari dengan baik ianya boleh membantu semua orang dengan syarat, bersungguh-sungguh. Beliau berkata ketika mengunjungi dua buah keluarga untuk dibantu di Kampung Rusila dan Medan Jaya bersama-sama Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rhu Rendang. Menurutnya lagi, jika peniaga atau usahawan mempunyai sebarang masalah, mereka juga boleh turus menghubungi YPU untuk mendapatkan sebarang maklumat yang lebih terperinci. "Kita di YPU memang mempunyai banyak cara untuk membantu atau 'assist' usahawan kita, tetapi anda juga perlu 'berkawan' atau mengenali YPU supaya tidak tercicir atau dengan lebih tepat tidak tahu tentang bantuan yang diperkenalkan kerajaan. "Jika hari ini, kita mendapat maklumat daripada Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rhu Rendang, jadi mungkin kita boleh turun ke lapangan untuk memberikan penerangan lebih jelas kepada mereka." Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng menjelaskan bahawa pihaknya sangat komited dalam menyampaikan maklumat untuk membantu masyarakat. "Kita sangat berterima kasih kepada YPU yang sudi memberikan kebersamaan dalam usaha membantu usahawan dan peniaga kita untuk menempuhi tempoh sukar ini," tambahnya.  
03 Aug 21
507
Wartawan 'TvSepuluh Kini' Tarik Perhatian Warga Kemaman
Wartawan 'TvSepuluh Kini' Tarik Perhatian Warga Kemaman
KEMAMAN, 31 Julai - Kemunculan seorang lelaki berperwatakan dan berketerampilan luar kebiasaan, kini menjadi perhatian serta tumpuan masyarakat komuniti di sini. Beliau dengan gaya dan cara tersendiri hampir setiap hari membuat siaran langsung di 'Facebook' miliknya iaitu Wartawan 'TvSepuluh Kini'. Beliau akan bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain bagi mempromosikan perniagaan komuniti setempat tanpa mengenakan sebarang bayaran. Kini, apa yang dilakukannya itu mula menjadi 'viral' sejak awal tahun ini.  "Sebelum ini, saya mengadakan siaran langsung tanpa menunjukkan diri sendiri. Namun, saya menerima banyak permintaan dari penonton yang ingin melihat diri saya. "Selepas itu, saya mula mendapat idea untuk menonjolkan diri tetapi dengan hanya menyamar seperti ini.  "Memandangkan saya juga seorang peniaga, saya amat memahami perasaan peniaga-peniaga lain yang sedang bersedih kerana terjejas pendapatan ketika negara ini masih berada di dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). "Oleh yang demikian, saya mula mengadakan siaran langsung secara amal. Kebanyakannya, saya turun mempromosikan perniagaan penjaja-penjaja kecil di tepi jalan," ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), kelmarin. Beliau yang lebih suka tidak mendedahkan identiti sebenar menerima apa jua tanggapan orang ramai terhadapnya sama ada positif atau pun negatif. "Dunia hari ini sedang bersedih. Apa yang saya lakukan ini hanyalah untuk menghiburkan hati mereka terutamanya peniaga-peniaga. "Ini semua hanyalah watak penghayatan sebagai wartawan tv sepuluh sahaja. Perwatakan sebenar saya sama sahaja seperti orang lain," jelasnya. Beliau turut menghargai sokongon daripada penonton-penonton yang kebanyakannya bukan sahaja dari negeri Terengganu ini, bahkan ada juga penonton dari negeri Pahang, Kedah, Johor dan lain-lain. "Saya tumpang gembira apabila ada sebahagian peniaga semakin laris jualannya selepas dipromosikan. Itu semua adalah ketentuan dan takdir daripada Allah SWT. "Semoga kita sama-sama memperoleh manfaatnya," ujarnya yang turut mempunyai perniagaan kedai makan iaitu 'Fahmi Hotlenz dan mobile spa bergerak 'Fahmi EBclusive Men'," katanya.
31 Jul 21
2395
Piza Dapur Kayu Ulicafe Laris
Piza Dapur Kayu Ulicafe Laris
KUALA TERENGGANU, 18 Julai - Lazimnya sajian dapur kayu diguna pakai mereka yang tinggal di kawasan pedalaman, tetapi pemilik Ulicafe, Che Ku Nasir Ku Maidin, 40, yang mengusahakan piza mencipta kelainan apabila turut menggunakan kaedah itu di tengah-tengah pusat bandar. Keberanian Che Ku Nasir yang mempromosikan sajian Itali sejak Februari lalu nyata membuahkan hasil apabila mampu menjual 100 piza sehari walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Katanya, dia tidak menyangka produk piza dapur kayu mendapat sambutan menggalakkan walaupun tidak sampai setahun beroperasi. "Mungkin keunikan aroma yang dimasak menggunakan ketuhar tanah liat dan kayu kebun seperti rambai serta rambutan menjadikan ia sedikit berbeza,” katanya yang mengusahakan restoren itu bersama kembarnya, Che Ku Basir. Che Ku Nasir berkata, sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP kali ini beliau hanya menyediakan piza berdasarkan tempahan awal iaitu sehari sebelum dan 20 peratus lagi tempahan bagi pelanggan yang datang secara ‘walk in’. “Setakat ini kita hanya sediakan kaedah bawa pulang (take away) memandangkan masih berada dalam tempoh PKP. Pelanggan juga diminta menempah lebih awal bagi mengelak sebarang kesulitan. “Kita turut menyediakan perkhidmatan bayaran semasa penghantaran (COD) khusus bagi pelanggan di kawasan bandar Kuala Terengganu sahaja buat masa ini,” katanya ketika ditemui di premisnya, di Jalan Dato’ Isaacs, di sini, baru-baru ini. Menurutnya, buat masa ini terdapat empat hidangan piza disediakan iaitu pepperoni ayam, pepperoni daging, daging salai dan uli chicken. "Ditawarkan harga yang berpatutan iaitu bersaiz kecil atau M berharga RM21 dan sederhana (saiz L) pula RM25 sahaja. "Dibuka bermula jam 1 petang hingga 9 malam, " katanya.
17 Jul 21
946
Usaha Tarik Pelabur Ke Terengganu Terus Giat Berjalan
Usaha Tarik Pelabur Ke Terengganu Terus Giat Berjalan
KUALA TERENGGANU, 12 Julai - Terengganu terus mengorak langkah dalam menarik lebih ramai pelabur untuk melabur di negeri ini sekali gus membuka banyak peluang pekerjaan kepada rakyat. Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar berkata, pihaknya banyak terlibat dan berbincang dengan pelabur dari luar negara dan dalam negeri yang berhasrat untuk melabur di sini. Katanya, walaupun tidak mudah untuk menarik mereka ke sini, tetapi kerajaan negeri sentiasa optimis dapat mencapai sasaran. "Sejak tahun 2018 sebanyak 11 pelabur yang berhasrat untuk melabur di Terengganu dengan jumlah pelaburan sebanyak RM4.9 billion, tahun 2019 sebanyak 14 pelabur dan pada tahun 2020 sebanyak enam pelabur. "Setakat ini, bagi tahun 2021, sebanyak 12 pelabur yang berminat untuk melabur di negeri ini dengan anggaran pelaburan sebanyak RM 3.7 billion. "Jumlah keseluruhan pelaburan sejak tahun 2018 hingga tahun 2021 adalah sebanyak RM 12.5 billion," ujarnya ketika bersiaran dalam segmen 'Munajat Rakyat Terengganu 5.0' di Tv Darul Iman. Mengulas lanjut, Tengku Hassan memaklumkan, pada masa yang terdekat, beliau akan berhubung secara maya dengan pelabur dari Korea yang berminat untuk melabur dalam bidang kimia di Kerteh dengan jumlah pelaburan bernilai lebih kurang RM1 billion.  "Kita juga telah selesai berbincang dengan pelabur dari dalam negeri yang ingin mengembangkan perniagaan mereka dengan membawa pelaburan sebanyak RM2.5 billion dalam bidang silika. "Ramai di kalangan mereka yang ingin melabur di Terengganu datang daripada sektor minyak, gas dan petrokimia dengan kadar sebanyak 28 peratus," katanya. Tambah beliau, sektor pembuatan pula telah melibatkan kadar pelaburan sebanyak 23 peratus, sektor perlancongan sebanyak 16.3 peratus, sektor pertanian dan produk hiliran sebanyak 11.6 peratus, sektor teknologi baharu sebanyak 11 peratus dan lain-lainya sebanyak 10.1 peratus. "Kita masih menerima permohonan-permohonan untuk melabur disini, kita menjangkan akan ada pelaburan yang besar untuk Terengganu. "Pelaburan masih datang, kita juga sedang bekerja keras untuk menarik mereka melabur di Terengganu," ujarnya.
12 Jul 21
663
Gerai Makan Pasar Besar Chukai Dinaik Taraf
Gerai Makan Pasar Besar Chukai Dinaik Taraf
KEMAMAN, 12 Julai - Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) akan menaik taraf 10 unit gerai makan yang berada di belakang Pasar Besar Chukai. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat berkata, kerja-kerja menaik taraf itu akan bermula selepas Hari Raya Aidiladha nanti dan ia dijangka mengambil masa lebih kurang dua bulan. "Alhamdulillah, kami telah bertemu dengan peniaga-peniaga yang terlibat ini dan berbincang serta dapat mengambil keputusan sepakat secara harmoni. "Kerja-kerja menaik taraf ini akan berjalan secara berperingkat. Sepanjang tempoh kerja-kerja ini berlangsung, peniaga-peniaga akan disediakan tapak lain yang berhampiran beserta dengan kanopi. "Oleh yang demikian, peniaga-peniaga ini masih dapat mencari rezeki dengan menjalankan perniagaan makanan mereka itu," ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), semalam. Hanafiah turut mengharapkan kerja-kerja menaik taraf berkenaan akan dapat memberikan manfaat dan kebaikan kepada pihak-pihak yang terlibat. "Insya-Allah, selepas siap sepenuhnya kerja-kerja ini dan peniaga dapat kembali berniaga, kita mengharapkan ia akan memberikan lebih keselesaan dan menjamin keselamatan yang lebih baik sama ada untuk peniaga dan orang ramai yang berada di sana," ujarnya lagi.
12 Jul 21
426
Ayam Tin Minyak Aluminium Laris
Ayam Tin Minyak Aluminium Laris
KUALA NERUS, 21 April -  Ramadan ibarat syurga bagi pembuat makanan atau menu yang unik kerana masakan mereka sering mendapat perhatian pembeli. Makanan itu juga menjadi kesukaan ramai kerana 'dicipta' dengan pelbagai teknik khusus termasuklah dimasak menggunakan pasu, buluh atau tempayan. Mohd Aisamuddin Razak, 34, dari Kampung Tok Jiring,  tidak ketinggalan mencipta keunikan itu apabila memilih tin minyak alumunium sebagai 'dapur' untuk menyediakan menu ayam bakar di gerai miliknya di Taman Mahadir, Gong Badak di sini. Bukan sekadar kelainan, kaedah itu sebaliknya terbukti menambah kelazatan ayam bakar dihasilkan terutama dari segi aroma, selain daging ayam tidak hangit, isi lebih lembut dan `jus' yang terdapat pada daging juga tidak hilang. Tidak hairanlah 80 hingga 95 ekor ayam yang siap dibakar menggunakan kaedah tin minyak di Gerai Ayam Teng JJJ habis dijual pada setiap hari. Mohd Aisamuddin berkata, dia tidak sangka jualan ayam bakar dalam tin yang diusahakan tetap mendapat sambutan walaupun harga agak tinggi pada Ramadan kali ini "Jika dilihat harga ayam segar sekarang memang pembeli bimbang untuk membelinya kerana harga jualan ayam bakar dalam tin itu pasti naik seiring harga ayam segar. "Apapun, Alhamdulillah apabila pelanggan tetap setia dan membeli seperti biasa walaupun harga jualan bagi ayam bakar dalam tin ini RM26 seekor. "Saya beli ayam segar di pasar RM9.50 sekilogram, jadi agak mustahil untuk menjual ayam dalam tin pada harga RM22-RM24 seekor seperti dua tahun lalu," katanya. Menurutnya, dia berniaga ayam bakar dalam tin sejak 2016 dan jualannya pernah mencecah 150 ekor sehari. "Sekarang sekitar 93 ekor dijual sehari dan dianggarkan pada pertengahan Ramadan ini jumlah jualan mencecah sehingga 120 ekor sehari,” katanya "80 peratus pembeli ialah pelanggan tetap sejak 2016, oleh itu saya tidak tergamak untuk tidak berniaga dan menghampakan permintaan pelanggan," katanya.  
21 Apr 21
1078
Kerajaan Negeri Sokong Penuh Hasrat SKM Bantu Belia Koperasi
Kerajaan Negeri Sokong Penuh Hasrat SKM Bantu Belia Koperasi
BESUT, 31 Mac - Kerajaan negeri menyokong penuh usaha baik Suruhanjaya Koperasi Malaysia Terengganu (SKM) menjadikan koperasi sebagai penyumbang ekonomi dan mengharapkan ia dapat direalisasikan. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro & Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, dalam memastikan usaha kerajaan itu berjaya, SKM mengambil inisiatif mengadakan Program Belia Berkoperasi di negeri Terengganu dengan mengumpul belia dan beliawanis di daerah Besut bagi memberi kesedaran kepada masyarakat terutamanya di kalangan belia mengenai kewujudan koperasi dan kepentingan golongan iyu dalam membantu menambahkan pendapatan ekonomi masyarakat. “Matlamat utama adalah mewujudkan koperasi bagi membolehkan mencapai objektif program terutamanya dalam meneraju tranformasi generasi belia melalui Gerakan Koperasi serta dapat menerapkan budaya berkoperasi di kalangan belia," katanya. Beliau berkata demikian dalam dalam ucapan perasmiannya di Tanjung Demong Resort, Besut. Ia selari dengan hasrat kerajaan dan dasar keusahawanan negara yang merupakan suatu garis panduan yang akan menjadi hala tuju kepada agenda pengukuhan keusahawanan peringkat nasional.  Ia adalah salah satu usaha kerajaan untuk mempercepatkan kadar pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara khususnya membabitkan penglibatan aktif daripada usahawan koperasi dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tempatan. "Ia juga akan menjadi pemangkin buat kita untuk mencapai 41 peratus sumbangan sektor keusahawanan kepada pertumbuhan ekonomi negara," jelasnya. Nurkhuzaini mengharapkan agar gerakan koperasi mampu berjaya menjadi pemangkin serta agen penggerak utama dalam pembangunan ekonomi negara serta membantu rakyat jelata, khususnya di negeri Terengganu. "Terima kasih SKM kerana menganjurkan program seperti ini dan menatijahkan perkara yang baik," ujarnya.
28 Mar 21
385