lightning-solid
Berita :

Artikel "Bisnes" Terkini

Beli Tenaga Solar, MBKT Jimat 30 Peratus
Beli Tenaga Solar, MBKT Jimat 30 Peratus
KUALA TERENGGANU, 27 Februari - Pembelian tenaga solar bakal memberikan penjimatan sehingga 30 peratus kepada kos operasi Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT). Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah selaku pengerusi ahli lembaga pengarah Tesdec Berhad, berkata melalui usahasama perjanjian tersebut memberikan ruang MBKT menawarkan perkhidmatan lebih baik dengan kekuatan kewangan lebih besar. "Untuk makluman, dengan penggunaan sistem tenaga solar ini kita dapat menjimatkan sekitar 30 peratus dari segi kos elektrik secara amnya. Sepertimana yang saya maklumkan, antara agensi yang mengalami kesusutan pendapatan kerana pelaksanaan manifesto pelupusan cukai kediaman ialah MBKT yang mengurangkan pendapatan mereka. "Dalam perjanjian ini, Tesdec Green Energy Sdn Bhd (TGESB), sebuah anak syarikat Tesdec Berhad sebagai pelaksana, akan membekalkan tenaga solar kepada tujuh fasiliti milik MBKT yang mana dua daripadanya telah disiapkan sepenuhnya dan beroperasi iaitu di Pasar Kedai Buloh dan Pasar Batu Enam. "Jadi, ada lima lagi fasiliti yang sedang diuruskan iaitu Pasar Payang 2, Pusat Akuatik di Batu Buruk, Stesen bas MBKT, parkir Pasar Payang dan Pasar Bukit Besar dengan keseluruhan nilai perjanjian sebanyak RM2.8 juta," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga Solar antara MBKT dan TGESB di pejabat MBKT, hari ini. Perjanjian pemberlian berkenaan ditandatangani tiga wakil MBKT diketuai Dato’ Bandar MBKT; Rosli Latif, Setiausaha MBKT; Mohd Sukeri Ibrahim dan Wakil Ahli Majlis Bandaraya Kuala Terengganu; Haji Wan Mokhtar @ W. Moxtor Wan Kadir, serta wakil dari TGESB iaitu Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah TGESB; Shukrimun Bin Shamsudin, Pengarah Eksekutif TGESB; Dr. Zakiyah Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif TESDEC Berhad; Mohd Iskandar Muhammad Aziz. Beliau menambah, sekiranya projek berkenaan berjalan dengan baik dan memberi impak besar kepada MBKT, ia akan turut diperluaskan ke tempat-tempat lain. Dalam pada itu, Rosli turut memaklumkan, dengan penjimatan yang bakal diterima MBKT, dapat dimanfaatkan kepada projek-projek lain di Kuala Terengganu. "Penjimatan sebanyak 30 peratus itu besar bagi kita. Ia boleh digunakan kembali untuk manfaat rakyat kita dan itulah yang akan dipulangkan menerusi perkhidmatan yang ditawarkan dalam operasi kita. "Kita tidak boleh bergantung kepada kerajaan negeri semata-mata. Kos operasi MBKT memerlukan RM5.5 juta hingga RM6 juta untuk perbelanjaan bulanan. Maka, kita menyasarkan pendapatan sehingga RM100 juta bagi tahun 2023, mengikut akta dan undang-undang sedia ada untuk meningkatkan perkhidmatan kita dan ini antara inisiatif yang diusahakan" katanya.    
27 Feb 23
413
TDM Kekal Taja TSG
TDM Kekal Taja TSG
KUALA TERENGGANU, 15 Januari – TDM Berhad selaku anak syarikat kerajaan negeri (GLC) mengekalkan nilai tajaan bernilai RM500,000 bagi musim 2023 kepada pasukan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG). Pengarah eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin berkata, prestasi dan kejayaan TSG yang cemerlang dalam menakluki pelbagai kejohanan di seluruh dunia memberi keyakinan kepada Kumpulan TDM untuk mengekalkan penajaan bagi musim ini. “Pencapaian pasukan TSG yang diurustadbir oleh Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TPCT) amat membanggakan apabila pada musim 2022, pasukan TSG sekali lagi dinobatkan sebagai juara Jelajah Asia UCI, kedudukan ke-31 dunia daripada 212 pasukan profesional serta kedudukan ke-3 pasukan Benua Dunia UCI.  “Terkini, TSG telah berjaya memenangi jersi merah selaku Raja Bukit serta jersi putih selaku Pelumba Terbaik Asia dan Pasukan Terbaik Asia Le Tour de Langkawi edisi ke-26 Oktober 2022.  “Kejayaan ini menjadi kebanggaan kepada kami sebagai penaja dan sebagai tanda sokongan kepada pasukan yang diurus tadbir oleh 90 peratus anak kelahiran Terengganu ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Pada masa yang sama, beliau turut menyatakan bahawa penglibatan TDM bersama-sama bahagian penjagaan kesihatan syarikat, Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd. (KMI Healthcare) keterujaan dalam bekerjasama dengan entiti besar seperti TSG.  “Kolaborasi ini penting bagi mengetengahkan produk-produk baru atau sedia ada sebagai pelaburan strategik dalam membawa jenama TDM dan KMI Healthcare di dalam Malaysia seterusnya dapat dikembangkan sehinggga ke persada antarabangsa,” tambahnya. Terdahulu, Majlis Pelancaran Majlis Memperkenalkan Pelumba dan Penaja TSG bagi musim 2023 dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dengan nilai tajaan keseluruhan berjumlah RM11 juta.  
15 Jan 23
341
YPU Sasar Tiga Siri Progam Usahawan Belia Tahun Ini
YPU Sasar Tiga Siri Progam Usahawan Belia Tahun Ini
KUALA TERENGGANU, 21 Jun- Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) akan menganjurkan tiga siri program Usahawan Belia Sejahtera (UBES) sepanjang tahun ini. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro Dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, berbeza sebelumnya, hanya satu siri dijalankan pada setiap tahun. "Untuk tahun ini, kita mensasarkan tiga siri UBES dijalankan. Siri pertama untuk 2022 telah selesai diadakan. "Kita rancang akan ada dua siri lagi sepanjang tahun 2022 bagi memberi peluang kepada usahawan-usahawan belia di Terengganu ini," katanya. Beliau ditemui dalam Majlis Perasmian Penutup UBES 3.0 yang berlangsung di Tok Aman Bali Beach Resort, Kelantan, baru-baru ini. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Mohd Rashdan Muda. UBES 3.0 yang berlangsung selama lima hari tersebut menghimpunkan 40 usahawan belia Terengganu dari pelbagai sektor untuk didedahkan dengan pelbagai ilmu-ilmu keusahawanan. Salah seorang peserta, Nurul Fatin Aqilah Rahim, 25, yang menjalankan perniagaan telur itik berkata, melalui UBES 3.0 beliau memperoleh pelbagai input yang sangat berguna untuk perniagaannya. "Melalui kursus ini, saya dapat strategikan balik perniagaan yang akan saya jalankan dengan skala dan bentuk baru. "Saya juga berharap agar program UBES ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi membantu belia Negeri Terengganu untuk meningkatkan perniagaan mereka," katanya. Bagi Safwan Sahrin, 25, yang menjalankan perniagaan dalam fisioterapi berkata pelbagai ilmu yang dapat beliau pelajari. "Jika sebelum ini saya menjalankan perniagaan tanpa ilmu yang mencukupi contohnya macam margin dalam perniagaan sedangkan banyak yang perlu dipelajari. "Jadi melalui kursus ini banyak yang pelajari dari segi perancangan syarikat saya dalam masa panjang serta cara-cara untuk menguruskan kewangan syarikat," katanya. Sementara itu, tenaga pengajar sepanjang program UBES 3.0 berlangsung, Haslinda Hashim berkata UBES anjuran YPU berbeza jika dibandingkan dengan kursus keusahawanan lain. "Peserta terpilih ini adalah melalui urusetia yang turun sendiri ke lapangan bagi mengenal pasti usahawan-usahawan tersebut. Ianya sangat bagus kerana kita dapat tahu latar belakang perniagaan dan peserta ini sendiri sebelum diserapkan dalam program UBES. "Modul yang dibuat pula adalah khas dirangkakan mengikut keperluan semasa peserta bukan modul lama. Walaupun ianya padat dan intensif namun dengan pemilihan yang tepat, peserta-peserta ini mampu menghabiskan modul tersebut," katanya.  
20 Jun 22
808
Kilang Minyak Masak Baru Milik Bumiputera Dibuka
Kilang Minyak Masak Baru Milik Bumiputera Dibuka
MARANG, 20 Mei - Kilang minyak masak kendalian Syarikat Tenaga Pelayaran Legacy Sdn Bhd yang beroperasi di Taman Seri Budi, Padang Midin dijangka mampu membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Alur Limbat. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat, Ariffin Deraman berkata pembukaan kilang tersebut membuktikan hasil positif daripada syarikat bumiputera terhadap kerajaan negeri. "Pemilikan perniagaan 100 peratus milik anak Melayu ini menunjukkan kemampuan kita melangkah jauh bagi memperkasa ekonomi bumiputera dengan lebih mampan. “Selain mampu bersaing dengan pemain industri besar di luar sana, kewujudan kilang minyak masak ini pasti membuka lembaran baharu kepada sektor ekonomi setempat. “Pada masa sama, penghasilan minyak masak akan meningkat di pasaran bagi membekalkan buat pengguna khususnya di Terengganu,” katanya dalam Majlis Perasmian Pembukaan Kilang Minyak Masak Syarikat Tenaga Pelayaran Legacy Sdn Bhd di Padang Midin di sini kelmarin.   Sementara itu, Amirul Zakaria, 28, merupakan pemilik perniagaan tersebut memaklumkan sejak 1986 bisnes warisan itu dimulakan datuknya dan disambung ayah beliau sebelum diambil alih sepenuhnya. Beliau juga memaklumkan satu lagi produk baru yang dihasilkan adalah minyak masak cap kapal layar selepas operasi berpindah hak milik. "Ini satu perkembangan yang baik kerana permintaan terhadap minyak masak keluaran kami sangat tinggi. “Oleh itu saya menjangkakan keperluan tenaga buruh meningkat dan saya mensasarkan seramai 100 orang pekerja di perlukan menjelang 2025,” ujarnya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman.  
22 May 22
2078
Anak Terengganu Hasilkan Sabun D'Iman
Anak Terengganu Hasilkan Sabun D'Iman
Oleh : Fatimah Din  MARANG , 5 April - Syarikat anak Terengganu, Koperasi Pembangunan Ekonomi Rakyat Terengganu Bhd (Co-Pekerti)  berjaya menghasilkan sabun dan pes pembancuh sendiri dengan jenama D'Iman. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini  A.Rahman turut bangga dengan pencapaian tersebut. Katanya, koperasi itu telah berjaya menghasilkan sabun D'Iman yang siap dibotolkan, mesin membuat sabun dan pes turut akan dijual di rumah-rumah. "Saya doakan usaha ini dapat diterima baik oleh rakyat negeri Terengganu Darul Iman dan berharap Co-Pekerti terus maju," ujarnya lagi. Beliau berkata demikian berucap di Majlis Perasmian Kilang Sabun Koperasi berkenaan dan Pelancaran Sabun D'Iman di kawasan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Yayasan Pembangunan Usahawan(YPU), Bukit Kor, di sini baru-baru ini.  Menurut Nurkhuzaini, pihak koperasi turut memaklumkan, sabun D'Iman adalah produk pertama koperasi berkenaan yang akan diedarkan ke seluruh Terengganu.  "Untuk memudahkan rakyat  sebagai pelanggan mendapatkannya di semua premis jualan yang ada," katanya
04 Apr 22
657
Gadis Kampung Buat Duit Dengan 'Bigo Live'
Gadis Kampung Buat Duit Dengan 'Bigo Live'
MARANG, 17 Februari - Bergiat aktif sebagai pempengaruh aplikasi 'Bigo live' sejak 2021, gadis dari Kampung Jerung Surau, Syafiqah Rashid, 25, mampu meraih pendapatan hampir RM6,000 sebulan. Katanya, dia sangat meminati bidang berkaitan media sosial dan memasang tekad untuk terus memanfaatkan kelebihan platform itu.  "Saya akui untuk sampai ke tahap sekarang bukanlah sesuatu yang mudah, namun ia bukanlah menjadi satu halangan apabila ada usaha daripada kita. "Sebelum ini saya merasakan cukup sukar untuk meraih pendapatan bulanan sedemikian, namun setelah belajar daripada beberapa 'influencer' saya mampu melangkah ke depan. "Dulu, sukar untuk saya jadi seperti sekarang, kena kerja dari pagi sampai malam, penat lagi, nak dapat RM2,000 pun susah, dengan pendapatan sekarang, sekurang-kurang saya mempu membantu keluarga," jelasnya ketika ditemui UPDI semalam. Syafiqah Rashid yang sedang dalam pengambaran untuk dimuat naik ke You Tube. Menurut lulusan Diploma Pengurusan Zakat Wakaf, Kolej profesional Baitulmal itu, 'gaji' tersebut diperolehi selepas dia berjaya mengumpulkan 26 ribu pengikut. Katanya, setiap kali bersiaran langsung di aplikasi berkenaan, dia menjadikan topik atau tips masakan kampung dan penjagaan kecantikan serta tutorial penggunaan alat solek sebagai bahan menjana wang. "Daripada 26 ribu pengikut itu, ramai yang meminati topik berkenaan dan memberi galakan setiap kali saya bersiaran," jelasnya. Ditanya mengenai 'Bigo live' yang mempunyai persepsi negatif dalam kalangan masyarakat kerana kandungan melampaui batas, Syafiqah berkata dia mahu merubah persepsi itu. "Sama juga juga tik tok sebelum ini, banyak kandungan negatif kerana kurang individu yang mengetengahkan 'content' positif. "Bagi saya, selagi kita menggunakan sesuatu platform itu untuk memberi manfaat kepada orang ramai, ia tiada masalah,  "Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pun pernah mengeluarkan kenyataan tiada masalah untuk menggunakan aplikasi itu selagi bukan bertujuan untuk melakukan kemaksiatan dan perkara yang diharamkan," tambahnya. Dalam perkembangan berkaitan, Syafiqah turut menjelaskan dia sedang memperluaskan 'content' media sosialnya ke You Tube. "Saya juga boleh menambah pendapatan dengan menjual biskut buatan tangan secara atas talian di dalam aplikasi shopee dan juga instagram," jelasnya.
17 Feb 22
5642
Penantian Peniaga Selama 30 Tahun Berakhir
Penantian Peniaga Selama 30 Tahun Berakhir
BESUT, 31 Januari - Penantian hampir 30 tahun bagi peniaga pasar sementara di bandar Jertih kini berakhir selepas premis kekal siap untuk beroperasi. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, premis di Jertih Square itu mampu menyediakan 142 premis ruang niaga. "Kita berharap agar pembangunan ini dapat menyelesaikan masalah peniaga yang terpaksa berpindah-randah di bangunan sementara sebelum ini. "Beberapa lagi kemudahan lain dalam proses untuk disiapkan, seperti Jertih Trade Centre yang terbengkalai sebelum ini dan pasar basah yang akan menempatkan baki peniaga," katanya ketika merasmikan Majlis Perasmian Dataran Jertih Square dan Sambutan Ulang Tahun Majlis Daerah Besut ke-41 di sini semalam. Tambah Dr. Samsuri, potensi yang besar akan dapat dicapai dengan adanya pelbagai kemudahan seperti Jertih Square, Jertih Trade Centre, Jertih Souq, pasar basah dan sebagainya. "Bagi pembinaan terminal bas Jertih, ia masih dalam status perundingan dengan pihak Kerajaan Pusat agar dapat dimasukkan sebagai 'notice of change' dalam Rancangan Malaysia Ke-12. "Sekiranya tidak berjaya, kita akan berusaha agar ia dapat dimasukkan sebagai Rolling Plan Ketiga Rancangan Malaysia Ke-12," katanya. "Kita berharap agar semua pembangunan ini dapat dilaksanakan mengikut perancangannya sekali gus mampu menggerakkan ekonomi dan sosial rakyat Terengganu, khususnya rakyat di Besut," ujarnya.
31 Jan 22
1115
Khairol Fiber : Berjaya Tembusi Pasaran Global
Khairol Fiber : Berjaya Tembusi Pasaran Global
DUNGUN, 5 Januari - Khairol Fiber bukan jenama asing kepada peminat-peminat bot gentian kaca malah pengalamannya dalam dunia itu selama 26 tahun membolehkan syarikat itu menembusi pasaran global. Pengarah Urusan Khairol Fiber Group Sdn. Bhd., Wan Ahmad Khairuddin Wan Mohd Yusof menjelaskan, beliau mula berkecimpung dalam pembuatan bot dengan menimba pengalaman selama 15 tahun di sebuah bengkel membuat bot di Dungun.  "Setelah itu, pada 2010 saya memberanikan diri  membuka perniagaan sendiri dalam pembuatan bot bermodalkan sebanyak RM3,000 di belakang rumah dengan hanya menggunakan wang deposit yang dibayar pelanggan, masa itu saya dapat mencipta tiga buah bot nelayan," katanya.  Khairol (berbaju biru) memberi penerangan kepada Alias (berkaca mata) di bengkel botnya.  Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang ke bengkel botnya di Kampung Bemban, Jalan Tok Kah di sini baru-baru ini.   Turut sama dalam lawatan berkenaan ialah kakitangan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Rantau Abang dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bemban.  Menurut Khairuddin, pada masa itu beliau hanya mengambil tempahan sahaja memandangkan belanja yang besar diperlukan bagi pembuatan bot siap untuk dijual. Kini, katanya setelah 11 tahun menceburi bidang tersebut syarikatnya telah mengeluarkan beribu buah bot pelbagai jenis iaitu nelayan, pelancong dan rekreasi.  "Misi kami menguasai 80 peratus industri pembuatan bot fiberglass di Malaysia menjelang 2030 insya-Allah.  "Dalam perancangan kita juga membina kilang fiber di Kawasan Perindustrian Batu 7, tanah yang disewa hak milik kerajaan negeri. "Dengan terbina kilang baharu ini, tidak secara langsung membuka lebih peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan, boleh dikatakan hampir semua pekerja dari pengurusan dan pembuatan adalah penduduk sekitar sini," jelasnya.  Selain itu, beliau turut mengalu-alukan anak-anak muda yang berminat untuk mendapatkan latihan membuat bot selama enam bulan dengan diberi elaun bulanan.  "Bekas pelatih boleh mohon bekerja di negeri masing-masing kerana saya mempunyai hubungan baik dengan semua ahli Persatuan Pembuat Bot Malaysia setelah tamat latihan," katanya yang percaya tidak ada kerja keras yang tidak membuahkan hasil.
06 Jan 22
2717
PMINT, P-Excell Meterai Perjanjian Pembangunan Tanah Batu Hampar
PMINT, P-Excell Meterai Perjanjian Pembangunan Tanah Batu Hampar
KUALA TERENGGANU, 13 Disember - Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dan anak syarikatnya, P-Excell Management Sdn. Bhd. (P-Excell) menandatangani perjanjian cadangan pembangunan tanah di Kampung Batu Hampar bernilai RM12.2 juta, semalam. Pengurus Besar P-Excell Management, Mohd Anuar Abdullah memaklumkan, perjanjian yang dimeterai melibatkan cadangan pembangunan 63 unit rumah teres setingkat di tanah berkeluasan 4.52 ekar di Mukim Belara itu. "Proses pelaksanaan sedang berjalan dan pembinaan ini dijangka bermula sukuan keempat 2022 dengan tempoh pelaksanaan selama 36 bulan. "Satu perkara lagi, kita juga cuba untuk mengekalkan harga setiap unit rumah di bawah RM200 ribu sebagaimana di cadangkan," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas majlis berkenaan di Menara PMINT, semalam.  Projek tersebut merupakan satu lagi usaha kerajaan negeri dalam menyediakan perumahan yang berkualiti kepada kumpulan sasar golongan berpendapatan isi rumah rendah (B40) dan golongan berpendapatan isi rumah pertengahan (M40).          
13 Dec 21
2001
Pulau Perhentian Terima Bina Pora-Pora Bay Resort
Pulau Perhentian Terima Bina Pora-Pora Bay Resort
KUALA TERENGGANU, 2 Disember- Pulau Perhentian bakal  menerima projek pembinaan resort berskala besar, Pora-Pora Bay Resort dengan harga bilik anggaran RM4,000 untuk semalam. Projek membabitkan kos RM500 juta di kawasan seluas 104 ekar itu akan dibina dalam tempoh terdekat dan dijangka mengambil masa antara lapan bulan hingga setahun untuk disiapkan. Pora-Pora Bay Resort bakal menyediakan 30 bilik bagi fasa pertama dan akan menambah 30 bilik lagi untuk fasa kedua itu turut dilengkapi dengan  pelbagai kemudahan canggih di mana sesuai dengan harga yang ditawarkan iaitu RM4,000 semalam. Buat masa sekarang syarikat milik resort itu  Pora-Pora Hotels & Resorts sedang menyiapkan stuktur asas binaan di China dan akan menggunakan kaedah pasang siap  bagi  membina resort itu di jangka awal tahun depan.   Pengerusi Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar berkata kerajaan berharap dengan pembukaan resort itu nanti, lebih ramai pelancong asing berkunjung ke Terengganu. “Difahamkan syarikat itu sebelum ini sudah mempunyai pelanggan tetap yang pernah menginap di resort sama di pelbagai negara. “Jadi langkah kerajaan negeri mengalu-alukan syarikat itu membuka Pora-Pora Bay Resort di Pulau Perhentian adalah sangat bertepatan kerana bagaikan laluan mudah menarik minat pelancong luar dan individu yang berkemampuan menginap di resort itu. “Untungnya bukan sahaja kepada negeri sahaja, malah kepada penduduk Terengganu pastinya mereka yang berduit ini akan ke kawasan menarik lain dan berbelanja di pelbagai tempat,”katanya. Beliau berkata demikian kepada Urusetia Penerangan Darul Iman selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Pajakan antara Lembaga Tabung Amanah Warisan Terengganu dengan Syarikat Pora-Pora Hotels & Resorts di Bilik Perjanjian Tingkat 18, Wisma Darul Iman, di sini, kelmarin  
01 Dec 21
2391