Artikel "Bisnes" Terkini
Dua Anak Muda Sasar Kedai Kopi Sebaris Jenama Tersohor
SETIU, 2 Oktober - Bermula dari sebuah gerai kopi kecil di Pantai Kampung Mangkok, dua anak muda, Rabiatull Adawiyyah Mohd Kahar dan Nur Nadirah Mat Yunus, masing-masing berusia 23 tahun, kini mengimpikan untuk membawa jenama SNA Coffee sebaris dengan jenama-jenama kopi terkenal di pasaran.
Pengusaha, Rabiatull Adawiyyah, berkata gerai mereka mula beroperasi tiga bulan lalu dengan menawarkan pelbagai pilihan minuman berasaskan kopi dan pencuci mulut.
"Kami memulakan gerai jualan kopi sebelah petang dengan pelbagai jenis kopi berperisa antaranya americano, latte, caramel macchiato, chocolate dan minuman berasaskan soda dan yogurt.
"Selain minuman berasaskan kopi, kita juga ada makanan lain seperti kek batik, kek coklat, chicken tender, kerabu maggi dan vietnam rolls," katanya.
Menurut beliau, harga ditawarkan antara RM7 hingga RM11 mengikut jenis minuman, dan sambutan pelanggan semakin menggalakkan.
"Harga bagi setiap cawan kopi bermula RM7.00 hingga RM11.00.
"Purata jualan pada hari biasa sekitar 30 hingga 50 cawan dan meningkat sehingga 80 cawan pada hari minggu," jelasnya.
Rabiatull berkata mereka bercita-cita untuk mengembangkan perniagaan dengan membuka kedai tetap yang lebih selesa dan strategik.
"Insya-Allah suatu hari nanti jika diizinkan, kami bercadang untuk membuka kedai yang lebih selesa.
"Orang ramai boleh menikmati kopi dengan suasana angin pantai," ujarnya.
02 Oct 25
181
Syarikat Terengganu Raih Pendapatan Tertinggi, Untung Lima Tahun Berturut-Turut
KUALA TERENGGANU, 17 Jun – Anak Syarikat kerajaan negeri, TDM Berhad mencatat pencapaian cemerlang apabila merekodkan pendapatan sebanyak RM645.6 juta bagi tahun 2024 menjadikan ia tertinggi dalam sejarah, seterusnya mengekalkan keuntungan lima tahun berturut-turut.
Pengerusi TDM Berhad, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, prestasi itu sangat membanggakan meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global dan peningkatan kos operasi.
“Daripada jumlah itu, Bahagian Penjagaan Kesihatan yang dikendalikan Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd. (KMI Healthcare) menyumbang RM354.4 juta, dengan rangkaian lima hospital pakar dan kapasiti katil sebanyak 412 buah. Sektor ini kini menjadi aset strategik utama kepada kumpulan dan dijangka terus berkembang hasil pelaburan berterusan.
“Sementara itu, Bahagian Perladangan di bawah TDM Plantation Sdn. Bhd. mencatat pendapatan sebanyak RM291.2 juta, meningkat daripada RM261.6 juta pada tahun sebelumnya, didorong oleh harga minyak sawit mentah (CPO) yang stabil serta output pengeluaran yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-60 di KMI Kuala Terengganu Medical Centre, hari ini.
Menurut beliau, kejayaan itu didorong kekuatan sebenar syarikat yang terletak pada struktur organisasi mantap, pasukan pengurusan cekap, serta hala tuju perniagaan jelas dan bersepadu.
“Perkara terbaik di TDM ialah kekuatan pasukan kami yang mantap, dari peringkat tertinggi hingga ke barisan hadapan.
“Kami juga memiliki pengurusan yang efisien dalam kedua-dua sektor, perladangan dan penjagaan kesihatan, dengan pengurus ladang antara tunjang utama kejayaan syarikat,” katanya
Beliau turut menegaskan komitmen TDM untuk terus memperkemas operasi dan mencapai tahap kecekapan maksimum demi menjamin pulangan jangka panjang yang mampan.
“Kita sedang mengoptimumkan lagi pengoperasian supaya mencapai tahap maksimum.
“Pertumbuhan yang kita capai dalam bahagian healthcare telah memberi pulangan yang sangat baik kepada syarikat,” jelasnya.
17 Jun 25
4272
Peniaga Santan Terharu Terima Sumbangan
KUALA TERENGGANU, 31 Disember – Seorang peniaga santan, Rozimah Abdullah, 47 tahun, dari Kg Gong Kekabu, Bukit Payung, tidak dapat menahan perasaan sebak apabila menerima sumbangan berharga melalui Program Komuniti Usahawan hari ini.
Bantuan yang diterima dalam bentuk mesin proses santan, kereta tolak dan beberapa peralatan perniagaan lain diharapkan dapat memberikan dorongan baru untuk memperkasa perniagaannya yang dimulakan pada Mac 2024.
Rozimah, yang memulakan perniagaannya tanpa pengalaman, berkongsi rasa syukur dan terima kasih atas bantuan yang diterima.
“Saya sangat terharu dengan kehadiran Yang Berhormat (YB) Ariffin dan pegawai Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) pada hari ini.
“Saya tidak menyangka akan menerima bantuan ini, apatah lagi dalam keadaan yang baru memulakan perniagaan,” ujarnya dengan nada penuh emosi.
Beliau juga meluahkan rasa terima kasih yang mendalam kepada kerajaan negeri atas keprihatinan yang diberikan kepada peniaga kecil sepertinya.
“Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada YB dan kerajaan negeri.
“Semoga mereka dimurahkan rezeki, diberikan kesihatan yang baik, dan dipermudahkan segala urusan,” katanya.
Ibu kepada tiga orang anak itu memulakan perniagaan santan di Bukit Payung sebelum berpindah ke halaman rumahnya pada Mei 2024.
Walaupun tanpa pengalaman dan menghadapi pelbagai cabaran, dia tetap bersemangat untuk terus menjalankan perniagaan demi masa depan keluarganya.
Bantuan yang diterimanya hari ini diharap dapat meringankan beban dan memberi impak positif dalam memperkembangkan lagi perniagaannya.
31 Dec 24
241
35 Usahawan Kecil Terengganu Terima Pinjaman Tanpa Riba
SETIU, 10 Disember - Seramai 35 usahawan kecil menerima suntikan modal pinjaman tanpa faedah berjumlah RM418,000 menerusi Program Jaya Diri (PJD), sebuah inisiatif dari Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT).
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim berkata program itu bertujuan membantu usahawan kecil-kecilan memulakan atau mengembangkan perniagaan seperti kedai makan, jahitan pakaian, kedai runcit dan sebagainya.
“PJD bukan sekadar pinjaman kewangan, tetapi peluang untuk rakyat membina kehidupan lebih baik.
“Hari ini adalah hari bertuah untuk semua penerima, pinjaman ini boleh menjadi permulaan untuk mengubah kehidupan keluarga dengan rezeki perniagaan di masa akan datang,” kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyampaian Modal PJD Peringkat Negeri di Dewan Perpustakaan Awam Daerah Setiu, di sini semalam.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri; Mohd Yusop Majid, Penyelaras DUN Permaisuri; Zul Bhari A Rahman.
Beliau turut menjelaskan keunikan pinjaman ini yang bebas faedah, sejajar dengan prinsip Islam.
“Pinjaman tanpa riba atau bunga ini istimewa, bila kita gunakannya dengan betul, ia akan membawa keberkatan dalam perniagaan dan bakal dilimpahi rezeki yang mencurah.
“Sebanyak RM418,000 telah diagihkan kepada 35 peserta, termasuk 11 dari Besut, 22 dari Setiu, dan dua dari Marang.
“Setiap peserta menerima pinjaman antara RM5,000 hingga RM20,000 berdasarkan jenis perniagaan yang dijalankan,” jelasnya.
Menurut Maliaman, kebanyakan penerima bantuan adalah ibu tunggal yang memikul tanggungjawab besar mengurus keluarga sambil mencari rezeki.
“Saya sangat kagum dengan kekuatan para ibu ini yang gigih berusaha untuk anak-anak mereka.
“Komitmen membayar balik pinjaman adalah cabaran yang perlu ditempuhi.
“Jika kita jujur dan bersungguh-sungguh, rezeki pasti akan datang, cuma cepat atau lambat,” tegasnya.
Maliaman turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan terus meneliti permintaan untuk meningkatkan jumlah modal pinjaman berdasarkan keperluan dan potensi perniagaan.
“Kerajaan sentiasa terbuka untuk menambah baik program ini demi kesejahteraan rakyat.
“Kami sentiasa meneliti hasrat dan keperluan untuk menambah jumlah modal pinjaman pada masa hadapan, bergantung kepada situasi kewangan dan potensi peserta,” katanya.
Tambah Maliaman, PJD selaras dengan konsep ‘negeri berkebajikan’, di mana kerajaan membantu rakyat dan rakyat turut menyokong satu sama lain.
“Program ini diharap dapat menjadi jalan keluar dari belenggu kemiskinan dan memberi peluang untuk semua bangkit memajukan diri.
“Inisiatif ini diharapkan memberi semangat baru kepada usahawan kecil untuk terus mengorak langkah maju ke hadapan,” ujarnya.
10 Dec 24
495
Syarikat Terengganu, Chicken Cottage Buka 'Outlet' ke-67 di London
LONDON, 13 November - Chicken Cottage, jenama makanan segera halal milik anak syarikat Terengganu Inc, telah mencipta sejarah dengan pembukaan 'outlet' terbarunya yang ke-67 di Camden Town, London.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan pembukaan premis terbaru itu sebagai pencapaian penting bukan hanya untuk jenama itu tetapi juga untuk ekonomi setempat.
“Pembukaan outlet baharu Chicken Cottage di Camden Town ini bukan sahaja mencerminkan daya saing jenama ini di pentas antarabangsa, malah membuka peluang pekerjaan serta menyumbang kepada ekonomi tempatan.
“Kami berbangga dengan pencapaian jenama ini dan berharap agar syarikat ini terus berkembang maju,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Perasmian Pembukaan 'Outlet' di sini, hari ini.
Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom; Dato’ Zakri Jaafar, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc; Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun, Ketua Pegawai Eksekutif Chicken Cottage; Greg Milne.
Majlis pembukaan ini bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-30 Chicken Cottage, yang kini semakin kukuh di United Kingdom (UK), walaupun industri makanan dan hospitaliti berdepan pelbagai cabaran.
Chicken Cottage yang terkenal dengan hidangan ayam goreng dan panggangnya, telah membina reputasi sebagai jenama makanan halal berkualiti dengan kehadiran lebih 60 'outlet' di UK termasuk di kota besar seperti Glasgow, Newcastle, Cambridge, Oxford, dan Canterbury.
Dalam pada itu, Burhanuddin Hilmi juga mengulas tentang sambutan hangat pelanggan terhadap jenama tersebut yang memiliki pelbagai menu untuk memenuhi cita rasa ramai.
“Camden ialah 'outlet' ke-10 yang dibuka pada tahun 2024, melengkapkan rangkaian outlet di lokasi strategik lain seperti Carnoustie, Hemel Hempstead, Hounslow East, Northwood Hills, Houghton Regis, Chiswick, Holloway Road, Aylesbury dan Borough High Street.
“Ini adalah bukti komitmen Chicken Cottage untuk terus berkembang,” ujarnya.
Untuk rekod, transformasi Chicken Cottage menjadi semakin jelas sejak dua tahun lalu apabila Greg Milne menerajui syarikat ini dan memperkenalkan reka bentuk dalaman moden, kios digital, serta aplikasi mudah alih bagi memudahkan pelanggan membuat pesanan.
Greg Milne menyatakan bahawa pembukaan outlet di Camden ini mencerminkan kekuatan dan daya tahan Chicken Cottage untuk terus berkembang di pasaran UK.
“Pada saat banyak syarikat lain terpaksa mengurangkan operasi, Chicken Cottage tetap memilih untuk berkembang dengan yakin, sekali gus membuktikan asas kukuh jenama tersebut serta komitmen mereka dalam menyediakan kualiti perkhidmatan yang terbaik kepada para pelanggan.
“Kehadiran outlet terbaru ini bukan sahaja memudahkan penduduk Camden menikmati hidangan halal berkualiti, tetapi turut menarik perhatian pelancong yang mengunjungi London,” jelasnya.
Chicken Cottage kini memperkukuh visinya di peringkat global dengan merancang pembukaan dua lagi outlet di Oban dan Brixton sebelum akhir tahun ini.
Ia akan dikendalikan oleh usahawan terkemuka Nigeria, Mohammed Adebola Sheidu, yang juga Pengerusi Eksekutif Brains & Hammers, salah satu syarikat hartanah terbesar di Nigeria.
Selain mengukuhkan kehadiran di UK, Chicken Cottage juga akan meluaskan empayarnya ke Afrika dan Timur Tengah dengan tujuh outlet baru di Kenya serta beberapa outlet di Oman.
13 Nov 24
6053
Kos Ternak Madu Kelulut Rendah Mampu Jana Pendapatan
Oleh : Fatimah Din
MARANG, 15 Julai - Memandangkan kos untuk menternak madu kelulut adalah rendah, seorang pemuda mampu menjana pendapatan sampingan sehingga menjadi usahawan muda.
Mohd Sollehuddin Mohd Hussain, 38 yang bertugas sebagai jurutera di Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC) memulakan ternakan madu kelulut ini sejak lapan tahun lepas, tetapi mengusahakannya secara serius sejak setahun yang lalu.
"Madu Kelulut ini kos penyelenggaraannya sangat rendah, sebab itulah boleh dijadikan sebagai pendapatan sampingan saya.
"Dengan bermodalkan RM10, 000, saya membangunkan perniagaan sampingan ini dengan 20 sarang dan perangkap yang dibuat sendiri," ujarnya.
Beliau yang tinggal di Kampung Durian Guling, Binjai Rendah berkata demikian ketika ditemui wartawan Urus Setia Darul Iman (UPDI) Daerah Marang baru - baru ini.
Katanya, dengan berbekalkan 20 sarang pada peringkat permulaan di Binjai Rendah, beliau merancang akan membuka dalam setahun, sebuah ladang di beberapa tempat lain lagi.
"Saya pasarkan madu kelulut ini di media sosial iaitu 'facebook' dan juga kepada kenalan rapat ," katanya.
Beliau yang banyak menimba ilmu berkenaan menerusi pembacaan dan 'kumpulan' di media sosial yang juga mengusahakan madu kelulut.
"Bagi yang ingin memulakan perniagaan madu kelulut, bolehlah dapatkan maklumat lanjut dengan Jabatan Pertanian," jelasnya.
15 Jul 24
413
Festival Kopi Kemaman Meriah
KEMAMAN, 6 Jun - Festival Kopi Kemaman mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat sekitar dan pengunjung terutamanya kepada pencinta kopi yang sentiasa menantikan program seumpama ini diadakan.
Program ini dilaksanakan di Resort World Kijal Kemaman yang menghimpunkan hampir 40 buah pengusaha kopi yang majoritinya berpusat dalam daerah Kemaman.
Festival tersebut telah berlangsung selama dua hari bermula 2 hingga 3 Jun lepas dan akan diadakan lagi untuk masa akan datang kerana sambutan serta penyertaan yang menggalakkan daripada pengusaha kopi dan pengunjung yang hadir.
Kemaman juga turut dikenali sebagai 'Kemaman Darul Kopi' disebabkan kerana terdapat banyak jenis kiosk kopi yang dijual sepanjang jalan dalam daerah berkenaan.
Pengajuran ini melalui usaha sama Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman selaku penganjur utama bersama Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Majlis Perbandaran Kemaman, Jabatan Kerja Raya Kemaman serta beberapa lagi agensi lain yang turut membantu dalam menjayakan festival ini.
Pihak penganjur Festival Kopi Kemaman merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung sepanjang penganjuran festival ini.
04 Jun 23
358
TDM Bina Dua Hospital Baru
KUALA TERENGGANU, 13 Mei- Selaras penjenamaan semula Kumpulan TDM Berhad, anak syarikat milik kerajaan negeri Terengganu itu bakal meningkatkan tumpuan kepada divisyen penjagaan kesihatan dengan pembinaan dua buah hospital baharu, bermula tahun depan.
Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin berkata, strategi memperluaskan segmen itu bakal dijangka memberi pulangan lebih tinggi pada masa akan datang.
"Antara lokasi dalam proses adalah di Chukai, Kemaman dan Kota Bharu, Kelantan yang dirancang.
"Kita juga hendak besarkan hospital di Kuantan yang mana sekarang dalam 155 bilik dan kita akan tambah 80 bilik lagi bermula dalam awal tahun depan," jelasnya di Wisma TDM, semalam.
Menurut beliau, TDM telah merekodkan peningkatan 24 peratus dengan perolehan sebanyak RM278.7 juta yang merupakan pencapaian tertinggi dalam divisyen penjagaan kesihatan pada tahun lalu.
"Namun, segmen perladangan juga mencapai tahap tertinggi sejak 13-14 tahun lepas dengan jumlah perolehan keseluruhan pada tahun 2022 adalah sebanyak RM614 juta.
"Tahun 2021, sumbangan terbesar adalah perladangan tetapi kini kedua-dua divisyen saling bersaing.
"Tetapi, kita jangkakan untuk segmen penjagaan kesihatan akan lebih tinggi selepas ini," katanya.
Buat masa ini, TDM memiliki lima hospital pakar di bawah kelolaan Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd (KMI Healthcare) di Kelana Jaya, Selangor; Kuantan, Pahang; Kuala Terengganu; Taman Desa, Kuala Lumpur dan yang terbaru di Tawau, Sabah.
13 May 23
1660
TDM Berhad Berwajah Baru
KUALA TERENGGANU, 12 Mei- Kumpulan TDM Berhad memperkenalkan logo baharu syarikatnya dalam usaha memacu pertumbuhun lebih cemerlang pada masa akan datang.
Seiring penjenamaan semula, anak syarikat milik kerajaan negeri Terengganu itu turut memperkenalkan Wisma TDM yang dirasmikan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, semalam.
Dr Samsuri dalam ucapannya memaklumkan, TDM dilihat sebagai sebuah syarikat yang mempunyai kualiti dan integriti terhadap masyarakat dan alam sekitar yang telah menyumbangkan kepada penerimaan pelbagai pengiktirafan dan anugerah bukan sahaja di peringkat kebangsaan malah antarabangsa.
"Menekuni perjalanan TDM, ada jatuh bangun, penuh rentak dan liku untuk sampai ke tahap yang ada pada hari ini.
"Terkini, saya difahamkan TDM meraih pencapaian pendapatan tertinggi pada tahun 2022 iaitu RM614.2 juta.
"Kita doakan dengan pengenalan wajah baharu TDM ini, TDM akan terus berkembang maju dan moga mendapat keberkatan disisi Allah SWT," katanya.
Tambahnya, negeri Terengganu turut berbangga apabila bahagian perladangan TDM menjadi syarikat perladangan pertama di Terengganu diperakui dengan Pensijilan Kelestarian dan Karbon Antarabangsa (ISCC) yang diluluskan oleh Suruhanjaya Eropah (ISCC EU) pada tahun 2021 dan menerima pengiktirafan berkenaan untuk tahun kedua berturut-turut.
"Bagi segmen penjagaan kesihatan pula, pada 29 Mac 2023 di Shangri-La Singapura, KMI Healthcare menerima dua anugerah bagi pelaksanaan program mesra ibadah untuk Pesakit bagi kategori Inisiatif Penjagaan Pesakit Terbaik dan Inisiatif Inovasi Penyampaian Perkhidmatan Terbaik di Healthcare Asia Awards 2023," katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin menyifatkan, konsep dan suasana 'segar' itu akan menyuntik semangat baru kepada seluruh warga syarikatnya.
"Penjenamaan semula ini kita akan buat berterusan, di mana ia menggambarkan 'how we are moving forward' dengan reka bentuknya betul-betul ambil kira citarasa tempatan.
"Kita mengharapkan ia akan selaras dengan produk-produk baharu kita akan datang.
"Selain itu, sebelum ini kita menyewa berdekatan Masjid Abidin (Masjid Negeri Terengganu) dan kini kita lebih selesa dengan bangunan sendiri.
"Jadi, kita ada penjimatan bulanan dan penjimatannya agak besar berbanding renovasi yang kita buat disini dengan pulangan modal sekitar tiga ke empat tahun," katanya.
13 May 23
490
AUT Iktiraf Jerih Payah Usahawan
KUALA LUMPUR, 11 Mac-Buat julung-julung kalinya, kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) akan mengadakan Anugerah Usahawan Terengganu (AUT) bagi mengiktiraf para usahawan di negeri Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, penganjuran AUT menunjukkan kerajaan negeri 'cakna' kepada usahawan-usahawan di negeri berkenaan.
"Ini merupakan inisiatif memartabatkan usaha mereka, dengan adanya AUT kita ingin mengiktiraf usaha dan gerak kerja para usahawan ini.
"Ini juga menunjukkan kita ada data berkenaan usahawan kita dan boleh mengelaskan kategori usahawan, untuk ini kita adakan enam kategori.
Contohnya, perniagaan songket dan batik pada satu kategori, perusahaan pembuatan pasa satu kategori serta satu anugerah khas kepada usahawan yang layak untuk diiktiraf sebagai usahawan contoh negeri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan Taklimat berkenaan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Dana Putera dan Anugerah Usahawan Terengganu di sebuah hotel di sini, semalam.
Hadir sama, timbalannya yang juga ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik, Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Mohd Rashdan Muda, ADUN Rantau Abang, Alias Harun serta ADUN Wanita, Zuraida Md Noor.
Tambah Mohd Nurkhuzaini, inisiatif penganjuran AUT bukan semata-mata menyampaikan penghargaan kepada usahawan, tetapi memiliki kesinambungan berterusan.
"Kita tidak berhenti di situ sahaja, ini kerana pemenang-pemenang yang telah dipilih akan ditawarkan peluang-peluang untuk mereka melangkah lebih maju lagi.
"Ini ibarat membina laluan pantas untuk mereka. Contohnya, ada antaranya kita akan beri keutamaan mendapatkan pinjaman-pinjaman di bawah YPU.
"Ada juga beberapa agensi yang menawarkan keutamaan dari segi bantuan sekiranya mereka memenangi anugerah dalam bidang ini," jelasnya sambil menyifatkan penganjuran berkenaan dapat mewujudkan lebih banyak usahawan berprestasi tinggi.
"Setakat ini, hadiahnya masih dirahsiakan, tetapi insya-Allah agak 'grand' juga buat pemenang," tambahnya.
11 Mar 23
189